Categories
NASIONAL SELANGOR

Ambil Alih Perkhidmatan Air Dalam 14 Hari

ISU AIR SELANGOR BARU

SHAH ALAM, 30 JAN: Kerajaan Negeri akan ambil alih perkhidmatan air dalam tempoh 14 hari sekaligus bakal menamatkan krisis pengurusan bekalan air di Lembah Klang dan Selangor yang telah berlarutan lebih lima tahun.

Usaha ini susulan daripada kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru bahawa Kerajaan Persekutuan tiada masalah dengan usaha Selangor untuk menstruktur-semula industri tersebut.

Makluman pengambil alihan pengurusan air daripada syarikat konsesi dibuat melalui surat yang ditulis Kerajaan Selangor kepada Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Kah Fui.

Selepas 14 hari, Kerjaan Negeri akan memulakan rundingan pembayaran kepada empat syarikat konsensi untuk ambil alih pengurusan segala aset industri air yang melibatkan aspek bekalan, rawatan hingga ke pengagihan.

Keputusan ini diumumkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dalam satu sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco baru-baru ini.

Menurut Abdul Khalid, tempoh 14 hari bermula pada 4 Februari.

“Kita berpegang kepada kenyataan Timbalan Perdana Menteri selaku Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Air, Tan Sri Muhyiddin Yassin di Sabak Bernam baru-baru ini.

?(Beliau) menyatakan Kerajaan Pusat tiada halangan untuk kerajaan Selangor mengambilalih perkhidmatan air.

“Justeru dalam surat tersebut kita telah maklumkan bahawa pengambil alihan perkhidmatan industri air akan diteruskan dalam tempoh 14 hari sekiranya pihak kementerian tidak memberikan sebarang maklum balas,” katanya.

Muhyiddin dilaporkan berkata bahawa Kerajaan Persekutuan sejak dulu dan kini mahukan soal perkhidmatan air mesti diselesaikan Kerajaan Negeri.

Pada ketika ini, operasi air terawat dikendalikan syarikat konsesi Puncak Niaga Sdn Bhd, Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) dan Konsortium ABASS Sdn Bhd.

Sementara pengagihan air terawat pula dikendalikan konsesi Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas).

Abdul Khalid berkata tawaran harga kepada empat syarikat berkenaan akan ditentukan melalui proses timbang tara antarabangsa.

Kerajaan Negeri juga akan akur dengan keputusan timbang tara antarabangsa sekirannya diputuskan bahawa Kerajaan Negeri perlu membayar lebih daripada tawaran asal.

Pada 31 Januari 2010, Kerajaan Negeri menawarkan nilai pampasan sebanyak RM 9.27 bilion namun jumlah tersebut ditolak kesemua syarikat tersebut.

“Dalam surat yang ditulis saya menyatakan, saya akan membuat tawaran yang akan diterima (konsesi).

“Jika berlaku perbezaan harga Kerajaan Persekutuan mestilah bersetuju supaya perkara ini dibawa ke peringkat timbang tara antarabangsa,” ujarnya lagi.

Usaha mengambil alih perkhidmatan air daripada empat syarikat tersebut adalah sebahagian daripada objektif Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor untuk menstruktur semula industri air.

Ini bagi memastikan bekalan air terawat kepada lima juta penduduk Selangor dapat diedarkan dengan cekap dan pada harga yang berpatutan.

Kerajaan Negeri berpendirian bahawa pengurusan air di bawah empat syarikat tersebut, terutamanya Syabas, adalah tidak memuaskan.

Ini berikutan rancangan awal Syabas untuk menaikkan harga air sebanyak 37 peratus meskipun ia gagal untuk menurunkan kadar air tidak berhasil, iaitu air yang hilang akibat dicuri dan paip bocor, yang sekarang berada pada tahap 30 peratus.

Syabas juga gagal menyelenggara pengedaran air dengan baik seperti yang dilihat pada krisis bekalan air di Ampang, Cheras dan Gombak awal tahun ini yang mengakibatkan 500,000 pengguna tidak dapat bekalan air.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Kenyataan Muhyiddin Berkenaan Langat 2 Kelirukan Rakyat

MB PC Songkok 01

CHERAS, 28 JAN : Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin diingatkan supaya berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan yang boleh mengelirukan rakyat terutama berhubung pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2).

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, tindakan Muhyiddin yang membelakangkan kuasa Kerajaan Negeri Selangor berhubung kelulusan projek Langat 2 jelas menyalahi undang-undang.

Menurutnya, ia sekaligus memberi gambaran bahawa Kerajaan Pusat yang ditadbir oleh Umno-BN bebas melakukan apa sahaja yang bertentangan dengan Perlembagaan Negara.

“Muhyiddin ialah seorang Menteri yang dilantik di bawah Perlembagaan Negara, dia tidak boleh melanggar Perlembagaan. Beliau tidak boleh membuli rakyat Selangor, kena ikut undang-undang. Kalau dia tidak ikut undang-undang, macam mana rakyat mahu ikut?

“Beliau kena berhati-hati dalam membuat kenyataan ini terutama jika kita menjawat jawatan tinggi. Malah, dia akan diketawakan oleh pemerhati antarabangsa kerana Malaysia merupakan satu-satunya negara yang tidak mahu mematuhi undang-undang dan bebas melakukan apa sahaja,” katanya ketika mengadakan lawatan kerja di Parlimen Bandar Tun Razak.

Sebelum ini, Muhyiddin dalam satu kenyataan menegaskan bahawa Kerajaan Pusat akan tetap meneruskan projek pembinaan Langat 2 dalam masa terdekat walaupun tanpa persetujuan Kerajaan Negeri Selangor.

Beliau berkata buat masa sekarang bagi menampung permintaan air yang semakin meningkat di kalangan rakyat, beberapa buah loji rawatan air di negeri itu terpaksa meningkatkan tahap pengeluaran sehingga 100 peratus.

Dakwanya, Projek Langat 2 dan sistem agihannya mengalami kelewatan sebanyak 40.55 peratus iaitu kira-kira 29 bulan disebabkan keengganan Kerajaan Negeri memberikan kelulusan yang diperlukan.

Sebelum ini, Abdul Khalid memaklumkan Syabas gagal dalam pengurusan bekalan air Selangor sudah dijangka Kerajaan Negeri sejak dua tahun lalu.

Berikutan itu, beliau berkata, rancangan penstrukturan semula operasi air dikemukakan kepada Kerajaan Pusat bagi menyelesaikan masalah itu, namun skim berkenaan ditolak.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Bapa Pelajar Koma Rayu Bantuan Kementerian Pelajaran

William Leong 02

SELAYANG 20 DIS : Kementerian Pelajaran diminta prihatin dan bertindak segera bagi mengatasi masalah dihadapi Poh Jia Cheng, 10, yang cedera dan koma sejak lebih setahun lalu.

Insiden berlaku di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Desa Jaya kira-kira jam 12 tenghari 6 September tahun lalu ketika Jia Cheng dan murid lain mahu memulakan sesi persekolahan pada sebelah petang apabila dia dilanggar murid yang sedang berlari hingga menyebabkan kepalanya terantuk ke dinding dan cedera.

Bapanya, Poh Beng Joo, 49, berkata, kejadian itu menyebabkan anak keempatnya kini mengalami cedera dan koma serta tidak lagi ke sekolah seperti kanak-kanak lain yang normal.

Menurutnya, keadaan dialami Jia Cheng sangat membimbangkan kerana ia sudah berlarutan lama dan kini dia serta keluarga menghadapi masalah kewangan bagi menanggung kos rawatannya.

Sebagai buruh kasar, katanya, pendapatan bulanannya terhad selain isterinya, Kow Yen Mooi, 40, terpaksa berhenti dari mengambil upah menjahit kerana menjaga Jia Cheng sepenuh masa.

“Saya terpaksa membuat pinjaman semula rumah saya untuk tujuan itu namun keadaan ini hanya sementara kerana dia perlu mendapatkan rawatan secara berterusan.

“Dengan kos rawatan tinggi tentunya ia membebankan saya dan keluarga,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Selepas insiden tersebut, Jia Cheng menerima rawatan di Hospital Sungai Buloh (HSB) kira-kira empat bulan termasuk di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Ahli Parlimen Selayang, William Leong berkata, pihaknya sudah menghantar surat kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran dan Timbalan Menteri, Datuk Wee Ka Siong pada 10 Oktober lalu supaya mengambil tindakan segera dalam perkara itu.

Namun, jelasnya sehingga ke saat ini tiada sebarang jawapan atau tindakan dibuat bagi mengatasinya atau membantu keluarga malang tersebut.

“Saya minta tindakan segera diambil dalam perkara ini bagi membantu Jia Cheng dan keluarganya yang kurang mampu tetapi setakat ini tiada jawapan dari kementerian.

“Kes ini sepatutnya diberi perhatian kerana sudah dibawa ke Pejabat Pelajaran Daerah Gombak dan Negeri Selangor. Tanggungan keluarga ini menjadi semakin berat kerana kos perubatannya yang tinggi,” katanya.

Jia Cheng dikatakan mendapat perlindungan insuran Takaful tetapi bantuan masih belum diperolehi disebabkan borang tuntutan diisi bapanya masih dalam simpanan doktor untuk tujuan ulasan.

William Leong 01

Categories
NASIONAL SELANGOR

Mahasiswa Desak Kerajaan Selesaikan Isu Pengangguran Graduan Pendidikan IPTS

Pengangguran Graduan Pendidikan IPTS 01

PETALING JAYA, 20 DIS :Mahasiswa PKR mendesak kerajaan menyelesaikan masalah pengangguran yang melibatkan graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) lepasan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) seperti yang dijanjikan dalam Belanjawan 2013.

Presiden Mahasiswa PKR, Haziq Abdul Aziz berkata kreadibiliti Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak layak dipersoalkan kerana gagal menyelesaikan masalah pengangguran graduan universiti.

Jelasnya, baru-baru ini 2000 graduan ISMP Universiti Tun Abdul Razak (UNITAR) menganggur akibat tidak diberi peluang permohonan pekerjaan oleh Kementerian Pelajaran.

“2000 graduan ISMP ini dikatan tidak layak untuk memohon pekerjaan sebagai guru sekolah-sekolah kerajaan walaupun MQA mengiktiraf sijil ijazah pendidikan UNITAR.

“Malah silibus ISMP UNITAR adalah sama dalam silibus ISMP di maktab perguruan dan IPTA. Namun mereka tidak diberi peluang yang sama rata dalam perhononan menjadi guru,” kata pada sidang media di Ibu Pejabat PKR.

Menurut Haziq lagi, selain Kementerian Pelajaran, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) juga turut bertanggungjawab dalam hal ini kerana memberikan kelulusan kepada UNITAR untuk menawarkan kursus ini tetapi tidak dapat memberikan jaminan pekerjaan kepada graduan ISMP UNITAR.

Beliau menambah, sepatutnya peluang permohonan (pekerjaan) adalah sebaiknya mengikut merit dan sekiranya keadaan ini berterusan pelajar akan mengalami masalah membayar semula hutan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Sementara itu, Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli mendesak Umno-BN bertanggungjawab berhubung perkara ini oleh kerana mereka turut bersekongkol dengan KPT menawarkan kursus perguruan.

Hakikatnya mereka tahu bahawa kekosongan jawatan tersebut tidak seperti yang dikatakan ditambah sebelum ini graduan berkenaan telah bertemu dengan pimpinan Umno-BN.

“Umno-BN perlu bertanggungjawab terhadap nasib graduan ini kerana institusi swasta paling rancak menawarkan ISMP adalah institusi yang rapat dengan pimpinan Umno seperti UNITAR.

“Pada masa sama KPT meluluskan kuota pengambilan yang memberi lesen kepada UNITAR menawarkan ISMP dengan memberi gambaran garaduan ini akan mendapat pekerjaan di dalam perkhidmatan perguruan negara,” tambah Rafizi.

UNITAR dimiliki oleh Yayasan Pintar dimana Lembaga Pengarahnya turut dianggotai Datuk Seri Najib Razak, Datuk Seri Hishamuddin Hussein, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Mustapha Mohamad dan Datuk Seri Ali Rustam.

Categories
SELANGOR

MB : Teknologi Membran Lagi Murah dan Praktikal

SHAH ALAM, 23 OKT : Penggunaan teknologi penapisan air membran untuk merawat bekalan air di Selangor dianggarkan 1 / 3 lebih murah daripada kos pembinaan loji rawatan mega Langat 2.

Teknologi daripada Kanada itu kata Menteri Besar Selangor lebih praktikal dan menjimatkan daripada Langat 2 yang dianggarkan menelan kos RM 3 bilion.

Abdul Khalid berkata, kos penggunaan teknologi membran adalah kurang daripada RM1 bilion untuk dipasang di 10 buah loji strategik kerana tidak semua 27 loji memerlukannya.

Ini menyangkal dakwaan daripada Kerajaan Pusat bahawa teknologi tersebut tidak praktikal bagi Selangor, sekaligus menjustifikasikan Langat 2.

Menurut Abdul Khalid teknologi membrane telah mengalami perkembangan pesat yang menawarkan kos pembinaan yang lebih rendah.

“Teknologi ini sangat kompetitif dan sekarang digunakan untuk memproses air laut menjadi air mentah di beberapa negara di Timur Tengah,” katanya.

“Kini telah terdapat lapan buah negara yang sudah memasarkan teknologi itu sedia ada,” kata Abdul Khalid dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Lembu-Lembu Korban di Pekarangan Bangunan Sultan Idris Shah di sini.

Tambah beliau, Singapura juga turut bercadang menggunakan teknologi membran dalam tempoh 30 tahun akan datang supaya ia tidak perlu mengimport air daripada Johor.

Ujar beliau, teknologi itu juga lebih mesra alam berbanding Langat 2 yang memerlukan kerajaan negeri menebuk Banjaran Titiwangsa bagi membina terowong untuk mensalurkan air daripada Pahang.

Abdul Khalid berkata, teknologi itu juga mampu menambahkan satu juta meter padu sehari air terawat pada kadar 1/3 daripada kos Langat 2.

“Purata keperluan air di Selangor dan Lembah Klang adalah sekitar empat juta meter padu sehari tetapi bekalan yang sampai kepada pengguna hanyalah tiga juta meter padu kerana satu juta meter padu ?hilang? atau Non Revenue Water (NRW),” kata Abdul Khalid.

Hari ini, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata teknologi membran tidak praktikal untuk Selangor.

Menjawab dakwaan Muhyiddin, Abdul Khalid berkata Kerajaan Selangor boleh memanggil perunding daripada Kanada untuk memberi taklimat kepada Muhyiddin dan pegawai di Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air.

“Kerajaan negeri tidak menentang Loji Langat 2 tetapi perlu disertakan sebagai pakej penyusunan semula industri perkhidmatan air yang terbantut kerana tiada kerjasama dari kerajaan Pusat dan syarikat konsesi.

“Penyusunan semula perkhidmatan air di Selangor adalah penyelesaian menyeluruh yang membolehkan pengguna menerima perkhidmatan bekalan air lebih efisien pada harga munasabah,” katanya.

Categories
NASIONAL

Pendidik : Henti Penganiayaan Tidak Profesional Terhadap Guru

KUALA LUMPUR, 18 OKT : Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (Pendidik) mengemukakan satu memorandum mendesak Kementerian Pelajaran menghentikan segala bentuk tindakan tidak profesional, penganiayaan dan kezaliman kepada warga pendidik.

Presidennya, Normala Sudirman atau lebih dikenali sebagai Cikgu Mala berkata, dalam masa dua minggu pihaknya menerima tidak kurang daripada 100 aduan berhubung tekanan yang dikenakan terhadap guru.

Bercakap pada satu sidang media di lobi Parlimen, NGO Pendidik mendesak Kementerian Pelajaran yang diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengembalikan semula semua hak guru teraniaya selain menghentikan diskriminasi warga guru dengan melabel satu kelompok sebagai Umno-BN dan satu lagi kelompok bukan Umno-BN.

Lantaran itu juga, mereka turut mendesak pembentukan satu jawatankuasa bebas di bawah Parlimen bagi menangani dan mengendalikan kes-kes penganiayaan terhadap guru.

“Antara bentuk tindakan yang dikenakan adalah dibuang kerja kerana tidak tahan menurut arahan dengan kerap berpindah dan tidak munasabah.

“Selain itu, guru dipindahkan jauh dari kediaman dan keluarga atas tekanan politik malahan disyaki aktif berpolitik serta cenderung kepada pembangkang,” katanya yang juga bekas calon PAS pada Pilihan Raya Kecil Dun Tenang pada tahun 2011.

Dalam memorandum yang diterima oleh Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud selaku wakil Pakatan Rakyat turut dilampirkan beberapa nama guru yang menjadi mangsa penganiayaan Kementerian Pelajaran termasuk suami Cikgu Mala, Maarof Abdul Mutalib.

Beliau ditukarkan dari SMK Tenang Stesen, Segamat Ke SMK Tanjung Pengelih, Pengerang, Kota Tinggi yang menyaksikan jarak ulang-alik lebih 500KM.

Selain itu, beliau turut berhadapan hukuman berganda iaitu amaran, tindakan tata tertib, dipotong gaji tujuh hari bekerja serta dinafikan bonus tahun 2011, kesan daripada penglibatan isterinya dalam medan politik.

Kelulusan Langat 2 Muhyiddin Gagal Dapat Nasihat Yang Betul

SHAH ALAM, 14 OKT: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak mendapat nasihat yang betul sekiranya beliau menganggap pengambilan tanah Kerajaan Negeri oleh Kerajaan Pusat akan membolehkan projek loji Langat 2 diteruskan.

Sebaliknya dalam isu tersebut, isu pengambilan tanah oleh Kerajaan Pusat bukanlah isu utama, tetapi kelulusan untuk membina sebarang struktur di dalam Negeri Selangor adalah tertakluk di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri.

Demikian reaksi Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa Rasiah yang juga merupakan pengamal perundangan negara berhubung kenyataan terbaru Muhyiddin mengenai projek Langat 2.

“TPM mungkin tidak dinasihatkan dengan baik, isunya bukan pengambilan tanah, tetapi kelulusan merancang itu mesti datang dari kerajaan negeri di bawah Akta Perangcangan Bandar dan Desa di mana, mana-mana pihak tak boleh membangunkan apa-apa struktur binaan tanpa kelulusan Kerajaan Negeri,” kata beliau.

Beliau juga memberitahu ketika dihubungi TV Selangor hari ini, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di bawah kuasa Kerajaan Negeri akan meluluskan atau menolak sebarang permohonan merancang oleh mana-mana pihak.

Sivarasa juga menyarankan agar Muhyiddin diberikan nasihat perundangan yang betul dalam menangani isu Langat 2 ini.

Sebelum ini dalam laporan beberapa media tempatan hari ini menyebut Muhyiddin berkata Kerajaan Pusat akan mendapatkan nasihat Peguam Negara sekiranya terdapat peruntukan dalam Kanun Tanah Negara atau Akta Pengambilan Balik Tanah bagi membolehkan projek Langat 2 diteruskan.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Muhyiddin Dan Peter Chin Gagal Fahami Kepentingan Penstrukturan Semula Air Selangor

KUALA LUMPUR, 8 OKT : Proses penstrukturan semula industri air Selangor telah dimulakan pada tahun 2006, semasa pentadbiran Kerajaan Pusat Umno-BN sendiri, namun fakta ini gagal diterima pemimpin gagasan itu sekarang.

Perkara ini gagal difahami oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Teknologi Hijau, Tenaga dan Air, (Kettha) Datuk Peter Chin kata MP Bandar Tun Razak, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Berkata, usaha ini telah dilakukan apabila Parlimen, yang dulu dikuasai Umno-BN meluluskan undang-undang penyusunan semula industri air.

“Saya mendpati TPM (Muhyiddin) dan Menteri KETTHA (Peter Chin) tidak faham kerana usaha ini (penstrukturan semula industri air) berlaku pada tahun 2006 semasa Parlimen meluluskan undang-undang penyusunan semula air.

“Tujuannya adalah supaya perkara-perkara ini dapat dimiliki negeri kerana negeri bersifat membangunkan dan tidak mementingkan kepada keuntungan sebaliknya mengutamakan kecekapan pengurusan,” katanya yang juga Menteri Besar Selangor.

Bercakap pada sesi Perbahasan Bajet 2013 di Dewan Rakyat, Abdul Khalid menegaskan, penstrukturan semula industri air penting untuk pertumbuhan ekonomi Selangor.

“Dengan cara ini kita akan dapat menentukan harga-harga utiliti dibuat pada kadar yang terbaik dan rakyat akan dapat,” katanya.

Kemelut penstrukturan semula industri air telah berlarutan lebih tiga tahun apabila kerajaan pusat berlengah-lengah untuk membenarkan kerajaan Selangor mengambil alih operasi air terawat daripada Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas).

Categories
NASIONAL

MB : Muhyiddin Tidak Pandai Baca Angka


KUALA SELANGOR 08 OKT : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini membidas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yaasin yang sebelum ini mendakwa pentadbiran negeri di bawah Umno-BN adalah ‘terbaik’ berbanding Pakatan Rakyat.

Sebaliknya, Abdul Khalid berkata di bawah pimpinan Pakatan, ekonomi dan pembangunan negeri menjadi semakin baik serta maju berbanding Umno-BN.

Ini dibuktikan dengan simpanan rizab negeri yang meningkat setiap tahun, masalah rumah terbengkalai yang diselamatkan, hutang syarikat Talam yang dikutip dan hasil negeri yang dipulangkan kepada rakyat.

“Beliau (Muhyiddin) cakap PR memerintah Selangor tidak baik maknanya beliau tidak pandai baca angka.

“Kalau beliau terus menjadi Timbalan Perdana Menteri, nampaknya teruklah negara kita,” sindir Abdul Khalid dalam ucapan perasmian mesyuarat agung tahunan PKR Cabang Kuala Selangor, di Ijok di sini semalam.

Katanya, di bawah Umno-BN hanya RM 100 juta diagihkan kepada rakyat dan ia berbeza dengan pentadbiran Pakatan yang mengagihkan RM 700 juta.

“Pada 2005 hingga 2007, harta Selangor dulu hanya empat peratus, tetapi PR kerja keras untuk dapatkan kembali dengan menyelesaikan banyak masalah yang ditinggalkan Umno-BN, contohnya hutang Talam dan projek perumahan terbengkalai.

“Kalau beliau kata Selangor tidak baik atau bagus bawah PR, maka bawah Umno-BN lagi tidak baik,” katanya.

Jelasnya, Selangor merupakan negeri yang paling banyak sumbangannya kepada negara.

“Pada 2008, ekonomi Malaysia bertumbuh tujuh peratus manakala Selangor sebanyak sembilan peratus.

“Manakala pada 2009, ekonomi negara jatuh sehingga tiga peratus dan Selangor hanya jatuh kepada satu peratus. Kini, negara lima peratus, Selangor tujuh peratus. Kalau beliau masih kata tidak baik, saya tidak tahulah,” katanya.

Categories
NASIONAL

PKR Selangor Cabar Umno-BN Umumkan Calon MB

PETALING JAYA 21 SEPT : PKR hari ini mencabar Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan bakal Menteri Besar daripada Umno-BN sekiranya ia serius dalam menawan kembali Selangor.

Timbalan Pengerusi PKR negeri, Zuraida Kamaruddin berkata tanpa nama calon Menteri Besar dari Umno-BN, sudah pasti ?resipi? yang diwar-warkan oleh Muhyiddin untuk menawan Selangor akan menjadi ?resipi basi?.

“Apa yang pasti, Menteri ‘udang’, Datuk Seri Noh Omar terkeluar daripada senarai calon Menteri Besar bersama Datuk Seri Mohammad Zin kerana kedua-duanya tidak disenangi dikalangan rakyat.

“Sehingga hari ini, ternyata, tiada calon dari Umno-BN yang layak menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim,” katanya dalam sidang media di Pejabat Keadilan Selangor di Pusat Perdagangan Dana 1 di sini.

Minggu lepas, Muhyiddin berkata Pakatan gagal menyelesaikan tiga isu ? kutipan royalti pasir, perkhidmatan bekalan air, kutipan hutang syarikiat Talam ? dan ia akan dijadikan ?ramuan? untuk Umno-BN menawan kembali Selangor.

Kata Zuraida, sekiranya Umno-BN sudah mempunyai ramuan itu mengapa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak berani mengumukan tarikh pilihanraya umum ke 13.

Mengulas lanjut perkara itu, Zuraida berkata Umno-BN akan menggali kubur sendiri sekirannya ia menggunakan resipi tersebut.

“Hal ini kerana rakyat tidak akan sesekali lupa apa yang dilakukan oleh bekas Menteri Besar, Dr Mohamad Khir Toyo semasa pentadbiran Umno-BN sebelum ini,” katanya.

Jelasnya, ‘resepi kitar semula’ berkaitan isu air, hutang talam dan pasir itu berpunca daripada kegagalan Khir Toyo yang ditinggalkan Umno-BN kepada Pakatan.

Sebaliknya, Pakatan berjaya menyelesaikan ketiga-tiga isu itu dan ia merupakan kejayaan PR.

Malah, katanya, strategi Pakatan yang mengangkat martabat rakyat dengan meletakkan Selangor sebagai negeri berkebajikan adalah resepi terbaik bagi ‘menghidangkan’ kekalahan kepada Umno-BN.

“Kami mengingatkan Muhyiddin supaya hentikan sandiwara politik yang busuk ini, beliau kini sudah tidak diterima rakyat,” katanya.

Categories
SELANGOR

Rundingan Untuk Ambilalih Operasi Air Dalam Tempoh Tujuh Hari

SHAH ALAM, 19 SEPT : Kerajaan Negeri akan memulakan proses penstrukturan semula industri air Selangor dan mengambilalih operasi air terawat dalam tempoh tujuh hari.

Proses ini termasuk memulakan rundingan dengan syarikat konsensi seperti Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) untuk membeli balik saham di dalam syarikat tersebut.

Justeru itu, Kerajaan Pusat diberikan tempoh tujuh hari untuk mengemukan bantahan terhadap proses itu.

Sekiranya Kerajaan Pusat tidak membuat apa-apa bantahan, Kerajaan Negeri akan memulakan proses penstrukturan semula, kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Menurutnya, perkara tersebut telah dimaklumkan kepada kerajaan pusat menerusi surat rasmi kepada Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air dan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 14 Sept.

“Dalam surat ini, saya telah nyatakan kekecewaan kerajaan Selangor dengan sikap kerajaan Pusat yang tidak pernah menyokong dan membantu memulakan rundingan dengan syarikat-syarikat konsesi

Walaupun peruntukan itu jelas dinyatakan di bawah Akta Perkhidmatan Bekalan Air 2006 (WSIA).

“Saya juga menyatakan keengganan Menteri dan kementeriannya untuk memulakan rundingan menunjukkan Kerajaan Pusat memang sengaja mahu mengingkari tanggungjawab untuk memenuhi kepentingan awam dan obligasi sebagaimana dinyatakan di bawah Seksyen 191 (4) WSIA,” kata Abdul Khalid.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusi mesyuarat exco di sini hari ini.

Tambahnya, Kerajaan Negeri juga komited bahawa penstrukturan semula industri air secara menyeluruh boleh meningkatkan kecekapan perkhidmatan air pada tarif yang munasabah.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Senjata Umno-BN Sebenarnya Kekuatan Pakatan

SHAH ALAM 16 Sept : Hutang Talam, bekalan air dan kutipan galian pasir merupakan isu yang akan memudaratkan Umno-BN sendiri bagaikan senjata yang akan melutup di muka tuannya.

Ini respon pemimpin Pakatan Rakyat terhadap rancangan Umno-BN untuk menggunakan isu-isu tersebut sebagai ?resipi? perang saraf dalam kempen gabungan itu untuk menawan-kembali Selangor di dalam pilihanraya akan datang.

Isu-isu tersebut merupakan antara kejayaan kerajaan Pakatan dalam empat tahun mentadbir Selangor.

Ketiga-tiga isu tersebut juga merupakan bukti salah urus tadbir kerajaan Umno-BN Selangor yang dulu, di mana hasil dan kekayaan negeri diberikan kepada kroni manakala risiko dan kerugian di tanggung rakyat.

Contohnya kata MP Kuala Selangor Dr Dzulkefly Ahmad, di dalam isu hutang Talam, kerajaan Umno-BN dulu telah memberikan sebanyak 7,000 ekar tanah kepada syarikat itu yang merupakan kroni MCA.

Sebelum Pakatan menakluk Selangor, Kerajaan Umno-BN yang sama juga telah berniat untuk (melupuskan) dan tidak mengutip hutang Talam yang bernilai RM 392 juta kepada tiga anak syarikat kerajaan Selangor, kata Dr Dzulkefly.

Dalam masa empat tahun, Kerajaan Selangor telah berjaya mengutip balik hutang tersebut yang gagal diselesaikan kerajaan Umno-BN sejak 2005.

?Kita akan londehkan salah urus tadbir oleh Umno-BN dalam isu Talam. Mereka sebenarnya takut dengan kami dalam isu ini.

?Apabila mereka ajak berdebat, kami pergi,? kata Dr Dzulkefly, merujuk kepada debat isu Talam di Bandar Tun Razak pada 12 Sept di mana Dr Dzulkefly dan tiga pemimpin Pakatan yang lain dihalang untuk berdebat dengan pemimpin MCA Datuk Chua Tee Yong.

?Mereka boleh ambil peluang itu untuk memalukan kami di depan penyokong kami dan penyokong mereka. Tetapi mereka takut dan tidak benarkan kami berdebat,? kata Dr Dzulkefly.

Semalam, Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata Pakatan gagal menyelesaikan ketiga-tiga isu ini dan kegagalan itu telah menjadi ?ramuan? untuk Umno-BN menawan kembali Selangor.

Adun Sri Muda Shuhaimi Shafiei pula mencabar Muhyiddin untuk membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegah Rasuah (SPRM) sekiranya terdapat bukti salahlaku Pakatan dalam pengurusan galian pasir.

Ujar Shuhaimi, SPRM sendiri telah menjalankan siasatan dan mendapati tiada bukti penyelewengan dari pihak Kerajaan Selangor atau syarikat Kumpulan Semesta Sdn Bhd yang menguruskan kutipan royalti hasil pasir.

Semasa pentadbiran Pakatan royalti kerajaan negeri dari pasir meningkat kepada RM32.5 juta untuk tempoh tiga tahun dari 2009 hingga 2011, berbanding hanya RM12.51 juta dari tahun 2005 ? 2007 dibawah Umno-BN.

?Sebaliknya saya cabar Muhyiddin untuk menjawab dakwaan berlaku curi pasir besar-besaran di Johor untuk di ekspot ke Singapura.

?Ini terang-terang berlaku di Johor, tempat kelahiran Muhyiddin,? Shuhaimi berkata. Muhyiddin, yang juga MP Pagoh, adalah seorang bekas Menteri Besar Johor.?

Exco Selangor Dr Xavier Jayakumar pula berkata pengurusan bekalan air Selangor sebenarnya merupakan lagi satu kejayaan bagi Pakatan Selangor di mana ia mampu memberi air percuma 20 metre padu selama empat tahun.

?Bila kita mulakan skim tersebut, Umno-BN kata Selangor akan bankrap dalam setahun.

?Sekarang empat tahun dan bukan sahaja kita boleh teruskan skim tersebut, kita sudah naikkan rizab simpanan negeri sebanyak RM 2 bilion,? kata beliau yang memegang portfolio Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin.

?Kita terus memberi air percuma dan ini tidak akan dihentikan dan saya percaya rakyat Selangor menyedari hakikat ini?.