Categories
NASIONAL SELANGOR

Penyusunan air selesai akhir tahun ini

mb airSHAH ALAM, 11 SEPT : Penyusunan semula industri air di Selangor akan diselesaikan sebelum 31 Disember tahun ini setelah Kerajaan Negeri mendapat pengesahan daripada Kerajaan Pusat.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata perkara berkenaan diputuskan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) dalam satu surat bertarikh 9 September lalu.

Dalam surat itu, Menteri KeTTHA Datuk Seri Maximus Ongkili menyatakan bahawa Kementerian sudah mempertimbangkan semua hujah dan fakta yang dikemukakan Kerajaan Negeri dan yakin ia mampu diselesaikan.

“Kerajaan Negeri mengucapkan terima kasih kepada Menteri terlibat yang secara peribadi memberi komitmen bagi memastikan pengurusan air diserahkan semula kepada Kerajaan Negeri selaras dengan Akta Industri Perkhidmatan Air (Wasia) 2006.

“Kita mengulangi kesediaan untuk mengambil alih operasi air secepat mungkin memandangkan penyelesaian isu ini semakin hampir dicapai,” katanya dalam sidang media di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.

Surat itu juga menyatakan pihak Kementerian akan mengadakan perjumpaan bersama pemilik saham syarikat konsesi selewat-lewatnya minggu depan untuk berbincang mengenai proses dan tatacara penyusunan semula air yang akan dilaksanakan.

“Kita (Kerajaan Pusat dan negeri) mempunyai sasaran sama untuk menyelesaikan perkara ini demi penyusunan semula industri air di negeri Selangor,” katanya lagi.

Turut dimaklumkan, pemberian air percuma akan diteruskan dalam tempoh beberapa tahun lagi seperti yang terkandung dalam manifesto Pakatan Rakyat (PR) Selangor sekiranya penyusunan industri air dapat diselesaikan.

Syabas diheret ke Tribunal Tuntutan Pengguna

syabasSHAH ALAM, 11 SEPT : Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) diheret ke Tribunal Tuntutan Pengguna kerana didakwa gagal menguruskan bekalan air dengan baik sehingga menjejaskan penduduk sekitar Lembah Klang.

Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli mewakili 15 penduduk di sekitar Ampang dan Pandan mengemukakan fail tuntutan tribunal terhadap Syabas berikutan beberapa siri gangguan bekalan air sejak tahun lalu.

Katanya, 15 fail tuntutan ini merupakan usaha peringkat awal dan menuntut pampasan sebanyak RM50 bagi setiap satu hari berlaku gangguan air.

“Kertas salinan ini akan dihantar kepada Syabas, dan Syabas perlu hadir tiga minggu dari sekarang untuk membela dirinya kenapa tidak berjaya memastikan bekalan air di Selangor boleh dibuat dengan baik dan tidak menyusahkan pengguna.

Petisyen ini berhubung gangguan bekalan air disebabkan oleh kerosakan sistem paip di Rumah Pam Wangsa Maju yang mengakibatkan gangguan bekalan air selama tiga minggu pada Disember 2012, dan sekali lagi pada 27 Ogos lalu.

Rafizi berkata demikian selepas mengemukakan fail tuntutan itu di Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan di Menara MRCB, Shah Alam.

“Ini soal untuk memastikan Syabas bertanggungjawab kepada pengguna, sebab sebelum ini dia tak perlu jawab kepada sesiapa, kalau dia nak potong air, dia potong saja, dua minggu ke tiga minggu pun dia tak beritahu. Pengguna perlu tahu bahawa mereka ada hak kalau berlaku gangguan seperti ini,” ujarnya lagi.

Rafizi berkata pihaknya sudah menerima 200 lagi fail tuntutan daripada penduduk Ampang, Pandan, Kelana Jaya dan Klang yang juga mahu Syabas bertanggungjawab diatas kesulitan yang mereka hadapi.

“Selama ini rakyat tak mampu nak ambil tindakan kerana Syabas dilindungi perjanjian konsesi dan kita tak boleh nak akses fail mereka disamping kos peguam yang terlalu mahal,” katanya.

Rafizi menegaskan pengguna mempunyai hak di bawah Seksyen 53 Akta Perlindungan Pengguna 1999 yang memperuntukkan setiap perkhidmatan harus disertai jaminan dan ia perlu dijalankan dengan teliti dan baik.

Rafizi mendakwa Syabas tidak menjalankan tugas dengan teliti dan berkemahiran seperti yang dituntut dalam undang-undang dengan membiarkan kerosakan paip secara berulang.

Tribunal menetapkan tarikh 3 Oktober 2013 bagi mendengar tuntutan 15 penduduk berkenaan.

Categories
NASIONAL SELANGOR

MB: Selangor tumpu pembangunan desa yang diabai sejak 56 tahun merdeka

logo-merdeka-2013-wallpaperSHAH ALAM 31 OGOS : Pentadbiran telus dan berhemah yang dilaksanakan Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat sejak lima tahun lalu membolehkan setiap rakyat mendapat pelbagai kemajuan dan kemudahan yang disediakan, kata Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Menteri Besar Selangor itu berkata, setiap rakyat tidak kira perbezaan agama dan bangsa tidak terlepas daripada menikmati pelbagai manfaat melalui skim dan program yang dilaksanakan sejak mengambil alih pentadbiran daripada kerajaan terdahulu.

Katanya, Kerajaan Negeri kini menumpukan kepada pembangunan desa yang dahulunya diabaikan supaya pendapatan masyarakat kampung dapat ditingkatkan selari dengan pembangunan di bandar.

“Sejak Kerajaan Negeri diterajui Pakatan Rakyat, dari pentadbiran telus, bersih dan berhemah, pelbagai program dan strategi di buat, impak kemajuan diagih kepada rakyat, dari usia bayi ke liang lahad, yang miskin, yang berada, yang bekeluarga, yang bujang, tiada anak Selangor tertinggal mendapat kemajuan dan kemudahan yang diberikan.

“Pembangunan desa mahu diketengahkan setelah 55 tahun gagal dimaju, pelbagai pemberian agar pendapatan penduduk kampung dapat ditingkatkan, Kerajaan Pakatan Rakyat jadikan ia antara tumpuan,” katanya.

Abdul Khalid berkata demikian dalam ucapannya sempena Sambutan Kemerdekaan ke-56 peringkat negeri Selangor yang bertemakan ‘Rakyat Bersatu, Selangorku Maju’ di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam, di sini malam tadi.

Turut hadir di majlis itu, Tengku Panglima Diraja Selangor, barisan Exco Selangor, pegawai-pegawai Jabatan Kerajaan serta lebih 30,000 pengunjung berbilang bangsa.

Sementara itu, Abdul Khalid berkata, Kerajaan Negeri akan meneruskan kecemerlangan pentadbiran supaya setiap rakyat di Selangor menikmati setiap kemajuan yang akan dilaksanakan.

“Kerjasama pemimpin dan pihak lain sentiasa dipantau agar sistem penyampaian dilaksanakan agar kebajikan dan kemaslahatan sentiasa
diutamakan, agar tiada pemimpin bertuah mengayakan kroni dan keluarga, bahkan kemudahan lain kepada pelabur sentiasa dijaga.

“Justeru, dalam tempoh lima tahun Pakatan Rakyat, kita akan teruskan kecemerlangan demi kemakmuran, Selangorku maju, rakyat bersatu,” katanya lagi.

Sambutan itu dimeriahkan dengan acara perbarisan dan perarakan 45 kontinjen yang terdiri daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM),

Jabatan Pertahanan Awam Negeri Selangor, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), serta lain-lain jabatan kerajaan.

Turut memeriahkan acara ialah persembahan kawad senyap Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), pertunjukan aksi lagak ngeri Tatu ATM dan pancaragam sekolah-sekolah.

Laungan slogan ‘Merdeka’ sebanyak tujuh kali dan pertunjukan bunga api mengakhiri sambutan kemerdekaan itu tepat pukul 12 tengah malam.

-FZL

Categories
SELANGOR

Masyarakat dan keselamatan – Lensa

Sinopsis:

Saksikan Lensa hanya di www.selangorkini.net

Peningkatan kadar jenayah samun dan rompak yang berlaku saban hari kini semakin membimbang. Sasaran penjenayah yang beralih arah dengan memfokuskan aktiviti jenayah mereka di kawasan taman-taman perumahan baru di kawasan bandar antara modus operandi jenayah yang terancang.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Himpunan solidariti ummah, 6 September

gambar hiasan
gambar hiasan

SHAH ALAM, 27 OGOS : Orang ramai dijemput hadir ke Himpunan Solidariti Umat Islam pada 6 September ini sebagai keperihatinan terhadap penderitaan umat Islam di Mesir, Syria, Palestin, dan Rohingya.

Pengarah Himpunan Mohamad Raimi Ab Rahim, berkata turut hadir adalah Penasihat Ekonomi Negeri Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan menyampaikan ucaptamanya yang diadakan di Stadium Malawati Shah Alam.

Katanya, Himpunan ini akan bermula dengan solat maghrib serta bacaan Qunut Nazilah sebelum diikuti solat hajat serta munajat perdana.

“Himpunan juga merupakan kesinambungan daripada siri-siri himpunan serupa yang diadakan secara aman di seluruh dunia dan dalam negara.

“Mesejnya cukup jelas, bahawa kami rakyat Malaysia sememangnya cintakan kedamaian dan mengutuk sekeras-kerasnya penindasan dan kezaliman yang sedang berlaku.

Justeru kita menjemput semua rakyat untuk hadir beramai-ramai ke Himpunan yang bertemakan simbol ?R4BIA? ini sebagai tanda sokongan” jelas Raimi dalam kenyataan medianya kepada TVSelangor.

Kata beliau, himpunan ini akan disusuli pula dengan penganjuran seminar ?World Conference On Islamic Resurgence: Challenges, Prospects And The Way Forward?.

Ianya bertempat di Auditorium Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada keesokan harinya (7 September).

“Konferen ini akan menampilkan pengarang buku yang sensasi ketika ini iaitu ?Inside Muslim Brotherhood: The Truth About The World?s Most Powerful Political Movement?, Douglas Thompson dari United Kingdom.

“Beliau dijangka akan membicarakan secara mendalam mengenai kisah dalaman Ikhwan Muslimin dan peranannya di peringkat antarabangsa dalam konteks hubungan Islam-Barat,? jelas Raimi yang juga Setiausaha Agung ABIM.

Katanya, program ini turut menampilkan tokoh berwibawa untuk membincangkan halatuju kebangkitan Islam pasca Arab Spring di seluruh dunia pada masa akan datang berdasarkan perkembangan semasa di Mesir, Syria, Tunisia, Palestin dan Bangladesh.

Segala makluman lanjut berhubung program boleh dibuat dengan merujuk pada laman web rasmi seminar (http://iresurgence.webs.com/) serta menghubungi Sekretariat Seminar di talian 03-41084500 atau pun sms kepada 019-3836700 dan emel ([email protected]).

Categories
BERITA UTAMA NASIONAL SELANGOR

Kes Altantuya: Episod pembunuhan penuh misteri

gambar hiasan
gambar hiasan

KOMENTAR: Rakyat Malaysia bukan sahaja dikejutkan dengan persoalan siapakah pembunuh sebenar wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu bahkan pelbagai keraguan timbul sepanjang prosiding perbicaraan kes pembunuhan berprofil tinggi ini.

Setelah hampir 7 tahun kes pembunuhan ini dibicarakan, akhirnya mahkamah memutuskan bahawa ‘pembunuh’ Altantuya didakwa tidak bersalah dan terlepas dari hukuman gantung sampai mati yang dijatuhkan sebelum ini.

Kepincangan dalam sistem Kehakiman dapat dilihat bukan setakat ini sahaja, bahkan di awal perbicaraan lagi.

RAZAK BAGINDA DIBEBASKAN, SIAPA ARAH SIRUL DAN AZILAH BUNUH ALTANTUYA?

Di Mahkamah Tinggi, Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin memutuskan kenyataan pembuktian tidak bersalah yang terkandung dalam afidavit seorang penganalisis politik, Abdul Razak Abdullah Baginda dimana dibatalkan pertuduhan bersubahat yang dihadapinya yang turut menyeret dua suspek utama anggota dari Unit Tindakan Khas (UTK) iaitu Koperal Sirul Azhar Umar dan Cif Inspektor Azilah Hadri.

Jelas menunjukkan penglibatan Razak Baginda dalam kes ini tetapi afidavit yang difailkannya menyokong permohonan bagi diikat jamin sebelum perbicaraan dengan niat untuk menunjukkan beliau tidak bersubahat dalam pembunuhan itu.

Maka dengan itu, secara mudah Razak Baginda dibebaskan daripada pertuduhan terhadap beliau dalam pembunuhan Altantuya pada 31 Oktober 2008 tanpa dipanggil membela diri.

Jika Razak Baginda dianggap tidak bersubahat, siapa pula yang mengarahkan Sirul dan Azilah melakukan pembunuhan Altantuya?

KETERANGAN DSP MUSA SAFRI TIDAK RELEVAN

Kedua, DSP Musa Safri yang merupakan pengiring Datuk Seri Najib Razak yang ketika itu menjawat jawatan Timbalan Perdana Menteri tidak dipanggil memberi keterangan dalam kes ini.

Timbalan Pendakwa Raya Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah berhujah adalah tidak relevan untuk memanggil DSP Musa memberikan keterangan kerana beliau (Musa) tidak hadir pada pertemuan antara Azilah dan Abdul Razak dan beliau sudah pasti tidak tahu apa yang berlaku.

Sehubungan itu hak untuk menyoal balas DSP Musa diketepikan kerana dilihat wujudnya ketiadaan konsisten bukti.

BUNUH ALTANTUYA TUGAS RASMI UTK?

Kes yang mendapat liputan meluas media termasuk media antarabangsa ini terus mencetuskan keraguan ramai apabila ia melibatkan anggota UTK Bukit Aman. Apa yang dipersoalkan di sini adakah misi membunuh wanita Mongolia itu turut menjadi sebahagian daripada tugas rasmi anggota UTK? Sedangkan kita maklum akan anggota UTK yang hanya akan bertindak setelah menerima arahan daripada pihak atasan.

Pada 15 November 2006, Sirul dan Azilah, dituduh membunuh Altantuya Shaariibuu, 28, di Mukim Bukit Raja, Shah Alam antara pukul 10 malam, 19 Oktober 2006 dan 1 pagi 20 Oktober 2006 di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh dengan niat yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama, yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Pada 9 April 2007, Mahkamah Tinggi Shah Alam akhirnya menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap Azilah dan Sirul kerana didapati bersalah membunuh Altantuya. Hakim Datuk Mohd Zaki Md Yasin berkata pihak pendakwaan telah membuktikan tanpa keraguan munasabah kes terhadap mereka.

HAKIM TERSALAH ARAH?

Minggu lalu, tiga anggota panel hakim Mahkamah Rayuan Datuk Seri Mohamed Apandi Ali, Datuk Linton Albert dan Datuk Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara berpuas hati dan mengetepikan hukuman mati yang dikenakan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam selepas membenarkan rayuan terhadap pensabitan dan hukuman.

Hakim Tengku Maimun ketika membacakan penghakiman ringkas menyatakan bahawa Hakim Mahkamah Tinggi telah tersilap arah dalam pelbagai aspek ketika mencapai keputusan menjatuhkan hukuman mati terhadap kedua suspek utama itu.

Beliau turut menyatakan antara lain hakim itu juga gagal menimbang pembelaan alibi berkaitan diari stesen yang mencatatkan Azilah tiada di tempat kejadian di mana Altantuya dibunuh tetapi sebaliknya Azilah ketika itu berada di Bukit Aman.

Sirul dan Azilah dibebaskan. Maka sepanjang tujuh tahun masa berlalu tanpa sesiapapun dipertanggungjawab terhadap kematian wanita itu dan tidak siapa tahu mengapa bekas model dan penterjemah itu dibunuh.

KENAPA SIRUL DAN AZILAH SENTIASA ‘BERTOPENG’?

Hanya di Malaysia, di mana sejak daripada awal perbicaraan kes pembunuhan ini, kedua anggota UTK itu diberi layanan istimewa iaitu ‘costum made’ penutup muka ala ninja.Persoalannya mengapa wajah kedua pesalah ini sentiasa ditutup dari pandangan media bahkan seluruh dunia tidak pernah melihat wajah mereka.

Walhal,sekiranya pesalah bagi kes lain pula wajah mereka boleh ditutup dengan surat khabar atau kebiasaannya hanya tertunduk malu.

Tetapi lain pula halnya kedua tertuduh menerusi kes diklasifikasi berprofil tinggi ini, wajah mereka tetutup sepenuhnya dari dipertonton kepada umum.

PERBICARAAN PELIK, HANYA DI MALAYSIA

Mengikuti perbicaraan kes ni seperti mengikuti satu perbicaraan pelik kerana pelbagai kepincangan timbul. Hakikatnya motif dan pembunuh bagi kes ini perlu diperjelaskan bagi menjaga imej dan sistem perundangan negara dimata dunia.

Episod sejarah hitam hidup Sirul dan Azilah seperti kembali diterangi cahaya setelah terselamat dari hukuman mati. Tetapi sistem perundangan dan kehakiman negara pula seperti terpalit dengan episod hitam.

Namun misteri, siapa sebenarnya pembunuh Altantuya masih tersembunyi setelah semua yang didakwa dan dibicarakan terlepas dari sebarang hukuman – mza

Categories
NASIONAL SELANGOR

Kes Altantuya : Pembunuhan yang tiada pembunuh – Dr Dzulkefly

 

gambar hiasan
gambar hiasan

SHAH ALAM, 23 OGOS ? Keputusan mahkamah membebaskan dua anggota Unit Tindakan Khas (UTK), Cif Inspektor Azilah Hadri dan Koperal Sirul Azhar Umar, daripada pertuduhan membunuh warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu umpama memperlihatkan pembunuhan kejam ini tiada pembunuhnya, kata AJK Pas Pusat Dr. Dzulkefly Ahmad.

Dzulkefly berkata, perkara ini amat mengejutkan pelbagai pihak apabila Mahkamah Rayuan sebulat suara membenarkan rayuan pasangan itu dan ini menimbulkan persoalan siapa pembunuh sebenar Altantuya yang di bunuh dengan kejam.

“Memang mengejutkan tapi mungkin ramai juga yang sudah menjangkakan keputusan ini. Apabila keputusan ini dikekalkan bermakna satu jenayah kejam seperti ‘a crime without criminal’,” ujar beliau ketika dihubungi TVselangor.

Tambah beliau, keputusan ini bukan sahaja malang buat keluarga Altantuya, malah lebih malang kepada rakyat Malaysia atas ketidakupayaan sistem kehakiman negara bagi mencari penjenayah sebenar pembunuhan berprofil tinggi ini.

“Kesimpulannya kes ini mempunyai banyak ramuan yang boleh dipertikaikan dalam keputusan ini termasuk ‘incompetent investigation’, sifatnya juga terlalu lemah dan nampaknya institusi kehakiman itu terikat dengan mereka yang menjadi penguasa dalam politik,” kata Dzulkefly.

Beliau juga menyambut baik keputusan bapa Altantuya sekiranya beliau ingin membawa kes ini ke peringkat lebih tinggi (kerajaan Mongolia), bagi menegakkan keadilan untuk anak perempuannya.

Altantuya Shaariibuu merupakan seorang model sambilan berketurunan Mongolia telah dijumpai mati dibunuh secara kejam di lokasi antara pinggir bandar berdekatan Shah Alam diantara pukul 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober 2006.

Cebisan mayat yang disahkan milik Altantuya oleh pakar patologi telah ditemui bertaburan berhampiran Empangan Tasik Subang di Hutan Simpan, Puncak Alam, Shah Alam pada 7 November 2006 iaitu 17 hari selepas mangsa diletupkan dengan bahan letupan C4.

Pada April 2009, Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Datuk Zaki Md Yassin telah mensabitkan dua anggota polis itu atas tuduhan bunuh. Manakala penganalisis politik Abdul Razak Baginda yang juga rakan karib Perdana Menteri sekarang dibebaskan daripada tuduhan bersubahat dalam pembunuhan itu.- mza

Categories
SELANGOR

Hanya Pelabuhan Klang Catat Indek Jerebu Tidak Sihat

jerebu

SHAH ALAM 23 JULAI : Setakat pukul 11 pagi hari ini, hanya satu daerah di Selangor mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat iaitu di Pelabuhan Klang dengan catatan IPU 103.

Mengikut laman web Jabatan Alam Sekitar (JAS), Banting yang mencatatkan bacaan IPU 111 (tidak sihat) pada petang semalam dan hari ini menurun kepada IPU 94 iaitu tahap sederhana.

Selain itu, Kuala Selangor, Petaling Jaya dan Shah Alam juga masih mencatatkan kadar bacaan IPU sederhana, masing-masing dengan bacaaan 92, 93 dan 92.

JAS dalam laporan media menjelaskan punca kemerosotan kualiti udara disebabkan jerebu merentasi sempadan dan pencemaran ozon di permukaan bumi yang lazimnya berlaku pada awal petang akibat tindak balas nitrogen oksida dan sebatian organik meruap daripada pelepasan ekzos kenderaan bermotor.

Jerebu yang melanda semula negara khususnya di sekitar pantai Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor dijangka berlanjutan untuk tempoh singkat akibat daripada perubahan corak tiupan angin.

Selain Pelabuhan Klang, turut mencatatkan bacaan IPU tidak sihat setakat pukul 11 pagi tadi ialah Muar (IPU 111) dan Bukit Rambai (IPU 104).

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategorikan baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 ke 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas sebagai bahaya.

Bulan lepas, Malaysia mengalami jerebu yang agak teruk sehingga ada kawasan mencatatkan tahap pencemaran udara berbahaya dan sekolah terpaksa ditutup sementara.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Lebih Banyak Lagi Surau Selangor Akan Dinaiktaraf Ke Masjid

sallehin bazarena ramadan malawati 01

SHAH ALAM 14 JULAI : Kerajaan Selangor akan menaiktaraf lebih banyak lagi surau-surau di seluruh negeri bagi membolehkan lebih ramai penduduk Islam menunaikan Solat Jumaat.

Exco Hal Ehwal Agama, Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Desa, Sallehen Mukhyi berkata, masjid-masjid yang sedia ada belum dapat menampung kira-kira tiga juta penduduk Islam Selangor untuk menunaikan Solat Jumaat dalam keadaan selesa.

Katanya, masjid di Selangor tidak dapat menampung jumlah umat Islam yang besar sehinggakan ada yang solat di luar kawasan masjid dalam keadaan kurang selesa.

“Rakyat yang berugama Islam di Selangor adalah kira-kira 3 juta orang dengan lelakinya adalah 1 juta maka setiap masjid secara puratanya perlu menampung lebih 1,800 orang.

“Jika sesuatu kawasan itu kurang kemudahan maka kerajaan Selangor akan membina masjid bagi memudahkan jalannya untuk pembinaannya.

“Maka jika di sesuatu kawasan itu juga ada surau yang boleh dinaiktarafnya menjadi masjid maka kerajaan negeri akan membantu usaha itu bagi memudahkan masyarakat,” kata beliau.

Beliau berkata demikian semasa Perasmian Program “Kariah Ramadhan Perdana” di Tapak Bazarena Stadium Malawati Seksyen 13 di sini.

Karnival ibadah besar-besaran “Kariah Ramadhan Perdana” dianjurkan Kerajaan Selangor dari 11 Julai hingga ke 5 Ogos dengan tema “My Best Ramadhan”.

Karnival itu yang diadakan di Tapak Bazarena Stadium Malawati Seksyen 13 Shah Alam itu bermula dengan Majlis Tazkirah Ramadhan pada jam 6.00 petang.

Turut diadakan Solat Maghrib, Isyak dan Tarawih berjemaah yang akan diimamkan oleh Imam Hafiz dan bilal khas dan beberapa orang Imam daripada Syria.

Majlis berbuka dan moreh untuk 500 orang turut diadakan pada setiap malam.

Setiap hujung minggu pula akan diisi dengan Program Gamitan Syahdu Ramadhan yang memaparkan zikir munajat, selawat dan kuliah perdana oleh penceramah terkenal.

Turut diadakan Bazar Ramadhan Mega anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam yang juga menyediakan jualan untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Program Meneladani Keunggulan Tokoh Wanita Islam Di Sembilan Daerah Di Selangor

rodziah eksklusif pink 03

SHAH ALAM 12 JULAI : Kira-kira 10,000 wanita dijangka memperoleh manfaat daripada program khusus anjuran Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Wanita Negeri Selangor bersama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang dianjurkan sempena bulan Ramadan ini.

Menurut Exco Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita, program yang akan dilaksanakan di sembilan daerah itu bertujuan untuk menyemarakkan kehadiran bulan Ramadan menerusi penyampaian ilmu daripada al-Quran dan Sunnah Rasulullah bagi diaplikasikan dalam kehidupan, selaras dengan misi Pemberdayaan Wanita Selangor.

“Ramadan adalah waktu yang terbaik untuk wanita berintrospeksi (menilai atau memuhasabah diri) dan melonjakkan usaha serta menambah amalan lebih daripada biasa.

“Saya juga merasakan penting bagi wanita memanfaatkan kehadiran bulan Ramadan yang penuh barakah ini, bukan sahaja untuk kebaikan diri sendiri bahkan mendorong anggota keluarga bersama memberdaya kehidupan ke peringkat yang lebih baik dan mempunyai nilai tambah,” jelas Rodziah dalam satu kenyataan medianya.

Program yang diberi nama ‘Meneladani Keunggulan Tokoh Wanita Islam’ itu antara lain meliputi sesi solat sunat dhuha dan tasbih, zikir munajat, majlis tadarus, penyampaian ceramah dan tayangan video Informasi Rakyat; bermula dari jam 8 pagi sehingga 1 tengah hari.

tentatif-program-1

Rodziah berkata, bagi sesi ceramah, ia akan mengetengahkan tokoh-tokoh wanita Islam yang disebut dalam al-Quran terdiri daripada kalangan pembela keadilan, penasihat kepada pemimpin Islam dan Rasulullah sendiri, pejuang di medan pertempuran, ahli intelektual dan ahli perniagaan.

“Mudah-mudahan dengan ilmu yang diperolehi di dalam program Ramadan ini, wanita akan lebih serius untuk memperbaiki diri, keluarga dan masyarakat bagi menambah jatidiri serta memperoleh keberkatan di dalam kehidupan.

“Saya menyeru wanita di negeri Selangor untuk hadir memakmurkan Ramadan menerusi program Meneladani Keunggulan Tokoh Wanita Islam ini di daerah masing-masing,” ujar beliau yang juga Adun Batu Tiga.

Majlis pelancaran program peringkat negeri akan diadakan pada hari Ahad, 21 Julai 2013 di Masjid Sultan Salahudin Abdul Aziz Shah, Shah Alam.

Untuk mendapatkan tarikh dan maklumat lanjut program di setiap daerah, sesiapa yang berminat untuk menyertai boleh menghubungi Asrul Yaman di talian 03-5544 7622 pada waktu pejabat.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Kerajaan Negeri Tidak Akan Berkompromi Isu Kebersihan Premis Makanan

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

SEMENYIH, 6 JULAI: Kerajaan Selangor tidak akan berkompromi terhadap peniaga-peniaga makanan yang gagal mematuhi garis panduan kebersihan di premis masing-masing.

Antara tindakan yang diambil termasuklah mengarahkan para peniaga makanan yang gagal mematuhi garis panduan kebersihan seperti mana di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 ditutup selama dua minggu seperti mana yang diarahkan kepada 17 peniaga di Seksyen 2, Shah Alam baru-baru ini.

Keputusan tersebut diambil pada 4 Mei lalu, selepas diperiksa dan dinilai oleh 75 pegawai penguat kuasa jabatan tersebut dan mendapati persekitaran dan makanan yang disediakan premis terbabit mampu memudaratkan kesihatan para pengguna khususnya pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang mendiami kawasan terbabit.

“Kita tidak akan berkromopmi dengan keselamatan pengguna lebih-lebih lagi pelajar yang kena keluar cari makan dan makanan pula tidak menyihatkan, jadi kita memang tidak mahu ianya berlaku.

“MBSA memang sangat tegas dalam hal ini dan ini hanya untuk sementara waktu.  Biasanya Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan tutup dan mereka peniaga akan membuat pembaikan mengikut syarat yang ditetapkan kalau okey baru boleh buka,” kata Dr Daroyah.

Selain itu menurut Dr Daroyah, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor juga diberikan kebebasan untuk melaksanakan syarat yang sepatutnya dikenakan kepada peniaga bagi meningkatkan kebersihan premis perniagaan makanan di Selangor.

Categories
NASIONAL

Kartun Dedah Penipuan Pilihan Raya

zunar 2

SHAH ALAM 6 JULAI : Hasil karya kartun lebih mudah difahami dan jelas biarpun sarat dengan mesej menggambarkan segala kepincangan ketika Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu.

Melalui pameran yang diadakan, sekumpulan kartunis yang menggelarkan diri sebagai Kumpulan Kartunis Independen (KKI) berharap mesej yang disampaikan melalui karya seni ini dapat dilihat orang ramai di seluruh negara.

Ketua kumpulan tersebut, Zulkiflee Anwar AlHaque atau lebih dikenali sebagai Zunar berkata, kartun mempunyai beberapa kelebihan berbanding media lain serta ia lebih mudah disampaikan kepada orang ramai.

Mugshoot Zunar

“Kartun adalah satu imej visual yang mudah melekat di pemikiran orang ramai kerana ia visual, dan ada unsur-unsur lucu walaupun ia membawa mesej yang berat,” ujarnya.

Zunar ditemui ketika Pameran Kartun Kartunis Lawan Penipuan Pilihan Raya (CAEF) di tapak Pasar Tani Seksyen 17, Shah Alam di sini hari ini.

Sebelum ini, Zunar dan KKI yang dianggotai 13 kartunis lain melancarkan gerakan untuk menyebarkan kesedaran mengenai penipuan pilihan raya melalui karya seninya.

Dalam pada itu, pameran itu memaparkan lebih 100 karya kartun, termasuk Zunar, Megat Roslan Abdul Wahid, Azman Mat Noh, Johny Ong.

Antara hasil karya kartun yang dihasilkan memberi mesej mengenai ketidak-telusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), penggunaan dakwat kekal, pengundi asing dan daftar pengundi ragu.

Kumpulan berkenaan telah mengadakan pameran di Amcorp Mall, Petaling Jaya dan Kompleks PKNS, Shah Alam sejak dilancarkan dua bulan lalu.

zunar 1