Categories
NASIONAL SELANGOR

Samseng MIC Didakwa Serang Peserta Himpunan Duduk Bantah 12-12-12

PUTRAJAYA, 12 DIS : Sekumpulan 30 samseng yang didakwa anggota MIC bertindak menyerang pemimpin Pakatan Rakyat(PR) di Jabatan Pendaftaran Negara Putrajaya pagi tadi.

Insiden ini berlaku selepas pimpinan Pakatan Rakyat (PR) yang diketuai Naib Presiden PKR, N Surendran dibenarkan masuk bertemu Pengarah JPN Malaysia, Datuk Jariah Mohd Said berhubung masalah perolehan rakyat negara ini yang masih menggunakan kad pengenalan merah.

Pengerusi PKR Johor, Datuk Chua Jui Meng menjadi mangsa tindakan agresif anggota kumpulan berkenaan sehingga ditolak pada bahagian badan ekoran perasaan tidak senang terhadap gerak kerja yang dilakukan pemimpin PR.

Surendran yang ditemui pada sidang media nyata kesal dengan kejadian berkenaan dan menuntut penjelasan daripada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishamuddin Hussein.

“Polis secara sengaja membenarkan samseng-samseng daripada MIC masuk menyerang kita apabila kita keluar sahaja bilik pengarah Datuk Jariah.

“April kita datang ke Jabatan Perdana Menteri (JPM), kami diserang dan hari ini sekali lagi.

“Apa yang mengejutkan polis bersekongkol dan membenarkan mereka menyerang kami,” katanya

Berhubung kad pengenalan, beliau meminta JPN membuat pertimbangan segera agar masalah ini dapat diselesaikan selain bersedia untuk memberikan kerjasama.

“Kita kecewa apabila Datuk Jariah berkata akan memberikan borang permohonan untuk warganegara kepada mereka. Kita bantah.

“Setelah kita jelaskan akhirnya pihak JPN bersetuju mengeluarkan borang permohonan kad pengenalan sahaja kerana mereka sudahpun warganegara,” katanya.

Hampir 300 pemohon hadir di Jabatan Pendaftaran Negara Putrajaya sempena dengan ‘Himpunan Duduk Bantah 12-12-12’.

Mereka mula berkumpul di perkarangan tempat letak kereta sebelum berarak dan tiba di hadapan Gerbang Utama Jabatan Pendaftaran Negara pada jam 11.20 pagi.

Keadaan agak tegang ekoran penutupan pintu utama namun keadaan diredakan oleh Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad selepas sepuluh orang wakil pimpinan PR dibenarkan masuk berbincang.

Hasil perbincangan menyaksikan JPN bersedia menyediakan lebih daripada empat kaunter pemprosesan maklumat mereka yang belum memiliki kad pengenalan biru bagi tujuan semakan dan pendaftaran.

Antara pimpinan PR yang hadir termasuklah Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa, Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam, Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud, Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago dan beberapa Adun Selangor serta wakil parti komponen Pakatan Rakyat

Categories
SELANGOR

MB : Sokong PR Untuk Pacu Pembangunan

 

BANDAR SUNWAY, 9 DIS : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menggesa rakyat Selangor untuk terus menyokong kepimpinan Pakatan Rakyat(PR) agar dapat memacu pembangunan negeri dalam suasana aman dan gembira.

Menurutnya, sebagai keluarga besar, rakyat di negeri ini tidak boleh dipinggirkan dalam setiap pembangunan kerana setiap kejayaan yang diperoleh negeri merupakan kejayaan bersama.

“Saya harap anda dapat memberikan sokongon agar kita dapat gerakkan negeri menjadi sebuah negeri untuk semua.

“Sambutan perayaan ini menjadi sebahagian (acara) rakyat Selangor kerana berbilang kaum.

“(Sambutan perayaan) bukan hanya menyatu rakyat Selangor, tapi kita adalah keluarga besar.

“(Justeru) kita tidak mahu tinggalkan mereka dalam pembangunan kerana kejayaan kita adalah kejayaan bersama,” katanya pada Sambutan Perayaan Hari Krismas Peringkat Negeri Selangor di Sunway Piramid Resort di sini semalam.

Menurutnya lagi, pihak Kerajaan Negeri sudah semestinya akan melaksanakan setiap bentuk pembangunan dengan penuh bertanggungjawab termasuk melaksanakan projek yang ditinggalkan oleh pentadbiran Umno-BN dahulu.

“Kita ada belanjawan berimbang (tahun 2013), tetapi kita juga ada rizab simpanan besar kerajaan iaitu melebihi RM2.5 bilion.

“Salah satu kegunaan rizab ini adalah untuk rakyat selangor.

“Kerajaan Negeri memperuntukkan tidak lebih RM500 juta untuk pembangunan rakyat Selangor dalam pembinaan jambatan baru Klang.

“Saya rasa rakyat Klang akan dapat jambatan yang dijanjikan BN pada 4 Mac 2008. Kita patut lakukan kepada rakyat.

“Kita akan buat jambatan yang sama, model yang sama dengan perbelanjaan tidak melebihi RM200 juta,” katanya.

Turut hadir dalam majlis sambutan ini Exco Selangor, Dr Xavier Jayakumar, Elizabeth Wong, Ean Yong Hian Wah, Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago, Adun Subang Jaya, Hanna Yeoh dan Adun Rawang, Gan Pei Nei.

Dalam majlis sama, Exco Selangor, Dr Xavier Jayakumar mewakili Menteri Besar menyampaikan sumbangan Peruntukan Rumah Ibadat Selain Islam berjumlah RM30,000 kepada Church of Shekinah Glory.

Selain itu, sumbangan turut diberikan kepada empat buah sekolah iaitu PIBG SJKT Puchong dengan jumlah RM30,000, PIBG SJKT Ladang Tumbok, Sepang, RM15,000, PIBG SJKT Teluk Merbau Sepang, RM15,000, dan RM10,000 kepada PIBG SJKT Tun Sambathan, Petaling Jaya.

Tidak ketinggalan, sembilan rumah kebajikan dimana masing-masing menerima sumbangan berjumlah RM2,500.

 

Anwar: PR Janji Tidak Abai Masyarakat India Jika Memerintah Putrajaya

KLANG 11 NOV: Masyarakat India di negara ini tidak akan diabaikan jika Pakatan Rakyat (PR) diberikan peluang memerintah di Putrajaya selepas Pilihan Raya Umum ke 13 akan datang.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kaum India yang sebelum ini seringkali diabaikan Kerajaan Umno-BN akan diberi perhatian sama-rata termasuk kaum-kaum lain yang menjadi penduduk di negara ini.

Katanya, contoh terbaik yang ditunjukkan adalah Kerajaan Negeri Selangor pimpinan PR di bawah pentadbiran Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang memberikan peruntukan berjumlah RM4 juta setiap tahun kepada semua Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di negeri ini.

“Jika 50 tahun dahulu SJKT tidak pernah menerima bantuan khusus bagi pembangunan sekolah, Kerajaan Negeri sekarang beri tiap-tiap tahun RM4 juta untuk semua SJKT di Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberi ucapan sempena lawatannya ke tapak Pesta Deepavali yang berlangsung di Jalan Kelana, Klang petang tadi.

Turut hadir ialah Exco-exco Selangor, Dr. Xavier Jayakumar dan Ronnie Liu serta Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago.

Sementara itu, Anwar berkata, semua rakyat di negara ini digesa menanamkan keyakinan kepada PR bagi melaksanakan dasarnya yang terbukti demi kepentingan rakyat.

“Macam-macam kita sudah dengar, daripada mansuhkan PTPTN, turunkan harga kereta dan pelbagai lagi dasar yang akan dilaksanakan PR jika memerintah Putrajaya.

“Saya sudah tidak mahu lagu gaduh-gaduh soal kaum, kita akan jaga semua kaum dan rakyat di negara ini,” katanya yang juga Penasihat Ekonomi Negeri Selangor.

Categories
NASIONAL

Kajian Bank Dunia: Gaji Minima RM1,100 Tak Mufliskan Negara

KUALA LUMPUR, 23 OKT: Kajian Bank Dunia menyatakan gaji minima RM1,100 yang ditawarkan oleh Pakatan Rakyat (PR) tidak akan menyebabkan negara muflis sepertimana dakwaan pemimpin Umno- BN.

Sebaliknya dasar tersebut mampu mengurangkan penggunaan tenaga kerja warga asing dan meningkatkan kualiti hidup rakyat.

Manakala satu kajian lain di Indonesia pada 1990 pula merumuskan bahawa perlaksanaan dasar gaji minima bukan sahaja tidak akan menyebabkan peningkatan kadar pengangguran malah dapat mewujudkan perniagaan baru, peluang perkerjaan dan merapatkan jurang kekayaan.

Demikian menurut Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago dalam forum bertajuk ‘Bagaimana PR Akan Membelanjakan Wang Rakyat’ yang diadakan di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor malam tadi.

Ketika menyentuh dasar gaji minima RM900 Kerajaan Pusat, Charles berkata, tindakan tersebut tidak banyak memberi kesan dalam meningkatkan kualiti hidup masyarakat.

“Mempunyai dasar gaji minima RM900, BN tidak beri banyak makna sebab ramai yang mempunyai gaji sebanyak itu,” kata Charles.

Charles juga menegaskan bahawa kerajaan hendaklah memberikan rebat cukai kepada industri kecil sepertimana yang dilaksakankan di Indonesia.

“Tetapi Selangor melakukannya iaitu dana peralihan, inilah kerajaan (Selangor) yang akan lindungi rakyat dan buat polisi yang baik,” kata beliau lagi.

Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud, pula berkata Bajet 2013 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak jelas tidak memberi impak besar terhadap kebajikan golongan wanita.

Sebaliknya dalam belanjawan PR pula pelbagai inisiatif diberikan kepada kaum wanita seperti caruman wanita nasional dan bantuan RM1,000 setahun kepada wanita berpendapatan kurang RM1,000 yang meninggalkan anak mereka di pusat jagaan kanak-kanak ketika berkerja.

“Untuk tujuan bantuan RM1,000 sebulan itu nanti, sebanyak RM3.16 bilion akan diperuntukan kerajaan nanti,” kata beliau dalam forum yang dikendalikan oleh moderatornya, Pengarah Startegi Pilihan Raya DAP, Dr Ong Kian Meng.

Terdahulu ketika merasmikan forum ‘Bagaimana PR Akan Membelanjakan Wang Rakyat’, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata kerajaan BN hari ini tidak menunjukkan usaha untuk mengekang peningkatan hutang negara.

“Mahu tak mahu, rela tak rela, kalau sesuatu kerajaan terus membenarkan defisit sepanjang 15 tahun, ini bukanlah sebuah kerajaan berhemah dan akhirnya apa yang akan jadi ialah kita akan meminjam wang untuk membiayai gaji,” kata beliau.

“Hutang Kerajaan Persekutuan telah pun naik dalam empat tahun ini lebih 80 peratus daripada RM266 bilion pada akhir 2007 kepada RM502 bilion pada akhir tahun 2011 dan ini pun tak diambil kira liabiliti tanggungan,” ujar Guan Eng.

Beliau menambah sekiranya liabiliti tanggungan atau tanggungan pinjaman dijamin kerajaan turut diambil kira, jumlah keseluruhan hutang negara mencecah RM618 bilion atau 65 peratus, melebihi paras 55 peratus hutang yang dibenarkan.

Categories
SELANGOR

Gagal Siap Laporan Bertulis MTUC Gesa Kerajaan Tangguh Bayar Faedah Persaraan Hakim

KUALA LUMPUR, 4 OKT : Kegagalan Hakim Mahkamah Rayuan, Datin Paduka Zaleha Zahari mengemukakan keputusan bertulis dalam kes semakan kehakiman Malaysian Trade Union Congress (MTUC) melawan Syarikat Bekalan Air Selangor(Syabas).

Oleh itu, MTUC meminta badan kehakiman untuk menunda pembayaran faedah persaraan kepada Hakim Zaleha yang akan bersara beberapa minggu lagi.

Dalam kes ini MTUC memohon untuk mengekses laporan audit dan dokumen perjanjian konsesi air yang ditandatangani oleh Kerajaan Pusat, Kerajaan Negeri Selangor dan Syabas pada Disember 2004.

Zaleha yang mengetuai panel tiga hakim memutuskan bahawa responden tidak berhak untuk mengakses laporan audit dan dokumen perjanjian konsesi air tersebut.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berkata, langkah ini perlu kerana Zaleha didakwa melanggar aturan ‘Judges Code of Ethics 1994’ apabila gagal mengemukakan keputusan bertulis bagi kes yang didengar pada 25 Feb tahun lalu.

Klausa (f) kod etika itu menyatakan hakim tidak boleh: “dengan sengaja dan tanpa alasan munasabah menunda penyelesaian kes, membuat keputusan dan menulis alasan bagi keputusan yang dibuat.”

Charles berkata, Zaleha berjanji untuk mengemukakan keputusan bertulis, yang memihak kepada defendan, dalam masa sebulan.

“Kes ini tertunda di mahkamah rayuan selama 19 bulan.

“Adalah sangat penting bagi keputusan bertulis itu dikemukakan segera kerana Zaleha akan bersara dalam masa beberapa minggu lagi,” kata Charles pada sidang media di lobi Parlimen.

Charles yang juga koordinator NGO Gabungan Menentang Penswastaan Air (Coalition Against Water Privatisation) berkata tujuh surat dihantar setakat ini kepada Ketua Hakim Negara, Tun Ariffin Zakaria dan presiden mahkamah rayuan Tan Sri Md Raus Sharif, bagi meminta penyelesaian, tetapi belum ada maklum-balas diterima.

Beliau menegaskan bahawa kes tidak boleh difailkan di peringkat Mahkamah Persekutuan selagi keputusan bertulis oleh Zaleh belum dikemukakan.

Categories
SELANGOR

MB: Jumpa Persatuan Pekilang Untuk Baiki Infrastruktur

KLANG 10 SEPT: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan mengadakan perbincangan bersama persatuan pekilang-pekilang di negeri Selangor bulan depan bagi menambahbaik infrastruktur kilang-kilang terlibat.

Katanya, Kerajaan Negeri sentiasa berusaha meningkatkan kemudahan infrastruktur kilang terbabit seiring dengan bayaran premium yang dibayar pengusaha kilang kepada Kerajaan Negeri.

“Kita mempunyai rekod semua bayaran premium pekilang-pekilang selama empat tahun lalu dan Kerajaan Negeri berhasrat untuk mengembalikan bayaran tersebut dalam bentuk peningkatan infrastruktur,” katanya ketika merasmikan sambutan ulangtahun ke-12 Persatuan Pekilang-Pekilang Telok Gong(PPTG) di SJK(C) Kong Hoe, Klang malam tadi.

Turut hadir, Exco Pembangunan Kampung Baru dan Penyelesaian Kilang Haram, Ean Yong Hien Wah, Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago dan Presiden PPTG, Wong Soh Seng serta ahli-ahli PPTG.

Abdul Khalid berkata, Kerajaan Negeri sentiasa menyokong pekilang-pekilang di negeri ini dalam melakukan penyelidikan dan peningkatan kualiti supaya sentiasa mengeluarkan produk yang terbaik untuk bersaing di dalam dan luar negeri.

Katanya, perusahaan kecil dan sederhana menyumbang 27 peratus daripada sektor pembuatan pembuatan di negara ini selain turut menyumbang 40 peratus peluang pekerjaan di Malaysia.

“Perusahaan kecil dan sederhana merupakan tulang belakang kepada pergerakan peningkatan industri pembuatan di Malaysia dan Telok Gong merupakan contoh kepada keadaan tersebut,” katanya lagi.

Selain itu, matlamat PPTG yang ditubuhkan pada tahun 2001 ini adalah bagi memastikan operasi pengeluaran kilang-kilang berkeadaan baik, membantu mendapatkan sijil layak menduduki bangunan (CF) selain menyelesaikan proses pemutihan kilang-kilang haram di kawasan ini.

Categories
NASIONAL

DAP Serah Isu Nasional Kepada Pemimpin Pusat Parti

SHAH ALAM 1 OGOS : Ahli DAP diminta tidak membuat kenyataan berkenaan dasar secara persendirian tetapi menyerahkan isu nasional kepada pemimpin pusat parti.

Pengerusi DAP Selangor, Teresa Kok kesal atas terhadap sidang akhbar yang diadakan oleh beberapa ahli DAP Klang berkenaan dengan perlaksanaan Hudud dan isu-isu yang berkenaan dengan dasar parti.

“Saya ingin menyeru ahli-ahli DAP Klang elak membuat kenyataan umum dan serah kenyataan yang berkenaan dengan dasar parti kepada pemimpin pusat, khususnya Pengerusi, Setiausaha Agung dan lain-lain.

“Saya juga ingin menegaskan bahawa Jawatankuasa Perhubungan DAP Klang diambil-alih oleh Jawatankuasa DAP Selangor kerana Jawatankuasa Perhubungan DAP Klang telah dua kali gagal mencapai korum perwakilan yang diperlukan.

Keputusan pengambil-alihan ini dibuat dalam mesyuarat Jawatankuasa DAP Selangor pada 16 Januari 2012,” kata beliau dalam kenyataan media.

Menurut Teresa, Jawatankuasa Perhubungan DAP Klang sementara akan dipengerusikan oleh Adun Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah manakala Timbalan Pengerusi disandang Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago.

“Ini bermaksud jawatan yang diumumkan oleh ahli DAP Klang dalam sidang akhbar itu adalah tidak sah lagi,” katanya.

Krisis Air : MTUC Serah Memo Minta SYABAS Jawab Sebelum 7 Ogos

KUALA LUMPUR 26 JULAI : Syabas diberi tempoh sehingga 7 Ogos ini bagi menjawab persoalan berhubung krisis air yang didakwa berlaku di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Sekiranya tiada jawapan dikemukakan syarikat konsesi air itu sehingga tempoh dinyatakan maka adalah jelas ‘krisis air yang berlaku’ hanyalah tidak benar dan retorik politik bagi kepentingan pihak tertentu.

Perkara ini dinyatakan Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago ketika menghantar memorandum kepada Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) bersama Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Gabungan Menentang Penswastaan Air (CAWP) di ibu pejabat syarikat itu di sini pagi tadi.

Beliau berkata, jawapan perlu diberikan berhubung perkara itu bagi mengelak sebarang implikasi negatif kepada orang ramai di Lembah Klang yang bimbang akan krisis tersebut.

“Kita menyerahkan memorandum kepada Syabas dengan menyenaraikaan tujuh isu yang perlu dijawab sebelum kita dapat mengatakan bahawa krisis air ini sebenarnya berlaku. Ketujuh-tujuh isu disenaraikan di sini di mana MTUC dan CAWP mengadakan perbincangan dengan golongan pakar serta ahli akademik yang mahir dalam isu air di mana memberikan kita beberapa panduan.

“Saya minta Syabas memberikan segala jawapan dan maklumat berkaitan malah saya juga meminta kerjasama Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kini bertangungjawab dalam isu krisis air ini supaya mengarahkan Syabas melakukan sebelum 7 Ogos ini,” katanya dalam sidang media.

Antara yang terlibat dalam penyerahan memorandum itu adalah Senator Syed Shahir Syed Mohamud; Setiausaha Kehormat MTUC, Abdul Halim Mansor dan Presiden Aliran, Sarajun Hoda Abdul Hassan.

Ketujuh-tujuh isu itu ialah pengaliran air mentah dari empangan dan stesen pengepaman ke dalam loji rawatan, bacaan meter aliran keluar air yang telah dirawat ke loji rawatan masing-masing bagi tempoh yang sama, bacaan meter aliran keluar air yang telah dirawat ke sistem pengagihan kepada pengguna melalui Syabas, buku log dan meter tentukur yang disahkan, bil-bil elektrik dari 1 Januari hingga 15 Julai tahun ini, penggunaan kimia bagi tempoh yang sama dan bil pembayaran Puncak Niaga Sdn Bhd kepada Syabas untuk air yang dijual bagi tempoh yang sama.

“Saya fikir dalam kes air di Selangor ia bukan lagi penswastaan tetapi kaedah pelanunan (piratisation),” katanya dengan merujuk Syabas hanya memberikan keuntungan kepada pihak tertentu yang berkepentingan.

Memorandum sama akan turut diserahkan kepada Kerajaan Pusat dan Kerajaan Selangor selepas ini.

Categories
NASIONAL

Kenyataan Muhyiddin Bukti Selangor Tiada Krisis Air

SHAH ALAM, 23 JULAI – Kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa tidak ada keperluan catuan air dalam masa terdekat jelas menujukkan Selangor tidak mengalami krisis bekalan air sekaligus menafikan keperluan pembinaan Projek Loji Rawatan Air Langat 2 seperti yang didesak oleh kerajaan persekutuan.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago dalam reaksinya berkata, sehingga kini Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) masih gagal mengemukakan bukti kepada umum yang menyatakan keperluan catuan air dilakukan.

“Bila saya baca kenyataan TPM saya sedikit terkejut sebab dua tiga minggu lalu Syabas mengatakan kita (Selangor) berada dalam keadaan krisis air. Tiba-tiba Muhyiddin kata tidak perlu. Apakah mereka ingin mempermainkan rakyat?

“Ini bermaksud kalau tidak ada catuan air, maka tidak ada masalah air. Kalau tidak ada masalah air, mengapa mereka ingin membina Loji Rawatan Langat 2? Ini tidak masuk akal,” katanya ketika dihubungi TV Selangor.

Katanya, Kerajaan selangor sebelum ini telah berulang kali mengemukakan surat kepada kerajaan persekutuan untuk mengambil alih Syabas.

Jelas beliau lagi, keputusan yang dibuat hasil mesyuarat oleh Jawatankuasa khas kabinet bagi mengkaji isu air di Selangor jelas menunjukkan kerajaan persekutuan dan Syabas cuba untuk memperbodohkan rakyat agar Kerajaan Selangor bersetuju projek Loji Langat 2 diteruskan.

Katanya, tindakan terdesak ini antara lain bertujuan memastikan kroni Umno-BN mendapat kontrak pembinaan dan mencongak keuntungan berlipat ganda sekiranya usaha berkenaan diluluskan.

“Mereka cakap sahaja (berlakunya krisis air) untuk mendapatkan kontrak itu. Kenyataan muhyiddin merupakan satu kenyataan yang tidak bertanggungjawab dan hanya ingin memperbodohkan rakyat,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Charles : Jawatankuasa Air Pusat “Sia sia”, “Mengarut”, “Tidak Adil”

SHAH ALAM 22 JUL : Penubuhan Jawatankuasa Khas Kabinet untuk meneliti pengambil-alihan operasi Syabas oleh Selangor diselar oleh Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago kerana tidak melibatkan pemimpin Kerajaan Selangor.

Walhal jawatankuasa itu, yang diumumkan kerajaan pusat pada Julai 19, bertujuan menyelesaikan masalah bekalan dan pengedaran air terawat di Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur.

“Seorangpun wakil Kerajaan Negeri tidak dilantik untuk berbincang dan menyatakan pandangan dan pendirian kita dalam jawatankuasa tersebut.

“Jadi sudah tentulah rancangan penstrukturan semula air tidak akan dibincangkan. Melainkan apa yang mereka inginkan iaitu Projek Langat 2 demi mengkayakan kroni mereka sementara rakyat terus ditindas,” tegas Charles yang dihubungi.

Langat 2 merujuk kepada projek mega untuk membeli dan memindahkan air mentah dari Pahang ke Selangor yang akan menelan kos RM 6 bilion.

Kerajaan Negeri Selangor Pakatan Rakyat berpendirian projek itu membazirkan kerana negeri mempunyai bekalan air mentah yang cukup.

Mengulas lanjut, Charles mempersoalkan keberdayaan Kerajaan Pusat untuk menyelesaikan isu air kerana mereka didakwa tidak mementingkan rakyat.

“Kita memandang Kerajaan Pusat sebagai hanya mengikut rentak dan kemahuan Syabas (Syarikat Bekalan Air Selangor) sehinggakan rakyat menjadi mangsa dengan pelan catuan air Syabas yang tidak relevan.

“Sementara rakyat ditekan, Kerajaan Pusat pula masih gagal melaksanakan suatu pelan tindakan yang meyakinkan melainkan penubuhan jawatankuasa syok sendiri ini,” tambahnya.

Penubuhan Jawatankuasa Khas tersebut diumumkan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), , Datuk Seri Peter Chin Fah Kui beberapa hari lalu dan akan dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pengumuman jawatankuasa itu selepas Kerajaan Selangor menyatakan hasrat untuk mengambil alih atau ?step in? operasi Syabas, syarikat swasta yang dipertanggungjawabkan untuk mengurus air terawat dan pengederan air kepada pengguna.

Proses step in ini dilakukan kerana Syabas gagal melaksanakan tugasnya sehingga berlaku ganguan bekalan air terawat di beberapa kawasan di selatan Selangor.

Jawatankuasa pusat itu turut dianggotai Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Noh Omar serta Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Idris Jala.

Tiada wakil Kerajaan Negeri Selangor dilantik dalam jawatankuasa itu namun Peter dalam satu kenyataan menyebut pihaknya akan memanggil Kerajaan Negeri untuk memberi pandangan ?jika diperlukan?.

Categories
NASIONAL

‘Janji Ditepati’ – Kempen UMNO BN

 

SHAH ALAM, 19 JULAI : Tema ‘Janji Ditepati’ yang dijadikan tema sambutan kemerdekaan ke 55 tahun ini dianggap tidak wajar kerana membawa pendekatan propoganda politik Umno-BN di saat negara menghadapi Pilihanraya Umum ke-13.

Perkara ini dilontarkan oleh Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago berhubung tindakan Kerajaan Pemerintah yang menjadikan slogan tersebut sebagai masej politik.

“Sambutan Hari Kemerdekaan adalah untuk semua rakyat Malaysia, malangnya Umno-BN menggunakan ruang ini untuk melaung-laungkan slogan politik mereka,”jelasnya.

Tema ‘Janji Ditepati’ mula diangkat oleh Kerajaan Pusat dalam usaha kempen mereka menerusi program Jelajah pemimpin BN keseluruh negara.

Mengulas lanjut, Charles berkata Kerajaan Pusat seakan terdesak sehingga menggunakan ruang pada Hari Kemerdekaan nanti untuk terus melebarkan kempen mereka.

“Ini akan membangkitkan kemarahan rakyat bagaimana satu parti politik menggunakan propaganda politik mereka sendiri untuk tujuan berkempen.

“Sewajarnya satu tema yang lebih bersikap bebas (politik) untuk diangkat sebagai tema hari Kemerdekaan yang mana ia boleh diterima oleh semua rakyat di negara ini,”ujarnya ketika dihubungi TVSelangor.

Pada penghujung Jun lalu, Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatimmengumumkan ‘Janji Ditepati’ sebagai tema Hari Kemerdekaan tahun ini.

Rais ketika itu juga menggesa agar semua pihak mengenepikan perbezaan politik dan menjayakan sambutan Hari Kemerdekaan yang ke-55 nanti.

Categories
NASIONAL SELANGOR

MB : Air Di Selangor Sebenarnya Cukup

 

PETALING JAYA 18 JULAI : Dakwaan kononnya penduduk Selangor bakal menghadapi krisis dan catuan air merupakan satu helah bagi memaksa Kerajaan Selangor bersetuju melaksanakan Projek Loji Rawatan Air Langat 2.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menegaskan, Kerajaan Negeri tetap mahu mengambil alih operasi syarikat Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) supaya rakyat Selangor terus mendapat air percuma.

Apa yang penting katanya, sistem pengurusan sumber dan bekalan air perlu dipertingkatkan agar ia berjalan lancar memandangkan Malaysia mempunyai taburan hujan yang padat setiap tahun.

“Isu air bukan krisis. Mereka hanya ingin memenangi hati masyarakat dimana ketiadaan air maka kita mesti bersetuju untuk menggunakan air Pahang dan melaksanakan pelan rawatan air iaitu Loji Rawatan Air Langat 2,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Makan Malam ‘Solidariti dan Sokongan Tony Pua lawan Syabas’ di Dewan Sivik MBPJ di sini semalam.

Minggu lalu, Syabas bercadang melaksanakan catuan air di Kuala Lumpur, Hulu Langat dan Klang kerana mendakwa kapasiti pengeluaran air terawat daripada Loji Rawatan Air tidak mampu menampung permintaan di Lembah Klang.

Namun, permintaan Syabas ditentang oleh Kerajaan Selangor yang mendakwa kekurangan bekalan air berpunca daripada kelemahan Syabas mengurus operasi rawatan dan pengedaran air.

Malah Exco Selangor, Ronnie Liu dan Dr Xavier Jayakumar mengeluarkan bukti yang bekalan air mentah di tujuh-tujuh empangan Selangor berada pada paras yang tinggi sekaligus menyangkal persepsi tidak cukup air.

Abdul Khalid juga mengkritik tindakan dolak dalik Umno-BN Selangor berkenaan pemberian 20 metre padu air percuma kepada pengguna.

Beliau berkata dahulunya, Umno-BN mendakwa inisiatif ini akan memufliskan negeri.

?Namun Pakatan Rakyat berjaya menangkis tomahan berkenaan, malah meningkatkan rizab simpanan kewangan negeri kepada RM2 billion.?

Di dalam satu kenyataan baru baru ini, Timbalan Pengerusi Umno Selangor Datuk Sri Noh Omar berkata Umno-BN tidak mempunyai masalah untuk meneruskan pemberian air percuma di Selangor jika berjaya merampas semula Selangor.

Sehingga April 2012, Kerajaan Selangor telah membelanjakan lebih RM 525 Juta untuk pemberian air percuma yang mula dilancarkan pada Ogos 2008 dibawah program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).

Mengenai usaha mengambil alih pengurusan air pula, Abdul Khalid berkata Selangor pernah menawarkan RM 9.3 billion kepada syarikat konsensi seperti Syabas, Puncak Niaga dan Abbas tetapi tawaran itu ditolak oleh mereka.

Mereka tolak tawaran tersebut dan mahukan lagi RM 2 billion. Kalau saya bayar, anda semua (rakyat) turut kena bayar jumlah berkenaan.

“Saya beritahu mereka, kalau anda (pihak konesesi) rasakan harga berkenaan tidak adil kepada ahli perniagaan tidak mengapa. Dasar penswastaan air ini perlu dibatalkan dan semua orang akan memperoleh manfaat daripadanya,” katanya.

Sementara itu, Majlis Makan Malam “Solidariti dan Sokongan Tony Pua lwn Syabas”  berjaya mengumpul RM 310,000 bagi membantu Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu membayar saman fitnah terhadap Syabas.

Bulan lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan, Tony bersalah dan perlu membayar saman sebanyak RM 200,000 kepada Syabas berhubung artikel bertajuk “Tony Pua: Kerajaan Negeri Perlu Kawal Hak Pengurusan Air Bagi Memastikan Tarif Air Tidak Mengalami Kenaikan.”

Sejumlah RM150,000 berjaya dikutip hasil sumbangan orang ramai melalui kempen internet di Facebook dan Twitter bertajuk ‘RM1 untuk hak air’ dalam masa seminggu.

Menurut Tony, RM 200,000 akan digunakan untuk membayar saman kes berkenaan manakala bakinya akan digunakan DAP bagi menghadapi PRU-13.

Turut hadir sama Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Pengerusi DAP Selangor, Teresa Kok, Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago dan Ahli Parlimen Pucong, Gobind Singh.