Categories
NASIONAL SELANGOR

KSSB pergiat pantau lombong pasir

curi pasir

DENGKIL, 17 OKT : Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) akan mempergiatkan pemantauan kawasan perlombongan pasir untuk memastikan kualiti air sungai terus terpelihara.

Datuk Dr Azimuddin Bahari

Ketua Pegawai Eksekutif KSSB, Datuk Dr Azimuddin Bahari, berkata pihaknya menubuhkan Jawatankuasa Pemantauan yang diberi peranan memantau semua aktiviti perlombongan pasir dengan memberikan laporan setiap dua minggu.

“Kita lakukan pemerhatian rapi untuk memastikan kontraktor dilantik tidak melanggar peraturan ditetapkan,” katanya kepada TVSelangor pada Majlis Ibadah Korban anjuran KSSB di Masjid As-Shariff di sini.

Azimuddin berkata, KSSB berperanan membantu Kerajaan Negeri menyelenggara sistem pengairan air sungai daripada berlakunya banjir.

“KSSB membantu dari segi tambatan banjir dan tugas mengorek hasil pasir bagi melancarkan pengairan air sungai,” katanya.

Kata Azimuddin, tiga kontraktor yang dilantik dihentikan kerana melanggar peraturan ditetapkan .

Majlis Korban itu disertai lebih 300 kakitangan KSSB dan penduduk setempat dengan sebanyak enam ekor dilembu dikorbankan.

Categories
NASIONAL SELANGOR

219 Penduduk Kampung Sri Indah terima geran tanah

Paya Jaras terima geran 3

SUNGAI BULOH 12 OKTOBER : Penantian 219 keluarga dari Kampung Sri Indah, Paya Jaras di sini untuk memiliki geran tanah kediaman sejak 20 tahun lalu berakhir hari ini apabila kesemua mereka menerima geran hak milik masing-masing.

Seorang penerima, Goh See Hai, 52, berkata, beliau terpaksa menunggu sekian lama biarpun segala dokumen telah diserahkan sejak Kerajaan Umno-BN dahulu namun sikap yang diamalkan kerajaan pemerintah ketika itu menyebabkan urusan hak milik tanah tertangguh bertahun-tahun.

“Saya telah menetap di kampung ini lebih 20 tahun, pelbagai usaha dilakukan untuk mendapat geran ini, biarpun kerajaan dahulu berjanji untuk menyelesaikannya, tapi akhirnya ia diselesaikan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat,” ujarnya.

Paya Jaras terima geran 1

Bagi Yap Kwai Loon, 52, beliau merasa gembira kerana isu berkenaan dapat diselesaikan kerana terpaksa menunggu selama lebih 23 tahun.

“Dulu wakil MCA ada berjanji untuk menyelesaikannya, tapi saya sudah menunggu terlalu lama, akhirnya dapat juga geran tanah sendiri, terima kasih kepada Adun dan Kerajaan Negeri yang banyak membantu,” katanya yang berwajah ceria.

Kedua-dua mereka ditemui ketika satu majlis penyerahan kelulusan geran yang disampaikan oleh Exco Pelaburan, Perindustrian, Pembangunan Kampung Baharu dan Pemutihan Kilang Haram, Ean Yong Hian Wah di Dewan JKKK Kampung Sri Indah A, Paya Jaras, di sini hari ini.

Turut hadir, Adun Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman dan Ahli Parlimen Subang, R.Sivarasa.

Sementara itu, Mohd Khairuddin ketika ditemui berkata, sebanyak lima kampung lagi di bawah DUN Paya Jaras masih menunggu geran tanah masing-masing dan berharap isu berkenaan akan diselesaikan dalam tempoh tiga tahun lagi.

“Pertamanya saya ingin ucapkan terima kasih kepada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang bersungguh-sungguh mempercepatkan segala urusan berkenaan hak milik tanah ini.

“Di Dun Paya Jaras ini terdapat 15 buah kampung dan sebanyak lima buah kampung masih lagi menunggu dan saya berharap Kerajaan Negeri dapat membantu segala urusan berkenaan supaya semuanya mendapat hak milikan sendiri,” katanya.

Kesemua penduduk berkenaan bakal menerima geran tanah selepas meyelesaikan jumlah premium sebanyak RM1,000 yang disyaratkan oleh Kerajaan Negeri.

 

Categories
NASIONAL SELANGOR

Tiada jualan “siapa cepat dia dapat” untuk unit rumah Bukit Botak

BUkit botak

SHAH ALAM, 12 OKTOBER : Unit rumah berkembar 1 tingkat di Bukit Botak, Selayang, tidak akan dijual secara terus kepada mereka yang hadir di majlis jualan unit-unit berkenaan yang diadakan di Bukit Botak hari ini.

Pengurus Perhubungan Awam Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Ishak Hashim dalam satu notis memberitahu bahawa Kerajaan Negeri Selangor mengarahkan penjualan “siapa cepat dia dapat” itu dibatalkan serta-merta.

Sebaliknya PKNS diarah menggunakan saluran Jawatankuasa Khas Pemilihan, yang dianggotai oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) dan PKNS, dengan kerjasama Pejabat Tanah Daerah Gombak.

Jawatankuasa ini akan menyenarai pendek pemohon dan membuat tawaran jualan kepada pemohon yang layak melalui proses temuduga dan kriteria pemilihan tertentu.

“Kerajaan Negeri telah mengeluarkan arahan di mana PKNS selaku pemaju diminta mendapatkan maklumat pemohon terlebih dahulu,” menurut pemberitahuan itu.

Disamping itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menjadi saksi manakala Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) sebagai pemerhati,” tamba beliau.

Sehubungan itu, orang ramai yang telah hadir di majlis jualan hari ini diminta mengisi borang permohonan dan mengembalikan semula kepada PKNS untuk diproses mengikut kaedah yang ditetapkan itu.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Laporan Audit : Menteri jangan salahkan pegawai rendah

audit

KUALA LUMPUR, 3 OKT : Menteri Kabinet digesa berhenti menyalahkan pegawai rendah dengan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap segala penyelewengan dan pemborosan perbelanjaan yang berlaku di jabatan kerajaan.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata berdasarkan laporan Ketua Audit Negara 2012 terdapat banyak kebocoran perbelanjaan di jabatan persekutuan yang memerlukan siasatan agar tidak berulang.

“Menteri harus bertanggungjawab dan tidak menyalahkan pegawai rendah kerana ia berlaku di depan mata mereka tanpa pengawasan.

“Kita tidak mahu dengar menteri kata ia dalam siasatan atau pertimbangan kerana setiap tahun perkara ini berlaku, malah lebih parah lagi,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen.

Beliau turut menggesa Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) supaya mengadakan satu sidang khas untuk meneliti perkara ini selain meminta ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR) yang terlibat dalam jawatankuasa itu untuk terus mendesak isu berkenaan dipantau.

“Setiap kali laporan audit diterbitkan, kita seolah-olah terkejut sedangkan kebocoran dan penyelewengan berlaku setiap tahun.

“Kebocoran berlaku dalam keadaan harga barang naik, rakyat ditekan tetapi penyelewengan yang berlaku ini dibiarkan,” katanya.

-MEM

Categories
NASIONAL SELANGOR

Ilmu, Usahawan, Kediaman, Tiga Tujahan Utama Belanjawan Selangor 2014

MB belanjawan

SUBANG JAYA 24 SEPT : Tiga perkara utama iaitu pendidikan, pembangunan usahawan dan perumahan mampu milik akan diberi perhatian dalam Belanjawan Selangor 2014 yang akan dibentangkan pada bulan November depan.

“Selepas mengadakan perbincangan dengan pemimpin masyarakat dalam Dialog Belanjawan 2014 dua hari ini, kita dapat menilai sejauh mana mereka memikirkan mengenai manifesto yang kita janji.

“Jadi selepas ini, kita akan mengadakan perbincangan dengan semua Exco tentang bagaimana ia dapat dilaksanakannya dengan menekankan kepada tiga perkara itu,” kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim  dalam sidang media selepas Majlis Dialog Belanjawan 2014, di Hotel Grand Dorsett, di sini.

Tujahan perumahan itu termasuk pembinaan sekurang-kurangnya 20,000 unit rumah mampu milik melalui penglibatan daripada Lembaga Perumahan dan Hartanah (LPHS), Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan pemaju.

Program rumah mampu milik ini juga akan diperhebatkan dan dipercepatkan pembinaannya, disamping memberi keutamaan kepada pemohon yang berumur 40 tahun ke bawah, serta keluarga yang belum berpeluang mempunyai kediaman sendiri.

Manakala tujahan pembangunan usahawan pula bakal menyaksikan penumpuan khusus mendorong golongan miskin menceburi bidang keusahawan kecil dan sederhana.

“Kali ini kita akan bergerak dari pembangunan usahawan yang tertumpu kepada masyarakat miskin kepada pembangunan usahawan kecil dan sederhana, ia kerana kita rasa Selangor bergerak maju kerana adanya pengusahawanan yang dinamik,” katanya.

Bagi pendidikan pula, Abdul Khalid berkata Kerajaan Negeri mahu menggemblengkan program mempertingkatkan mutu pendidikan di Selangor, termasuk bidang kemahiran.

“Dalam masa yang sama, kita juga mahu memberdayakan kaum wanita yang mana kita rasa ekonomi negeri akan bertambah rancak jika kaum wanita memperhebatkan penglibatan mereka dalam pembangunan negeri,” katanya.

Categories
SELANGOR

Setinggan ceroboh tanah JPS

haniza tapak haram

PETALING JAYA, 23 SEPT: Tanah milik Jabatan Perparitan dan Saliran (JPS) dikesan diceroboh pihak tidak bertanggungjawab yang menjadikan tanah itu tempat pembuangan sampah haram dan penempatan setinggan.

“Sebelum ini pihak kami telah melawat tanah tersebut namun apa yang membimbangkan kami adalah keadaan semakin teruk dengan pertambahan operator bahan lusuh di kawasan terbabit”.

haniza tapak haram 2“Apa yang membimbangkan, kadar pencemaran akan meningkat dan dikhuatiri kawasan terbabit juga dijadikan tempat pembuangan sisa toksik ” katanya

Menurut Adun Taman Medan, Haniza Talha, sebelum ini beliau bersama Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Petaling Jaya pernah melawat kawasan terbabit pada tahun 2011 namun ketika itu keadaan masih terkawal.

Dalam sesi lawatan semalam Haniza bersama pihak MBPJ dan PTD telah meninjau semula ke kawasan terbabit dan mendapati keadaannya semakin teruk akibat daripada pencerobohan ini.

Dalam pertemuan tersebut Haniza turut menyarankan supaya pihak JPS memberi perhatian terhadap isu ini supaya ia tidak menjadi semakin serius.

Categories
NASIONAL SELANGOR

90 penduduk Paya Jaras bakal miliki geran tanah sendiri

Paya jaras 4

SUNGAI BULOH 21 SEPTEMBER : Seramai 90 orang penduduk Kampung Matang Jaya, Paya Jaras berasa teruja kerana penantian puluhan tahun untuk memiliki geran tanah bakal ditunaikan Kerajaan Negeri.

Paya jaras interview 3Seorang penduduk, Manimegalaen,35, berkata beliau amat terharu tanah yang diduduki selama lebih 20 tahun bakal menjadi miliknya.

“Akhirnya impian saya untuk memiliki geran tanah sendiri selepas segala urusan pada pagi ini selesai, terus-terang saya merasa sangat-sangat gembira kerana sudah menunggu bagi tempoh yang lama untuk memilikinya,” katanya.

Paya jaras interview 2

Bagi Rajasami,67, pula berkata usaha Kerajaan Negeri memberikan hak milikan kepada penduduk wajib dipuji kerana ia membuktikan kepedulian pentadbiran Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

“Saya ingin ucapkan terima kasih khusus kepada Kerajaan Negeri dan Tan Sri kerana membuktikan bahawa Kerajaan Negeri pimpinan beliau sentiasa mengutamakan kehendak rakyat yang selama ini dipinggirkan kerajaan sebelumnya,” katanya.

Manimegalaen dan Rajasami ditemui ketika menyelesaikan urusan pemilikan geran tanah yang diuruskan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bersama firma guaman yang terlibat di Dewan Orang Ramai Kampung Matang Pagar dekat sini, hari ini.

Paya jaras interview 1

Sementara itu, seorang penduduk, Ahmad Safie, 41 berpendapat jumlah bayaran premium RM1,000 yang dikenakan Kerajaan Negeri adalah tidak membebankan rakyat yang ingin memiliki geran tanah sendiri.

“Biarpun belum selesai lagi prosesnya, saya rasa jika perlu dibayar RM1,000 pun saya sanggup kerana ia masih berpatutan dan saya percaya penduduk lain juga sependapat dengan saya,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pegawai Tadbir PKNS, Ismarazi Ismail berkata urusan pengambilalihan geran tanah ini mempunyai beberapa peringkat sebelum penduduk dapat memiliki geran tanah sendiri.

Paya jaras interview 4

Katanya, PKNS sentiasa membantu bagi melicinkan proses berkenaan dengan bertindak sebagai pengantara diantara penduduk dan firma guaman serta pejabata tanah.

“Tujuan utama program kita hari ini adalah membantu melicinkan proses pemilikan geran tanah supaya penduduk tidak perlu bersusah payah untuk ke firma guaman serta pejabat tanah kerana rata-rata penduduk tidak tahu mengenai kaedah serta prosesnya,” katanya.

Dalam pada itu, Ismarazi berkata, semua penduduk berkenaan dijangka dapat memiliki geran tanah sendiri dalam tempoh sebulan selepas semua urusan diselesaikan oleh Pejabat Tanah.

Paya jaras 5

Categories
NASIONAL SELANGOR

Dialog manifesto bersama MB Selangor dapat sambutan hangat

mb manifesto

KLANG 13 SEPT: Dialog Manifesto anjuran kerajaan Selangor bagi mendapatkan pandangan rakyat Selangor untuk dimasukkan dalam Belanjawan 2014 mendapat sambutan hangat.

Ia berikutan kehadiran lebih 300 orang pelbagai kaum di Dewan Hamzah, Majlis Perbandaran Klang (MPK) di sini, malam ini.

Majlis disempurnakan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan kehadiran pimpinan lain, antaranya Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud; Adun Seri Andalas, Dr Xavier Jayakumar dan Timbalan Yang Dipertua MPK, Ehsan Mukri.

Dialog itu memberi peluang kepada rakyat untuk memberi cadangan secara terus tentang pelaksanaan manifesto 2013 untuk dimasukkan dalam belanjawan negeri.

Sepanjang pentadbiran Abdul Khalid, beliau mempraktik amalan mengambil kira pandangan masyarakat umum sebelum belanjawan tahunan negeri dirangka.

Amalan itu turut mengundang minat kerajaan Persekutuan untuk mengikut langkah sama.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Penduduk Kampung Jln Kenangan terharu dapat TOL selepas 40 tahun

Kampung Jln Kenangan terharu dapat TOL

SHAH ALAM, 13 SEPTEMBER : Penantian 67 penduduk Kampung Jalan Kenangan, Kapar lebih 40 tahun yang tinggal berstatuskan setinggan berakhir apabila Kerajaan Negeri meluluskan Lesen Menduduki Sementara (TOL).

Kegembiraan penduduk terbabit bertambah manis apabila mereka dijangka bakal memperolehi Borang 5A dalam jangkamasa tiga tahun sebaik tamat tempoh TOL pada 2016 nanti.

Menurut penduduk, Hamdan Bakri, 43, kejayaan itu berhasil usaha Penyelaras Adun Bukit Melawati, S.Manikavasagam ketika itu masih Ahli Parlimen Kapar, Exco Kesihatan Selangor, Dr Daroyah Alwi dan Pegawai Daerah Kapar memperjuangkan isu itu bagi mendapatkan status TOL tanah kediaman penduduk kampung.

“Mujur Kerajaan Negeri sekarang prihatin bantu kami, terima kasih juga kepada (Penyelaras Adun Bukit Melawati) S. Manikavasagam, (Exco Kesihatan) YB Dr Daroyah (Alwi) dan Pegawai Daerah yang bersusah payah berusaha hingga kami memperolehi TOL,” ujar Hamdan kepada TV Selangor.

Sementara itu, Manikavasagam ketika dihubungi memberitahu, usaha mendapatkan TOL untuk penduduk Kampung Kenangan sudah dimulakan sejak beliau memulakan tugas sebagai Ahli Parlimen Kapar pada 2008.

Bagaimanapun usaha itu menghadapi kesukaran apabila pihak Pejabat Daerah Klang meletakkan kawasan tersebut sebagai kawasan pemantauan banjir.

“Selepas kira-kira lima hingga enam tahun, didapati rumah-rumah di Kampung Kenangan tidak dinaiki banjir kecuali dua, tiga buah rumah sahaja, barulah permohonan itu berjaya baru-baru ini.

“Dr Daroyah juga memaklumkan pihak beliau akan mengusahakan geran bagi tanah kediaman penduduk terbabit selepas TOL tamat tempoh tiga tahun akan datang melalui skim pemberian geran Kerajaan Negeri.

“Kesemua mereka dah tinggal atas tanah itu sudah lebih 10 tahun, jadi mereka memang layak sebab ada yang dah tinggal situ hingga 43 tahun,” kata Manikavasagam.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Dialog perlaksanaan Manifesto Pakatan Rakyat-Belanjawan Selangor 2014 9 – 13 September

suk 090913.indd

Perbincangan langsung rakyat-pemimpin ini bagi mendapatkan input secara terus dari pembayar cukai bagi melaksanakan manifesto Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-13 yang lalu.

Maklum balas daripada perbincangaan ini akan diangkat dalam Belanjawan Negeri Selangor 2014.

“Kerajaan Selangor yakin dan percaya bahawa pandangan rakyat amat penting dalam memastikan semua polisi dan perancangan yang digariskan dalam manifesto itu menepati golongan sasaran,? tegas Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Pada 9 September, dialog akan diadakan serentak di Galeri Menara Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) di Pandan Indah, Dewan Banquet Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Dewan Siantan Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) bermula jam 8 malam.

Pada 10 September, dialog akan diadakan serentak di Lobi Menara Majlis Perbandaran Selayang (MPS), Dewan Sri Bernam Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) dan Dewan Auditorium Dato’ Abdul Hamid Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) di Batang Kali, bermula jam 8 malam.

Pada 11 September, dialog akan diadakan serentak di Dewan Serbaguna Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) di Puchong Indah, dan bagi Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) di Kompleks Sukan Dewan Seksyen 15 Bandar Baru Bangi bermula jam 8 malam.

Bagi 12 September pula, dialog akan diadakan serentak bagi Majlis Perbandaran Sepang (MPSp) di Hotel Empress di Sepang Bandar Baru, bagi Tanjung Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) di Dewan Bunga Tanjung Seksyen 19, dan bagi Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) di Dewan Sri Jugra di Banting bermula jam 8 malam.

Manakala pada 13 September, dialog akan diadakan bagi Majlis Perbandaran Klang (MPK) di Dewan Hamzah bermula jam 8 malam.

Categories
NASIONAL SELANGOR

KPKT punca pembeli gagal beli rumah projek ‘terbengkalai’

YB Iskandar Seksyen 3 Bandar Baru Bangi 1

SHAH ALAM, 6 OGOS: Kerajaan Selangor kesal kerana pembeli unit rumah sesebuah projek perumahan yang terbengkalai tetapi sudah dipulihkan, gagal memperoleh pinjaman bank berikutan kecuaian Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Peneroka Bandar, Iskandar Samad, berkata kegagalan  mereka memperoleh kelulusan bank itu berikutan KPKT masih menyenaraikan projek itu sebagai ‘terbengkalai’.

Menyatakan kerajaan negeri banyak menerima aduan mengenai hal itu, beliau berkata, gegagalan bakal pembeli mendapat pinjaman menyebabkan pemaju berdepan masalah untuk menjual baki unit hingga memberi kesan kewangan kepada mereka.

“Ada sebuah projek Rumah Kos Rendah di Subang yang berjaya dipulihkan dan lebih 80 peratus siap. Tetapi disebabkan KPKT masih menyenaraikannya sebagai projek terbengkalai, maka 140 orang pembeli gagal mendapat pinjaman bank,” katanya.

Justeru, Iskandar menggesa KPKT untuk mengeluarkan projek yang dipulihkan dari senarai hitam supaya ia dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan pemaju penyelamat.

Beliau berhasrat mengadakan pertemuan antara kerajaan negeri dan KPKT diadakan dalam masa terdekat bagi membincangkan masalah itu, selain isu perumahan lain.

“Antara isu lain ialah harga rumah yang semakin meningkat, pembinaan Rumah Mampu Milik dan penyelenggaraan pembangunan bestrata.

“Kerajaan negeri sudah dua kali menulis surat kepada menteri berkenaan berhubung permohonan mengadakan pertemuan, namun tiada jawapan sehingga kini,” katanya.

-FZL

Categories
NASIONAL SELANGOR

Selangor Sasar 10 Juta Pelancong Menjelang 2018

maskot sekinchan elizabeth ng suee lim 01

SHAH ALAM 26 JULAI : Menjelang 2018, Kerajaan Negeri mensasarkan seramai 10 juta pelancong akan melawat Selangor, kata Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar Elizabeth Wong.

Elizabeth berkata anggaran tersebut berdasarkan peningkatan jumlah pelancong setiap tahun dan sasaran 7 juta pelancong Kerajaan Negeri untuk program Tahun Melawat Selangor 2015.

Beliau berkata setakat ini jumlah kemasukkan pelancong mencatatkan perkembangan yang positif iaitu 6 juta pada tahun lepas.

Katanya, bagi merealisasikan sasaran 10 juta itu, Kerajaan Negeri akan mengubah strategi promosi.

“Kita juga mahu melatih pemandu pelancong supaya fasih berbahasa asing bukan sahaja bahasa Inggeris. Ini kerana penambahan pelancong ke Selangor terdiri dari pelancong yang bukan dari Eropah.

Selain itu, Kerajaan Negeri akan menaiktaraf dan menyelenggara tapak-tapak pelancongan dalam tempoh lima tahun ini untuk memberi nilai tambah dan memperkukuhkan produk sedia ada.

Beliau menyasarkan empat kawasan luar bandar yang perlu diberi perhatian, antaranya Sabak Bernam, Kuala Langat, Hulu Langat dan Hulu Selangor.

Tambah Elizabeth, sekurang-kurangnya 300 tapak perlancongan yang sedia telah dikenal pasti untuk dibaik pulih atau dipromosikan.

“Ia merangkumi penyelenggaraan kawasan sekitar, membaik pulih kemudahan awam serta menambah baik struktur bangunan sedia ada,” katanya.

“Tetapi jumlah itu mungkin kita tidak akan lakukan semua. Kita bergantung kepada keperluan kawasan itu juga.

“Sebagai contoh, kawasan Sekinchan yang kini berkembang sebagai pusat perlancongan. Jika kita ke hadapan sedikit seperti Sabak Bernam sudah tentu akan berkembang kerana ia mempunyai potensi besar untuk dimajukan.

“Kita mahu tempat-tempat ini dinaiktaraf sehingga mendapat status perlancongan antarabangsa, kita mahu pelancongan asing dan dalam negara datang ke kawasan itu kerana ia akan meningkatkan taraf kewangan penduduk kampung dan penduduk tempatan,” katanya.