Categories
NASIONAL SELANGOR

Tiada jualan “siapa cepat dia dapat” untuk unit rumah Bukit Botak

BUkit botak

SHAH ALAM, 12 OKTOBER : Unit rumah berkembar 1 tingkat di Bukit Botak, Selayang, tidak akan dijual secara terus kepada mereka yang hadir di majlis jualan unit-unit berkenaan yang diadakan di Bukit Botak hari ini.

Pengurus Perhubungan Awam Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Ishak Hashim dalam satu notis memberitahu bahawa Kerajaan Negeri Selangor mengarahkan penjualan “siapa cepat dia dapat” itu dibatalkan serta-merta.

Sebaliknya PKNS diarah menggunakan saluran Jawatankuasa Khas Pemilihan, yang dianggotai oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) dan PKNS, dengan kerjasama Pejabat Tanah Daerah Gombak.

Jawatankuasa ini akan menyenarai pendek pemohon dan membuat tawaran jualan kepada pemohon yang layak melalui proses temuduga dan kriteria pemilihan tertentu.

“Kerajaan Negeri telah mengeluarkan arahan di mana PKNS selaku pemaju diminta mendapatkan maklumat pemohon terlebih dahulu,” menurut pemberitahuan itu.

Disamping itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menjadi saksi manakala Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) sebagai pemerhati,” tamba beliau.

Sehubungan itu, orang ramai yang telah hadir di majlis jualan hari ini diminta mengisi borang permohonan dan mengembalikan semula kepada PKNS untuk diproses mengikut kaedah yang ditetapkan itu.

Categories
SELANGOR

Pesalah tidak boleh didakwa selagi tiada tindakan daripada SPRM

sprm husin aliSHAH ALAM, 9 OKT : Senator Selangor, Dr Syed Husin Ali bersetuju sekiranya mana-mana kakitangan awam yang didapati melakukan penyelewengan ke atas peruntukan jabatan didakwa di mahkamah.

Namun, beliau tetap mempertikaikan sama ada tindakan itu boleh dilaksanakan memandangkan pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilihat lebih selesa berdiam diri setiap kali salah laku dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara.

“Tiap-tiap tahun ada laporan tentang penyelewengan yang berlaku, tetapi biasalah tiada follow up atau tindakan yang akan diambil.

“Disebabkan tiada tindakan tegas daripada pihak berkuasa, bagaimana hendak dakwa pesalah ini ke mahkamah? Saya tidak pernah dengar lagi penyelewengan yang dilaporkan audit dibawa ke mahkamah,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini.

Para senator yang bersidang di Dewan Negara bagi membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan 2013 menggesa tindakan tegas diambil ke atas mereka yang didapati terlibat dalam penyalahgunaan peruntukan.

Selain daripada tindakan pecat, kakitangan atau pegawai kerajaan yang melakukan penyelewengan juga perlu didakwa di mahkamah supaya hal sama tidak berulang lagi.

Syed Husin menyifatkan pembentangan Laporan Ketua Audit seperti ritual yang dilakukan setiap tahun. Tanpa tindakan tegas keatas pelaku dan pemantauan ketat yang berterusan menyebabkan kegiatan itu terus berleluasa tanpa timbul rasa takut.

“Amalan dah memang begitu. Tiada tindakan tegas kerana ia juga dilakukan pihak atasan di bahagian lain,” katanya lagi.

Dewan Rakyat mulai bersidang 23 September lepas dan akan berakhir pada 30 Oktober depan.

Categories
NASIONAL

Perkasa kuasa SPRM dakwa salahlaku dalam LKAN

samsul-sprmSHAH ALAM 6 OKT : Kerajaan Pusat digesa memperkasakan kuasa pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi mendakwa pihak yang membuat penyelewengan dan pemborosan seperti dalam Laporan Audit Ketua Negara 2012.

Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Mohd Akin, berkata kerajaan tidak perlu menubuhkan jawatankuasa khas bagi meneliti dan mengkaji laporan Audit Ketua Negara kerana ia hanya akan menambah karenah birokrasi dan keberkesanannya.

Katanya, dengan kuasa pendakwaan SPRM yang dimantapkan maka ia akan memberikan ruang lebih besar kepada SPRM melakukan siasatan dan dakwaan serta tidak terhalang kesnya di Pejabat Peguam Negara.

“Hanya dengan kuasa pendakwaan SPRM yang mantap maka kes-kes penyelewengan dalam laporan audit boleh diambil tindakan tegas,” kata Shamsul ketika dihubungi Tv Selangor.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, berkata kerajaan pusat seharusnya menerima pelawaan Pakatan Rakyat (PR) yang mencadangkan satu jawatan kuasa disertai Timbalan Perdana Menteri sebagai Pengerusi, disusuli dengan Ketua Pembangkang dan Ketua Audit Negara bertujuan  menghalang penyalah gunaan dan menghukum yang terlibat dalam penyelewangan.

“Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa menyatakan kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas untuk menyelidik dan mengkaji Laporan Audit Negara 2012.

“Bagaimanapun agak melucukan apabila kajian sebegini hanyalah pendedahan tanpa tindakan. Saya pasti rakyat Malaysia tidak akan menerima taktik kerajaan yang cuba melengah-lengahkan dan memutar belitkan kenyataan dan akhirnya ia seperti pendedahan yang dibuat tahun-tahun lepas dan mati begitu saja,” katanya dalam satu kenyataan.

Guan Eng berkata, Laporan Ketua Audit Negara mengenai pembaziran kerajaan ke atas wang rakyat tidak akan mempunyai sebarang makna sekiranya tiada tindakan diambil.

“Pendedahan itu jelas menunjukkan terdapat penyelewangan dan ketidak telusan dalam sistem urus tadbir kerajaan Barisan Nasional (BN).

Sebelum ini , Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata,  kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas untuk menyelidik dan mengkaji Laporan Audit Negara 2012.

Jawatankuasa itu yang dipengerusikan beliau, dianggotai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Peguam Negara, pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Kementerian Kewangan dan Polis Diraja Malaysia.

 

Categories
KENYATAAN MEDIA

Pembongkaran audit ‘tersimpan bawah karpet’ kerana tiada pendakwaan

audit(KENYATAAN MEDIA) Saban tahun rakyat Malaysia akan memperolehi Laporan Ketua Audit Negara yang akan membongkarkan berlakunya ketirisan, penyelewengan, pembaziran dan salah guna tadbir wang negara yang sangat ketara yang melibatkan tanggungjawab kepada menteri dan penjawat awam daripada pelbagai Kementerian dan Jabatan samaada diperingkat nasional dan negeri.

Selepas segalanya didedahkan oleh Ketua Audit Negara tiada tindakan yang drastik diambil oleh pihak yang bertanggungjawab, malah pendedahan dan tindakan yang tahun sebelumnya melibatkan dana awam tiada sebarang kedengaran tindakan dan statusnya.

Sudah pasti Jabatan Audit Negara menggunakan dana awam yang cukup banyak dalam menjalankan tugasan mengaudit ke seluruh Kementerian dan Jabatan sektor awam terhadap penggunaan dana awam atau wang rakyat yang akhirnya hanya “gegak gempita” untuk beberapa hari dan semua kesalahan dan tindakan salah laku, penyelewengan, pembaziran “tersimpan bawah karpet” tanpa sebarang tindakan.

Malah lebih ketara memperlihatkan tidak ada sebarang hubungan antara Jabatan Audit Negara dengan agensi kerajaan lain seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Fungsi Jabatan Peguam Negara langsung tidak bertanggungjawab sedangkan segala siasatan dibuat oleh Jabatan Audit Negara dibuat untuk mendakwa mereka yang bertanggungjawab dalam kes-kes yang melibatkan penyelewengan dan penyalahgunaan wang rakyat.

Sepertimana yang diketahui umum Jabatan Audit Negara tidak mempunyai kuasa dan tanggungjawab bagi membawa kes-kes yang melibatkan ketirisan, penyelewengan, pembaziran dana awam selepas segala siasatan dan auditan yang dibuat.

Betapa telus dan profesionalnya Jabatan Audit Negara di bawah tanggungjawab Ketua Audit Negara tidak akan membawa apa-apa makna dan kesan sekiranya segala pelaku dan mereka yang bertanggungjawab tidak diambil sebarang tindakan undang-undang.

Agenda Tranformasi Datuk Seri Najib hanyalah retorik semata-mata kerana apa yang didedah dan dilaporkan oleh Ketua Audit Negara setiap tahun tidak menunjukkan keberhasilan yang baik tetapi terus memperlihatkan kegagalan beliau sebagai ketua kerajaan.

Jingga 13 Malaysia merasakan adalah wajar Jabatan Audit Negara dibubarkan kerana tidak ada sebarang tindakan diambil terhadap segala pendedahan yang dibuat setiap tahun dan Jabatan Audit Negara sudah pasti juga turut membazirkan wang rakyat atau dana awam terhadap hasil audit yang tidak membawa apa-apa tindakan undang-undang.

Malah hasilnya saban tahun Berbillion Ringgit Malaysia dana awam ‘hangus’ begitu sahaja.

– Jingga 13 Malaysia

Categories
NASIONAL SELANGOR

Indeks rasuah parah, Najib hanya bermain kata-kata

najib tidoKUALA LUMPUR 25 SEPT: Datuk Seri Najib Razak tidak perlu bermain kata-kata bagi membendung gejala rasuah sedangkan indeks rasuah pentadbiran Perdana Menteri itu semakin parah.

Situasi itu menunjukkan kerajaan tiada komitmen mengatasi gejala berkenaan sedangkan isu rasuah acap kali dibangkitkan selama ini.

Ahli Parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali, berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu diberi lebih kuasa dari segi pendakwaan supaya mereka yang sabit kegiatan rasuah dijatuhi hukuman setimpal.

“Kenyataan ini terlalu kerap kita dengar dari Perdana Menteri tetapi pentadbiran hari ni yang lebih parah dari PM lalu.

“Indeks rasuah terlalu parah. Ini menunjukkan tiada komitmen dan kalau ada kesungguhan, saya ada beberapa saranan yang menjadikan SPRM itu diperkasa.

“Wujudkan bajet besar untuk membentuk suruhanjaya perkhidmatan sendiri supaya mereka boleh melantik atau memecat mana-mana pegawai. Ini tidak dilakukan malah ditangguh beberapa kali,” katanya kepada TV Selangor.

Najib kononnya mahu menjadikan rasuah sebagai perkara silam demi masa depan negara.

Timbalan Presiden PKR itu berkata, martabat SPRM diangkat jika tiada campur tangan mana-mana pihak dan ‘tangan-tangan eksekutif’.

“Jangan bermain dengan kata-kata. Kerana kewibawaan itu penting dalam mana-mana pentadbiran. Ia hanya dapat dipertahan dan dimuliakan kalau SPRM menjadi badan bebas dan tidak terikat,” katanya.

Lima penerbangan sehari bawa masuk Bangla ke Malaysia sejak Mac

bangla sivarasaPETALING JAYA, 30 OGOS – Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa hari ini mendedahkan pembabitan beberapa pihak dalam membawa masuk warga Bangladesh ke Malaysia sejak Mac lalu.

Beliau mendakwa, Syarikat Union Tours & Travel Limited (UTT), ejen jualan lantikan MAS beroperasi di Bangladesh disyaki bekerjasama dengan Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka Bangladesh dan Jabatan Imigresen Malaysia di KLIA.

Katanya, lima penerbangan terus dari Dhaka ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dibuat menggunakan dua pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) dan masing-masing satu dari Biman Bangladesh Airlines, Regent Airways dan United Airways.

“Pesawat itu membawa hampir 1,000 penumpang menggunakan dokumen visa pelancong palsu dengan bayaran 32,000 Taka (RM1,300).

“Jika dibuat terus kepada Pesuruhjaya Tinggi Malaysia, bayarannya hanya 500 Taka (RM20) dan caj perkhidmatan dibenarkan sehingga 1000 Taka (RM40).

“Bayaran secara terus ini amalan rasuah untuk melicinkan proses daftar masuk di Dhaka. Majoriti mereka boleh disahkan sama ada pelancong tulen jika dibuat pemeriksaan berkesan oleh Imigresen,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai isu jenayah pemerdagangan itu di ibu pejabat PKR, hari ini yang turut dihadiri bekas Pegawai Kanan MAS, Mohamad Tahir Fazal Mohd.

Sivarasa mendesak tindakan tegas bagi mengekang kemasukan secara haram ribuan rakyat asing itu, malah membuat laporan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Turut dilampir ialah beberapa nama dan nombor pasport lima warganegara Bangladesh yang diberi visa pelancong melalui UTT secara haram.

– FZL

Categories
NASIONAL SELANGOR

KSU: Unit integriti di setiap jabatan Kerajaan Negeri

khusrinSHAH ALAM, 28 OGOS : Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri komited untuk melahirkan penjawat awam yang profesional melalui penubuhan Unit Integriti (IU) di setiap jabatan Kerajaan Negeri.

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Mohammed Khusrin Munawi berkata pegawai tetap gred 52 akan dilantik untuk mengetuai unit tersebut yang diperluaskan peranannya di bawah Bahagian Sumber Manusia.

“Konsepnya sama seperti yang dilakukan jabatan korporat lain di mana unit ini akan membantu saya untuk memantau setiap kakitangan awam supaya mematuhi peraturan yang ditetapkan,” jelasnya Khusrin.

Katanya, IU di sebahagian jabatan akan mendapatkan khidmat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Kita belum buat keputusan untuk menempatkan pegawai SPRM secara tetap atau pinjaman untuk mengetuai unit ini,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Lebih 5,000 anak merdeka tolak rasuah

DSC_0233

SHAH ALAM 28 OGOS : Sambutan Hari Belia Antarabangsa peringkat Negeri Selangor yang berlangsung di Dataran Kemerdekaan baru-baru ini mendapat sambutan menggalakkan dari pelbagai laporan masyarakat khususnya golongan belia.

Lebih 5,000 rakyat Selangor berkunjung ke acara tersebut yang bermula seawal jam 7.00 pagi lagi sehingga 12.00 tengah malam.

Pengunjung yang kami temui berkata tema “Tolak Rasuah, Anak Muda Merdeka” amat bertepatan dengan perkembangan isu semasa mutakhir ini. Program khas bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) amat disambut baik.

“Sambutan ini dipenuhi dengan pelbagai program berunsur ilmiah dan bukannya hiburan semata-mata, selain mesej utamanya memberi penekanan terhadap konsep integriti di dalam diri setiap belia kerana golongan ini merupakan tonggak di masa hadapan,” kata Muhammad Adam Che Yusuf, 23.DSC_0229

Sambutan Hari Belia ini dirasmikan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan diiringi Exco Belia dan Sukan, Dr Ahmad Yunus Khairi. Dari awal pagi lagi pengunjung didedahkan kepada pelbagai program-program yang menguja pemikiran menanggapi isu-isu penting.

Bagi Safiq Izzat Azmi, 23, sesi penerangan dan dialog mengenai pergolakan politik di Mesir telah membuka matanya.

“Sambutan kali ini saya lihat lebih kepada isu di Mesir bagi memberi gambaran jelas kepada rakyat negara ini yang masih tidak tahu atau mencari punca apa sebenarnya yang berlaku di negara Mesir,” katanya yang merupakan mahasiswa di sebuah institusi pendidikan tinggi awam.

Antara program menarik yang disediakan adalah sembang santai bersama pakar sakit tuan, Dr Ismail Tambi, Ustaz Zulkifli Ahmad dan selebriti terkenal, Afdlin Shauki.

Turut diadakan pada sambutan sehari itu, sukan Paintball, Walk Hunt, Cycling Hunt, Basketball 3 0n 4, Klinik Bola Sepak, Pertandingan Pidato ?Rasuah?, Pertandingan Catur Piala Exco Belia dan Sukan, Pertandingan Blast of the Band dan Pertandingan Dekorasi Cup Cake dan Kraft Fabrik Felt.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Ali Rustam dilantik Senator, Menteri JPM, ketuai PNB demi upah politik?

umno-retakSHAH ALAM, 27 OGOS: Tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melantik pemimpin ditolak rakyat dalam pentadbiran kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dikesali kerana tindakan itu dianggap sebagai upah politik demi menjaga kepentingan politik beliau menjelang Pemilihan Agung Umno yang bakal dilangsungkan tidak berapa lama lagi.

Menurut Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Md Akin, Najib sepatutnya melantik individu yang mempunyai pengalaman serta trek rekod yang bersih selaras dengan prinsip wasatiah dan bukan melantik pemimpin yang mempunyai rekod prestasi yang buruk dan terpalit dengan pelbagai skandal rasuah.

“Saya lihat ada satu trend pengagihan jawatan penting untuk mengemudi syarikat startegik negara kepada mereka yang kalah seperti Datuk Abdul Ghani Othman di Sime Darby, Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim di Tabung Haji dan terbaru Datuk Seri Mohd Ali Rustam pula diwarkan bakal mengemudi Permodalan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) atau Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM).

“Malangnya ada diantara mereka bukan sahaja ditolak rakyat, malah tidak mempunyai latar belakang ekonomi dan lebih teruk lagi mempunyai rekod perkhidmatan yang tidak menyinar seperti Ali Rustam yang menyebabkan Melaka berhutang sebanyak RM900 juta dan skandal perkahwinan anak beliau yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).”

Shamsul berkata demikian ketika mengulas laporan sebuah media semalam, Mohd Ali dipercayai bakal dilantik mengetuai PNB dan senator bagi membolehkan beliau dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Untuk rekod, Lembaga Disiplin Umno sebelum ini juga pernah menggantung Ali Rustam daripada bertanding dalam Pemilihan Agung Umno 2009 apabila didapati bersalah memberi rasuah kepada perwakilan agar memberikan pencalonan bagi membolehkan beliau bertanding jawatan Timbalan Presiden.

Shamsul menambah, trend melantik demi upah politik yang dipraktikan Umno-BN mampu memburukkan lagi keadaan prestasi ekonomi dan sekaligus membawa kewangan negara terus berada dalam keadaan defisit yang semakin tinggi.

“Malaysia sekarang ini sejak Najib dilantik sebagai Perdana Menteri berada dalam keadaan ‘auto pilot’ dan tiada pencapaian yang boleh dibanggakan dilakukan Najib selepas 100 selepas pilihan raya dan diburukkan lagi dengan amalan memberi upah politik untuk dapatkan balasan politik,” ujar Shamsul yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan.

Sebelum ini amalan melantik semula pemimpin politik dari Umno-BN tanpa mengambil kira trek rekod, pengalaman dan latar belakang ke jawatan penting dalam organisasi strategik kerajaan dengan gaji lumayan mula dilihat sebagai trend pentadbiran Najib.

Selain Abdul Ghani, Abdul Azeez dan terbaru Mohd Ali, pemimpin Umno lain, Datuk Seri Isa Samad yang pernah terpalit dengan rasuah politik wang dilantik sebagai Pengerusi Felda dan Tan Sri Rahim Thamby Chik yang didakwa dikaitkan dengan skandal rogol gadis bawah umur turut mendapat tempat dalam pentadbiran Najib.- MZA

Categories
SELANGOR

Hari Belia Selangor bawa isu semasa kepada anak muda

hari belia

SHAH ALAM 25 OGOS: Sambutan Hari Belia Antarabangsa peringkat Selangor yang berlangsung di Dataran Kemerdekaan di sini semalam mendapat sambutan pelbagai lapisan masyarakat khususnya golongan muda.

Membawa tema ‘Tolak Rasuah, Anak Muda Merdeka’, ia dihadiri lebih 5,000 orang mulai jam 7 pagi sehingga 12 tengah malam dengan pelbagai acara menarik.

Bagi Muhammad Adam Che Yusuf, 23, program itu merapatkan ukhwah di kalangan masyarakat, malah menarik minat anak muda terhadap isu semasa dalam dan luar negara.

Katanya, program khas seperti bersama Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membantu memberi penerangan kepada anak muda terhadap gejala rasuah di negara ini.

“Sambutan dipenuhi dengan pelbagai program berunsur ilmiah, bukannya hiburan semata-mata, selain penekanan mesej terhadap integriti dalam diri belia selaku tonggak masa hadapan,” katanya.

Hal sama diakui Safiq Izzat Azmi, 23, yang menyifatkan program itu mengingatkan masyarakat terhadap tragedi berdarah di Mesir.

Katanya, sesi dialog dan penerangan tragedi di negara bergolak itu memberi banyak maklumat mengenai punca di sebalik pembunuhan beramai-ramai rakyat Mesir baru-baru ini.

“Isu Mesir memberi gambaran jelas kepada rakyat yang tidak tahu atau mencari punca sebenar pergolakan di Mesir,” kata mahasiswa sebuah institusi pendidikan tinggi awam itu.

Amirul Ridhuan Mohd Noor, 23, pula berkata, usaha kerajaan Selangor menganjurkan program penuh pengisian itu harus dipuji dan dicontohi negeri lain.

?Bukan hanya beriadah atau bersantai secara sihat tetapi turut dihidang dengan program ilmiah dan hiburan secara minimal. Ia cara terbaik untuk melahirkan belia berwawasan,? katanya.

Sambutan itu dirasmikan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan diiringi Exco Belia dan Sukan, Dr Ahmad Yunus Khairi.

Antara program menarik ialah sembang santai bersama akar sakit tuan, Dr Ismail Tambi, Ustaz Zulkifli Ahmad dan selebriti terkenal, Afdlin Shauki.

Turut diadakan, sukan Paintball, Walk Hunt, Cycling Hunt, Basketball 3 0n 4, Klinik Bola Sepak, Pertandingan Pidato ?Rasuah?, Pertandingan Catur Piala Exco Belia dan Sukan, Pertandingan Blast of the Band dan Pertandingan Dekorasi Cup Cake dan Kraft Fabrik Felt.

Pengunjung juga berpeluang menikmati pelbagai jenis makanan yang disediakan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Categories
NASIONAL SELANGOR

Orang ramai dijemput hadiri Sambutan Hari Belia Antarabangsa pada 24 Ogos

DSC_0105

SHAH ALAM 19 OGOS : Orang ramai dijemput untuk bersama-sama dalam Sambutan Hari Belia Antarabangsa pada 24 Ogos (Sabtu) ini.

Exco Belia dan Sukan, Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata sambutan itu akan diadakan di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, bermula jam 7.00 pagi sehingga 12.00 malam

Turut dianjurkan serentak adalah Majlis Hari Raya Aildilfitri serta sambutan Ambang Merdeka.

Menurut Dr Ahmad, tema ‘Integriti’ dipilih supaya generasi muda menghayati prinsip itu dalam agenda perubahan nasional.

Tambah beliau, antara acara yang disusun nanti adalah penerangan isu berkenaan krisis di Mesir dan Solat Hajat untuk memohon keamanan di Mesir.

Turut diadakan sembang santai golongan belia bersama Mantan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat dan juga program khas bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Kita juga akan menganugerahkan anugerah Penggerak Belia Tempatan (Pebt) terbaik,” kata beliau.

Kata beliau, para pengunjung juga berpeluang menikmati pelbagai jenis makanan bagi sambutan Majlis Hari Raya Aidilfitri yang akan disediakan oleh setiap pihak berkuasa tempatan.

“Disasarkan lebih 10,000 akan hadir dalam program ini dan diharapkan lebih daripada itu kerana pada tahun lepas lebih 50,000 hadir pada program kemuncak dalam program bersama Ustaz Azhar Idrus,” kata beliau.

Katanya, beberapa acara sukan akan diadakan seperti Paintball, Walk Hunt, Cycling Hunt, Basketball 3 0n 4, Klinik Bola Sepak, Pertandingan Pidato ‘Rasuah’, Pertandingan Catur Piala Exco Belia dan Sukan, Pertandingan Blast of the Band dan Pertandingan Dekorasi Cup Cake dan Kraft Fabrik Felt.

 

Seleweng Anak Syarikat : Rafizi Gesa Siasat Pemimpin Tertinggi Felda

rafizi 01

SHAH ALAM 2 OGOS : Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat pemimpin tertinggi negara berhubung penyelewengan dalam anak syarikat Felda, KPFQ Foods Sdn Bhd.

Katanya, siasatan dan pendakwaan kes berkenaan tidak boleh terhenti di peringkat kepimpinan korporat KPFQ Foods Sdn Bhd semata-mata kerana ia juga melibatkan keputusan di peringkat tertinggi Felda.

Rafizi mendakwa, KPFQ Foods Sdn Bhd adalah syarikat usahasama diantara Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad (KPFMB) dan Silver Bird Group Berhad (SBGB) yang ditubuhkan khusus untuk menjadi ejen pemasaran barang makanan dan pertanian di seluruh negara.

“Saya menggesa supaya siasatan terhadap kes ini tidak dihadkan semata-mata kepada kesalahan dan penyelewengan yang melibatkan kepimpinan KPFQ Sdn Bhd.

“Tetapi perlu diluaskan kepada aspek kecuaian dan ketidaktelitian pimpinan tertinggi negara yang terbabit supaya ada kebertanggungjawaban kerana agensi-agensi ini adalah dibawah tanggungjawab mereka,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Rafizi mendakwa SBGB mempunyai hubungan rapat dengan agensi kerajaan yang lain termasuk Tabung Haji.

“Pemegang-pemegang saham besar di dalam SBGB adalah Tabung Haji dan Tan Sri Vincent Tan, yang menunjukkan bahawa SBGB adalah sebuah syarikat perniagaan yang ada hubungan yang baik dengan kerajaan,” dakwa Ahli Parlimen Pandan itu.

Menurut Rafizi, akhir-akhir ini Kerajaan Pusat menggunakan banyak dana rakyat untuk membiayai projek usahasama di antara agensi kerajaan dan swasta yang menimbulkan beberapa persoalan.

Selepas skandal membabitkan lembu NFC, Rafizi mempersoalkan bagaimana kerajaan menilai bentuk kerjasama antara kerajaan dan syarikat swasta dalam membabitkan dana daripada wang rakyat.

Rafizi turut mempersoalkan peranan wakil kerajaan di dalam agensi dan syarikat usahasama untuk memantau kemajuan projek dan memastikan tiada penyelewengan berlaku.

“Apakah peranan dan pertanggugjawaban kepimpinan kerajaan apabila projek-projek usahasama di bawah tanggungjawab mereka gagal dan membazirkan wang rakyat?” soalnya lagi.