Categories
NASIONAL

Ziarah Asnaf LZS Pupuk Kesedaran Orang Ramai

Ziarah Asnaf LZS Pupuk Kesedaran Orang Ramai 01

SHAH ALAM 28 MEI : Diberi peluang melihat dan merasai sendiri kesusahan dan kesempitan hidup insan yang tidak bernasib baik menjadi pengajaran yang berguna kepada orang ramai.

Pengalaman ini dirasai oleh Shamsul Nizam Omar, 38, yang menyertai program Ziarah Asnaf Lembaga Zakat Selangor (LZS) bersama Korporat dan Media ketika menziarahi pelakon veteran Maimun Talib di kediamannya di Seksyen 17, Shah Alam baru-baru ini.

Katanya, beliau dapat merasai sendiri kesusahan yang dihadapi Maimun sekeluarga kerana hilang punca pendapatan dan mengalami kesukaran membesarkan lima orang anaknya.

“Tujuan saya mengikuti program hari ini adalah untuk mengetahui sejauh mana agihan zakat itu sampai kepada orang yang memerlukan bantuan.

“Kadang-kadang kita rasa kita susah, tapi bila kita ikut program seperti ini, kita tahu ada lagi orang lebih susah daripada kita,” katanya yang merupakan bekas pemandu pelancong.

Pelakon veteran berkenaan merupakan penerima zakat LZS sejak setahun lalu kerana mengidap kanser payu dara serta tidak mampu menampung kos perubatan yang tinggi.

Malah, anak perempuan beliau yang kini berusia 17 tahun turut disahkan mengidap penyakit buah pinggan yang memerlukan rawatan segera.

Seorang lagi peserta, Juwita Ezli, 35, berkata program seperti ini perlu diteruskan pada masa akan datang supaya lebih ramai orang ramai tampil bagi menyalurkan zakat kepada LZS supaya agihan dapat dilaksanakan secara berhemah.

“Kakak bawa anak sekali, untuk tunjukkan pada mereka bahawa ada lagi orang lagi susah daripada kita, dan saya rasa program seperti ini patut diteruskan dan memang bagus dan baik pada semua,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Unit Perhubungan Awam LZS, Hamizul Abdul Hamid, berkata, LZS merasa terpanggil untuk mengadakan program itu bertitik-tolak daripada persoalan berkaitan agihan kutipan zakat dan bagaimana ia dimanfaatkan untuk kepentingan semua asnaf.

Dalam pada itu, program sehari tersebut turut singgah di beberapa premis perniagaan asnaf yang menerima bantuan modal LZS dan berjaya keluar daripada kelompok itu setelah berjaya dalam perniagaan masing-masing

Categories
SELANGOR

Pemberian Bantuan Komputer LZS Suntik Semangat Mahasiswa

Zakat Selangor Sumbang Laptop pada Anak Yatim 06

SHAH ALAM 13 MAC : Jika dahulu Hidayatul Husna Nazarudin,22, terpaksa berkongsi komputer dengan tiga orang adik-beradiknya yang lain untuk menyiapkan tugasan pembelajaran.

Zakat Selangor Sumbang Laptop pada Anak Yatim 05Tetapi kini pelajar Universiti Selangor (Unisel) Bidang Pengurusan Perniagaan itu bagaikan mendapat ‘sinar baru’ yang menyuntik semangat untuk lebih cemerlang dalam pembelajarannya dengan bantuan komputer riba daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS).

“Jadi bila tiada komputer dahulu itu agak menyukarkan sedikit pembelajaran saya, tetapi apabila sudah mendapat bantuan ini maka akan memudahkan melaksanakan tugasan yang diberikan kelak,” kata beliau.

Zakat Selangor Sumbang Laptop pada Anak Yatim 07Hidayatul Husna yang merupakan anak yatim apabila kehilangan ayahnya tujuh tahun lepas merupakan antara pelajar Unisel yang cemerlang apabila memperolehi PNGK 3.89 pada semester lepas.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Penyampaian Bantuan Komputer Riba daripada LZS yang disampaikan oleh Mufti Selangor, Datuk Setia Mohd Tamyes Abd Wahid di Dewan Pro-Canselor Unisel di sini.

Zakat Selangor Sumbang Laptop pada Anak Yatim 03Semangat itu dikongsi bersama dengan Nurul Farhana Abdul Aziz,23, berkata, pemberian bantuan itu akan memberikan kelebihan kepadanya untuk memudahkan pembelajaran kerana tidak perlu meminjam daripada rakan-rakannya dan pergi ke pusat siber.

“Dengan adanya ia akan memberi manfaat kepada saya, dahulu saya kena pergi ke perpustakaan dan pusat siber hanya semata-mata untuk menyiapkan tugasan,” katanya.

Beliau mengambil jurusan Ijazah Komunikasi Media memperolehi PNGK 3.74 adalah merupakan anak sulung daripada tiga orang adik beradik daripada keluarga yang susah apabila hanya ibunya menanggung pembelajaran.

“Bantuan ini sangat membantu dan LZS banyak membantu saya untuk wang saku dan lain-lain,” kata Nurul.

Sementara itu, Mohammad Shahisam Mokhtar,21, berkata, komputer itu nanti memberikannya semangat untuk lebih cemerlang dalam pembelajarannya di masa hadapan serta akan digunakan sebaik mungkin.

“Alhamdulillah syukur dapat kemudahan ini dan akan memudahkan untuk saya menyiapkan tugasan,” katanya.

Para pelajar yang ditemui itu merupakan antara 200 penerima bantuan komputer riba berharga RM2,000 yang disumbangkan daripada LZS kepada Asnaf Zakat di mana jumlah keseluruhan bantuan RM400,000.

Zakat Selangor Sumbang Laptop pada Anak Yatim 04

Categories
SELANGOR

LZS Sumbang 200 Komputer Riba Kepada Mahasiswa Selangor

Zakat Selangor Sumbang Laptop pada Anak Yatim 01

SHAH ALAM 13 MAC : Seramai 200 pelajar institut pengajian tinggi (IPT) menerima sumbangan bantuan komputer daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) bernilai RM 2,000 setiap satu.

Mufti Selangor, Datuk Setia Mohd Tamyes Abd Wahid berkata, pemberian bantuan itu melibatkan kos keseluruhan berjumlah RM400,000.

“Pemberian komputer riba ini diharap mampu menjentik motivasi kepada para pelajar tajaan LZS yang lain, khususnya anak-anak asnaf untuk berusaha lebih gigih dalam pelajaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Mesra Pelajar Tajaan Lembaga Zakat Selangor yang diadakan di Dewan Pro-Canselor Universiti Selangor (Unisel) di sini.

Ujarnya, para pelajar disaran untuk memanfaatkan penggunaan komputer riba tersebut untuk tujuan berfaedah demi menggapai kecemerlangan berterusan dalam pendidikan.

Zakat Selangor Sumbang Laptop pada Anak Yatim 02Bantuan ini hanya terbuka kepada asnaf kelahiran Selangor dan belajar di IPT yang berada di dalam negeri ini.

Sebelum ini, LZS memulakan pemberian komputer riba sejak 2004 kepada mereka yang cemerlang dengan pencapaian Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.0 ke atas dan ia dibuat berdasarkan permohonan dan memenuhi kriteria tertentu.

Walaubagaimanapun, bermula pada tahun ini mereka yang memperolehi PNGK 2.5 ke atas layak juga menerimanya.

Naib Canselor Unisel, Prof Dr Anuar Ahmad berkata, para pelajar yang sudah berjaya diharapkan mampu menjadi penyumbang pembayaran zakat di masa hadapan apabila sudah berkerjaya.

Turut hadir, Timbalan Pengurus Besar, Pejabat Agihan LZS, Abdul Basith Hamid dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar Unisel, Prof Madya Zainal Abidin Kidam.

Sehingga Disember 2012, LZS telah membiayai sejumlah 2,320 mahasiswa asnaf fakir dan miskin yang melanjutkan pengajian di IPTA dan IPTS seluruh negara bermula dari peringkat sijil hingga doktor falsafah.

Categories
SELANGOR

Kutipan Zakat Selangor Meningkat Melebihi Sasaran

Kutipan Zakat Selangor Meningkat Melebihi Sasaran 01

SHAH ALAM, 22 JAN : Jumlah kutipan zakat harta dan fitrah di Selangor pada tahun 2012 melebihi sasaran, dengan jumlah kutipan sebanyak RM451 juta berbanding RM394.1 juta dalam tempoh sama pada tahun sebelumnya.

Perkara itu diumumkan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Setia Mohamad Adzib Mohd. Isa pada sidang media khas yang diadakan di Bangunan Sultan Idris Shah di sini.

Menurut Adzib, jumlah kutipan ini melebihi daripada sasaran RM430 juta yang ditetapkan oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) dengan kenaikan sebanyak 14 peratus dan perbezaan sejumlah RM59.6 juta.

Katanya, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM432.2 juta dikutip daripada zakat harta, manakala RM18.8 juta daripada zakat fitrah.

“Pada tahun 2012, LZS mengutip zakat harta sebanyak RM432.2 juta, berbanding RM376.1 juta pada tahun sebelumnya. Jumlah kutipan zakat terbesar mengikut segmen disumbangkan oleh Zakat Pendapatan (RM260.5 juta), diikuti Zakat Perniagaan (RM85 juta); Zakat Simpanan (RM30.5 juta); Zakat KWSP (RM7.8 juta); Zakat Saham (RM7.8 juta); Zakat Emas dan Perak (RM2.1 juta); Zakat Harta (RM34.6 juta); Zakat Tanaman (RM2.6 juta), Zakat Ternakan (RM0.03 juta) dan Qada Zakat (RM1.4 juta).

“Jumlah pembayar zakat harta bagi tahun lalu ialah seramai 210,723 orang (meningkat 17 peratus) berbanding tahun sebelumnya. Daripada jumlah tersebut, seramai 44,488 orang merupakan pembayar baru di LZS,” katanya.

Sementara itu, katanya, bagi tahun 2012, Mais melalui LZS telah mengutip zakat fitrah sebanyak RM18.8 juta, berbanding RM18 juta pada tahun 2011.

Tambahnya, LZS turut meletakkan sasaran kutipan zakat bagi tahun 2013 adalah sebanyak RM470 juta iaitu kenaikan sebanyak 4 peratus berbanding pencapaian tahun lalu.

Katanya lagi, program pencarian fakir dan miskin yang dikenali sebagai Skuad Jejak Kemiskinan (SJK) yang diperkenalkan sejak 2011 juga kini telah mendaftarkan seramai 932 keluarga untuk menerima pelbagai bantuan.

Dalam pada itu, LZS juga akan melaksanakan beberapa inisiatif baru pada tahun ini antaranya Klinik Bergerak dan Pusat Jagaan Warga Emas Zakat Selangor dengan kerjasama Kumpulan Perubatan Johor(KPJ).

“Manakala pusat jagaan warga emas yang bertempat di Jalan Kebun, Shah Alam itu dijangka siap sepenuhnya pada bulan Jun tahun ini. Pusat jagaan ini akan memberi perkhidmatan penjagaan, perlindungan dan pemulihan bagi warga emas lelaki dan wanita,” jelasnya.

Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri Rangka Pelbagai Program Bela Ibu Tunggal

 

SHAH ALAM 28 NOV : Seramai 24,009 wanita bertaraf ibu tunggal di seluruh Selangor berpeluang membaiki taraf kehidupan apabila Kerajaan Negeri merancang pelbagai program untuk membawa mereka keluar dari belenggu kemiskinan.

Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi, Inovasi dan Kebudayaan Rodziah Ismail berkata, insiatif itu diambil supaya mereka tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negeri.

“Antara program dijalankan ialah Pemberdayaan Wanita Selangor menerusi Pusat Wanita Budaya (PWB), Skim Mikrokredit Luar Bandar (SkimSel), Skim Mikrokredit Bandar (Mimbar), Skim Mikrokredit Wanita Ladang (Wala), Program Pemberdayaan Ibu Tunggal SOHO Selangor (PET-SOHO-S), Skim Bantuan Asuhan Rakyat (SiKembar), Skim Bantuan Tadika Selangor (Tunas) serta Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Selangor.

“Semua program dan skim ditawarkan itu menarik ibu tunggal di Selangor untuk bersama turut serta dan mendaftar bagi melibatkan diri mereka,” katanya ketika menjawab pertanyaan Adun Kota Alam Shah, M Manoharan dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini hari ini.

Rodziah berkata, dari jumlah dinyatakan, ibu tunggal di kalangan bangsa Melayu mencatat bilangan tertinggi seramai 18,011 orang, India (1,574), Cina (792), Orang Asal (dua) dan lain-lain (3,630).

Beliau berkata, kajian beberapa institusi pengajian tinggi tempatan dan antarabangsa serta NGO mendapati antara masalah dihadapi golongan itu adalah masalah kewangan untuk menampung keperluan harian diri dan keluarga.

Selain itu, tambahnya, ia turut melibatkan masalah berurusan dengan mahkamah seperti tidak mendapat pembelaan dari sudut penerimaan nafkah akibat perceraian di samping terpaksa melalui proses birokrasi mahkamah yang merumitkan dalam jangka masa panjang.

“Masalah dalam penjagaan sempurna anak-anak ketika mencari nafkah dan kesan psikologi khususnya dalam tempoh tiga bulan pertama menjadi ibu tunggal turut membelenggu mereka ini,” katanya lagi.

Categories
SELANGOR

Hakim Syarie, Perkim Antara Tokoh Maal Hijrah Selangor 1434H

SHAH ALAM, 14 NOV : Bekas Ketua Hakim Syarie Selangor, Datuk Johdi Toha telah dipilih selaku Tokoh Maal Hijrah Peringkat Negeri Selangor 1434H/2012M.

Pemilihan Johdi dibuat sebagai penghargaan ke atas sumbangannya sepanjang perkhidmatan cemerlang selama 37 tahun.

Beliau yang ditemui melahirkan rasa gembira dan bersyukur diatas penghargaan tersebut yang diberikan selepas beliau menyambut ulangtahun kelahiran yang ke-66.

“Sebenarnya saya tidak menyangka mendapat anugerah yang begitu besar pada diri saya berbanding dengan khidmat saya yang begitu kecil sangat kepada Negeri Selangor.

“Patik menjunjung kasih diatas kurniaan ini dari Duli Tuanku diatas anugerah ini.

“Terima kasih kepada kerajaan negeri dan Jais yang berusaha mengaturkan semua ini sehingga dipilih menjadi Tokoh Maal Hijrah 1434H,” katanya yang akan bersara bulan ini.

Beliau yang kini bertugas di Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), mula berkhidmat sebagai kakitangan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) sebagai Pegawai Hal Ehwal Islam pada tahun 1975.

Beliau juga pernah menyandang jawatan qadi sepanjang berkhidmat di Jais sehingga tahun 1991.

Sebelum itu, beliau pernah berkhidmat di Mahkamah Syariah Selangor dan beliau telah dilantik menjadi Ketua Hakim Syarie dari tahun 2003 sehingga bersara pada tahun 2010.

Selain itu, beliau juga telah menghasilkan beberapa buku berkaitan undang-undang dan keagamaan yang menjadi rujukan dan panduan.

Beliau membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 sumbangan Kerajaan Selangor, RM10,000 sumbangan Lembaga Zakat Selangor (LZS), sijil penghargaan, trofi Maal Hijrah, spersalinan pakaian dan anugerah mengerjakan umrah.

Selain Johdi, sebanyak empat lagi penerima anugerah dipilih bagi menghargai jasa mereka kepada pembangunan Islam dan masyarakat Islam Selangor.

Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Bahagian Negeri Selangor dipilih menerima Anugerah Pertubuhan/Badan Dakwah Sukarela Negeri Selangor 1434H/2012M.

Hadiah berupada wang tunai RM 5,000 sumbangan Kerajaan Selangor, RM5,000 sumbangan Lembaga Zakat Selangor (LZS), sijil penghargaan dan baucar pembelian buku ilmiah berjumlah RM50,000.

Perkim ditubuhkan pada tahun 1964 dan aktif melakukan aktiviti seperti seminar, halaqah, karnival, kuliah agama perdana, kursus pengajian Al-Quran, klinik khidmat kesihatan dan lain-lain.

Sepanjang tempoh 48 tahun penubuhannya, ia telah berjaya membuka 24 cawangan seluruh Selangor termasuk di Institut Pengajian Tinggi (IPT).

Anugerah Tokoh Saudara Kita pula diberikan kepada Professor Taufiq Yap Yun Hin yang telah mendapat hidayah nur Islam pada 26 November 1983 ketika berusia 15 tahun.

Sementara itu, Harun Hasan dipilih sebagai Tokoh Aktivis Masyarakat manakala Mohd Yaakob Zakaria dan Rusnah Jamali dipilih sebagai Tokoh Keluarga Mithali.

Mereka bertiga masing masing menerima hadiah wang tunai RM5,000 sumbangan Kerajaan Selangor, RM5,000 sumbangan Lembaga Zakat Selangor (LZS), sijil penghargaan, trofi Maal Hijrah, spersalinan pakaian dan anugerah mengerjakan umrah.

Majlis Pelancaran Sambutan Maal Hijrah Peringkat Selangor 1434H disempurnakan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj.

Bertempat di Masjid Negeri, sambutan kali ini bertemakan ‘Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah’.

Turut hadir sama, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Ketua Setiausaha Kerajaan Selangor, Datuk Khusrin Munawi dan Ketua Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Marzuki Hussin.

Majlis perasmian dimulakan dengan acara bacaan doa akhir tahun 1433H dan awal tahun 1434H oleh Imam Masjid Negeri, Sheikh Abdulkarim Al-Fatani yang turut mengetuai solat Maghrib berjemaah.

Acara perasmian ini turut diserikan dengan majlis tazkirah ringkas oleh pencermah jemputan, Ustaz Muhamad Abdullah sebelum diakhiri dengan solat Isyak berjemaah.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Rodziah Bantu Mangsa Kebakaran Seksyen 19

SHAH ALAM 16 OGOS : Keprihatinan Adun Batu Tiga, Rodziah Ismail sedikit sebanyak membantu meringankan beban mangsa kebakaran empat buah rumah di Jalan Tajak 19/4 di sini.

Sekurang-kurangnya, nikmat Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi dapat diraikan, kata salah seorang mangsa tersebut, Norhafizah Hanapi, 29.

“Pada hari kejadian lagi, sewaktu pihak bomba masih melakukan misi memadam api, YB Rodziah Ismail ada datang melawat kami dan membawa sumbangan.

“Dan hari ini juga kami berbesar hati beliau sudi menjenguk perkembangan kami dengan sedikit sumbangan, menjadikan kami kembali ceria menjelang lebaran beberapa hari lagi,” ujar ibu beranak dua ini.

Petang semalam, Rodziah melawat mangsa-mangsa tersebut dengan membawa sumbangan daripada pihak Lembaga Zakat Selangor (LZS) serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Setiap mereka menerima RM 1,000 daripada LZS dan RM 2,500 daripada JKM.

“Sebelum ini YB (Rodziah) ada nyatakan untuk dapatkan bantuan membaiki bumbung RM10,000 bagi setiap rumah daripada Kerajaan Negeri.

“Kami harap beliau dapat usahakan bantuan tersebut demi meringankan beban kami,” ujar Norhafizah penuh harapan.

Kejadian kebakaran berlaku pada 27 Julai lalu berpunca dari kejadian fius terbakar di sebuah rumah sebelum api merebak melalui bumbung rumah ke rumah yang lain.

Categories
SELANGOR

Apa Khabar Selangor Episod 24 – Keselamatan di Aidilfitri, Taklimat Isu Air & Talam, PKMR di Klang serta Puasa & Zakat Fitrah

 Apa Khabar Selangor Episod 24 Bhgn 1 – Keselamatan di Aidil Fitri dan Taklimat Isu Air dan Talam

 

Apa Khabar Selangor Episod 24 Bhgn 2 – PKMR di Klang serta Puasa dan Zakat Fitrah

Sinopsis:
Rancangan ini telah disiarkan secara langsung pada 8 Ogos 2012, Rabu, jam 12 tghari-2 petang melalui http://www.selangorkini.net

Apa Khabar Selangor memaparkan 4 segmen utama
Segmen 1: Keselamatan di Aidil Fitri – Superitenden Tuan Azman Abd Razak (Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Selatan)
– Tuan Mohd Nazri Ahmad (Pengurus Keselamatan Hotel De Inn)
Segmen 2: Taklimat Isu Air dan Talam
Segmen 3: Program Khas Mesra Rakyat di Klang
Segmen 4: Puasa dan Zakat Fitrah

Categories
NASIONAL SELANGOR

536 Asnaf di Klang Terima Sumbangan Aidilfitri

KLANG, 5 OGOS: Seramai 536 orang asnaf terdiri daripada fakir, miskin, muallaf dan anak-anak yatim menerima sumbangan Aidilfitri oleh Lembaga Zakat Selangor (LZS) di satu majlis Masjid Ar-Rahman, Pandamaran Jaya, Klang semalam.

DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyampaikan sumbangan itu di Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat dan sambutan Nuzul Quran peringkat negeri Selangor.

Majlis itu turut dihadiri Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamad Khusrin Munawi, Exco dan Adun-Adun Selangor, Ketua Jabatan peringkat negeri dan daerah.

Pada majlis itu, seramai 125 orang fakir, 125 orang miskin, 140 orang muallaf menerima RM400 dan 146 anak yatim di sekitar Klang menerima RM100.

Sementara itu, Pegawai Daerah Klang, Datuk Bahtiar Husin, berkata, masjid, surau dan sekolah di sekitar Klang menganjurkan berbagai aktiviti yang menarik sepanjang Ramadan seperti tadarus Al-Quran dan solat Terawih.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Sultan Selangor Mahu Umat Islam Tidak Berpecah Belah

HULU LANGAT 26 JUL : Rakyat diseru agar tidak mengamalkan sikap berpuak-puak dan pilih kasih dalam bermasyarakat terutamanya bagi yang beragama Islam.

Teguran itu dititahkan Duli Yang Maha Mulia Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat serta Majlis Perasmian Masjid Sungai Ramal Luar di sini petang tadi.

“Beta tidak ingin dengar ada aktiviti Solat Tarawikh berasingan disebabkan oleh perbezaan fahaman politik atau tidak bersetuju dengan imam yang dilantik Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

“Sekiranya ini berlaku, umat Islam akan berpecah dan dipandang rendah masyarakat lain,” titah baginda tegas di hadapan ratusan tetamu dan rakyat yang hadir.

Baginda turut menyatakan kebimbangan akan usaha yang dijalankan pihak tertentu dalam menganggu-gugat keutuhan agama Islam.

“Terdapat usaha jahat yang menyentuh sensitiviti Umat Islam dengan mempersenda junjungan Nabi Muhammad melalui penerbitan risalah, karikatur, filem mahupun lagu.

“Oleh itu, beta menyeru pihak-pihak bertanggungjawab untuk memantau perkara ini seterusnya mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang mempersenda Islam,” titah baginda.

Baginda turut perkenan menyampaikan sumbangan hari raya kepada 125 orang anak yatim, serta 218 asnaf fakir dan miskin dan 125 orang asnaf mualaf hasil sumbangan Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Turut mengiringi baginda pada majlis berkenaan ialah Raja Muda, Tengku Amir Shah ibn Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Juga hadir Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohammed Khusrin Munawi, Pengarah JAIS, Datuk Marzuki Husin dan Pengarah Majlis Agama Islam Selangor, Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa.

Categories
SELANGOR

Sultan Selangor : AJK Masjid Perlu Laksana Tugas Dengan Hati Yang Bersih

SEPANG 26 JULAI : Pagawai-pegawai dan Ahli Jawatankuasa Masjid (AJK) di seluruh Selangor diperingatkan untuk melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan bekerja secara ikhlas dan hati yang bersih.

DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah semasa merasmikan Masjid Kampung Meranti, Sepang di sini.

“Beta berkenan supaya seluruh rakyat terutamanya umat Islam agar melupakan sementara segala ideologi serta fahaman politik dan menumpukan sepenuhnya kepada amal ibadat,” titah Sultan Sharafuddin.

Turut mengiringi baginda ialah Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Kira-kira hampir 1,500 masyarakat di Kampung Pulau Menanti di sini bersama-sama dengan Tuanku untuk majlis berbuka puasa dan solat terawih berjemaah.

Masjid baru di Kampung Pulau Meranti,Sepang yang dibina pada tahun 2006 dengan kos RM6.1 jutadan baginda berkenan mencemar duli merasmikan masjid berkenaan.

Masjid ini di namakan dengan nama Masjid Meranti.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Marzuki Hussin dalam ucapannya berkata, Lembaga Zakat Selangor (LZS) komited dalam memberikan bantuan kepada asnaf faqir dan miskin bagi daerah ini.

“Adalah diharapkan selepas menerima sumbangan ini dapat meringankan beban yabng ditanggung oleh penerima-penerima tersebut untuk meraikan Hari Raya Aidilfitri yang bakal menjelang,” kata Marzuki.

Pada majlis yang sama itu, Sultan Sharafuddin turut menyerahkan bantuan ramadan dan hari raya kepada 230 asnaf fakir miskin, 125 asnaf mualaf dan seramai 136 anak yatim.

Penerima Asnaf Buktikan Kemampuan Dalam Perniagaan

SHAH ALAM 24 JULAI : Burhan Salikon, 45, merupakan bekas asnaf miskin daerah Kuala Selangor yang berjaya dalam perniagaan makanan cendol hasil bantuan daripada Lembaga Zakat Selangor(LZS).

Disebalik kejayaannya, Burhan pernah jatuh menjadi muflis gara-gara salah percaturan dalam perniagaannya yang menyebabkan beliau sekeluarga terdampar bagai orang yang terbiar.

Katanya, anak-anaknya pernah keciciran sekolah selama enam bulan sehingga LZS menyediakan pelbagai bantuan seperti bantuan pendidikan dan terutamanya bantuan kewangan bulanan buat beliau sekeluarga.

“Dengan semua bantuan inilah yang membuat saya untuk pulih kembali meneruskan hidup dengan dengan membuka Gerai Cendol Durian Borhan di Pasir Penambang, Kuala Selangor,” katanya yang sudah mengusahakan perniagaan ini sejak 1987.

Sebelum ini, LZS menyalurkan sebanyak RM9,490 pada 2010 untuk membeli peralatan seperti set generator, mesin memproses cendol, mesin memerah santan, pengisar air batu dan peti ais.

LZS meluluskan lagi bantuan membina gerai sebanyak RM12,386 diiringi modal pusingan sebanyak RM5,000 dan kini perniagaannya sudah maju dan mulai penghujung tahun 2010 beliau sudah keluar daripada senarai asnaf.

Borhan dipilih menerima Anugerah Tokoh Usahawan Asnaf di Majlis Berbuka Puasa Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor bersama Rakyat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah malam tadi.

Turut hadir di majlis ini, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamed Khusrin Munawi, barisan Exco dan Adun-Adun Selangor, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor(JAIS), Datuk Marzuki Hussin dan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor(MAIS), Datuk Setia Mohamad Adzib Mohd Isa.

Seramai lima orang Tokoh Usahawan Asnaf dipilih untuk menerima anugerah iaitu Burhan Salikon, Mohd Yatim Abd Ghani, Sharifah Surit, Sheikh Abd Rahim Sheikh Yahya dan Sakilla Hanis Mohamed.

 

Sementara itu, Sakilla Hanis Mohamed, 33, seorang ibu tunggal dari Klang menerima anugerah itu hasil bantuan zakat kepadanya untuk mengusahakan perniagaan orkid.

Bangkit daripada kegagalan setelah berpisah dengan bekas suami kira-kira dua tahun lalu, LZS menyalurkan bantuan berjumlah RM20,000 berupa stok jualan pokok bunga dan modal pusingan.

Beliau kini berjaya menjadi pengusaha ladang orkid berjaya di tanah seluas 1/4 ekar sehingga meraih pendapatan sebanyak empat angka sebulan dan telah pun menunaikan zakat di LZS.