Categories
NASIONAL

Dr Agus: Dakwat Kekal Contoh Terbaik Pengerusi Dan Timbalan Pengerusi SPR Letak Jawatan

Prof Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff

SHAH ALAM, 10 JUN: Prof Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff, tidak bersetuju dengan kenyataan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar yang menyatakan badan itu SPR telah menjalankan kerja dengan baik dalam mengurus Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu.

Sambil menyifatkan SPR gagal, Dr Agus mempersoalkan signifikan penubuhan Jawatankuasa Khas terdiri daripada Ahli Parlimen daripada semua parti politik bagi mengawal selia kredibiliti dan integriti SPR seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 1 Jun lalu.

Katanya, kegagalan SPR mengendalian daftar pemilih bersih dan penyediaan dakwat kekal dengan baik merupakan contoh terbaik untuk Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR meletakkan jawatan.

“Yang saya tidak faham dengan pengumuman PM ini ialah kenapa perlu ditubuhkan jawatankuasa untuk memantau SPR? Saya kira tidak perlu jawatankuasa untuk memantau SPR kerana SPR adalah sebuah badan bebas.

“Yang kita perlu sekarang ialah anggota SPR yang boleh bertindak cekap untuk mengurus pilihan raya yang adil dan bebas. Itu yang kita belum ada,” kata Pensyarah Sains Politik, Universiti Kebangsaan Malaysia(UKM) itu menerusi laman sosial Facebook miliknya.

Sekiranya kerajaan ingin meneruskan hasrat menubuhkan jawatankuasa berkenaan, Dr Agus mencadangkan dua solusi agar perkara tersebut dapat dilaksanakan dengann baik.

“Kerajaan perlulah menubuhkan sebuah panel yang terdiri dari wakil parti mengikut kuota undi popular yang diterima oleh parti, dan setiap parti hendaklah berhak menamakan wakil masing-masing, bukannya ditentukan oleh kerajaan.

“(Kedua) jawatankuasa ini juga perlulah diberi rangka kerja untuk mengkaji beberapa pindaan kepada Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Akta Pilihan Raya 1958, Peraturan-peraturan (Penjalanan Pilihan Raya) Pilihan Raya, 1981, Peraturan-peraturan (Pendaftaran Pemilih) Pilihan Raya, 2002 dan Peraturan-peraturan (Mengundi Melalui Pos) Pilihan Raya, 2003,” ujarnya lagi.

Categories
NASIONAL

Anwar : Pasca PRU 13, Umno-BN Angkuh Menggunakan Kuasa

anwar ibrahim kongres ke 9 PKR 02

SHAH ALAM 8 JUN : Penggunaan kuasa Kerajaan Persekutuan oleh Umno untuk mengekang kritikan terhadapnya mencerminkan keangkuhan parti itu serta betapa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak jujur dalam agenda transformasi yang sering diuar-uarkannya.

Sebagai contoh, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan menahan semula aktivis dan pemimpin Pakatan Rakyat baru-baru ini juga menunjukkan betapa UMNO tegar menghina keputusan mahkamah.

“Peristiwa yang berlaku dengan penangkapan semula Tian Chua, Tamrin dan Haris selepas empat hari dibebaskan menunjukkan polis sedang menunjuk lagak melalui kuasa yang dimiliki,” katanya dalam sebuah kenyataan media.

Naib Presiden PKR Tian Chua, aktivis Pas Tamrin Ghafar dan aktivis NGO Asalkan Bukan Umno Haris Ibrahim didakwa di bawah Akta Hasutan 1948 berhubung kenyataan mereka di dalam sebuah forum 13 Mei.

Contoh lain juga dapat dilihat melalui halangan yang dikenakan terhadap Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar daripada memasuki Sabah minggu lepas.

“Tindakan tersebut seolah-olah menyatakan Izzah seorang penjahat, malah meletakkan (Ketua Parlimen DAP) Lim Kit Siang, (Pengerusi Bersih 2.0) S. Ambiga dan saya dalam senarai halangan masuk ke Sabah juga adalah satu penindasan dan salah guna kuasa,” ujarnya lagi.

Menurut Anwar, dengan siri tangkapan, penahanan serta sekatan yang tidak perlu terhadap aktivis dan pemimpin PR, Perdana Menteri membuktikan sekali lagi bahawa dia bukanlah seorang pemimpin yang wajar dihormati.

Malaysia juga di bawah pemerintahan UMNO, kata Anwar, seolah-olah mempunyai dua jenis undang-undang; satu adalah istimewa untuk UMNO dan kroni-kroninya sementara satu lagi dikenakan terhadap orang lain yang tidak sebulu dengannya.

“Ini jelas apabila mereka gagal mengambil sebarang tindakan terhadap pihak yang sebenarnya mencetuskan pergolakan dan isu-isu perkauman.

“Keangkuhan mereka ini pasti akan terima balasan, mereka (UMNO) boleh lakukan apa sahaja; penjarakan, malukan dan menghina sesiapa sahaja yang mereka mahukan.

?Tetapi mereka perlu sedar bahawa kuasa sebenar adalah di tangan rakyat,” tegas Anwar yang juga MP Permatang Pauh.

Categories
NASIONAL

Kes C.Sugumar: Kerajaan Persekutuan Ada 48 Jam Untuk Benarkan Bedah Siasat Kedua

sugumar pc PKR 01

PETALING JAYA 7 JUN : Keluarga C.Sugumar, yang didakwa mati di dalam kawalan polis lima bulan dahulu, akan bertindak untuk mengambilbalik mayat anak mereka yang masih disimpan oleh di Hospital Serdang jika Kerajaan Persekutuan tidak melakukan bedah siasat kedua dalam tempoh 48 jam.

Bapa saudaranya, A. Kuppusamy berkata, keluarga mendiang telah menunggu selama 136 hari bagi mendapat keadilan dengan menuntut bedah siasat kali kedua tetapi tuntutan itu didakwa digagalkan dengan campur tangan Perdana Menteri sendiri.

“Saya dan ahli keluarga akan meneruskan pengebumian mendiang dan Kerajaan Pusat akan tanggung akibatnya,” katanya dalam satu sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini hari ini.

Dalam satu kejadian pada petang 23 Januari lalu, Sugumar, 40, seorang pegawai keselamatan, ditemui mati dalam keadaan digari serta mukanya dilumur serbuk kunyit.

Bedah siasat Hospital Serdang berkata punca kematiannya akibat sakit jantung namun ini ditolak keluarga mendiang kerana tiga orang saksi yang berada di tempat kejadian mendakwa melihat mendiang dikejar dan dipukul oleh polis.

Beberapa protes yang dilakukan sebelum ini akhirnya menyebabkan Kementerian Kesihatan bersetuju untuk membenarkan ahli patologi daripada Thailand, Dr Pornthip Rajasunan untuk melakukan bedah siasat kali kedua.

Bagaimanapun, pada Februari 2013, Dr Porthip mendedahkan bahawa beliau tidak dapat melakukan bedah siasat itu kerana campur tangan daripada Kerajaan Malaysia dan Thailand.

Sebelum ini, MP Padang Seri N Surendran mendedahkan Dr Pornthip bertindak sedemikian selepas Datuk Seri Najib Razak menghubungi Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra.

Surendran juga mendakwa Kerajaan Persekutuan dan Kementerian Kesihatan menzalimi keluarga mendiang dengan menyatakan bedah siasat kedua memerlukan surat kebenaran daripada mahkamah.

Dakwanya, tiada peruntukan dalam undang-undang di negara ini yang menyatakan bahawa surat kebenaran mahkamah diperlukan bagi tujuan bedah siasat kedua.

“Kenapa minta surat kebenaran mahkamah sedangkan undang-undang tidak memperuntukkan sedemikian untuk melakukan bedah siasat kedua?” soal Surendran yang juga hadir pada sidang media itu.

Turut hadir pada sidang media itu MP Subang, Sivarasa Rasiah dan peguam keluarga mendiang, Latheefa Koya.

Jesteru itu, Surendran mendesak agar Najib membenarkan Dr Pornthip datang ke negara ini atau membenarkan ahli patologi tempatan di Hospital Kuala Lumpur atau Hospital Universiti Malaya melakukan bedah siasat kedua ke atas mayat mendiang.

Categories
NASIONAL

NGO : Letak Jawatan Jika Tidak Mahu Demonstrasi Seluruh Negara

NGO Letak Jawatan Jika Tidak Mahu Demonstrasi Seluruh Negara

KUALA LUMPUR, 6 JUN : Gabungan Suara Rakyat 505 hari ini memberi amaran kepada kerajaan bahawa pihaknya akan terus mengadakan demonstrasi jalanan secara aman selagi Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak meletakkan jawatan.

Gabungan itu turut mengkritik keputusan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk meletakkan SPR di bawah kuasa parlimen yang disifatkan tidak menyeluruh malah diibaratkan seperti melepaskan batuk di tangga.

Ia berikutan SPR masih gagal melaksanakan sepenuhnya tuntutan Jawatankuasa Pilihan Khas Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya (PSC) dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), 5 Mei lalu, kata Pengerusi Asal Bukan Umno (ABU), Haris Ibrahim.

Katanya, SPR juga dilihat seperti memuji diri sendiri setelah melaksanakan sebahagian daripada cadangan yang dikemukakan PSC, sedangkan proses PRU-13 terbukti tidak profesional dan penuh muslihat.

“Selagi tuntutan itu tidak dilakukan, gabungan lebih 50 badan bukan kerajaan (NGO) akan terus melakukan demonstrasi jalanan secara aman sebagai bantahan terhadap kegagalan mewujudkan sebuah badan pilihan raya yang bebas.

“Rakyat beri peluang kepada SPR untuk jelaskan perkara ini tetapi kepimpinan SPR sangat mengecewakan kerana mereka tolak mentah-mentah segala dakwaan penipuan PRU yang dimaksudkan walaupun perkara itu belum diputuskan di mahkamah.

“Keyakinan orang ramai terhadap SPR kini berada di tahap paling rendah. Kita semua mesti mengecam sebarang langkah penyusunan semula SPR yang tidak menyeluruh mengikut cara sepatutnya,” katanya dalam sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor, pagi tadi.

Hadir sama, Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM), S.Arutchelvan dan Pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin (CheguBard).

Dalam pada itu, beliau bersama pimpinan NGO lain berjanji akan memberi sokongan penuh terhadap Perhimpunan 505 pada 15 Jun ini di Padang Merbok dengan menggerakkan seluruh jentera semasa himpunan itu nanti.

“Kami akan bersama-sama menunjukkan semangat solidariti rakyat untuk terus menuntut perletakan jawatan SPR.

“Kami tidak akan mengingkari janji yang telah dibuat dan beralih menyalahkan pihak lain pula. Kami tidak akan lupa, tidak akan berputus asa dan menyerah kalah,” katanya lagi.

Categories
NASIONAL

SPR : Tukar Pengerusi, Timbalan SPR Bagi Tingkatkan Kredibiliti JKP SPR

khalid samad white pc 03

SHAH ALAM 3 JUN : Menukar pengerusi dan timbalan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) antara langkah yang paling utama bagi meningkatkan kepercayaan umum terhadap Jawatankuasa Khas Parlimen (JKP) yang akan menyelia agensi itu.

Timbalan Pesuruhajaya PAS Selangor, Khalid Samad, berkata perlantikan baru pengerusi dan timbalannya harus daripada individu yang benar-benar bebas, berintegriti serta berkredibiliti tinggi bagi memastikan reformasi sistem pilihan raya dapat dilakukan.

“Sebaiknya individu tersebut perlu berpegang kuat pada prinsip ingin melihat sistem pilihan raya yang telus, yang bertanggungajawab menentukan sesebuah kerajaan,” ujarnya yang dihubungi melalui panggilan telefon.

Beliau yang menyambut baik cadangan penubuhan jawatankuasa khas tersebut juga mengingatkan Perdana Menteri untuk  melaksanakannya dengan telus dan ikhlas, bukan sekadar cadangan kosong semata-mata.

“Kita tidak mahu menjadi seperti Jawatankuasa Khas yang ditubuhkan sebelum ini di mana hampir semua cadangan tidak diambil berat dan dilaksana dengan baik.

“Kita ingin melihat kali ini kesungguhan pihak kerajaan dan SPR,” tambahnya.

Ujar Khalid, rakyat yang semakin celik politik akan terus melihat dan menilai keikhlasan Perdana Menteri dalam menunaikan janji kali ini.

Sabtu lalu, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan bahawa kerajaan akan memindahkan kawal selia dan fungsi SPR kepada satu jawatankuasa khas yang diwakili anggota Parlimen daripada semua parti politik sama ada kerajaan atau pembangkang.

Ujarnya, langkah itu bagi memperkukuhkan lagi kewibawaan dan kredibiliti SPR yang ketika ini diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Categories
NASIONAL

Mulakan Perubahan SPR dengan Lantik Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Baru

kit siang parlimen 01

SHAH ALAM 2 JUN : Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digesa memulakan usaha perubahan dan penambahbaikan dalam pilihan raya di negara ini dengan membuat pelantikan Pengerusi dan Timbalan Pengerusi yang baru.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, perkara berkenaan adalah penting untuk memastikan keyakinan rakyat terhadap suruhanjaya itu dalam melaksanakan tugasnya yang professional yang sebelum ini dipertikaikan.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan bahawa SPR akan melaporkan terus kepada jawatankuasa khas di bawah Parlimen,” kata Kit Siang dalam kenyataan medianya.

Jelas beliau lagi, adalah perlu bagi Najib berkenaan hal penambahbaikan SPR ini dengan diadakan perbincangan menyeluruh dengan Ahli Parlimen daripada Pakatan Rakyat (PR) sebelum sebarang pengumuman dilakukan.

“Jadi dengan adanya perbincangan maka sebarang cadangan pembaharuan akan diberikan daripada pelbagai pihak dengan butiran lengkap dapat diperhalusi,” kata beliau.

“Justeru, adalah penting Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR yang dibaru dapat dilantik kerana Pengerusi dan Timbalan Pengerusi yang ada sekarang seolah-olah berpihak kepada Barisan Nasional,” ujar beliau.

Sebelum ini, Najib Razak dalam ucapan sembah tahniah kepada Yang Dipertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah berkata akan memindahkan kawal selia SPR kepada satu jawatankuasa khas yang diwakili anggota Parlimen daripada semua parti politik.

Categories
NASIONAL

PKR Gesa Badan Bebas Ambil Alih SPR Isu Persempadanan Semula

Azmin HQ PKR 02

SHAH ALAM 2 JUN : PKR menuntut agar kerajaan menubuhkan badan bebas di bawah kuasa parlimen bagi mengambil alih peranan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk membuat syor terhadap urusan persempadanan semula.

Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali berkata, pengumuman Datuk Seri Najib Razak untuk memindahkan kawal selia SPR di bawah kuasa Jawatankuasa Khas Parlimen menandakan kemenangan awal PKR dalam menuntut reformasi pilihan raya.

“Cadangan pembentukan Jawatankuasa Khas hendaklah dihalusi dengan pelbagai pihak dan memberikan terma rujukan yang luas dan holistik supaya jawatankuasa yang dibentuk dapat melaksanakan reformasi pilihan raya secara efektif.

“Cadangan ini bagi memastikan tidak berlaku penyalahgunaan kuasa serta menjamin tugas dan peranan SPR yang lebih efektif dan bertanggungjawab,” kata Azmin dalam kenyataan medianya.

Jelas Azmin, pengumuman tersebut membuktikan bahawa kerajaan mengakui wujudnya penipuan dan kelemahan dalam proses pilihan raya di Malaysia.

“SPR dituntut untuk mengembalikan kepercayaan awam, memulihkan kredibiliti serta wibawa sebagai sebuah badan bebas yang menjadi tonggak kepada sebuah negara yang demokratik,” tegas Azmin.

Ujar beliau, sebagai langkah permulaan, PKR menuntut agar Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR meletakkan jawatan segera demi memulihkan kredibiliti dan reputasi SPR sebagai sebuah entiti demokrasi.

Perkara 113 dan 114 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menggariskan pembentukan SPR di mana suruhanjaya itu bukanlah sebuah agensi ataupun jabatan Kerajaan dan tidak boleh menjadi alat kepada mana-mana parti politik.

“PKR bersama-sama badan bukan kerajaan (NGO) termasuk BERSIH menggesa agar kawal selia SPR tidak boleh diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri.

“Sungguhpun begitu adalah penting pengumuman Perdana Menteri bukanlah sekadar latihan perhubungan awam(public relations exercise) semata-mata,” kata beliau.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Penstrukturan Semula Industri Air Dimulakan Kembali

mb exco baru pc 01

KLANG 30 MEI : Perbincangan mengenai industri air Selangor akan dimulakan kembali dengan Kerajaan Persekutuan dalam masa terdekat dengan harapan penstrukturan semula perkhidmatan itu dapat diteruskan Kerajaan Selangor.

Ini supaya proses pengambilalihan operasi rawatan dan pengedaran air di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya daripada empat syarikat swasta dapat disempurnakan bagi memastikan pengguna mendapat bekalan yang cukup, berterusan dan pada harga berpatutan.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, surat rasmi mengenai perbincangan sudah dihantar Isnin lalu kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air baru Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

Surat tersebut sebagai respons Kerajaan Negeri kepada kenyataan Dr Maximus minggu lepas yang mahu bertemu dan berbincang dengan Selangor tentang perkhidmatan air di Selangor.

Abdul Khalid berharap kementerian akan memberi respon segera supaya satu perbincangan dapat dilakukan dalam tempoh terdekat.

“Keutamaan kita ialah untuk meningkatkan perkhidmatan pembekalan air kepada rakyat Selangor dan Lembah Klang menerusi penstrukturan semula perkhidmatan air seperti yang dikehendaki Akta Industri Perkhidmatan Air atau WSIA.

“Saya telah menghantar surat rasmi kepada Dr Maximus Ongkili untuk mengadakan perbincangan bagi memuktamadkan proses penstrukturan ini.”

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis angkat sumpah ahli jemaah Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di Istana Alam Shah di sini hari ini.

Proses penstrukturan semula industri air dimulakan oleh Kerajaan Negeri pada tahun lepas sebagai usaha mengambilalih operasi bekalan, rawatan dan pengedaran daripada empat syarikat swasta.

Kerajaan Negeri telah menawarkan RM 9.65 bilion untuk mengambilalih empat syarikat tersebut dan setakat ini mereka telah memberi respons positif terhadap tawaran itu.

Minggu lalu, Dr Maximus menyatakan hasrat bertemu dengan Abdul Khalid dalam cadangan untuk menstruktur semula industri air di Selangor supaya satu kesimpulan secara baik akan dapat dicapai.

Dr Maximus berkata beliau harap untuk duduk bersama dengan Abdul Khalid untuk meneroka bahagian yang Kerajaan Persekutuan boleh bekerjasama dengan Kerajaan Negeri.

Categories
NASIONAL

Pendakwaan Dibawah Akta Hasutan Pilih Kasih, Zalim

tian haris tamrin akta hasutan 01

SHAH ALAM 30 MEI : Pertuduhan mengikut Akta Hasutan 1948 yang dikenakan terhadap seorang pemimpin Pakatan Rakyat dan empat aktivis semalam adalah zalim kerana akta tersebut berlawanan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Ahli Parlimen Batu Tian Chua, ahli Pas Thamrin Ghafar dan aktivis Hariz Fathillah Mohamed Ibrahim, Safwan Anang dan Hishamuddin Rais didakwa di mahkamah seksyen kerana kenyataan mereka di sebuah forum pada 13 Mei.

Bahkan, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pernah mengakui akta tersebut menyekat kebebasan bersuara dan berjanji untuk menghapuskan akta tersebut.

Peguam Gobind Singh Deo berkata pihaknya akan menggunakan hakikat akta itu bercanggah dengan Perlembagaan sebagai asas untuk membatalkan kes itu di Mahkamah Tinggi.

Menurut Gobind lagi, kata-kata yang dituturkan oleh ketiga-tiga tertuduh sama-sekali tiada unsur hasutan.

“Apa yang disebut atau dikatakan merupakan perkataan-perkataan menghasut itu memang tidak menghasut seperti sedia ada,” kata Gobind yang juga MP Puchong.

Kelima-lima individu tersebut dituduh di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 di Mahkamah Sesyen Jalan Duta semalam.

Mereka didakwa membuat kenyataan berunsur hasutan di satu forum 13 Mei, di Kuala Lumpur, 13 Mei lepas.

Mereka mengaku tidak bersalah dan Hakim Norsharidah Awang membenarkan mereka diikat jamin RM 5,000 setiap seorang. Pendengaran kes ditetapkan pada 2 Julai.

Jika disabit kesalahan boleh dipenjarakan tiga tahun atau didenda RM 5,000 atau kedua-duanya.

Gobind menyifatkan pendakwaan yang dilakukan ke atas lima individu tersebut bukan sahaja menentang Perlembagaan bahkan juga bersikap pilih kasih.

“Ini adalah satu penyalahgunaan proses mahkamah dimana kita menyatakan akta hasutan itu bertentangan dengan perlembagaan persekutuan.”

Categories
NASIONAL

Dr Agus : Himpunan 505 Kerajaan Tidak Perlu Ugut Rakyat

DSC_0371

SHAH ALAM, 29 MEI : Pensyarah Politik, Prof Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff menggesa kerajaan menyelesaikan permasalahan Perhimpunan 505 secara baik tanpa perlu ada sebarang bentuk ugutan mahupun kekerasan.

Ini kerana majoriti rakyat menyedari tanggungjawab dan hak mereka untuk berhimpun selaras dengan Perkara 10(1)(b) Perlembagaan Persekutuan.

Ulas beliau di laman Facebooknya, perkara berkenaan menyatakan perhimpunan aman adalah hak rakyat: Semua warganegara berhak berhimpun secara aman dan tanpa senjata.

“Bagi kerajaan juga, saya harap sangat isu perhimpunan 505 ini dikendalikan secara baik. Moga tidak ada penggunaan kekerasan, tangkapan yang tidak perlu dan ugutan kepada rakyat.

“Rakyat sedar tentang tanggungjawab dan hak mereka. Berikan mereka peluang untuk mengekspresikan diri dalam ruang yang dibenarkan oleh sistem demokrasi dan undang-undang negara kita,” katanya.

Media melaporkan enam lagi pemimpin Pakatan Rakyat didakwa kerana menganjurkan perhimpunan tanpa memaklumkan perkara berkenaan kepada Ketua Polis Daerah masing-masing seperti yang dinyatakan dalam Akta Himpunan Aman 2012.

Bagi menyelesaikan perkara ini beliau menyarankan agar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan dialog untuk menyelesaikan kemelut ini.

Tulisnya lagi, berkenaan sistem pilihan raya di negara ini diuruskan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya(SPR) mengikut perlembagaan.

Maka jika didakwa berlaku ketidakpuasan hati dalam pilihan raya, SPR perlu bertanggungjawab untuk menjawabnya.

Tegasnya lagi demokrasi di negara ini tidak boleh subur sendirian sebaliknya memerlukan pembangkang dan kerajaan sama-sama memahami dan meraikannya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Rodziah : PM Puji Rosmah Berdasarkan KPI Atau Sebagai Suami Isteri

rosmah-permata-2

SHAH ALAM 28 MEI : Tidak pasti apakah pujian pujian Perdana Menteri terhadap Datin Seri Rosmah Mansor berhubung Projek Permata Negara berlandaskan hubungan suami isteri atau berdasarkan pencapaian Indeks Prestasi Utama (KPI) projek tersebut.

Demikian respon Timbalan Ketua Wanita PKR Pusat, Rodziah Ismail ketika diminta mengulas pujian Datuk Seri Najib Razak dalam Persidangan Women Deliver 2013, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini

Najib dalam ucapannya menyanjung tinggi kerja-kerja kebajikan yang dijalankan isterinya selain mendakwa usaha Rosmah itu memberi dividen besar kepada negara.

Bagaimanapun, Rodziah merasakan Projek Permata yang dicetuskan Rosmah itu tidak mencapai sasaran yang sewajarnya kerana ia hanya tertumpu pada segelintir kumpulan kanak-kanak.

“Saya lebih menggesa Perdana Menteri untuk melihat kebajikan kanak-kanak kepada hak yang lebih menyeluruh tanpa mengira latar belakang mereka samada daripada kawasan kampung atau bandar, untuk mendapat pendidikan awal.

“Isu pendidikan awal kanak-kanak ini sepatutnya dilihat secara lebih menyeluruh sedangkan Projek Permata seolah-olah hanya mensasarkan golongan tertentu dan elit untuk beroleh manfaaat,” ujar Rodziah yang dihubungi melalui panggilan telefon.

Seharusnya, tegas Adun Batu Tiga ini, Kerajaan Persekutuan perlu mewujudkan insentif tertentu untuk disalurkan secara terus kepada ibu bapa khususnya mereka yang berpendapatan rendah, lebih-lebih lagi dalam menghadapi kos sara hidup yang semakin meningkat.

“Jika dilihat, kebanyakan projek-projek persekutuan ini lebih pentingkan bilangan atau kuantiti sementara kualiti langsung tidak dipantau.

“Malah, kita juga tidak tahu siapa yang benar-benar menerima manfaat daripada projek yang dijalankan,” jelasnya lagi.

Projek Permata Negara mula dilaksanakan pada tahun 2007 dengan tujuan memberi peluang kanak-kanak di bawah umur 4 tahun didedahkan dengan proses pembelajaran awal.

Projek ini juga menerima peruntukan setiap tahun dalam bajet Kerajaan Pusat dan terbaru dalam Bajet 2013 yang dibentangkan September tahun lalu, sejumlah RM111 juta daripada bajet pendidikan diberikan kepada Projek Permata yang diketuai Rosmah ini.

Ia bagaimanapun tidak dimasukkan laporannya dalam Laporan Audit Negara menyebabkan tiada siapa arif dan tahu tentang bagaimana peruntukan yang diterima dibelanjakan.

Berbeza dengan Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor sehingga April lalu, lebih RM600,000 diperuntukkan untuk memberi bantuan Tadika (Skim Tunas) dan Taska (Skim Si Kembar) kepada keluarga yang berpendapatan rendah.

Untuk Skim Tunas, keluarga berpendapatan RM 2,500 sebulan layak untuk mendapat bantuan RM 50 sebulan untuk menghantar anak mereka yang berusia antara empat hingga enam tahun ke tadika.

Sementara itu, bagi Skim Si Kembar, kanak-kanak berusia empat tahun ke bawah layak menerima bantuan RM 100 setiap bulan yang dibayar terus kepada taska yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Categories
NASIONAL SELANGOR

Perjanjian Sia-sia Tanpa Tandatangan Najib – BULETIN 13

Sinopsis

BULETIN 13 Untuk 28052013

Saksikan secara langsung “BULETIN 13” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT. Pelbagai info dan maklumat yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Perjanjian yang dibuat di antara Ketua Umum Pakatan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengenai Pilihan Raya Umum ke-13 tidak sah kerana Najib sendiri tidak tandatangani perjanjian itu.

Justeru, Anwar berkata tidak timbul soal beliau memungkiri perjanjian tersebut yang diatur mantan Presiden Indonesia Jusuf Kalla sebelum PRU-13.

2. Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Sembilan didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban kerana tidak memaklumkan kepada Ketua Polis Daerah Seremban mengenai penganjuran blackout505 10 hari sebelum perhimpunan itu, 17 Mei lepas.

3. Kerajaan Negeri akan terus mempertahankan pendirian bahawa projek Loji Langat 2 hanya boleh diteruskan dengan penstrukturan semula industri air Selangor.