Categories
SELANGOR

Pelajar Mesir ditawar sambung belajar di KUIS

halimah ali pelajar mesirBANGI, 10 SEPT : Pelajar-pelajar Selangor yang telah melanjutkan pengajian di Mesir boleh menyambung pengajian mereka dalam bidang yang sama di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS).

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Dr Halimah Ali berkata cadangan itu adalah bagi memastikan pelajar-pelajar Selangor di bawah tajaan Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang terkesan dengan krisis Mesir dapat melangsungkan pengajian mereka dengan selamat di negara ini.

“Sekurang-kurangnya 1,200 pelajar Selangor tajaan LZS belajar (bidang agama) di Mesir. Kita khuatir risiko keselamatan mereka selain persekitaran yang tidak sesuai untuk mereka meneruskan pengajian mereka, jadi kita tawarkan mereka menyambung pelajaran mereka dalam bidang yang sama di KUIS,”ujarnya.

Sementara itu, Dr Halimah berkata 79 pelajar tajaan LZS yang sepatutnya melangsungkan pengajian mereka di Mesir diserapkan terus ke KUIS.

Sementara itu, Rektor KUIS, Prof Madya Datuk Dr Abd Halim Tamuri berkata bagi memenuhi keperluan itu, pihaknya sedang berusaha membawa tenaga pengajar bertauliah dari negara Mesir dan Syria.

“Kemasukan pelajar ini akan diselaraskan kembali mengikut pemindahan jam kredit, ia juga bergantung kepada transkrip mereka disana.

“Pihak kami akan berikan yang terbaik untuk mereka termasuk menyediakan tenaga pengajar bertauliah dari Mesir dan Syria,”ujarnya.

Mesir bergolak selepas Presiden Mohamed Morsi yang dipilih secara demokratik tahun lalu, digulingkan tentera pada 3 Julai lalu.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Pelajar Selangor di Mesir lega tiba di tanah air

halimah 2

SEPANG, 28 OGOS : Sekumpulan 31 penuntut Selangor di Mesir yang dibawa pulang secara berperingkat melalui penerbangan komersil dalam Ops Piramid 2 selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira pukul 11.30 malam tadi.

Mereka yang tiba di tanah air dengan menaiki pesawat Etihad 0416 itu disambut Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali.

Kumpulan berkenaan adalah sebahagian daripada lebih 800 pelajar Selangor di Mesir yang sedang dibawa pulang secara berperingkat melalui penerbangan komersial dalam Ops Piramid 2 mulai 22 Ogos lalu.

Bagi pelajar jurusan Perubatan di Universiti Al azhar, Mesir, Nur Atikah Zulkifli, ketibaannya ke tanah air dapat mengurangkan kebimbangan ahli keluarga mengenai keselamatannya di negara yang sedang bergolak itu.

Menceritakan pengalaman berada di sana, Atikah yang berada di bawah tajaan Lembaga Zakat Selangor (LZS) berkata, keadaan asrama anak Selangor di sana rata-ratanya masih berada dalam keadaan selamat.

“Sebenarnya semasa hari kejadian, saya tidak berada di situ tetapi ada dikalangan rakan-rakan yang dapat melihat gas pemedih mata dilepaskan kerana rumah kami memang berhampiran dengan tempat kejadian.

“Pihak keselamatan di sana sentiasa memantau keadaan pelajar. Kalau ikutkan, pelajar tidak mengalami sebarang masalah di sana, tetapi demi keselamatan lebih baik kami dihantar pulang ke tanah air,” katanya.

Seorang lagi pelajar, Ahmad Muizuddin Muhammad Kamaruzzaman berkata, tidak semua tempat di Mesir yang terlibat dengan pergolakan itu, namun tempiasnya masih dapat dirasakan.

Beliau berkata, langkah membawa pulang pelajar ke Malaysia adalah tindakan bijak kerana kebanyakan ibu bapa bimbangkan keselamatan anak-anak mereka di sana.

“Kami mengucapkan terima kasih kepada pihak tertentu yang telah membawa kami pulang kerana kalau lihat keadaan sekarang, memang elok kami balik ke Malaysia,” katanya.halimah 2

Sementara itu, Dr Halimah ketika ditemui mengharapkan supaya semua pelajar Malaysia di Mesir dapat pulang ke tanah air sehingga keadaan kembali tenang di sana.

Beliau turut menghargai usaha Kerajaan yang memperuntukkan dana untuk memastikan kesemua pelajar selamat pulang ke negara ini.

“Kita khuatir kerana keadaan dijangka teruk dan ada dikalangan pelajar yang tidak dapat keluarkan duit.

“Bila tidak dapat keluarkan duit, maknanya sara hidup, makan minum agak sukar. Jadi adalah lebih baik jika mereka pulang ke kampung halaman sehingga keadaan tenteram.

“Kita akan tengok sama ada mereka boleh melanjutkan pelajaran ke Mesir atau bagaimana,” ujarnya.

Selasa lalu, kerajaan memutuskan untuk membawa pulang 3,300 pelajar Malaysia di Mesir menggunakan pesawat komersial berikutan pergolakan di negara itu yang dilaporkan semakin tidak menentu.

Proses membawa pulang pelajar dijangka akan berlangsung sehingga Jumaat ini.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Teresa Lapor Polis Artikel ‘Cina Mahu Duit Zakat’ – FOKUS

Sinopsis

FOKUS Untuk 07082013

Saksikan secara langsung “FOKUS” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT setiap jam 2.00 Petang dan 6.00 Petang. Pelbagai berita dan maklumat terkini negeri dan nasional yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok hari ini membuat laporan polis berhubung satu tulisan di sebuah blog yang menurutnya berniat jahat memfitnah dirinya menuntut kutipan zakat untuk kaum cina.

2. Lembaga Zakat Selangor tidak mengambil kira faktor rumah yang besar dan cantik sebagai syarat menerima zakat selagi ia hanya harta peninggalan yang diwarisi pemohon.

3. Kesemua Exco dan Ahli Dewan Undangan Negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang mengistiharkan aset mereka semalam.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Selangor Tangguh Hantar Pelajar Ke Mesir

Halimah Ali PC EXCO 6 FEB 2013 01

SHAH ALAM, 31 JULAI: Kerajaan Negeri Selangor hari ini mengambil keputusan menangguhkan penghantaran 95 pelajarnya ke Mesir sehingga situasi keselamatan terjamin.

Kerajaan Negeri turut memutuskan akan menempatkan pelajar terlibat yang mengikuti pengajian jurusan agama ke Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) sebagai pilihan alternatif.

Kerajaan Negeri juga menawarkan tempat kepada pelajar jurusan perubatan bagi mengikuti pengajian asasi sains di Universiti Selangor (Unisel).

“Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang sebelum ini bersetuju untuk menaja mereka ke Mesir telah diminta untuk meneruskan penajaan mereka di penempatan baru ini,”katanya.

Demikian menurut Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi Dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor, Dr Halimah Ali dalam sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) tengahari tadi.

Kerajaan Negeri juga meminta agar pihak ibu-bapa dan orang ramai yang terlibat agar bertenang dan berdoa  semoga situasi yang berlaku di Mesir itu akan pulih dalam masa terdekat.

“Kerajaan Negeri akan terus memantau dan menyelia perkembangan terkini dari masa ke semasa terutama berkaitan keselamatan pelajar Selangor di Mesir,” ujar Dr Halimah lagi.

Presiden Mesir Dr Mohamed Morsi yang dipilih rakyat digulingkan Tentera Mesir dalam satu rampasan kuasa baru-baru ini.

Tindakan tersebut mendapat bantahan jutaan rakyat Mesir dengan mengadakan demontrasi besar-besaran.

Keadaan menjadi bertambah tegang apabila pihak tentera baru-baru ini menembak mati lebih 100 penunjuk perasaan tersebut dan sekaligus menimbulkan suasana tidak selamat di negara itu.

Categories
SELANGOR

KUIS Bakal Jadi Universiti Islam Tiga Tahun Lagi

20130730_200445_LLS (1)

BANGI 31 JULAI : Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) mensasarkan untuk menjadi sebuah Universiti Islam dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Rektor KUIS, Prof Madya Datuk Dr Ab Halim Tamuri berkata, manakala jumlah pelajar pada tahun 2014 ini akan ditingkatkan kepada 6,000 mahasiswa.

“Bagi mencapai sasaran tersebut, antaranya akan menawarkan Program Pasca Siswazah dalam bidang sarjana, dan doktor falsafah melalui pusat pengajian siswazah yang akan diaktifkan semula.

“KUIS membuka tawaran pengambilan setelah mendapat kelulusan daripada pihaj Malaysian Qualifications Agency (MQA) yang merupakan sebahagian 46 program pengajian yang ditawarkan,” kata beliau.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Berbuka Puasa DYMM Sultan Selangor bersama Rakyat dan Penyampaian Sumbangan Hari Raya di pekarangan Masjid Al-Azhar KUIS di sini.

Pada majlis yang sama, Lembaga Zakat Selangor (LZS) menerima zakat perniagaan berjumlah RM936,454.77 daripada Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) dan RHB Islamic Bank Berhad.

DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima bayaran zakat berkenaan.

KDEB yang diwakili Presidennya, Suhaimi Kamaralzaman menunaikan zakat perniagaan bagi KDEB dan anak syarikatnya sebanyak RM826,455.77.

Manakala, RHB Islamic Bank Berhad diwakili Pengarahnya, Datuk Faizal Siraj menunaikan zakat perniagaan berjumlah RM110,000 .

Sementara itu pada majlis yang sama, Sultan Selangor turut berkenan menyampaikan sumbangan Hari Raya kepada 37 orang pelajar fakir, 115 orang pelajar miskin dan 100 orang asnaf mualaf yang menerima sumbangan RM400 setiap seorang.

Turut hadir, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Datuk Mohamed Khusrin Munawi dan Datuk Seri Utama Diraja Mufti Selangor, Datuk Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid.

Categories
SELANGOR

Pembesaran Masjid Kampung Parit Mahang Ceriakan Masyarakat Kampung

sultan rasmi masjid parit mahang 29 julai 03

KUALA SELANGOR 30 JULAI : Pembesaran masjid Kampung Parit Mahang di sini bernilai RM 5.4 juta menceriakan masyarakat kampung tersebut kerana mereka kini dapat beribadat dan menjalankan aktiviti agama dengan selesa.

sultan salam orang ramai 29 julai 01Projek tersebut yang siap pada 22 September 2009 membolehkan masjid itu menampung jemaah seramai 2,000 orang pada sesuatu masa.

“Sesungguhnya keberangkatan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah amat bermakna bagi patik sekalian khususnya penduduk di kampung ini.

?Kerana bukan sahaja dapat berbuka puasa bersama Tuanku malah apa yang lebih bermakna apabila masjid yang tersergam indah ini akan dirasmikan Tuanku.

“Keberangkatan Tuanku ke masjid ini secara tidak langsung mencerminkan keprihatinan Tuanku terhadap pembangunan hal ehwal Islam dan pengurusan masjid di negeri tercinta ini,” kata Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Marzuki Hussin.

Beliau berkata demikian di dalam ucapannya di Majlis Perasmian Masjid sempena Majlis Berbuka Puasa DYMM Sultan Selangor Bersama Rakyat dan Sumbangan Aidilfitri di Kampung Parit Mahang di sini semalam.

sultan rasmi masjid parit mahang 29 julai 02Sebelum perasmian masjid, Sultan Selangor berkenan menyampaikan sumbangan Aidilfitri disediakan Lembaga Zakat Selangor (LZS) kepada asnaf fakir miskin seramai 250 orang, asnaf muallaf (100 orang) dan anak yatim (158 orang) bagi daerah Kuala Selangor.

Turut hadir, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Masjid di kampung dibina pada 1960-an dan diusahakan bersama oleh penduduk kampung bagi mendirikan solat berjemaah, solat Jumaat dan aktiviti keagamaan.

Sejak 1970, kampung tersebut mengalami pertambahan penduduk dan pembinaan taman-taman perumahan di sekitarnya menyebabkan masjid sedia ada tidak dapat menampung keperluan jemaah.

Kerajaan Negeri dan JAIS meluluskan projek pembesaran masjid pada 28 Januari 2008.

 

Categories
SELANGOR

Sultan Selangor Seru Kerajaan Negeri Naiktaraf Perpustakaan

sultan lawat perpustakaan 18 jul 03

SHAH ALAM 18 JULAI : Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah mengingatkan Kerajaan Negeri supaya menaiktaraf perpustakaan di setiap daerah termasuk perpustakaan Raja Tun Uda yang dilawatinya hari ini.

Baginta bertitah perpustakaan adalah sebuah tempat gedung ilmu, malah perpustakaan juga boleh dijadikan sebagai tempat riadah di mana ibu bapa dan keluarga boleh datang bersama-sama untuk membaca buku dan membuat rujukan.

“Oleh itu, ia hendaklah dilakukan dan janganlah dilupakan begitu sahaja kerana seperti yang kita ketahui banyak aktiviti-aktiviti lain dalam penimbaan ilmu boleh dijalankan di perpustakaan.

sultan lawat perpustakaan 18 jul 01“Beta juga difahamkan pembinaan untuk meletak kenderaan juga perlu dibina dengan segera kerana keadaan yang sesak apabila pengunjung-pengunjung datang ke perpustakaan Raja Tun Uda ini.

“Beta juga berkenan supaya landskap yang sedia ada disekeliling perpustakaan ini dinaik taraf dan ditambah dengan pokok-pokok hijau supaya menjadikan kawasan ini indah selain mendatangkan suasana bersih dan menyihatkan.”

Baginda bertitah pada Majlis Penyampaian sumbangan buku kepada perpustakaan itu, di Seksyen 13, di sini.

Baginda juga menyeru kepada setiap rakyat Selangor supaya bersama-sama menjaga dan memelihara perpustakaan termasuk buku-buku yang terdapat di dalamnya supaya menjadi mercu tanda gedung ilmu.

Selain itu, DYMM Sultan Sharafuddin turut berkenan menyerahkan sumbangan buku daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) bernilai RM 200,000 kepada Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor.

Sumbangan buku-buku yang berjumlah 2,780 naskah itu menggunakan peruntukkan fisabilillah dan merangkumi pelbagai jenis termasuk agama Islam, kesenian dan fiksyen.

Baginda turut berkenan menyerahkan sumbangan berupa empat naskah Al-Quran braille kepada penerima terpilih bagi Persatuan Braille Malaysia.

sultan lawat perpustakaan 18 jul 04Selain dari LZS, turut menyerahkan sumbangan kepada perpustakaan itu ialah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang memberikan sumbangan sebanyak 50 buah netbook.

Manakala Worldwide Holdings Berhad turut menyerahkan sumbangan buku yang bernilai RM 50,000 serta Yayasan Al Bukhary pula menyumbangkan sebanyak RM 13,000.

Mengiringi baginda, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah ; Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ; Speaker Dewan Negeri Selangor, Hannah Yeoh dan ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri.

Hadir sama, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor, Datuk Setia Mohamad Adzib Mohs Isa; Pengerusi LZS, Tan Sri Syed Anwar Tuanku Syed Putra Jamalullail dan Mufti Selangor Datuk Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid.

LZS Terima Zakat & Beri Sumbangan Kepada ATM, PDRM Serta Asnaf

sultan buka puasa jul 12 02

SHAH ALAM 13 JULAI : Lembaga Zakat Selangor (LZS) menerima zakat perniagaan daripada Sime Darby Property Berhad (SDPB) berjumlah RM 1 juta untuk tahun kewangan berakhir 2012.

DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menerima bayaran zakat berkenaan daripada Pengarah Urusan SDPB, Datuk Abdul Wahad Maskan di Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong di sini semalam.

sultan buka puasa jul 12 01Turut hadir, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamed Khusrin Munawi, dan Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Datuk Setia Mohamad Adzib Mohd Isa.

Juga hadir Pengerusi LZS, Tan Sri Syed Anwar Tuanku Syed Putra Jamalullail, Mufti Selangor, Datuk Setia Mohd Tamyes Abdul Wahid, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor, Datuk Marzuki Hussin serta ahli-ahli Exco Kerajaan Negeri.

Pada majlis sama, LZS turut menyerahkan sumbangan zakat kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang masing-masing berjumlah RM 100 ribu.

Sumbangan tersebut untuk disalurkan kepada keluarga perajurit yang terlibat di dalam misi keselamatan dan keamanan di Lahad Datu, Sabah.

sultan buka puasa jul 12 03ATM diwakili oleh Timbalan Pengarah Operasi Kagat, Kolenel Mohamad Saodi Kasim dan PDRM diwakili oleh Pemangku Ketua Polis Selangor, SAC Datuk A Thaiveegan.

Di samping itu, nasib tiga buah keluarga anggota PDRM dari Selangor yang terkorban di dalam operasi menentang militan Sulu di Lahad Datu juga mendapat perhatian oleh LZS.

LZS menyalurkan bantuan pendidikan tinggi untuk anak-anak keluarga Allahyarham Sarjan Sabaruddin Daud, Allahyarham Supritenden Ibrahim Lebar dan Allahyarham Koperal Azrul Tukiran.

Turut diraikan di majlis berkenaan ialah 150 orang asnaf fakir, 150 orang asnaf miskin, 100 orang asnaf mualaf dan 141 orang anak yatim.

Ksemuanya menerima sumbangan RM 400 setiap seorang kecuali anak-anak yatim yang menerima RM 100 seorang.

Categories
NASIONAL SELANGOR

PRK KUALA BESUT , 1 Lawan 1 – FOKUS

Sinopsis

FOKUS Untuk 12072013

Saksikan secara langsung “FOKUS” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT setiap jam 2.00 Petang dan 6.00 Petang. Pelbagai berita dan maklumat terkini negeri dan nasional yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Pilihanraya Kecil N01 Kuala Besut menyaksikan perlawanan 1 lawan 1 antara calon Pakatan Rakyat, Azlan Yusof dari PAs menentang Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman dari Barisan Nasional.

2. Pentadbiran Datuk Seri Najib Razak dijangka menaikkan kadar tol di beberapa lebuhraya bermula 2014.

3. Seramai 550 orang asnaf fakir, miskin, anak yatim dan mualaf menerima sumbangan hari raya daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) dalam satu Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat di Masjid Negeri, Shah Alam semalam.

4. Keputusan untuk tidak membenarkan bazar Ramadan di Reko Sentral Kajang adalah untuk mengelak daripada perselisihan faham antara pemilik kedai dan penganjur bazar selain kesesakan lalulintas di kawasan itu.

Categories
SELANGOR

22 Ribu Keluarga Fakir Miskin Terima Bantuan MAIS

Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa

SHAH ALAM 12 JULAI: Seramai 22 ribu keluarga fakir dan miskin akan menerima bantuan yang diagihkan Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

Pengerusinya, Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa berkata, MAIS memperuntukan sejumlah RM16 juta bagi tujuan itu.

Daripada jumlah tersebut, RM10 juta diagihkan kepada golongan miskin manakala bakinya akan diagihkan kepada golongan fakir.

Tambah beliau lagi, jumlah asnaf miskin di negeri ini ialah seramai 14,342 keluarga dan asnaf fakir pula seramai 7,181 keluarga.

zakat 01“Bantuan Zakat yang diberikan ini adalah berupa wang tunai.

“Setiap asnaf fakir dan miskin menerima bantuan di antara RM 500 dan RM 1,000 bagi sebuah keluarga bergantung kepada tanggunggan,” katanya.

Adzib berkata demikian ketika menyampaikan ucapan di majlis berbuka puasa bersama Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, semalam.

Jelasnya, pada lima bulan pertama tahun 2013, Lembaga Zakat Selangor (LZS) berjaya mengutip RM143 juta berbanding tempoh yang sama pada 2012 iaitu sebanyak RM126 juta.

Katanya, jumlah kutipan, meningkat sebanyak 14 peratus.

Tambah beliau lagi, bilangan pembayar zakat juga meningkat sebanyak 22 peratus daripada 142,000 orang pada Januari hingga Mei 2012 kepada 173,000 orang dalam tempoh yang sama tahun 2013,

“Dari segi agihan zakat pula, LZS telah mengagihkan sebanyak RM174.2 juta kepada asnaf zakat sepanjang lima bulan pertama tahun ini, ia meningkat sebanyak 22 peratus,” katanya lagi.

Categories
SELANGOR

Sultan Selangor Perkenan Sampai Sumbangan kepada Fakir, Miskin, Anak Yatim dan Mualaf

sultan lzs 01

SHAH ALAM, 12 JULAI : Seramai 550 orang asnaf fakir, miskin, anak yatim dan mualaf menerima sumbangan hari raya daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) dalam satu Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat di Masjid Negeri, di sini.

sultan lzs 03Sumbangan itu diagihkan kepada 150 asnaf fakir, 150 asnaf miskin, 150 anak yatim dan 100 mualaf dengan masing-masing menerima sumbangan berjumlah RM400 setiap seorang, manakala anak yatim menerima sumbangan RM100 seorang.

DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menyampaikan sumbangan berkenaan sebelum mencemar duli berbuka puasa bersama rakyat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini.

Dalam majlis sama, Sultan Selangor turut berkenan menerima bayaran zakat perniagaan berjumlah RM5.4 juta daripada dua anak syarikat Kerajaan Negeri Selangor.

sultan lzsDua anak syarikat tersebut ialah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Worldwide Holdings Berhad (WHB) masing-masing menunaikan zakat tersebut sebanyak RM4.02 juta dan RM1.38 juta.

PKNS diwakili Pengurus Besarnya, Othman Omar manakala WHB pula diserahkan oleh Pengerusinya, Datuk Noordin Sulaiman.

Pembayaran zakat perniagaan itu adalah bagi tahun kewangan berakhir 2012.

Hadir sama, Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohamed Khusrin Munawi, Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais), Datuk Mohd Adzib Mohd Isa, Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Datuk Marzuki Hussin serta Exco Negeri Selangor.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Pelajar Selangor Di Mesir Berada Dalam Keadaan Baik dan Terkawal

halimah pc pelajar mesir 5 jul 01

SHAH ALAM, 5 JUL : Seramai 1,479 pelajar Selangor di Mesir dilaporkan berada dalam keadaan baik berdasarkan maklumat terkini yang diperolehi daripada pihak Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK).

Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali berkata, meskipun Mesir dilanda siri perhimpunan besar-besaran baru-baru ini, namun lokasi kejadian adalah jauh daripada penempatan para pelajar.

Menurutnya, pejabat Hal Ehwal Pelajar (HEP) Selangor Mesir sentiasa bekerjasama dengan pihak KBMK dalam menyalurkan maklumat berhubung situasi semasa yang berlaku di negara itu.

“Segala peraturan, pekeliling dan peraturan berkaitan keselamatan yang dikeluarkan sentiasa disampaikan kepada pelajar-pelajar Selangor untuk dipatuhi.

“Malah pejabat HEP Selangor Mesir sentiasa melaporkan perkembangan dan perubahan situasi semasa yang berlaku kepada pihak Jabatan Agama Islam Selangor (Jais), Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dan Lembaga Zakat Selangor (LZS).”

Dr Halimah berkata demikian di dalam sidang media selepas sesi Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini hari ini.

Jelas Halimah, semua pejabat HEP negeri juga diarahkan untuk membuka bilik gerakan beroperasi 24 jam di rumah negeri masing-masing bagi mendapatkan perkembangan semasa, menerima aduan serta mendapatkan maklumat berkaitan rakyat Malaysia dan pelajar.

Tambahnya, satu jawatankuasa khas keselamatan peringkat negeri Selangor juga ditubuhkan bagi membincangkan persediaan dan langkah-langkah keselamatan yang perlu diambil sekirannya situasi bertambah buruk.

“Kebanyakan pelajar di sana sudah mula bercuti pada ketika ini setelah tamat peperiksaan akhir tahun. Malah ada sebahagian universiti yang menangguhkan kelas dan peperiksaan,” katanya lagi.

Konflik terbaru di Mesir menyaksikan Presidennya, Mohammed Morsi, yang menang pilihanraya negaranya pada 30 Jun 2012 digulingkan oleh tentera Mesir pada 3 Julai.