Categories
SELANGOR

Longkang Atasi Masalah Banjir Di Kampung Melayu Subang Tambahan

Longkang Atasi Masalah Banjir Di Kampung Melayu Subang Tambahan 02

SHAH ALAM 2 FEB : Pembinaan longkang di Kampung Melayu Subang Tambahan, Seksyen U5 khususnya di Jalan Rambai dan Sukun berjaya mengatasi masalah banjir yang kerap berlaku di kawasan berkenaan.

Dengan kos RM165,000 yang diperolehi menerusi geran Selangorku, diusahakan Pusat Khidmat DUN Kota Damansara selepas menerima aduan penduduk berhubung masalah dihadapi mereka selama ini.

Longkang Atasi Masalah Banjir Di Kampung Melayu Subang Tambahan 01.Abdul Aziz Dahalan, Pembantu Peribadi Adun Kota Damansara menjelaskan kerja pembinaan longkang itu disiapkan pada November tahun lalu.

“Longkang dibina ini memberi kelegaan kepada penduduk di kampung ini selain mengatasi masalah banjir kerana sebelum ini memang tiada longkang dibina di bahu jalan.

“Peruntukan disediakan Kerajaan Negeri memang banyak membantu mengatasi masalah rakyat tambahan hubungan mesra antara wakil rakyat, Dr Nasir Hashim dengan penduduk memudahkan segala urusan diselesaikan,” katanya.

Setiausaha Persatuan Penduduk Kampung Melayu Subang Tambahan, Hamim Hamzah berkata, kampung berusia lebih 18 tahun itu memang menghadapi masalah ketiadaan longkang untuk saliran air.

Dengan terbinanya longkang di kedua-dua laluan itu, katanya, melengkapkan pembinaan di situ kerana laluan lain menerima kemudahan sama sebelum ini.

“Kita rasa gembira dengan kemudahan diberikan dan masalah dihadapi juga berjaya di atasi,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Tak Tahan Gangguan Air, Warga Emas Tulis Surat Kepada PM

Pasangan Tak Dapat Air Pandan Jaya 01

PANDAN JAYA, 22 JAN: Semasa gangguan air di Lembah Klang tempoh hari, seorang warga emas, Muhamad Din, terpaksa bersaing dengan penduduk lain di pangsapurinya untuk mendapat sebaldi air daripada lori tangki Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas).

Meskipun tinggal di aras bawah Blok M2 Pangsapuri Pandan Jaya, kekuatan lelaki berusia 70an ini tidak cukup untuk beliau beratur panjang menunggu giliran dan berulang alik ke lori tanker.

Kesal dengan krisis itu, beliau menulis sepucuk surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk tindakan susulan.

Muhamad terpaksa menjaga isteri yang sakit dan seorang anak kelainan upaya (OKU).

“Saya susah betul bila air tiada. Isteri saya ada dirumah pula sakit pada ketika itu. Perihal air jangan dibuat main.

“Lori tanker memang ada tapi tak dapat. Saya pun tak larat nak angkat. Mujur orang ramai bagi ruang untuk saya ambil air dulu,” katanya dengan nada sayu kepada TVSelangor dan pegawai Pejabatu DUN Cempaka yang bertemu beliau hari ini.

Muhamad antara setengah juta penduduk di Ampang, Cheras dan Gombak yang terputus bekalan air dari 29 Disember hingga ke 15 Januari.

Ia berpunca daripada kegagalan pam di rumah pam Wangsa Maju yang diuruskan Syabas.

Siasatan Jawatankuasa Pemantau Bekalan Air Selangor mendapati kegagalan pam tersebut adalah disebabkan Syabas tidak menyelenggaranya dengan baik.

Muhamad berharap masalah air tidak dijadikan modal permainan politik pihak berkepentingan kerana ia keperluan harian rakyat.

?Saya berharap ia (gangguan air) tidak berulang lagi.?

Jelasnya, beliau menulis surat berkenaan secara peribadi tanpa melibatkan pihak lain.

Lebih menyedihkan, beliau menguruskan isteri tersayang yang bergantung kepada mesin bantuan pernafasan dan kini berada di Hospital Ampang.

Beliau menyara anak dan isterinya dengan bantuan wang pencen bekas tentera berjumlah RM1,000 sebulan.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Teresa : Syarat Polis Untuk Ceramah Tidak Munasabah

teresa red exco 01

SHAH ALAM, 16 JAN: Exco Selangor, Teresa Kok akan menulis surat kepada Ketua Polis Selangor bagi menyampaikan ketidakpuasan berhubung syarat dan sekatan perhimpunan yang dikeluarkan Ketua Polis Daerah Serdang terhadap ceramah politik di Padang Puchong Jaya yang disifatkan tidak munasabah.

Menurut Teresa yang juga Adun Kinrara, pada asalnya ceramah tersebut diadakan pada 8 Januari lalu di tempat sama tetapi polis menolak permohonan berkenaan dengan alasan tempoh pemberitahuan pihak DUN kepada polis hanya lapan hari sedangkan mengikut Akta Perhimpunan Aman 2012, pihak polis perlu dimaklumkan 10 hari lebih awal sebelum tarikh program.

Namun demikian, selepas pihak penganjur menunda ke tarikh 17 Januari, polis pula mencetak 1,500 naskah notis kepada penduduk sekitar tapak ceramah yang menggalakkan orang ramai membantah.

Pada 14 Januari lalu, Ketua Polis Daerah Serdang, ACP Abd Razak Elias mengeluarkan senarai 25 ‘syarat-syarat kepada menganjur’ yang mengundang rasa tidak senang penganjur.

Aantara syarat yang terkandung dalam surat berkenaan adalah amat tidak munasabah iaitu;Unit Amal PAS tidak dibenarkan sama saekali mengawal kenderaan lalu lintas kerana ini akan dan boleh membangkitkan perasaan provokasi kepada masyarakat awam yang tidak terlibat dalam perhimpunan tersebut.

Penganjur menyatakan jangkaan kehadiran peserta seramai 500 orang di dalam borang di bawah jadual keeempat (seksyen 10) Pemberitahuan Di Bawah Subseksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736), sekiranya kehadiran peserta melebihi jangkaan dan berada di luar kawasan yang dibenarkan, Ketua Polis Daerah mempunyai kuasa untuk menyuraikan perhimpunan di bawah Seksyen 21(1)(a) Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736).

Penganjur hendaklah memastikan peserta atau hadirin tidak meminum minuman keras atau mengambil dadah semasa menghadiri ceramah ini untuk mengelakkan tingkah laku yang agresif di bawah pengaruh alkohol dan dadah.

“Ceramah politik diadakan di tempat ruang tepi jalan dan di hadapan restoran, sekiranya Unit Amal PAS tidak dibenarkan untuk mengarah trafik, ia kemungkinan akan menyebabkan kesesakkan lalu lintas di tempat berkenaan.

“Bagi syarat jumlah kehadiran, kami tidak dapat memastikan bilangan jumlah peserta yang menghadiri ceramah kurang dariapda 500 orang. Bagi polis menyuraikan peserta sekiranya kehadiran melebihi dari jangkaan adalah tidak munasabah.

“Manakala tapak ceramah diadakan di hadapan restoran yang mana pelanggannya juga makan dan minum di tapak di luar restoran. Kami memang tidak boleh menghalang pelanggan restoran untuk minum di tapak luar restoran. Jadi syarat ini sukar untuk dipenuhi,” katanya dalam satu sidang media.

Tegasnya, objektif Akta Himpunan Aman adalah untuk memudahkan penganjur mengadakan program dan bukannya digunakan polis untuk menghalang perhimpunan dan program.

Categories
SELANGOR

RM9.7 Juta Untuk Projek Tebatan Banjir Di Seri Kembangan

ean yong hian wah

SHAH ALAM, 15 JAN : Kerajaan Negeri Selangor memperuntukkan RM9.7 juta untuk melaksanakan projek tebatan banjir di Seri Kembangan bagi mengatasi masalah itu yang sepatutnya projek itu dilaksanakan oleh Kerajaan Pusat.

Exco Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah berkata, daripada peruntukan itu sebanyak RM7.7 juta diberi kepada Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS).

Manakala sejumlah RM2 juta diperuntukkan kepada Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

Ean yang juga Adun Seri Kembangan berkata, peruntukan itu diluluskan oleh Kerajaan Negeri dalam Mesyuarat Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) baru-baru ini yang dijangka akan mengambil masa kira-kira enam bulan untuk disiapkan.

Ujarnya, JPS Selangor berulang kali memohon peruntukan daripada Kerajaan Pusat bagi projek tebatan banjir itu namun ia tidak diberi perhatian.

“Projek ini akan melibatkan dua tempat iaitu DUN Seri Kembangan dan DUN Seri Serdang.

“Beberapa insiden banjir banyak berlaku mutakhir ini dan rakyat banyak mengemukakan aduan.

“Sekarang Kerajaan Negeri telahpun meluluskan peruntukan ini,” kata Ean ketika dihubungi TVSelangor.

Katanya, projek tebatan banjir itu juga melibatkan pelebaran dan kerja-kerja mendalamkan sungai serta menaiktaraf kolam takungan bagi mengatasi masalah banjir di sekitar Sungai Kuyuh.

“Kita juga akan menaiktaraf longkang-longkang dan juga menambah ban-ban di tepi sungai itu,” kata Ean juga menyatakan projek ini akan dilaksanakan secepat mungkin.

Jelasnya, apabila projek ini siap ia akan mengatasi masalah banjir yang melibatkan beberapa kawasan taman perumahan dan kawasan perindustrian yang kerap berlaku banjir apabila hujan turun pada kadar yang tinggi.

Categories
NASIONAL

Mohon Tambah Kerusi Cuma Perkara Biasa, Anwar

Anwar Kerusi DAP 01

PETALING JAYA, 20 DIS: Soal permohonan pertambahan kerusi bertanding merupakan perkara biasa yang dibangkitkan setiap parti komponen Pakatan Rakyat berdasarkan kebolehupayaan memenangi sesebuah kerusi yang bertanding.

Ketua Umum Pakatan Rakyat (PR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara ini dibincangkan di peringkat dalaman dan isu ini sengaja ditimbulkan oleh Umno-BN dengan hanya merujuk kepada Konvensyen DAP yang berlangsung di Pulau Pinang tempoh hari.

Menurut Anwar, jika permintaan DAP yang mahu lebihan kerusi pada Pilihan Raya Umum (PRU13) akan datang adalah tidak munasabah ia tidak akan diterima baik.

“Kalau dia (DAP) mintak melebihi yang munasabah tentu kita tidak dapat terima tetapi (permintaan penambahan kerusi) memang dibenarkan. PKR juga meminta beberapa kawasan, sama seperti PAS.

“Cuma kebetulan kenyataan itu dari DAP,” katanya ketika dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR hari ini.

Setakat ini, perkara ini masih berada dalam peringkat perbincangan oleh Jawatankuasa Perundingan dan belum sampai kepada Anwar secara rasmi.

“Pembahagian kerusi sudah selesai 90 peratus. Cuma ada beberapa kerusi di Pulau Pinang (1), Kedah (1), Perak (2). Ada sikit di Sabah dan Sarawak. Namun keseluruhannya 90-95 peratus dah selesai.

“Dalam tradisi Pakatan kita akan bincang namun akhirnya peringkat jawatankuasa yang akan buat keputusan.

“Pertambahan dan kekurangan kerusi bagaimanapun akan dibuat berdasarkan prestasi parti dan kawasan mereka pada 2008. Tetapi kita juga sentiasa mengelak perbincangan terbuka kerana ia akan rumitkan negeri dan parti masing-masing,” katanya.

Secara sinis Anwar menyatakan di dalam Umno sendiri tidak mempunyai ahli berbangsa Cina dan keputusan di dalam pemilihan DAP digunakan untuk menimbulkan sentimen ‘Melayu’ disifatkan tidak wajar.

“Semua orang tahu majoriti ahli DAP adalah Cina. Dia (DAP) tidak pernah sorok. Majoriti perwakilan pun Cina. Sekarang penambahan penyertaan ketara orang-orang Melayu dalam DAP cuma mungkin tidak cukup memberikan dokongan dan impak dari segi pimpinan,” katanya lagi.

Pada minggu lalu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata partinya mahu tambahan 13 kerusi iaitu tiga di kawasan Parlimen dan 10 bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk Semenanjung Malaysia pada pilihan raya umum akan datang.

Pertambahan 13 kerusi itu katanya adalah atas dasar semangat setiakawan dan tulus kepada PAS dan PKR.

Anwar Kerusi DAP 02

Anwar Kerusi DAP 03

Categories
SELANGOR

Pembinaan Dataran Anak Muda Diharap Lahir Jaguh Sukan Negara

TANJONG KARANG, 8 DIS : Pembinaan Dataran Anak Muda di Kampung Parit Serong di sini diharapkan mampu melahirkan lebih ramai lagi jaguh sukan negara yang berkaliber dan mampu mengharumkan nama negara.

Penyelaras Pusat Khidmat DUN Permatang, Yahya Sahri berkata, sebelum ini di kampung berkenaan muncul jaguh bolasepak negeri dan negara walaupun tiada kemudahan sukan yang memuaskan.

Sebelum ini, Amri mewakili Selangor sejak tahun 2001 dan digelar sebagai budak emas apabila menjaringkan gol kemenangan Selangor pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2002 menentang Sabah dan pada 2005, Amri membantu Selangor memenangi tiga piala.

Kehebatan Amri terserlah selepas menjaringkan dua gol dalam perlawanan persahabatan Manchester United pada 18 Julai 2009.

“Walaupun dulu tiada padang dan gelanggang futsal di sini tetapi boleh adanya jaguh sukan.

“Hari ini kita sediakan gelanggang futsal maka kita mahu melihat dalam tempoh lima tahun ada jaguh yang muncul di sini,” kata Yahya.

Ujar beliau, anak muda perlu berani turun ke gelanggang dan bukan hanya melihat apa sahaja yang berlaku.

Exco Adat Melayu, Belia dan Sukan, Dr Yunus Hairi berkata, pembinaan dataran anak muda di seluruh Dewan Negeri Selangor (DNS) melalui Geran Selangorku bagi menggalakkan aktiviti sihat di kalangan generasi muda.

“Dataran Muda ini perlu digunakan sebaik mungkin oleh semua dengan aktiviti bermanfaat yang boleh digerakkan oleh pemimpin setempat dan penggerak belia tempatan,” kata Yunus.

Beliau berkata demikian semasa ucapan di Program Santai Desa D’ Parit Serong yang diadakan di Dataran Anak Muda DUN Permatang Kampung Parit Serong di sini.

Beliau juga mengharapkan kemudahan ini ditambah dengan sistem wifi percuma dan pelbagai program boleh diadakan di sini seperti program siaran secara langsung acara sukan dan program-program keagamaan.

Pengerusi JKKK Kampung Parit Serong, Azahari Mardzuki berkata, Dataran Anak Muda yang dibina di sini penting untuk pembangunan sukan belia di sini yang sebelum tiada kemudahan tersebut.

Ujarnya, dengan siapnya dataran anak muda itu membuktikan keprihatinan Kerajaan Negeri untuk menggerakkan generasi muda melaksanakan aktiviti yang berfaedah.

“Polisi yang prorakyat ini memberikan manfaat kepada masyarakat di kampung ini,” katanya.

Dataran Anak Muda di situ dibina dengan peruntukkan RM160,000 yang menyediakan kemudahan gelanggang sepak takraw, badminton, bola tampar, futsal, pentas dan tandas.

Categories
SELANGOR

Perniagaan Maya Untuk Peserta Mimbar

SHAH ALAM 8 DIS : Program Mikrokredit Miskin Bandar Selangor (Mimbar) akan mewujudkan peluang bercirikan perniagaan maya(internet) di kalangan usahawan Mimbar dalam usaha mempertingkatkan pendapatan peserta.

Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi, Inovasi dan Kebudayaan, Rodziah Ismail berkata perniagaan maya ini merupakan antara langkah terbaru Mimbar dalam usaha melahirkan lebih ramai usahawan berdaya saing menerusi penjanaan perniagaan melalui internet di negeri ini.

“Perniagaan maya ini bukan satu perkara yang asing dalam dunia perniagaan sekarang ini.

“Malah, ia juga boleh menonjolkan produk barangan yang diusahakan oleh penduduk negeri ini bagi menembusi pasaran yang lebih luas,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Ramah Mesra Peserta Mimbar peringkat Dun Batu Tiga di Hotel De Palma, di sini.

Sehubungan itu, katanya peserta Mimbar akan diberikan kursus pembelajaran komputer terlebih dahulu secara berperingkat.

“Kerajaan Negeri sudah menyediakan pusat siber rakyat di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing, jadi pada permulaanya, mereka hendaklah mendaftar di Pusat Khidmat DUN Batu Tiga.

“Seterusnya, kita akan memanggil mereka secara berperingkat untuk menyertai kursus itu yang akan diadakan setiap minggu.

“Kita mahu mereka giat mempromosi produk barangan yang dikeluarkan oleh usahawan di negeri ini ke luar dari pasaran tempatan dan juga ke luar negara,” katanya.

Setakat ini, lebih RM10 juta peruntukkan disalurkan kepada program terbabit manakala seramai 5,426 orang layak memohon pinjaman.

Categories
NASIONAL

Reputasi Polis Tercalar Jika Lambat Ambil Tindakan Serangan Ceramah Gombak

SHAH ALAM, 5 DIS : Pemimpin Pakatan Rakyat mendesak agar polis berlaku adil dan mengambil tindakan segera terhadap individu yang menyerang ceramah PR di Batu 8 ? Gombak semalam yang menyebabkan lima orang tercedera.

Pemimpin Pas dan PKR berkata kegagalan polis untuk bertindak dengan tegas dan segera terhadap individu yang disyaki akan mencemar reputasi polis.

Lebih buruk lagi, kegagalan untuk mengambil tindakan akan memberi gambaran bahawa polis bersekongkol dengan individu-individu tersebut.

Penyelaras DUN Gombak Setia, Salehuddin Nasir berkata, polis hanya bertindak setelah serangan secara bertubi-tubi dilakukan hingga mencederakan orang ramai, sedangkan polis sedia maklum mengenai ceramah itu beberapa hari sebelumnya.

Beliau mendakwa serangan tersebut diketuai oleh pemimpin Pemuda Umno Gombak dan melibatkan ahli Umno Gombak, Wanita Umno Gombak dan anggota NGO.

Menurutnya, ekoran insiden itu, dianggarkan lebih lima individu mengalami kecederaan di bahagian kepala, bahu dan tangan akibat terkena objek keras, malah khemah juga musnah teruk.

“Kita telah maklumkan pada pihak polis dan sehari sebelum ceramah itu berlangsung, ada anggota polis daerah Gombak yang datang melawat menunjukkan bahawa mereka tahu ada program pada malam itu.

“Saya sendiri telah serahkan surat melalui email kepada Ketua Polis Daerah memberitahu maklumat berhubung ceramah itu,? kata Salehuddin apabila dihubungi TVSelangor.

Keadaan di ceramah di Dataran Sharuddin di Batu 8 ? Gombak semalam menjadi kecoh apabila pergaduhan berlaku di antara sekumpulan ahli Umno dan penyokong PR.

Salehuddin mendakwa seorang penyokong PR ditikam dengan Kerambit manakala batu bata dilemparkan ke arah peserta ceramah tersebut yang di dalam siri Jelajah Merdeka Rakyat.

Ceramah itu menampilkan Penasihat Ekonomi Selangor Datuk Seri Anwar Ibrahim, Adun Bukit Antarabangsa Azmin Ali, bekas Adun Ayer Molek, Melaka Datuk Tamrin Ghafar dan Adun Batu Caves, Amirudin Shari.

Manakala Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafie berkata sekiranya polis gagal mengambil tindakan ia boleh mengalakkan orang lain untuk mencetuskan serangan yang serupa.

“Tidak mustahil keberanian mereka ini berpunca daripada sikap pihak polis juga yang seolah-olah mereka ini kebal dari sebarang tindakan undang-undang.

“Kejadian provokasi dan keganasan yang dicetuskan juga seolah-olah memberi signal ?isyarat? bahawa mereka ini akan melakukan tindakan lebih ganas di luar keterbatasan yang dibenarkan,” kata Shuhaimi lagi.

Insiden serangan ke atas ceramah PR ini bukan yang pertama. Sebelum ini, sebuah ceramah Anwar di Lembah Pantai turut dibaling dengan batu sehingga seorang hadirin tercedera di kepala.

Bas Jelajah Merdeka Rakyat yang membawa pemimpin PR berceramah ke seluruh negara juga telah diserang beberapa kali di Kota Baru dan Melaka dengan disimbah dengan cat dan dibaling batu.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Pakatan Rakyat Bukti Lebih Cekap Dari Umno Siapkan Jambatan Ke-Tiga Klang

DENGKIL 25 NOV : Kegagalan Umno-BN menepati janji mereka untuk membina jambatan ke-tiga di Klang empat tahun adalah bukti bahawa gagasan itu menaburkan janji hanya untuk pilihanraya.

Manakala kebolehan Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor untuk mencari dana tanpa dibantu Umno-BN dan menyiapkan projek tersebut, adalah bukti PR lebih cekap, amanah dan bekerja tanpa mengira waktu kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

“Ini tidak, selepas diumumkan kalah pada PRU lepas, terus projek jambatan ketiga (Klang) yang dijanjikan empat hari sebelum itu tidak dilaksanakan.

“Jadi kita ingin beritahu kepada Kerajaan Persekutuan, kalau mereka tiada duit, Kerajaan Negeri sediakan peruntukan RM 300 juta untuk membina jambatan yang dijanjikan mereka dahulu.”

Abdul Khalid berkata di dalam ucapannya di depan lebih 4,000 hadirin di Majlis Rumah Terbuka Deepavali Negeri Selangor di sini malam tadi.

 

Seminggu sebelum pilihanraya pada Mac 2008, Kerajaan Pusat Umno-BN telah mengumumkan akan membina jambatan ke-tiga untuk Klang dalam masa beberapa bulan selepas pilihanraya.

Akan tetapi projek itu tidak dilaksanakan sehingga hari ini.

Pada sidang Dewan Negeri Selangor baru-baru ini Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor mengumumkan akan mengguna RM 300 juta dari rizab negeri untuk menyiapkan jambatan itu.

Sejurus selesai memberi ucapan, Menteri Besar berkesempatan menyampaikan sumbangan berjumlah RM 110,000 kepada wakil lima buah kuil.

Sumbangan turut diberikan kepada Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Kajang sebanyak
RM 35,000, SJKT Dengkil (RM 20,000) dan SJKT Ladang Ampat Tenang (RM 15,000).

Majlis tersebut turut dimeriahkan dengan kehadiran isteri Menteri Besar, Puan Sri Salbiah Tunut, Ahli Exco Negeri Dr. Xavier Jayakumar dan Ronnie Liu serta isteri masing-masing.

Turut hadir Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang (MPSP), Mohd Sayuthi Bakar, Pegawai Daerah Sepang, Haris Kasim dan Penyelaras DUN Dengkil Borhan Aman Shah.

Categories
SELANGOR

38 Dataran Belia Dibina Seluruh Selangor

SHAH ALAM, 19 NOV : Kerajaan Negeri meluluskan pembinaan 38 Dataran Belia di seluruh Selangor dengan 10 daripadanya siap sepenuhnya untuk digunakan bagi aktiviti riadah dan sukan.

Exco Adat Melayu, Belia dan Sukan, Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, pembinaan tersebut dirangka bagi kegunaan ramai terutama golongan belia dan muda dengan setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) diperuntukkan satu Dataran Belia.

“Syarat bagi tujuan itu adalah dataran harus berada di atas tanah milik kerajaan dengan keluasan minima 683 meter persegi bagi gelanggang seberguna serta 458 meter persegi bagi Dataran Belia.

“Kemudahan disediakan termasuk gelanggang serbaguna untuk futsal, bola jaring dan sepak takraw yang berpagar serta kemudahan tandas selain Dataran Belia yang dilengkapi pentas,” katanya menjawab pertanyaan Adun Bangi, Dr Shafie Abu Bakar dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini hari ini.

Beliau seterusnya menjelaskan selain jumlah dinyatakan, lima kawasan sedia ada sedang dibaik pulih bagi tujuan sama.

Categories
SELANGOR

Selangor Dahului Semua Negeri Dalam Nilai Pelaburan

SHAH ALAM 19 NOV : Selangor mencatatkan prestasi pelaburan tertinggi di Malaysia dengan nilai RM 6.08 bilion bagi tempoh Januari hingga Julai tahun ini.

Jumlah tersebut melibatkan pelaburan domestik sebanyak RM 4.59 bilion dan pelaburan asing (FDI) sebanyak RM 1.49 bilion.

Pelaburan tersebut telah menawarkan 13,197 peluang pekerjaan baru kepada rakyat Selangor yang merangkumi jenis pekerja mahir, separa dan kurang mahir serta golongan profesional.

Jumlah tersebut diberikan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata jumlah pelaburan dianggarkan meningkat sebanyak RM 7.7 juta setakat September lalu.

Katanya, sepanjang tempoh Januari hingga Julai 2012, sebanyak 142 projek pelaburan berjaya masuk ke Selangor.

Abdul Khalid menambah sepanjang tahun 2008 hingga 2011, Selangor menduduki kedudukan pertama dan kedua bersama-sama Pulau Pinang daripada segi jumlah pelaburan masuk ke dalam negeri dengan nilai purata sekitar RM 38 bilion sepanjang empat tahun.

Nilai pelaburan masuk ke negeri Selangor adalah sebanyak RM11.87 bilion (2008), RM6.76 bilion (2009), RM10.64 bilion (2010), dan RM8.74 bilion (2011).

Manakala nilai pelaburan domestik (DDI) sepanjang tempoh 2008 hingga 2011 adalah sebanyak RM2.87 bilion (2008), RM2.75 bilion (2009), RM5.49 bilion (2010) dan RM4.5 bilion (2011).

Bagi pelaburan asing (FDI) pula, sepanjang tahun 2008 hingga 2011 mencatatkan angka pelaburan sebanyak RM9.0 bilion (2008), RM4.01 bilion (2009), RM5.15 bilion (2010), dan RM4.24 bilion (2011).

“Jumlah projek yang telah dan berjaya dilaksanakan di negeri Selangor sepanjang tempoh 4 tahun tersebut adalah sebanyak 302 projek (2008), 278 Projek (2009), 325 projek (2010) dan 263 projek (2011).

“Peluang pekerjaan yang berjaya disediakan hasil pelaburan masuk ke negeri Selangor sepanjang tempoh tersebut adalah sebanyak 30,890 orang (2008), 22,753 orang (2009), 27,865 orang (2010) dan 20,750 orang (2011),” katanya dalam ucapan pembentangan belanjawan 2013 di DUN, hari ini.

Categories
SELANGOR

Kanak-kanak sebulan Antara Yang Berkhatan di Majlis Di Sijangkang

KUALA LANGAT 16 NOV : Majlis berkhatan 21 kanak-kanak di Masjid Jamiul Ehsani di Kampung Sijangkang di sini hari ini dilakukan sendiri oleh (Adun) Sijangkang, Dr Ahmad Yunus Hairi.

Ia bertambah istimewa dengan penglibatan bayi berusia sebulan, Muhammad Habibur Rahman Shaiful Amri.

Bapa bayi itu, Shaiful Amri Mohamed Shapik, 36, berkata, memang menjadi kebiasaan untuk beliau bersama isteri, Nornajibah Md Saufi, 36, untuk mengkhatankan anak mereka pada usia awal.

“Dalam keluarga saya memang anak-anak lelaki saya dikhatankan dalam usia sebulan ke dua bulan kerana pengalaman anak pertama mengalami masalah buang air berdarah,? katanya yang bekerja sebagai timbalan pengurus di Takaful Malaysia Bhd.

Doktor menasihatkan dia dikhatankan awal. Dari situ saya dan isteri teruskan untuk anak kedua dan ketiga kerana kanak-kanak lebih mudah sembuh pada usia awal.

“Berkhatan awal juga memudahkan kita mendidik anak bersuci dan mengerjakan amal ibadah di masjid.

?Saya juga menyarankan ibu bapa lain mengkhatankan anak mereka pada usia awal malah ia menjadi kebisaan di luar negara terutama di negara Arab,” katanya ketika ditemui TVSelangor dan melahirkan rasa gembira kerana penyertaan anaknya dalam majlis berkenaan.

Nazir masjid, Zainal Ulum Ahmad Kasah berkata, majlis berkhatan beramai-ramai itu adalah program tradisi bagi masjid tersebut sejak 2008.

Menurutnya, pada kali ini dijalankan lebih meriah dengan jamuan makan serta semua kanak-kanak dimandikan dahulu dengan siraman oleh pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat yang dijemput oleh jawatankuasa masjid.

“Sambutan kali ini bagus dengan lebih 20 kanak-kanak dan menjadi unik bila melibatkan peserta termuda berusia sebulan.

?Selain dikhatankan sendiri oleh Dr Ahmad Yunus, majlis kali ini juga berbeza bila jamuan beramai-ramai diadakan dan minggu depan turut dijalankan majlis kesyukuran bila semua kanak-kanak ini sembuh,” katanya.

Sementara itu, Dr Ahmad Yunus menjelaskan proses berkhatan dijalankan dengan menggunakan kaedah Smart Klam yang mengurangkan risiko pendarahan dan jangkitan berbanding cara berkhatan biasa.

“Ini adalah salah satu program yang dijalankan secara bergilir dengan masjid lain di DUN Sijangkang bagi kanak-kanak pada musim cuti yang turut melibatkan golongan asnaf.

“Pada kali saya sendiri akan mengkhatankan mereka dengan dua pembantu,” katanya.