Categories
NASIONAL

Nazri buat kementerian sesuka hati, tukar anak bila dikecam

NazriNadeemSHAH ALAM 18 OGOS: Pemimpin Umno BN kerap berbuat perangai sesuka hati dalam pentadbiran dan hanya membuat pembetulan selepas dikecam rakyat, kata  Tian Chua.

Naib Presiden PKR itu merujuk penukaran jawatan anak lelaki Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, dari Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan ke Parlimen Padang Rengas.

Ahli Parlimen Batu itu berkata, Nazri hanya membuat kenyataan mengelirukan dan menukar jawatan anaknya, Nedim untuk menutup isu berkenaan dari kritikan rakyat.

“Dia kata anak dia sudah kaya dan tidak perlu dibayar. Itu perkara yang agak pelik. Kita tak tahu sama ada dia kerja percuma atau hanya datang bantu.

“Nazri buat kementerian sebagai hak peribadi. Dia nak letak anak, dia nak letak siapa-siapa sesuka hati. Itu nampaknya perangai menteri Umno BN,” katanya kepada TV Selangor, hari ini.

Nedim adalah pegawai khas Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan sebelum ditukar kepada pegawai khas Ahli Parlimen Padang Rengas, selepas pelantikan itu menjadi perdebatan ramai.

Perubahan kepada jawatan Nedim dipercayai dibuat berikutan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menyatakan seseorang menteri tidak boleh mengambil ahli keluarganya bertugas di kementerian.

Nazri adalah menteri di kementerian berkenaan dan Ahli Parlimen Padang Rengas.

Mengulas lanjut, Tian Chua berkata, kes seumpama itu bukan pertama kali berlaku, sebaliknya menjadi kelaziman di kalangan pemimpin Umno BN.

“Perdana Menteri boleh letak isteri, (mungkin) beri bajet pada isteri, itu dah macam satu kelaziman politik Umno-BN,” katanya.

Categories
NASIONAL

Jenayah tembak, kontroversi TPPA selubungi 100 Hari selepas PRU 13

tembak-01

SHAH ALAM 17 OGOS: Prestasi Datuk Seri Najib Razak goyah dan dianggap paling buruk dalam sejarah tanah air apabila Perdana Menteri itu hilang kawalan dalam mengendalikan negara.

Selepas 100 Hari pilihan raya umum ke-13 (PRU 13) selesai, Naib Presiden PKR, N Surendran, berkata Najib gagal mengendalikan isu kontroversi Perjanjian Kerjasama Trans Pasifik (TPPA) manakala jenayah tembakan berleluasa.

“Masalah jenayah dan kes tembak saban hari meningkat, kerajaan langsung tidak dapat menangani isu ini dengan sempurna.

“Begitu juga pendemokrasian yang dijanjikan Najib sebelum ini turut terbatal apabila kerajaan bercadang mengembalikan undang-undang Ordinan Darurat (EO),” katanya.

Bercakap kepada TV Selangor, Surendran berkata, kegagalan Najib itu membuktikan rakyat berdepan dengan sebuah kerajaan yang hilang kawalan.

“Tidak pernah dalam sejarah, saya tengok kerajaan yang begitu lemah dan tidak efektif mahupun prihatin dengan masalah rakyat.

Sehubungan itu, katanya, Najib perlu bertindak seperti seorang negarawan dan memikirkan kebaikan rakyat dan negara jika mahu kekal berkuasa.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Umno guna kes bunuh-tembak untuk kembalikan Ordinan Darurat

surendran speech mic 02

SHAH ALAM 6 OGOS: Terdesak untuk mengembalikan Ordinan Darurat (EO) mendorong Umno BN menggunakan muslihat jahat sekalipun rakyat terdedah kepada bahaya, kata Naib Presiden PKR, N Surendran.

Merujuk lambakan kes bunuh menggunakan senjata api di lokasi awam, beliau menyifatkan tindakan Umno BN yang menangguk di air keruh itu sebagai tidak bertanggungjawab dan berkepentingan politik semata-mata.

“Kita ada isu besar dan serius melibatkan keselamatan dan nyawa rakyat yang merunsingkan, sebaliknya Umno BN mengambil peluang untuk mengembalikan undang-undang penahanan tanpa bicara.

“Umno BN tidak peduli terhadap keselamatan rakyat sehingga sanggup mengambil kesempatan dalam isu ini untuk mengembalikan semula EO supaya dapat digunakan terhadap pembangkang,” katanya.

Kes tembak-bunuh kerap berlaku kebelakangan ini, sama ada melibatkan individu profil tinggi mahupun orang awam hingga menyebabkan segenap lapisan rakyat bimbang akan keselamatan mereka.

Antara kes yang mendapat perhatian ialah cubaan bunuh Pengerusi MyWatch, R Sri Sanjeevan, diikuti pembunuhan pengasas Arab-Malaysian Bank, Hussain Ahmad Najadi 75, pada 29 Julai lalu.

Terbaru, seorang penoreh getah, Amirul Tajo Nasir 40, maut ditembak ditembak di kampung Telosan, Pasir Puteh, Kelantan awal pagi semalam.

Di tengah-tengah situasi itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Zahid Hamidi membangkitkan cadangan untuk menggubal undang-undang baru dengan antara alasannya untuk mencegah kes bunuh menggunakan senjata api

Beliau dilapor, berkata kira-kira 90 peratus jenayah seumpama itu dilakukan bekas tahanan EO yang sebelum ini dimansuh bagi meraih sokongan rakyat menjelang pilihan raya umum ke-13.

Surendran berkata, Pakatan Rakyat konsisten berpendapat kes jenayah di negara ini perlu ditangani melalui peruntukan undang-undang sedia ada, bukan melalui penahanan tanpa bicara.

“Alasan Kementerian Dalam Negeri (KDN) bahawa kejadian jenayah sukar ditangani tanpa EO hanya alasan remeh dan tidak masuk akal sama sekali.

“Sedangkan negara lain seperti United Kingdom (UK) mampu menangani jenayah walaupun tanpa undang-undang darurat seperti di Malaysia,” katanya.

-FZL

Categories
NASIONAL

Tarif Elektrik Naik : Rakyat Terbeban, Kroni Terus Raih Untung

tian-TNB

SHAH ALAM, 20 JULAI : Hasrat Tenaga Nasional Berhad (TNB) membuat semakan naik terhadap tarif elektrik di negara ini disifatkan bukan sesuatu yang pelik, sebaliknya sudah dijangka sebelum berlangsungnya Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) lagi, kata Naib Presiden PKR, Tian Chua.

Tian Chua ketika dihubungi TV Selangor mendakwa, antara punca berlakunya kenaikan tarif elektrik saban tahun adalah disebabkan oleh perjanjian antara ‘syarikat kroni’ atau Pengeluar Tenaga Bebas (IPP) bersama TNB sehingga menjadikan syarikat utiliti kuasa negara itu dibebani dengan kos yang terlalu tinggi.

Ekoran perjanjian itu katanya, syarikat kroni berkenaan mengaut untung yang besar di mana akhirnya TNB terpaksa menggunakan alasan mengalihkan bebanan kos yang tinggi itu kepada pengguna.

“Syarikat kroni ini menerima subsidi daripada Kerajaan Pusat dan akhirnya meraih keuntungan yang besar, namun menyebabkan TNB terbeban dengan kenaikan kos yang tinggi dan mengalihkannya kepada pengguna.

“Kerajaan membuat sususan begitu apabila memberi kuasa kepada IPP yang mana berbalik kepada TNB dan kembali kepada rakyat.

“Ini adalah sistem kroni yang diamalkan Umno-BN sejak dahulu lagi,” katanya ketika mengulas kenyataan Pengerusi TNB, Tan Sri Leo Moggie bahawa pihaknya berkemungkinan akan membuat semakan semula ke atas  tarif elektrik ekoran hasrat Kerajaan Pusat untuk mengurangkan subsidi bagi tenaga elektrik.

Moggie berkata, kerajaan telah memberikan subsidi tarif yang besar sekarang khususnya bagi gas.

Categories
NASIONAL

Perjanjian Dagangan Antarabangsa TPP Gugat Kepentingan Negara

nurul izzah ipad 01

SHAH ALAM 6 JUN : Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPP), sebuah perjanjian dagangan bebas antarabangsa yang bakal ditandatangani Malaysia, didakwa mampu menggugat kepentingan awam ekoran terma-termanya yang berat sebelah.

Menurut MP Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar, melalui TPP syarikat asing berupaya mencabar undang-undang negara dan peraturan-peraturan mahkamah domestik dengan kaedah ISDS (penyelesaian pertikaian pelabur-kerajaan).

Keadaan ini membolehkan mereka memintas undang-undang dan peraturan-peraturan yang digubal oleh kerajaan Malaysia terutamanya dalam isu kepentingan awam seperti sumber semula jadi, perlindungan alam sekitar dan dasar kesihatan.

Selain itu, TPP juga mempunyai peruntukan khas mengenai pelanggaran undang-undang Perdagangan Berkaitan Hak Harta Intelek (TRIPS) yang turut meliputi sektor perubatan.

Perkara ini, ujar Nurul Izzah, boleh meningkatkan kos pembelian ubat samada oleh kerajaan mahupun pengguna persendirian.

“Selain itu, terdapat juga peruntukan tambahan yang membolehkan pemantauan dilakukan terhadap pengguna internet oleh Pembekal Perkhidmatan Internet (ISP).

“Malah tindakan juga boleh diambil terhadap pengguna dengan melumpuhkan akses internet mereka, dan ini semestinya menyekat kebebasan dan hak bersuara orang awam,” jelas Nurul Izzah dalam satu kenyataan medianya.

Tambah Nurul Izzah, kerajaan harus melaksanakan undang-undang yang menjadi beberapa aspek kepentingan awam sebelum meneruskan perjanjian ini.

“Undang-undang berkaitan alam sekitar yang sedia ada perlu diperkasakan selari dengan standard antarabangsa bagi menyekat sebarang penyalahgunaan sumber alam.

“Contohi amalan terbaik antarabangsa untuk menentang sekeras-kerasnya ISDS, di samping menggabungkan amalan-amalan terbaik dalam Penyata Dasar Perdagangan,” kata Nurul Izzah yang juga Naib Presiden PKR.

Beliau juga turut menggesa penggubalan undang-undang bagi  melindungi kepentingan pengguna internet tempatan, seterusnya mengekalkan kebebasan maklumat selagi ia tidak melanggar undang-undang keselamatan.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar satu jawatankuasa khas parlimen; yang terdiri daripada golongan profesional dan pakar, ditubuhkan untuk mengkaji dan meneliti semula terma-terma TPP ini.

“Perjanjian TPP ini mungkin mempunyai semangat ‘free trade’ (perdagangan bebas), tetapi adakah ianya ‘fair trade’ (perdagangan adil) untuk kita dan negara ini?,” kata Nurul Izzah.

Categories
NASIONAL

Majistret Bebaskan Tian, Haris dan Tamrin

tian pix

SHAH ALAM, 24 MEI : Mahkamah Majistret hari ini menetapkan untuk membebaskan Naib Presiden PKR, Tian Chua bersama dua aktivis politik, Haris Ibrahim dan Datuk Tamrin Abdul Ghafar daripada tahanan polis.

Ia susulan tindakan Majistret Norashikin Sahat menolak permohonan polis untuk menahan mereka mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948.

Perkara itu disahkan peguam, R.Sivarasa yang juga Ahli Parlimen Subang ketika dihubungi TV Selangor.

“Benar ketiga-tiga mereka dibebaskan apabila Majistret mendapati tiada asas atau bukti kukuh berhubung permohonan reman oleh pihak polis.

“Polis memohon untuk menahan mereka selama tujuh hari bagi tujuan siasatan, akhirnya lepas mendengar hujahan daripada peguam, mahkamah mendapati ia tidak berasas (penahan) dan membebaskan mereka serta-merta,” katanya.

Ketiga-tiga mereka dibebaskan daripada tahanan polis kira-kira pukul 3.15 petang tadi.

Berita pembebasan mereka juga turut tersebar luas di laman media sosial.

Ketiga-tiga mereka ditahan di bawah Akta Hasutan 1948 semalam di tiga lokasi berasingan sebelum dimasukkan di Lokap Berpusat Kuala Lumpur Balai Polis Jinjang sekitar jam 5 petang.

Tian Chua telah ditahan di LCCT pada pukul 12.30 tengah hari semalam semasa menunggu pesawat untuk ke Kuala Terengganu.

Sementara Haris, aktivis pergerakan Asal Bukan Umno (ABU) ditahan pada waktu sama semasa sedang makan tengahari di Segambut sejurus memberikan sokongan kepada Adam Adli di mahkamah.

Manakala anak kepada bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Ghafar Baba, Tamrin ditahan ketika sedang makan di Bangsar.

 

Categories
NASIONAL

Adam Adli Bebas, Polis Terus Tangkap Pemimpin PR

tahanan-1

SHAH ALAM, 23 MEI: Sejurus pembebasan aktivis mahasiswa, Adam Adli Abd Halim pagi ini, beberapa pimpinan Pakatan dan NGO Pro-Pakatan ditahan polis dibawah Seksyen 4 (1) C Akta Hasutan 1948.

Laporan terbaru menerusi laman sosial Facebook memaklumkan, bekas Ahli Parlimen Batu Berendam, Datuk Mohd Tamrin Abd Ghafar ditahan polis.

Sebelum itu, Naib Presiden PKR, Tian Chua dan Jurucakap Gerakan Asalkan Bukan Umno (ABU) Haris Ibrahim ditahan polis tengah hari ini dan dibawa ke Balai Polis Jinjang.

Menurut kenyataan media ringkas Setiausaha Pejabat Ahli Parlimen Batu, Rozan Azen mat Rasip kepada Tv Selangor, Tian Chua ditahan di Lapangan Terbang LCCT.

“Tian Chua DAN aktivis Haris Ibrahim tadi ditahan polis di LCCT dan dibawa ke Balai Polis Jinjang,” katanya ringkas.

Berdasarkan rekod TV Selangor, Haris Ibrahim dilihat berada di pekarangan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ketika prosiding mahkamah berkaitan Adam Adli pagi ini.

Menurut laporan PSM, Haris Ibrahim ditahan ketika berada di Segambut.

Kesemua penahanan ini dipercayai berpunca daripada ucapan pidato yang disampaikan pada forum malam 13 Mei di Dewan Himpunan Cina Kuala Lumpur-Selangor.

Tv Selangor sedang berusaha mengesahkan lokasi mana Tamrin didakwa ditahan.

Categories
NASIONAL SELANGOR

PKR : Penahanan Blogger “Milo Suam” Tidak Munasabah

blog milosuam

SHAH ALAM 03 MEI : Penahanan blogger, Yusuf Al Siddique Suratman kerana mempersoalkan emel berantai yang menguar-uarkan pendatang asing mahu mencetuskan huru-hara di Sabah adalah tidak munasabah.

Naib Presiden PKR, Sivarasa Rasiah berkata rencana Yusuf tersebut bersifat berkepentingan awam.

Yusuf, yang lebih dikenali melalui blognya, ?Milo Suam?, ditahan selepas memuat naik rencana yang mempersoalkan emel berantai yang konnonnya emel dalaman Polis Diraja Malaysia.

Emel tersebut mendakwa 1,400 pendatang asing di Kota Kinabalu dan Tawau akan mencetuskan huru-hara.

Pengirim emel itu mendakwa dirinya sebagai “orang dalam” dan matlumat yang disebarkannya itu adalah maklumat sulit PDRM.

Yusuf ditahan di perkarangan sebuah pasaraya di Setia Alam, pada 12:07 malam, dibawah Seksyen 8(1) Akta Rahsia Rasmi 1972 atas kesalahan menyebarkan dokumen rahsia.

“Kita amat terkejutlah macam mana tulisan sebegini boleh jadi asas untuk tangkap dan tahan seorang blogger. Ini perkara, berita berkaitan dengan aspek kepentingan awam, adalah jelas,? kata Sivarasa.

Yusuf dalam rencana tersebut meminta orang-ramai supaya berwaspada dengan emel berantai ini, kerana kesahihannya tidak dapat dipastikan.

“Isu ini hanya digunakan adalah tidak berasas dan bermotifkan politik untuk menahan seorang blogger yang popular dan merupakan pro-Pakatan,? kata Sivarasa.

Laporan media juga mengesahkan bahawa terdapat satu lagi laporan polis dibuat terhadap Yusof kerana menerbitkan rencana yang mendakwa polis telah melakukan pengundian awal manakala tentera telah membuang undi pos.

Laporan ini disiasat dibawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana membuat kenyataan yang boleh menyebabkan khianat awam.

TV Selangor difahamkan polis telah mendapat perintah mahkamah untuk menahan reman Yusuf selama dua hari.

Categories
NASIONAL

Dihalang Masuk Sabah: SPR Digesa Tegur Kerajaan Sementara Sabah

tian chua pc pkr 01

PETALING JAYA 8 APR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) digesa untuk menegur Kerajaan Sementara Sabah susulan halangan Naib Presiden PKR, Tian Chua daripada memasuki Sabah baru-baru ini.

Beliau dihalang daripada memasuki Sabah sebaik sahaja tiba di Lapangan Terbang Kota Kinabalu sebelum ditahan oleh Jabatan Imegresen Negeri yang memberi alasan Kerajaan Sementara Sabah yang mengeluarkan larangan berkenaan.

Turut bersama Tian Chua ketika di lapangan terbang, Timbalan Presiden Pas, Mohammad Sabu tetapi beliau dibenarkan memasuki Sabah dengan menggunakan pas sementara.

Tian Chua berkata, sekarang ini sudah memasuki tempoh kempen bagi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) dan Kerajaan Sabah tidak boleh mengeluarkan sesuatu arahan bagi menghalang pemimpin Pakatan Rakyat (PR) untuk datang berkempen di Sabah.

“Isu sekarang ialah, Parlimen sudah dibubarkan dan kita sudah sampai masa berkempen, dimana semua parti berhak untuk menyampaikan mesej kepada seluruh negara yang akan mengundi masa PRU nanti.

“Dengan menggunakan hak ini, adalah jelas menyalahgunakan kuasa.

“Kita juga desak SPR untuk membuat satu pendirian, samada Kerajaan Sabah dan Sarawak mempunyai kuasa untuk menghalang ahli-ahli politik untuk datang berkempen,” katanya dalam satu sidang media di Ibupejabat PKR, hari ini.

Sementara itu, beliau tidak menolak kemungkinan terdapat unsur sabotaj terhadap dirinya yang kini sedang dibicarakan di mahkamah berikutan tragedi di Lahad Datu baru-baru ini.

“Biarlah mahkamah tentukan, kalau saya disabitkan kesalahan pun. Tidak ada peruntukan dalam undang-undang untuk menghalang penjenayah atau apa yang disabit kesalahan untuk memasuki Sabah,” ujarnya lagi.

Categories
NASIONAL

Nurul Izzah Sedia Beri Kenyataan Jika Dipanggil Jais

KUALA LUMPUR, 6 NOV – Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar bersedia memberikan keterangan kepada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berhubung kenyataan beliau pada forum bertajuk ‘Islamic State: Which Version? Whose responsibility?’ sekiranya dipanggil berbuat demikian.

Dalam pada masa yang sama katanya, akhbar Utusan Malaysia juga perlu dipanggil bersama untuk membantu siasatan kerana bertindak memutarbelitkan kenyataan beliau.

“Ya, saya harap dia (Jais) panggil Utusan Malaysia sekali sebab dia keluarkan kenyataan fitnah akidah tersebut,” katanya di Lobi Parlimen.

Jelasnya lagi, beliau turut dinasihatkan oleh pihak peguam untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung perkara berkenaan.

“Saya mengajak semua untuk merujuk kenyataan saya dalam blog dan saya dinasihatkan oleh peguam untuk tidak lagi membuat kenyataan kerana peguam saya akan mengambil tindakan seterusnya,” tambah Ahli Parlimen Lembah Pantai itu.

Semalam, muka depan Utusan Malaysia menyiarkan artikel bertajuk ‘Melayu Bebas Pilih Agama?’ dengan memetik laporan portal Malaysiakini berhubung kenyataan Izzah.

Memetik akhbar Sinar Harian hari ini, Pengarah Jais, Datuk Marzuki Hussin berkata, tindakan memanggil Nurul Izzah hanya akan diambil sekiranya pihak Jais menerima maklumat berhubung perkara tersebut bagi membantu siasatan.

Categories
NASIONAL

SISMEP Bantu Kesan Pengundi Hantu

PETALING JAYA, 10 MEI : PKR hari ini memperkenalkan Sistem Menang Pilihanraya (SISMEP) bagi membantu mengesan pengundi-pengundi hantu yang terdapat di dalam senarai pemilih yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia (SPR).

Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali memaklumkan SISMEP mampu mengesan perbezaan senarai pengundi yang berdaftar serta kawasan mengundi sejak 2004 hingga 2011.

“SISMEP ini akan memudahkan petugas-petugas Pakatan Rakyat untuk mengesan kehadiran pengundi-pengundi hantu di kawasan mengundi,” katanya dalam satu sidang media selepas merasmikan Pusat Media PKR Selangor di sini.

Menurutnya, petugas parti hanya perlu memasukkan no kad pengenalan pengundi untuk mengesan samada pengundi tersebut benar-benar menjadi pengundi bagi kawasan tersebut.

Dengan adanya sistem ini, petugas pilihanraya boleh menghalang kehadiran pengundi-pengundi hantu yang dihantar bertujuan untuk memenangi undi sesebuah kawasan itu seperti yang berlaku sebelum ini.

Azmin juga memberitahu pihaknya tidak keberatan untuk berkongsi penggunaan SISMEP ini bersama rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat.

Sebagai permulaan, SISMEP ini akan dilancarkan di Perak bagi menguji keberkesanannya.

Sebelum itu, dalam ucapan perasmiannya Azmin menegaskan media seharusnya bebas daripada kongkongan parti pemerintah dan meminggirkan kepentingan rakyat.

“Media sepatutnya pro-rakyat dan bukannya pro-perasuah dan pro-perompak yang mengaut keuntungan daripada rakyat,” katanya.

Selain itu, Ketua Penerangan PKR Selangor, Shuhaimi Shafiei berkata, media arus perdana perlu kembali ke jalan yang betul dengan menyiarkan fakta sebenar berkenaan sesuatu isu dan bukan hanya menjadi bahan mainan Umno-BN.

“Jangan merendahkan imej kewartawanan hanya kerana ingin mendapat keuntungan dengan fitnah yang dimainkan selama bertahun-tahun dibawah kerajaan Umno-BN,” katanya.

Majlis Hi-Tea dan Ramah Mesra Pemimpin PKR Selangor bersama Rakan Media serta Perasmian Pusat Media PKR Selangor diadakan di Pejabat PKR Selangor di Lembah Subang, Petaling Jaya.

Majlis ini dihadiri Naib Presiden PKR, Datuk Mansor Othman, Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin Adun Taman Medan, Haniza Talha, Adun Batu Caves, Amirudin Shari serta barisan kepimpinan PKR Selangor.

Categories
NASIONAL

PKR Sokong Tuntutan CUEPACS

SHAH ALAM, 24 FEB : Parti Keadilan Rakyat (PKR) menggesa Kerajaan Pusat untuk mempertimbangkan tuntutan CUEPACS agar kerajaan memberi kenaikan gaji antara RM 700 hingga RM2500 bagi penjawat awam sebelum melaksanakan sebarang pembaharuan dalam Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

Menurut laporan United Nations (UN) Public Administration Network Public Service pada 2006, Malaysia merekodkan jumlah nisbah gaji tertinggi dan terendah di rantau ini dengan nisbah sekitar 19.5:1.” kata Naib Presiden PKR, Nurul Izzah.

“Ini bermakna gaji penjawat tertinggi adalah 19.5 kali lebih tinggi dari gaji pegawai kerajaan yang terendah.

“Oleh itu, PKR menyeru agar jurang nisbah gaji di antara yang tertinggi dan terendah dirapatkan, dan bersedia untuk bekerjasama dengan semua pihak untuk merealisasikan visi ini,” ujar puteri sulung Ketua Pembangkang ini.

Selain itu, Izzah juga menjelaskan sekiranya Pakatan Rakyat berjaya menawan Putrajaya, PR akan menyelaraskan tangga gaji perkhidmatan awam secara lebih saksama selain insentif khas RM 500 sebulan bagi setiap guru sebagaimana termaktub di dalam Buku Jingga.

“Sekiranya Pakatan Rakyat memegang tampuk Kerajaan Pusat, gaji minima pada kadar RM1,100 akan dikuatkuasakan buat penjawat awam.

“Ini akan memberi manfaat kepada kira-kira 300,000
penjawat awam yang masih menerima gaji di bawah kadar tersebut di bawah skim saraan sedia ada,” tambah Izzah yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai.

Katanya segala komitmen Pakatan Rakyat jauh berbeza dengan cadangan SBPA yang dibentangkan kerajaan di mana seorang penjawat tertinggi kerajaan di dalam kategori Premier layak menerima sehingga RM80,000 sebulan sedangkan kenaikan pemandu hanya sebanyak RM1.70 sebulan.

“PKR menggesa Perdana Menteri untuk mengkaji syor terbaru yang dibentangkan CUEPACS serta saranan Pakatan Rakyat.

“Kita juga menyarankan agar semakan gaji dapat dilakukan setiap 5 tahun supaya mudah diselaraskan dengan kadar inflasi semasa,” ujar beliau.