Categories
NASIONAL SELANGOR

Sistem Pengurusan Polis Perlu Diperbaiki Bagi Pencegahan Jenayah

sivarasa pc stripped 02

SHAH ALAM 3 OGOS : Sistem pengurusan pihak polis seharusnya diubah dan diperbaiki agar sumber, tenaga dan tanggungjawab anggota keselamatan dapat ditumpukan dalam usaha pencegahan jenayah.

Menurut Ahli Parlimen Subang, R. Sivarasa, masalah jenayah yang semakin menular ketika ini bukan berpunca daripada kekurangan undang-undang berkaitan, sebaliknya berpunca daripada pembahagian tugas dan tanggungjawab anggota polis yang dilihat tidak relevan.

“Perkara ini sudah lama dibangkitkan oleh Pakatan Rakyat (PR) di mana kita mendesak agar pasukan polis diperbanyakkan untuk mencegah jenayah kerana buat masa sekarang terlalu kurang anggota ditugaskan dalam pencegahan jenayah.

“Sebaliknya, kebanyakkan sumber (polis) diletakkan dalam unit pentadbiran, logistik, gerakan am dan sebagainya; lebih-lebih lagi menumpukan pada hal-hal politik Pakatan Rakyat.

“Inilah yang mesti diubah agar pengurusan polis lebih baik dan mengutamakan perkara yang lebih penting untuk kesejahteraan dan keselamatan rakyat, bukan nafsu politik pihak-pihak tertentu,” ujar beliau yang dihubungi TVSelangor.

Sehubungan itu, beliau berkata tiada asas untuk mengembalikan semula Akta Darurat (EO) sepertimana disarankan sesetengah pihak kerana undang-undang sedia ada dilihat berkeupayaan mengawal aktiviti jenayah.

“Dahulu pun ketika EO wujud, ia tidak dibuktikan berkesan mencegah jenayah dan kita tentang kerana ia adalah penahanan tanpa perbicaraan serta terdedah kepada penyalahgunaan oleh kerajaan.

“Tidak perlu EO sekarang ini kerana undang-undang sedia ada seperti Kanun Acara Jenayah yang memberi kuasa penahanan selama 15 hari terhadap mana-mana suspek sudah dilihat besar berbanding negara-negara lain yang mempunyai tempoh penahanan yang kurang.

“Jika negara lain mampu mengurangkan kadar jenayah dengan akta yang terhad, mengapa tidak kita di Malaysia; soalnya kembali kepada pengurusan pembahagian tugas anggota polis sendiri,” tegas Sivarasa lagi.

Mengulas perkembangan kejadian jenayah yang semakin menjadi-jadi, beliau yang juga Ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR berkata PR bersedia memberikan kerjasama dengan Kerajaan Pusat membincangkan langkah-langkah yang perlu diambil.

“Kerajaan boleh menubuhkan jawatankuasa khas dalam isu ini jika benar-benar ikhlas dan komitmen dalam usaha mencegah jenayah.

“Ini bukan hal politik, ini demi kesejahteraan, keselamatan dan keamanan yang melibatkan rakyat,” ujar Sivarasa.

Categories
NASIONAL

Petisyen Helah Undang-Undang Sembunyi Penipuan Pilihan Raya

anwar white

PETALING JAYA 31 JULAI : Penolakan petisyen pilihan raya tanpa alasan munasabah cuma satu helah undang-undang dan cubaan menyembunyikan penipuan pilihan raya di negara ini.

Menurut Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyarankan  badan kehakiman mempertimbangkan hujah kedua-dua pihak yang memfailkan petisyen pilihan raya di mahkamah bukannya menolak petisyen itu atas alasan teknikal semata-mata.

Katanya semua petisyen pilihan raya yang dikemukakan kini sudah tiada makna kerana hakim yang dilantik khas tidak mahu mendengar petisyen itu untuk dibicarakan.

“Saya sudah suarakan kekecewaan kita terhadap sikap hakim-hakim yang dipilih khas untuk mengendalikan kes ini dengan hanya menggunakan su-isu teknikal yang kecil dan tidak munasabah. Bagi saya ia usaha untuk memperbodohkan rakyat.

“Petisyen-petisyen ini ditolak hanya kerana perkara kecil, saya rasa hakim perlu meneliti semula pengajian undang-undang mereka bagi menghormati prinsip keadilan, bukannya mencari alasan supaya kes itu tidak didengari.

“Sepatutnya hakim beri ruang untuk didengar semua pihak, kemudian baru putuskan ia benar atau tidak, tetapi sekarang, ruang itu dinafikan,” katanya.

Sebelum ini, Pakatan Rakyat (PR) memfailkan kira-kira 39 petisyen terhadap keputusan Pilihanraya Umum ke 13 (PRU13) yang lalu.

Isnin lalu, Anwar yang juga Ketua Pembangkang, menggesa Ketua Hakim Negara, Tun Ariffin Zakaria campur tangan dalam isu petisyen pilihan raya ekoran keputusan mahkamah menolaknya tanpa alasan munasabah.

Beliau turut bimbang dengan penolakan petisyen pilihan raya yang kini sudah masuk 10 kes dengan alasan teknikal sedangkan mahkamah meletak jumlah kos yang tinggi setiap petisyen.

Antara petisyen yang mendapat perhatian ialah kes di Balik Pulau apabila mahkamah mengarahkan, Muhammad Bakhtiar Wan Chik membayar kos RM120,000 selepas menfailkan keputusan pilihan raya bagi kawasan itu.

Bagi Parlimen Ketereh, Mahkamah Kota Bharu mengarahkan pempetisyen yang difailkan, Ab Aziz Ab Kadir membayar kos RM40,000 kepada responden pertama, Ahli Parlimennya, Tan Sri Annuar Musa dan masing-masing RM25,000 kepada responden kedua dan ketiga.

Bagi DUN Air Lanas, pempetisyen yang dinamakan Mustapha Deris diarah membayar kos RM30,000 kepada Adun Air Lanas, Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Bagi DUN Kok Lanas, pempetisyen Shaberi Mohd Zain diarah membayar RM30,000 kepada Adunnya, Datuk Md Alwi Che Ahmad dan masing-masing RM25,000 kepada responden kedua dan ketiga.

Categories
NASIONAL

Peguam Negara Perlu Tumpu Kes Jenayah Bukan Dakwa Pemimpin PR

Anwar PC

PETALING JAYA 29 JULAI :Peguam Negara didakwa melakukan pendakwaan terpilih apabila secara langsung terlibat dalam kes-kes yang membabitkan pemimpin Pakatan Rakyat (PR).

Dakwaan ini dibuat oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim apabila Tan Sri Abdul Ghani Patail dilihat terlibat secara langsung apabila pemimpin PR didakwa di mahkamah.

Tegas Anwar, tanggungjawab asal Peguam Negara ialah menangani kes-kes yang lebih besar seperti salah guna kuasa dan keganasan jenayah.

“Adalah kurang wibawa Jabatan Peguam Negara, saya rasa ada motif tidak sihat dan mereka mahu melafazkan dendam kesumat apabila semua kes baik di pihak sebelah sana atau sini, semuanya hendak diuruskan dan menyinggungkan saya,” katanya kepada pemberita dalam sidang medianya di Ibupejabat PKR pagi tadi.

Sebelum ini, Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli dan Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke didakwa gagal mematuhi syarat yang ditetapkan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Zainuddin Ahmad untuk memperoleh kebenaran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk berhimpun di Padang Merbok.

Mereka didakwa gagal memberi notis 10 hari kepada polis sebelum menganjurkan perhimpunan Black505 itu.

Menurut Anwar, dakwaan hari ini yang dikenakan terhadap 33 orang yang menyertai perhimpunan berkenaan adalah contoh lain terhadap penyalahgunaan kuasa yang dilakukan secara jelas dan terang-terangan oleh Peguam Negara.

Categories
NASIONAL

Kes Anthony Loke Didakwa : Umno-BN Amalkan Pendakwaan Terpilih

Anthony Loke_polis

KUALA LUMPUR 18 JULAI : Pemimpin Pakatan Rakyat (PR) sekali lagi mendakwa kerajaan persekutuan Umno-BN mengamalkan pendakwaan terpilih apabila pemimpin Pakatan diheret ke mahkamah tetapi pemimpin Umno-BN yang terpalit dengan kes rasuah dibiarkan.

Kali ini, Pakatan berkata MP Seremban Anthony Loke Siew Fook didakwa di mahkamah pada 24 Julai di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 (APA2012), kerana penganjuran satu perhimpunan di Negeri Sembilan.

Akan tetapi, menurut MP Rasah Teo Kok Seong Kerajaan Persekutuan mengambil sikap yang berlainan terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan sendiri Datuk Seri Mohamad Hassan yang pernah disiasat oleh Suruhanjaya Pencegah Rasuah (SPRM).

“Menteri Besar Negeri Sembilan, Mohd Hassan pernah terlibat dengan kes wang RM 10 juta yang dipindah ke London tiga tahun lalu dan perkara ini dah dibawa ke Parlimen.

“Bila ditanya status siasatan, jawapannya sudah selesai dan SPRM sudah hantar laporan ke Peguam Negara tetapi setakat ini tiada tindakan. Mohd Hassan pula kekal sebagai Menteri Besar,” dakwanya di dalam satu sidang media di Parlimen.

Manakala Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, biarpun tiada sebarang kekecohan berlaku dalam perhimpunan anjuran Pakatan sebelum ini, namun tindakan tetap dikenakan ke atas pemimpin Pakatan.

“Kita kesal dan tidak puas hati dengan perkara ini. APA2012 mengizinkan perhimpunan aman dibuat di seluruh negara dan ia termaktub dalam piagam hak asasi manusia.

“Walaupun perhimpunan dibuat aman tetapi tindakan dikenakan terhadap pemimpin PR. Ia jelas pendakwaan terpilih yang menyusahkan PR.”

 

Categories
NASIONAL SELANGOR

Selangor Kecam Pihak Hina Islam Dan Agama Lain – FOKUS


 

Sinopsis

FOKUS Untuk 18072013

Saksikan secara langsung “FOKUS” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT setiap jam 2.00 Petang dan 6.00 Petang. Pelbagai berita dan maklumat terkini negeri dan nasional yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Kerajaan Negeri mengecam mana-mana pihak yang menghina Islam mahupun agama lain.

2. Kerajaan Selangor mengalu-alukan kenyataan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz yang memberi jaminan untuk tidak akan meminggirkan negeri Pakatan Rakyat (PR) dalam industri pelancongan.

3. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) digesa agar lebih proaktif menangani masalah harga ayam dengan menetapkan tempoh masa harga silling bagi dengan lebih awal.

4. Ketua Polis Lahad Datu Superintenden Shamsudin Mat menafikan beliau pernah bermesyuarat dengan Pegawai Daerah Lahad Datu Zulkifli Nasir dan memberitahu rancangan militan Sulu menceroboh Sabah.

Categories
NASIONAL

Pakatan Rakyat Saman 7 Jawatankuasa SPR

sivarasa pc izzah 01

KUALA LUMPUR 15 JULAI : Pakatan Rakyat (PR) hari ini memfailkan saman terhadap tujuh anggota jawatankuasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)  berhubung dakwaan penipuan dalam pelaksanaan penggunaan dakwat kekal ketika Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) lalu.

Ahli Parlimen Subang, R Sivarasa berkata, saman tersebut akan turut memohon mahkamah mengisytiharkan keputusan PRU13 sebagai tidah sah.

“Saman difailkan PR ini kepada tujuh anggota SPR termasuk pengerusi dan timbalan pengerusi adalah secara individu kerana mereka kegagalan melaksanakan tanggungjawab secara jujur dan adil dalam pilihan raya.

“Adalah jelas dakwat kekal digunakan tidak kekal tidak sepertimana diumumkan akan bertahan sehingga tujuh hari,” dakwanya ketika sidang media di parlimen hari ini.

Beliau berkata, sekiranya keputusan mahkamah memihak kepada mereka maka mahkamah perlu mengarahkan pembentukan anggota jawatankuasa SPR yang baru.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar mendakwa, tindakan SPR keseluruhannya dilihat berat sebelah dan memihak kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Mereka sedaya upaya mungkin mempertahankan kenyataan Perdana Menteri termasuk dalam urusan mengenai rasuah membeli undi serta menyerang Ketua Pembangkang,” katanya.

 

Categories
NASIONAL

SPRM Digesa Siasat Pemberian Wang Baucer PRU13

sim-tze-tzim

KUALA LUMPUR 10 JULAI : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu menjalankan siasatan semula terhadap dakwaan isu pemberian wang melalui baucer cabutan bertuah oleh pihak berkepentingan dalam Pilihan Raya Umum Ke 13 (PRU13) lalu yang berlaku di Pulau Pinang.

Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin berkata, pihak berkuasa tersebut tidak seharusnya menghentikan siasatan kerana insiden dinyatakan itu memang berlaku dan bukti serta laporan mengenainya dibuat oleh Pakatan Rakyat (PR).

“Kenyataan Pengarah SPRM Pulau Pinang, M Samaraju  yang menyatakan siasatan terhadap kes itu dihentikan dan tiada unsur-unsur jenayah tidak boleh diterima.

“Kita kesal dengan perkara ini dan menganggap SPRM telah gagal dalam tugas mereka ini. Dakwaan dibuat ini memang berlaku di mana satu majlis makan malam telah dibuat di kawasan tertentu dan pengundi diberikan baucer untuk ditukar selepas itu apabiola calon Umno-BN yang bertanding memang dalam pilhanraya,” dakwanya dalam sidang media di Parlimen di sini hari ini.

Sim menjelaskan seramai tujuh pemimpin PR membuat laporan berhubung perkara kepada itu kepada polis dan SPRM.

Katanya, hanya polis memberikan maklumbalas dengan menyatakan kes itu tiada kaitan dengan pihak berkuasa itu tetapi SPRM.

Tegasnya, pertukaran baucer berlaku selepas pilihan raya iaitu pada 10, 11 dan 12 Mei lalu di kawasan tertentu dengan orang ramai beratur untuk mendapatkannya.

“Perkara ini amat ketara berlaku iaitu cubaan rasuah bagi membeli undi. Saya harap SPRM membuka semula siasatan terhadap kes ini dan kami sedia memberikan kerjasama,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Selangor Terpaksa Belanjakan RM 75,000 Wang Rakyat Biayai Kos Guaman Saman Ibu Tunggal

yb-rodziah-ibu-tunggal

SHAH ALAM, 4 JULAI: Kerajaan Negeri terpaksa membelanjakan RM 75,000 duit rakyat Selangor bagi membiayai kos guaman saman ibu tunggal baru-baru ini.

Menurut Exco Kebajikan dan Hal Ehwal Wanita Selangor, Rodziah Ismail, perkara ini amat mendukacitakan apabila wang tersebut sepatutnya boleh dimanfaatkan untuk membiayai pelbagai program bermanfaat termasuk untuk golongan ibu tunggal.

“Bukankah elok jika RM75,000 ini diberikan terus kepada golongan ibu tunggal?” Kata Rodziah dalam ucapan penggulungannaya di dalam Persidangan Dewan Negeri Selangor hari ini.

Bagaimanapun kata Rodziah, plaintif dalam kes saman ibu tunggal terhadap Kerajaan Negeri itu akhirnya menarik balik saman mereka selepas kalah dalam perbicaraan di mahkamah baru-baru ini.

Sebelum ini, seramai 3,011 ibu tunggal di Selangor memfailkan saman menuntut RM 16.26 juta tunggakkan elaun golongan itu yang kononnya dijanjikan dalam manifesto Pakatan Rakyat (PR) Selangor dalam Pilihan Raya Umum ke 12 pada 2008 lalu.

Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan Putrajaya dalam peghakiman mereka pada Mei lalu mengambil keputusan membatalkan saman tersebut.

Saman tersebut dipercayai didalangi pihak tertentu yang mempunyai motif politik bagi mencemar nama baik Kerajaan PR Selangor.

Baru-baru ini, Kerjaan Negeri mendapati terdapat ibu tunggal yang menyertai saman itu yang juga menerima manfaat daripada program atau skim kebajikan Kerajaan Negeri.

Menurut Rodziah, Kerajaan Negeri berharap ini menjadi ?precedent case? untuk kes saman lain yang dihadapi Kerajaan Negeri.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Pakatan Terima Keputusan PRU-13, Tolak Penyelewengan Pengendalian PRU

Rafizi Ramli Konvensyen Pendidikan Unisel 2013

KUALA LUMPUR, 25 JUN : Walaupun Pakatan Rakyat (PR) menerima keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13), pada 5 Mei lalu, gagasan itu tetap membantah penyelewengan dan kepincangan yang didakwa berlaku di dalam sistem pilihan raya.

Malah bukan sahaja Pakatan yang memfailkan petisyen mahkamah terhadap keputusan pilhanraya, Umno-BN juga telah memfailkan petisyen terhadap keputusan di dalam 21 kawasan parlimen dan Dewan Undangan Negeri.

MP Pandan, Rafizi Ramli berkata, Pakatan sentiasa menerima keputusan PRU-13 dengan hati terbuka, namun ia tidak bermakna gabungan itu perlu berdiam diri dan akur sepenuhnya terhadap pengendalian sistem pilihan raya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Rafizi yang juga Pengarah Strategi PKR menegaskan, tindakan memfailkan petisyen yang dilakukan Pakatan pada awal Jun lalu bagi memastikan sistem pilihan raya tidak akan terjejas di masa akan datang.

“Menerima keputusan PRU tidak bermakna kita mengabaikan dan menutup sepenuhnya bab pilihan raya ini tetapi pendedahan mengenai penyelewengan sistem PRU harus diteruskan.

“Ini bukan sahaja mengenai PRU yang lalu, tetapi mengenai integriti sistem pilihan raya di masa akan datang.

Kami akan bekerja keras untuk memastikan penyelewengan dan ketirisan tidak lagi berlaku,” katanya.

Beliau mengulas titah Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah sempena upcara perasmian Persidangan Dewan Rakyat Penggal ke-13, di sini hari ini.

Di dalam titahnya, Yang di-Pertuan Agong menyeru kepada semua Ahli Parlimen agar menerima keputusan PRU-13.

Sentimen tersebut turut diakui MP Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud yang menjelaskan Pakatan menghormati keputusan pilihan raya yang lalu, namun menegaskan undang-undang membenarkan pihak yang bertanding untuk mengemukakan bantahan.

Katanya, akur terhadap keputusan PRU tidak semestinya menghalang Pakatan untuk membuat teguran terhadap kepincangan sistem pilihan raya yang berlaku.

“Undang-undang memberi ruang kepada kita untuk mereformasikan sistem pilihan raya yang tidak sempurna.

“Teguran yang kita berikan itu walaupun kedengaran lantang, tetapi ia adalah untuk kebaikan negara. Teguran yang bertujuan membina itu seringkali diabaikan oleh pihak kerajaan,” katanya.

Pakatan telah memfailkan 34 petisyen di mana membabitkan 24 kerusi Parlimen PRU-13 sementara 10 lagi petisyen adalah merujuk kepada kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Daripada keseluruhan jumlah petisyen kerusi Parlimen itu, 19 daripadanya adalah daripada PKR dan baki masing-masing empat bagi PAS dan dua bagi DAP.

Umno-BN pula memutuskan untuk memfailkan 21 petisyen.

Ketika Jerebu Kritikal, “Menteri Fikir Pasal Panda”

pimpinan pakatan konvensyen 23 jun 01

KUALA LUMPUR 23 JUN : Pakatan Rakyat (PR) membidas Kerajaan Persekutuan kerana lambat bertindak terhadap masalah jerebu yang telah menyelubungi negara ini.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, PR berpandangan jawatankuasa kabinet harus bersidang segera bagi membincangkan langkah bagi mengatasinya dengan cepat.

“Saya agak kesal kerana tindakan masih perlahan kerana apa dinyatakan menteri (Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri G Palanivel) hanya akan bertindak pada Rabu depan.

“Keadaan kini gawat. Kalau ikut pengalaman pada 1997, jawatankuasa kabinet terus digerakkan dan semua jentera kerajaan dikerahkan untuk lakukan apa saja langkah bagi mengurangkannya,” katanya dalam sidang media sempena Konvensyen Kepimpinan PR di sini hari ini.

Anwar menjelaskan bukan masanya bagi kerajaan Indonesia dan Malaysia menuding jari menyalahkan sesiapa dalam perkara berkenaan.

“Saya fikir perlu ada tindakan tegas oleh kerajaan Indonesia kerana kesalahan itu dilakukan di Indonesia.

“Malaysia juga tidak boleh berdiam diri kerana bila syarikat kroni Malaysia terlibat maka Malaysia harus bertindak. Ini soal keselamatan rakyat yang harus diambilkira,” katanya.

Sementara itu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, sepatutnya tindakan awal dilakukan apabila bacaan Indeks Pencemaran Udara (API) mencecah paras 300 (tidak sihat) seperti berlaku di Johor.

Katanya, topeng muka seharusnya diedarkan kepada umum lebih awal apabila masalah berlaku.

“Kita sedia bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan untuk menangani krisis ini.

“Palanivel lebih pentingkan (rumah penempatan) panda daripada jerebu. Kalau jerebu macam ini, China mungkin tidak menghantar panda ke Malaysia,” katanya.

Categories
NASIONAL

Anwar Hanya Akan Jumpa Najib Bersama Pimpinan Pakatan

anwar najib

AMPANG 23 JUN : Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pimpinan Pakatan Rakyat (PR) bersedia berjumpa dengan Datuk Seri Najib Abdul Razak untuk mengadakan sebarang rundingan.

Bagaimanapun, Anwar berkata, perbincangan yang akan dilakukan itu hendaklah dilakukan secara telus dan terbuka.

“Saya tidak pernah menolak untuk berbincang dengan sesiapa, tetapi harus telus dan terbuka.

“Kita pelawa dari ‘consistent’ untuk ada rundingan, untuk berbicara dengan PR, saya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Lim Kit Siang sedia untuk jumpa Najib dan Muhyiddin pada bila-bila masa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika bercakap dalam sesi pembukaan Konvensyen Pakatan di Hotel De Palma Inn, Ampang, di sini hari ini.

Sebelum ini, Ketua Pembangkang itu menafikan bertemu Najib di Indonesia seperti spekulasi media minggu lalu.

Sebuah portal berita melaporkan Najib dan Anwar berada di Jakarta pada masa yang sama dan berkemungkinan bertemu.

Laporan itu mendakwa pertemuan itu diatur ketika Najib dikhuatiri akan dicabar dalam pemilihan Umno tahun ini dan berkemungkinan akan berhadapan dengan usul undi tidak percaya di dalam Dewan Rakyat.

Categories
NASIONAL

DAP Perlu Tingkat Usaha Betulkan Persepsi Melayu

Mat Sabu White 01

AMPANG 23 JUN:  Kerjasama perlu dipertingkatkan dikalangan komponen Pakatan Rakyat (PR) bagi membetulkan persepsi orang Melayu bahawa hanya Umno sahaja pelindung dan pembela komunti.

Timbalan Presiden Pas, Mohammad Sabu berkata, perancangan teliti perlu dilakukan mulai sekarang bagi mengelakkan isu yang berkaitan orang melayu dimainkan semula pada Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU-14) akan datang.

Oleh itu, beliau berkata, DAP diperlukan bagi membantu menerangkan kepada komuniti Melayu yang masih ragu-ragu untuk memberi sokongan kepada Pakatan.

“Untuk rancangan lima tahun akan datang, kita kena lihat secara serius bantuan daripada semua kaum khasnya DAP.

“DAP menang begitu besar dan diperlukan supaya melihat secara serius bagaimana nak membuang persepsi yang mengatakan hanya Umno penyelamat Melayu,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika memberi ucapan pada Konvensyen Pakatan Rakyat di Hotel De Palma Inn Ampang di sini hari ini.

Beliau yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata, pimpinan Pakatan yang terdiri daripada Pas, PKR dan DAP perlu lebih berhati-hati ketika mengulas mengenai isu sensitif bagi mengelak dieksploitasi oleh Umno-BN.

“Secara sedar dan tak sedar perkara ini jika tidak diberi perhatian akan membantu Umno dalam mengekalkan kuasa,” ujarnya lagi

Sebelum ini, beberapa isu sensitif seperti kalimah Allah, persepsi negatif terhadap DAP, sering dimanipulasikan oleh Umno-BN bagi menarik sokongan pengundi Melayu ketika Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu.