Categories
SELANGOR

Noh Omar dicabar anjur debat kalimah Allah dalam masa 10 hari

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 31 JAN: Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar diberi masa selama sepuluh hari untuk mengatur semula sesi debat berhubung isu kalimah Allah yang sepatutnya berlangsung di Kompleks Karangkraf, di sini, pada 27 Januari lalu.

Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad, berkata cabaran itu dikemukakan berikutan kesungguhan Noh yang kononnya bersedia untuk ‘menyekolahkan’ beliau berhubung isu berkenaan.

Khalid-Samad editBeliau turut mencadangkan supaya sesi debat itu disiarkan secara langsung di kaca televisyen supaya rakyat boleh menilai hujah yang akan dikemukakan.

“Kita buat satu debat antara saya dengan dia serta moderator. Ia perlu dibuat secara langsung supaya rakyat dapat tengok siapa yang hebat atau siapa pandai bercakap.

“Kalau nak tunjuk kehebatan, datang seorang tidak perlu bawa rakan atau penyokong. Saya bersedia untuk disekolahkan oleh Noh Omar tetapi harap dia akan sekolahkan saya secara pasca ijazah bukan tahap darjah enam,” katanya dalam sidang media di pejabatnya, di sini, semalam.

Khalid berkata, jika Noh gagal memberi sebarang respon dalam tempoh ditetapkan, beliau bersedia menjadi tuan rumah untuk menganjurkan debat berkenaan pada waktu dan tarikh yang sesuai.

Terdahulu, Akhbar Sinar Harian bertindak membatalkan debat isu kalimah Allah antara dua tokoh politik terkemuka itu selepas menerima tekanan daripada pelbagai pihak.

Tindakan itu menimbulkan rasa tidak puas hati Noh sehingga mendorongnya mengadakan bantahan di hadapan Kompleks Karangkraf bagi menuntut penjelasan daripada pihak editorial.

NOH OMAR PIX NOMengulas perkara itu, Khalid menyifatkan Noh sengaja menimbulkan gimik politik dan menganggap ia sebagai satu lagi drama kangkung daripada Umno.

Katanya, pembatalan sesi debat itu sudah dimaklumkan lebih awal oleh pihak penganjur melalui sistem pesanan ringkas atas faktor keselamatan.

“Kami sudah menerima SMS pada malam itu bahawa debat dibatalkan tetapi Noh sengaja ingin buat drama dengan penyokongya konon dia datang tetapi saya tidak datang.

“Kalau dia betul-betul ingin debat itu diteruskan, kenapa datang petang? Patutnya pagi lagi beliau sudah datang dan menuntut supaya ia diteruskan,” katanya.

-NFN-

JURNAL BERITA – MB: Elak spekulasi rugikan rakyat

1. MB: Elak buat spekulasi rugikan rakyat

2. SUK bakal tentukan kedudukan Azmin, Norita dalam PKNS

3. MB: JAIS akan maklum Kerajaan Negeri tindakan pemeriksaan premis bukan Islam

4- MB: Siasatan JAIS terhadap BSM diharap siap seminggu lagi

5- MB arah peguam jumpa Sin Chew Daily minta penjelasan dakwaan ‘letak jawatan’

6. MB: Rakyat dan pemimpin perlu kerjasama maju negeri

7. Program Zon Bersih PBT misi capai status negeri paling bersih

8. MB: RM100 juta sudah diperuntuk baiki jalan pada 2013

9. Exco: Selangor sumbang lebih 25 peratus pendapatan negara

10.Kajian MIER: Selangor capai status pendapatan perkapita ‘Negara Maju’ menjelang 2016

11.Gedung Penawar kendali 4 Pusat Dialisis Rakyat, bantu rakyat kurang berkemampuan

12.Debat isu kalimah Allah antara Noh Omar dan Khalid Samad batal

13.400 dirai Jom Shopping DUN Sementa

14.Berbasikal santai sekitar Shah Alam pupuk budaya sihat

15.AKTIVITI YB: Tubuh pusat khidmat setempat bantu ibu tunggal

Categories
SELANGOR

Rafizi nafi dakwaan Noh Omar cabang PKR Pandan bubar

Oleh : NORHAYATI UMOR

KUALA LUMPUR 19 NOV : Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli menafikan pembubaran cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pandan seperti yang didakwa Pengerusi Umno Negeri Selangor, Datuk Seri Noh Omar baru-baru ini.

Katanya, ‘pemimpin kanan’ yang didakwa keluar parti dan menyertai Umno itu hanya seorang sukarelawan sahaja, bahkan dakwaan 69 ahli PKR keluar parti juga adalah tidak benar.

Rafizi“Hanya ada seorang sahaja yang keluar parti dan jika mengikut senarai hanya kira-kira 50 sahaja yang didaftarkan dalam cabang itu.

“69 orang yang dikatakan mereka itu hanya borang, bukan orang. Malahan, dalam media arus perdana juga ada melaporkan 70 orang, 80 orang,” katanya ketika memberi penerangan kepada penduduk Pandan, di sini, semalam.

Rafizi berkata, beliau tidak mempunyai masalah jika ahli PKR kawasannya mahu keluar parti kerana sudah menjadi tabiat Umno membeli orang.

“Umno banyak duit, jadi boleh beli sesiapa dia mahu. Macam saya cakap dekat Noh Omar, kalau nak beli orang atau nak tutup bilik gerakan, biar sebelum pilihan raya bukan selepas.

“Tetapi Noh lakukan selepas pilihan raya, saya sudah menang majoriti 26,000. Itu sebab Noh ini tidak jadi Menteri Besar,” katanya.

Beliau turut meminta penduduk Pandan memahami tugasnya yang sentiasa sibuk dengan urusan untuk membela rakyat dan tidak terhad bagi kawasan itu sahaja.

“Saya bukan milik penduduk Pandan sahaja dan ada tugas lain untuk menentang dasar kerajaan yang menindas rakyat. Jadi, saya minta penduduk memahami keadaan saya yang tidak dapat turun kawasan dalam kadar selalu,” katanya.

noh omar pic 1Baru-baru ini, Sinar Harian melaporkan Noh Omar menyifatkan pembubaran cabang PKR Pandan serta penutupan Bilik Gerakan Utama PKR yang sudah beroperasi sejak 1999 sebagai satu kekuatan kepada Umno dan Barisan Nasional (BN) Pandan.

Noh berkata, selain itu penghijrahan 80 ahli PKR termasuk Abdul Aziz Jusoh yang dikatakan ‘orang kuat’ Rafizi itu juga adalah detik permulaan buat Umno Pandan untuk kembali mengukuhkan kedudukan politik di Selangor, khususnya di Parlimen berkenaan.

-NFN-

Categories
NASIONAL SELANGOR

Letak Calon Perkasa : Najib Longkangkan Slogan 1Malaysia

faekah
SHAH ALAM, 16 APRIL : Tindakan Umno-BN mencalonkan Naib Presiden Perkasa, Datuk Zulkefli Nordin di Shah Alam ibarat melongkangkan slogan 1Malaysia yang dilaungkan Datuk Seri Najib Razak.

Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor, Faekah Husin menyifatkan tindakan itu sebagai mengejutkan tetapi ia membuktikan slogan 1Malaysia itu hanyalah slogan semata-mata.

“Semua hilang masuk dalam longkang dia(Najib) punya slogan 1Malaysia sebab mana-mana calon dalam Perkasa yang jadi calon maknanya slogan 1Malaysia hilang, tidak ada, itu memang slogan semata-mata,” katanya kepada TVSelangor.

Aspek utama 1Malaysia adalah sikap saling hormat menghormati dan bersikap menerima di antara satu sama lain dan masyarakat majmuk di negara ini perlu disatukan melalui 1Malaysia.

Ini berbeza dengan ideologi Perkasa yang hanya menumpukan kepada kaum Melayu sahaja.

Sebelum ini, Zulkefli mencetuskan kontroversi apabila pernah mengeluarkan kenyataan yang menghina agama Hindu dan Tuhan sembahan mereka baru-baru ini.

Dalam rakaman video yang dimuat naik ke dalam laman YouTube itu, beliau menceritakan perbualan dengan seorang peniaga kedai berhala Hindu di Kuala Lumpur, yang kedainya dilanda banjir dan berkata Tuhan bagi agama Hindu sendiri tidak mampu menyelamatkan bencana itu.

Dalam pada itu, Faekah menyifatkan keputusan Datuk Seri Noh Omar dicalonkan bagi mempertahankan kerusi Parlimen Tanjong Karang juga menghairankan.

“Saya ingatkan bahawa semua calon-calon Umno-BN dikatakan telah melalui proses Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM).

“Saya hairan mengapa Noh Omar ada dalam senarai calon,” katanya.

Noh Omar didakwa mempunyai kaitan dengan beberapa kes penyalahgunaan kuasa seperti subsidi benih anak padi, kes lembu National Feedlot Corporation(NFC) dan juga kolam ternakan udang di Tanjong Karang.

Categories
NASIONAL

Umno-BN Selangor Seperti ‘Menepuk Air Di Dulang, Terpercik Muka Sendiri’

charles santiago

SHAH ALAM, 11 APRIL : Kelakuan Umno-BN menggunakan isu air untuk merampas kembali Selangor ibarat seperti ‘menepuk air di dulang, terpercik muka sendiri’, kata Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago.

Menurutnya, isu air sebenarnya kekuatan Pakatan Rakyat (PR) dan tarikan untuk rakyat kekal mengundi PR.

“Orang ramai bukan bodoh untuk faham. Kalau mereka (Umno-BN) gunakan isu itu, ia akan menjadi kekuatan pada PR lebih daripada kekuatan kepada Umno-BN,” katanya ketika dihubungi.

Tiga perkara pokok yang menunjukkan kekuatan PR ialah pemberian air percuma, menyelesaikan kes gangguan air di Ampang dan pemberian saham air kepada rakyat.

“Saya fikir ini satu strategi mereka yang lemah dan tidak akan berjaya kerana sekarang Kerajaan Negeri Selangor memberikan air percuma kepada rakyat, itu membuatkan rakyat senang hati,” katanya.

Perkara kedua, jelas menunjukkan kelemahan Syarikat Bekalan Air Selangor Syabas. Bukan masalah air tidak cukup tetapi kegagalan Syabas memproses air untuk kegunaan rakyat.

Jelasnya, Syabas bekerja kuat dengan Umno-BN untuk memberikan pandangan negatif orang ramai terhadap Kerajaan Negeri.

“Dan yang lebih besar ketika ini, saham air untuk rakyat. Kerajaan Negeri tawar untuk memberi saham itu kepada rakyat, jadi keuntungannya akan dikongsi bersama rakyat,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, isu air yang dikatakan akan menjadi isu panas seperti yang didakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Timbalan Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Noh Omar sebenarnya tidak melemahkan PR.

Sebelum ini, Pensyarah Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Dr Azmi Hassan meramalkan BN Selangor akan menggunakan isu air sebagai ?senjata? utama dalam manifesto khusus untuk negeri itu yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

Categories
NASIONAL

Noh Bimbang Wan Azizah Bertanding di Selangor

faekah husin 6

SHAH ALAM, 2 APRIL : Tindakan Umno-BN mempertikaikan kesediaan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail bertanding di DUN Selangor jelas menunjukkan kebimbangan parti itu untuk menawan semula negeri Selangor dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) akan datang.

Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Faekah Husin dalam satu kenyataan media ketika mengulas mengenai kenyataan Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar berhubung tawaran Wan Azizah untuk bertanding di Selangor.

Faekah berkata, Noh sepatutnya lebih bimbang terhadap kedudukan dirinya sama ada akan tersenarai sebagai calon ataupun tidak daripada memberi tumpuan terhadap calon-calon Pakatan Rakyat (PR).

“Sekejap beliau berkata Wan Azizah ditolak negeri sendiri, selepas itu berkata PKR Selangor terpaksa menggunakan kekuatan Wan Azizah untuk menghadapi PRU-13. Secara tidak langsung Noh mengakui nama Wan Azizah digeruni Umno-BN Selangor.

“Noh sepatutnya bimbang kedudukan dirinya kerana beliau tidak dilantik sebagai Timbalan Pengarah Pilihan Raya Umno-BN sebaliknya Datuk Seri Md Zin Mohamed yang dipilih.

“Ramai yang mengatakan Noh akan tersingkir kerana banyak onar yang dilakukan hingga keluhan para petani miskin sukar untuk disembunyikan lagi. Bagi menutup semua kelemahan diri, Noh menumpukan serangan kepada Wan Azizah, satu perbuatan bacul yang dilakukan seorang Menteri,” katanya.

Beliau turut menyifatkan kenyataan Noh bahawa Wan Azizah lari kerana tidak mendapat kepercayaan di negeri sendiri adalah sebagai kenyataan panik dan tanpa usul periksa.

Tambahnya, keputusan Datuk Seri Najib Razak untuk menjadi Pengerusi Umno-BN Selangor dan melantik dirinya sebagai Pengarah Pilihan Raya Selangor juga jelas membuktikan krisis kepimpinan Umno-BN.

Tegasnya, kehadiran Wan Azizah di dalam arena politik Selangor menambah celaru kepimpinan Umno-BN krisis yang semakin ketara di dalam parti itu.

“Umno-BN melalak walaupun Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Wan Azizah belum menyatakan dengan jelas untuk bertanding di Selangor.

“Melihat telatah mereka yang terus melatah ini, memberi keyakinan mendalam bahawa mereka tidak yakin untuk menang di Selangor walaupun Najib mengetuai jentera Pilihan Raya BN Selangor.

“Telatah mereka juga menguatkan kepercayaan kita bahawa Wan Azizah bakal memberi saingan hebat di Selangor,” katanya lagi.

Categories
NASIONAL SELANGOR

‘Dakwa Geran Tanah Kg Tiram Jaya Diselesai BN, Noh Omar Tipu Orang Kampung’

Geran Tanah Kg Tiram Jaya

SHAH ALAM 2 APRIL : Kenyataan Noh Omar bahawa Umno-BN  yang membantu mendapatkan geran tanah penduduk Kampung Tiram Jaya di Permatang dan menafikan ia usaha Kerajaan Negeri tidak ubah seperti mengangguk di air keruh.

Kenyataan itu juga dilihat sebagai usaha Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu untuk mengelirukan dan memperbodohkan orang-orang kampung, ujar Penyelaras DUN Permatang, Yahya Sahri.

“Sepatutnya beliau bercakaplah sebagai seorang menteri, dan bukannya mengeluarkan kenyataan seperti budak sekolah rendah, bercakap juga biarlah dengan hujah dan fakta serta bukti jelas, bukan sekadar cakap-cakap kosong.

“Kenyataan yang dikeluarkan itu sangat kebudak-budakan, sangat tidak bijak, bodoh dan sombong, tidak setaraf dengan status dirinya sebagai seorang menteri dan Ahli Parlimen yang berpengalaman lima penggal,” tegas Yahya yang dihubungi Selangor Kini.yahya-shari-01

Sebaliknya, Yahya menjelaskan kebijaksanaan, ketelusan dan kecekapan Kerajaan Pakatan hari ini berjaya menyelesaikan pelbagai isu pemilikan tanah di Selangor yang berpuluh tahun tidak berjaya disempurnakan Kerajaan BN.

“Ini kerana, kerajaan dulu pentadbirannya bobrok dan berkepentingan, malah terdapat usaha jahat untuk memiliki tanah yang sepatutnya milik rakyat,” ulasnya lagi.

Pada 12 Mac lalu, seramai 139 penduduk Kampung Seri Tiram Jaya menerima geran tanah daripada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Dalam pada itu, Yahya mencabar Noh menyelesaikan isu tanah di Kampung Lembah Pantai, Sungai Kajang yang sudah berlarutan lebih 40 tahun.

“Itu dalam kawasan beliau, dalam dua minggu ini, jika benar beliau jaguh rakyat yang hebat seperti di uar-uarkan, selesaikanlah masalah ini,” cabarnya.

Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang dalam satu ‘posting’ di laman sosial ‘Facebook’ menyatakan Kerajaan Negeri hanya mengeluarkan geran kepada penduduk, tetapi usaha dan pembayaran premium dilakukan sewaktu zaman BN lagi.

Categories
SELANGOR

Kerajaan Selangor Bincang Dengan Pemaju Hadapi Masalah Air Dua Minggu Lagi

MB PC Mic Tie Blue 01

SHAH ALAM 28 MAC : Kerajaan Selangor akan memanggil pemaju yang masih berhadapan dengan masalah kelulusan projek disebabkan status bekalan air dalam tempoh dua minggu lagi.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, jawatankuasa telah ditubuhkan bagi menyelesaikan masalah pemaju yang tidak mendapat kelulusan kerana bekalan air.

“Perkara itu sudah diselesaikan, sebelum ini ada usaha daripada Syabas untuk memberitahu kepada pemaju-pemaju yang mendakwa air tidak cukup.

“Jadi, saya telah menubuhkan satu jawatankuasa di bawah jagaan Setiauasaha Kerajaan Negeri untuk memantau keadaan ini, sehingga sekarang semua sudah dapat diselesaikan,” kata Abdul Khalid.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Menyampaikan Sumbangan Kerajaan Negeri Selangor kepada waris-waris wira Negara yang terkorban dalam Operasi Lahad Datu Sabah yang diadakan di Bangunan Annex di sini.

Di dalam laporan akhbar Utusan Malaysia hari ini Timbalan Pengerusi Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar mendakwa banyak projek berskala besar yang tidak mendapat kelulusan kerana kononnya terdapat masalah bekalan air terawat.

Noh juga mendakwa lebih 80,000 unit perumahan baru yang memerlukan 147.87 juta liter sehari (jls) tidak dapat dimulakan kerana rizab air di Selangor kurang daripada 20 peratus.

Sementara itu, Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar berkata, beliau mencabar Noh untuk mengemukakan senarai projek tertangguh tersebut.

“Baru-baru ini Kerajaan Negeri sudah menyiapkan projek Sungai Selangor Fasa 1 di mana sudah tingkatkan kadar pengeluaran air sebanyak 190 juta liter padu dan tambahan ini banyak untuk keseluruhan kawasan.

“Kelemahan berlaku apabila Kerajaan Barisan Nasional hanya memberikan monopoli kepada satu syarikat Syabas adalah tidak wajar kerana negeri Selangor adalah sebuah negeri yang membangun pesat,” katanya.

Jelas Xavier lagi, masalah projek tertangguh berlaku apabila ia melibatkan soal prosedur dan peraturan antara pihak Syabas dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Kita sudah memberikan arahan kepada pihak berkuasa tempatan untuk bagi kelulusan …

“Jatawankuasa khas … akan bekerjasama dengan Syabas, UPEN (unit perancang ekonomi negeri) dengan pihak berkuasa tempatan untuk duduk bersama dengan pihak pemaju,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Janji 40 Tahun Umno-BN Beri Geran Tanah Ditunai Kerajaan PR Selangor

Pemberian Hak Milik Tanah oleh MB 07

TANJONG KARANG 12 MAC : 40 tahun lalu Mohd Daroji Jayos masih bujang, dan hari ini merupakan saat yang paling indah bagi dirinya, isteri Umi Kalsum,51, dan tiga orang cucu apabila tanah yang diduduki sah menjadi hak miliknya.

Pemberian Hak Milik Tanah oleh MB 05Dalam usia 60 tahun Daroji berjanji akan menggunakan tanah tersebut sebaik mungkin demi kepentingan masa anak cucunya.

Manakala bagi isterinya tiada apa yang paling disyukuri kerana penantiannya sekian lama sejak berumah tangga akhirnya impian itu dilaksanakan di bawah pentadbiran Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor.

“Teramat syukur dengan pemberian geran ini dan hari ini akan menjadi tarikh kenangan selepas kami mendapat tiga orang cucu barulah kini mendapat geran di mana tanah itu diteroka sejak suaminya masih bujang lagi,” katanya.

Sebelum ini pemimpin Umno-BN sering menabur janji manis berhubung pemberian geran milik tanah di Kampung Seri Tiram Jaya di sini.

Pemberian Hak Milik Tanah oleh MB 06Seorang lagi penduduk, Mohamad Amir Katijan,58, memuji kecekapan pentadbiran Kerajaan Negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang berjaya menyelesaikan masalah itu dalam masa yang singkat.

Walaupun Kerajaan PR hanya berusia lima tahun mentadbir Negeri Selangor namun kecekapannya dalam menyelesaikan masalah tanah yang berlarutan itu membuktikan keprihatinannnya terhadap kepentingan hak rakyat.

Katanya, beliau sudah menunggu untuk mendapatkan geran tanah itu sejak sekian lama apabila meneroka kawasan itu pada 1970-an yang mana kawasan itu diwakili Ahli Parlimen BN, Datuk Seri Noh Omar yang hanya ‘pandai membuat janji’ tetapi tidak ditepati.

Pemberian Hak Milik Tanah oleh MB 04“Alhamdulillah hampir 40 tahun menunggu sehinggakan anak saya kini sudah menjangkau umur lebih 20 tahun,” katanya.

Beliau ditemui TVSelangor selepas Majlis Penyerahan Hakmilik Tanah Kampung Seri Tiram Jaya, Tanjong Karang yang disampaikan oleh Abdul Khalid yang diadakan di Dewan Seri Tiram Jaya di sini.

Katanya, beliau banyak berhadapan cabaran ketika meneroka kawasan itu dengan penanaman pertanian rosak ekoran serangan binatang dan keadaan jalan yang teruk.

“Bersyukur kepada Allah yang telah mengurniakan hasil ini. Kini kami lega kerana sudah ada geran jadi anak-anak boleh tinggal di sini di kawasan tanah dua ekar lebih ini,” katanya.

Pemberian Hak Milik Tanah oleh MB 03Sementara itu, Isnan Selamat,57, berkata, beliau bersyukur dengan pemberian geran itu kerana penat lelah meneroka kawasan itu dengan pelbagai cabaran dan rintangan akhirnya menjadi kenyataan.

“Dengan pemerintahan Pakatan Rakyat ini akhirnya geran dapat diberikan dan saya mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri yang mempercepatkan proses bagi pemberian geran tanah ini,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Noh Omar Patut Tumpu Kerja Tingkatkan Pendapatan Petani

MB pc tie belang 01

KLANG 4 FEB : Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar sewajarnya menumpukan usaha mempertingkatkan mutu pendapatan para petani di seluruh negara.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, seorang Menteri Pertanian yang terbaik adalah individu yang berjaya mempertingkatkan pendapatan per-kapita para petani ke tahap yang tinggi.

Abdul Khalid berkata demikian dalam responnya berhubung dakwaan Noh yang mengatakan Selangor negeri paling tinggi menerima aduan melalui Biro Pengaduan Awam (BPA) Jabatan Perdana Menteri bagi tempoh Oktober dan Disember tahun lepas.

“Dia (Noh Omar) mesti ambil kira di mana Kementerianya yang mempunyai ramai rakyat Malaysia yang miskin.

“Berapakah ramai para petani yang melepasi kadar pendapatan RM3,000 sebulan?

“Berapakah Nelayan yang mempunyai pendapatan RM2,000 sebulan?

“Jika beliau sendiri (Noh ) mempunyai kementerian yang terdapat masyarakat miskin teramai, maka saya rasa beliau sepatutnya berhenti kerja,” kata Abdul Khalid.

Beliau berkata demikian semasa lawatan beliau ke pusat dialisis Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) di Taman Sri Andalas di sini.

Ujar beliau, Pakatan Rakyat mempunyai perancangan bagi mengurangkan jurang pendapatan antara yang kaya dan miskin khususnya dalam membela para petani.

“Kajian kita menunjukkan keupayaan Kementerian Pertanian dengan strateginya adalah sangat lembab (untuk mempertingkatkan pendapatan petani),” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Khalid Sedia Debat Dengan Calon MB Umno-BN

air-syabas_MB1
KUALA SELANGOR, 11 FEB: Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bersedia untuk berdebat mengenai isu air Selangor dengan mana-mana calon Menteri Besar Selangor daripada Umno-BN.

Menurut Abdul Khalid, dengan mengadakan debat, masyarakat Selangor akan mendapat manfaat dengan membuat penilaian dan perbandingan di antara cara pengurusan perkhidmatan air Selangor oleh Pakatan Rakyat Selangor and Umno-BN.

“Baguslah kalau (Datuk Seri) Noh Omar mahu berdebat, kalau dia bakal Menteri Besar, kita boleh berdebat,” ujar beliau dalam sidang media di Kampung Bukit Badong di Bestari Jaya pagi tadi.

Pengurusan perkhidmatan air di Selangor adalah antara isu utama yang akan menentukan gagasan mana akan berjaya memerintah negeri pada pilihanraya akan datang.

Dalam lima tahun pentadbiran, 92 peratus pengguna domestik di Selangor telah mendapat faedah daripada skim air percuma 20 metre padu.

Di samping itu, kenaikan tarif tarif air sebanyak 52 peratus yang diminta oleh Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dalam tempoh itu, telah berjaya disekat oleh pentadbiran Abdul Khalid.

MP Tanjong Karang, Datuk Seri Noh Omar dilaporkan mencabar Abdul Khalid untuk berdebat dengan beliau dalam isu air Selangor.

Perebutan jawatan Menteri Besar di kalangan pemimpin Umno-BN Selangor terus hangat apabila beberapa nama disebut bakal menyandang kerusi itu sekiranya Umno-BN berjaya merampas semula pentadbiran Selangor dari Pakatan Rakyat.

Selain Noh yang kini Timbalan Ketua Umno Selangor, nama lain yang turut disebut adalah Koordinator BN Selangor, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed, Adun Permatang, Sulaiman Abdul Razak dan Ketua Pembangkang Dewan Negeri Selangor, Datuk Mohamad Satim Diman.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Harga Rumah Naik Bukan Sebab Pasir

MB tahun baru cina aeon cheras 012

CHERAS 9 FEB : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menolak dakwaan yang dilemparkan Timbalan Ketua Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar bahawa kenaikan harga pasir menyebabkan harga rumah meningkat.

“Sumbangan pasir kepada harga rumah kurang daripada tiga peratus.

“Jadi harga pasir mesti meningkat tiga ribu peratus baru ada kenaikan harga rumah, jadi dakwaan itu tidak benar,” kata Abdul Khalid.

MB tahun baru cina aeon cheras 011Dilaporkan sebelum ini bahawa Noh mendakwa harga rumah di Selangor meningkat kerana kenaikkan harga pasir di Selangor kepada RM 800 untuk satu lori 30 tan.

Abdul Khalid berkata demikian dalam sidang media selepas melancarkan Kempen Keselamatan Jalan Raya sempena Sambutan Tahun Baru Cina yang diadakan di di Pasaraya AEON Cheras Selatan di sini.

Dalam majlis itu, Abdul Khalid berharap kempen itu dapat mengurangkan kadar kemalangan yang berlaku.

“Rancang perjalanan dengan baik dan sentiasa menggunakan tali pinggang keledar dan sentiasa patuh had laju yang ditetapkan dan tidak menggunakan lorong kecemasan,” ujarnya.

Kempen itu adalah anjuran Majlis Keselamatan Jalan Raya (MJKR) Selangor dengan kerjasama Jabatan Keselamatan Jalan Raya sempena Perayaan Tahun Baru Cina.

Kempen ini turut dihadiri Exco Selangor, Ronnie Liu, Rodziah Ismail dan Dr Xavier Jayakumar.

MB tahun baru cina aeon cheras 013Turut hadir Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Selangor, Datuk Tarmedi Omar yang merangkap Timbalan Pengerusi MJKR Selangor serta Ketua Pengarah MJKR Malaysia, Datuk Dr Tam Weng Wah.

Objektif kempen ini adalah untuk menyeru pengguna jalan raya agar sentiasa berhati-hati dan mematuhi peraturan had laju semasa membawa kenderaan pulang ke kampung.

Antara strategi utama kempen tahun ini ialah usaha untuk menggalakkan para penumpang motorsikal dan pemandu kenderaan persendirian supaya menggunkan pengangkutan awam apabila balik kampung.