Categories
NASIONAL SELANGOR

Najib Mesti Respon Terhadap Siasatan Taib Mahmud

pc pas mac 19 2013 01

KUALA LUMPUR 19 MAC : Kerajaan Persekutuan Umno-BN perlu memberi penjelasan segera mengenai siasatan agensi antarabangsa terhadap Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang didakwa mengumpul dana berbilion ringgit di luar negara.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebagai kerajaan bertanggungjawab, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak harus memberi penjelasan kepada masyarakat umum.

“Pendedahan video siasatan agensi antarabangsa itu hanya mengukuhkan hujah kita selama ini tentang jumlah dan dana dikumpul Taib Mahmud.

“Kalau Najib pemimpin berwibawa, mustahil dia boleh diam, mesti bagi respon dan apa langkah akan diambil,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Anwar mengulas perkara itu selepas pendedahan video oleh sebuah NGO antarabangsa, Global Witness mengenai siasatan terhadap Taib Mahmud yang didakwa mengumpul sejumlah harta yang besar di luar negara.

Ketua Ahli Parlimen, Lim Kit Siang yang turut hadir berkata, apa yang berlaku memberi gambaran Ketua Menteri Sarawak lebih berkuasa dari Perdana Menteri.

“Dulu dia janji Ketua Menteri Sarawak yang baru tetapi tidak ditunaikan,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Kerajaan Negeri Arah PBT Segera Bina Jalan Alternatif di Padang Jawa

tragedi padang jawa 02

SHAH ALAM, 19 MAC : Kerajaan Negeri akan mengarahkan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk menyegerakan pembinaan jalan raya alternatif di Parit Besar, Padang Jawa berikutan kematian seorang remaja kerana menggunakan jalan pintas di situ.

Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains Teknologi, Inovasi dan Kebudayaan, Rodziah Ismail berkata, jalan alternatif itu adalah bagi menggantikan laluan sedia ada yang menggugat keselamatan penduduk.

Menurutnya, tindakan itu perlu dibuat berikutan kematian seorang remaja, Nur Alisa Balqis Mohd Zakir, 15, yang tergelincir ke dalam longkang besar kira-kira pukul 4 petang, kelmarin.

“Beberapa tindakan perlu dibuat secara drastik terutama laluan yang digunakan oleh penduduk (jalan pintas) yang menggadaikan nyawa. Kebanyakan remaja sekolah menggunakan lintasan kereta api dan melintasi parit besar untuk pulang ke rumah.

“Masalah ini telah diperhatikan sejak tiga tahun lepas lagi di mana satu usaha untuk menyediakan jalan alternatif telah dilaksanakan.

?Bantuan Kerajaan Negeri telah diberikan untuk menyegerakan kerja-kerja pembinaan jalan tersebut.

“Saya selaku Adun berharap ia dapat siap dengan segera supaya penduduk boleh menggunakan jalan yang lebih selamat,” katanya ketika membuat tinjauan di kawasan Parit Besar, Padang Jawa di sini.

Mengikut laporan akhbar, Nur Alisa bersama tiga lagi rakannya terjatuh ke dalam longkang besar ketika menggunakan jalan di tepi parit tersebut semasa hujan lebat.

Namun, dua rakannya berjaya menyelamatkan diri, manakala seorang lagi rakannya berjaya diselamatkan kira-kira 500 dari tempat kejadian.

Bagaimanapun, Nur Alisa gagal dikesan selepas pihak bomba menjalankan kerja mencari dan menyelamat termasuk menggunakan pasukan skuba.

Mayat mangsa kemudiannya ditemui dua hari kemudian terapung di dalam Sungai Klang.

Categories
NASIONAL

Anwar Saman Papagomo RM 100 Juta

Anwar Ibrahim Konvensyen Days Saing Komoditi 01

SHAH ALAM 19 MAC : Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menfailkan saman fitnah terhadap blogger pro-Umno, Papagomo yang bertindak menyebar gambar menyerupai Ketua Umum PKR itu di laman sosial pada 16 Mac lalu.

Dalam satu kenyataan, Peguam N Surendran yang mewakili Anwar berkata, pemilik blog papagomo iaitu Wan Muhammad Azri Wan Deris dinamakan sebagai individu bertanggungjawab menyebar gambar bagi tujuan fitnah dan video lucah.

Anwar yang juga Ketua Pembangkang dalam permohonan samannya menuntut Papagomo untuk menarik balik tuduhan itu dan membuat permohonan maaf dalam tempoh 48 jam bermula hari ini. Beliau juga menuntut gantirugi berjumlah RM 100 juta.

“Jumlah kerugian itu dirasakan sesuai berdasarkan hubungan yang rapat papagomo dengan Umno. Umno sendiri selama ini secara terang-terangan membela papagomo,” jelas Surendran.

Berdasarkan hubungan rapat itu juga, beliau tidak menolak kemungkinan Umno terlibat secara langsung dalam siri fitnah terbaru ini.

“Kebergantungan Umno untuk mengamalkan politik kotor seperti ini menunjukkan betapa teruknya moral dan etika mereka dalam usaha memburukkan pimpinan Pakatan Rakyat.

“Ini membuktikan Umno-BN tidak lagi layak untuk memerintah dan mentadbir negara ini,” tegasnya lagi.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Najib Patut Mulakan Kerajaan Persekutuan “Caretaker”

Tian Chua parlimen 01

PETALING JAYA 19 MAC : Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak perlu menjadikan kerajaan persekutuan sekarang sebagai kerajaan ?caretaker? atau kerajaan sementara kata Ahli Parlimen Batu Tian Chua.

Kata Tian Chua, ini kerana mandat pentadbiran persekutuan sedia ada telah berakhir pada Mac 8, iaitu genap lima tahun selepas pilihanraya umum ke-12.

Sebuah kerajaan ?caretaker? katanya, tidak boleh mengubal dasar atau menetapkan perbelanjaan baru tetapi boleh meneruskan kerja jentera kerajaan seperti biasa.

Tian Chua berkata ia ialah satu tuntutan Pakatan Rakyat (PR) terhadap kerajaan Umno-BN hasil daripada Persidangan Antarabangsa Tentang Pilihanraya Umum Ke 13 Malaysia anjuran Pejabat Ketua Pembangkang pada 4 dan 5 Mac lalu.

“Sebuah kerajaan “caretaker” membenarkan Najib untuk mentadbir namun tidak membolehkan beliau untuk menetapkan dasar dan perbelanjaan baru untuk meraih undi”.

“Kalau kerajaan berterusan bercakap tentang transformasi dan mahu menjadikan Malaysia salah satu negara terbaik mengamalkan sistem demokrasi maka kita ingin melihat komitmen berhubung tuntutan ini”.

“Ia tidak memberi makna apabila bercakap mengenai transformasi tetapi tidak mengamalkannya seperti cara proses pemilihan kerajaan dalam pilihanraya,” katanya.

Beliau berkata, tuntutan lain dibuat PR adalah tempoh kempen selama 21 hari dalam pilihanraya dan liputan media yang adil untuk semua parti dalam pilihanraya.

Katanya, penjawat awam juga diminta demi mengamalkan sikap berkecuali dalam pilihanraya dan meminta Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) menjalankan tanggungjawab mereka secara telus dan profesional.

Tian Chuan menjelaskan satu salinan laporan program itu telah diserahkan kepada Menteri Hal Ehwal Parlimen, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz pada 14 Mac lalu.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Ahmad Said Mohon Maaf Kepada Menteri Besar

MB ahmad said mohon maaf mac 19 01

KUALA LUMPUR, 19 MAC : Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim tidak menuntut sebarang ganti rugi daripada Datuk Seri Ahmad Said Hamdan setelah beliau memohon maaf atas kenyataannya berhubung kes pembelian lembu korban pada tahun 2009.

Ahmad Said, Bekas Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), telah memohon maaf dan menarik balik kenyataan yang diberikan dan diterbitkan pada 21 Februari 2009 oleh pihak media.

?Kenyataan tersebut telah dibuat sebelum kertas hasil siasatan dirujuk dan diputuskan oleh Peguam Negara.

?Saya menyatakan segala kenyataan tersebut dibuat tanpa sebarang niat jahat, tanpa mempunyai niat untuk menjejaskan atau menjatuhkan reputasi, imej dan integriti plaintif,? Ahmad Said berkata di dalam kenyataan maafnya hari ini.

Kenyataan asal Ahmad Said pada 2009 itu berhubung dakwaan bahawa Abdul Khalid telah menyalahgunakan kuasanya untuk menderma
RM 110,400 bagi tujuan membeli 46 ekor lembu korban sempena Hari Raya Aidiladha di Bandar Tun Razak pada tahun yang sama.

MB ahmad said mohon maaf mac 19 02Susulan daripada dakwaan itu, SPRM telah memulakan siasatan dan mendapati tidak ada unsur salahgunakuasa atau penyelewengan di dalam pembelian itu.

Abdul Khalid dalam satu sidang media pagi tadi berkata, beliau tidak bercadang untuk menuntut sebarang ganti rugi walaupun kenyataan Ahmad Said telah menyebabkan reputasinya sebagai pimpinan tertinggi negeri tercalar.

“Saya tidak mahu wang pembayar cukai digunakan bagi membayar ganti rugi itu memandangkan saman terhadap Ahmad Said atas kapasiti beliau sebagai penjawat awam yang juga defendan pertama dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan kedua.

“Atas alasan ini juga saya memutuskan untuk mengenakan kos yang minima ke atas kes itu.

?Saya berpandangan setiap rakyat di negara ini mempunyai hak untuk hidup dengan selamat dan terjamin dari segi keselamatan diri, maruah dan harga diri seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Hak ini hendaklah dihormati oleh setiap warganegara sekiranya kita mahu menjadi bangsa Malaysia yang bertamadun,” katanya yang ditemui selepas perbicaraan secara tertutup dalam kamar Hakim Datuk Lau Bee Lan di Mahkamah Sivil, Jalan Duta hari ini.

Teks permohonan maaf tersebut juga akan disiarkan di dalam akhbar The Star dan The New Straits Times esok.

“Saya memahami kedudukan Datuk Ahmad Said Hamdan selaku Pegawai Kanan Kerajaan dan memberi penjelasan beliau bahawa ketika mengeluarkan kenyataan tersebut beliau bertindak atas kapasiti sebagai Pesuruhjaya SPRM,” katanya lagi.

Peguam Kanan Persekutuan, Noorin Badaruddin dan Nadia Hanim mewakili mantan Persuruhjaya SPRM, Datuk Ahmad Said Hamdan, SPRM dan Kerajaan Malaysia.

Sementara peguam, S Sankaranair dan Murali Kalidass mewakili Abdul Khalid.

Categories
NASIONAL

Persimpangan Bertingkat Runtuh : PKNS Tunggu Keputusan LLM

 Jambatan 1

SHAH ALAM, 16 MAC : Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) bersetuju untuk melantik perunding bebas bagi membuat kajian mengenalpasti punca berlakunya kejadian runtuhan persimpangan bertingkat baru-baru ini.

Pengurus Perhubungan Awam PKNS , Ishak Hashim, berkata, PKNS sudah mengemukakan tiga nama perunding bebas bagi menyiasat punca sebenar kejadian itu.

“PKNS sudah meminta Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) untuk mengambil langkah segera bagi memilih perunding bebas yang disyorkan PKNS dan PLUS untuk memudahkan proses mengenal pasti punca persimpangan bertingkat itu runtuh,” katanya.

Pada waktu yang sama, satu perunding bebas turut dilantik PKNS bagi menentukan sama ada kerja-kerja pembinaan persimpangan bertingkat itu telah mematuhi syarat-syarat pembinaan.

?Ini adalah selaras dengan amalan tadbir korporat yang diamalkan PKNS,? tambahnya kerja-kerja pembersihan kini sedang giat dijalankan oleh PKNS.

Kos perlantikan perunding akan ditanggung bersama di antara PLUS dan PKNS.

Hujung February lalu persimpangan bertingkat berdekatan Kilometer 2.4 Lingkaran Putrajaya menghala ke Lebuhraya Elite runtuh.

Semasa kejadian berlaku, kerja- kerja pembaikan jalan sedang dijalankan di bawah lokasi jambatan berkenaan.

Bagaimanapun tiada laporan kecederaan atau kehilangan nyawa dilaporkan dalam kejadian itu.

Jambatan persimpangan bertingkat yang mula dibina pada Oktober 2007 itu mula beroperasi pada November 2009 dan diserahkan kepada PLUS pada 22 Mac 2012.

Sebelum kejadian, jambatan tersebut telah ditutup kepada semua lalulintas mulai 7 Disember 2012 lalu dan dijangka dibuka semula pada 31 Disember 2013 nanti bagi memberi laluan kerja-kerja pembaikan.

Categories
NASIONAL

Kematian PI Bala Tidak Henti Usaha Dedah Dalang Pembunuh Altantuya (KEMASKINI)

M

SHAH ALAM, 15 MAC : Meskipun dikejutkan dengan pemergian penyiasat persendirian, P Balasubramaniam hari ini, namun ia tidak menghalang usaha Pakatan Rakyat (PR) untuk terus mendedahkan dalang di sebalik kes pembunuhan warga Mongolia Altantuyaa Shaariibu.

Naib Presiden PKR, N Surendran ketika dihubungi berkata, walaupun Bala atau lebih dikenali sebagai PI Bala telah meninggal dunia, namun pendedahan beliau masih belum dijawab oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Kerajaan Umno-BN.

“Ia satu berita yang sedih kerana PI Bala banyak menyumbang kepada negara dengan mendedahkan cerita-cerita sebenar di sebalik kematian Altantuya dan Perakuan Berkanun.

“Walaupun kita telah kehilangan beliau, tetapi pendedahannya masih ada dan menjadi isu yang amat besar dalam negara kita lebih-lebih lagi menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) akan datang,” katanya kepada TVSelangor.

Beliau yang baru pulang dari persembunyian di India terlibat dalam kempen bersama Pakatan Rakyat bagi mendedahkan pembunuhan warga Mongolia Altantuya Shaariibuu pada 2006 yang lalu.

Bagaimanapun selepas terlibat dalam beberapa siri kempen bersama Pakatan Rakyat, Bala dimasukkan ke hospital apabila jantungnya berhenti berdenyut.

Malaysiakini melaporkan, Bala mendaftar keluar dari Pusat Perubatan Sime Darby pada Selalu lalu tetapi mengalami kesukaran bernafas ketika makan tengah hari di restoran dekat rumahnya di Rawang kira-kira jam 2.30pm.

Balasubramaniam kemudian bergegas ke klinik untuk bantuan tetapi meninggal dunia sebelum ambulans daripada Hospital Sungai Buloh tiba.

“Beliau sepatutnya membuat pembedahan pintasan jantung dalam tempoh dua minggu,” kata peguam dan anggota parlimen Subang R Sivarasa.

Beliau memainkan peranan dalam dua akuan bersumpah berhubung kes pembunuhan Altantuyaa , yang dikaitkan dengan pemimpin tertinggi politik.

Categories
SELANGOR

Balu Anggota Polis Terharu Dikunjungi Exco Selangor

Balu Anggota Polis Terharu 01

IPOH 15 MAC : Dua balu anggota komando polis (VAT 69) Inspektor Zulkifli Mamat dan Sarjan Sabaruddin Daud yang terkorban dalam pertempuran di Kampung Tanduo, Lahad Datu, Sabah menerima sumbangan RM 20,000 setiap seorang.

Sumbangan itu disampaikan Kerajaan Negeri Selangor dengan diwakili Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi, Inovasi dan Kebudayaan, Rodziah Ismail di kediaman balu Zulkifli di Bandar Baru Putra, Ipoh.

noraziahNoraziah Mohd Noor, 29, isteri kepada Zulkifli ketika ditemui berkata melahirkan kesyukuran atas bantuan yang diberikan itu.

“Saya ucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Selangor. Dengan adanya sumbangan ini dapat membantu ringankan beban anak dan masa depan mereka serta keluarga arwah,”katanya kepada pemberita.

Beliau dengan nada sebak berkata walaupun perasaan sedih masih ada namun beliau reda dengan pemergian suaminya itu.

“Masa arwah mahu tinggalkan kami untuk ke Sabah, arwah sangat ceria sehinggalah saya menelefon arwah menanyakan bila mahu pulang kerana saya mengalami alahan teruk kerana sedang mengandung tiga bulan.

“Namun arwah berkata abang pergi bawa amanah yang besar, harap sayang tidak kecil hati. Arwah turut berpesan supaya menjaga anak-anak dengan baik,” katanya yang mempunyai dua orang anak.

nurul nisaSementara itu, balu Sabaruddin, Nurul Nisa Abu Bakar, 42, terkejut dan tidak sangka Kerajaan Negeri Selangor prihatin dengan keluarganya.

“Gembira sangat. Tak sangka YB sanggup turun melawat dari jauh. Terima kasih YB. Bantuan ini dapat ringankan beban kami,” katanya.

Sabaruddin yang sudah menyertai pasukan itu sejak 25 tahun lalu meninggalkan tiga anak yang berumur 19, 15 dan 12 tahun.

“Arwah memang minat, itu cita-citanya sejak kecil. Walaupun sedih, saya bangga dengan arwah yang meninggal sebagai parajurit negara, ” katanya.

Kedua-dua balu turut mengirimkan salam kepada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Rodziah ketika menyampaikan sumbangan itu turut membaca amanat Menteri Besar sebagai tanda takziah kepada kedua-dua keluarga.

Bercakap kepada pemberita, Rodziah berharap kedua-duanya tabah menjalani kehidupan akan datang.

“Saya juga harapkan keluarga yang terkorban dapat diberi sumbangan berterusan. Kita harap ia tidak diberikan ketika waktu ini sahaja,” katanya.

Sumbangan itu adalah peruntukkan daripada Tabung Wira Rakyat Selangor berjumlah RM10 juta yang diumumkan Menteri Besar baru-baru ini.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Lebih RM2 Juta Baiki Jalan dan Longkang Di Klang

Ronnie Liew Baju Kuning 01

SHAH ALAM, 15 MAC : Kerajaan Negeri memperuntukkan lebih RM2 juta sejak tahun 2011 bagi melaksanakan kerja-kerja menaiktaraf serta menyelenggara jalan raya dan longkang di kawasan Klang.

Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu berkata, kerja-kerja penyelenggaran itu menggunakan dana Kumpulan Wang Amanah Penyelenggaraan Jalan Raya Negeri (Marris) dan peruntukan Adun sepenuhnya.

Tambahnya, sebahagian besar jalan raya di Pandamaran juga sudah diturap, malah segala aduan yang diterima daripada penduduk setempat juga di atasi secara berperingkat.

“Kita tidak hanya menyelenggara jalan raya, malah longkang juga diselenggara dengan baik oleh Pihak Berkuasa Tempatab (PBT). Kerajaan Negeri sudah peruntukkan banyak dana untuk kerja-kerja pembaikan ini.

“Malah, untuk tahun ini sahaja RM1 juta diperuntukkan, dan ia tidak termasuk peruntukan daripada Majlis Perbandaran Klang (MPK). Kita ada rekod tender, sebut harga dan sebagainya,” katanya ketika dihubungi TV Selangor.

Dalam pada itu, Ronnie turut menyifatkan dakwaan bahawa PBT Selangor gagal menunaikan janji untuk menyelanggara jalan raya disifatkan sebagai satu sandiwara politik yang sengaja dimainkan Umno-BN lebih-lebih lagi ketika Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) semakin hampir.

Tegasnya, ia adalah taktik biasa Umno-BN yang sengaja menimbulkan pelbagai spekulasi untuk memburuk-burukkan Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Selangor.

Menyentuh mengenai dakwaan jalan raya tidak diturap di Taman Tengku Bendahara Azman di Pandamaran, Ronnie menegaskan ia masih dalam perancangan dan akan dibaiki dalam tempoh terdekat.

“Itu adalah taktik biasa Umno-BN, sedangkan mereka tidak pernah buat sebarang tindakan di kawasan itu. malah mereka juga tidak akan mengaku sekiranya Kerajaan PR Selangor membuat sebarang penambah baikan tidak kira di Klang mahupun di tempat lain.

“Hakikatnya jalan raya di bawah kendalian Jabatan Kerja Raya (JKR) yang masih belum diselenggara. Berapa kali kita buat aduan pun mereka tidak ambil sebarang tindakan, tetapi mereka mengemukakan alasan kononnya JKR tidak mempunyai dana,” katanya lagi.

Categories
SELANGOR

Kerajaan Selangor Beri RM20,000 Kepada Keluarga Supt Ibrahim Lebar

rodziah yellow pc tabung wira selangor subang 01

SUBANG JAYA, 14 MAC : Sumbangan besar perajurit negara, Allahyarham Supritendan Ibrahim Lebar, 52, dari Cawangan Khas Bukit Aman, yang gugur ketika mempertahankan keselamatan negara di Lahad Datu, Sabah mendapat perhatian Kerajaan Selangor.

Kerajaan Negeri menyumbangkan RM 20,000 kepada keluarga Allahyarham pada satu lawatan kepada kediaman isterinya Rusiah Dahlan di USJ9, Subang Jaya, hari ini.

Sumbangan itu diserahkan oleh Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail dan Exco Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Teresa Kok Suh Sim.

Turut serta bersama rombongan wakil Kerajaan Negeri, Ahli Parlimen Batu, Tian Chua.

Bantuan tersebut adalah peruntukan daripada Tabung Wira Rakyat Selangor yang berjumlah RM 10 juta yang diumumkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bagi membantu ahli keluarga anggota keselamatan yang gugur semasa mempertahankan negara.

Rodziah ketika ditemui berkata, lawatan hari ini bertujuan menyampaikan hasrat Kerajaan Negeri yang ingin membantu Rusiah yang mempunyai tiga orang anak yang masih dalam peringkat pengajian tinggi.

“Saya bersyukur sesi lawatan ini dan dapati keluarga arwah begitu tenang, tabah dan juga menerimanya dengan keadaan begitu baik dan saya doakan keluarga terutamanya isteri Puan Rusiah menjalani kehidupan yang sempurna dengan baik,” katanya.

Rodziah turut menyeru semua pihak agar sama-sama menghulurkan bantuan kepada keluarga Allahyarham secara berterusan di masa akan datang.

“Saya harap semua pihak yang sekarang ini sama-sama turun berikan bantuan dan saya harap jangan dilupakn jasa-jasa mereka dan jangan hanya isu ini hangat sahaja kita semua ambil perhatian kepada mereka,” ujarnya.

Allahyarham Ibrahim meninggalkan tiga orang anak, Amirul Shafiq, 22, Amira Shahira, 20, dan Amira Shahira, 17 dan selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Subang Jaya pada 4 Mac lalu.

Selain Ibrahim, turut terkorban ialah, Sarjan Abdul Azis Sakirun, 48, (Batalion 14 PGA) Koperal Salam Togiran, 42, (Cawangan Pengangkutan Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau) dan Lans Koperal Mohd Azrul Tukiran, 27, (Pasukan Gerakan Am PGA).

Turut terkorban Asisten Supritendan Michael Padel, 36 (Ketua Cawangan Khas Polis Daerah Semporna), Sarjan Baharin Hamid, 49, (Kontinjen Cawangan Khas Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah).

Categories
NASIONAL SELANGOR

Selangor Mahu Bina Rumah Mampu Milik Lebih Murah, Berkualiti

rumah mampu milik sutera damansara 01

PETALING JAYA, 14 MAC: Kerajaan Negeri Selangor akan menganjurkan satu seminar bagi memastikan rumah mampu milik (RMM) di Selangor bukan sahaja berkualiti, malah dapat dijual pada harga lebih rendah dan disiapkan pada masa yang singkat.

Bagi menjayakan visi tersebut, Kerajaan Negeri mengambil inisiatif untuk menganjurkan seminar yang bakal menampilkan pakar-pakar industri perumahan dalam dan luar negara di Hotel Grand Dorsett, Subang Jaya.

Ini merupakan initiatif untuk menambah lebih RMM untuk rakyat selepas Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor melancarkan projek RMM ke-6 di Sutera Damansara.

Menurut Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar A. Samad pakar luar tersebut dipilih berdasarkan kejayaan mereka di negara masing-masing dalam membina perumahan pada harga yang rendah, berkualiti dan disiapkan dalam tempoh yang cepat.

“Sehubungan usaha kita untuk menerokai teknologi-teknologi baru ini, pada 21 Mac ini akan diadakan satu seminar yang dihadiri pakar-pakar perumahan dalam dan luar negeri, terutamanya daripada United Kingdom dan Jepun,” ujar Iskandar.

mb pecah tanah RMM sutera damansara 01Beliau berkata demikian di dalam Majlis Pecah Tanah projek Rumah Mampu Milik Sutera Damansara di sini yang turut dihadir Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Selain wakil pemaju dan kontraktor, seminar tersebut juga bakal dihadiri oleh pensyarah-pensyarah universiti bagi memastikan perbincangan dapat dijalankan dengan lebih menyeluruh.

Sementara itu, Abdul Khalid dalam majlis sama pula berkata dasar rumah kos rendah Kerajaan Negeri era Umno-BN sebelum ini gagal menyediakan penempatan yang selesa kepada masyarakat Selangor.

Antara masalah yang kerap dihadapi penduduk rumah kos rendah termasuklah kerosakan struktur bangunan dan persekitaran yang tidak sihat.

“Di PJ lebih 100,000 unit (rumah kos rendah) telah dibina, selepas 10 tahun taraf hidup dan kediaman masyarakat di pangsapuri kos rendah dalam keadaan yang tidak memuaskan.

“Sekarang lebih 15 tahun selain keadaan yang buruk, harga rumah tersebut lebih rendah dari mereka beli sehingga ada di sesetengah tempat kurang dari RM20,000,” ujar Abdul Khalid.

TV Selangor juga difahamkan Kerajaan Negeri hari ini terpaksa membelanjakan sehingga RM 70 juta bagi menampung kos membaiki kerosakan pangsapuri kos rendah.

Ia adalah projek usahasama anak syarikat Kerajaan Negeri, Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB), Semponia Sdn Bhd dan Country Wheel Sdn Bhd.

Ia dibangunkan oleh OSK Property Holding Berhad yang bertindak sebagai pengurus projek.

Projek tersebut bakal menyediakan 236 unit kediaman mampu milik dan dijual pada harga RM89,000 seunit.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Bersih Jumpa Lapan Kes Pengundi Ragu

bersih lapan kes ragu 01

KUALA LUMPUR, 14 MAC : Jawatankuasa Pemandu Bersih 2.0 mengesahkan setakat ini terdapat lapan kes yang melibatkan pendaftaran pengundi yang meragukan.

Maria Chin Abdullah selaku Ahli Jawatankuasa pemandu Bersih 2.0 menyatakan, lapan kes berkenaan direkodkan sejak kempen Jom Pantau diperkenalkan pada Disember tahun lalu.

Berdasarkan butiran lapan kes ini, lima daripada individu berkenaan didaftarkan tanpa izin atau pengetahuan mereka. Tiga daripada lima itu didaftarkan di kawasan bukan tempat kediaman mereka.

Dalam satu kes, individu tersebut diberitahu oleh Suruhanjaya Pilihanraya bahawa agensi itu tidak pernah menerima borang pendaftaran pengundinya walaupun beliau telah mendaftarkan diri melalui sebuah konsulat luar negara Malaysia pada tahun 2012.

Oleh itu, beliau tidak layak untuk mengundi dalam Pilihan Raya Umum-13 (PRU-13) yang akan datang.

Dalam satu kes lain pula, individu tersebut tersebut tidak berjaya mencari rekod pendaftarannya dalam talian dan oleh itu mungkin tidak dapat mengundi pada PRU-13.

Dalam satu kes lagi, seorang pemilih mengesyaki adanya pengundi hantu yang menggunakan alamatnya.

Kesemua kes ini telah dimaklumkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) minggu ini yang dihantar melalui faks dan email, kata Maria Chin.

“Jumlah ini bukannya sedikit dan mungkin menandakan bahawa kes-kes sebegini lebih banyak lagi memandangkan kebimbangan yang telah diluahkan sebelum ini akan kewibawaan daftar pemilih.

“Malah dalam beberapa kes, pihak pengadu telah berjumpa sendiri dengan SPR,” katanya pada sidang media di Dewan Himpunan Cina (KLCAH).

Tegasnya, Bersih 2.0 bimbang daftar pemilih yang meragukan akan memberikan kesan buruk di dalam pilihanraya akan datang meskipun SPR memberikan jaminan sebelum ini bahawa daftar tersebut berwibawa.