Categories
NASIONAL SELANGOR

MB Jumpa Pembeli Perumahan Terbengkalai Selepas DNS

mb DUN pc 3 jul 01

SHAH ALAM 3 JUL : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyatakan kesediaannya untuk berjumpa dengan penduduk Blok E PJS 1 sejurus selesai persidangan Dewan Undangan Negeri yang dijangka tamat pada minggu hadapan.

Abdul Khalid akan memberikan penerangan penuh berhubung isu perumahan terbengkalai yang melibatkan penduduk kawasan itu dan kaitannya dengan sebuah keputusan mahkamah.

“Saya akan berjumpa dengan mereka untuk menerangkan kemajuan yang kita telah buat.

“Perkara ini telah ditahan oleh pemaju perumahan di mahkamah. Jadi saya terangkan kepada mereka apa keputusan mahkamah tentang perkara ini,” jelas Abdul Khalid.

Pagi tadi, kira-kira 30 penduduk Blok E PJS 1 berdemonstrasi di hadapan pintu utama bangunan SUK bagi menuntut Abdul Khalid menunaikan janji Kerajaan Negeri berhubung masalah perumahan mereka yang berlarutan sejak lapan tahun lalu.

Pembeli-pembeli tersebut merupakan bekas peneroka bandar dari kampung berhampiran yang terlibat dengan projek penempatan semula setinggan di sekitar Petaling Jaya.

Seramai 276 keluarga telah menerima tawaran rumah kos rendah di Blok E pada 2003. Seramai 262 penduduk telah menandatangani perjanjian jual beli dengan pemaju, Peter Brickworks.

Namun kegagalan pemaju menyiapkan rumah yang dijanjikan menyebabkan pembeli terpaksa menanggung beban hutang dengan pihak bank.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Bekerjasama Dengan TNB Atasi Premis Judi

Teng Chang Khim

SHAH ALAM 3 JULAI : Kerajaan Negeri akan memikirkan cara holistik bagi memastikan keberkesanan dalam mengatasi masalah kebanjiran premis judi di sekitar negeri.

Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Datuk Teng Chang Khim berkata setakat ini terdapat beberapa cara untuk menangani isu itu antaranya membuat permohonan kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk memotong bekalan elektrik premis terbabit.

“Setakat ini, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menjalankan sebanyak 148 pemeriksaan dan mengeluarkan 77 saman serta melakukan 49 penyitaan.

“Sehingga kini, terdapat 929 premis judi dikenalpasti wujud dinegeri ini. Kita juga sudah membuat 70 permohonan kepada TNB dalam tempoh lima bukan pertama ini,” katanya yang menjawab pertanyaan Dr Rani Osman (Pas-Meru).

Teng menambah walaupun pihak PBT sering melakukan pemeriksaan namun pemilik premis yang lain akan membuka premis judi itu.

“Buat pemeriksaan satu hari, tutup satu, buka dua lagi esok. Jadi kita kena fikirkan satu cara yang lebih holistik bagi memastikan keberkesanan dalam mengatasi masalah itu,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Yaakob Sapari mencadangkan supaya Kerajaan Negeri memberi ganjaran kepada penduduk yang memberi maklumat mengenai kewujudan premis judi terbabit.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Dr Idris : Pembangunan desa perlu rangkum tiga aspek utama

Ijok DNS

SHAH ALAM, 3 JULAI : Kerajaan Negeri disarankan supaya mengaplikasikan tiga aspek utama dalam usaha memastikan pembangunan di desa adalah seimbang dengan pembangunan di kawasan bandar.

Tiga aspek yang dimaksudkan ialah kesejahteraan, selamat dan sihat, kata Adun Ijok, Dr Idris Ahmad.

Jelasnya, untuk mencapai masyarakat yang sejahtera, mutu pendidikan anak-anak di desa seharusnya  ditingkatkan dengan menambah lebih banyak pusat tuisyen yang mengkhusukan tiga subjek utama iaitu bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.

Di bawah aspek sama katanya, Kerajaan Negeri juga perlu menggalakkan pelaburan ke desa yang berasaskan pertanian bagi meningkatkan pendapatan dan memberi peluang pekerjaan kepada warga desa tanpa perlu berhijrah ke bandar.

“Untuk sektor pendidikan, saya syorkan exco pendidikan mengambil perhatian dengan menubuhkan lebih banyak pusat tuisyen untuk semua peringkat (darjah satu hingga tingkatan lima) supaya mereka mendapat persediaan awal sebelum menghadapi peperiksaan.

“Kerajaan Negeri juga sepatutnya menggalakkan pelaburan ke desa iaitu pelaburan industri yang berasaskan pertanian kerana banyak tanah terbiar di desa yang tidak digunakan,” katanya semasa membahaskan titah DYMM Sultan Selangor dalam sesi Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini hari ini.

Sementara itu, di bawah aspek kesihatan jelasnya, Kerajaan Negeri perlu mempertimbangkan untuk membina hospital di kawasan desa bagi memastikan pesakit tidak perlu bergerak jauh untuk mendapatkan rawatan.

Meskipun pembinaan hospital tertakluk di bawah perancangan Kerajaan Pusat, namun tegasnya, Kerajaan Negeri perlu mengambil inisiatif awal untuk membina hospital yang boleh memberi rawatan kepada pesakit.

“Terdapat ramai pesakit kronik di kawasan desa yang tidak mampu untuk mendapatkan rawatan di hospital berikutan lokasi hospital itu terlalu jauh dari kediaman mereka.

“Sebagai contoh di Kuala Selangor, pesakit perlu merujuk ke Hospital Sungai Buloh atau Tanjung Karang untuk mendapatkan rawatan sedangkan kondisi mereka sangat kritikal pada waktu itu.

“Kerajaan Negeri tidak perlu membina hospital canggih, cuma bina yang asas sahaja untuk memberi rawatan kepada pesakit,” katanya lagi.

Tambahnya, aspek ketiga iaitu selamat adalah merujuk kepada pemasangan lampu jalan di sepanjang laluan masuk kawasan kampung untuk mengurangkan masalah jenayah.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Kerajaan Selangor Beri Bantuan Tanpa Mengira Fahaman Politik

rodziah DUN soal jawab 01

SHAH ALAM 2 JULAI : Kerajaan Negeri mengingatkan semua pegawai kerajaan termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) supaya bersikap professional ketika bertugas dengan mengutamakan kepentingan masyarakat di Selangor tanpa pilih kasih.

Exco Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita, Rodziah Ismail berkata, semua pegawai dan kakitangan diarahkan supaya bersikap terbuka dan penuh tanggungjawab dalam melaksanakan tugas tidak kira fahaman politik.

“Semua pegawai JKM sentiasa diingatkan untuk meningkatkan tahap professionalisma mereka dan meletakkan penerima yang benar-benar memerlukan sebagai asas keutamaan tanpa mengambilkira latar belakang politik.

“Sehubungan itu jika terdapat lagi mana-mana pegawai yang masih melakukan perkara tersebut, sila laporkan nama mereka untuk diambil tindakan selanjutnya.?

Rodziah berkata demikian ketika menjawab soalan Adun Dusun Tua, Razaly Hassan di dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini hari ini.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Penstrukturan Semula Air Bakal Selesai Dua Bulan Lagi

MB Melawat Loji Air Kuala Selangor 01

SHAH ALAM 2 JUL : Kerajaan Negeri menjangkakan bahawa rundingan pengurusan air dengan Kerajaan Persekutuan dapat diselesaikan dalam tempoh dua bulan lagi.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata pihaknya juga telah menyediakan surat perjanjian antara Kerajaan Negeri dengan Kerajaan Pusat berhubung perundingan tersebut.

“Ianya disediakan berdasarkan tawaran-tawaran yang perlu diterima selaras dengan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655).

“Kita juga optimis dengan perkara ini berikutan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah menyatakan persetujuan untuk proses penyusunan semula pengurusan air di Selangor,” kata Abdul Khalid di dalam Dewan Negeri Selangor hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Adun Meru, Dr. Abdul Rani Osman berhubung perkembangan pengurusan air Selangor.

Abdul Khalid juga menjelaskan, sebagai persediaan rapi, Kerajaan Negeri juga menubuhkan satu pasukan pengurusan professional yang berkemampuan mengendalikan pengurusan air di Selangor sekiranya proses ambil alih berjaya.

“Pasukan pengurusan ini terdiri daripada eksekutif dari luar negara yang berkelayakan.?

Proses penstrukturan semula industri air dimulakan oleh Kerajaan Negeri pada tahun lepas sebagai usaha mengambilalih operasi bekalan, rawatan dan pengedaran daripada empat syarikat swasta.

Tujuan penstrukuturan semula adalah supaya rakyat mendapat bekalan air terawat yang efisen dan pada harga yang berpatutan.

Kerajaan Negeri telah menawarkan RM 9.65 bilion untuk mengambilalih empat syarikat tersebut dan setakat ini mereka telah memberi respons positif terhadap tawaran itu.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Penipuan PRU-13: Tubuh Suruhanjaya Siasatan Diraja Sapina TV3, Utusan

azmin pc kongres ke 9 PKR 06

SHAH ALAM, 1 JULAI: Adun Bukit Antarabangsa, Azmin Mohd Ali hari ini memberitahu dalam persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS), menurut Akta Siasatan 1950,  Kerajaan Negeri mempunyai kuasa bagi menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja seperti mana kuasa yang dimiliki Kerajaan Persekutuan.

Justeru, Azmin mendesak  Kerajaan Negeri mengambil langkah menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja bagi menyiasat kecurangan dan penipuan yang belaku di Selangor dalam proses Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lalu.

“Ini kerana penyelewengan pilihan raya adalah hal yang melibatkan kepentingan awam dan perkara ini termaktub di bawah akta berkenaan.

“Selaras dengan Seksyen 2(1)(d) Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 yang memberi kuasa kepada sebuah suruhanjaya siasatan menjalankan siasatan yang berfaedah bagi kebajikan awam,” kata Azmin.

Menurut Azmin lagi Seksyen 21 Akta Suruhanjaya Siasatan ini turut memberi perlindungan kepada saksi- saksi yang bersedia untuk memberikan keterangan termasuk di kalangan pegawai Perkhidmatan Awam dan juga SPR.

Menurutnya lagi, suruhanjaya itu juga diberikan kuasa undang-undang untuk mengeluarkan sapina terhadap mana-mana individu yang difikirkan dapat membantu siasatan termasuk Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR dan waran tangkap boleh dikeluarkan sekiranya pihak terbabit ingkar.

pilihanraya

“Suruhanjaya ini boleh mengeluarkan sapina terhadap media seperti Utusan Malaysia dan TV3 yang digunakan sepenuhnya oleh Umno untuk memaparkan berita-berita fitnah dan pembohongan terhadap pentadbiran Kerajaan Negeri seperti isu sampah, isu air bersih dan juga program-program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES),” ujar beliau lagi.

Azmin menambah lagi, suruhanjaya ini akan berfungsi  mencari jawapan melalui keterangan bersumpah daripada saksi-saksi yang boleh membantu siasatan yang menyeluruh terhadap isu kecurangan dan penipuan dalam proses pilihan raya bagi melindungi kepentingan awam dan kedaulatan negeri.

“Saya menyeru rakyat Negeri Selangor khususnya para pengundi untuk bersedia tampil sebagai saksi dalam prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja ini dengan mengemukakan keterangan dan bukti-bukti yang kukuh kerana mereka akan diberikan jaminan perlindungan mengikut undang-undang.

“Negeri Selangor harus memimpin usaha untuk membersihkan sistem pilihan raya di Malaysia,” kata beliau lagi.

Sultan Selangor Saran Tingkat Pembangunan Desa

sultan-titah

SHAH ALAM, 28 JUN : Kerajaan Negeri disaran menekankan pembangunan di kawasan desa bagi meningkatkan pendapatan penduduk kampung selain mewujudkan nilai keempunyaan pada setiap program yang akan diperkenalkan.

Demikian saranan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam titah sempena Majlis Perasmian Persidangan Penggal Pertama Dewan Negeri Selangor ke-13 di sini hari ini.

Titah baginda, pembangunan desa itu mestilah berlandaskan konsep pembangunan yang bersepadu dan mampan dengan penglibatan agensi kerajaan bagi menyelia pelaksanaan projek seterusnya membantu merangka bantuan kewangan yang diperlukan.

Baginda turut menasihatkan Kerajaan Negeri supaya merintis jalan bagi menggalakkan kemajuan di daerah atau kampung menggunakan aset serta tenaga penduduk yang tinggal di kawasan setempat.

“Ini bermakna, apabila pembangunan berkembang ke daerah-daerah luar bandar, anak-anak muda tidak perlu lagi mencari pekerjaan di bandar.

“Keadaan ini akan melegakan tekanan terhadap perbandaran, kos kehidupan, sistem pengangkutan dan prasarana bandar yang lain,” titah baginda.

Baginda bertitah, tumpuan juga harus diberikan kepada usaha untuk meningkatkan mutu dan produktiviti pertanian termasuk tanaman makanan, perikanan dan penternakan.

Titah baginda, peningkatan produktiviti ini diyakini akan dapat menambah pengeluaran hasil pertanian sekali gus mendorong kepada penurunan harga.

“Beta berharap sektor pertanian akan terus diperkasakan dengan konsep pertanian moden walaupun sektor ini hanya menyumbang pertumbuhan sebanyak satu perpuluhan dua (1.2%) pada tahun 2012 dan penyumbang terkecil Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri.

“Namun beta percaya fungsi dan peranan sektor pertanian di Selangor amat penting sebagai penyedia sumber makanan dan sumber bahan mentah kepada perusahaan asas tani serta sumber pendapatan golongan petani khususnya di kawasan luar bandar,” titah baginda.

Categories
SELANGOR

MB : Komited Bangun Kominiti Perniagaan Dan Perindustrian

mb-majlis

SHAH ALAM 28 JUN : Kerajaan Negeri Selangor komited berusaha mempertingkatkan perkembangan perniagaan dan perindustrian di negeri ini bagi terus merangsang kemajuan ekonomi.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, bagi memajukan negeri ke arah yang lebih makmur maka komuniti perniagaan dan perindustrian perlu diberi perhatian agar mereka dapat menjalankan aktiviti ekonomi mereka yang akan menghasilkan keuntungan.

Katanya, kejayaan negeri bergantung kepada kemajuan yang dihasilkan oleh komuniti perniagaan dan perindustrian di negeri ini.

Justeru, Kerajaan Negeri berusaha mempertingkatkan kerjasama dan mutu perkhidmatan agar dapat menarik lebih banyak pelaburan asing melalui pelbagai insentif dan inisiatif yang akan dilaksanakan,

Abdul Khalid berkata demikian ketika Majlis Makan Malam Persatuan Pengilang-Pengilang Selangor 2013 di Hotel Concorde di sini semalam.

Beliau juga menyarankan kepada pihak perniagaan dan perindustrian agar pentingnya membangunkan sumber tenaga manusia yang berkualiti dan kepentingan melaksanakan inovasi.

Katanya, pembangunan jenama yang dapat berkualiti juga dapat mempertingkatkan imej produk yang dihasilkan agar dapat dipasarkan di luar negara.

Ujarnya, komuniti perniagaan dan perindustrian juga perlu bersedia dengan cabaran global khususnya suasana ekonomi di China dan Eropah yang menunjukkan ke arah kemalapan mutakhir ini.

Beliau menyarankan agar mereka berani meneroka pasaran produk halal yang mempunyai potensi besar.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Kerajaan Negeri Sokong JAIS Tutup Sementara Sekolah Agama

Sekolah Jerebu

SHAH ALAM 26 JUN : Kerajaan Negeri menyokong penuh cadangan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) untuk menutup sementara sekolah agama kerana jerebu bagi kawasan yang mengalami Indeks Pencemaran Udara (IPU) melebihi bacaan 300.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, semua Sekolah Agama Negeri, sekolah yang menerima bantuan (KAFA Intergrasi) dan sekolah persendirian yang berdaftar di bawah JAIS secara automatik wajib ditutup untuk sementara apabila IPU melebihi 300.

Ujar Abdul Khalid, ia seperti yang diarahkan Kementerian Pelajaran Malaysia.

Bagi kawasan IPU antara 250 hingga 300, pihak pentadbiran sekolah yang berkenaan perlu memaklumkan kepada jabatan tentang penutupan sekolah.

“Sekolah di kawasan IPU di bawah 250 masih boleh dibuka dengan mengambil langkah seperti memakai topeng muka, menghadkan aktiviti luar kelas dan segera merujuk ke hospital jika pelajar atau guru mengalami gangguan kesihatan.

“Semua sekolah perlu mematuhi panduan yang dikeluarkan dari semasa ke semasa oleh Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar serta Kementerian Pelajaran Malaysia untuk menutup sekolah atau memberi cuti kepada guru dan murid akibat jerebu,” kata Abdul Khalid dalam satu kenyataan media.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Undi Bersurat : Pelantikan Speaker Dipertikai – FOKUS

Sinopsis

FOKUS Untuk 24062013

Saksikan secara langsung “FOKUS” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT setiap jam 2.00 Petang dan 6.00 Petang. Pelbagai berita dan maklumat terkini negeri dan nasional yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Pimpinan Pakatan Rakyat hari ini mempertikaikan proses pengundian Yang di-Pertua Speaker Dewan Rakyat yang menggunakan kaedah ‘undi bersurat’ yang didakwa tidak memberi kebebasan kepada anggota dewan untuk membuat pilihan.

2. Kerajaan Negeri akan mengkaji keberkesanan kontraktor pembersihan swasta yang dilantik Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor bagi mempastikan kecekapan dalam melaksanakan kerja diberi perhatian serius.

3. Pengguna Lebuhraya Utara-Selatan dan Lebuhraya Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) dinasihat mengamalkan langkah keselamatan berikutan jerebu.

Categories
NASIONAL SELANGOR

MBSA Diarah Segera Selesaikan Masalah Penduduk Pangsapuri Indah Ria

mb khalid ibrahim kongres ke 9 PKR 04

SUBANG JAYA 16 JUN : Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) diarahkan berbincang bersama pemaju yang terlibat bagi menyelesaikan masalah keretakan di Pangsapuri Indah Ria di Seksyen 22 Shah Alam.

Menurut Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, MBSA sedang mengkaji masalah itu dan  akan mengadakan perbincangan sehingga masalah membabitkan 1,000 penduduk itu dapat diselesaikan dengan kadar segera.

Beliau berkata, sekiranya masalah membelenggu penduduk pangsapuri itu gagal diselesaikan, MBSA akan diminta membuat kerja baik pulih terlebih dahulu.

Katanya, sekiranya perbincangan itu tidak mendatangkan hasil, Kerajaan Negeri akan mengarahkan MBSA untuk mendahulukan kerja-kerja membaiki kerosakan di pangsapuri tersebut.

“MBSA telah pun memberi penerangan kepada Kerajaan Negeri tempoh hari berhubung perkara ini dan kita difahamkan bahawa terdapat perselisihan antara pemaju dan penghuni di pangsapuri tersebut pada masa kini.

“Kita  meminta MBSA untuk mengadakan perbincangan bersama pihak pemaju dan penduduk di mana jika masalah ini tidak selesai, kita akan arahkan pihak Majlis untuk dahulukan kerja-kerja membaiki dan menuntut bayarannya daripada pemaju.

“Kalau pemaju enggan, kita akan bawa kes ini ke mahkamah,” tegasnya.

Penduduk pangsapuri berkenaan sebelum ini melahirkan kebimbangan dan meminta kerjasama Kerajaan Negeri membantu menyelesaikan masalah tanah mereka yang dikhuatiri menjejaskan struktur kediaman dihuni sejak setahun lalu.

Pengerusi Badan Pengurusan Bersama (JMB) pangsapuri tersebut, Ariffuniza Koraini, berkata, pihaknya beberapa kali menyuarakan perkara tersebut kepada MBSA namun sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil.

Penduduk yang menyerahkan memorandum kepada Abdul Khalid sebelum ini mendakwa sejak Mei tahun lalu, tiada tindakan efektif yang diambil, pihak diajukan saling menuding jari dan tidak mahu bertanggungjawab.

Categories
SELANGOR

Kerajaan Selangor Bantu Keluarga PI Bala

PI balasubramaniam rodziah sivarasa 03

PI balasubramaniam 02RAWANG 13 JUN : Keluarga penyiasat persendirian, mendiang P Balasubramaniam, 53, mendapat pembelaan Kerajaan Negeri hari ini yang menghulurkan sumbangan RM 10,000 bagi meringankan beban mereka.

Sumbangan yang disampaikan Exco Hal Ehwal Wanita dan Kebajikan, Rodziah Ismail adalah bantuan awal bagi keluarga tersebut manakala Kerajaan Negeri akan membantu balu Balasubramaniam untuk menjana pendapatan sendiri.

“Kehadiran saya mewakili Kerajaan Negeri bukan setakat memberi sumbangan. (Kami mahu) selesaikan segala masalah yang dihadapi mereka.

“InsyaAllah melalui beberapa skim diperkenalkan Kerajaan Negeri, kita boleh lihat perkara yang boleh kita bantu keluarga ini secara terus.

“Kita harap semua pihak yang melihat situasi ini terus memberi sokongan kepada mereka sekeluarga supaya kebajikan mereka tidak diabaikan,” katanya.

Rodziah menyampaikan sumbangan itu kepada balu mendiang, A Santanilselvi, 46, di rumahnya di Taman Pelangi di sini hari ini.

Antara perkara yang diberikan perhatian adalah soal pendidikan tiga anak mendiang, Krishen, 16; Menaga, 15; dan Reeshi, 11, yang telah menuntut di India selama lima tahun.

“Mereka berada di India lima tahun maka banyak yang tidak dapat diikuti di dalam sistem pendidikan (Malaysia). Kita perlu tengok bagaimana ianya dapat diselesaikan dengan segera.

“Kita akan berbincang dengan Pejabat Pendidkan Daerah mengenai perkara ini selain membantu isterinya ke arah menjana pendapatan menerusi usaha yang ingin dijalankannya,” ujarnya.

Balasubramaniam atau P I Bala, meninggal dunia pada 15 Mac lalu akibat masalah jantung. Beliau antara personaliti penting di dalam kontroversi pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Balasubramaniam sebelum ini berkhidmat dengan Abdul Razak Baginda, pegawai khas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang didakwa oleh mahkamah dalam kes pembunuhan Altantuya.

Abdul Razak dibebaskan, manakala dua anggota polis didapati bersalah dalam pembunuhan tersebut.

Pada Julai 2008, Balasubramaniam mendakwa dalam satu akuan bersumpah (SD1) bahawa pembunuhan Altantuya melibatkan menteri tertinggi di dalam pentadbiran Najib.

Bagaimanapun Balasubramaniam membuat akuan bersumpah kedua (SD2) yang menafikan dakwaan di dalam SD1.

Selepas itu, beliau menghilangkan diri ke luar negara dan hanya pulang semula ke Malaysia pada 24 Februari lepas.

Dalam satu ceramahnya selepas beliau kembali dan sebelum meninggal dunia, Balasubramaniam mendakwa pendedahan yang dibuat di dalam SD1 adalah benar.