Categories
SELANGOR

Pengawal Kunci Air Antara Penerima Penghargaan Maulidur Rasul

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

KLANG, 28 JAN: Dua petugas Pengawal Kunci Air Sungai Bertik, Sungai Udang dan Kampung Delek menerima Penghargaan Jasamu Tetap Dikenang Sepanjang Zaman dalam Sambutan Maulidur Rasul 1434/2013 Peringkat DUN Selat Klang di sini.

Pengawal Kunci Air Sungai Udang dan Kampung Delek, Hasanuddin Selamat dan Pengawal Kunci Air Sungai Bertik, Mohd Nazri Jailani merupakan antara 51 penerima penghargaan sempena sambutan kelahiran Nabi Muhammad S.A.W.

OLYMPUS DIGITAL CAMERAPenghargaan tersebut diberikan atas peranan dan jasa besar yang dimainkan mereka bagi mengelak banjir besar melanda kampung-kampung sekitar Sungai Udang dan Sungai Bertik.

Demikian menurut Dr Halimah Ali ketika menyampaikan ucapannya di majlis sambutan yang diadakan di Masjid Nurul Amin, Kampung Delek di sini.

“Kalau tidak kerana mereka, tentu kita masyarakat di sini kerap hadapi banjir, oleh itu jasa mereka sangat besar,” kata beliau yang juga merupakan Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor.

Sementara itu Nazir Masjid Nurul Amin, Basir Bakar yang turut menerima penghargaan berkata, menganggap penghargaan yang diterimanya itu sebagai pendorong untuk beliau lebih bersemangat dalam menjalankan tanggungjawab kepada masyarakat Kampung Delek.

“Terima kasih kerana berikan sumbangan ini, sesungguhnya tugas yang saya jalankan adalah amanah dari Allah dan masyarakat kampung ini,” kata Basir.

OLYMPUS DIGITAL CAMERAManakala Pengerusi Surau Hj Mokhtar, Mokhtar Ahmad pula memberitahu, penghargaan yang diterimanya menjadikan beliau lebih bersemangat untuk menegakkan syiar Islam di Selat Klang.

Dalam majlis itu seramai 51 orang yang terdiri daripada Nazir Masjid, Pengerusi Surau, Siak, Bilal, Bilal Jenazah dan Pengawal Kunci Air dari seluruh Dun Selat Klang diberikan penghargaan.

Sebelum itu, dianggarkan hampir dua ribu penduduk Kampung Delek dan kampung-kampung berhampiran hadir dalam majlis sambutan Maulidur Rasul yang bertemakan ‘Ya Rasullullah, Kami Sayang dan Taat Padamu’.

Majlis itu dimulakan dengan perarakkan 914 perserta dari 31 kontingen badan bukan kerajaan (NGO), sekolah, masjid dan surau dari seluruh Selat Klang sejauh hampir dua Kilometer sebelum berakhir di perkarangan Masjid Nurul Amin.

Dalam majlis tersebut pelbagai program menarik turut diadakan seperti program Adik dan Al-Quran Bersama Ustaz Zamri ‘Mantop’ atau nama sebenarnya Zamri Zainuddin, pertandingan mewarna untuk kanak-kanak, Bicara Ilmu oleh Ustaz Dr Zulkifli, Marhaban dan lain-lain lagi.

Categories
NASIONAL SELANGOR

SAR, SJKC, SJKT Dipelawa Mohon Bantuan Persekolahan

PC EXCO Jan 2013 Halimah Ali 02

SHAH ALAM 23 JAN : Kerajaan Negeri hari ini mempelawa mana-mana Sekolah Agama Rakyat (SAR), Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) dalam negeri ini untuk memohon bantuan persekolahan daripada Kerajaan Negeri.

Untuk tahun kelima berturut-turut, Kerajaan Negeri memperuntukkan sejumlah RM16 juta khusus bagi memberi inisiatif kepada sekolah-sekolah yang memerlukan bantuan.

PC EXCO Jan 2013 Halimah Ali 01Exco Pendidikan, Dr Halimah Ali mengumumkan dalam sidang media selepas Mesyuarat Exco petang tadi bahawa permohonan boleh dihantar terus ke Jawatankuasa Tetap Pendidikan bahagian Sumber Manusia.

“Borang permohonan juga boleh diperolehi melalui portal Kerajaan Negeri.

“Mereka boleh muat turun borang dan hantar kepada Kerajaan Negeri secepat mungkin,” umum Dr Halimah dalam sidang media di SUK hari ini.

Setiap sekolah berpeluang untuk mengemukakan permohonan selewat-lewatnya sehingga akhir bulan ini.

“Tarikh akhir ialah pada 31 Januari ini supaya kita dapat memberi bantuan kepada sekolah-sekolah dengan kadar segera bermula awal sesi persekolahan ini,” jelasnya lagi.

Categories
SELANGOR

Unisel Sediakan Kediaman Sementara Bagi Pelajar Bestari Jaya

anuar unisel mic pc 01

SHAH ALAM 3 JAN : Atas faktor keselamatan, Universiti Selangor (Unisel) telah memindahkan 2,000 pelajarnya yang menghuni di asrama Bestari Jaya ke beberapa kediaman di luar kampus.

Langkah tersebut diambil bagi memberi laluan kepada kerja-kerja pembaikan kawasan kampus yang dijangka mengambil masa kira-kira 12 bulan.

Naib Canselor Unisel, Prof Dr. Anuar Ahmad berkata pihaknya kini sedang menunggu respon daripada Jana Niaga Sdn Bhd (JNSB), syarikat yang bertanggungjawab menguruskan asrama tersebut tentang kerja pembaikan.

“Sejak surat dihantar 27 Disember lalu hingga kini, kita masih tidak menerima sebarang maklum balas daripada JNSB samada mereka bersedia untuk menanggung kos pembaikan atau tidak.

“Jika mereka masih senyap, kita menganggap mereka tidak berminat.

“Namun kita akan teruskan juga kerja-kerja pembaikan dengan bantuan dan sokongan Kerajaan Negeri,” jelas Anuar yang ditemani Exco Pendidikan Tinggi, Dr. Halimah Ali dalam satu sidang media di sini pagi tadi.

Dalam pada itu, Halimah memberitahu, Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan RM 20 juta untuk kerja-kerja pembaikan asrama tersebut sekiranya JNSB enggan bertanggungjawab.

Pelajar Unisel kampus Bestari Jaya yang akan mula mendaftar pada 11 Januari akan ditempatkan di kediaman sementara di Bandar Tasik Puteri, Rawang dan Kota Puteri, Ijok, selain beberapa kediaman lain di kawasan Ijok.

Mereka juga akan disediakan perkhidmatan pengangkutan, internet serta pegawai keselamatan.

Anuar menjelaskan bahawa pelajar masih membayar RM 200, sama seperti kadar di asrama yang asal.

Dilaporkan pada 20 Disember lalu, atas permintaan Unisel, Bahagian Senggara Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor melakukan tinjauan di kawasan asrama Unisel Kampus Bestari Jaya.

Tinjaun tersebut mendapati keadaan tanah mengalami mendapan yang serius sehingga menganggu kelancaran sistem kumbahan, perparitan dan kabel bawah tanah.

Susulan dari itu, JKR pada 26 Disember menyarankan agar kerja-kerja pembaikan dilakukan segera dan bangunan asrama perlu dikosongkan penghuni.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Jangan Flip-flop :Utamakan graduan tempatan – INFO 12

Sinopsis

Info 12 Untuk 28122012

Saksikan secara langsung “INFO 12” sebuah rancangan baru yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT setiap jam 12.00 tengahari. Pelbagai info dan maklumat yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk 28 DISEMBER 2012 :

1. Jangan Flip-flop : Kerajaan Pusat perlu mengutamakan graduan tempatan dan menambahbaik sistem pembelajaran negara ini.

2. Kempen Anti Zina dilancarkan sempena karnival Pendidikan Selangor.

3. Naib Presiden PAS menganggap kabinet membantu kroni dalam meneruskan saman AES

Layari http://www.selangorkini.net

mahfuz

Categories
SELANGOR

Selangor Sambut Ambang Tahun Baru Selama Tiga Hari

Halimah Ali Flip Flop 02

SHAH ALAM 27 DIS : Sambutan ambang Tahun Baru di Selangor akan berlangsung selama tiga hari dengan pelbagai program menarik ekoran sambutan hangat terhadap acara itu tahun lepas.

Ia akan dimulakan dengan Seminar Gen Y pada 29 Disember dan diikuti dengan Karnival Pendidikan Selangor – EduSel Fair daripada 30 hingga 31 Disember bermula tujuh pagi hingga 12 malam di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam.

Karnival tersebut akan diwarnai dengan pelbagai aktiviti positif antaranya ceramah santai daripada personaliti TV iaitu Ahmad Shukri Yusof dan Mohd Fauzi Mustaffa.

Terdapat juga Tahnik bersama ilmuan, forum dan sembang santai bersama artis seperti Shamsul Ghau-Ghau, Kamal Adli, Malek Noor, Abby Abadi, Diana Amir dan Uztaz Azhar Idrus.

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali berkata karnival pendidikan itu diharapkan akan menarik lebih ramai pengunjung berbanding tahun lepas.

Karnival itu bertujuan untuk memberi pendedahan kepada masyarakat mengenai ilmu dalam kehidupan seharian seiring dengan misi pendidikan negeri Selangor untuk menjadikan Selangor sebuah negeri Hub Ilmuan dan Hub Pendidikan.

Selain itu, Seminar Gen Y yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Tetap Adat Melayu, Belia dan Sukan akan memberi fokus kepada memahami psikologi dan biologi Generasi Y.

Seminar tersebut bertujuan membina generasi berwibawa, beriman dan bertaqwa kata exco Adat Melayu, Belia dan Sukan Dr Ahmad Yunus Hairi.

Ia akan bermula seawal jam 8 pagi hingga 5 petang di Auditorium Dewan Jubli Perak, Bagunan Setiausaha Kerajaan Negeri.

Antara tetamu jemputanya ialah Ahli Majlis Fatwa Terengganu, Dr Zulkifli Mohamad Al- Bakri ; Profesor Universiti Malaya, Datuk Dr Mohamad Redzuan Othman, jemputan artis antaranya, Yatt Hamzah, Diana Amir dan Mel Wings.Halimad Ali Flip Flop 01

Categories
NASIONAL SELANGOR

Jangan Flip-Flop, Utamakan Kebolehan Tempatan Dalam Pengajaran BI

Debat Yayasan Selangor Halimah ali 2

SHAH ALAM 27 DIS : Kerajaan Pusat seharusnya mengutamakan pengambilan graduan tempatan dan menambah baik sistem pembelajaran di negara ini sebelum bertindak mengambil guru dari lua negara untuk mengajar Bahasa Inggeris.

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali berkata penguasaan Bahasa Inggeris yang lemah di sekolah-sekolah mungkin berpunca daripada sistem pembelajaran itu sendiri.

Pada masa yang sama, terdapat beribu graduan daripada institut pendidikan yang masih belum mendapat pekerjaan walaupun mendapat keputusan yang baik.

Kerajaan Pusat juga pernah bersikap ?flip-flop? dalam membuat keputusan tetang pembelajaran Bahasa Inggeris.

Ini dilihat dalam dasar pembelajaran sains dan matematik di dalam Bahasa Inggeris yang dilaksanakan zaman bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed yang kemudiannya dibatalkan pada zaman Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Oleh itu, kata Dr Halimah, Kementerian Pelajaran sepatutnya mengkaji perlaksanaan itu sebelum membuat pengumuman.

“Jangan disebabkan kita pergi lawatan ke India, terus berminat untuk mengambil orang dari sana untuk dibawa masuk mengajar di sekolah kita.

“Ia perlu dikaji semula.Kita tidak mahu fenomena flip flop polisi, kejap ada kejap tiada. ” katanya ketika ditemui.

Beliau menambah tindakan itu juga seolah-olah menjadikan pelajar di negara ini sebagai satu eksperimen.

Pada minggu lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika lawatannya ke India mengumumkan bahawa Malaysia berminat untuk mengambil guru-guru dari negara tersebut untuk mengajar Bahasa Inggeris di sekolah-sekolah kebangsaan tanahair.

Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli baru-baru ini membangkitkan isu nasib graduan-graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP) khususnya dari Intitusi Pengajian Tinggi Swasta yang tidak menerima tawaran pekerjaan di sekolah-sekolah kebangsaan.

Pada Mac 2012, Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Puad Zarkashi mengesahkan bahawa 7,000 graduan ISMP belum diberikan tawaran kerja meskipun mendapat keputusan baik.

Dr Halimah berkata Kerajaan Pusat perlu menyelesaikan masalah pengangguran graduan pendidikan supaya mereka ini tidak ‘dianaktirikan’.

“Kita ada banyak lepasan graduan pendidikan, tak kan Kerajaan Pusat tidak mempunyai kenyakinan untuk mengambil mereka? Sedangkan Kementerian Pelajaran yang melahirkan graduan ini.

“Nak mengajar sesuatu bahasa, dia mesti ada cara pengajaran dan pembelajaran yang betul.

?Mesti guna kaedah yang berkesan, yang kita lihat dari segi teori pelajar pandai, tetapi bertutur tidak pandai boleh berkomunikasi.

“Ia mungkin bukan langkah yang bijak dan menganayai graduan sendiri,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

TNB Kenakan Caj 200% – 500% – INFO 12

Sinopsis

Info 12 Untuk 26122012

Saksikan secara langsung “INFO 12” sebuah rancangan baru yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT setiap jam 12.00 tengahari. Pelbagai info dan maklumat yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk 26 DISEMBER 2012 :

1. TNB Kenakan Caj 200-500%

Awas, anda mungkin akan terperangkap dengan tindakan TNB ekoran pemasangan meter digital di rumah anda.

Caj yang akan dikenakan nanti adalah antara 200% hingga 500%. TV Selangor mendedahkan sikap tidak prihatin TNB ini

Layari http://www.selangorkini.net

hannah

Categories
NASIONAL SELANGOR

Selangor Cemerlang Dalam Ujian Kafa

SHAH ALAM 14 DIS : Selangor mencatatkan 100 peratus pelajar lulus Ujian Penulisan Kelas Kafa (UPKK) 2012 sekaligus muncul negeri terbaik dengan mata 1.55 mata, diikuti Melaka dan Terenggganu.

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi, dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali berkata secara keseluruhannya, daerah Kuala Selangor muncul daerah terbaik dengan Gred Purata National (GPN) 1.36.

Ini diikuti Sepang dengan GPN 1.46 dan daerah Hulu Selangor dengan GPN 1.48.

Katanya, seramai 15,933 pelajar menduduki ujian yang bermula Oktober lalu itu.

Daripada jumlah itu, seramai 8,624 calon berjaya memperolehi pangkat A berbanding 6,617 orang pada 2011.

Bagi pencapaian agregat 8A adalah sebanyak 2,613 orang berbanding 1,185 pada 2011 yang mana peratusan tertinggi daerah yang teramai calon mendapat 8A ialah Kuala Selangor iaitu 34.05 peratus, Kuala Langat 23.23 peratus dan Klang 22.54 peratus.

Mengikut mata pelajaran, Amali Solat dan Penghayatan Cara Hidup Islam mencatat kadar lulus yang tertinggi iaitu 100 peratus dan Al Quran pula sebanyak 98.98 peratus.

Halimah menambah peningkatan pencapaian pelajar dalam peperiksaan itu membuktikan keberkesanan program pendidikan yang dijalankan oleh Kerajaan Negeri selama ini.

Jelasnya, kerajaan negeri di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat sentiasa ingin melihat sistem pendidikan Islam di Selangor mampu melahirkan pelajar yang cemerlang dalam apa jua bidang.

Beliau berkata selain misi menjadikan Selangor sebagai hab pendidikan, sistem pendidikan Islam di Selangor diharapkan dapat menjadi contoh terbaik.

“Kejayaan ini diharapkan akan berterusan pada tahun seterusnya dan Kerajaan Negeri akan merancang inisiatif lain untuk pendidikan di negeri Selangor.

“Teras utama Kerajaan Negeri ialah untuk memacu permodenan insan,” katanya ketika dihubungi.

Untuk rekod, tiga belas buah negeri mencatatkan keputusan lulus seratus peratus dalam peperiksaan UPKK 2012 berbanding 12 buah negeri pada tahun lepas.

Hanya Wilayah Persekutuan mencapai keputusan 99 peratus lulus.

Secara keseluruhan, 24,962 calon mendapat 8A berbanding 17,684 pada 2011. Jumlah tertinggi mendapat 8A ialah di Terengganu iaitu sebanyak 21.69 peratus, diikuti Melaka 21.50 peratus dan Sabah sebanyak 18.34 peratus.

Categories
NASIONAL SELANGOR

PIBG SAR Mohon Dibina Lebih Banyak Sekolah Agama

SHAH ALAM, 30 NOV : Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Agama Rakyat (SAR) memohon Kerajaan Negeri supaya membina lebih banyak sekolah berteraskan pendidikan Islam untuk menampung keperluan pelajar yang semakin bertambah.

Wakilnya, Rizuan Rahmat berkata, selain memfokuskan kepada pembangunan negeri, pihaknya juga mahukan sistem pendidikan diutamakan demi masa depan pelajar Melayu di negeri ini.

“Kami mahu Kerajaan Negeri untuk proaktif mengarus perdanakan sistem pendidikan Islam bagi anak Melayu dengan mewujudkan sebuah yayasan yang memfokuskan pembangunan pendidikan Islam terancang,” katanya semasa menyerahkan memorandum kepada Kerajaan Negeri di Dewan Annex, hari ini.

Sementara itu, Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali berkata, Kerajaan Negeri menyambut baik usul berkenaan dan berusaha untuk memenuhi keperluan tersebut.

Bagaimanapun, ia akan mengambil sedikit masa ekoran Kerajaan Negeri tidak mempunyai belanjawan besar seperti Kerajaan Pusat.

“Kita wujudkan Yayasan Pendidikan Islam Selangor tahun lalu yang berdafrtar di bawah Kementerian Kewangan. Kita memerlukan dana yang secukupnya untuk membina sekolah berasaskan agama. Saya akan bawa usul ini kepada Kerajaan Negeri atas desakan dan permintaan oleh semua ibu bapa yang mahu lebih banyak sekolah dibina,” katanya.

Categories
SELANGOR

Keperluan Infrastruktur Sekolah Agama Dinilai Tiap Tahun

SHAH ALAM, 28 NOV : Keperluan Sekolah Rendah Agama(SAR) akan dinilai setiap tahun oleh Bahagian Pendidikan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) bagi memastikan sekolah berkenaan mendapat bantuan yang diperlukan mengikut keutamaan.

Exco Pendidikan, Dr Halimah Ali berkata, polisi ini diamalkan setiap tahunbukan sahaja terhadap infrastruktur sekolah malah melibatkan dan keperluan tenaga pengajar.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan perbahasan Jawatankuasa Belanjawan Jabatan Agama Islam Selangor yang dibangkitkan oleh Adun Skinchan, Ng Suee Lim.

Suee Lim dalam soalannya membangkitkan keadaan usang Sekolah Rendah Agama Parit 7, Skinchan selain mengalami masalah infrastruktur terutama tandas pelajar.

“Saya setuju sekolah yang disebutkan Skinchan merupakan satu keutamaan kerana iamelibatkan kemudahan asas,” ujar Dr Halimah lagi.

Untuk tahun ini, sebanyak RM8 juta diperuntukkan Lembaga Zakat Selangor untuk pembangunan infrastruktur.

Selain itu, Dr Halimah turut menyatakan sejak tahun 2008, satu Majlis Permuafakatan Institusi Pendidikan Selangor (Mafis) yang dianggotai oleh rakyat Islam di Selangor ditubuhkan untuk memikirkan langkah jangka panjang menaikkan prestasi sekolah agama di negeri ini.

Jelasnya, sekolah rendah agama merupkan sekolah yang dibangunkan Kerajaan Negeri termasuk dari segi penyediaan tapak manakala sekolah agama rakyat pula ditanggung sepenuhnya rakyat.

Sehingga kini, Selangor mempunyai 23 sekolah rendah agama, 11 sekolah integrasi agama dan lebih 230 sekolah Kafa.

Categories
SELANGOR

RM 250 Ribu Bina Jambatan Konkrit Di Bagan Teochew Pulau Ketam

PELABUHAN KLANG 24 NOV: Satu jambatan konkrit bernilai RM 250 ribu akan dibina dalam waktu terdekat bagi mengganti jambatan kayu di Bagan Teochew, Pulau Ketam yang musnah dilanggar bot pada 15 September 2012 lalu.

Exco Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali berkata, Kerajaan Negeri telah meluluskan projek pembinaan jambatan baru itu melalui peruntukan kewangan dalam Belanjawan Selangor 2012.

Katanya, Kerajaan Negeri sedar mengenai masalah yang dihadapi penduduk di kawasan itu memandangkan Bagan Teochew menjadi tumpuan pelancong kerana terdapat restoran makanan laut serta ‘chalet’.

“Pembinaan jambatan baru ini akan dimulakan dalam waktu terdekat dan kontraktor telah dipilih bagi menyiapkan jambatan ini yang dijangka akan siap pada bulan Februari 2013,” katanya.

Dr Halimah, yang juga Adun Selat Klang, ditemui ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Jambatan Baru Bagan Teochew di Pulau Ketam hari ini.

Turut hadir Ketua Kampung Pulau Ketam, Cha Keng Lee, Ahli Majlis Majlis Perbandaran Klang (MPK), Song Sung Hwan, TImbalan Pengarah Kejuruteraan MPK, Zamri Othman serta penduduk Bagan Teochew.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri meluluskan peruntukan sebanyak RM 80,000 bagi membina jambatan sementara bagi menggantikan jambatan kayu berusia lebih 40 tahun yang musnah itu.

Categories
SELANGOR

Penduduk Pulau Ketam Terima Pemeriksaan Mata

PELABUHAN KLANG 24 NOV : Penduduk Pulau Ketam khususnya warga emas menerima pemeriksaan mata secara percuma melalui program yang dianjurkan oleh Pusat Perubatan Pakar KPJ Klang dengan kerjasama CIMB Berhad pada hari ini.

Program yang diadakan di balai raya Pulau Ketam itu dihadiri kira-kira 200 penduduk serta kakitangan KPJ yang terdiri daripada doktor, pegawai perubatan, dan pegawai CIMB.

Pengurus program, Zaharah Osman berkata, sokongan dan penglibatan kakitangan KPJ Klang memberikan impak yang besar terhadap program berkataan.

Katanya, ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) dalam usaha membantu dan memberikan kesedaran kepada mengenai penjagaan mata dan kesihatan secara keseluruhan.

“Program ini mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada penduduk bagi mendapatkan pemeriksaan mata.

“Kami merasa gembira kerana semua kakitangan memberikan komitmen yang baik terhadap program ini,” katanya ketika ditemui.

Program ini dirasmikan oleh Exco Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali yang juga merupakan Adun Selat Klang.

Dr Halimah di dalam ucapannya berkata, Kerajaan Negeri ingin melihat lebih banyak lagi syarikat-syarikat swasta memberikan khidmat sosial kepada penduduk khususnya di kawasan padalaman.