Categories
SELANGOR

Selamatkan Air Yang Tidak Berhasil Sebelum Buat Langat 2

PETALING JAYA, 14 OGOS : Dana berbilion ringgit yang akan digunakan untuk membina projek Langat 2 harusnya digunakan untuk membaiki sistem agih air Selangor supaya air terawat yang dibazirkan setiap hari dapat diselamatkan.

Ini kerana air yang dicuri atau hilang akibat paip yang bocor, atau dikenali sebagai NRW lebih 30 peratus dari jumlah keseluruhan air terawat yang diedarkan di Selangor.

Cadangan itu disuarakan oleh Abdullah Mohamad, seorang peserta awam pada Majlis Dialog Air Selangor 2012 di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) semalam.

Di laporkan sebelum ini, Kerajaan Pusat ingin meneruskan projek Langat 2 yang akan menelan belanja RM 6 bilion bagi memindahkan air mentah dari Pahang ke Selangor.

Masalah dihadapi di logi seperti paip lama yang rosak dan sebagainya, saya rasa perlu dibaiki segera supaya masalah yang timbul dapat diatasi segera.

“Untuk tujuan itu peruntukan bagi projek Langat 2 boleh digunakan bagi kerja baik pulih.

Cara ini lebih bagus. Lagi satu jika kita menghadapi masalah bekalan air terawat maka ia bukan masalah di empangan tetapi masalah Syabas yang gagal membekalkan air kepada pengguna.

Syabas seharusnya berusaha meningkatkan bekalan air untuk disalurkan kepada semua pengguna dan bukannya memikirkan untuk melaksanakan projek Langat 2,” katanya.

Majlis tersebut dipengerusikan Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin Selangor, Dr Xavier Jayakumar.

Ia turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) Datuk Teo Yen Hua.

Bagi Ahli Parlimen Hulu Langat, Dr Che Rosli Che Mat, isu utama yang perlu diberikan keutamaan ialah bekalan air mencukupi bgi kegunaan orang ramai.

“Isunya di sini pengguna perlukan air dan pihak berkuasa perlu menyalurkan air mengikut kapasiti ditetapkan. Perancangan mesti dilakukan supaya tidak timbul masalah bekalan air.

“Usaha perlu dilakukan bagi meningkat bekalan air di empangan agar proses air terawat dapat dijalankan tanpa sebarang masalah,” katanya.

Categories
SELANGOR

PPR Damansara Tak Perlu Risau, MBPJ Jamin Baiki Kerosakan Tangki Air

PETALING JAYA 10 OGOS: Penduduk Pangsapuri Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kota Damansara tidak perlu lagi bimbang berikutan Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ) hari ini memberi jaminan akan membaiki kerosakan tangki air yang berlaku di pangsapuri empat blok itu.

Kerosakan tersebut berpunca daripada perbuatan tidak bertanggungjawab sesetengah pengumpul barangan lusuh mencuri kurungan besi (braket) pada tangki air di empat blok A,B,C dan D pangsapuri tersebut untuk dijual sebagai besi buruk.

Dianggarkan sejumlah 250 keping braket dicuri dari tangki-tangki air yang digunakan oleh 1152 unit kediaman di situ.

Kehilangan braket yang dipercayai berlaku sebelum pintu ke tangki air dikunci dan dipasang ‘grill’ pada Mei tahun ini menyebabkan berlaku kebocoran air di pangsapuri setinggi 18 tingkat setiap satu blok itu.

Setiausaha Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan Negeri Selangor, Kamarulzaman Ahmad Noh memberitahu nilai sebenar kerosakan hanya akan diketahui apabil Jabatan Penilaian membuat penilaian terhadap kerosakan yang berlaku ini.

“Jabatan Penilaian akan nilaikan terlebih dahulu, tetapi anggaran kasar untuk mengikat braket baru dijangka melebihi RM100 ribu.

“Sebelum ini MBPJ dan baiki blok A dan selepas ini blok B,C dan D pula.

Menurut jurutera di Jabatan Jurutera MBPJ, Azhar Zakaria, beberapa langkah tambahan sebagai langkah berjaga-jaga juga telah diambil.

“Untuk mengelakan dari dicuri, kita bukan sahaja ikat dengan skru tetapi ia akan dipatri sekali.

“Jadi bila dah dipatri ia memang susah nak dicuri,” kata Azhar.

Sementara itu, menurut Eksekutif Bangunan dari Nilsham Resources, Noraslina Abd Hamid, pada masa ini seramai lima orang anggota keselamatan ditempatkan selama 24 jam sehari di blok-blok terbabit bagi mengelakkan kejadian sama berlaku lagi.

“Dua anggota bertugas malam dan tiga lagi pada waktu siang untuk cegah kecurian dan kejadian jenayah lain,” kata Noraslina.

Noraslina turut mengesa penduduk pangsapuri terbabit agar segera melaporkan kepada pejabat pengurusan harta di blok C atau pengawal bertugas dan polis sekirannya mengesyaki mana-mana pihak yang terlibat dengan perbuatan tidak bertanggungjawab itu.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Pusat Di Cabar Hentikan Keluar Lesen Rumah Urut

PETALING JAYA, 27 JULAI: Exco Kerajaan Tempatan, Ronnie Liu mencabar kerajaan persekutuan supaya menghentikan pengeluaran lesen bagi premis rumah urut selain menutup premis sedia ada di semua negeri yang ditadbiran Barisan Nasional.

Perkara ini dilontarkan memandangkan sebelum ini pelbagai pihak mendakwa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor mengeluarkan banyak lesen premis rumah urut sejak Pakatan Rakyat mengmbil alih pentadbiran.

Menurut Ronnie, sejak tahun 2006, tiada lesen baru premis rumah urut baru dikeluarkan kepada mana-mana pihak sebaliknya memantau operasi perniagaan yang diwarisi daripada pemerintahan Umno-BN.

“Kalau fikir semua rumah urut buat kegiatan maksiat, saya minta Menteri Dalam Negeri perlu menghentikan permit pekerja asing. Saya cabar negeri di bawah BN tutup sekali (rumah urut), Selangor akan ikut,” katanya.

Katanya, premis rumah urut sedia ada masih boleh operasi kerana mematuhi peraturan yang telah ditetapkan. Pihak berkuasa hanya akan mengambil tindakan membatalkan lesen premis berkenaan sekiranya melanggar peraturan.

Sementara itu, Ronnie Liu turut mengemukakan statistik penguatkuasaan di PBT dari Januari sehingga 15 Julai 2012 bagi pusat siber dan pusat kecantikan atau rumah urut.

Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mempunyai 108 premis pusat siber telah berjaya menyita 2,619 barangan dan menyaksikan 13 daripada premis berkenaan ditutup hasil 38 operasi yang dijalankan.

Bagi pusat kecantikan atau rumah urut pula melibatkan 253 premis telah disita daripada jumlah keseluruhan 85 buah premis hasil daripada 17 operasi yang dijalankan dan turut melibatkan 14 tangkapan.

Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pula telah membuat sitaan terhadap 333 premis pusat siber dari jumlah keseluruhan sebanyak 340 premis hasil daripada 472 operasi yang dijalankan. Keadaan ini turut membabitkan 5 premis ditutup akibat melanggar peraturan.

Hasil daripada 452 operasi pusat kecantikan atau rumah urut yang dijalankan oleh MBPJ, hanya 30 premis dari keseluruhan 1,050 premis di kawasan MBPJ telah disita manakala 20 premis berdepan tindakan ditutup sepenuhnya.

Jelas beliau, PBT perlu mencari inisiatif terbaik untuk mengatasi masalah rumah urut dengan menjalankan operasi lebih kerap selain menjalinkan kerjasama erat dengan polis yang mempunyai kuasa untuk membuat tangkapan dan serbuan.

Categories
NASIONAL

Rumah Kos Rendah Mampu Milik Perlu Di Utamakan

PETALING JAYA, 24 JULAI : Pembinaan rumah kos rendah mampu milik serta penjagaan alam sekitar sihat yang menjadi pilihan majoriti warga bandaraya perlu diberi keutamaan sebagai cadangan untuk dilaksanakan dalam bajet Selangor 2013.

Pelaksanaannya dianggap berpatutan berikutan taraf kehidupan tinggi masyarakat di situ dan pembangunan pesat bandaraya yang memerlukan mereka menjalani kehidupan lebih fleksibel bersesuaian dengan perkembangan semasa.

Penasihat Gabungan Persatuan Penduduk Petaling Jaya, Liew Wei Beng berkata, penduduk memerlukan banyak kemudahan asas dengan perhatian Kerajaan Negeri supaya menyediakan pelbagai kemudahan diinginkan.

“Kerajaan Negeri diharap dapat memenuhi keperluan ini demi rakyat. Selain itu isu penjagaan alam sekitar juga harus dititikberatkan biarpun bandaraya ini mengalami pembangunan pesat. Kita yakin ia mampu dilaksanakan dengan langkah Kerajaan Negeri yang meletakkan kepentingan rakyat sebagai terus utama. Sebagai contoh dailog bajet 2013 yang kali pertama diadakan ini juga adalah bagus dan pendekatan terpuji oleh Kerajaan Negeri.

“Dalam isu ini apa yang penting adalah pelaksanaannya. Kerajaan Negeri sesungguhnya amat memerlukan pandangan rakyat dan kita sebagai rakyat akan membantu apa yang perlu demi kebaikan bersama,” kata Liew kepada TVSelangor selepas Majlis Dialog Bajet Selangor 2013 peringkat Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini hari ini.

Selain itu, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang hadir dalam majlis tersebut turut mencadangkan orang ramai terutama golongan belia diutamakan dalam program pembangunan tempatan seperti program keusahawanan menerusi bantuan mikro kredit.

Isu pungutan sampah turut diberi perhatian dalam majlis tersebut yang mana pihak berkuasa diminta menguruskannya menerusi sistem penyelenggaraan yang lebih menguntungkan dengan kos minimum.

Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar Selangor, Elizabeth Wong berkata sesi dialog dijayakan itu adalah langkah Kerajaan Negeri bagi menarik penyertaan rakyat Selangor dalam pembangunan negeri itu.

Menurutnya, setiap pandangan dikemukakan akan diberi perhatian dan dipertimbangkan Kerajaan Negeri untuk disenaraikan dalam bajet Selangor 2013.

“Kita membuat dailog ini di semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini supaya rakyat terlibat dalam pelaksanaan bajet negeri ini. Setiap pandangan dikemukakan dalam majlis ini akan diteliti dan dipertimbangkan untuk dilaksanakan dalam bajet pada tahun depan. Sekiranya tidak, ia mungkin akan dijayakan pada tahun-tahun akan datang.

“Dalam proses menyediakan bajet negeri, Kerajaan Negeri pimpinan Pakatan Rakyat (Pakatan) memerlukan maklum balas serta input dari rakyat berhubung penambahbaikan dan pelaksanaan aktiviti sosial ekonomi di kawasan PBT masing-masing,” katanya.

Turut hadir, Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor merangkap ADUN Taman Medan, Haniza Talha dan Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohamad Roslan Sakiman.

Categories
SELANGOR

Teng Cadang Warta Semula Padang PKNS Sebagai Kawasan Hijau

SHAH ALAM 5 JUL : Isu Padang Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor di Kelana Jaya dicadang Pengerusi SELCAT, Datuk Teng Chang Kim agar diwartakan semula seebagai kawasan hijau.

Ini bermakna pelbagai pihak yang terbabit daripada awal projek ini perlu kembali mengikut prosedur-prosedur yang sepatutnya mengikut undang-undang yang sah.

Perwartaan itu juga difikirkan perlu kerana terdapat beberapa perkara penting yang didapati tidak menepati spesifikasi yang diperuntukkan akta dan undang-undang sewaktu proses itu dilakukan.

“Mengikut akta, seharusnya permohonan warta itu dipohon oleh pihak Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sebaliknya dalam kes RTPJ2 ia dilaksanakan oleh pihak Jabatan Perancang Bandar dan Desa (JPBD) Selangor,”katanya.

Teng juga memaklumkan dokumen perwartaan berkenaan perlu ditandatangan oleh Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar dan bukan seperti yang berlaku sekarang di mana ia ditandatangi Abdul Khalid sebagai Pengerusi Suruhanjaya Perancang Negeri (SPC).

Dalam pada itu, mengulas keputusan yang dicapai Selcat atau Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan Kebertanggungjawaban dan Ketelusan itu, Teng berkata perkara tersebut akan dibincangkan secara lebih mendalam sebelum sebarang keputusan diambil.

“Kita akan meneliti setiap dokumen yang disediakan bersama semua keterangan saksi untuk memastikan samada perkara ini berpunca dari kesalahan individu tertentu atau ia adalah disebabkan oleh budaya kerja yang cuai, tidak profesional serta kurang cekap.

“Kita akui proses seperti perancang bandar ini melibatkan pelbagai peringkat dan pelbagai kumpulan jabatan terlibat untuk melaksanakannya.

“Jadi kita tidak tolak kemungkinan bahawa kesalahan sebegini adalah lanjutan kepada budaya atau amalan yang dilaksanakan sekian lama tanpa merujuk undang-undang demi memudahkan kerja,” ujarnya sambil menambah Selcat akan meneliti beberapa perkara untuk penambahbaikkan bagi mengelak kejadian sama berulang,” katanya semasa sidang media selepas sesi terakhir pendengaran Selcat berakhir hari ini.

Pendengaran awam Selcat kali ini berkisar mengenai Permohonan Pembangunan Rancangan Tanah Padang Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Kelana Jaya selain meneliti punca terdapat cetakan RTPJ2 versi MBPJ yang menandakan ‘zoning’ padang PKNS tersebut sebagai kawasan komersial, bercanggah dengan status ‘zoning’ sebenarnya.

Cetakan itu mendorong PKNS membuat permohonan untuk membangunkan kawasan berkenaan namun usaha itu akhirnya mendapat bantahan penduduk yang menyedari terdapat cetakan JPBD yang mewartakan kawasan tersebut sebagai kawasan tanah lapang dan rekreasi sepertimana yang diluluskan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada Ogos 2010.

Categories
SELANGOR

SELCAT : Noraini Mengaku Buat Pindaan Ikut Kebiasaan

SHAH ALAM 5 JULAI : Selcat hari ini menyaksikan pengakuan pembetulan pindaan ‘zoning’ yang dilakukan oleh bekas Pengarah Perancang Bandar Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Penolong Pengarah Kanan jabatan itu, Faiwos Abdul Hamid.

Tindakan ini dilabelkan sebagai lalai, tidak profesional dan tidak cekap oleh Jawatankuasa Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat).

Bagaimanapun Noraini dalam penjelasannya memaklumkan bahawa bukan sahaja tanah padang Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) ditukar kepada zon komersil malah terdapat kawasan lain ditukar yang melibatkan sebanyak 59 kawasan dalam Rancangan Tempatan Petaling Jaya 2 (RTPJ2).

Menurutnya, beliau dan jabatannya mengaku meminda ‘zoning’ terbabit berlandaskan amalan yang kebiasaannya dilakukan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) lain dan kurangnya kefahaman undang-undang dan akta yang ada.

Noraini memberitahu bekas Datuk Bandar MBPJ, Datuk Jaafar Mohd Atan ada memberi surat kepada Datuk Bandar yang baru, Datuk Mohammad Roslan Sakiman memaklumkan agar tidak ada pindaan selepas penwartaan berlaku.

Salinan surat turut disisikan kepada Noraini ketika itu.

Ketika ditanya Pengerusi Selcat, Datuk Teng Chang Kim siapa yang mengarahkan pembetulan atau pindaan ini dibuat.

Noraini menjelaskan tindakannya itu hanya mengikut kefahaman dan amalan yang biasa dilakukan dan amalan itu boleh diperbetulkan selagi ia belum dicetak.

“Saya mengaku kesilapan memindanya selepas keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang memutuskan tanah itu sebagai kawasan hijau.

“Saya juga mengaku kurangnya pengetahuan mengenai undang-undang dan akta yang tidak membenarkan pindaan dibuat selepas keputusan MMKN dan penwartaan,” jawab Noraini.

Sementara itu, Faiwos turut mengaku menerima arahan daripada Noraini bagi membuat pembetulan dalam RTPJ2 tersebut.

Katanya, kerja-kerja meminda dilakukan bermula dalam dua bengkel bersama jabatannya pada 21 dan 22 Oktober 2010 dan 13 Januari 2011 sehingga dihantar untuk dicetak pada 15 Ogos 2011.

“Saya mengaku dan bersetuju dengan Datuk pengerusi dan hari ini kami dapat belajar sesuatu,” kata Faiwos.

Dalam pada Teng menegaskan Jabatan Perancangan Bandar perlu bertanggungjawab. Dan sekiranya mahu melakukan sebarang pindaaan ia perlu dimaklumkan kepada MMKN dan bukan membuat keputusan sendiri.

Teng juga memberitahu keputusan pendengaran akan dibawa ke Sidang DUN November depan untuk memberi masa kepada Jawatankuasa Selcat untuk berbincang dan meneliti laporan yang dikemukakan oleh saksi.

“Kita juga akan mencari jawapan sama ada hal ini salah individu atau satu unit,” katanya.

RTPJ2 menimbulkan kontroversi apabila dokumen yang dirujuk Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (JPBD) Selangor mendapati padang awam milik PKNS itu dizonkan sebagai kawasan rekreasi manakala dokumen yang dirujuk oleh MBPJ pula menunjukkannya sebagai zon komersial.

Penduduk dan badan bukan kerajaan membantah apabila mengetahui padang PKNS di Kelana Jaya itu hendak dibangunkan kerana dikhuatiri akan mengurangkan kawasan hijau selain menimbulkan kesesakan lalu lintas.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Status Tanah Berubah Selepas Jumpa Pemaju?

SHAH ALAM 28 JUN : SELCAT yang bersidang hari ini didedahkan bahawa kehadiran pemaju berjumpa dengan bahagian Perancang Bandar Majlis Bandaraya Petaling Jaya(MBPJ) didakwa mengubah status kawasan ‘zoning’ yang sudah digazetkan sebagai rekreasi dan tanah lapang di padang SS7 Kelana Jaya.

Kenyataan saksi daripada bekas Pengarah Perancangan Bandar MBPJ, Noraini Roslan dan Penolongnya, Faiwos Abdul Hamid menimbulkan spekulasi bahawa keputusan penukaran kawasan zoning dipengaruhi oleh pihak pemaju.

Difahamkan, arahan penukaran status berlaku selepas pemaju hadir pada 24 Ogos tahun lalu bagi membuat permohonan memajukan tanah berkenaan dan status tanah itu berubah selepas perjumpaan berkenaan tetapi tiada tarikh khusus yang dinyatakan bila ia berubah.

Oleh yang demikian, Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Keupayaan Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT), Datuk Teng Chang Kim meminta Noraini menyediakan dokumen berkaitan bagi mengetahui tarikh dan siapa yang terbabit dalam pertukaran status tanah tersebut.

Khamis depan ditetapkan oleh Teng bagi Noraini mengemukakan maklumat tersebut.

Sebelum itu, Noraini dalam kenyataannya mendakwa beliau memperolehi maklumat berkenaan potensi kawasan itu untuk dimajukan daripada pihak pemaju ketika beliau masih memegang jawatan itu.

Menurutnya, pemaju berkenaan membuat permohonan untuk memajukan kawasan tersebut namun pada ketika itu, zoning masih lagi diwartakan sebagai kawasan rekreasi dan tanah lapang.

Bagaimanapun, ketika disoal Teng, mengapa permohonan itu wujud dan perlu dilayani, Noraini sekadar mendiamkan diri.

Ekoran itu, seorang lagi ahli SELCAT, Hannah Yeoh mempersoalkan samada perjumpaan bersama pihak pemaju itu yang mempengaruhi keputusan penukaran status zoning terbabit kepada tanah komersial.

“Jadi, selepas kamu berjumpa dengan pemaju, pemaju yang bagi maklumat pada kamu bahawa tanah ini adalah tanah komersial dan boleh dimajukan?

“Ini kerana selepas perjumpaan itu barulah timbul cetakan Rancangan Tempatan Petaling Jaya 2(RTPJ2) versi MBPJ yang mengatakan kawasan itu sebagai komersial berbeza dengan apa yang telah diwartakan sebelum ini,” kata Hannah.

Bagaimanapun tiada jawapan untuk soalan itu walaupun berulang kali disoalkan.

SELCAT juga dimaklumkan Datuk Bandar MBPJ tidak dijemput dalam mesyuarat penyelarasan pindaan bersama pihak Jabatan Perancangan Bandar dan Desa(JPBD).

Noraini menjawab Datuk Bandar tidak perlu dimaklumkan kerana menurut beliau, pada peringkat perbincangan terbabit hanya melibatkan pegawainya sahaja selain menganggap ia tidak penting untuk dimaklumkan.

Categories
SELANGOR

Siapa Arah Ubah, Cetak RTPJ2 Masih Misteri

SHAH ALAM 28 JUN : Hari kedua pendengaran awam SELCAT mengenai Permohonan Pembangunan Rancangan Tanah Padang PKNS Kelana Jaya masih lagi gagal mengesan siapa mengarahkan mencetak dan mengubah Rancangan Tempatan Petaling Jaya 2 (RTPJ2) versi cetakan Majlis Bandaraya Petaling Jaya(MBPJ).

Semalam, Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT) dikejutkan dengan maklumat terdapat dua versi RTPJ2 yang berbeza antara cetakan MBPJ dengan cetakan yang dikeluarkan Jabatan Perancang Bandar dan Desa (JPBD) Selangor.

Bekas Pengarah Perancang Bandar MBPJ, Noraini Roslan serta timbalannya, Faiwos Abdul Hamid ketika disoal mengenai persoalan siapa mengeluarkan arahan bagi menukar ‘zoning’ kawasan yang sudah digazetkan sebagai rekreasi dan tanah lapang itu sewaktu sesi pendengaran pagi tadi bagaimanapun gagal menjawab soalan tersebut.

Sehubungan itu, Pengerusi SELCAT, Datuk Teng Chang Kim mengarahkan agar persidangan hari ini ditunda hingga Khamis depan (5 Julai) bagi memberi peluang kedua mereka mengemukakan ‘minit mesyuarat’ yang berkaitan untuk menjawab persoalan yang disifatkan sebagai satu kesalahan yang serius dan melanggar undang-undang.

“Perkara ini penting, kita ingin tahu samada ia merupakan arahan individu tertentu atau ia adalah keputusan bersama dan pastinya semua ini ada hitam putihnya.

“Ini bukan perkara kecil yang boleh diputuskan oleh orang sembarangan, jadi kita mesti mencari jawapan apa, siapa atau dimana punca segala permasalahan ini berlaku,” tegasnya.

Terdahulu, Faiwos ketika pertama kali disoal mengenai arahan menukar ‘zoning’ kawasan tersebut berkata keputusan menukar ‘zoning’ diarahkan pihak JPBD namun dakwaan itu disangkal Timbalan Pengarah JPBD, Nor Asiah Bee Mohd Hanif yang hadir di dalam dewan.

“Kenyataan itu tidak benar sama sekali kerana mengikut lampiran surat seperti diperkatakan, mesyuarat tersebut bertujuan berbincang mengenai pengurusan percetakan RTPJ2 yang diwartakan sahaja.

“Untuk pengetahuan, pihak JPBD tidak pernah menyentuh hal pindaan ‘zoning’ dan pihak kami dari awal draf sampai peringkat pewartaan adalah sentiasa konsisten bahawa kawasan tersebut kekal sebagai zon hijau iaitu kawasan tanah lapang dan rekreasi,” ujar Nor Asiah tegas.

Selain ketiga-tiga mereka, turut memberi keterangan hari ini ialah Adun Seri Setia Nik Nazmi Nik Ahmad serta Penyelidik Kanan Institut Penang, Datuk Dr Goh Ban Lee yang berpengetahuan luas dalam sektor perancangan bandar.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Unsur Penipuan Punca Wujud Dua Pelan Pembangunan

SHAH ALAM 27 JUN : Jawatankuasa khas SELCAT telah memulakan siasatan ke atas kontroversi pembangunan sebuah padang di Kelana Jaya yang telah mencetuskan bantahan penduduk dengan pendengaran awamnya hari ini.

Pendengaran awam ini bagi meneliti bagaimana dua buah rancangan tempatan diterbitkan oleh Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), yang mempunyai maklumat yang bercanggah tentang padang tersebut.

Percanggahan ini menyebabkan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) cuba untuk membangunkan padang tersebut di SS7 Kelana Jaya dengan pusat komersial.

Pusat it mempunyai tujuh blok apartmen servis 35 tingkat, kompleks sukan dan pusat perniagaan 15 tingkat terdiri daripada bangunan pejabat dan pusat membeli-belah.

Pada sesi hari ini, seorang Ahli Majlis MBPJ Derek John Fernandez mengesyaki terdapat unsur-unsur penipuan di dalam isu penggunaan tanah padang itu.

Beliau memberitahu terdapat percanggahan cetakan antara Rancangan Tempatan Petaling Jaya 2 (RTPJ2) yang dikeluarkan Jabatan Perancangan Bandar, MBPJ, dengan cetakan yang dibuat Jabatan Perancang Bandar dan Desa (JPBD) Selangor.

“Ia sangat meragukan kerana tanah tersebut awalnya diwartakan sebagai zon padang dan rekreasi sepertimana yang terdapat dalam cetakan RTPJ 2 salinan JPBD.

“Sebaliknya di dalam cetakan MBPJ ia dikatakan zon komersial dan saya dimaklumkan oleh seorang pegawai ketika ditanya, ianya memang sedia untuk dibangunkan ‘service apartment’.

“Saya sifatkan perkara ini bukan suatu kesilapan teknikal percetakan dan sebagainya.

?Sebaliknya saya percaya ia adalah satu rancangan penipuan dan penyelewengan yang pasti memberi keuntungan kepada pihak tertentu,” tegasnya yang juga merupakan seorang peguam.

Derek juga berkata pindaan demi pindaan yang dilakukan selepas tanah tersebut diwartakan sebagai kawasan lapang dan rekreasi amat meragukan.

“Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) telah meluluskan draf pertama dan itulah buku yang sah di sisi undang-undang.

“Persoalannya mengapa ia dipinda berulang kali setelah diluluskan tanpa dibentang semula ke MMKN walaupun selepas diwartakan.

?Ini amat bertentangan dengan undang-undang,” ujarnya di hadapan SELCAT iaitu Jawatankuasa Pilihan Khas Keupayaan Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (SELCAT).

Selain Derek, turut memberi keterangan hari ini ialah Pengarah Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Selangor, Mohd Zaki Ibrahim, Datuk Bandar MBPJ, Datuk Mohamad Roslan Sakiman serta Penolong Pengarah Kanan Perancang Bandar MBPJ, Faiwos Abdul Hamid.

Categories
SELANGOR

MB: Kemajuan PJ Seiring Kemajuan Selangor

PETALING JAYA, 20 JUN : Kerajaan Negeri berbangga dengan Petaling Jaya yang mencapai tahap kemajuan pesat seiring pembangunan Selangor sebagai negeri maju di negara ini.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menjalankan perancangan yang teliti demi pembangunan Petaling Jaya hingga berjaya mewujudkan persekitaran harmoni hingga menjadikan bandaraya ini sesuai diduduki dan menjadi pilihan majoriti masyarakat.

Katanya, Petaling Jaya berkembang sebagai bandaraya ilmu berikutan segala kemudahan lengkap yang wujud di kawasan kendalian MBPJ itu bagi memenuhi keperluan masyarakat yang mendiaminya.

“Konsep banda raya keluarga amat sesuai bagi Petaling Jaya kerana ia memenuhi keperluan semua peringkat usia dan golongan dengan segala kemudahan yang ada. Ia membangun secara pesat dengan pertambahan penduduk yang menbanggakan. Semuanya ada di sini dengan kemudahan tempat bersukan, tempat bagi mewujudkan perniagaan, tempat menuntut ilmu dengan sekolah, kolej hingga universiti dan sebagainya. Ia sesuai untuk semua.

“Perkembangan ini amat membanggakan kerana dari sebuah bandar kecil dalam masa singkat Petaling Jaya berkembang maju menjadi banda raya contoh dengan pertumbuhan ekonomi mampan. Belanjawan bagi Petaling Jaya sebanyak RM281 juta dalam tahun ini juga melebihi Negeri Sembilan dan Melaka,” katanya ketika berucap dalam majlis Kenduri Rakyat sempena sambutan Ulangtahun ke enam anjuran MBPJ di Dataran Petaling Jaya di sini semalam.

Abdul Khalid berkata, penganjuran Kenduri Rakyat itu juga adalah selari dengan agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) yang diperkenalkan di mana rakyat turut serta dalam kemajuan negeri serta berkongsi menikmati hasil pulangannya.

Seramai kira-kira 5,000 orang hadir dalam majlis tersebut yang diserikan dengan pelbagai pertunjukan bagi menghiburkan hadirin.

Turut hadir, Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohamad Roslan Sakimin.

Orang ramai ditemui turut melahirkan kebanggaaan dengan Petaling Jaya dan gembira menjadi warganya.

Zamir Zakaria, 27, dari Taman Datuk Haron berkata, dia mendiami banda raya ini sejak kecil dan mengikuti perkembangannya dari dekat.

“Ia kini menjadi banda raya kebanggaan semua dengan segala kemudahan serba moden. Penganjuran majlis sebegini juga bagus kerana ia mendekatkan kita dengan komuniti yang ada di sini,” katanya,

Nurul Yaakob, 25, pula menjelaskan pembangunan terancang dialami Petaling Jaya adalah begitu menarik hingga menjadikan bandaraya yang berjaya dalam banyak bidang hingga menjadikan MBPJ sebagai antara Pihak Berkuasa Tempatan yang terbaik.

Categories
NASIONAL

Shamsul: Daftar Pemilih Masih Boleh Dibawa Ke Mahkamah

SHAH ALAM, 11 JUN: Daftar Pemilih Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masih boleh dicabar di mahkamah kerana daftar pemilih terbaru masih belum digazetkan lagi.

Demikian beritahu Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin kepada TVS ketika ditemui di Dewan Siviks MBPJ, Petaling Jaya semalam.

“Ia boleh dilakukan kerana daftar pengundi baru yang ada telah wujud banyak bantahan, yang ini belum digazetkan lagi. Saya ingat ini dapat dilaksanakan.

“Saya juga dapat tahu perjalanan semakan di Selangor sedang berjalan dengan laju supaya ia dapat di atasi,” kata beliau.

Shamsul yang juga merupakan pengamal undang-undang memberitahu daftar pemilih yang digazetkan tidak boleh dicabar di mahkamah.

“Jadi saya percaya usaha Kerajaan Selangor ini berkisar dengan kesalahan dalam Akta Pilihan Raya seperti siapa yang sepatutnya mengundi tetapi dibenarkan mengundi,” ujarnya lagi.

Bagaimanapun menurut Shamsul satu kajian mendalam boleh dijalankan bagi mengenal pasti peruntukan khas yang membolehkan samada Kerajaan Selangor atau pengundi memfailkan kes terhadap penipuan yang wujud dalam daftar pemilih.

Pada tahun 2002, satu pindaan terhadap Akta Kesalahan Pilihan Raya iaitu seksyen 9A Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Pindaan 2002) telah dibuat bagi membolehkan daftar pemilih yang telah digazetkan tidak boleh dibawa ke mahkamah oleh mana-mana pihak.

“Undang-undang yang menghalang daftar pemilih dicabar di mahkamah adalah daftar yang drakonian, tidak lojik.

“Apa yang penting lagi, pendirian Kerajaan Selangor bahawa sekiranya daftar pemilih tidak bersih mereka tidak bercadang mengadakan pilihan raya di mana saya rasa itu satu cabaran kepada SPR untuk membersihkan daftar itu sendiri.

“Dengan adanya bukti-bukti ini, tentunya SPR akan terkesan dengan tindakan Kerajaan Selangor,” ujarnya lagi.

Sebelum itu, Kerajaan Selangor dalam usaha memastikan daftar pemilih SPR bersih dari unsur penipuan telah menjalankan kempen ‘Selangorku Bersih’.

Kempen yang sedang rancak dijalankan itu turut melibatkan pemimpin Kerajaan Negeri dan juga tempatan bagi mengenal pasti pengundi-pengundi sebenar di kawasan mereka.

Kerajaan negeri turut memperuntukkan RM 5 juta untuk Program Pendemokrasian di bawah Geran Selangorku sebagai inisiatif khusus bagi membolehkan semua pihak tanpa mengira parti politik membuat bantahan jika terdapat mana-mana pengundi yang meragukan.

Categories
NASIONAL

Anwar Kemuka Cabaran Balas, Minta Muhyiddin Dedahkan Akaun

PETALING JAYA, 10 JUN: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencabar Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mendedahkan akaun dan aset yang dimilikinya.

“Saya cabar Muhyiddin dedahkan semua akaun dan aset milik beliau dan saya akan dedahkan segala akaun dan aset yang saya ada dengan terbuka,” kata Anwar dalam Forum Agenda Ekonomi Malaysia di Dewan Sivik MBPJ, Petaling Jaya.

Menurut Anwar, gesaan yang dibuat oleh Muhyiddin baru-baru ini membuktikan Umno-BN semakin terdesak sehingga terpaksa membangkitkan isu lama.

Muhyiddin mengesa Anwar menjelaskan dakwaan pemilikan 20 akaun induk membabitkan aset, saham dan wang bernilai RM3 bilion seperti terkandung dalam akuan berkanun bekas Penolong Gabenor Bank Negara Datuk Abdul Murad Khalid pada Oktober 1999.

“Jika saya bersalah dalam isu ini, saya yakin tentu saya ditahan, disiasat semenjak tahun 1998 lagi,” ujar Anwar lagi.

Rentetan fitnah akuan bersumpah tersebut, Anwar mencabar kerajaan Malaysia menjalankan inkuiri siasatan terhadap dakwaan Abdul Murad terhadapnya.

Bekas Pengarah Bahagian Siasatan Badan Pencegah Rasuah (kini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Abdul Razak Idris menyiasat akuan berkanun itu sehingga ke Singapura dan United Kingdom, tetapi tiada sebarang bukti ditemui bagi mengesahkan dakwaan itu.

Pada 25 November 2009, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang diwakili oleh Pesuruhjaya Kehakiman, Harmindar Singh Dhaliwal mengarahkan New Straits Times Press (M) membayar gantirugi RM100,000 kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung penyiaran satu artikel berunsur fitnah pada 2002.

Mahkamah juga memerintahkan supaya media arus perdana itu membayar kos RM20,000 kepada Anwar.

Sementara itu, ketika menyentuh isu Pembekuan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) kepada mahasiswa Universiti Selangor (Unisel) dan Kolej Universiti Islam Selangor sebagai satu kesilapan besar yang dilakukan oleh pihak PTPTN dan Kementerian Pengajian Tinggi.

“Dalam isu PTPTN dia dah buat kesilapan besar dan saya nampak ada kebangkitan kemarahan rakyat kerana dia anggap dana itu bagaikan dana peribadi.

“Kalau dana negara tak boleh buat macam itu, mana boleh guna dana negara ugut orang.

“Bagaimanapun dia dah betulkan dan kita terima baik, jadikan itu satu pengajaran. Jalankan dasar itu dengan baik dan telus.

Anwar juga sekali lagi melahirkan keyakinan terhadap kemampuan Pakatan Rakyat menyediakan pendidikan percuma kepada rakyat sekiranya diberi kepercayaan menerajui Putra Jaya nanti.

Sebelum itu ketika berucap dalam sesi dialog Agenda Ekonomi Malaysia anjuran Persatuan Syarikat Perniagaan dan Perindustrian Selangor antara perubahan ekonomi yang telah dirancang ialah penswastaan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

?Urusan kerajaan bukan berkaitan perniagaan atau mengambil alih perniagaan. Peranan kerajaan hanyalah untuk memerhati dan membantu urus sahaja.

?Sekarang negara ini mempunyai kemampuan maka kita seharusnya menggalakkan sektor swasta dalam perniagaan. GLC sepatutnya diperkecilkan atau diswastakan,? jelas Anwar di hadapan kira-kira 1,000 hadirin.

Beliau turut melahirkan kepercayaan terhadap profesionalisme penjawat awam sekiranya berlaku peralihan kuasa dari BN kepada Pakatan Rakyat.