Categories
NASIONAL SELANGOR

Kerajaan Selangor Tubuh Suruhanjaya Siasat Penipuan PRU-13 – FOKUS

Sinopsis

FOKUS Untuk 2062013

Saksikan secara langsung “FOKUS” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT setiap jam 2.00 Petang dan 6.00 Petang. Pelbagai berita dan maklumat terkini negeri dan nasional yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Pakatan Rakyat menggesa agar kerajaan tidak tergesa-gesa melaksanakan Cukai Perkhidmatan dan Barangan (GST) kerana kerajaan masih gagal meningkatkan pendapatan perkapita penduduk negara ini di tahap yang memuaskan.

2. Kerajaan Selangor akan menubuhkan suruhanjaya bagi menyiasat dakwaan penipuan dan pelanggaran peraturan pilihan raya di negeri ini pada Pilihan Raya Umum ke-13 bulan lalu.

3. Kerajaan Negeri akan melantik Institut Kerja Raya Malaysia (IKRAM) bagi menyiasat punca sebenar masalah kerosakan struktur bangunan Pangsapuri Indah Ria yang dikhuatiri mengancam nyawa penduduk.

4. Kerajaan Negeri akan menganjurkan Bengkel Sumbang Saran Halatuju Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Selangor di Perpustakaan Raja Tun Uda, Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Seksyen 13 Shah Alam, Sabtu ini.

5. Satu aktiviti flashmob besar-besaran bakal diadakan Jumaat ini menjelang Himpunan Blackout pada Sabtu, 22 Jun ini.

6. Flashmob SuaraRakyat505 akan diteruskan serentak di enam lokasi esok dan di 4 lagi lokasi keesokan harinya, sementara Malaysia bersiap-sedia menghadapi himpunan aman Black505 di ibu negara, Sabtu ini.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Gangguan Air Lebih 2 Hari Libat 74,890 Pengguna KL-Selangor – FOKUS


 

Sinopsis

FOKUS Untuk 18062013

Saksikan secara langsung “FOKUS” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT setiap jam 2.00 Petang dan 6.00 Petang. Pelbagai berita dan maklumat terkini negeri dan nasional yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Exco Kebajikan & Hal Ehwal Wanita Rodziah Ismail berkata Program-program berteraskan kebajikan menerusi agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) akan digerakkan dengan lebih meluas supaya golongan sasaran mendapat manfaatnya.

2. Beberapa kawasan di Lembah Klang dan Hulu Selangor akan mengalami gangguan bekalan air bermula lapan pagi ini sehingga Khamis 8 malam.

3. Dakwaan dan bukti tentang usaha membawa masuk warga Bangladesh untuk mengundi di dalam Pilihan Raya Umum ke-13 telah diberikan di dalam satu laporan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya Pulau Pinang.

4. Kerajaan Negeri Kelantan tetap akan meneruskan Lebuh Raya Rakyat Kota Bharu-Kuala Krai sekiranya kerajaan persekutuan enggan melaksanakan tanggungjawab tersebut.

Categories
SELANGOR

Selangor Sedia Bantu Biayai Kos Guaman Petisyen Pilihan Raya

mb khalid ibrahim kongres ke 9 PKR 03

BANGI, 10 JUN: Kerajaan Negeri Selangor bersedia mengeluarkan peruntukkan sumbangan bagi membiayai dana kos guaman kepada mana-mana pihak yang memfailkan petisyen pilihan raya.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, langkah tersebut diambil bagi memastikan usaha memperbaiki proses demokrasi di negara ini dapat berjalan dengan lebih lancar.

“Mereka yang menyaman di mahkamah, jika betul kita dapati usaha mereka itu munasabah dan kita Kerajaan Negeri melalui (Program) Pendemokrasian, akan beri sumbangan atas kos guaman mereka,” kata Abdul Khalid ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Penutup Sukan Mahkamah Syariah Kali Ke-2 di sini.

Menurut Abdul Khalid lagi, Kerajaan Negeri sebelum ini turut menjalin kerjasama dengan berkongsikan data yang diperolehi menerusi Program Pendemokrasian Selangor dengan pihak yang yang berusaha mengumpul bukti penyelewengan dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu.

Data-data tersebut diperolehi menerusi kaji selidik yang dijalankan oleh Unit Pendemokrasian Selangor sebelum PRU-13 berlangsung.

“Kita juga membenarkan data-data itu dianalisa, Kerajaan Negeri menggalakkan usaha tersebut untuk melahirkan pilihan raya yang adil dan saksama,” ujar beliau lagi.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri melalui Geran Selangorku mengambil langkah pengukuhkan demokrasi dengan menyediakan peruntukkan berjumlah RM5 juta.

Categories
NASIONAL SELANGOR

MB Yakin Saifuddin Mampu Bantu Laksana Manifesto PR Di Selangor

SUK Saifudin copy

SHAH ALAM 5 JUN : Pelantikan Datuk Saifuddin Nasution Ismail sebagai Pegawai Perhubungan Politik di Pejabat Menteri Besar dilihat dapat membantu Kerajaan Negeri dalam melaksanakan manifesto Pakatan Rakyat yang dibentangkan pada Pilihan Raya Umum Ke 13 lalu.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata Kerajaan Negeri mempunyai kuasa untuk melantik mana-mana individu yang layak bagi membantu menjayakan usaha Kerajaan Negeri.

“Tak payah bincang (perjelas) apa yang dilakukan Kerajaan Negeri untuk mencari individu yang mempunyai keupayaan untuk melaksanakan manifesto yang kita bentangkan dalam PRU13 lalu,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco Selangor, di Pejabat Kerajaan Negeri, di sini.

Abdul Khalid menambah Kerajaan Negeri akan mengadakan pertemuan dengan Saifuddin bersama pegawai Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) pada minggu depan bagi membincangkan usaha meningkatkan pembangunan luar bandar yang akan diterajui Setiausaha Agung PKR itu.

Pelantikan Saifuddin diumumkan oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Kongres Kali Ke 9 parti itu di Petaling Jaya bulan lalu.

Dalam masa yang sama, katanya, isu tuntutan PAS dan DAP terhadap jawatan yang setara dengan Saifuddin turut akan dibincangkan dalam pertemuan itu.

‘BLACKOUT 505’ Diteruskan Sekiranya SPR Membisu – BULETIN 13


 

Sinopsis

BULETIN 13 Untuk 27052013

Saksikan secara langsung “BULETIN 13” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT setiap jam 12.00 Tengahari, 3.00 Petang dan 6.00 Petang. Pelbagai info dan maklumat yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Satu laporan polis telah dibuat pada hari pengundian PRU13 selepas kejadian blackout berlaku di kawasan Parlimen Kulim-Bandar Baharu.

2. Ahli Dewan Undangan Seri Serdang Noor Hanim Ismail menyangkal penafian SPR yang mendakwa kejadian blackout di pusat pengiraan undi Sekolah Kebangsaan Serdang 5 pada hari pengundian PRU13 adalah lakonan.

3. Rakyat yang membantah keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) harus bersedia untuk turun ke Dataran Merdeka sekiranya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terus tidak menghiraukan dakwaan penipuan dan penyelewengan yang berlaku dalam PRU 13 yang lalu.

4. Identiti ‘pembunuh’ Dharmendran, yang mati dalam tahanan polis Kuala Lumpur sudah diketahui.

Layari http://www.selangorkini.net

Categories
NASIONAL

PKR Mula Failkan Petisyen 29 Kerusi Minggu Depan

SPR tipu suara rakyat 505 pj 01

PETALING JAYA, 27 MEI: Bermula minggu ini, PKR akan mula memfailkan petisyen bagi mencabar keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 di 29 kerusi parlimen berhubung kepincangan yang berlaku dalam proses pengundian.

Petisyen tersebut akan difailkan di Mahkamah Tinggi mengikut negeri masing-masing.

Demikian menurut Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli dalam ucapannya di hadapan kira-kira 50,000 hadirin yang membanjiri Himpunan Kemuncak Suara Rakyat 505 di Padang Timur MBPJ Sabtu lalu.

Rafizi turut menempelak Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang menurutnya diperkudakan oleh Umno-BN.

“Kalau rakyat beritahu ada penipuan, mereka (SPR) patut cakap… baik rakyat, kami akan siasat seadil-adilnya, susah sangat ke nak cakap macam itu?

“Kalau ketagih sangat nak jadi ahli politik, letak jawatan sekarang juga, jangan jadi Timbalan Pengerusi SPR,” kata Rafizi.

Sementara itu Pengerusi Bersama Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH), Datuk Ambiga Sreenevasan pula percaya kegagalan fungsi dakwat kekal sememangnya sudah diketahui oleh SPR sendiri sebelum pilihan raya bermula.

“Sebab itulah SPR tidak mahu mengadakan demonstrasi dakwat kekal sebelum pilihan raya kerana dia sudah tahu dakwat tersebut tidak kekal,” ujar Ambiga.

Pakatan Rakyat mempercayai PRU-13 yang berlangsung pada 5 Mei lalu adalah yang terkotor di dalam sejarah negara.

Bagaimanapun keputusan pilihan raya tersebut boleh dicabar dengan mengemukakan petisyen atau bantahan terhadap proses pengundian itu selepas pewartaan keputusan oleh SPR.

Petisyen tersebut hendaklah dibuat dalam tempoh 21 hari daripada tarikh keputusan pilihan raya diwartakan.

Categories
NASIONAL

AMK Desak PR Pecat Anggota Ingkar Arahan Parti

Shamsul Iskandar Kongres

PETALING JAYA, 25 MEI: Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin dalam ucapan dasarnya dalam Kongres AMK hari ini mendesak agar semua parti komponen Pakatan Rakyat (PR) memecat mana-mana kepimpinan dan ahli parti yang ingkar arahan parti masing-masing.

“AMK mendesak semua parti komponen PR, baik PKR, DAP mahupun PAS memecat  mana-mana pimpinan atau ahli yang gagal akur arahan parti dan tidak dibenarkan kembali semula ke dalam mana-mana parti komponen PR,” kata beliau.

Menurut Shamsul lagi, pendekatan memecat ahli yang ingkar ini harus diambil bagi memperkukuhkan ukhuwah PR sebagai sebuah entiti yang diyakini rakyat.

Dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu, beberapa ahli dan pemimpin parti komponen PR bertindak mengemukakan borang pencalonan masing-masing hingga menyebabkan berlaku pertembungan sesama sendiri.

Tindakan tersebut menyaksikan selain gagal merampas kerusi tradisi BN, PR juga kehilangan beberapa kerusi yang dimenangi dalam PRU-12 lalu.

Selain itu, terdapat juga beberapa anggota PR yang bertanding atas tiket bebas ekoran tidak berpuas hati apabila tidak dicalonkan.

Categories
NASIONAL

AMK Gesa PR Asak ROS Luluskan Pendaftaran PR

kongres PKR 3

PETALING JAYA, 24 MEI: Angkatan Muda Keadilan (AMK) hari ini menggesa agar Pakatan Rakyat (PR) mengasak Pendaftar Pertubuhan (ROS) supaya segera meluluskan pendaftaran PR sebagai sebuah entiti.

Ini kerana menurut Ketua AMK, Shamsul Iskandar Md Akin kegagalan berbuat demikian hanya menyukarkan untuk PR bergerak sebagai sebuah entiti sehingga berlaku pertembungan sesama sendiri dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu.

“Ia masih menunjukkan kelemahan PR untuk menjamin kesatuan dan kerjasama dalam memfokuskan sasaran dengan menumbangkan satu sahaja musuh; BN.

“Sehubungan itu, sudah sampai masanya, bagi PR terus menggasak ROS bagi meluluskan PR sebagai sebuah entiti dengan fokus ‘satu parti, satu bendera, satu pengerusi dan satu manifesto,” ujar Shamsul dalam ucapan dasarnya dalam Kongres AMK di Dewan Sivik Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ) di sini.

Sebelum ini, PR mengemukakan permohonan pendaftarannya pada 2010 namun menghadapi halangan yang mana ROS mengkehendaki ia didaftar sebagai ?Pakatan Rakyat Malaysia?.

ROS turut menolak pendaftaran PR dengan alasan Datuk Zaid Ibrahim yang ketika itu bertindak sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pendaftaran tersebut sudah keluar dari PR.

PR selepas itu memasukan pendaftaran baru dengan menamakan Datuk Kamaruddin Jaffar sebagai Pengerusi Jawatankuasa Penaja PR yang baru.

Bagaimanapun menurut Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dalam satu sidang media pada 3 Januari lalu, sehingga kini RoS masih tidak  memberikan sebarang jawapan terhadap permohonan tersebut.

Categories
NASIONAL

AMK Minta SPR Jawab 10 Soalan

Shamsul Iskandar Kongres

PETALING JAYA, 24 MEI: Angkatan Muda Keadilan (AMK) hari ini menggariskan 10 persoalan yang perlu dijawab Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai syarat bagi sayap parti itu mengiktiraf keputusan Pilihan Raya Umum Ke-13 yang  berlangsung pada 5 Mei lalu.

Menurut Ketua AMK, Shamsul Iskandar Md Akin, antara persoalan yang perlu dijelaskan SPR, isu daftar pemilih yang gagal dibersihkan dan isu penggunaan dakwat kekal yang boleh dihilangkan hanya dalam masa beberapa jam sahaja.

“Secara faktanya, menurut laporan Akhbar Focus Malaysia keluaran minggu ke 23/2013, dilaporkan pengakuan pengerusi SPR sendiri bahawa terdapat 42,000 nama yang diragui dalam senarai daftar pemilih terkini.

“Dikebanyakkan negara, keseluruhan keputusan pilihan raya akan diisytiharkan tidak sah sekiranya daftar pemilih itu tidak dibersihkan,” kata Shamsul dalam ucapan dasarnya di Kongres AMK dalam Kongres Nasional Keadilan Ke-9 di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini.

Isu lain yang perlu dijelaskan SPR, laporan ejen-ejen pilihan raya yang tidak dibekalkan borang 14, dakwaan bekalan elektrik terputus sewaktu pengiraan undi, terdapat peti undi dibawa masuk di saat akhir, dakwaan terdapat pengundi diberikan kertas undi tidak dicop dan nombor siri direkodkan.

Shamsul turut meminta SPR memberikan penjelasan berhubung isu dakwaan kertas undi pengundi luar negara yang mempunyai kesan bertanda, liputan yang adil dari media elektronik yang dibiayai pembayar cukai, isu keselamatan peti undi pengundi awal yang disimpan dalam lokap dan pembetulan lokaliti yang didakwa menyukarkan pengundi.

“(Pengerusi SPR) Tan Sri Abdul Aziz Yusof perlu bertanggungjawab bukan hanya kepada Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, malah kepada seluruh rakyat Malaysia,” kata Shamsul lagi.

“Sejumlah RM400 juta duit pembayar cukai digunakan untuk mengendalikan PRU-13, merupakan tertinggi dalam sejarah dan tentunya rakyat Malaysia menuntut kepada satu penjelasan yang mengesankan dan bukan penafian semata-mata,” katanya lagi.

Sebelum itu, Kongres AMK dan Wanita yang dihadiri hampir 1,500 perwakilan, pemerhati dan jemputan khas itu dirasmikan secara serentak oleh Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali.

Sementara Kongres Nasional Keadilan Ke-9 yang sepatutnya diadakan pada penghujung tahun lepas pula akan dilangsungkan keesokkan hari di dewan sama.

Categories
NASIONAL

Zuraida: Wanita Perlu Peka Isu Semasa

Wanita kongres 2

PETALING JAYA 24 MEI : Ketua Wanita PKR menyeru semua kompenan wanita parti itu lebih peka dengan isu semasa dan mampu berhujah diperingkat akar umbi dalam menghadapi Pilihan Raya Umum Ke 14 akan datang.

Ketuanya, Zuraida Kamaruddin berkata, walaupun Pilihan Raya Umum Ke 13 baru berlalu, tetapi gerak kerja pilihan raya akan datang harus dipersiapkan kini.

“Kita mahu wanita lebih peka dengan isu semasa supaya kita dapat mendedahkan kepada rakyat tentang penyelewengan yang dilakukan oleh pihak lawan,” katanya dalam ucapan dasar Kongres Nasional ke 9 di Dewan Sivil Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), di sini.

Beliau turut mahu Wanita PKR terus menjadi komposisi penting dalam parti seterusnya mempersiapkan diri menjadi model kepada pemberdayaan wanita seluruh negara.

Dalam pada itu, Zuraida meminta budaya meminggirkan calon wanita seperti yang dilakukan Umno-BN perlu dihakis dalam PKR.

Katanya, sewajarnya Wanita PKR tidak menjadi seperti wanita Umno-BN yang masih lagi ditakuk lama dan gagal mengetengahkan secukupnya calon wanita walaupun sudah 50 tahun bertapak di negara ini.

Wanita kongres 1

Ini berbeza dengan PKR, kerana ada wanita PKR berjaya menjadi Pengarah Pilihan Raya, Wakil Calon, Pengurus Kempen dan Ketua Daerah Mengundi.

Dalam PRU13, Wanita PKR berjaya di tiga kerusi Parlimen (27.3 peratus) daripada 11 kerusi yang ditandingi.

Manakala, berjaya meraih lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (42.1 peratus) daripada 18 kerusi yang ditandingi.

Bagaimanapun, berdasarkan kerusi yang dimenangi, Wanita PKR masih belum berjaya memenuhi kuota 30 peratus penglibatan wanita di peringkat pusat, negeri dan organisasi parti.

Justeru, Zuraida berharap supaya pimpinan pusat parti mempertimbangkan seberapa ramai calon wanita masa depan.

Categories
NASIONAL

Rafizi: Maklumat Petisyen PRU13 Hampir Siap

PRU13 PKR 01

SHAH ALAM, 23 MEI: Pasukan #Siasat PRU-13 bersedia memfailkan petisyen bagi mencabar beberapa keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 yang meragukan sebelum ini.

Ketua Pasukan #Siasat PRU-13, Rafizi Ramli berkata, pihaknya sedang bekerjasama dengan pasukan peguam untuk menyiapkan petisyen berkenaan dan akan melakukannya secara berperingkat.

“Kita sudah bekerja bersama kumpulan peguam dan mereka adalam proses menyedikan petisyen untuk difailkan.

“Kita akan failkan secara berperingkat-peringkat. Maknanya kita tidak menungggu semuanya siap kemudian baru difailkan.

“InsyaAllah kita akan ada 25 hingga 29 petisyen,” katanya kepada TV Selangor.

rafizi 01Ahli Parlimen Pandan itu turut memaklumkan, PKR menumpukan kepada 19 buah kerusi dan 10 Jun merupakan tarikh akhir penghantaran petisyen supaya menepati tempoh 21 hari berbuat demikian.

Berkata mengenai kepincangan yang ditemui melalui siasatan yang dibuat Rafizi menjelaskan, soal integriti peti undi pertikaian dakwat kekal merupakan antara perkara yang dibangkitkan di dalam siasatan mereka.

“Kita banyak tumpukan kepada kes spesifik berlakunya rasuah, pengundi hantu, atau ada bukti Borang 13 dan 14 jumlah kertas undi tidak sama. Itu antara petisyen yang sedang disiapkan,” maklumnya lagi.

Bagi Pengarah Pilihan Raya DAP, Dr Ong Kian Ming memaklumkan, antara kerusi yang diberikan perhatian oleh DAP adalah Parlimen Labis, Cameron Highland dan Bentong.

Menurutnya, keputusan dikawasan berkenaan dicabar ekoran kekalahan DAP dengan majoriti bawah 1,000 undi.

Sementara di pihak PAS, Peguam Asmuni Ani dalam reaksi ringkas memberitahu pihaknya akan mengadakan mesyuarat bersama pimpinan tertinggi malam ini berhubung penyerahan petisyen PRU-13 terutama dalam mendapatkan maklumat di beberapa negeri yang ditandingi.

Untuk rekod, parti politik dan calon bertanding mempunyai hak untuk mencabar keputusan pilihan raya melalui cara memfailkan petisyen di Mahkamah Tinggi di kawasan negeri yang dipertikaikan tidak kira atas apa alasan.

Perkara ini dijamin dibawah Perkara 118 Perlembagaan Persekutuan.

Categories
NASIONAL

Kongres Nasional PKR Bincangkan Pilihan Raya, Penangguhan Pemilihan

kongres ke 9 web size

PETALING JAYA, 22 MEI: Kongres Nasional PKR ke-9 yang diadakan pada hujung minggu ini akan membincangkan usul yang berkisar tentang penyelewengan dan penipuan yang didakwa berlaku di dalam Pilihan Raya Umum ke-13.

Menurut Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail, PKR akan menentukan samada untuk mengangguhkan pemilihan jawatan di dalam parti selepas kongres tersebut berakhir.

Selain itu, hala tuju PKR turut akan dibahaskan di kongres dua hari itu yang bakal berlangsung di Petaling Jaya.

Saifuddin berkata kongres yang bakal dihadiri kira-kira 2,500 perwakilan dari 221 cabang, pemerhati dan jemputan khas itu merupakan Kongres 2012 yang sepatutnya diadakan pada November tahun lalu.

“Pada bulan November tahun lepas PKR lebih beri tumpuan kepada persiapan pilihan raya, maka kita menangguhkan kongres tersebut,? kata Saifuddin.

Ketika menjawab satu soalan, Saifuddin menjelaskan keputusan untuk menangguhkan pemilihan parti akan dibuat selepas kongress.

Kongres Angkatan Muda Keadilan dan Wanita PKR akan berlangusng pada 24 Mei dan dirasmikan serentak oleh Timbalan Presiden, Mohd Azmin Ali.

Manakala Kongres Nasional akan diadakan pada hari Sabtu berikutnya.