Categories
SELANGOR

Ibu Aminulrasyid Fail Saman Kerajaan Malaysia RM50 Juta

Gambar kes aminulrasyid 01

SHAH ALAM, 17 APRIL : Ibu remaja yang ditembak mati pada 2009, Aminulrasyid Amzah, 14, memfailkan saman berjumlah RM50 juta terhadap Korperal Jenain Subi dan empat lagi defendan.

Dalam writ saman itu yang difailkan menerusi peguamcara plantif Tentuan Daim dan Gamany turut menamakan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Bekas Ketua Polis Shah Alam ; Tan Sri Khalid Abu Bakar dan Ketua Polis Negara serta Kerajaan Malaysia.

Ibunya, Norsiah Mohamad bersama kakak mangsa, Nor Azura Amzah diwakili tiga peguam iaitu N Surendran, Latifah Koya dan Eric Paulsen.

Tuntutan itu dibuat berdasarkan asas-asas pencabulan hak asasi manusia yang membawa kepada tuntutan sivil.

Bercakap kepada pemberita, Surendran berkata tuntutan itu adalah asas terhadap pencabulan hak asasi mangsa.

“Kita menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk atau teladan kerana kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan polis.

“Kes ini juga satu deklarasi bahawa defendan dengan sengaja dan berniat jahat melanggar hak asasi mangsa,” katanya ketika ditemui.

Beliau menambah pihak keluarga turut kecewa kerana hanya seorang polis yang didakwa seterusnya dibebaskan oleh mahkamah.

“Selepas tiga tahun kes ini berlaku, tiada seorang pun yang dihukum atau dilihat bertanggungjawab bagi kes ini.

“Malah, Khalid Abu Bakar mengeluarkan kenyataan menuduh mangsa sebagai penjenayah sedangkan di dalam mahkamah, tidak ada sebarang bukti dikeluarkan,” katanya.

Selain itu, Eric berharap kes itu akan dapat mengubah pendirian polis terhadap ‘budaya kebal’ pihak berkuasa.

“Polis tidak boleh bertindak sesuka hati, sudah banyak kes yang berlaku, jadi perlu ubah keadaan supaya mereka tidak boleh bertindak sesuka hati,” katanya.

Sementara itu, Norsiah berkata pihaknya tidak mahu memberikan sebarang komen dan menyerahkan semuanya kepada peguam mereka.

Pada 26 April 2009, Aminulrasyid mati ditembak polis dalam insiden kejar mengejar antara kereta yang dipandunya dan penumpang yang juga rakannya, Mohd Azamuddin Omar dengan pasukan peronda.

Disebabkan itu, Korperal Jenain didakwa.

Bagaimanapun, beliau dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 5 Disember tahun lalu selepas menerima rayuannya.

Categories
NASIONAL

PKR Nafi Terlibat Dalam Penyiaran Video Lucah Pemimpin PAS

surendran pc 01

PETALING JAYA, 12 APRIL : PKR hari ini menafikan dakwaan beberapa blogger Umno yang mengaitkan parti itu terhadap penyebaran video seks pemimpin kanan PAS di laman web.

Naib Presiden PKR, N Surendran berkata dalam satu sidang media di Ibu Pejabat PKR menyifatkan dakwaan itu sebagai tidak berasas malah langsung tidak masuk akal.

“Ini adalah dakwaan yang paling tidak berasas yang pernah dibuat oleh blogger Umno. Malah kalau tidak silap saya, Papagomo antara individu yang mendakwa PKR terlibat dalam penyebaran video itu atau mempunyai kaitan dengannya.

“Semua pihak tahu bahawa Papagomo adalah seorang yang disabitkan dengan kes jenayah dan dia menyiarkan pelbagai video di laman web,” katanya.

Tegas Surendran, beliau yakin perkara itu tidak akan mematahkan sokongan masyarakat terhadap Pakatan Rakyat (PR) dan menganggap ia sebagai satu lagi percubaan Umno-BN untuk menjatuhkan PR.

Katanya, PR juga lebih bersatu dalam dalam pilihan raya kali ini dan berusaha keras untuk menerajui pentadbiran negara serta menentang amalan korupsi.

“Kita lebih bersatu teguh dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) kali ini berbanding daripada sebelumnya,” katanya lagi.

Lapan hari sebelum penamaan calon, beberapa blog pro-Umno memuatkan video melibatkan pemimpin kanan PAS dengan seorang wanita tidak dikenali dalam sebuah bilik hotel.

Penulis blog Papagomo mendakwa, wanita dalam video itu mengaku diupah PKR untuk memerangkap pemimpin itu – yang menurutnya orang paling lantang mendesak ke arah penyatuan PAS-Umno melalui kerajaan perpaduan.

Categories
NASIONAL

Anwar Saman Papagomo RM 100 Juta

Anwar Ibrahim Konvensyen Days Saing Komoditi 01

SHAH ALAM 19 MAC : Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menfailkan saman fitnah terhadap blogger pro-Umno, Papagomo yang bertindak menyebar gambar menyerupai Ketua Umum PKR itu di laman sosial pada 16 Mac lalu.

Dalam satu kenyataan, Peguam N Surendran yang mewakili Anwar berkata, pemilik blog papagomo iaitu Wan Muhammad Azri Wan Deris dinamakan sebagai individu bertanggungjawab menyebar gambar bagi tujuan fitnah dan video lucah.

Anwar yang juga Ketua Pembangkang dalam permohonan samannya menuntut Papagomo untuk menarik balik tuduhan itu dan membuat permohonan maaf dalam tempoh 48 jam bermula hari ini. Beliau juga menuntut gantirugi berjumlah RM 100 juta.

“Jumlah kerugian itu dirasakan sesuai berdasarkan hubungan yang rapat papagomo dengan Umno. Umno sendiri selama ini secara terang-terangan membela papagomo,” jelas Surendran.

Berdasarkan hubungan rapat itu juga, beliau tidak menolak kemungkinan Umno terlibat secara langsung dalam siri fitnah terbaru ini.

“Kebergantungan Umno untuk mengamalkan politik kotor seperti ini menunjukkan betapa teruknya moral dan etika mereka dalam usaha memburukkan pimpinan Pakatan Rakyat.

“Ini membuktikan Umno-BN tidak lagi layak untuk memerintah dan mentadbir negara ini,” tegasnya lagi.

Categories
NASIONAL

Peguam Tian Chua Fail Permohonan Batal Kes Hasutan

surendran pc 01

KUALA LUMPUR, 14 MAC: Pasukan peguam Naib Presiden PKR Tian Chua akan memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bagi membatalkan dakwaan ke atasnya di bawah Akta Hasutan 1948 hari ini.

Menurut peguam Tian Chua, N Surendran, tuduhan tersebut adalah bersifat politik manakala Kerajaan Persekutuan telah mengumumkan bahawa akta itu akan dimansuhkan.

“Kita akan failkan di Mahkamah Tinggi untuk membatalkan tuduhan yang jahat dan tidak masuk akal ini kerana salah guna kuasa mahkamah dan politik.

“Tuduhan ini bersifat politik oleh kerajaan yang terdesak,” katanya ketika ditemui di luar Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur selepas Tian Chua didakwa pagi ini.

Surendran turut mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sendiri telah mengumumkan bahawa akta tersebut akan dimansuhkan dan digantikan dengan akta baru.

“Yang kedua kita telah beritahu mahkamah bahawa PM umumkan Akta Hasutan akan dimansuhkan. Ia salah di bawah undang-undang dan tidak sesuai digunakan lagi.

“Maknanya PM telah beritahu sesuatu yang menipu rakyat kerana tian didakwa atas akta ini,” ujarnya lagi.

Hari ini Tian Chua dituduh mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang menghasut melalui laman media sosial twitter-nya pada 11 Mac berhubung insiden di Lahad Datu, Sabah.

Ahli Parlimen Batu itu dituduh dibawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948. Jika sabit kesalahan pertama, beliau boleh dikenakan denda tidak lebih daripada RM 5,000 atau penjara tidak lebih daripada tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.

Jika sabit kesalahan kedua, beliau boleh dipenjarakan tidak lebih daripada lima tahun.

Categories
NASIONAL

Najib Didesak Gugur Bantahan Agar Dr Porntip Dapat Bantu Keluarga Sugumaran

Surendren KES SUGUMAR 01

SHAH ALAM 14 FEB : Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak dan kerajaan Malaysia didesak segera memohon kepada Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra untuk menggugurkan bantahan bagi mendapatkan khidmat Dr Porntip Rojanasunan.

Ia bagi memastikan khidmat kepakaran Dr Porntip dapat digunakan dalam bedah siasat kedua mencari punca kematian mendiang Sugumaran.

Peguam Keluarga Sugumaran yang terdiri daripada N.Surendran, Lateffa Koya dan Sivarasa Rasiah mendesak agar penjelasan dikemukakan oleh Najib dan pihak kerajaan Malaysia berkenaan pembabitan mereka dalam isu ini.

“Ekoran komunikasi tersebut, kerajaan Thailand memutuskan supaya Pornthip tidak perlu melakukan bedah siasat tersebut agar tidak menjejaskan hubungan antara kedua buah negara.

“Pakar forensik Thai itu sebelum ini telah bersetuju untuk menjalankan bedah siasat kedua terhadap Sugumar selepas ahli keluarga menolak keputusan bedah siasat pertama,” dakwa peguam dalam kenyataan media bersama mereka.

Jelas mereka maklumat mengenai dakwaan di sebalik penarikan diri Pornthip itu diperolehi mereka secara bertulis baru-baru ini.

Katanya, mereka telah diberi maklumat tersebut oleh sumber yang boleh dipercayai dan kami mempunyai keyakinan penuh terhadap kebenaran maklumat tersebut.

Sebelum ini, kes berkenaan menimbulkan polemik yang menggemparkan masyarakat ekoran terdapatnya dakwaan mendiang Sugumaran dipukul semasa ditahan polis pada 23 Januari lalu di Hulu Langat.

Terdapat dakwaan daripada saksi yang melihat kejadian tersebut yang mendakwa mangsa dibelasah hingga mati dalam keadaan tangannya bergari.

Categories
NASIONAL

Anwar Saman Utusan : Keputusan Ditangguh Sehingga Januari 22

Anwar Saman 01

KUALA LUMPUR 27 DIS: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menangguhkan sehingga 22 Januari tahun hadapan bagi keputusan kes saman RM 50 juta terhadap akhbar Utusan Malaysia oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk VT Singham membuat keputusan itu bagi menilai semula semua fakta kes berkenaan.

Anwar dalam pernyataan tuntutannya mendakwa akhbar Utusan Malaysia bertarikh 17 Januari lalu di muka hadapannya dan di muka surat 10 telah dengan salah dan berniat jahat, mencetak serta menerbitkan fitnah terhadapnnya.

Anwar mendakwa artikel Utusan tersebut yang bertajuk “Tolak Anwar-Hasan? memfitnahnya sebagai menghalalkan kegiatan homoksesual.

Dalam satu sidang media di luar mahkamah, Anwar yang juga Ketua Umum PKR berharap suatu keputusan yang adil dapat diberikan oleh mahkamah supaya dijadikan panduan di masa hadapan oleh semua pihak.

“Kita menyokong kebebasan media, tetapi bukan media yang dikuasai politik korup yang hanya digunakan untuk memfitnah musuh-musuh politik dan menjatuhkan mereka,” katanya ketika ditemui pemberita sejurus hari ini.

Jelasnya, etika kewartawanan semakin tidak diendahkan oleh media yang dikuasai Umno-BN.

“Ini bukan sahaja soal Utusan, tetapi soal etika kewartawanan kerana sebelum ini terutamanya media milik Umno-BN boleh buat senang hati dan tidak berlaku adil,” katanya yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh.

Beliau diwakili peguamnya N. Surendran dan Latheefa Koya.

Dalam laporan Jan 17 itu, bekas Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Ali membidas Anwar kerana mempertikaikan undang-undang berkaitan homoseksual di negara ini.

Hasan turut menggesa agar rakyat menolak perjuangan Anwar.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Samseng MIC Didakwa Serang Peserta Himpunan Duduk Bantah 12-12-12

PUTRAJAYA, 12 DIS : Sekumpulan 30 samseng yang didakwa anggota MIC bertindak menyerang pemimpin Pakatan Rakyat(PR) di Jabatan Pendaftaran Negara Putrajaya pagi tadi.

Insiden ini berlaku selepas pimpinan Pakatan Rakyat (PR) yang diketuai Naib Presiden PKR, N Surendran dibenarkan masuk bertemu Pengarah JPN Malaysia, Datuk Jariah Mohd Said berhubung masalah perolehan rakyat negara ini yang masih menggunakan kad pengenalan merah.

Pengerusi PKR Johor, Datuk Chua Jui Meng menjadi mangsa tindakan agresif anggota kumpulan berkenaan sehingga ditolak pada bahagian badan ekoran perasaan tidak senang terhadap gerak kerja yang dilakukan pemimpin PR.

Surendran yang ditemui pada sidang media nyata kesal dengan kejadian berkenaan dan menuntut penjelasan daripada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein.

“Polis secara sengaja membenarkan samseng-samseng daripada MIC masuk menyerang kita apabila kita keluar sahaja bilik pengarah Datuk Jariah.

“April kita datang ke Jabatan Perdana Menteri (JPM), kami diserang dan hari ini sekali lagi.

“Apa yang mengejutkan polis bersekongkol dan membenarkan mereka menyerang kami,” katanya

Berhubung kad pengenalan, beliau meminta JPN membuat pertimbangan segera agar masalah ini dapat diselesaikan selain bersedia untuk memberikan kerjasama.

“Kita kecewa apabila Datuk Jariah berkata akan memberikan borang permohonan untuk warganegara kepada mereka. Kita bantah.

“Setelah kita jelaskan akhirnya pihak JPN bersetuju mengeluarkan borang permohonan kad pengenalan sahaja kerana mereka sudahpun warganegara,” katanya.

Hampir 300 pemohon hadir di Jabatan Pendaftaran Negara Putrajaya sempena dengan ‘Himpunan Duduk Bantah 12-12-12’.

Mereka mula berkumpul di perkarangan tempat letak kereta sebelum berarak dan tiba di hadapan Gerbang Utama Jabatan Pendaftaran Negara pada jam 11.20 pagi.

Keadaan agak tegang ekoran penutupan pintu utama namun keadaan diredakan oleh Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad selepas sepuluh orang wakil pimpinan PR dibenarkan masuk berbincang.

Hasil perbincangan menyaksikan JPN bersedia menyediakan lebih daripada empat kaunter pemprosesan maklumat mereka yang belum memiliki kad pengenalan biru bagi tujuan semakan dan pendaftaran.

Antara pimpinan PR yang hadir termasuklah Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa, Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam, Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud, Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago dan beberapa Adun Selangor serta wakil parti komponen Pakatan Rakyat

Kes Aminulrasyid : Demi Keadilan, Peguam Negara Mesti Fail Rayuan

SHAH ALAM,5 DIS : Peguam Negara digesa memfailkan rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang membebaskan Koperal Jenain Subi,49, dalam kes menembak mati remaja lelaki berumur 15 tahun, Aminulrasyid Amzah dua tahun lalu.

Peguam, N Surendran ketika dihubungi berkata, pihak kerajaan, Peguam Negara dan polis perlu bertanggungjawab sepenuhnya kerana tiada keadilan diberikan kepada pihak keluarga mangsa dalam kes itu.

“Dari awal lagi polis cuba menutup apa yang berlaku dan membuat kenyataan palsu mengenai wujudnya parang di dalam kereta.

“Dan juga menyatakan Aminulrasyid cuba memandu kereta ke arah polis yang kesemuanya ini dibuktikan tidak benar,” kata Surendran.

Jelas beliau, apa yang mengecewakan adalah sehingga kini polis tidak pernah memohon maaf berkenaan kes ini.

“Kita menuntut supaya pihak Peguam Negara memfailkan rayuan secepat mungkin dan juga pihak kerajaan dan polis membuat permohonan maaf secara terbuka kepada keluarga Aminulrasyid kerana mengeluarkan kenyataan palsu,” katanya.

Ujarnya lagi, kini beliau menunggu arahan seterusnya daripada pihak keluarga Aminulrasyid untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, kes ini menunjukkan perlunya diwujudkan Suruhanjaya Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) oleh kerajaan agar boleh menyiasat salahlaku yang dilakukan oleh anggota polis.

“Antara sebab utama kerana tiada keadilan berlaku dalam kes ini ialah ketiadaan IPCMC,” katanya.

Sebelum ini, Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli yang mempertimbangkan rayuan Jenain, memutuskan demikian selepas mendapati Jenain tidak mempunyai niat untuk membunuh remaja berkenaan.

Abdul Rahman berpuas hati anggota polis itu melepaskan tembakan hanya untuk memberhentikan kereta proton Iswara dipandu Aminulrasyid dan bukan dengan niat untuk membunuh remaja lelaki itu.

Beliau juga berkata tiada kes prima facie dibuktikan ke atas Jenain dan anggota polis itu tidak sepatutnya dipanggil membela diri.

Jenain yang bertugas di Unit Kereta Peronda, Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam, didakwa menyebabkan kematian Aminulrasyid antara 1.10 pagi dan 2 pagi, 26 April 2010 di Jalan Tarian 11/2, Seksyen 11 di sini.

Pertuduhan mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun dan boleh dikenakan denda.

Pertengahan September 2011, Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara lima tahun selepas mendapati Jenain bersalah menyebabkan kematian Aminulrasyid.

Ketika menjatuhkan itu, Hakim Latifah Mohd Tahar memutuskan bahawa penggunaan senjata oleh Jenain, yang berakhir dengan 21 tembakan, satu tindakan keterlaluan dan tidak wajar untuk menghentikan kereta yang dipandu oleh Aminulrasyid.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Himpunan 5 Dis Di Putrajaya Isu MyKad, Sijil Kelahiran

SHAH ALAM, 9 NOV : Satu perhimpunan anjuran Pakatan Rakyat (PR) akan diadakan di perkarangan ibu pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Putrajaya, 5 Disember depan sekiranya kerajaan tidak menyelesaikan kes ketiadaan MyKad dan sijil kelahiran melibatkan masyarakat India di negara ini dalam tempoh terdekat.

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), N Surendran berkata, dimaklumkan terdapat hampir 300,000 kes ketiadaan dokumen itu di kalangan masyarakat tersebut setakat ini.

“Kita akan memberi tempoh kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan kerajaan supaya menyelesaikan perkara ini dalam tempoh terdekat atau kita akan jalankan perhimpuan besar ini,” katanya ketika dihubungi TVSelangor di sini hari ini.

Beliau berkata, ramai masyarakat India dinafikan pemilikan dokumen MyKad dan sijil kelahiran walaupun mereka lahir di negara ini dan sememangnya warganegara.

Berikutan itu, tambahnya, pelbagai masalah terpaksa dihadapi golongan itu seperti kanak-kanak tidak dapat memasuki alam persekolahan.

“Dalam satu kes, S Logeswaran berusia 10 tahun di mana ibunya mempunyai MyKad tetapi ayahnya tidak memiliki dokumen itu biarpun ayahnya lahir di negara ini. Akibatnya kerajaan enggan memberikan sijil kelahiran kepada Logeswaran.

“Logeswaran tidak dapat memasuki alam persekolahan. Dalam tempoh tiga tahun dia hanya menghadiri sekolah tiga minggu apabila dipaksa berhenti,” katanya yang yakin masih terdapat banyak kes seperti itu melibatkan kanak-kanak lain yang dinafikan hak bagi mendapatkan pendidikan.

Surendran berkata, pihaknya menuntut kerajaan dipimpin Umno-BN menyelesaikan perkara itu segera atau menghadapi kebangkitan rakyat.

“Kita umumkan hari ini PKR bersama dengan rakan PR lain akan mengadakan satu perhimpuan besar di JPN Putrajaya pada Disember depan. Kita tidak akan beredar sehingga mendapat jawapan jelas daripada pihak berkuasa di JPN,” katanya lagi.

Categories
NASIONAL

PKR : Penyelesaian Kes Anak Nazri Menyalahi Undang-undang

 

SHAH ALAM, 19 OKT : Kenyataan Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang menyatakan kes serangan pengawal peribadi anak kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz ‘telah selesai’ disifatkan melanggar integriti sistem keadilan di negara ini.

Menurut Naib Presiden PKR, N Surendran, tindakan Hishamuddin yang juga Menteri Dalam Negeri itu jelas bertentangan dengan dasar awam dan kedaulatan undang-undang negara.

Beliau berkata, sebarang jenayah mahupun salah laku yang dilakukan oleh mana-mana pihak seharusnya dibawa ke mahkamah untuk dikenakan tindakan sewajarnya.

“Di bawah sistem perundangan kita, jenayah tidak boleh ‘diselesaikan secara baik’. Dengan mengambil tindakan sebegitu, Hishammuddin boleh dikatakan mungkin bersubahat. Adakah dia berkompromi hanya kerana kes itu melibatkan anak seorang Menteri Kanan Umno?

“Seterusnya, apakah terma penyelesaian ini menyalahi undang-undang? Orang ramai berhak mengetahui perkara sebenar,” katanya dalam satu kenyataan media.

Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan hasil daripada siasatan terhadap Mohamed Nedim Nazri di bawah seksyen 160 Kanun Keseksaan.

Jelasnya, walaupun Hishammuddin mengakui perkara itu sudah disiasat, namun beliau tidak menyatakan sama ada Nedim dibersihkan daripada kesalahan itu.

“Setiap warganegara, tidak kira berapa tinggi atau rendah kedudukan sosial mereka, mereka adalah sama dari sudut undang-undang. Justeru, pengawal keselamatan yang terlibat dalam kes ini mempunyai hak menuntut keadilan yang adil dan saksama.

“Kami menyeru Menteri Dalam Negeri untuk membuat pendedahan penuh dan berterus terang tentang fakta sebenar kes itu dan membuka semula siasatan berhubung kes serangan ini,” katanya lagi.

Hishammuddin dalam jawapan bertulisnya semalam berkata, kes memukul penyelia keselamatan pada Mac 2012 sebenarnya dilakukan oleh bekas pengawal peribadi Mohamad Nedim dan disiasat mengikut Seksyen 160, Kanun Keseksaan.

Menjawab soalan Gwo-Burne Loh (PKR-Kelana Jaya), menteri dalam negeri bagaimanapun memberitahu, kes itu telah pun diselesaikan secara baik oleh kedua-dua pihak.

Loh meminta Hishammuddin menyatakan hasil siasatan polis terhadap Mohamad Nedim berhubung kejadian memukul penyelia keselamatan di sebuah kondominium mewah di ibu negara dan kematian pemuda bernama Darren Kang di Sri Hartamas sekitar tahun 2004.

Mengenai kes kematian Darren, Hishammuddin berkata Mohamad Nedim didapati tidak terlibat dengan kes tersebut sebaliknya lima warganegara Thailand telah dituduh di mahkamah dan dijatuhi hukuman lima tahun penjara.

Categories
NASIONAL

Jayathas Pilih PKR Untuk Bela Rakyat

DAMANSARA 9 OKT : Pemimpin tertinggi Hindraf (Hindu Rights Action Force), S Jayathas hari ini dengan rasminya menyerahkan borang keahlian PKR kepada Nurul Izzah Anwar.

Beliau yang juga aktif dalam Human Rights Party Malaysia memberitahu, PKR merupakan landasan dan platform terbaik untuknya terus berjuang menegakkan keadilan dan hak kesaksamaan rakyat.

“Matlamat saya adalah untuk menamatkan riwayat Umno-BN di Putrajaya yang selama 55 tahun pemerintahan ini begitu angkuh menindas hak dan harta rakyat.

“Saya berharap dapat bersama-sama PKR dan Pakatan Rakyat, berganding bahu untuk merealisasikan impian ini demi masa depan Malaysia yang lebih harmoni,” jelasnya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat PKR di Tropicana pagi tadi.

Selain Nurul Izzah, turut hadir memberikan sokongan dalam sidang media tadi ialah Naib Presiden PKR, N. Surendran, MP Subang, R. Sivarasa serta Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR, Khalid Jaafar.

Ditanya jawatan yang ditawarkan kepada beliau dalam PKR, Jayathas berkata, beliau tidak memikirkan soal itu dan hanya fokus untuk turun padang dan sama-sama berjuang demi keadilan.

Izzah juga Naib Presiden PKR mengesahkan buat masa ini tiada perbincangan mengenai jawatan sebaliknya PKR lebih berminat dengan komitmen yang ditunjukkan Jayathas.

“Perjuangan harus berlandaskan keikhlasan dan kesungguhan dalam menggerakan perjuangan parti demi rakyat,” ujar beliau.

Jayathas merupakan seorang aktivis yang aktif berjuang untuk masyarakat India negara ini selain beliau juga pernah bertanding untuk kerusi DUN Merlimau pada tahun 2004.

Categories
NASIONAL

Insiden Kawalan Udara Tergendala, PKR Tuntut Penjelasan

SUBANG, 21 SEPT : PKR hari ini menggesa Kementerian Pengangkutan dan Jabatan Penerbangan Awam (DCA) untuk menjelaskan bagaimana pusat kawalan udara Kuala Lumpur tergendala minggu lalu berikutan kegagalan radar dan radio untuk berfungsi sepenuhnya.

Berikutan insiden itu, ruang udara Malaysia tidak dapat dikawal hingga menyebabkan semua penerbangan berlepas dibatalkan dan kawalan trafik udara diserahkan kepada negara jiran, kata Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar.

Beliau turut mendedahkan laporan interim DCA oleh kontraktor penyelenggaraan sistem pada 12 September, jam 2.50 pagi bagi membuktikan perkara tersebut.

Menurutnya, syarikat yang bertanggungjawab mengawal selia sistem berkenaan adalah Advance Air Traffic System Sdn Bhd (AAT), manakala syarikat yang membangungkan sistem tersebut adalah SELEX Sistemi Integrati (SELEX).

“Kami sebelum ini telah mengemukakan permintaan supaya audit bebas dilaksanakan, namun kementerian dan DCA hanya memperlekehkan perkara tersebut serta memperkecilkan kecacatan sistem yang bernilai RM 125.4 juta,” katanya dalam sidang media di hadapan Pusat Sistem Kawalan Udara Kuala Lumpur di Subang pagi tadi.

Hadir sama, Naib Presiden PKR, Tian Chua dan N Surendran serta Ketua Biro Keselamatan PKR, Brigadier Jeneral (B) Datuk Abdul Hadi Abdul Khatab.

Pada 12 September lalu, sistem kawalan trafik udara di Lapangan Terbang SAAS di sini telah lumpuh lebih dua jam bermula daripada 2.30 pagi hingga 4.20 pagi berikutan kegagalan radar dan radio untuk berfungsi.

Beliau juga mempersoalkan bagaimana kementerian berkenaan dan DCA membenarkan sistem tersebut beroperasi tanpa sokongan sistem interim.

?Kita mesti pastikan semua projek berkaitan keselamatan dalam sektor penerbangan tidak dianugerah kepada syarikat tidak memiliki kemampuan teknikal, pada waktu ini dan masa hadapan,? kata Izzah lagi.