Categories
NASIONAL SELANGOR

Azmin: Tiada sebab nak singkir Khalid Ibrahim, Khalid kekal MB -FOKUS

Sinopsis

FOKUS Untuk 28102013

Saksikan secara langsung “FOKUS” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT . Pelbagai berita dan maklumat terkini negeri dan nasional yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali menegaskan tiada sebab Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) Selangor mahu menggantikan Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim dari meneruskan jawatannya bagi penggal kedua.

2. Majlis Perbandaran Klang (MPK) menyita 37,564 iklan haram termasuk 9,064 iklan ‘ah long’ di Bulatan Berkeley dan jalan utama lain, di sini.

3.Pemberian Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) masih tidak mencukupi untuk mengimbangi pengurangan subsidi seperti yang dibentangkan Kerajaan Pusat, pada 25 Oktober lalu.

Categories
NASIONAL

BR1M masih belum cukup untuk tampung pengurangan subsidi

BR1M-Anwar

KUALA LUMPUR 28 OKT : Pemberian Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) masih tidak mencukupi untuk mengimbangi pengurangan subsidi seperti yang dibentangkan Kerajaan Pusat, pada 25 Oktober lalu.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata dengan potongan subsidi RM7.29 bilion, ia jauh melebihi kenaikan bayaran BR1M untuk 2014.

Katanya, secara kesimpulannya perbezaan sebanyak RM5.6 bilion yang dikutip kerajaan masih kekal dibiayai penerima BR1M kerana pengurangan subsidi, walaupun jumlah bantuan itu ditambah.

“Jumlah penerima BR1M yang berpendapatan kurang RM3,000 sebulan adalah 4.8 juta isi rumah, manakala angka Jabatan Perangkaan Negara adalah pada 2.56 juta isi rumah.

“Sekiranya jumlah sebenar isi rumah yang layak adalah benar lebih rendah, adakah ini satu lagi bentuk kebocoran yang bakal direstui Barisan Nasional (BN),” soalnya dalam sesi perbahasan, di Parlimen, di sini hari ini.

Sejumlah RM7.29 bilion subsidi dikurangkan untuk 2014 menjadikan jumlah sebenar RM39,408 bilion berbanding 2013 iaitu RM46.698 bilion dan penambahan bayaran BR1M dianggarkan bertambah RM1.7 bilion.

Anwar turut mempersoal tindakan kerajaan pusat yang masih belum menunaikan janji berhubung pemberian BR1M pada Pilihan Raya Umum ke-13 lalu.

“Kerajaan menjanjikan kenaikan BR1M untuk setiap isi rumah daripada RM500 kepada RM1200, tetapi hingga kini hanya RM650 diberi. Begitu juga dengan bantuan BR1M kepada warga bujang yang dijanjikan bakal diberi kenaikan daripada RM250 kepada RM600 dan setakat ini hanya RM300 diberi, inilah Barisan Nasional (BN) ‘janji ditepati’,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar menyifatkan perbahasan belanjawan 2014 yang dibahasnya hari ini sebagai ‘bercakap dengan orang pekak’ kerana tidak dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Menteri Kewangan.

“Bila beliau (Najib) bentang belanjawan, saya hadir, saya dengar walaupun telinga ini sakit, tetapi bila sesi perbahasan belanjawan, beliau tidak hadir. Menteri Kewangan tiada, serupa saya bercakap dengan orang pekak dan inilah demokrasi yang diamalkan BN,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL

Abdul Khalid : Tubuhkan suruhanjaya bagi tingkatkan keupayaan kerajaan

mb khalid ibrahim kongres ke 9 PKR 04

KUALA LUMPUR 25 OKT : Kerajaan Pusat perlu menubuhkan satu suruhanjaya bebas untuk melaksanakan kajian agar kos pentadbiran dan birokrasi dalam kerajaan dapat dikurangkan.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, ia perlu kerana didapati setiap tahun terdapat kenaikan perbelanjaan kerajaan dan pada masa yang sama tidak menunjukkan hasil peningkatan.

“Belanjawan ini masih menunjukkan bahawa cara dan strategi bajet Kerajaan BN masih berada di tahap yang lama.

“Oleh sebab itu kita perlu mengkaji semula bagaimana bukan sahaja hasil dapat ditingkatkan tapi kos dan perbelanjaan dapat disekat daripada banyak meningkat,” kata Abdul Khalid yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak di Parlimen di sini.

Abdul Khalid berkata, beliau menentang pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dilaksanakan sehingga pendapatan rakyat dipertingkatkan dan berlakunya pengagihan kekayaan negara dengan adil.

“Jadi kalau kos sudah lima peratus dapatan kerajaan hanya bertambah satu peratus, Kalaupun kita nak laksanakan, kita punya kadar mesti untuk meningkatkan pendapatan bukan untuk pengurusan GST,” kata Abdul Khalid.

EZY

Categories
NASIONAL

Bajet 2014 gagal perbetul ketirisan berbilion wang rakyat

anwar ibrahim parliament 2

KUALA LUMPUR 25 OKT : Bajet 2014 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak gagal untuk memperbetulkan ketirisan puluhan bilion wang rakyat daripada berlaku, tegas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata, pengumuman Kerajaan Pusat untuk melaksanakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada bermula 1 April 2015 pada kadar 6 peratus hanya akan menambahkan bebanan rakyat.

“Tidak ada pertimbangan untuk memperbetulkan soal kebocoran, ketirisan puluhan bilion, tidak ada soal pembaziran hendak dibetulkan dan juga memperbaiki pengurusan Kerajaan.

“Yang terpaksa mereka lakukan kerana kedudukan fisikal yang lemah ialah percukaian. GST hanya akan membebankan rakyat bawahan dan akan menambahkan pelebaran jurang kaya dan miskin.

“Keduanya kenaikan harga gula, dengan hujah yang cukup lemah dan remeh sekali,” kata Anwar ketika ditemui di luar Dewan Rakyat hari ini.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng pula berkata, pelaksanaan GST hanya menyebabkan rakyat yang tidak pernah membayar cukai akan terpaksa membayar cukai.

“Di Malaysia hanya enam peratus penduduk yang bayar cukai. Di Malaysia hanya 15 peratus daripada pekerja yang bayar cukai. Sekarang semua kena bayar cukai,” katanya ketika ditemui.

Katanya, Kerajaan Pusat tidak berlaku adil kepada rakyat yang berpendapatan rendah kerana rakyat yang tidak pernah membayar cukai selama ini terpaksa membayarnya.

“Dia (Kerajaan) bukan sahaja mengenakan GST pada 2015, tapi telah hapuskan subsidi gula 30 peratus, saya tak tahu apakah jumlah ini akan jimat tetapi ini hanya menambahkan beban rakyat,” kata Ahli Parlimen Bagan itu.

EZY

Categories
NASIONAL

Laksana GST hanya tambah beban rakyat

gst

KUALA LUMPUR 25 OKT : Kerajaan Pusat hanya menambah beban rakyat di negara ini disebalik alasan untuk meningkatkan pendapatan negara dengan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dilaksanakan, kata Datuk Mahfuz Omar.

Naib Presiden PAS itu berkata, pelaksanaan GST akan meningkatkan jurang pendapatan rakyat rendah dan tinggi semakin meningkat dan akhirnya merugikan negara.

Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak seharusnya mengumumkan langkah lebih efisyen untuk membendung ketirisan wang rakyat dan rasuah pada Belanjawan Negara 2014  yang sememangnya merugikan rakyat.

“Kalau kita benarkan GST benar-benar dilaksanakan, kita membenarkan wang kita diserahkan kepada penyamun dan perompak.

“Tak payah samun, tak payah rompak, tapi kita sendiri yang serahkan, oleh itu saya dan pemimpin Pakatan lain akan terus berusaha melawan isu ini demi membela rakyat di negara ini,” katanya dalam himpunan bantahan GST di hadapan Parlimen hari ini.

Seramai 200 orang terdiri daripada ahli PAS dan pemimpin NGO berhimpun di hadapan pintu masuk Parlimen ketika sidang pembentangan Belanjawan Negara 2014 sedang berlangsung hari ini.

Sementara itu, Ketua Pemuda PAS, Nasarudin Hasan Tantawi berkata himpunan ini diadakan bagi menyatakan bantahan terhadap Kerajaan Pusat yang melaksanakan cukai berkenaan.

“Saya yakin jurang kemiskinan diantara orang kaya dan orang miskin semakin lebar, seterusnya ia akan melonjakkan kadar inflasi negara, akhirnya rakyat tetap menjadi mangsa,” ujarnya.

Beliau turut sependapat dengan Mahfuz yang menyatakan Kerajaan Pusat seharusnya mengumumkan kaedah yang lebih baik bagi mengawal ketirisan wang rakyat berbanding pengumuman pelaksanaan GST.

Dalam pembentangan Bajet 2014, Najib Razak mengumumkan Kerajaan akan memperkenalkan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) pada kadar 6 peratus bermula 1 April 2015.

Categories
NASIONAL

GST dikena walau belum dilaksana

Tian Chua parlimen 01

KUALA LUMPUR, 22 OKT : Sebuah syarikat pengurusan tempat letak kereta di Pasar Borong Kuala Lumpur didakwa mengenakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) dengan tambahan enam peratus kepada orang ramai meskipun belum dilaksanakan lagi Kerajaan Pusat.

Ahli Parlimen Batu, Tian Chua, mendakwa syarikat, SportsIn Sdn Bhd itu mula mengenakan GST kepada pengguna tempat letak kereta di situ kira-kira satu setengah tahun lalu.

Tian berkata, banyak syarikat tempat letak kereta di sekitar Lembah Klang juga mula melakukan perkara sama walaupun Kerajaan Pusat pernah mengatakan GST tidak akan dilaksanakan dalam bajet 2014.

“Persoalannya, adakah GST ini sampai kepada Kerajaan? Adakah Kerajaan mempunyai rekod penerimaan GST ini?

“Adakah DBKL menjalankan pemeriksaan audit ke atas syarikat ini? Jika ya, bagaimana perkara ini boleh terlepas?” soalnya yang juga Naib Presiden PKR di lobi Parlimen hari ini.

Sehubungan itu, beliau menggesa orang ramai terutamanya di kawasan bandar supaya menyemak resit pembelian masing-masing selepas membuat pembayaran untuk sesuatu barangan atau perkhidmatan.

Beliau turut meminta orang ramai yang mengesan perkara itu supaya membuat aduan kepada pihak berkuasa dengan kadar segera.

“Kerajaan digesa supaya mengambil serius perkara ini dan syarikat yang didapati mengenakan GST mesti dihukum,” katanya.

-EZY

Categories
NASIONAL

Perkasa kuasa SPRM dakwa salahlaku dalam LKAN

samsul-sprmSHAH ALAM 6 OKT : Kerajaan Pusat digesa memperkasakan kuasa pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi mendakwa pihak yang membuat penyelewengan dan pemborosan seperti dalam Laporan Audit Ketua Negara 2012.

Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Mohd Akin, berkata kerajaan tidak perlu menubuhkan jawatankuasa khas bagi meneliti dan mengkaji laporan Audit Ketua Negara kerana ia hanya akan menambah karenah birokrasi dan keberkesanannya.

Katanya, dengan kuasa pendakwaan SPRM yang dimantapkan maka ia akan memberikan ruang lebih besar kepada SPRM melakukan siasatan dan dakwaan serta tidak terhalang kesnya di Pejabat Peguam Negara.

“Hanya dengan kuasa pendakwaan SPRM yang mantap maka kes-kes penyelewengan dalam laporan audit boleh diambil tindakan tegas,” kata Shamsul ketika dihubungi Tv Selangor.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, berkata kerajaan pusat seharusnya menerima pelawaan Pakatan Rakyat (PR) yang mencadangkan satu jawatan kuasa disertai Timbalan Perdana Menteri sebagai Pengerusi, disusuli dengan Ketua Pembangkang dan Ketua Audit Negara bertujuan  menghalang penyalah gunaan dan menghukum yang terlibat dalam penyelewangan.

“Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa menyatakan kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas untuk menyelidik dan mengkaji Laporan Audit Negara 2012.

“Bagaimanapun agak melucukan apabila kajian sebegini hanyalah pendedahan tanpa tindakan. Saya pasti rakyat Malaysia tidak akan menerima taktik kerajaan yang cuba melengah-lengahkan dan memutar belitkan kenyataan dan akhirnya ia seperti pendedahan yang dibuat tahun-tahun lepas dan mati begitu saja,” katanya dalam satu kenyataan.

Guan Eng berkata, Laporan Ketua Audit Negara mengenai pembaziran kerajaan ke atas wang rakyat tidak akan mempunyai sebarang makna sekiranya tiada tindakan diambil.

“Pendedahan itu jelas menunjukkan terdapat penyelewangan dan ketidak telusan dalam sistem urus tadbir kerajaan Barisan Nasional (BN).

Sebelum ini , Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata,  kerajaan menubuhkan jawatankuasa khas untuk menyelidik dan mengkaji Laporan Audit Negara 2012.

Jawatankuasa itu yang dipengerusikan beliau, dianggotai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Peguam Negara, pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Kementerian Kewangan dan Polis Diraja Malaysia.

 

Categories
NASIONAL

Kerajaan Pusat digesa bela nasib 6,000 graduan GSTT

guru gstt1

SHAH ALAM, 4 OKTOBER : Kerajaan Pusat digesa membela nasib lebih 6,000 graduan Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) yang masih belum mendapat penempatan sehingga sekarang.

Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching, berkata, Kerajaan Pusat perlu memberikan penjelasan dan statistik kekosongan guru di semua sekolah agar dapat dinilai dengan perancangan yang sewajarnya untuk menyelesaikan masalah itu.

Katanya, perkara itu menunjukkan kegagalan Kerajaan Pusat membuat perancangan sempurna yang membazirkan sumber negara.

Menurut Nie Ching, pada Januari 2012, Kementerian Pendidikan membuka kursus Diploma Perguruan Lepasan Ijazah (DPLI) bagi menyelesaikan masalah kekurangan guru di Sekolah Rendah dan Sekolah Menengah.

Akan tetapi graduan Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) yang tamat pengajian tersebut pada bulan Mei tahun ini masih belum mendapat penempatan sehingga sekarang.

“Graduan GSTT-DPLI adalah sebanyak 6,020 orang iaitu seramai 2,017 orang di bawah kategori Sekolah Rendah dan 4,003 orang di bawah kategori Sekolah Menengah.

“Senarai calon dikemukakan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SPP) dan temuduga dijangka akan dijalankan pada bulan Oktober dan lantikannya bermula pada bulan Januari tahun depan,” kata Nie Ching dalam satu kenyataan.

Tambah Nie Ching, laman web Kementerian Pendidikan atau SPP masih belum ada sebarang maklumat tentang temuduga tersebut sehingga sekarang.

Apabila graduan-graduan menelefon Jabatan berkenaan, pegawai tersebut tidak dapat memberi tarikh temuduga seperti yang dikatakan oleh Timbalan Menteri.

“Kesemua graduan tersebut menandatangani kontrak perkhidmatan selama 2 tahun dengan Kementerian maka ini menjadi halangan mereka mencari pekerjaan alternatif terutamanya di sektor swasta.

“Pernahkah Kementerian mengambil berat terhadap mereka apabila mereka perlu menunggu penempatan selama 7 bulan dan menghadapi masalah pengangguran serta menanggung kos sara hidup yang tinggi?,” katanya.

Nie Ching berkata, survey tidak rasmi menunjukkan bahawa seramai 100-120 kekosongan guru di sekolah rendah.

“Jika kekurangan sudah lama berlaku, mengapakah temuduga dan penempatan graduan GSTT-DPLI masih lagi ditangguh?

“Tambahan pula, pengajian DPLI  melahirkan 6,000 tenaga pengajar yang masih menunggu penempatan, perkara ini menimbulkan satu keraguan besar,” katanya.

Categories
NASIONAL

Pakatan pertikai cadangan naikkan tarif elektrik

tnb 2SHAH ALAM 26 SEPT: Ahli Parlimen Pakatan Rakyat mendesak kerajaan Pusat memberi penjelasan mengenai cadangan kenaikan tarif elektrik yang dijangka dibuat tahun depan.

Desakan itu dibuat melalui kenyataan media bersama Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin; Ahli Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming dan Ahli Parlimen Hulu Langat, Dr Che Rosli Che Mat.

Mereka berkata, perjanjian antara TNB dan Independent Power Producers (IPP) perlu disemak semula kerana caj yang dikenakan IPP kepada TNB keterlaluan.

“Ia kerana IPP mendapat subsidi Liquefied Natural Gas (LNG) daripada Petronas yang membolehkannya mendapat margin keuntungan besar dengan struktur kos rendah,” kata kenyataan itu.

Sebelum ini, Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Seri Azman Mohd mencadangkan kerajaan meningkatkan tarif elektrik kepada pengguna tempatan melebihi 200 kwh.

Mereka juga menuntut penjelasan kerajaan berkaitan LNG menjual petrol pada harga lebih murah sementara rakyat perlu berdepan dengan kenaikan harga bahan bakar itu.

Sejak 1997, kata mereka, kerajaan menetapkan harga gas dijual kepada IPP mengikut harga pasaran LNG RM49.12 per-juta BTU pada 2012 tetapi dijual RM10.70 kepada IPP.

Mereka juga kesal kerana IPP mendapat diskaun 80 peratus berbanding harga pasaran LNG hingga mengakibatkan kerajaan mengalami kehilangan pendapatan negara yang tinggi.

– FZL

Categories
NASIONAL SELANGOR

Belanjawan Pakatan tumpu ekonomi rakyat -FOKUS

Sinopsis

FOKUS Untuk 24092013

Saksikan secara langsung “FOKUS” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT. Pelbagai berita dan maklumat terkini negeri dan nasional yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Penguatkuasa di semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor akan dilengkapi dengan peralatan keselamatan belantan renjat dan pistol renjat tidak lama lagi.

2. TV Selangor hari ini dikunjungi delegasi Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang bagi mempelajari operasi penyiaran berita.

3. Pakatan Rakyat dijangka membentangkan Belanjawan Alternatif 2014 yang tertumpu kepada tanggungjawab fiskal yang mapan melalui reformasi struktur belanjawan lapor portal Harakahdaily.net.

4. Kerajaan Pusat digesa lebih cermat menggunakan duit rakyat untuk membiayai filem berkos tinggi supaya tidak mengulangi kegagalan filem Tanda Putera.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Rafizi : Naikkan RPGT tidak selesai masalah harga rumah

rafizi-pc

SHAH ALAM 28 OGOS : Cadangan Kerajaan Pusat untuk menaikkan kadar Cukai Jualan Hartanah (RPGT) dalam pembentangan Bajet 2014 pada 25 Oktober ini tidak akan menyelesaikan masalah kenaikan harga rumah yang tinggi.

Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat Rafizi Ramli berkata Kerajaan Pusat perlu mendekati masalah kenaikan harga yang tinggi secara menyeluruh, dan bukan mengambil jalan penyelesaian sementara.

“Walaupun usaha untuk memperkenalkan dan menaikkan kadar RPGT boleh membantu mengurangkan spekulasi tetapi punca awal adalah kerajaan BN yang ghairah dan tidak memikirkan rakyat bawahan ketika menghapuskan RPGT,” kata Rafizi.

Sebelum ini, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Datuk Abdul Rahman Dahlan, berkata kadar RPGT semasa gagal mengekang spekulasi hartanah sehingga kerajaan perlu campurtangan menangani masalah itu.

Rafizi berhujah faktor percukaian hartanah dan spekulasi harga rumah bukan semata-mata masalah yang menyebabkan berlakunya kenaikan harga rumah .

Antara pendekatan yang disarankan Rafizi adalah pembanterasan gejala rasuah yang membelit sektor pembinaan.

“Kerajaan perlu komited membanteras gejala rasuah yang berlaku dalam projek perumahan yang menyumbang kepada kenaikan harga rumah,” tegas Rafizi.

Sebelum 2007, kerajaan menetapkan hartanah dijual dalam tempoh dua tahun selepas dibeli perlu membayar RPGT sebanyak 30 peratus; cukai 20 peratus jika menjualnya dalam tempoh empat tahun; lima peratus pada tahun kelima dan tidak dikenakan cukai selepas enam tahun.

Namun begitu, mulai April 2007 hingga Januari 2010, semua keuntungan daripada urus niaga hartanah dikecualikan daripada RPGT sebagai langkah untuk meningkatkan jualan hartanah ketika kelembapan ekonomi.

Ia diperkenalkan semula pada Belanjawan 2011 yang mana perolehan penjualan hartanah untuk tempoh kurang lima tahun dikenakan RPGT lima peratus.

Pada Belanjawan 2012 perolehan daripada penjualan hartanah kurang dua tahun dikenakan RPGT 10 peratus; dua hingga lima tahun sebanyak lima peratus; manakala lima tahun ke atas tidak dikenakan RPGT.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Sasar bina 35,000 rumah mampu milik

abg is

PANDAN, 28 OGOS : Jawatankuasa Tetap Perumahan mensasarkan 35,000 unit rumah mampu milik dibina dalam tempoh lima tahun akan datang.

Exconya, Ir. Iskandar Abdul Samad, berkata anak-anak syarikat Kerajaan Negeri seperti Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) sedang giat menyiapkan projek rumah mampu milik yang telah dilancarkan sebelum Pilihan Raya Umum ke-13.

“Kita telah melancarkan beberapa projek seperti di Seksyen U12 Shah Alam, Ladang Air Manis Sabak Bernam, Antara Gapi, Serendah dan di Sutera Damansara,” katanya.

Beliau menjelaskan strategi perumahan mampu milik Kerajaan Negeri lebih terarah kerana ia menepati jangkauan golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

“Polisi rumah mampu milik Kerajaan Negeri adalah harga yang termahalnya adalah RM150,000, tapi kalau kita lihat Kerajaan Pusat, rumah PR1MA sampai RM300,000, jadi bermakna polisi Kerajaan Negeri lebih tepat berbanding Kerajaan Pusat,” katanya lagi.