Categories
NASIONAL SELANGOR

Pakatan Rakyat Di Landasan Tepat Mentadbir Putrajaya

Forum 5 tahun pakatan Dataran Shah Alam 03

SHAH ALAM, 10 MAC: Kecemerlangan Pakatan Rakyat (PR) mentadbir Selangor selepas ‘Tsunami Politik’ tahun 2008 jelas membuktikan gabungan ini berada di landasan tepat dalam membawa anjakan perubahan baru di Putrajaya.

Keadaan ini disokong dengan pencapaian konsisten kedudukan ekonomi terutama di Selangor sehingga mampu meningkatkan simpanan tunai sehingga RM2.6 bilion.

Dengan nada gembira, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengumumkan perkara berkenaan di hadapan hampir 5,000 rakyat Selangor termasuk Penasihat Ekonomi Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya ingin menyatakan, pentadbiran dalam lima tahun mengalami perubahan. Kita bukan sahaja memberikan kebajikan, tetapi membangun dengan pengumpulan dana.

“Rizab Selangor dalam keadaan baik dari RM400 juta pada tahun 2007, menjadi RM2.6 bilion sekarang.

“PR sudah bersedia ke Putrajaya. Kita telah buktikan kita punyai pengalaman.

“Rakyat tidak rugi memilih PR,” katanya sambil disambut dengan tepukan gemuruh rakyat sempena malam kemuncak Sambutan Ulang Tahun Ke-5 Kerajaan Selangor.

Menurut Abdul Khalid, meskipun Kerajaan Selangor membelanjakan lebih RM821 juta utuk program kebajikan rakyat, ketelusan yang diamalkan dalam pentadbiran menjadi kunci kejayaan meningkatkan hasil simpanan negeri untuk kesejahteraan seluruh warga Selangor.

Jelasnya lagi, Kerajaan Negeri juga bersedia untuk membelanjakan RM300 juta daripada rizab berkenaan untuk pembinaan Jambatan ke-3 Klang bagi menambah keselesaan warga Klang seperti yang diumumkan sebelum ini.

Dalam pada itu, Abdul Khalid turut menghargai kerjasama dan komitmen yang ditunjukkan barisan Exco Selangor, Adun dan Ahli Parlimen yang sentiasa bekerja keras dalam memastikan hal ehwal rakyat Selangor terbela.

Sambutan ulangtahun ini turut dihadiri Ketua Ahli Parlimen DAP, Lim Kit Siang dan Pesuruhjaya PAS Selangor, Dr Abdul Rani Osman yang mewakili Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Anwar: Sedia Hadapi Fitnah, Berundur Tidak Sekali

Forum 5 tahun pakatan Dataran Shah Alam 02

SHAH ALAM, 10 MAC: Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan kesediaan untuk berhadapan dengan sebarang putar belit kenyataan yang bakal dimainkan media Pro-Umno-BN termasuk mengaitkannya berhubung konflik di Lahad Datu, Sabah.

“Saya akan hadapi, namun berundur tidak sekali. Kita doa Allah akan bagi kekuatan.

“Siapa mahu diaibkan hampir 15 tahun? Setiap malam mereka (media Pro-Umno/BN) maki saya. Saya fikir mengenai (Datuk Seri) Azizah, anak-anak, kawan-kawan yang setia.

“Tetapi bagi saya ada pengajarannya, ada hikmahnya,” katanya.

Forum 5 tahun pakatan Dataran Shah Alam 01Awal minggu ini menyaksikan pihak media memanipulasikan lagu ‘Sabah Nak Hilang’ dendangan Anwar yang sering dinyanyikan dalam siri ceramah umum sejak enam bulan lalu selain ‘menyembunyikan’ bait lirik ‘Umno Melayang, Najib Jadi Ketua Pembangkang’.

Selain itu, Anwar turut mengemukakan saman fitnah terhadap akhbar Utusan Malaysia dan Stesen Televisyen TV3 bernilai RM100 juta setiap agensi.

Anwar yang juga Penasihat Ekonomi Negeri Selangor turut memuji integriti kekuatan yang diamalkan pentadbiran Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan tidak mampu dicabar Umno-BN.

“Inilah kekurangan asas yang tidak mampu dicabar Umno-BN. Dia tidak boleh pertikai integriti Tan Sri (Abdul Khalid),” tambahnya dalam ucapan sempena malam kemuncak Sambutan Ulang Tahun Ke-5 Kerajaan Selangor.

Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh memaklumkan pada peringakat ini pembahagian kerusi di antara ketiga-tiga parti dalam gabungan Pakatan Rakyat (PR) sudah mencapai 90 peratus selesai dan masih dalam proses rundingan.

Jelas Anwar, proses pembahagian ini masih diperingkat rundingan di antara Pengerusi PKR Selangor, Azmin Ali, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dan Naib Pengerusi DAP, Tan Kok Wai.

“Yang penting bila keputusan dibuat, kita ambil keputusan dan muafakat kita kerja sedaya upaya sebagai satu pasukan.

“Calon PKR adalah calon PAS. Calon PAS adalah calon DAP dan Calon DAP adalah calon semua ketiga-tiga parti ini,” katanya

Tegasnya, sekiranya wujud mana-mana pihak yang cuba mempertikaikan keputusan calon seperti yang telah dipersetujui ketiga-tiga parti jelas membuktikan mereka tidak memahami kerangka sebenar perjuangan dan menyekat usaha kemenangan PR ke Putrajaya.

Categories
SELANGOR

Graduan Unisel Mudah Dapat Kerja

MB rasmi istiadat konvokesyen ke-7 UNISEL Shah Alam 01

SHAH ALAM 10 MAC : Graduan Universiti Selangor (Unisel) mudah mendapat pekerjaan ini berdasarkan kajian yang dilakukan Kementeri Pengajian Tinggi yang menunjukkan Universiti itu menduduki tempat kedua dalam kebolehan pasaran pekerjaan.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, statistik itu adalah untuk 2011 yang mencatatkan 76.5 peratus daripada jumlah keseluruhan pelajar Unisel yang diterima pekerja selepas enam bulan mereka menamatkan pengajian

Ujar Abdul Khalid, peratusan itu meningkat kepada 80.5 peratus pada tahun 2012 yang membuktikan kualiti graduan lepasan Unisel yang mudah menerima kepercayaan majikan.

“Graduan diperingatkan agar dapat menjadi insan cemerlang dan mampu berdikari tanpa mengharapkan bantuan dan sokongan kerajaan semata-mata.

“Adalah menjadi harapan universiti ini agar semua graduannya terus menjadi contoh dan teladan yang terbaik di mana jua mereka berada nanti,” kata Abdul Khalid.

Beliau berkata dalam Majlis Konvokesyen Ketujuh Sidang Kelima Universiti Selangor yang berlangsung di Dewan Pro Canselor di sini.

Ujarnya, graduan Unisel disarankan agar terus menambah ilmu pengetahuan dan tidak mudah berpuas hati dengan apa yang dikecapi ketika ini kerana perkembangan teknologi yang berkembang pantas.

“Bagi graduan Diploma Kejuruteraan Jepun yang bakal melanjutkan pengajian ke Jepun diharap dapat mencontohi sikap dan budaya kerja orang Jepun yang berdisiplin, berkerajinan tinggi dan bersungguh-sungguh menjalankan tugasan mereka.

“Natiahnya, itu semua menjadikan Jepun maju hinggakan setanding bahkan mampu mengatasi Amerika Syarikat dan Negara Maju di Eropah,” kata Abdul Khalid.

Turut hadir, Canselor, Raja Tan Sri Datuk Seri Arshad Raja Tun Uda, Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali dan Duta Besar Jepun Ke Malaysia, Shigeru Nakamura.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Wanita Dilengkapi Ilmu Mampu Pacu Perubahan

Hari Wanita Selangor 01

SHAH ALAM, 9 MAC : Setiap wanita khususnya di Selangor disarankan memantapkan diri dengan ilmu pengetahuan, kemahiran serta berintegriti dalam usaha memacu perubahan sesebuah negeri mahupun negara.

Hari Wanita Selangor 02Ini kerana menurut isteri Menteri Besar Selangor, Puan Sri Salbiah Tunut, wanita yang dilengkapi dengan ilmu berperanan besar dalam mencorakkan pentadbiran negara malah akan lebih dihormati oleh semua pihak.

Beliau turut menyarankan wanita supaya menggunakan pengaruh, kreativiti dan daya inovatif secara bijak dan efektif untuk mengilhamkan inspirasi perubahan.

“Wanita merupakan hawa yang berupaya menentukan perubahan dan menjatuhkan sesuatu perkara yang negatif. Wanita perlu memantapkan diri dengan kemahiran supaya lebih dihormati.

“Sepuluh peratus wanita kita dapati tergolong dalam kalangan cerdik pandai, malah Kerajaan Negeri Selangor turut menyediakan peluang untuk mengangkat wanita sebagai pemimpin.

“Kita harap bilangannya akan terus bertambah bagi membuktikan wanita mempunyai daya untuk menentukan perubahan,” katanya semasa merasmikan Sambutan Hari Wanita Sedunia 2013 Peringkat Negeri Selangor di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, di sini hari ini.

Sambutan yang bertemakan Wanita Penentu Perubahan Demi Keselamatan dan Keamanan Insan turut diserikan dengan acara Demonstrasi Masakan oleh Chef Yang Jamil, demonstrasi mempertahankan diri dan persembahan pentas oleh artis jemputan.

Hadir sama, Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail, Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali dan Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar.

Hari Wanita Selangor 03Dalam pada itu, Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains Teknologi, Inovasi dan Kebudayaan, Rodziah Ismail turut menegaskan wanita bukan sahaja perlu menjadi bahan ikutan, malah perlu menjadi sebahagian daripada pimpinan yang menentukan visi untuk memastikan kejayaan sesebuah negeri itu tercapai.

Sementara itu, Mizrah Mohd, 40, menyambut baik saranan Kerajaan Negeri untuk lebih giat memartabatkan peranan wanita dalam pentadbiran sesebuah negeri.

Katanya, ia bagi membuktikan wanita juga mampu berdaya saing dan mampu melontarkan idea kreatif untuk bersama-sama memacu kejayaan negeri.

“Saya menyeru semua golongan wanita termasuk diri saya sendiri supaya yakin kepada kebolehan diri sendiri dan terus berusaha untuk mencapai kejayaan. Semoga wanita dan lelaki bekerjasama untuk melindungi wanita dan tidak menindas golongan yang lemah ini,” katanya.

Categories
NASIONAL

Haron Din : Insaf Fitnah Anwar, Bapa Saiful Laksana Kewajiban Sebagai Islam

Forum bersama MB dan Dato' Haron din di Masjid Negeri 01

SHAH ALAM, 9 MAC : Pengakuan bapa Saiful Bukhari bahawa Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak bersalah atas tuduhan liwat dan menjadi mangsa fitnah merupakan suatu tindakan yang wajib dilakukan beliau.

Ini kerana seseorang Islam hendaklah insaf dengan tidak meneruskan kebatilan untuk kembali kepada kebenaran apabila menyedari kesilapan mereka.

Demikian menurut Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din dalam sidang media di Masjid Shah Alam di sini.

“Dia (Azlan Mohd Lazim) melaksanakan kewajipannya sebagai seorang Islam.

“Merujuk kepada kebenaran adalah lebih baik dari meneruskan kebatilan,” kata beliau selepas bertindak sebagai panelis dalam forum bertajuk ‘Mengangkat Martabat Ummah: Tanggung Jawab Siapa?’ malam tadi.

Semalam, bapa Saiful, Azlan Mohd Lazim memohon maaf kepada Anwar dengan mendakwa bahawa anaknya dipergunakan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab, yang didakwanya termasuk seorang pegawai perdana menteri untuk memfitnah Anwar dalam kes Liwat II.

Pada 9 Januari tahun lalu, Anwar dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur daripada tuduhan meliwat Saiful, yang merupakan pembantunya pada 26 Jun 2008 di sebuah kondominium di Kuala Lumpur.

Sementara itu, ketika mengulas isu sumpah laknat oleh Saiful, sambil merujuk kepada sebuah kejadian di zaman Nabi Muhammad SAW, Dr Haron berkata sumpah laknat hanya wajar dilakukan apabila berhadapan kes yang tidak boleh diselesaikan di mahkamah.

“Kaum Nasrani dakwa Allah ada anak dan oleh kerana ianya tidak dapat dibuktikan, Nabi Muhammad mengarahkan mereka bersumpah laknat untuk selesaikan perbalahan itu.

“Mengapa kita pula hendak mengundang laknat Allah sedangkan kes ini boleh diselesaikan di mahkamah,” ujar Dr Haron.

Dalam perkembangan isu calon Perdana Menteri dari Pakatan Rakyat, Dr Haron menegaskan PAS ketika ini lebih fokus kepada agenda menumbangkan Kerajaan Umno-BN dan hanya mengumumkan calon Perdana Menteri apabila misi tersebut berjaya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

MB : Warga Emas Yang Saman Kerajaan Negeri Dipelawa Masuk SMUE

MB Sambutan Maulidur Rasul - Masjid Jaya Setia - Ijok 01

SHAH ALAM 8 MAC : Kerajaan Negeri mempelawa warga emas yang masih belum mendaftar untuk Skim Mesra Usia Emas (SMUE) supaya menyertainya bagi mengelakkan salah faham yang cuba dimanipulasikan oleh pihak tertentu.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Kerajaan Negeri akan menulis surat kepada warga emas yang bercadang untuk menyaman Kerajaan Negeri kerana didakwa tidak menunaikan janji memberikan caruman takaful sebanyak RM 2,500 setiap seorang.

“Saya bercadang untuk menulis surat kepada mereka untuk memberikan borang untuk menyertai SMUE kita. Jika mereka dah menyertainya, tiada masalah,” ujarnya sewaktu ditanya pemberita di Masjid Negeri, Shah Alam hari ini.

Abdul Khalid berkata demikian susulan 1,001 warga emas yang memfailkan saman menuntut caruman takaful RM 2.5 juta.

Mereka berkata, Kerajaan Negeri ia merupakan janji yang tidak ditunaikan di dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12) lima tahun dahulu.

Sebelum ini, Abdul Khalid menegaskan Kerajaan Negeri telah melakukan lebih daripada apa yang dijanjikan daripada manifestonya untuk golongan warga emas.

Katanya, Kerajaan Negeri menyediakan SMUE iaitu skim khairat kematian yang menyediakan RM 2,500 kepada ahli keluarga warga emas apabila mereka meninggal dunia.

Malah, Kerajaan Negeri juga memberikan baucer membeli-belah RM 100 melalui program ‘Jom Shopping’ khusus untuk warga emas.

Abdul Khalid berkata demikian selepas majlis perjumpaan bersama Yang Dipertua PIBG, Badan Pendidikan Pendidikan Agama Islam Sekolah Rendah Agama (SRA) dan Kursus Asas Fardu Ain (Kafa) di masjid negeri.

Majlis itu dianjurkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

Abdul Khalid di dalam ucapannya menyatakan Kerajaan Negeri sentiasa memberikan perhatian yang serius terhadap kebajikan institusi pendidikan agama di negeri dari peringkat pra persekolah sehingga ke peringkat tertinggi.

Menurutnya, Kerajaan Negeri memperuntukkan satu pertiga daripada Belanjawan Negeri 2012 bagi tujuan pendidikan di negeri ini khususnya sekolah-sekolah di bawah Kerajaan Negeri.

Kerajaan Negeri menyumbangkan RM 6 juta setahun kepada sekolah agama rakyat di seluruh negeri.

Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri Sumbang RM 20,000 Kepada Keluarga Polis Yang Terkorban Di Sabah

exco melawat keluarga azrul tukiran 03

KLANG, 8 MAC : Kerajaan Negeri Selangor hari ini menyerahkan sumbangan sejumlah RM20,000 kepada keluarga Lans Koperal Mohd Azrul Tukiran, 27, yang terkorban dalam insiden pencerobohan di Lahad Datu.

Sumbangan itu diserahkan Kerajaan Negeri dengan diwakili Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail dan Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali.

exco melawat keluarga azrul tukiran 02Turut serta Speaker Dewan Negeri, Datuk Teng Chang Khim dan MP Batu, Tian Chua.

Bantuan tersebut adalah peruntukan daripada Tabung Wira Rakyat Selangor berjumlah RM 10 juta yang diumumkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bagi membantu ahli keluarga anggota keselamatan yang terkorban semasa mempertahankan negara.

Dalam pertemuan yang diadakan di kediaman keluarga Mohd Azrul di Jalan Telok Kapas, Kampung Rantau Panjang, Rodziah turut membaca amanat Menteri Besar sebagai tanda takziah terhadap keluarga Mohd Azrul.

Rodziah ketika ditemui berkata, bantuan itu bertujuan meringankan beban yang terpaksa ditanggung oleh ahli keluarga anggota keselamatan yang terkorban khususnya untuk mereka yang mempunyai anak kecil.

exco melawat keluarga azrul tukiran 01Katanya, sumbangan itu tidak akan terhenti begitu sahaja, sebaliknya akan dilaksanakan secara berterusan terhadap mana-mana ahli keluarga parajurit negara yang memerlukan bantuan dan sokongan.

“Apabila Kerajaan Negeri mengumumkan Tabung Wira Rakyat Selangor untuk membantu anggota yang terkorban, kita mengambil pendekatan untuk terus turun padang dan menyerahkannya sendiri kepada keluarga mereka.

“Tabung ini akan dimanfaatkan untuk ahli keluarga parajurit sehingga kita yakin mereka telah lepas daripada kesusahan akibat mata pencarian itu telah tiada atau terkorban semasa mempertahankan negara,” katanya.

exco melawat keluarga azrul tukiran 04Sementara itu, Tukiran Ahamad, 67, yang merupakan bapa kepada Mohd Azrul melahirkan kesyukuran atas bantuan yang diberikan oleh Kerajaan Negeri.

Menurutnya, walaupun nyawa anaknya tidak boleh dicari ganti, namun beliau tetap berbangga dengan usaha murni anaknya yang berjuang sehingga ke titisan darah terakhir dalam mempertahankan kedaulatan negara.

“Saya sekeluarga masih berduka atas kehilangan anak saya. Tetapi ketentuan Allah itu tidak boleh ditolak.

“Namun, saya terharu dengan kunjungan barisan Exco dan para pemimpin lain yang tidak putus-putus menziarahi kami sekeluarga,” luahnya.

Mohd Azrul, 27, atau lebih mesra dipanggil Ayon oleh keluarganya, antara anggota polis yang terkorban dalam kejadian serangan hendap sekumpulan lelaki bersenjata di Kampung Seri Jaya, Simunul, Semporna, Sabah.

Anak ke enam daripada tujuh adik beradik itu mula menyertai Pasukan Gerakan Am (PGA) Tawau pada 2006.

Jenazah Azrul selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Rantau Panjang, Klang, 4 Mac lalu.

Selain Azrul, turut terkorban ialah Supritendan Ibrahim Lebar, 52, dari Cawangan Khas Bukit Aman, Sarjan Abdul Azis Sakirun, 48, (Batalion 14 PGA) Koperal Salam Togiran, 42, (Cawangan Pengangkutan Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau).

Turut terkorban Asisten Supritendan Michael Padel, 36 (Ketua Cawangan Khas Polis Daerah Semporna), Sarjan Baharin Hamid, 49, (Kontinjen Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah).

Categories
NASIONAL

Dr Lee Boon Chye : Arahan HKL Ketinggalan Zaman

lee-boon-chye

SHAH ALAM, 7 MAC: Arahan supaya semua anggota Hospital Kuala Lumpur (HKL) tidak dibenarkan meletakan sebarang pelekat (sticker) yang mempunyai logo parti pembangkang pada kenderaan masing-masing disifatkan tidak bijak dan ketinggalan zaman.

Ini kerana kakitangan berhak memilih mana-mana parti politik untuk disokong tanpa perlu disekat selaras dengan sistem demokrasi yang selama ini diamalkan, ujar Ahli Parlimen Gopeng, Dr Lee Boon Chye.

“(Arahan) ini menceroboh hak kakitangan untuk memilih. Logo merupakan satu tanda menyokong mana-mana parti.

“Kalau begitu, logo 1Malaysia, lambang ‘Janji Ditepati’ juga tidak boleh ditampal,” katanya ketika dihubungi Tv Selangor.

Sebelum ini, HKL mengesahkah semua anggota HKL tidak dibenarkan meketakan sebarang pelekat (sticker) yang mempunyai logo parti pembangkang sama ada di kenderaan masing-masing atau mana-mana bahagian di dalam premis HKL.

Arahan ini berkuat kuasa serta merta melalui sepucuk surat bertarikh 4 Mac 2013 dan tersebar luas di laman sosial Facebook.

Perkara ini disahkan Pembantu Peribadi Pejabat Timbalan Pengarah HKL, Nur Hazlin Mohd Yunus ketika dihubungi Tv Selangor.

Surat yang ditandatangani Pengarah HKL, Datuk Dr Zaininah Mohd Zain menyatakan semua ketua jabatan, ketua bahagian dan ketua unit diminta untuk menasihat anggota di bawah jabatan atau seliaan masing-masing supaya mematuhi arahan berkenaan.

Selain itu, mereka juga perlu memastikan bahawa tiada anggota HKL melanggar arahan tersebut.

Sekiranya ingkar berbuat demikian, tidakan sewajarnya termasuk tindakan tatatertib boleh diambil terhadap mereka yang melanggar peraturan ini.

HKL Sahkan Semua kakitangan Dilarang Menampal Pelekat Logo Pembangkang

Categories
SELANGOR

MB : Projek Datum Jelatek Beri Manfaat Kepada Bumiputera

MB pc tie belang 01

SHAH ALAM 7 MAC : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyatakan pembangunan Projek Datum Jelatek di Keramat perlu diteruskan kerana memberi kebaikan kepada negara, negeri dan masyarakat Bumiputera.

Menurutnya, menjadi tugas Kerajaan Negeri untuk menerangkan manfaat daripada projek yang bakal dibangunkan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) itu kepada sesetengah pihak yang melakukan bantahan terhadapnya.

“Saya rasa mereka berhak untuk melakukan bantahan dan saya ada hak untuk menerangkan apa yang saya mahu lakukan.

“Pada akhirnya itu yang terbaik untuk rakyat, tiada kepentingan peribadi,” katanya sewaktu ditanya pemberita di Bangunan SUK hari ini.

Sebelum ini, Abdul Khalid menyangkal dakwaan bahawa komuniti Melayu di kawasan Jelatek, Kuala Lumpur terpinggir akibat projek pembangunan bercampur Datum Jelatek.

Sebaliknya penduduk Melayu yang menjual kediaman mereka untuk projek itu menerima keuntungan berlipat kali ganda apabila PKNS membayar RM300,000 kepada mereka.

Abdul Khalid menjelaskan bahawa premium tinggi RM300,000 tersebut bermakna pemilik pangsapuri kos rendah yang rumah mereka dibeli untuk projek tersebut menerima keuntungan hampir RM280,000 setiap seorang.

Ini kerana harga asal pangsapuri kos rendah mereka hanya sekitar RM 20,000.

Keuntungan tersebut membolehkan penduduk terlibat membeli kediaman lain yang jauh lebih selesa berbanding pangsapuri asal mereka yang mempunyai dua bilik.

Pembangunan di Datum Jelatek juga telah meningkatkan Nilai Pembangunan Kasar (GDV) bernilai RM1 bilion dengan 50 peratusnya akan dimiliki oleh golongan Bumiputera.

Categories
NASIONAL SELANGOR

HKL Sahkan Semua Kakitangan Dilarang Menampal Pelekat Logo Pembangkang

HKL Sahkan Semua kakitangan Dilarang Menampal Pelekat Logo Pembangkang

SHAH ALAM, 7 MAC : Hospital Kuala Lumpur (HKL) mengesahkah semua anggotanya tidak dibenarkan meletakan sebarang pelekat (sticker) yang mempunyai logo parti pembangkang sama ada di kenderaan masing-masing atau mana-mana bahagian di dalam premis HKL.

Arahan ini berkuat kuasa serta merta melalu sepucuk surat bertarikh 4 Mac 2013 dan tersebar luas di laman sosial Facebook.

Tv Selangor menghubungi pejabat Timbalan Pengarah HKL dan Pembantunya, Nur Hazlin Mohd Yunus mengesahkan perkara ini.

Surat yang ditandatangani Pengarah HKL, Datuk Dr Zaininah Mohd Zain menyatakan semua ketua jabatan, ketua bahagian dan ketua unit diminta untuk menasihat anggota di bawah jabatan atau seliaan masing-masing supaya mematuhi arahan berkenaan.

Selain itu, mereka juga perlu memastikan bahawa tiada anggota HKL melanggar arahan tersebut.

Sekiranya ingkar berbuat demikian, tidakan sewajarnya termasuk tindakan tatatertib boleh diambil terhadap mereka yang melanggar peraturan ini.

Categories
SELANGOR

Konvokesyen Unisel Kali Ke-7 Pada 9 Mac

Unisel Konvokesyen 2012 03

SHAH ALAM 7 MAC : Seramai 341 graduan Universiti Selangor (Unisel) termasuk 57 pelajar yang mengikuti program Diplima Kejuruteraan Jepun/Unisel Japanese Associate Degree Programme (JAD) akan menerima ijazah serta diploma masing-masing.

Ia akan diserahkan dalam Istiadat Konvokesyen Ketujuh Unisel yang akan berlangsung pada 9 Mac ini di Dewab Pro-Canselor, Kampus Unisel di sini.

Naib Canselornya, Prof Dr Anuar Ahmad berkata, istiadat itu akan dirasmikan oleh Canselor Unisel, YAM Tan Sri Datuk Seri Raja Arshad Raja Tun Uda yang turut akan dihadiri oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

“Kumpulan 57 pelajar cemerlang ini ditaja sepenuhnya oleh Yayasan Pelajaran MARA (YPM) yang dipilih daripada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk mengikuti program JAD di Unisel yang dijalankan sejak 2005.

“Sehingga kini seramai 547 graduan JAD sudah menamatkan pengajian di Unisel,” kata Prof Dr Anuar ketika sidang media di pejabatnya di sini.

Jelas Prof Dr Ahmad, mereka akan berlepas ke Jepun pada 25 Mac depan bagi menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda yang dibiayai sepenuhnya oleh YPM selama dua tahun yang bergabung di bawah 15 konsortium Universiti Jepun.

“Program JAD adalah projek khas Kerajaan Malaysia menerusi konsep Dasar Pandang Ke Timur untuk pelajar Bumiputera menyambung pengajian mereka di Jepun.

“Pelajar perlu mengikuti pengajian JAD di Malaysia dengan menguasai bahasa Jepun sepenuhnya selama tiga tahun bagi mengikuti program Diploma Kejuruteraan Mekanikal, Diploma Elektrikal dan Kejuruteraan Elektrik Teknikal Jepun,” kata beliau.

Categories
SELANGOR

Ilham Kapal Layar Menang Pertandingan Rekabentuk Jambatan Ketiga Klang

 

pemenang jambatan 01

SHAH ALAM 7 MAC : Rekabentuk senibina bercirikan kapal layar dan keris membawa tuah kepada syarikat Vast Consultants Sdn Bhd apabila menang tempat pertama pertandingan rekabentuk Jambatan Ketiga Klang hari ini.

Konsep rekabentuk yang unik itu bakal menjadi ikon dan mercu tanda bandar Klang menepati pilihan juri seterusnya menewaskan sembilan lagi firma perunding kejuruteraan awam tempatan lain yang turut bertanding.

Pengarahnya, Rosely Abdul Latif berkata, rekabentuk jambatan ini pada asalnya diilhamkan melalui kabel dan bentuk kapal layar ‘penisi’ yang terkenal dan diterjemahkan ke dalam tiga elemen dimensi strukturnya.

“Saya mengambil masa selama dua minggu bagi merangka idea pembinaan jambatan ini dengan mengambil kira Klang sebagai sebuah bandar diraja dan beberapa aspek lain seperti elemen keris dan kapal layar ini,” katanya.

pemenang jambatan 02Syarikat beliau berjaya memenangi RM50,000 serta sijil penghargaan yang disampaikan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Pemenang dinilai oleh Juri Teknikal Jabatan Kerja Raya (JKR) yang dipengerusikan Pengarah JKR Selangor, Datuk Abdullah Abdul Rahman, dan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohammed Khusrin Munawi.

Pertandingan ini diilhamkan sendiri Abdul Khalid bertujuan mendapat pelbagai idea daripada perunding kejuruteraan awam yang terkenal dan berpengalaman bagi menghasilkan rekabentuk yang mampan dan lestari.

Menurut Abdul Khalid, jambatan sepanjang 500 meter ini akan disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan dengan menggunakan peruntukan yang disediakan melalui wang rizab simpanan negeri berjumlah RM300 juta.

“Selepas ini, akan di tender, bulan Jun (2013) baru boleh dan akan mengambil masa dua hingga ke tiga tahun untuk di siapkan,” katanya dalam sidang media di majlis itu.

Baru-baru ini, Abdul Khalid telah merasmikan Majlis Pecah Tanah Jambatan Ketiga tersebut di Jalan Tepi Sungai, Klang.

Sebelum ini, pembinaan jambatan tersebut telah dijanjikan Kerajaan Umno-BN pada tahun 2008 namun tidak menunaikannya walaupun Majlis Pecah Tanah Jambatan itu telah dilakukan oleh bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohd Khir Toyo.

Pembinaan jambatan merentasi Sungai Klang ini penting kepada pengguna jalan raya khususnya penduduk di Klang kerana tidak perlu meredah kesesakan di tengah bandar Klang untuk ke Kuala Lumpur atau ke Pelabuhan Klang.