Categories
NASIONAL SELANGOR

MBPJ tambah CCTV bagi pertingkat keselamatan

cctv mbpj

PETALING JAYA, 31 OKT : Majlis Bandaraya Petaling (MBPJ) mengambil langkah proaktif dengan menambah lebih banyak kamera litar tertutup (CCTV) di laluan pejalan kaki di sekitar stesen Aliran Transit Ringan (LRT) Kelana Jaya berhampiran Taman Mayang, di sini.

Tindakan itu dilakukan susulan kematian seorang pelajar, Dickson Wong dari Sarawak yang diragut berhampiran stesen LRT berkenaan kira-kira dua hari lepas.

Unit Perhubungan Awam MBPJ dalam satu kenyataan berkata, usaha menambah CCTV di kawasan itu sudah mendapat kelulusan Datuk Bandar, Datin Paduka Alinah Ahmad dan akan dilakukan dalam tempoh dua minggu lagi.

“Pihak Majlis juga akan mensyaratkan kepada premis kormesial dalam pembaharuan lesen supaya mengadakan dan memasang CCTV di premis masing-masing untuk membantu mengawal keselamatan bersama,” kata kenyataan media itu.

Selain pemasangan CCTV, pihak Majlis juga akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membuat rondaan di sekitar kawasan itu.

Terdahulu, Dickson yang koma selepas diserang peragut di Taman Mayang ditemui terbaring dan berlumuran darah berhampiran stesen LRT itu.

-EZY

Categories
SELANGOR

MB Dan Exco Melawat Projek SP Setia Berhad – FOKUS

Sinopsis

FOKUS Untuk 30102013

Saksikan secara langsung “FOKUS” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT . Pelbagai berita dan maklumat terkini negeri dan nasional yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meluangkan masa lebih setengah jam meninjau perkembangan terkini projek perumahan pangsapuri menggunakan teknik ‘pasang siap’ yang diusahakan syarikat pemaju hartanah terkemuka, SP Setia Berhad.

2. Kira-kira 1,500 wisel diedarkan kepada orang ramai di sekitar pasar USJ11, di sini sebagai langkah memerangi jenayah dan meningkatkan kesedaran terhadap keselamatan wanita khususnya di kawasan yang mudah menjadi sasaran.

3. Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan terus mengadakan operasi bersepadu memantau kebersihan premis makanan di kawasan Seksyen 2 agar peniaga di kawasan itu mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Edar wisel simbolik kempen cegah jenayah

wisel simbolik cegah jenayah 1

SUBANG JAYA, 30 OKT : Kira-kira 1,500 wisel diedarkan kepada orang ramai di sekitar pasar USJ11, di sini sebagai langkah memerangi jenayah dan meningkatkan kesedaran terhadap keselamatan wanita khususnya di kawasan yang mudah menjadi sasaran.

Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh, berkata program julung kali yang diadakan di kawasan Subang Jaya itu adalah bersempena Kempen Pencegahan Jenayah yang turut mendapat sokongan polis.

Beliau berkata, wisel adalah medium terbaik yang boleh digunakan orang ramai terutamanya wanita jika berlaku kecemasan.

“Beberapa minggu lalu, saya menerima maklumat tentang kejadian seorang wanita berusia 80 tahun yang diragut di kawasan rumahnya dan mengalami kecederaan serius hingga terpaksa menerima rawatan di hospital.

“Perkara itu adalah sesuatu yang membimbangkan dan boleh berlaku kepada sesiapa tidak kira masa.

“Justeru, saya fikir ini adalah masa terbaik untuk memulakan kempen ini dan memilih USJ 11 kerana kawasan ini adalah tumpuan wanita untuk ke pasar,” katanya selepas mengedarkan wisel kepada orang ramai, di sini hari ini.

wisel simbolik cegah jenayah 2

Turut serta dalam program itu adalah Ketua Balai Polis USJ8, Inspektor Jasni Zolpa dan 14 anggota polis.

Dalam pada itu, Hannah yang juga Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS) berkata, tanggungjawab mencegah jenayah tidak seharusnya diserahkan kepada polis sahaja, tetapi perlu ditangani bersama oleh masyarakat.

Beliau turut menggesa orang ramai melaporkan kejadian jenayah kepada polis dengan segera supaya tindakan susulan boleh diambil.

“Tidak rugi jika kita cuba kaedah ini (wisel) kerana jenayah itu boleh menimpa kepada sesiapa tidak kira lelaki atau wanita.

“Saya juga menggesa orang ramai supaya membuat laporan polis untuk memaklumkan kes jenayah supaya statistik tepat dapat diperolehi,” katanya.

Difahamkan, setakat ini sebanyak 14 unit peronda bermotosikal ditempatkan di kawasan Subang Jaya (USJ 1 hingga USJ 21).

wisel simbolik cegah jenayah 3

-EZY

Categories
KENYATAAN MEDIA NASIONAL SELANGOR

Kerajaan PR Selangor dan P.Pinang bergerak selangkah perkukuh demokrasi

Kerajaan PR Selangor dan P

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) mengucapkan tahniah kepada kerajaan PR Selangor dan P.Pinang yang bergerak selangkah lagi memperkukuhkan demokrasi dalam radar pentadbiran mereka.

18 September lalu Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang melalui mesyuarat Exco Kerajaan Negeri telah meluluskan secara prinsipnya peruntukan kepada ADUN pembangkang di Pulau Pinang (baca : Barisan Nasional) dan lanjutan kelulusan Mesyuarat Exco ini akan dibentangkan dalam Belanjawan Negeri P.Pinang 2014.

Manakala 10 Oktober lepas Kerajaan PR Selangor pula mengumumkan elaun khas dan keistimewaan kepada Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Selangor.

Bagi SAMM ini usaha berani dalam memperkukuh dan mendidik erti demokrasi sebenar di Malaysia namun memahami dalam searah panjang penindasan dalam menterjemah sistem demokrasi ala Barisan Nasional tentu tindakan seperti ini sukar diterima oleh beberapa pihak dalam PR itu sendiri.

Namun jika kita bercakap soal demokrasi matang, inilah masa terbaik menunjukkan PR berbeza dengan politik penindasan Bn. Kita lihat selama ini bagaimana wakil rakyat PR khususnya ahli parlimen dinafikan hak untuk berkhidmat kepada rakyat dengan satu sen pun peruntukan tidak disalurkan melalui wakil rakyat PR yang diangkat dengan undi rakyat.

Kini satu tamparan hebat buat ADUN Bn di Pulau Pinang. Adakah mereka mahu menerima peruntukan yang diberikan kepada mereka walaupun mereka pembangkang ?

Jika mereka menerima maka mereka memperakui bahawa amalan Kerajaan Bn di negeri lain dan Bn peringkat Pusat sendiri adalah salah dengan tidak menyalurkan peruntukan melalui wakil rakyat yang diangkat oleh rakyat atau jika menolaknya maka mereka akan terus dikenang dengan politik kepartian sempit dan mereka tidak boleh mengeluh lagi depan pengundi mereka yang mereka tidak ada peruntukan.

Melalui Kerajaan Pulau Pinang, PR membuktikan bahawa pertembungan parti politik hal yang lain tetapi dalam urus tadbir negeri demokrasi maka pilihan rakyat harus dihormati dan PR Pulau Pinang telah mengiktirafnya.

Jawatan Ketua Pembangkang dalam dewan (sama ada dewan rakyat atau dewan undangan negeri) amat penting. Namun sejak merdeka Malaysia tidak pernah menghormati seperti mana negara – negara demokrasi matang mengiktiraf jawatan tersebut.

Kerajaan PR Selangor mengorak langkah apabila memberikan elaun khas RM8,260 sebulan dengan perbagai keistemewaan lain kepada Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri Selangor.

Dengan ini jawatan yang juga diangkat melalui proses demokrasi suara rakyat ini boleh digunakan untuk sama membangunkan negeri. Ketua pembangkang boleh punya sebuah pejabat yang efisyen lengkap dengan pegawai penyelidik yang cukup dan mampu untuk membahaskan dan membuat teguran membina kepada kerajaan negeri yang akhirnya menguntungkan rakyat.

Persoalanya kini juga muncul adakah Ketua Pembangkang yang datang dari Bn di Selangor menerima elaun dan keistimewaan tersebut atau dia menolak dengan pemikiran politik kepartian sempit.

Jika menerimanya juga maka dia mengakui sendirinya bahawa adalah amalan yang salah apabila Kerajaan Pusat dan Negeri dibawah Bn menidakkan peranan Ketua Pembangkang di dewan yang diangkat oleh rakyat.

Seharusnya beginilah politik negara dibawa kepada persaingan polisi dan persaingan dalam penambahbaikan yang akhirnya memperkukuh demokrasi dan menguntungkan rakyat.

Besar harapan SAMM ingin melihat Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Kewangan yang menjadikan perkataan ‘transformasi’ sebagai zikirnya tiap hari dalam membentangkan Buget 2014 Jumaat ini mampu benar benar menyambut langkah Kerajaan PR Selangor dan P.Pinang.

Langkah ini juga positif dan semua harus bergerak dalam memperkukuh demokrasi dengan mengiktiraf peranan ahli parlimen PR dengan mengambil kira penyaluran peruntukan melalui mereka yang dipilih rakyat dan mengangkat peranan Parlimen Malaysia dengan mengiktiraf keistimewaan kepada Ketua Pembangkang Malaysia.

Jika tidak zikir ‘transformasi’ itu akan terus menjadi retorik bahan ketawa mainan dalam dan luar negara.

Badrul Hisham Shaharin
Solidariti Anak Muda Malaysia

Impi urus Lynas, gagal selia empangan

tnb chang lih kangSHAH ALAM 24 OKT: Parti Keadilan Rakyat (PKR) kesal dengan kegagalan Tenaga Nasional Berhad (TNB) menyediakan sistem amaran awal yang secukupnya sebelum membuka pintu empangan hingga mengakibatkan kejadian banjir kilat di Cameron Highland, awal pagi semalam.

Ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR, Chang Lih Kang, berkata beberapa penduduk memaklumkan siren amaran yang dibunyikan TNB tidak berapa jelas kedengaran disebabkan bunyi hujan, pada awal pagi semalam.

Katanya, tambah memburukkan siren itu hanya dibunyikan kira-kira 10 hingga 15 minit sebelum pintu empangan hidroeletrik Sultan Abu Bakar dibuka menyebabkan ramai penduduk tidak mempunyai masa yang cukup untuk menyelamatkan diri.

“Penduduk yang saya temui menyalahkan TNB kerana tidak memberi notis, manakala siren yang dibunyikan pula terlalu singkat hingga mereka tidak mempunyai masa yang cukup untuk menyelamatkan diri.

“Ada juga yang memberitahu saya, mereka tidak dengar siren yang dibunyikan pada awal pagi itu kerana hujan lebat malam tadi (kelmarin). Kerajaan harus serius dalam hal ini, jika empangan tidak boleh diurus, bagaimana isu seperti Lynas ingin diselia,” katanya ketika dihubungi TV Selangor, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kes banjir kilat di Cameron Highland apabila TNB membuka pintu empangan hidroeletrik berkenaan hingga menyebabkan kira-kira 80 rumah di pinggir Sungai Bertam dilanda arus deras, awal pagi semalam.

Dalam kejadian itu, Lih Kang mendakwa sekurang-kurangnya tiga maut, manakala seorang lagi mangsa masih belum ditemui.

Lih Kang yang melawat ke tempat kejadian pagi semalam, turut menuntut supaya satu jawatankuasa siasatan bebas ditubuhkan bagi mengenalpasti punca kejadian, sekali gus memastikan kejadian sama tidak berulang.

“Ini kejadian yang sangat menyedihkan, PKR akan bertemu penduduk untuk melihat apa bantuan yang boleh kita salurkan kepada keluarga terjejas. Saya menganggarkan kerugian tinggi terpaksa ditanggung keluarga terbabit berdasarkan kemusnahan harta benda,” katanya.

-NFN-

Categories
NASIONAL SELANGOR

Elemen Islam jadi elemen pembangunan Pusat Bandar Shah Alam

Bandar Shah Alam

SHAH ALAM 23 OKT: Pusat Bandaraya Shah Alam akan diberi nafas baru dengan menampilkan reka bentuk berciri Islam sebagai teras pembangunan utama.

Langkah itu antara lain bakal menyentuh penyeragaman warna, rekabentuk, fasad bangunan yang menarik dan beridentiti, kemudahan awam serta beberapa langkah lain membabitkan pembangunan sekitar pusat bandar Seksyen 14.

Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan, berkata rancangan pembangunan itu perlu dijalankan segera sebelum pemilik hartanah memajukan projek pembangunan masing-masing.

“Sejak dulu, Shah Alam dibangunkan tanpa mengikut perancangan sebenar, jadi kita mesti mulakan visi mereka bentuk semula pembangunan bandar ini sebelum terlambat.

“Biasanya pemilik tanah tidak mahu terlalu lama menanggung kos dan ingin memajukan projek pembangunan mereka segera, jadi kita mesti cepat” katanya selepas merasmikan Bengkel Pembangunan Pusat Bandar Shah Alam, Seksyen 14, di Hotel Grand Bluewave, di sini, pagi tadi.

Bengkel anjuran Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) itu turut menyentuh perancangan membabitkan isu kesejahteraan dan kemakmuran, sekali gus meningkatkan indeks kegembiraan penduduk Shah Alam, selain pembentangan kertas kerja pembangunan pusat bandar berkonsepkan ciri Islam.

Seramai 120 peserta terdiri daripada pemaju, pemilik tanah, agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi, Ahli Majlis dan Jabatan Teknikal MBSA menyertai bengkel berkenaan.

Jaafar berkata, pihaknya akan berbincang dengan kerajaan negeri supaya mewujudkan garis panduan yang perlu dikuatkuasakan dalam usaha menyediakan tempat letak kereta khas untuk wanita dan penambahan lampu bagi beberapa lokasi yang dikenal pasti.

“Terdapat tempat letak kereta yang gelap dan menakutkan terutama waktu malam. Seharusnya lokasi ini perlu ada lampu dan tempat letak kereta khas bagi kaum hawa terutama untuk wanita yang dekat dengan pintu masuk. Kita akan bawa cadangan ini kepada kerajaan negeri,” katanya. -NFN-

Categories
NASIONAL

PR muafakat pertahan kemenangan DUN Sungai Limau

PRK DUN Sungai LimauSHAH ALAM 22 OKT: Pakatan Rakyat (PR) menzahirkan permuafakatan dalam mempertahan kemenangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Limau pada Pilihan Raya Kecil (PRK), pada 4 November ini.

Pendirian itu dilihta melalui permuafakatan pemimpin PKR yang berkampung di Sungai Limau mulai semalam untuk memberi sokongan penuh kepada calon PAS, Azam Samad, pada hari penamaan esok.

Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali; Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul dan Ahli Parlimen Nibong Tebal, Dr Mansor Othman antara pemimpin yang menyertai ceramah perdana dan majlis pengumuman calon di Markas Utama PAS Jerai, malam tadi.

Menurut laporan Keadilan Daily, Azmin bersama Ketua Angkatan Muda PKR (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin; Adun Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin; Ahli Parlimen Alor Setar, Gooi Hsiao Leung bergandingan dalam program Ramah Mesra Bersama Aktivis dan Anggota Cabang Alor Setar dan Kuala Kedah di Pejabat Majlis Pimpinan Negeri, kira-kira jam 3 petang tadi.

Turut serta dalam program itu adalah Ahli Majlis Tertinggi PKR, Dr Xavier Jayakumar dan Adun Kota Anggerik, Dr Yaakob Sapari.

Program berkenaan diteruskan di Kampung Setia Jaya, Sedaka, Yan dengan pelancaran Bilik Gerakan Utama PKR Negeri dan jentera parti yang turut dihadiri Adun Bakar Arang, Simon Oii, kira-kira jam 5 petang.

Esok mereka juga sepakat akan berarak ke Pusat Penamaan di Pejabat Daerah Yan bagi mengiringi Azam, sebelum berkempen selepas itu. -NFN-

 

Categories
NASIONAL SELANGOR

Penduduk PJS 9 keliru pertukaran poskod baru

PJS 9 keliru pertukaran poskod baru 1

SUBANG JAYA 18 OKT: Penduduk Petaling Jaya Selatan (PJS) 9 keliru dengan perubahan poskod yang dikeluarkan Pos Malaysia bagi kawasan Subang Jaya dan Petaling Jaya.

Berdasarkan notis yang dikeluarkan Pos Malaysia, awal bulan ini, poskod baru untuk kawasan Subang Jaya yang turut membabitkan PJS 9 dan PJS 11 adalah 47500.

Perubahan itu berlaku disebabkan pecahan kawasan Pilihan Raya yang menetapkan kawasan PJS 7, PJS 9 dan PJS 11 yang terletak di kawasan Bandar Sunway berada di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Subang Jaya dan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

PJS 9 keliru pertukaran poskod baru 4

Sementara itu, kawasan Desa Mentari yang membabitkan kawasan PJS 8 dan PJS 10 pula berada di bawah DUN Seri Setia dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Timbalan Pengerusi Rukun Tetangga PJS 9, Mohamad Noor, berkata beliau keliru dengan perubahan poskod berkenaan apabila kad pengenalannya masih menggunakan poskod 46150 di bawah kawasan Subang Jaya, manakala poskod sama yang tercatat dalam lesen memandu didaftarkan dalam kawasan Petaling Jaya.

PJS 9 keliru pertukaran poskod baru 2

“Perubahan baru kepada poskod 47500 Subang Jaya ini bakal membebankan penduduk sekitar terutama dalam urusan alamat surat menyurat,” katanya pada sidang media di Padang PJS 9/14, di sini, hari ini.

PJS 9 keliru pertukaran poskod baru 3

Pengerusi Rukun Tetangga PJS 9, Goh Hai Thun, pula berkata, kad pengenalan dan lesen memandunya masih menggunakan poskod 46150 yang didaftarkan di kawasan Petaling Jaya dan boleh dihubungi untuk urusan surat menyurat

“Sebagai jawatankuasa penduduk, kami ingin tahu sebab utama pertukaran poskod ini berlaku tanpa memaklumkan kepada penduduk. Kami tinggal di PJS yang membawa maksud Petaling Jaya Selatan dan jika mahu meletakkan di bawah kawasan Subang Jaya, ia perlu ditukar kepada SS.

hannah yeoh

Sementara itu, Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh yang turut hadir dalam sidang media berkenaan berkata, pengumuman terbaru itu mengelirukan penduduk terutama membabitkan dokumen penting kerana terpaksa memaklumkan pertukaran poskod kepada beberapa agensi.

“Kita mempunyai sistem Mykad yang canggih dan penduduk tidak perlu pergi ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk menukar poskod, sebaliknya JPN perlu memaklumkan pertukaran itu secara automatik.

“Pos Malaysia seharusnya memaklumkan perubahan ini kepada penduduk, namun sehingga kini kita tidak tahu sama ada mereka melakukannya atau tidak, termasuk memaklumkan kepada agensi penting seperti Bank Negara dan Pejabat Tanah supaya menukar poskod dalam sistem mereka,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Kalimah Allah : bukan alasan wujudkan ketegangan agama

isu kalimah allah

SHAH ALAM 14 OKT : Keputusan Mahkamah Rayuan menghalang Gereja Katolik daripada menggunakan kalimah Allah dalam akhbar mingguan berbahasa Melayu Herald bukan alasan mana-mana pihak mewujudkan ketegangan agama, permusuhan dan kebencian.

Ketua Penerangan PKR, Dr Muhammad Nur Manuty, berkata ketegangan yang berlaku berhubung isu kalimah Allah yang menggunakan pendekatan rasis dan ekstrem dihentikan segara agar suasana tidak bertambah tegang.

Katanya, perlu diadakan pertemuan lebih kerap antara pimpinan agama, politik dan badan bukan kerajaan bagi mempertingkatkan toleransi dan hormat menghormati antara pelbagai agama di negara ini.

“Sebelum ini kurang berlaku pertemuan yang untuk mengurangkan rasa kecurigaan antara satu sama lain.

“Jika banyak pertemuan diadakan sudah pasti suasana agak tegang ini dapat dikurangkan,” kata Dr Manuty ketika dihubungi TVSelangor.

Kata Dr Manuty, dialog antara agama perlu diperbanyakkan bertujuan untuk memperbaiki ruang toleransi yang dibenarkan agar lebih memahami antara satu sama lain.

Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof Rawa, berkata keputusan mahkamah itu tidak sewajarnya menjejaskan hubungan baik antara agama di negara ini.

“Apabila mahkamah sudah membuat keputusan maka semua pihak perlu menghormati keputusan itu.

“Tetapi ini bukan alasan untuk hubungan antara agama menjadi tegang,” kata Dr Mujahid ketika dihubungi TVSelangor.

Kata Dr Mujahid, apabila pertemuan antara pimpinan agama diadakan ia dapat mengelakkan pihak rasis dan prejudis agama mengambil kesempatan mewujudkan suasana konflik agama.

“Kesan keputusan mahkamah itu diharap akan berterusan menjadi perbincangan dan menguatkan lagi azam melihat suasana kedamaian bagi meningkatkan usaha dialog dan sebagainya,” kata Dr Mujahid.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Peningkatan denggi dipantau

Dr Daroyah Alwi_01

KAPAR, 13 OKTOBER: Kerajaan Negeri akan bekerjasama dengan Jabatan Kesihatan Selangor dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi memantau peningkatan wabak denggi yang semakin meningkat di Selangor.

Exco Kesihatan Selangor, Dr Daroyah Alwi berkata, setakat ini Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) terlibat dalam usaha memerangi wabak ini yang melibatkan beberapa kawasan tumpuan.

“Kita faham peningkatan kes denggi di Selangor dan sekarang ini di PBT yang terlibat antaranya MBSA dan MPKj.

“Mungkin disebabkan oleh sampah dan kawasan yang tidak bersih, longkang yang tersumbat dan keadaan cuaca.

“Jadi pihak Jabatan Kesihatan dan PBT sentiasa memantau tempat-tempat tumpuan kejadian denggi kita pantau dan kenalpasti,” katanya kepada TV Selangor.

Menurut Adun Sementa ini lagi, jawatankuasa penduduk setempat turut dipanggil untuk berbincang mengenai perkara ini supaya mereka mengendalikan program gotong-royong pembersihan kawasan kediaman selain melakukan pemeriksaan di premis perniagaan.

“Pertama akan memanggil jawatankuasa penduduk untuk melaksanakan gotong-royong pembersihan.

“Selain itu pihak PBT akan memberikan kompaun premis-premis yang mempunyai jentik-jentik,” katanya lagi.

Jabatan Kesihatan Negeri Selangor melaporkan, terdapat 11,498 kes dilaporkan setakat 5 Oktober lepas iaitu peningkatan 61.74% berbanding 7,109 kes bagi tempoh sama tahun lepas.

Sebanyak 14 kematian akibat denggi dicatatkan tahun ini berbanding 11 kes bagi tempoh sama pada 2012.

Dalam pada itu, sebanyak 230 lokaliti wabak dilaporkan di seluruh Selangor dengan 75 lokaliti (32.6%) daripadanya di daerah Petaling, 71 lokaliti (30.9%) di Hulu Langat dan 44 lokaliti (19.1%) di daerah Gombak.

Jabatan itu dalam kenyataan menyatakan terdapat 16 lokaliti wabak tidak terkawal dan 22 lokaliti ‘hotspot’ atau wabak berlarutan di Selangor.

Secara keseluruhan, kes denggi di seluruh negara menunjukkan peningkatan apabila 23,829 kes dilaporkan tahun ini.

Categories
SELANGOR

Karnival merapat hubungan MPK dan pengguna

mpk2

KLANG 6 OKT : Majlis Perbandaran Klang (MPK) mengambil inisiatif merapatkan hubungan dengan penduduk dalam wilayah pentadbirannya, disamping memperkenalkan pengguna kepada khidmat-khidmat yang ditawarkan.

Karnival Ramah Mesra yang dimulakan seawal jam 8 pagi dan berakhir pada jam 2 petang itu dimeriahkan dengan kehadiran lebih 400 penduduk di Apartmen Amazing Height, Sungai Udang, di sini.

Program terbabit dirasmikan oleh Adun Selat Klang, Dr Halimah Ali. Hadir sama, Timbalan Yang Di Pertua MPK, Ehsan Mukhri dan Ahli Parlimen Kapar, G. Manivannan serta Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar, Iskandar Samad.

mpk

Halimah dalam ucapannya memuji inisiatif memperkenalkan fungsi MPK dan juga beberapa agensi lain yang terlibat. Antara agensi yang turut dijemput dalam karnival itu ialah Jabatan Kesihatan, bomba, Tenaga Nasional Berhad dan beberapa pameran daripada program Merakyatkan Ekonomi Selangor.

“Program ini merupakan medan terbaik bagi MPK untuk memperkenalkan servis yang ditawarkan disamping menghargai penduduk yang banyak membantu PBT ini.

“Sebagai sebuah PBT, perlu menjadikan kawasan di bawah jagaannya menepati sasaran dalam mewujudkan negeri idaman, maju, sejahtera dan berkebajikan, jadi program ini merupakan satu inisiatifnya,” katanya.

Antara aktiviti yang dijalankan ceramah kempen kitar semula minyak masak, tanam pokok, pertandingan mewarna, sukan rakyat iaitu ayam bertelur, teng teng, bowling kelapa dan sepak raga ratus.

Turut diadakan demonstrasi kebakaran oleh pihak bomba dan pertandingan masakan siap.

Categories
SELANGOR

MBPJ adakan seminar pertingkat daya JMB, MC

mbpj2

datin-alinahPETALING JAYA, 6 OKT: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) mengadakan Seminar Akta 757 Pengurusan Strata 2013 bagi membantu Badan Pengurusan Bersama (JMB) dan Perbadanan Pengurusan (MC) di Petaling Jaya memberi khidmat terbaik kepada warga pangsapuri.

Datuk Bandar MBPJ, Datin Paduka Alinah Ahmad berkata Akta 757 ini memansuhkan Akta 663 yang sebelum ini menyebabkan kekeliruan dan ketidakseragaman dalam pengurusan pembangunan strata. Beliau berharap JMB dan MC dapat memanfaatkan Akta 757 untuk menyelesaikan masalah-masalah yang berbangkit sebelum ini.

“Sebelum ini Akta 663 yang digubal pada 2007 banyak kelemahan, terdapat bahagian yang tidak berhubung dengan sesuatu akta lain untuk menyelesaikan masalah penduduk rumah bertingkat. Akta 757 ini diwartakan pada Febuari lalu digubal bagi melicinkan JMB dan MC menyelesaikan masalah penduduk rumah bertingkat,” kata Alinah dalam ucapan perasmian seminar di Dewan Sivik MBPJ hari ini.

Akta 757 membenarkan JMB, MC dan Persuruhjaya Bangunan (COB) melantik ejen pengurusan bangunan menyenggara dan mengurus pembangunan berstrata sebagai ejen pengurusan. Mekanisma penyelesaian konflik juga diperkenalkan untuk pihak berkepentingan menyuarakan ketidakpuasan hati, serta bilangan pegawai dan kakitangan di pejabat COB juga ditambah dari lima orang kepada 16 orang supaya ia dapat menyampaikan khidmat dengan proaktif.

Beberapa kaedah penambahbaikan diperuntukan untuk menyelesaikan masalah kutipan caj penyelenggaraan dan kumpulan wang penjelas (sinking fund). Sebelum ini di Kuala Lumpur dan di Pulau Pinang, beribu-ribu penghuni atau pemilik petak tidak membuat bayaran menyebabkan keadaan bangunan di pangsapuri perumahan rakyat (PPR) tidak terurus dan tambahan berjuta ringgit perlu disediakan utuk membaiki kerosakan dan kemunduran bangunan.

Akta juga memperincikan agihan tanggungjawab dan tempoh penguatkuasaan peralihan kuasa daripada pemaju, JMB, MC dan jawatankuasa MC, serta tindakan-tindakan yang boleh dikenakan keatas pemilik petak/penghuni ?free rider? yang tidak membuat bayaran caj dan tidak menghormati undang-undang.

Sepanjang lima tahun kebelakangan ini, MBPJ turut mengadakan pelbagai seminar bagi membantu masyarakan di Petaling Jaya meningkatkan kualiti hidup masing-masing.

Seminar Akta Pengurusan Strata 2013 hari ini berjaya menarik kehadiran kira-kira seratus wakil JMB dan MC  dari seluruh pelusuk Petaling Jaya.

Seminar itu disampaikan peguamcara dan peguambela, Andrew Wong merupakan konsultan yang terlibat dengan kerja mendraf Akta 757.