Categories
SELANGOR

MB : Sokong PR Untuk Pacu Pembangunan

 

BANDAR SUNWAY, 9 DIS : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menggesa rakyat Selangor untuk terus menyokong kepimpinan Pakatan Rakyat(PR) agar dapat memacu pembangunan negeri dalam suasana aman dan gembira.

Menurutnya, sebagai keluarga besar, rakyat di negeri ini tidak boleh dipinggirkan dalam setiap pembangunan kerana setiap kejayaan yang diperoleh negeri merupakan kejayaan bersama.

“Saya harap anda dapat memberikan sokongon agar kita dapat gerakkan negeri menjadi sebuah negeri untuk semua.

“Sambutan perayaan ini menjadi sebahagian (acara) rakyat Selangor kerana berbilang kaum.

“(Sambutan perayaan) bukan hanya menyatu rakyat Selangor, tapi kita adalah keluarga besar.

“(Justeru) kita tidak mahu tinggalkan mereka dalam pembangunan kerana kejayaan kita adalah kejayaan bersama,” katanya pada Sambutan Perayaan Hari Krismas Peringkat Negeri Selangor di Sunway Piramid Resort di sini semalam.

Menurutnya lagi, pihak Kerajaan Negeri sudah semestinya akan melaksanakan setiap bentuk pembangunan dengan penuh bertanggungjawab termasuk melaksanakan projek yang ditinggalkan oleh pentadbiran Umno-BN dahulu.

“Kita ada belanjawan berimbang (tahun 2013), tetapi kita juga ada rizab simpanan besar kerajaan iaitu melebihi RM2.5 bilion.

“Salah satu kegunaan rizab ini adalah untuk rakyat selangor.

“Kerajaan Negeri memperuntukkan tidak lebih RM500 juta untuk pembangunan rakyat Selangor dalam pembinaan jambatan baru Klang.

“Saya rasa rakyat Klang akan dapat jambatan yang dijanjikan BN pada 4 Mac 2008. Kita patut lakukan kepada rakyat.

“Kita akan buat jambatan yang sama, model yang sama dengan perbelanjaan tidak melebihi RM200 juta,” katanya.

Turut hadir dalam majlis sambutan ini Exco Selangor, Dr Xavier Jayakumar, Elizabeth Wong, Ean Yong Hian Wah, Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago, Adun Subang Jaya, Hanna Yeoh dan Adun Rawang, Gan Pei Nei.

Dalam majlis sama, Exco Selangor, Dr Xavier Jayakumar mewakili Menteri Besar menyampaikan sumbangan Peruntukan Rumah Ibadat Selain Islam berjumlah RM30,000 kepada Church of Shekinah Glory.

Selain itu, sumbangan turut diberikan kepada empat buah sekolah iaitu PIBG SJKT Puchong dengan jumlah RM30,000, PIBG SJKT Ladang Tumbok, Sepang, RM15,000, PIBG SJKT Teluk Merbau Sepang, RM15,000, dan RM10,000 kepada PIBG SJKT Tun Sambathan, Petaling Jaya.

Tidak ketinggalan, sembilan rumah kebajikan dimana masing-masing menerima sumbangan berjumlah RM2,500.

 

Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri Tubuhkan Skuad Kecemasan Sedia Hadapi Banjir

SHAH ALAM, 3 DIS: Bagi membantu orang ramai berhadapan kejadian banjir, Kerajaan Negeri mewujudkan Skuad Kecemasan yang diselia oleh pejabat-pejabat daerah di semua kawasan Negeri Selangor.

Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan prihatin, Dr Xavier Jayakumar ketika dihubungi TV Selangor menasihati orang ramai agar segera menghubungi bilik kecemasan skuad itu yang akan dibuka 24 jam di pejabat daerah masing-masing.

“Bagaimanapun, pada masa ini orang ramai boleh hubungi talian hot line Pejabat Daerah dahulu untuk memaklumkan kejadian banjir.

Selain itu beliau turut berkata bahawa Exco Kerajaan Negeri juga menyediakan dana untuk disalurkan kepada agensi yang terlibat dengan gerakan membantu mangsa banjir itu.

“Ia bukan disalurkan kepada mangsa banjir, tetapi untuk menggerakkan operasi bantuan kecemasan kepada mangsa banjir ketika air naik.

?Bantuan untuk mangsa banjir diputuskan selepas itu apabila Kerajaan Negeri bermesyuarat. Yang penting selamatkan mangsa dahulu,” ujar beliau lagi.

Sebelum ini telah dilaporkan bahawa Kerajaan Negeri sudah bersiap sedia untuk menghadapi kejadian banjir di Selangor pada musim hujan yang bakal berlanjutan hingga ke Mac tahun depan.

Pada pertengahan bulan November lalu, seramai 1,217 individu daripada kawasan Kuala Langat, Sepang dan Kuala Selangor terpaksa dipindahkan akibat banjir.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Pakatan Rakyat Bukti Lebih Cekap Dari Umno Siapkan Jambatan Ke-Tiga Klang

DENGKIL 25 NOV : Kegagalan Umno-BN menepati janji mereka untuk membina jambatan ke-tiga di Klang empat tahun adalah bukti bahawa gagasan itu menaburkan janji hanya untuk pilihanraya.

Manakala kebolehan Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor untuk mencari dana tanpa dibantu Umno-BN dan menyiapkan projek tersebut, adalah bukti PR lebih cekap, amanah dan bekerja tanpa mengira waktu kata Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

“Ini tidak, selepas diumumkan kalah pada PRU lepas, terus projek jambatan ketiga (Klang) yang dijanjikan empat hari sebelum itu tidak dilaksanakan.

“Jadi kita ingin beritahu kepada Kerajaan Persekutuan, kalau mereka tiada duit, Kerajaan Negeri sediakan peruntukan RM 300 juta untuk membina jambatan yang dijanjikan mereka dahulu.”

Abdul Khalid berkata di dalam ucapannya di depan lebih 4,000 hadirin di Majlis Rumah Terbuka Deepavali Negeri Selangor di sini malam tadi.

 

Seminggu sebelum pilihanraya pada Mac 2008, Kerajaan Pusat Umno-BN telah mengumumkan akan membina jambatan ke-tiga untuk Klang dalam masa beberapa bulan selepas pilihanraya.

Akan tetapi projek itu tidak dilaksanakan sehingga hari ini.

Pada sidang Dewan Negeri Selangor baru-baru ini Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor mengumumkan akan mengguna RM 300 juta dari rizab negeri untuk menyiapkan jambatan itu.

Sejurus selesai memberi ucapan, Menteri Besar berkesempatan menyampaikan sumbangan berjumlah RM 110,000 kepada wakil lima buah kuil.

Sumbangan turut diberikan kepada Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Kajang sebanyak
RM 35,000, SJKT Dengkil (RM 20,000) dan SJKT Ladang Ampat Tenang (RM 15,000).

Majlis tersebut turut dimeriahkan dengan kehadiran isteri Menteri Besar, Puan Sri Salbiah Tunut, Ahli Exco Negeri Dr. Xavier Jayakumar dan Ronnie Liu serta isteri masing-masing.

Turut hadir Yang Dipertua Majlis Perbandaran Sepang (MPSP), Mohd Sayuthi Bakar, Pegawai Daerah Sepang, Haris Kasim dan Penyelaras DUN Dengkil Borhan Aman Shah.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Jumpa PBT, Pejabat Tanah Mahu Selesai Rumah Ibadat Bukan Islam

SHAH ALAM, 21 NOV : Kerajaan Negeri menetapkan untuk mengadakan pertemuan bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Pejabat Tanah bagi menyelesaikan isu pembinaan rumah ibadat bukan Islam di atas tanah rizab negeri.

Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar berkata, pertemuan yang diadakan empat kali setahun itu turut membincangkan proses yang perlu dilaksanakan bagi mengelakkan masalah sama berulang lagi.

Beliau berkata, kebanyakan rumah ibadat bukan Islam itu dibina atas peluang yang diberikan oleh Kerajaan Umno-BN semasa pemerintahan terdahulu.

“Sejak 2008, kita keluarkan satu syarat kepada semua PBT dan Pejabat Tanah supaya tidak membenarkan mana-mana rumah ibadat dibina tanpa kelulusan jawatankuasa mahupun ahli majlis.

“Untuk rumah ibadat bukan Islam yang dibina di atas tanah persendirian, kita perlu lihat ‘zoning’ dan keluasan kawasan itu dan meminta jawatankuasa atau ahli majlis untuk pantau keadaan tempat masing-masing. Setiap kawasan ada keutamaan. Kita kena ambil perhatian dan sensitiviti penduduk sebelum membuat sesuatu tindakan.

“Saya tidak katakan kita langsung tidak boleh tukar syarat-syarat tanah yang diminta tetapi ada cara dan prosesnya untuk kita lakukan,” katanya semasa menjawab soalan tambahan daripada Sulaiman Abdul Razak (BN-Permatang).

Katanya lagi, bermula pada tahun 2008 hingga kini, sebanyak 24 lot tanah rizab rumah ibadat selain Islam diwartakan dengan keluasan 35845.843 meter persegi.

Antara kawasannya ialah di Hulu selangor (1), Hulu Langat (4), Kuala Selangor (2), Petaling Jaya (2), Sepang (1),, Kuala Langat (1), Gombak (4) dan Klang (9).

Tegasnya, Kerajaan Negeri juga tidak sewenang-wenangnya membuat tindakan menyahwarta atau merampas tanah rizab, sebaliknya melakukannya mengikut prosedur yang ditetapkan di bawah seksyen 64 kanun tanah negara.

“Proses dan prosedur bagi membatalkan perizaban adalah dengan mengemukakannya di setiap pejabat tanah dan daerah di bawah bahagian perundangan. Kertas-kertas usul bagi cadangan pembatalan rizab ini akan diangkat kepada Menteri Besar untuk pertimbangan menurut perwakilan kuasa 1984 oleh pihak berkuasa negeri.

“Seterusnya siasatan akan dijalankan dengan kehadiran pegawai dan agensi berkaitan dan barulah pembatalan akan diteruskan berkuatkuasa dari tarikh warta pembatalan itu disiapkan,” katanya lagi.

 

Categories
NASIONAL SELANGOR

MB : Tidak Perlu Tunggu Pilihan Raya Untuk Bantu Rakyat

KLANG, 12 NOV : Peningkatan taraf hidup rakyat perlu dilakukan secara menyeluruh tanpa meminggirkan atau menidakkan hak golongan atau kaum-kaum tertentu, kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Beliau berkata, hanya dengan pembangunan berimbang, keharmonian serta budaya pelbagai kaum dapat diwujudkan dan dinikmati bersama.

“Rakyat Selangor sudah merasa pembangunan ekonomi yang dilakukan oleh Pakatan Rakyat (PR). Rakyat Selangor sudah merasa pengagihan peruntukan yang diberikan secara konsisten sejak 2008 kepada setiap kaum.

“Kita tidak perlu tunggu pilihan raya untuk beri peruntukan, tetapi diberikan setiap tahun kerana ia merupakan hak rakyat,” katanya semasa menghadiri Majlis Sambutan Deepavali di Jalan Tengku Kelana, di sini petang semalam.

Majlis itu merupakan anjuran Kerajaan Negeri Selangor dengan kerjasama syarikat Telekomunikasi Digi.

Hadir sama, Exco Selangor, Dr Xavier Jayakumar, Ronnie Liu dan Dr Yaakob Sapari, Ahli Parlimen dan Adun Selangor serta Yang Dipertua Majlis Perbadaran Klang (MPK), Ikhsan Mukri dan Ahli Majlis MPK.

Dalam majlis sama, Kerajaan Negeri turut menyumbang sejumlah RM1.2 juta kepada beberapa buah rumah ibadat bukan Islam di sekitar Klang.

Dalam pada itu, Menteri Besar berkata, Kerajaan Negeri bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sudah merangka strategi tertentu untuk melaksanakan program bagi kemajuan sekolah-sekolah Tamil di Selangor.

“Diharapkan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Lembaga Pengelola sekolah-sekolah Tamil menggunakan peluang dan ruang yang ada untuk membantu inisiatif kerajaan ini bagi faedah anak-anak yang yang belajar di sekolah Tamil,” katanya lagi.

Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri Agih Hamper Deepavali Kepada Keluarga Miskin

SHAH ALAM, 10 NOV : Kerajaan Negeri menyediakan 39,000 hamper barangan makanan sempena sambutan Deepavali pada Selasa ini untuk diagihkan kepada 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) di seluruh Selangor.

Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar berkata semua hamper barangan tersebut disumbangkan kepada masyarakat India berpendapatan rendah.

Beliau berkata setiap DUN akan menerima antara 500 hingga 700 hamper bergantung kepada populasi penduduk di dalam DUN berkenaan.

“Antara kandungan hamper ialah beras lima kilogram, minyak masak dua kilogram, meehun, tepung maruku serta paket kari ayam, kari kambing dan kari kurma,” katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

Menurutnya, kerja pengagihan dilakukan pegawai dan kakitangan Seksyen Sektoral dan Unit Makro dan Penswastaan Unit Perancang Ekonomi Negeri (Upen) Selangor.

“Pejabat DUN dan Pusat Khidmat akan mengagihkan semua hamper kepada penduduk di kawasan mereka apabila bekalan diterima.

Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri Cadang Tambah Lebih Banyak Tadika Rakyat

PETALING JAYA, 10 NOV : Kerajaan Negeri bercadang untuk membina tiga lagi Tadika Rakyat di Serendah, Kapar dan Dengkil bagi membolehkan kanak-kanak keluarga berpendapatan rendah menerima pendidikan di peringkat awal.

Pembinaan tadika tersebut merupakan kesinambungan daripada dua tadika sedia ada iaitu di Taman Sentosa, Klang dan Kampung Lindungan di Petaling Jaya.

Oleh itu Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar menyeru ibubapa yang tidak berkemampuan untuk menghantar anak-anak mereka kepada tadika-tadika ini.

“Tadikan ini terbuka kepada semua kaum. Justeru, penduduk di kawasan ini jangan lepaskan peluang untuk mendaftar anak-anak anda.

“Selain bayaran yuran yang rendah, anak-anak juga akan terdedah dengan pendidikan asas di peringkat awal,” katanya lagi.

Katanya, pendidikan pra-sekolah adalah langkah awal untuk mempersiapkan kanak-kanak sebelum menempuh alam persekolahan kelak.

“Berdasarkan kajian, masih terdapat 30 peratus kanak-kanak yang tidak mendaftar di mana-mana tadika kerana tidak mampu untuk membayar yuran bulanan.

Ekoran daripada itu, kebanyakan kanak-kanak ini ketinggalan dari aspek pendidikan seperti tidak tahu menulis, mengira ataupun membaca.

Hal ini menyebabkan mereka akan tercicir apabila masuk ke sekolah rendah nanti dan menimbulkan masalah serius untuk jangka masa panjang.

“Kurangnya pendedahan pendidikan di peringkat awal antara punca yang menyumbang kepada gejala sosial,” katanya semasa Majlis Perasmian Tadika Rakyat Kampung Lindungan di sini, pagi tadi.

Tadika Rakyat di Kampung Lindungan merupakan cawangan kedua yang dibina Kerajaan Negeri bersama badan bukan kerajaan (NGO), Child Information, Learning and Development Centre (Child).

Tadika tersebut dikhaskan untuk keluarga berpendapatan bawah RM 1,500.

Di samping menyediakan pembelajaran selesa, murid-murid juga hanya dikenakan bayaran serendah RM 20 sebulan.

Tadika yang bernilai kira-kira RM 460,000 itu dilengkapi lapan buah kelas dan mampu menempatkan kira-kira 20 orang murid setiap kelas.

Kerajaan Negeri telah memberi RM 50,000 untuk setiap tadika itu.

Hadir sama, Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu, Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad, Adun Taman Medan, Haniza Talha, Ahli Parlimen Kelana Jaya, Gwo Burne Loh dan Timbalan Datuk Bandar Petaling Jaya, Puasa Md Taib.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Kerajaan Negeri Tidak Pernah Tolak Permohonan Buka Kilang

KLANG 07 NOV : Kerajaan Selangor akan membantu pengusaha yang ditolak permohonan untuk membuka kilang oleh Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) atas alasan tidak cukup bekalan air di Selangor.

Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar berkata Kerajaan Negeri tidak akan menolak mana-mana syarikat atau pelabur baru yang mahu membuka operasi baru di Selangor.

Pengusaha kilang terbabit boleh berjumpa dengan agensi kerajaan negeri untuk mendapat penjelasan sebenar tentang status bekalan air Selangor.

Mereka disaran untuk berjumpa Majlis Daerah, Pihak Berkuasa Tempatan, Pusat Pelaburan negeri (SSIC) serta Unit Perancang Ekonomi negeri (UPEN).

“Kalau mahu membuat permohonan untuk membuka kilang, pengusaha kilang boleh berjumpa dengan mereka atau saya sendiri di pejabat.

?Kita boleh beri penjelasan kerana kita mempunyai kajian terperinci.

“Pengusaha kilang tidak perlu berjumpa dengan mana – mana badan bukan kerajaan (NGO) atau Syabas,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Hari Kecemerlangan Pelajar Sekolah Rendah Agama Sungai Kandis.

Sebelum ini, Pengerusi Gerakan Prihatin Rakyat Selangor (GPRS), Datuk Sohaimi Shahadan mendakwa lebih 1,000 permohonan membuka kilang baru ditolak Syabas atas alasan terdapat krisis air di Selangor.

Dr Xavier berkata kajian yang dibuat oleh Jawatankuasa Air Negeri menunjukkan bahawa dakwaan terdapat krisis air di Selangor adalah tidak tepat.

Loji Rawatan Air Bukit Jelutong Perintis Teknologi Membran

 

SHAH ALAM, 31 OKT : Kerajaan Negeri Selangor merancang menjadikan loji rawatan air di Bukit Jelutong,Shah Alam yang ditutup pada 1995 sebagai projek perintis penggunaan teknologi penapisan membran.

Exco Selangor, Dr Xavier Jayakumar berkata, ia dilaksanakan bagi menambah keupayaan menghasilkan air terawat sebanyak 50 hingga100 juta liter sehari (mld) dan mampu membekalkan lebih daripada separuh keperluan permintaan air tambahan di Shah Alam.

“Saya bersama pegawai-pegawai Unit Perancang Ekonomi (Upen) Negeri Selangor melakukan lawatan ke loji tersebut yang terletak di Bukit Jelutung Shah Alam,” kata Dr Xavier dalam kenyataan medianya.

Turut serta ialah pegawai-pegawai dari Konsortium Abbas dan Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) serta wakil-wakil dari syarikat konsultan.

Beliau berkata, loji air tersebut dibina sekitar tahun 1963 dan ditutup awal 1995 ekoran sumber airnya di Sungai Damansara tercemar di tahap empat.

Katanya, aset tersebut adalah milik Kerajaan Negeri Selangor dan merancang membukanya semula selepas kerja-kerja baik pulih dan naik taraf insfrastruktur loji dalam tempoh 6 bulan.

“Anggaran kos tersebut sekitar RM50 juta hingga RM80 juta dengan Kerajaan Negeri akan menanggung sepenuhnya kos tersebut.

“Kerajaan Negeri mengarahkan syarikat konsultan untuk menyiapkan laporan dalam masa dua bulan bagi diteliti dan diberikan penilaian oleh seksyen Makro dan Penswastaan, Unit Perancang Ekonomi Selangor,” kata beliau.

Beliau berkata, ini merupakan antara daya usaha Kerajaan Negeri untuk mendapatkan sumber air alternatif serta teknoloji yang belum diterokai dalam usaha membekalkan air terawat yang mencukupi kepada rakyat Selangor.

Categories
SELANGOR

Isu Datuk Bandar MBPJ, KSN Membelakangi MB dan Exco Selangor

 

SHAH ALAM,4 OKT: Kerajaan Negeri menyelar tindakan Ketua Setiausaha Negara (KSN) Datuk Seri Dr Ali Hamsa yang membelakangi Menteri Besar Selangor dan ahli-ahli Exco Kerajaan alam kes pertukaran Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohamad Roslan Sakiman yang ditukar secara mengejut baru-baru ini.

Exco Kesihatan. Pekerja Ladang, Kemiskinan Dan Kerajaan Prihatin Dr Xavier Jayakumar berkata, media tempatan melaporkan bahawa kononnya persetujuan untuk pertukaran tersebut dicapai selepas Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berbincang dengan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK) tanpa pengetahuan Kerajaan Negeri.

“Kita ingin perjelaskan bahawa SUK, Datuk Khusrin Munawi hanyalah salah seorang ?ex- officio? penjawat awam yang dilantik atas kapasiti jawatan beliau dan bukannya diberikan ?kuasa? bagi membuat keputusan bagi pihak ?Pihak Berkuasa Negeri?.

“Pihak Berkuasa Negeri ialah Menteri Besar dan ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) atau lebih dikenali sebagai ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri Selangor,” kata Dr Xavier dalam kenyataan medianya.

Dr Xavier menegaskan, arahan JPA bertarikh 27 September lepas untuk pertukaran jawatan Datuk Bandar Petaling Jaya tersebut adalah bertentangan dengan Seksyen 10, Akta Kerajaan Tempatan 1976.

Kerana Kerajaan Negeri diberikan ?kuasa mutlak? melantik Datuk Bandar pihak berkuasa tempatan (PBT) dan bukannya oleh pihak JPA.

“Jadi tidak berbangkit isu KSN mengenalpasti pengganti kepada Datuk Bandar Petaling Jaya kerana perlantikan ke jawatan tersebut adalah di bawah bidang kuasa dan budi bicara Kerajaan Negeri,” ujarnya.

Jelas beliau, sebagai seorang penjawat awam, Ali Hamsa yang baru dilantik sebagai KSN pada 24 Jun yang lalu seharusnya mempunyai rasa hormat untuk mengadakan lawatan kunjung hormat bertemu Menteri Besar dan ahli-ahli Exconya.

Ia kerana beliau harus sedar sebagai seorang penjawat awam seseorang itu harus akur kepada kerajaan sedia ada dan bukannya sekadar mengambil arahan dari Kerajaan Persekutuan sahaja dengan mengambil tindakan yang boleh mencetuskan kontroversi.

“Kita juga akan berbincang dengan Khusrin dalam mesyuarat Exco terdekat bagi mendapatkan laporan lanjut tentang isu itu kerana Kerajaan Negeri hanya mengetahuinya dari laporan media,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Dr Xavier : Pahang Boleh Guna Sendiri Air Mentahnya

SHAH ALAM 25 SEPT: Kerajaan Selangor mengalu-alukan dan menyokong penuh cadangan Kerajaan Pahang untuk membatalkan perjanjian penyaluran air mentah dari Pahang ke Selangor.

Exco Kesihatan, Pekerja Ladang dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar berkata Selangor sendiri tidak memerlukan air mentah dari Pahang.

“Kerajaan Selangor berpendapat ?idea? pemindahan air mentah dari Sungai Semantan di Karak, Pahang ke Taman Perkasa, Hulu Langat di Selangor melalui terowong sepanjang 44.6 km di bawah banjaran Titiwangsa tersebut hanyalah untuk ?memberikan kerja-kerja kontrak”.

“Ia untuk keuntungan kepada syarikat-syarikat kroni Umno-BN dan bukannya demi kepentingan rakyat Selangor,” kata Dr Xavier dalam kenyataan medianya.

Tambah beliau, Kerajaan Pusat tidak pula membuka tender bagi kerja-kerja tersebut yang bernilai 3.936 Bilion ini.

Sebaliknya heboh menjaja kononnya mereka ?telus? membuka tender bagi kerja-kerja pembinaan Loji Langat 2 baru-baru ini.

“Kita juga mempertikaikan bagaimana kononnya ?pakar-pakar perancang? dari Kementerian Tenaga, Teknoloji Hijau dan Air tidak terfikir langsung bahawa mereka sebenarnya memindahkan air mentah (air Sungai Sementan yang berwarna teh susu) sejauh 44.6 km.

“Di mana ia sekadar untuk diproses dan dirawat oleh sebuah loji di Hulu Langat, Selangor,” katanya.

Ujar Dr Xavier, rakyat Selangor harus tahu bahawa mereka terpaksa membayar RM80 juta setahun bagi mendapatkan air sungai Semantan berwarna teh susu tersebut yang berharga 10 sen bagi setiap meter padu.

Categories
NASIONAL

Batal Perjanjian Air : Selangor Minta Pahang Surat ‘Hitam-Putih’

SHAH ALAM, 24 SEPT: Kerajaan Negeri Selangor menyokong dan gembira jika Kerajaan Negeri Pahang berhasrat membatalkan perjanjian bekalan air mentah ke negeri ini jika pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 tidak diteruskan.

Perkara ini ditegaskan oleh Exco Kesihatan, Pekerja Ladang dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar ketika mengulas kenyataan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob yang menyatakan pihaknya akan membatalkan perjanjian bekalan air mentah ke Selangor.

Sebelum ini Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bertegas untuk tidak meneruskan projek yang menelan belanja sebanyak RM6 bilion itu.

Dr Xavier berkata Kerajaan Negeri menyambut baik hasrat itu kerana tidak perlu membayar sebanyak RM60 juta setahun royalti air mentah kepada Kerajaan Pahang jika Langat 2 diteruskan.

“Kalau dia(Adnan) dah cakap macam itu, lebih baik dia tulis ‘black and white’ kepada kita.

“Selangor memang gembira sebab kita tidak perlu membayar RM60 juta setahun kepada dia dan dia boleh jawab kepada perjanjian-perjanjian yang dia(Adnan) sudah buat,” katanya kepada TV Selangor.

Sebelum ini, perjanjian itu ditandatangani antara Kerajaan Negeri Pahang dan Selangor yang ketika itu diwakili Menteri Besar, Dr Mohd Khir Toyo pada kadar harga 10 sen bagi setiap meter padu dengan kuantiti 1.6 juta meter padu sehari.

Malah, Adnan juga mengugut jika Kerajaan Negeri Selangor tidak meneruskan Projek Langat 2 pada masa sekarang dan ingin menyambungnya pada masa hadapan, harganya akan dinaikkan kepada RM1 bagi setiap meter padu.

Membidas perkara ini Dr Xavier berkata Kerajaan Pahang tidak boleh hanya bercakap sahaja tanpa mengemukakan hasil keputusan yang ingin diputuskan.

“Ini semua ada perjanjian, dia kena tulis kepada kita,” katanya yang juga Adun Sri Andalas.