Categories
NASIONAL SELANGOR

Penduduk Pangsapuri Kayangan Lega Dapat Meter Individu

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

PETALING JAYA 30 DIS : Penantian penduduk Pangsapuri Kayangan di sini untuk mendapatkan meter individu dan menikmati 20 meter padu air percuma dari Kerajaan Negeri menjadi kenyataan apabila proses pertukaran itu dijalankan Disember ini.

Sejak Pakatan Rakyat (PR) mengambilalih pentadbiran Kerajaan Negeri pada Mac 2008 dan mengumumkan pemberian istimewa itu, Pengurusan Badan Bersama (JMB) pangsapuri tersebut tidak ketinggalan membuat permohonan kepada Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) bagi proses penukaran meter pukal kepada meter individu.

Setiausaha JMB pangsapuri berkenaan, Moi Hoy Meng berkata, apa yang diperoleh penduduk di kawasan itu adalah hadiah penuh bermakna sempena perayaan Krismas dan tahun baru 2013 yang akan menjelang.

“Saya begitu gembira kerana apa yang kita tunggu akhirnya menjadi nyata dan ia hadiah penuh makna kepada semua penduduk di pangsapuri ini.

“Semoga kita semua akan beroleh faedah dengan pemberian air percuma daripada Kerajaan Negeri,” katanya dalam majlis meraikan acara itu semalam yang turut berterima kasih kepada Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad, dalam usaha merealisasikan proses migrasi meter berkenaan.

Proses migrasi tersebut melibatkan 192 daripada 236 rumah di pangsapuri itu dijalankan Syabas dan berakhir baru-baru ini.

Seorang penghuni, Amirul Salleh, 33, menjelaskan dengan pertukaran meter akan memberi banyak kemudahan kepada penduduk terutama dari segi kewangan lebih menjimatkan.

“Dengan pertukaran meter kita akan mendapat air percuma dan bayaran bil akan berkurangan. Ia akan memberi banyak kebaikan kepada penduduk dengan cara berjimat,” kata kakitangan kerajaan ini.

Nik Nazmi berkata, dengan kejayaan proses migrasi dari meter pukal kepada individu, diharap penduduk pangsapuri kawasan itu akan menikmati kemudahan disediakan Kerajaan Negeri yang selama ini memberikan pelbagai ganjaran menerusi agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).

Beliau berkata, biarpun proses tersebut memakan masa namun dengan kerjasama semua pihak, ia akhirnya dapat dijayakan dan penduduk memperoleh manfaat seperti dijanjikan.

“Dengan kesungguhan pengurusan JMB dan semua pihak terlibat memperjuangkan perkara ini maka penduduk dapat menikmati kemudahan ini.

“Kerajaan Negeri menerusi pegangan aset tunai melebihi RM2 bilion ketika ini akan terus memberikan banyak kemudahan kepada rakyat di Selangor,” ujarnya.

Turut hadir, Penasihat JMB, Michael Lim dan Ahli Majlis Majlis Bandaraya Shah Alam, Izham Hashim.

Lebih RM 600 Juta Sudah Dibelanja Untuk Kebajikan Rakyat Selangor – INFO 12


 
Sinopsis

Info 12 Untuk 17122012

Saksikan secara langsung “INFO 12” sebuah rancangan baru yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT setiap jam 12.00 tengahari. Pelbagai info dan maklumat yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk 17 DESEMBER 2012 :

1. Kerajaan Selangor sudah membelanjakan lebih RM600 juta untuk program kebajikan rakyat di bawah agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).

2. Lebih 14,000 kanak-kanak yang lahir pada tahun 2008 di Selangor sudah menikmati manfaat program ‘Jom Shopping Bonus Selangorku’.

3. Kerajaan Negeri Selangor akan menyediakan insentif perkahwinan kepada belia Selangor yang mendirikan rumahtangga pada tahun hadapan.

4. Seramai 19,454 ibu tunggal di Selangor telah mendapat manfaat dan kemudahan daripada berbagai skim yang dimulakan Kerajaan Selangor antaranya bantuan kewangan dan program keusahawanan.

Layari http://www.selangorkini.net

Categories
SELANGOR

Belanjawan 2013 : Perbelanjaan Cekap, Pembangunan Ditingkatkan

SHAH ALAM 19 NOV : Kerajaan Selangor sekali lagi telah membentangkan belanjawan berimbang dengan peruntukan sebanyak RM 1.630 billion untuk tahun 2013.

Ekoran kecekapan pengurusan kewangan, Belanjawan tersebut telah menaikkan perutuntukan dana untuk pembangunan sebanyak RM 600 juta dan mengurangkan belanja mengurus sebanyak RM 3 juta.

Selain itu, rizab simpanan kerajaan negeri telah mencecah RM 2.570 billion setakat 31 Oktober 2012.

Belanjawan 2013 menekankan kepada tiga strategi utama iaitu memperkasakan Pengurusan Tenaga Kerja, Sumber Kewangan, Pentadbiran dan Aset Negeri; Melestarikan Pembangunan Inovasi dan Moden; serta memperkukuhkan Kualiti Hidup Rakyat.

Belanjawan tersebut dibentangkan oleh Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim pada sesi sidang Dewan Negeri Selangor hari ini.

Menurut sekretariat akhbar pejabat Menteri Besar, Belanjawan yang bertemakan ?Selangor Peneraju Ekonomi Malaysia?, memperuntukan sebanyak RM 996,980,690.00 atau 61 peratus untuk perbelanjaan mengurus.

Manakala RM 633,019,310.00 atau 39 peratus diperuntukan untuk perbelanjaan pembangunan.

Kerajaan Negeri akan memperuntukan kira-kira RM 343 juta atau 54 peratus daripada peruntukkan pembangunan untuk infrastruktur seperti membina kemudahan awam (RM 297 juta) dan Perumahan (RM4.7 juta).

Manakala RM 118.2 juta disediakan untuk program-program di bawah dasar Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) seperti skim mesra usia emas (SMUE), hadiah anak masuk universiti dan Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS).

Di bawah strategi memperkasakan Pengurusan Aset Negeri, kerajaan Selangor mengenal pasti aset negeri atau aset rakyat bernilai lebih RM 27 billion.

Aset tersebut adalah Aset Alih (harta modal, inventori dan stok) dan Aset Tidak Alih (Tanah dan Bangunan) yang bernilai RM 15.2 billion.

Terdapat juga lebih RM 12.3 billion aset air seperti empangan, loji rawatan air, kolam, rumah pam dan data-data sistem pengagihan.

Sebagai usaha untuk mendapatkan nilai daripada setiap ringgit yang dibelanjankan, Kerajaan Negeri telah menjimatkan sebanyak RM 102.2 juta daripada perlaksanaan sistem tender terbuka.

Di samping itu, RM 81 juta telah dijimatkan apabila Kerajaan Negeri mengambilalih pengurusan sisa pepejal sejak tahun yang lalu.

Categories
SELANGOR

Rakyat Selangor Terima Manfaat Bila Hijrah Kepada Kerajaan Pakatan Rakyat

SHAH ALAM,15 NOV : Penghijrahan Negeri Selangor dari pentadbiran kerajaan yang lama(Umno-BN) kepada yang baru menghasilkan berbagai kebaikan kepada rakyat negeri ini.

Perkara paling jelas ialah menerusi program Merakyatkan Ekonomi Negeri Selangor (MES).

Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains Teknologi dan Inovasi dan Kebudayaan Negeri Selangor, Rodziah Ismail berkata, hijrah mandat rakyat yang berlaku jelas memberi manafaat kepada rakyat Selangor merangkumi ekonomi, politik, sosial, dan pemeliharaan alam sekitar serta usaha pemberdayaan masyarakat seperti kewujudan Pusat Wanita Berdaya (PWD) di seluruh Negeri Selangor.

“Keseluruhan 25 perkara dalam Manifesto Pilihan Raya Umum ke-12 dipenuhi kecuali yang memerlukan pindaan-pindaan akta di peringkat persekutuan.

“Ia umpamanya untuk memberi jaminan keselamatan kewangan sepanjang hayat kepada suri rumah menerusi caruman berkala, seperti KWSP atau SOCSO,” kata Rodziah dalam kenyataan medianya sempena Sambutan Awal Muharam 1434 Hijrah.

Beliau berkata, agenda ?Kembalikan Nikmat Rasa Aman dan Selamat Rakyat? adalah cita-cita untuk menjadikan negeri Selangor menjadi negeri selamat dan sejahtera didiami semua.

Usaha meningkatkan kualiti hidup rakyat, terutamanya mereka berpendapatan rendah dipertingkatkan seperti perumahan mampu dimiliki, wi-fi percuma, penjagaan anak-anak bagi ibubapa yang bekerja dan para ketua keluarga wanita dan pemberian air percuma.

Ia juga membabitkan usaha pembaikan infrastruktur, pelaburan untuk anak-anak baru lahir, sumbangan pendidikan kepada pelajar pengajian tinggi, Skim Kesihatan Wanita, berbagai skim mikrokredit dan program pemberdayaan ekonomi, dan usaha-usaha pembangunan wanita setempat menerusi PWD.

“Hasrat penghijrahan dari pentadbiran lama kepada yang baru adalah mengoptimumkan penggunaan sumber yang ada dengan kos minimum ke arah merakyatkan sepenuhnya hasil dan khazanah negeri untuk kesejahteraan rakyat,” katanya.

400 Wanita Meriahkan Program Memasak Sepetang Bersama Abby Abadi

SUNGAI BESAR,13 NOV : Kira-kira seramai 400 orang wanita di sekitar Parit Lapan Gambut Sungai Panjang berpeluang belajar memasak Nasi Goreng Jepun, Kek Coklat Kukus Berpisang dan Daging Kari Hijau Ala Thai daripada Chef yang didatangkan khas daripada Shah Alam Convention Center (SACC).

Tunjuk ajar ini diperolehi Chef Zulkifli dan Chef Jamili dalam Program Sepetang Bersama Abby Abadi yang diadakan di Dataran Desa Permai di sini.

Program ini dirasmikan Isteri Menteri Besar Selangor, Puan Sri Salbiah Tunut.

Beliau dalam ucapannya berkata, wanita perlu memainkan peranan penting dalam pembangunan negara dengan bergiat aktif dalam program-program kemasyarakatan.

Ujarnya, di bawah Kerajaan Negeri banyak program disediakan untuk golongan wanita melalui agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) yang boleh dimanfaatkan.

“Program wanita kini ditonjolkan dengan Geran Selangorku yang memperuntukkan kira-kira RM30 juta untuk golongan wanita.

“Kerajaan Selangor adalah kerajaan yang prihatin dan kita tidak mahu rakyat di negeri ini menderita, ” kata Salbiah.

Di samping itu, jelas Salbiah di bawah Pertubuhan Kebajikan dan Amal Wanita Selangor (Pekawanis), program laman dapur makin mendapat perhatian golongan wanita melalui geran khas untuk projek pertanian.

“Kini di bawah program laman dapur kita ada projek pertanian alam iaitu konsep menanam sayur di dalam beg poli dan Kerajaan Negeri membiayainya dengan peserta menerima percuma 250 beg poli dengan tanah kompos dan sistem saliran yang berjumlah RM2,700 sekali sahaja,” katanya.

Ujarnya program itu kini sedang di perluaskan di setiap DUN dari masa ke semasa yang mampu menjana pendapatan tambahan kepada golongan surirumah.

Dalam program itu, masyarakat berpeluang beramah mesra dengan Puan Sri Salbiah bersama-sama Abby dalam program yang berbentuk santai.

Abby dalam sesi ramah mesra menceritakan kisahnya bagaimana beliau berhijrah daripada dunia lakonan dan menceburi perjuangan dakwah di negara ini.

“Jadi saya dapat sesuatu yang tidak ada dalam diri saya itu semasa menunaikan ibadah umrah dan bersyukur kini di mana kita berada di akhir zaman yang ramai menolak alim ulama dan kerja-kerja kebaikan tetapi Allah dekatkan saya dengan-Nya,” ujarnya.

Turut bersama dalam program itu Yang Dipertua Majlis Daerah Sabak Bernam, Zailani Kadir, Penyelaras Pusat Khidmat DUN Sungai Panjang, Fadzlin Taslimin dan bekas pensyarah Undang-Undang UIA, Dr Aziz Bari.

Categories
NASIONAL SELANGOR

PR Selangor Jelajah Negeri Persiapan Hadapi Pilihan Raya

PETALING JAYA 5 OKT : Pakatan Rakyat (PR) Selangor akan mengadakan program Jelajah Selangor secara bersepadu dan sistematik sebagai persiapan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Kesemua parti gabungan PR iaitu PKR, PAS dan DAP bersepakat menjelajah ke seluruh 22 parlimen dan 56 DUN dalam negeri Selangor.

“Ia khusus bagi menerangkan tentang prestasi program yang sudah dilaksanakan di bawah agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) sepanjang empat tahun lepas.

“Program ini juga diatur bagi memastikan setiap maklumat dan fakta penting berkaitan kejayaan Kerajaan Negeri dapat disampaikan kepada rakyat,” ujar Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafiei dalam satu sidang media.

Sidang media yang diadakan di Pejabat Keadilan Selangor di sini pagi tadi turut disertai Ketua Penerangan PAS dan DAP Selangor iaitu Shaari Sungib dan Jenice Lee.

Program jelajah tersebut akan bermula pada 14 Oktober ini di Parlimen Selayang dan dijadualkan berakhir pada 8 Disember di Parlimen Klang.

“Kesemua program jelajah akan melibatkan semua anggota komponen parti di semua peringkat dengan pemantauan oleh Penerangan Pakatan Rakyat Negeri,” jelas Shuhaimi lagi.

Satu tema khas bersempena program Jelajah Selangor akan diputuskan selepas mesyuarat bersama semua Ketua-ketua Penerangan peringkat cabang, kawasan dan bahagian serta Penerangan Pakatan Rakyat Negeri Selangor pada 7 Oktober nanti.

LAPORAN KHAS : Bonus Selangorku

 

Sinopsis

Melabur dalam masa depan anak-anak memberikan permulaan yang lebih kukuh untuk anak Selangor melangkah ke alam dewasa. Menyedari pentingnya persediaan ini, Kerajaan Negeri melancarkan pelan tambahan Jom Shopping Bonus Selangorku dibawah program Skim Simpanan Pendidikan Anak-Anak TAWAS khusus untuk anak-anak Selangor berumur 4 tahun. Melalui pelan tambahan ini, ibu-bapa diberi lagi kupon RM100 untuk membeli barang keperluan anak-anak mereka.

Categories
NASIONAL SELANGOR

RKSS Berjaya Bantu Siswazah Selangor Peroleh Pekerjaan

SHAH ALAM 30 SEPT: Walaupun berjaya menggengam segulung Diploma Pentadbiran daripada Universiti Selangor(Unisel)setahun lalu, Suraya Muhammad, 25, masih gagal mendapatkan pekerjaan sehinggalah beliau menyertai program Rangsangan Kerjaya Siswazah Selangor(RKSS).

Katanya, beliau mengambil kursus jangka pendek selama tiga bulan bagi kemahiran menjahit dan ternyata ia memberi perubahan dalam kehidupannya kini.

“Saya mempelajari teknik menggunakan mesin jahit serta jenis-jenis jahitan mesin serta pelbagai lagi kemahiran yang saya perlukan sehinggalah saya mampu mengambil tempahan menjahit baju secara kecil-kecilan,” katanya ketika ditemui di Majlis Alumni RKSS kali pertama di Hotel Quality Shah Alam hari ini.

Bagi Mohd Izaruddin Saad, 22, beliau berpendapat graduan-graduan yang masih mencari pekerjaan harus menyertai kursus-kursus seperti ini kerana banyak manfaat yang diperoleh seperti dapat meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang sedia ada.

“Selain belajar, saya juga dapat memperolehi pendapatan melalui elaun yang diberikan dan kerja sambilan membaiki komputer hasil kursus yang saya sertai ini,” katanya yang selesai menamatkan kursus Teknologi Maklumat, Pembaikan Komputer yang disediakan RKSS ini.

Sementara itu, RKSS yang dilancarkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim pada September 2011 lalu ini menerima sebanyak 578 peserta dan seramai 329 daripadanya berjaya mendapat pekerjaan dan memulakan perniagaan sendiri manakala sebahagian lagi menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Program yang dipelopori oleh anak syarikat Kerajaan Negeri iaitu Kumpulan Perangsang Selangor Berhad ini memperuntukkan sebanyak RM1.5 juta pada tahun lalu untuk menyediakan 14 kursus jangka pendek bagi meningkatkan kemahiran dan ilmu keusahawanan dalam pelbagai bidang.

Menurut Pengerusi Kumpulan Perangsang Selangor, Raja Idris Raja Kamaruddin, idea asal program ini diilhamkan oleh Penasihat Ekonomi Negeri Selangor, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi menyediakan kaedah terbaik bagi membantu siswazah menganggur meningkatkan pengetahuan, nilai diri dan keyakinan mendapatkan pekerjaan atau memulakan perniagaan sendiri.

“Ini merupakan salah satu aktiviti tanggungjawab sosial korporat syarikat supaya siswazah negeri ini dapat mempelajari sesuatu kemahiran yang mereka ingin ceburi untuk dijadikan kerjaya di masa hadapan,” katanya ketika memberi ucapan di majlis itu.

Abdul Khalid pula berkata, Kerajaan Negeri komited dalam melaksanakan hasrat Merakyatkan Ekonomi Selangor(MES) dan ini merupakan salah satu usaha murni bagi membantu negeri ini mengurangkan kadar siswazah menganggur.

“Tanggungjawab sosial ini merupakan pelaburan jangka panjang yang akan memberi manfaat kepada negeri ini di masa hadapan,” katanya.

Majlis Alumni RKSS yang diadakan julung-julung kalinya ini dihadiri Abdul Khalid serta peserta RKSS dan penyelia kursus-kursus yang disediakan.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Subsidi Bas Sekolah Tingkatkan Taraf Hidup Warga Ladang

 

SEMENYIH, 12 SEPT : Keluarga Harany Arikrishnan dan Danesh Jayabalan dulu bimbang akan masa depan anak mereka kerana sekolah yang terdekat bagi kedua-dua cahaya mata ini terletak kira-kira 20 km dari rumah mereka.

Walaupun bapa kepada kedua-dua kanak-kanak tersebut bertekad mahu memberi pendidikan yang sebaiknya bagi anak mereka, realiti kehidupan di tengah-tengah ladang Dunadin menyukarkan rancangan mereka.

Ini kerana tambang bas ke sekolah tersebut mencecah RM 30 sebulan untuk seorang manakala bapa Harany, 12, misalnya hanya berkerja sebagai pembantu am di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Oleh itu mereka berasa amat syukur kerana mendapat bantuan subsidi bas sekolah dari Kerajaan Selangor yang berjumlah RM 30 sebulan kerana dapat meringankan beban mereka.

“Saya dan keluarga sudah lama tinggal di sini hampir 50 tahun sejak ayah saya lagi.

Saya harap dengan bantuan ini akan menyedarkan anak-anak saya supaya belajar dengan lebih tekun demi meningkatkan tarah hidup keluarga dan melanjutkan pelajaran ke universiti,” kata bapa Harany, yang bernama Y Arikrishnan, 46.

Seramai 40 anak penghuni Ladang Dunadin dan Oboka di sini baru baru ini menerima bantuan subsidi tambang bas sekolah yang disampaikan Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar.

Dr Xavier berkata, bantuan subsidi tambang bas sekolah itu adalah salah satu program yang dilaksanakan Kerajaan Negeri sejak tiga tahun lalu bersesuaian dengan agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).

Turut hadir Ahli Parlimen Hulu Langat, Dr Che Rosli Che Mat.

L Jayabalan, 38, gembira dengan bantuan yang diterima anaknya, Danesh, 12, kerana selama ini pihaknya tidak pernah menerima ganjaran seperti itu.

“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri yang amat mengambil berat kesusahan rakyat. Saya amat gembira. Dah lama duduk di ladang inilah pertama kali dapat bantuan macam ini,” kata bapa tiga anak itu.

Xavier berkata skim tersebut membantu anak pekerja ladang berulang-alik daripada sekolah yang biasanya terletak jauh dari rumah mereka.

“Tujuan kita adalah bagi bantuan kepada anak-anak pekerja ladang ini untuk mereka berulang alik ke sekolah kerana seperti mana kita tahu kadar dikenakan bagi pengangkutan masa kini adalah tinggi dan mereka tidak mampu untuk membayarnya.

“Bila kita buat program ini ia mendapat maklum balas yang baik kerana sekarang ini kita juga mendapat permintaan dari keluarga berpendapatan rendah di kawasan bandar.

Jadi kita sedang mengkaji perkara ini,” katanya.

“Hanya melalui pendidikan kita akan dapat meningkatkan taraf hidup kita dan semoga anak-anak pekerja ladang akan merealisasikannya,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Kerajaan Negeri Jamin Terus Beri Air Percuma

SHAH ALAM, 29 OGOS : Kerajaan Negeri memberi jaminan akan meneruskan pemberian air percuma kepada rakyat di negeri ini sekiranya Pakatan Rakyat (PR) diberi mandat untuk terus memerintah Selangor dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) akan datang.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata Kerajaan Negeri memiliki rizab simpanan tunai yang mencukupi malah meningkat sehingga RM2.1 bilion pada suku kedua tahun ini, berbanding RM1.9 bilion sebelumnya.

Kenyataan Abdul Khalid itu sekaligus menyangkal dakwaan Pensyarah Fakulti Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia(UUM), Prof Amir Baharuddin yang mengatakan Selangor bakal berdepan defisit serius sekiranya meneruskan dasar pemberian air percuma kerana tidak mempunyai sumber pendapatan yang banyak untuk menanggung kos operasi dan penyelenggaraan air di negeri itu.

“Ada juga ahli akademik yang tidak pandai mengira. Apa yang penting ialah rakyat melihat apa yang sudah dilaksanakan Kerajaan Negeri baik dari segi pemberian air percuma, peningkatan rizab negeri dan keupayaan melaksanakan program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES),” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di sini.

Dakwanya lagi, Kerajaan Negeri tidak mempunyai kewangan daripada cukai pendapatan atau korporat, sebaliknya bergantung kepada kutipan cukai tanah dan pintu yang sememangnya tidak dapat membiayai bekalan air percuma bagi tempoh jangka panjang.

Dalam sidang media sama, Abdul Khalid turut menolak kenyataan Datuk Seri Peter Chin Fah Kui yang mengatakan tiada kenaikan tarif air sekiranya projek pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 siap.

Beliau berkata, Chin yang juga Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air masih gagal memahami isu pembinaan Langat 2 yang sememangnya memerlukan dana yang besar untuk dilaksanakan.

Katanya, dana itu perlu dibayar sama ada melalui kutipan cukai atau kos tarif yang akan disalurkan untuk pelaksanaan projek tersebut.

“Tiada apa yang percuma walaupun dia memberi geran kepada Negeri Selangor. Ini kerana geran itu adalah hasil daripada kutipan cukai rakyat. Maknanya kita sudah bayar kepada Kerajaan Pusat lebih awal.

“Kenyataan Chin itu melihatkan beliau sebenarnya kurang faham tentang penggunaan belanjawan negara. Sebab itulah beliau tidak dilantik menjadi Menteri Kewangan,” sindir Abdul Khalid.

Categories
SELANGOR

MB: Kemajuan PJ Seiring Kemajuan Selangor

PETALING JAYA, 20 JUN : Kerajaan Negeri berbangga dengan Petaling Jaya yang mencapai tahap kemajuan pesat seiring pembangunan Selangor sebagai negeri maju di negara ini.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menjalankan perancangan yang teliti demi pembangunan Petaling Jaya hingga berjaya mewujudkan persekitaran harmoni hingga menjadikan bandaraya ini sesuai diduduki dan menjadi pilihan majoriti masyarakat.

Katanya, Petaling Jaya berkembang sebagai bandaraya ilmu berikutan segala kemudahan lengkap yang wujud di kawasan kendalian MBPJ itu bagi memenuhi keperluan masyarakat yang mendiaminya.

“Konsep banda raya keluarga amat sesuai bagi Petaling Jaya kerana ia memenuhi keperluan semua peringkat usia dan golongan dengan segala kemudahan yang ada. Ia membangun secara pesat dengan pertambahan penduduk yang menbanggakan. Semuanya ada di sini dengan kemudahan tempat bersukan, tempat bagi mewujudkan perniagaan, tempat menuntut ilmu dengan sekolah, kolej hingga universiti dan sebagainya. Ia sesuai untuk semua.

“Perkembangan ini amat membanggakan kerana dari sebuah bandar kecil dalam masa singkat Petaling Jaya berkembang maju menjadi banda raya contoh dengan pertumbuhan ekonomi mampan. Belanjawan bagi Petaling Jaya sebanyak RM281 juta dalam tahun ini juga melebihi Negeri Sembilan dan Melaka,” katanya ketika berucap dalam majlis Kenduri Rakyat sempena sambutan Ulangtahun ke enam anjuran MBPJ di Dataran Petaling Jaya di sini semalam.

Abdul Khalid berkata, penganjuran Kenduri Rakyat itu juga adalah selari dengan agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) yang diperkenalkan di mana rakyat turut serta dalam kemajuan negeri serta berkongsi menikmati hasil pulangannya.

Seramai kira-kira 5,000 orang hadir dalam majlis tersebut yang diserikan dengan pelbagai pertunjukan bagi menghiburkan hadirin.

Turut hadir, Datuk Bandar Petaling Jaya, Datuk Mohamad Roslan Sakimin.

Orang ramai ditemui turut melahirkan kebanggaaan dengan Petaling Jaya dan gembira menjadi warganya.

Zamir Zakaria, 27, dari Taman Datuk Haron berkata, dia mendiami banda raya ini sejak kecil dan mengikuti perkembangannya dari dekat.

“Ia kini menjadi banda raya kebanggaan semua dengan segala kemudahan serba moden. Penganjuran majlis sebegini juga bagus kerana ia mendekatkan kita dengan komuniti yang ada di sini,” katanya,

Nurul Yaakob, 25, pula menjelaskan pembangunan terancang dialami Petaling Jaya adalah begitu menarik hingga menjadikan bandaraya yang berjaya dalam banyak bidang hingga menjadikan MBPJ sebagai antara Pihak Berkuasa Tempatan yang terbaik.

Categories
SELANGOR

75 Waris Terima Bantuan SMUE Di DUN Sri Muda, Kota Raja

KLANG, 12 MEI : Skim Mesra Usia Emas (SMUE) hari ini menyampaikan bantuan RM1,500 kepada 75 waris warga emas bagi DUN Sri Muda dan Kota Raja.

Rata-rata waris yang hadir ditemui ternyata gembira dan mengucapkan terima kasih di atas usaha kerajaan negeri.

Menurut Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, SMUE ini adalah skim khairat kematian sebagai usaha menghargai warga emas tanpa mengira jantina, kaum, agama, fahaman politik, status ekonomi dan tahap sosial mereka.

“Tujuan SMUE ini adalah untuk meringankan beban pewaris dalam menyelesaikan beberapa perkara seperti proses pengurusan jenazah serta pengkebumian dan membantu melangsaikan hutang si mati,” katanya ketika memberi ucapan di Majlis Penyampaian Bayaran Manfaat SMUE Fasa Kedua di Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam(MBSA) Jalan Kebun hari ini.

Katanya, SMUE bertujuan memberi manfaat dalam bentuk perlindungan bemilai RM2,500 kepada warga emas yang berusia 60 tahun ke atas yang mendaftar secara rasmi dengan urus setia SMUE.

Sejumlah RM1,500 seorang akan diberi selepas kematian, manakala RM1,000 akan diberikan setelah selesai proses pengebumian dan waris boleh menuntut di Pejabat Khidmat DUN di setiap kawasan.

SMUE dilancarkan pada Ogos 2008 dan merupakan salah satu daripada tujuh agenda dalam program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) yang kini sudah memasuki Fasa Kedua.

Selain itu, Adun Sri Muda, Shuhaimi Shafiei yang turut hadir berkata, kerajaan negeri ingin mengembalikan hasil yang diperolehi oleh negeri kembali kepada rakyatnya.

Shuhaimi turut menasihati waris si mati supaya menggunakan wang yang diperolehi daripada SMUE itu untuk kebajikan dan manfaat kepada si mati serta tidak sesekali menyalahgunakan wang berkenaan.

Sehubungan itu, semua warga emas yang belum menikmatinya hendaklah mendaftar dengan berpandukan kepada syarat-syarat seperti mesti berumur 60 tahun dan ke atas, lahir dan sedang menetap di Selangor, bermastautin di Selangor secara sah sekurang-kurangnya 15 tahun.