Categories
SELANGOR

PBT Bakal Siarkan Mesyuarat Bulanan Secara Langsung

teng lawat MBSA 14 jun 01

SHAH ALAM, 14 JUN : Sebagai usaha mendemokrasikan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Kerajaan Negeri memutuskan supaya setiap PBT menyiarkan mesyuarat bulanan mereka secara langsung di laman web masing-masing.

Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Datuk Teng Chang Khim berkata, tindakan ini adalah selaras dengan hasrat Kerajaan Negeri yang mementingkan ketelusan dan akauntabiliti dalam pentadbiran negeri.

Menurutnya, langkah ini akan dilaksanakan oleh lapan buah PBT, antaranya Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Perbandaran Klang (MPK) dan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

Juga terlibat Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Majlis Perbandaran Sepang (MPSp).

“Tindakan ini diambil memandangkan kita banyak menerima aduan daripada orang ramai yang mengatakan pihak PBT tidak melaksanakan tugas, mereka tidak tahu apa yang pihak Majlis buat.

“Jadi dengan terlaksananya projek ini, pihak Majlis akan menjadi lebih terbuka dan telus dan ia merupakan cara terbaik untuk orang ramai faham tentang pentadbiran PBT,” katanya dalam sidang media selepas mengadakan sesi pertemuan bersama MBSA, di di sini hari ini.

Beliau berkata, minit mesyuarat PBT juga akan dipaparkan di laman web, sejajar dengan semangat Kerajaan Negeri yang telah meluluskan enakmen kebebasan maklumat dua tahun lalu.

Tambahnya, pihak Majlis diberi masa selama tiga bulan untuk membuat persiapan lengkap bagi memastikan projek ini berjalan lancar apabila sampai waktunya.

“Selangor akan menjadi negeri pertama yang melaksanakan projek ini apabila ia dilancarkan kelak. Kita harap prosesnya akan berjalan lancar.

Empat PBT lagi Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB), Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) dan Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), tidak dapat melaksanakan usaha itu pada waktu ini kerana kekurangan wang.

Projek ini adalah antara yang terkandung dalam Pelan Tindakan Lima Tahun Jawatankuasa Tetap PBT Negeri Selangor (Rangka Pertama) yang telah diperakukan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) pada Rabu lalu.

Categories
NASIONAL

Tiga Taktik Kotor Umno-BN Menang PRU-13

Lim Kit Siang

PETALING JAYA, 24 MEI : Umno-BN didakwa menggunapakai tiga taktik kotor semasa Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) pada 5 Mei lalu, kata Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Menurutnya, tiga taktik kotor itu merujuk kepada politik wang untuk membeli undi, pembohongan yang mendakwa konon wujudnya dominan kaum antara PAS dan DAP serta menakut-nakutkan rakyat mengenai peristiwa 13 Mei yang akan berulang jika Pakatan Rakyat (PR) mentadbir negara.

“Mereka (Umno-BN) menggunakan wang untuk membeli undi rakyat dengan memberi pelbagai manfaat yang bukan sahaja dibuat semasa tempoh berkempen, tetapi lebih awal sebelum itu.

“Taktik kedua iaitu berbohong di mana mereka kata PR tidak boleh menang kerana walaupun rakyat undi DAP tetapi PAS akan jadi parti dominan dan sebaliknya. Mereka juga dakwa PAS dan PKR hanyalah boneka sahaja.

“Taktik ketiga iaitu menakut-nakutkan rakyat dengan mengatakan malapetaka, huru-hara serta peristiwa 13 Mei akan berulang jika PR menang,” katanya di hadapan lebih 3,000 penyokong sempena Himpunan Kesyukuran PR di padang Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam tadi.

Tambahnya, biarpun hasrat PR untuk menawan Putrajaya dalam PRU lalu tidak berhasil, namun beliau menggesa rakyat supaya tidak berputus asa dan terus berjuang menuntut pilihan raya yang bersih.

Katanya, penambahan tujuh kerusi Parlimen PR kepada 89 juga adalah bukti kebangkitan rakyat yang mula menolak politik kotor dan semakin bersedia membuat perubahan.

“Kita tidak berjaya ubah kerajaan di Putrajaya, tetapi ada kemajuan (penambahan kerusi) hingga Perdana Menteri kata keputusan PRU adalah tsunami Cina, tetapi ini adalah tsunami rakyat Malaysia.

“Sungguhpun ada percubaan untuk melaga-lagakan Cina dengan Melayu, tetapi itu tidak akan menjadi halangan untuk kita mengerakkan politik yang memperjuangkan hak rakyat tanpa ada korupsi,” jelasnya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Tubuh Jawatankuasa Khas Parlimen Untuk Persempadanan Semula Kawasan Pilihan Raya

Tony 1

PETALING JAYA, 24 MEI : Pakatan Rakyat (PR) akan menggesa Perdana Menteri menubuhkan sebuah Jawatankuasa Khas Parlimen (PSC) bagi mengkaji persempadanan semula kerusi yang lebih adil, kata Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua.

Menurut Tony, persempadanan itu akan membolehkan kedua-dua gagasan politik, PR dan Umno-BN berbincang mengenai sistem pilihan raya yang lebih adil dan saksama.

Katanya, cadangan itu akan dikemukakan PR dalam sesi Dewan Rakyat yang bakal bersidang pada Jun depan.

“Saya hendak cadangkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam sesi Parlimen seterusnya untuk menyediakan jawatankuasa khas bagi membuat kajian supaya negara ini memiliki sistem pilihan raya yang adil.

“Kita harap Umno-BN akan mendengar permintaan ini,” katanya kepada lebih 3,000 penyokong sempena Himpunan Kesyukuran PR di padang Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), malam tadi.

Himpunan 1

PR akan menggunakan pertambahan anggota mereka di Parlimen untuk membolehkan persempadanan kawasan pilihan raya dilakukan dengan adil apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melaksanakan persempadanan penghujung tahun ini.

Pimpinan gabungan itu pernah mengeluarkan kenyataan sekiranya perkara itu melibatkan pertambahan kerusi, persetujuan dua pertiga majoriti diperlukan untuk meluluskan perubahan sebelum diluluskan di Dewan Rakyat.

BN pada ketika ini tidak memiliki majoriti dua pertiga Dewan Rakyat, dengan hanya 133 kerusi, dan PR mempunyai 89 kerusi, maka memerlukan sokongan daripada pemimpin pembangkang bagi tujuan tersebut.

Sementara itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar berkata, pimpinan PR akan berlawan secara habis-habisan di Parlimen untuk menentang penipuan yang dilakukan Umno-BN.

Beliau turut menggesa rakyat untuk menolak kerajaan yang terang-terangan mengamalkan sifat perkauman dan korup dalam pentadbiran.

“Kita akan laksana segala yang mungkin untuk mendedahkan penipuan yang dilakukan Umno-BN. Kita tidak sesekali akan tunduk pada kerajaan yang bersifat perkauman dan korup.

“Kita akan lawan habis-habisan dan pastikan persempadanan semula kerusi tidak digunakan untuk memenangkan Umno-BN. Kita adalah pakatan yang akan melaksanakan reformasi di Malaysia,” katanya.

Himpunan 4

Categories
SELANGOR

Perlantikan Alinah Tingkatkan Kemajuan Petaling Jaya

Datin Paduka Alinah Ahmad
SHAH ALAM 28 DIS : Pengalaman luas Datin Paduka Alinah Ahmad di dalam perkhidmatan awam dan sektor hartanah diyakini akan membawa kemajuan bandar Petaling Jaya kepada arah yang lebih dinamik.

Ahli Majlis Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Richard Yeoh Yong Woi berkata, warga kerja MBPJ dan penduduk bandaraya itu turut berbangga dengan Alinah yang muncul sebagai wanita pertama dilantik ke jawatan Datuk Bandar.

“Kita pasti berbangga dengan Alinah sebagai Datuk Bandar kerana sebelum ini seorang wanita dilantik hanya sebagai Yang Dipertua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Pulau Pinang.

“Dengan pengalaman dan prestasi kerja cemerlang dalam pentadbiran awam, Alinah dengan dibantu warga MBPJ akan meneruskan pembangunan bandaraya ini dengan lebih baik dan moden,” katanya kepada TVSelangor di sini hari ini.

Alinah yang merupakan bekas ketua pengarah eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) akan memulakan tugas selaku Datuk Bandar Petaling Jaya pada 1 Januari tahun depan menggantikan Datuk Mohamad Roslan Sakiman

Seorang lagi Ahli Majlis Mohd Ghazali Daud berkata, Petaling Jaya memerlukan Datuk Bandar yang kaya dengan idea dan visi.

“Sebagai pegawai kerajaan berpengalaman luas, saya yakin pelbagai perubahan akan dirancang demi kemajuan Petaling Jaya dalam menempuh cabaran masa depan.

?Alinah pasti akan meneruskan visi dan perancangan yang sudah dirangka oleh Datuk Bandar terdahulu.

“Kemahiran dalam pentadbiran dan pengurusan tentu menjadi satu kelebihan baginya dan ini akan memberi manfaat kepada Petaling Jaya,” kata Ahli Majlis MBPJ itu.

Pendapat Yeoh dan Ghazali turut dipersetujui seorang lagi Ahli Majlis MBPJ, Mahharul Ismail dengan menyatakan pelantikan tersebut adalah satu perubahan positif.

Beliau berkata, bandaraya lestari seperti Petaling Jaya akan menempuh satu perubahan dari segi pembangunan infrastruktur dan komuniti dari masa ke semasa.

Beliau menambah, pihaknya akan terus memberi kerjasama demi kemajuan bandaraya itu serta usaha mengatasi segala masalah seperti pungutan sampah dan kesesakan lalulintas.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Nasib Pemandu Teksi Lebih Terjamin Jika PR Memerintah

pemandu teksi himpunan PR 01

PETALING JAYA, 28 DIS : Pakatan Rakyat (PR) memberikan jaminan akan membela kebajikan dan masa hadapan pemandu teksi seluruh negara apabila gagasan itu mentadbir Putrajaya selepas Pilihanraya Umum Ke-13 nanti.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pemandu teksi berhak memperolehi permit teksi yang merupakan hak mereka.

“Patut malu orang kaya-raya memperolehi permit teksi yang diambil daripada titik peluh dan darah keringat orang-orang susah.

“Kita akan minta mereka-mereka ini serah balik permit teksi dan kita akan kembalikan semula kepada pemandu teksi,” kata Anwar.

pemandu teksi himpunan PR 02Beliau berkata demikian semasa Perhimpunan Raksasa Pemandu-Pemandu Teksi Bersama Pemimpin Tertinggi Pakatan Rakyat yang diadakan di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini.

Jelas Anwar, pemandu teksi berperanan penting dalam mencorakkan masa hadapan negara dengan menjadi agen perubahan masyarakat.

Ianya dapat dilaksanakan dengan pemandu teksi proaktif memberikan penjelasan kepada penumpang situasi negara yang kini tenat.

“Pemandu teksi boleh menjadi agen perubahan yang membawa puluhan penumpang setiap hari bagi memberikan penjelasan untuk selamatkan negara ini,” katanya.

“99 peratus pemandu teksi mengetahui apa itu perjuangan rakyat, bencikan kezaliman kerajaan Barisan Nasional.

“Jasa saudara-saudara (pemandu teksi) kepada perjuangan ini adalah besar,” ujarnya.

Katanya, pemandu teksi perlu memberikan mesej jelas kepada kerajaan pimpinan Umno-Barisan Nasional (BN) dalam PRU-13 ini agar nasib mereka lebih terbela.

Anwar turut membidas pimpinan Umno-BN yang cuba mengalih isu yang dihadapi pemandu teksi dengan pemberian tayar percuma sedangkan isu permit gagal diselesaikan.

“Najib gagal beri permit teksi kepada pemandu atau individu, hanya tahu beri tayar TR1M yang hanya boleh bertahan enam bulan sahaja.

“Dia (Najib) gagal memahami kesusahan pemandu teksi untuk mendapatkan permit,” katanya.

Kira-kira lebih 600 pemandu teksi hadir dalam himpunan itu bagi menyatakan sokongan kepada PR untuk membawa perubahan kepada sistem pengangkutan teksi di negara ini.

Turut hadir Exco Selangor – Ronnie Liu, MP Puchong – Gobind Singh Deo, MP Petaling Jaya Selatan – Hee Loy Sian, MP Bukit Gantang – Mohammad Nizar Jamaluddin dan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang – Dr P.Ramasamy.

Categories
SELANGOR

MBPJ Bantu Golongan Kurang Berkemampuan Beli Barangan Sekolah

SUBANG JAYA, 13 DIS : Riak kegembiraan jelas terpancar pada wajah golongan kurang berkemampuan apabila terpilih menerima baucer membeli belah barangan persekolahan berjumlah RM200 setiap seorang.

Dikesempatan ini dimanfaatkan sepenuhnya penerima dan ibu bapa bagi membuat persediaan sesi persekolahan 2013 yang bakal bermula Januari depan.

Fatimah Abdul Mulup, 41, berkata pemberian ini nyata meringankan bebanan beliau berhadapan sesi persekolahan kali ini.

“Semua lengkap di sini. Peralatan persekolahan banyak. Senang untuk kita membuat pilihan. Terima kasih juga kepada MBPJ diatas keprihatinan mereka,” katanya yang merupakan ibu kepada Nurzulaiha Sarudin.

Bagi Norsham Mat Sani, 49, ibu kepada Nurul Shuffira Ezurin Azmi, 15, pemberian ini nyata meringankan bebanan beliau yang mempunyai pendapatan sekitar RM700 sebulan dan bekerja sebagai pembantu kebersihan

“Alhamdulillah pemberian ini dapat membeli barangan sekolah. Ayah dia (Shuffira) pun sakit. Kita berterima kasih kepada MBPJ,” katanya.

Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) meneruskan keprihatinan terhadap nasib golongan yang kurang berkemampuan menerusi program Pembasmian Kemiskinan Bandar ‘Jom Shopping’ Peralatan Sekolah.

Dengan sumbangan berjumlah RM14,000, seramai 70 orang penerima bantuan ini berpeluang membelanjakan baucer tersebut untuk membeli peralatan sekolah seperti uniform sekolah, kasut dan alat tulis.

Sementara itu, menurut Pegawai Perhubungan Awam MBPJ, Zainun Zakaria, antara objektif pemberian sumbangan ini ialah untuk meringankan bebanan penduduk yang tidak berkemampuan dengan pendapatan RM1,500 kebawah serta mempunyai tanggungan anak bersekolah dan masih kecil melebihi empat orang.

Bertempat di Hypermarket Mydin USJ Subang Jaya program ini dianjurkan untuk kali kedua dan dijadikan program tahunan MBPJ.

“Di samping itu juga, ia merupakan salah satu tanggungjawab dan sumbangan khidmat sosial daripada MBPJ kepada komuniti setempat di bawah pentadbirannya,” katanya.

Jelasnya, kesemua penerima sumbangan ini merupakan penduduk yang berdaftar di bawah. Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB) yang berada di kawasan pentadbiran MBPJ iaitu PPR Kota Damansara, PPR Lembah Subang, Petaling Jaya Selatan (PJS), Desa Mentari dan Impian Baiduri.

Categories
SELANGOR

Penganti Datuk Bandar MBPJ: Tiada Perjumpaan Tertutup

SHAH ALAM 7 DIS : Bahagian Korporat, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor hari ini menafikan laporan The Star pada 4 Disember lalu bahawa terdapat satu mesyuarat tertutup bagi mencari penganti Datuk Bandar Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Dalam satu kenyataan ringkas kepada TV Selangor memaklumkan bahawa Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak membincangkan atau mengadakan sebarang mesyuarat secara tertutup bersama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohammed Khusrin Munawi, Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Noordin Sulaiman, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Datuk Mohamad Roslan Sakiman dan Datin Paduka Zauyah Be Loth Khan bagi melantik Datuk Bandar MBPJ yang baru.

Kenyataan itu juga memaklumkan sehingga kini Kerajaan Negeri belum melantik pengganti Roslan sebagai Datuk Bandar MBPJ.

Categories
SELANGOR

MBPJ Diminta Buat Kajian Bas Percuma Di Kota Damansara

SHAH ALAM 26 NOV : Kerajaan Negeri akan meminta Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Majlis Perbandaran Shah Alam (MBSA) untuk menyediakan satu kajian terperinci dan mengadakan rundingan supaya dapat menyediakan bas percuma di kawasan Kota Damansara.

Perkara itu dibangkitkan oleh Adun Kota Damansara, Dr Nasir Hashim berikutan ketiadaan pengangkutan awam di kawasannya untuk ke Hospital Sungai Buloh.

Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu berkata Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat serta Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Darat (SPAD) berusaha untuk menangani masalah itu.

“Kita difahamkan SPAD mempunyai peruntukkan untuk mewujudkan perkhidmatan bas itu dan kini ianya dalam perbincangan,” katanya dalam sidang Dewan Negeri.

Ronnie menambah Kerajaan Negeri setakat ini, sudah menyediakan dua buah bas percuma untuk kegunaan warga Putrajaya yang dikawal oleh MBPJ.

“Sebenarnya, bidang kuasa penyediaan perkhidmatan pengangkutan awam di bawah kuasa Kerajaan Pusat, Kerajaan Negeri tiada hak untuk merancang, bagaimanapun kita akan cuba melalukan inisiatif itu” katanya.

Categories
SELANGOR

Lima PBT Selangor Terbaik Di Malaysia

SHAH ALAM 23 NOV : Lima Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) negeri ini utuh sebagai antara 11 PBT terbaik daripada 149 PBT seluruh Malaysia.

Exco Kerajaan Tempatan, Ronnie Liu memaklumkan sidang dewan hari ini, penilaian tersebut diputuskan melalui Sistem Star Rating Pihak Berkuasa Tempatan (SPR-PBT) di peringkat Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Lima PBT tersebut adalah Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Perbandaran Klang (MPK), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

“Dalam memastikan PBT sentiasa berada dalam keadaan konsisten dan meningkatkan prestasi dari semasa ke semasa, pelbagai mesyuarat, taklimat, bengkel dan pertemuan diadakan dengan Kerajaan Negeri.

“Keadaan ini juga menjadi platform kepada Kerajaan Negeri memantau prestasi PBT sepanjang tahun,” jelas Ronnie menjawab soalan lisan daripada Adun Paya Jaras, Datuk Muhammad Bushro Mat Johor mengenai prestasi PBT.

Ronnie turut menjelaskan, buat masa ini tiada keperluan lagi untuk mewujudkan kawasan PBT baru di Selangor.

“Bagaimanapun, PBT baru akan diwujudkan sekiranya mempunyai keperluan selaras dengan pertumbuhan pesat sesuatu kawasan,” jelasnya.

Beliau berkata, sesuatu kawasan itu juga akan dinilai berdasarkan kriteria yang diluluskan dalam mesyuarat Majlis Negara Bagi Kerajaan (MNKT) ke-60 pada 3 Jun 2008.

Categories
SELANGOR

Wifi Percuma Dijangka Siap Awal Januari 2013

SHAH ALAM 22 NOV : Pemasangan internet jalur lebar (wifi) keseluruh negeri Selangor sedang rancak dilaksanakan dan dijangka siap pada awal Januari 2013.

Exco Wanita, Kebajikan, Sains,Teknologi dan Inovasi Rodziah Ismail berkata Kerajaan Negeri sudah mengenal pasti lokasi yang dicadangkan antaranya kawasan yang belum mempunyai perkhidmatan wifi.

Selain itu, kawasan tumpuan awam dan kawasan kepadatan penduduk yang tinggi dan berpendapatan sederhana atau ekonomi yang sederhana rendah serta rendah.

Rodziah menambah Kerajaan Negeri melalui Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menjadi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pertama yang berjaya melancarkan Projek Selangor Public Integrated Network System (SPINS).

Katanya, sebanyak 200 lokasi sudah dikenal pasti di seluruh MBPJ dalam melaksanakan projek itu.

“Projek ini merangkumi kemudahan internet percuma secara wifi yang boleh dimanfaatkan oleh pengguna dengan mengintegrasikan semua usaha-usaha Kerajaan Negeri selain memudahkan berinteraksi dengan sistem kerajaan,” katanya yang menjawab pertanyaan lisan daripada Adun Lembah Jaya, Khasim Abdul Aziz.

Jelasnya, perkhidmatan wifi percuma yang ditawarkan kepada rakyat mengambil kira konsep pemberian air percuma oleh Kerajaan Negeri yang mana setiap pengguna wifi percuma itu diberikan penggunaan selama 30 minit dan selepas itu, pengguna perlu log masuk semula.

Menjawab soalan tambahan daripada Adun Taman Medan, Haniza Mohamed Talha berkenaan terdapat aduan perkhidmatan wifi tiada dapat digunakan, Rodziah berkata Kerajaan Negeri sudah merujuk kepada pihak MBPJ berkenaan perkara itu.

“Perkhidmatan wifi yang dimaksudkan mengalami masalah teknikal itu adalah di Petaling Jaya tetapi hanya berlaku sedikit masalah teknikal,” katanya.

Untuk rekod, sejak 2008 hingga 2012, sebanyak 332 lokasi dipasang perkhidmatan wifi dan sebanyak 15 buah Pusat Siber Rakyat ditubuhkan.

 

Categories
SELANGOR

MBPJ Sedia Bubur Lambuk, Kain Batik Sempena Ramadan


PETALING JAYA 10 OGOS : Sempena bulan Ramadhan, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) hari ini menyampaikan sumbangan kain batik, kain pelikat serta bubur lambuk kepada semua warga kerjanya.

Dalam majlis ringkas yang diadakan di Dewan Banquet MBPJ, Datuk Bandar, Datuk Mohamad Roslan Sakiman berkata sumbangan berkenaan sebagai menghargai komitmen dan perkhidmatan cemerlang kakitangannya.

“Kita juga ingin berkongsi rezeki pada petang ini bersama anggota polis dan bomba yang merupakan jiran MBPJ.

“Semoga dengan adanya penganjuran majlis sebegini, silaturrahim antara kita semua semakin erat terjalin,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Mohamad juga sempat mengulas mengenai laporan sebuah akhbar kononnya terdapat kakitangan MBPJ curitulang ketika bekerja.

“Saya yakin tiada kakitangan MBPJ yang bertindak sedemikian namun jika ada, tindakan tegas akan diambil,” tegasnya.

Sebanyak lapan kawah bubur lambuk disediakan kepada lebih 200 warga kerja dan bagi mereka yang bukan beragama Islam, bubur lambuk vegetarian juga disediakan.

Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri Selesaikan Projek Rumah Terbengkalai PJS1

PETALING JAYA, 22 JULAI : Keresahan lebih 260 pembeli rumah kos rendah Blok E Petaling Jaya Selatan (PJS) Satu di sini dijangka berakhir apabila Kerajaan Selangor bertindak mengambilalih projek itu yang terbengkalai lebih sembilan tahun.

Rata-rata pembeli yang sekian lama menduduki kawasan setinggan berhampiran dengan tapak projek, melahirkan kegembiraan dengan tindakan Kerajaan Selangor itu.

Bagi peniaga, Mat Saperi Lebai Ayob, 57, tindakan kerajaan Selangor yang mahu mencari jalan penyelesaian wajar dipuji.

“Sebagai pembeli yang rumah sudah terbengkalai lebih sembilan ke sepuluh tahun, (saya) beranggapan isunya akan selesai tak lama lagi.

?Memang perkara ini sudah lama sangat dan pembeli amat sedih dan kecewa. Ada yang sudah uzur, tua dan ada yang sudah meninggal dunia.

“Dengan kehadiran Menteri Besar (Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim) berdialog bersama semua pembeli, saya rasa satu keputusan yang baik akan diperolehi nanti oleh kita semua.”

Beliau ditemui TVSelangor selepas majlis perjumpaan Menteri Besar bersama pembeli RKR Blok E Unit PJS Satu di Bangunan Serbaguna Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini semalam.

Projek itu melibatkan pembinaan 262 unit pangsapuri kos rendah yang dimulakan pada 2003.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembeli Blok E PJS Satu, M Sugumaran berharap Kerajaan Negeri dan mengadakan perbincangan dan mesyuarat dengan jawatankuasa penduduk secepat mungkin bagi mencari jalan penyelesaian.

“Ini kali kedua Menteri Besar datang bagi sesi dialog dan kita harap satu keputusan akan dapat dicapai sebagaimana yang dikatakan oleh beliau.

?Saya yakin sebagai kerajaan yang prihatin dan berkebajikan, maasalah kami ini akan dapati diselesaikan,” katanya.

Sementara itu, Abdul Khalid dalam sidang media berkata, satu jawatankuasa bertindak akan ditubuhkan bagi mencari penyelesaian dalam perkara itu.

Beliau berkata, jawatankuasa itu melibatkan Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad, Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohamad Roslam Sakiman, jawatankuasa penduduk dan pihak-pihak berkaitan.

“Saya telah mengaarahkan Iskandar bersama Datuk Bandar dan wakil penduduk mengadakan perbincangan dan dalam bulan puasa ini sekurang-kurang dua kali supaya semua perkara dapat diseleesaikan.

?Tujuannya apabila kita lancarkan projek perumahan untuk mereka yang akan mendapat rumah-rumah ini maka tiada lagi perkara yang mengelirukan berbangkit.

“Kita mesti selesaikan sebab sudah lama sangat orang tunggu. Bagaimanapun keputusan hanya akan boleh dibuat selepas proses pengambilalihan tanah bagi menjayakan projek tersebut,” katanya.