Arang Batu ketinggalan, Exco gesa TNB teroka tenaga alternatif

elizabeth01PETALING JAYA 2 OKT : Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong menyarankan Tenaga Nasional Berhad (TNB) supaya melaksanakan kaedah ‘Micro Sitting’ di bangunan-bangunan Kerajaan atau kawasan sekitar sebagai sumber tenaga alternatif dalam kehidupan harian.

Cadangan itu diutarakan selepas TNB mengambil keputusan untuk membina dua loji janakuasa berkuasa arang batu berteknologi tinggi di Perak bagi memenuhi permintaan elektrik yang semakin meningkat.

Elizabeth berpendapat keputusan TNB itu mengejutkan pihaknya, sedangkan negara luar kini sedang menumpukan pelaksanaan sumber tenaga yang boleh diperbaharui antaranya tenaga solar, biomas dan hidro.

“Namun, kita di Malaysia masih menumpukan kepada sumber yang akan habis dalam masa terdekat dan sumber itu tidak boleh diperbaharui.

“Saya mencadangkan, TNB supaya menggunakan peruntukkan itu untuk menggunakan kaedah ‘Micro Sitting’ di bangunan-bangunan kerajaan dan kawasan sekitar supaya sasaran untuk mendapatkan tenaga lebih baik dan boleh diperbaharui,” katanya ketika berucap di Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) di antara Majlis Bandaraya Petaling Jaya dan Malaysia Green Technology Corporation.

Semalam, TNB mengumumkan akan membina dua loji janakuasa berkuasa arang batu teknologi tinggi berkeupayaan 1,000 MW di Manjung, Perak bagi memenuhi permintaan elektrik yang semakin meningkat.

Penggunaan tenaga pada masa ini dijangka meningkat sebanyak lima peratus setahun dan kedua-dua projek itu dalam perancangan syarikat.

Kedua-dua projek itu akan bermula tidak lama lagi dan akan siap dalam masa empat tahun akan datang.

Malaysia menggunakan kira-kira 15,000 MW hingga 16,000 MW kuasa setiap hari, dan angka itu dijangka meningkat setiap tahun.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Naik Sewa PPRT Ditentukan Exco BN

iskandar samadSHAH ALAM 2 OKT : Keputusan untuk menaikkan kadar sewa di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Lembah Subang merupakan keputusan yang dibuat oleh Mesyuarat Exco pada Ogos 2007, iaitu sebelum Pakatan Rakyat (PR) mengambil alih pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor.

Kenaikan itu menjadikan kadar sewa daripada RM124 kepada RM250 dengan alasan kos penyelenggaraan yang meningkat.

Bagaimanapun, pada Disember 2008, Kerajaan Negeri bersetuju untuk menurunkan kadar sewa yang dinaikkan kepada kadar asal kerana tidak mahu rakyat terbeban dengan kadar sewa yang tinggi.

Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Peneroka Bandar, Iskandar Samad berkata Kerajaan Negeri membuat keputusan terbabit berdasarkan had kelayakan pendapatan penghuni di PPRT itu.

“Kita bagi kelonggaran kepada penghuni yang berpendapatan RM1,500 ke bawah yang mempunyai banyak tanggungan, warga emas atau Orang Kurang Upaya (OKU) untuk mengekalkan kepada RM124 sebulan.

“Manakala, kadar sewa lebih dari RM1,500 dan berkemampuan kita kekalkan kepada RM250. Penurunan itu bertujuan meringankan beban penduduk yang rata-ratanya berpendapatan rendah.” katanya ketika dihubungi.

Iskandar berkata demikian bagi menafikan dakwaan Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan negeri (MTPNS), Datuk Seri Noh Omar berhubung kenaikan kadar sewa terbabit.

Iskandar menjelaskan selain bertindak mengurangkan kadar sewa itu, pada tahun lalu, Kerajaan Negeri turut prihatin dengan membelanjakan sebanyak RM3.2 juta untuk penyelenggaraan PPRT di Lembah Subang dan Kota Damansara bagi kerja-kerja pembaikian lif dan pam air.

Noh sebelum ini mendakwa Kerajaan Negeri menindas penghuni PPRT terutamanya di Lembah Subang apabila gagal melaksanakan kerja pembaikan kemudahan tetapi menaikkan kadar sewa.

Beliau mendakwa kadar sewa dinaikkan daripada RM124 (zaman Umno-BN) kepada RM250 ketika ini.

Categories
SELANGOR

MBSA perkasakan jabatan untuk kesejahteraan warga Shah Alam

Datuk Mohd Jaafar Mohd AtanSHAH ALAM 2 OKT : Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan memperkasakan fungsi beberapa jabatannya bagi memberi perkhidmatan lebih berkualiti ke arah kesejahteraan warga bandar raya Shah Alam.

Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Jaafar Mohd Atan berkata, ia adalah dasar Belanjawan 2014 MBSA yang mempunyai enam teras iaitu kehidupan sejahtera dan kondusif, perkhidmatan terbaik, peka terhadap aduan masyarakat, masyarakat dan ‘stakeholders’ sebagai pelanggan, sistem penyampaian yang cekap dan rondaan keselamatan.

Beliau berkata, untuk Belanjawan 2014 MBSA mensasarkan pulangan hasil melebihi RM350.6 juta menerusi hasil cukai dan bukan cukai bagi meneruskan pembangunan di kawasan selaiannya.

“Belanjawan kita pada 2014 adalah belanjawan berimbang dan dijangka kita akan mendapat hasil kira-kira RM350,640,430 maka kita akan berbelanja sebanyak yang kita dapat.

“Kita menyahut hasrat Kerajaan Negeri supaya belanjawan ini diberikan balik kepada pembangunan insan dan masyarakat bagi warga MBSA serta pembayar cukai dan pelabur. Antara tindakan adalah kita akan memperkasakan beberapa jabatan di MBSA,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Mesyuarat Pembentangan Belanjawan 2014 MBSA di sini hari ini.

Mohd Jaafar berkata, jabatan terbabit adalah Jabatan Perkhidmatan Bandar, Jabatan Korporat dan Pembangunan Komuniti, Jabatan Pelesenan dan Penguatkuasaan, Jabatan Khidmat Pengurusan, Jabatan Kejuruteraan, Jabatan Taman dan Rekreasi dan Jabatan Hasil dan Pelaburan dengan penubuhan beberapa unit baru.

Beliau berkata, antara unit ditubuhkan ialah Unit Polis Bantuan di bawah Jabatan Pelesenan dan Penguatkuasaan, Unit Pengurusan Dewan-Dewan Serbaguna (Jabatan Korporat dan Pembangunan Komuniti), Unit Integriti (Jabatan Khidmat Pengurusan), Unit Penyelenggaraan (Jabatan Kejuruteraan), Unit Pangkasan Pokok (Jabatan Taman dan Rekreasi) dan Unit Pengurusan Tempat Letak Kereta (Jabatan Hasil dan Pelaburan).

“Salah yang paling penting untuk menjaga disiplin Ahli Majlis, pegawai dan kakitangan MBSA, kita akan tubuhkan satu Unit Integriti iaitu ketuanya akan dipinjamkan dari SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) untuk menyemak supaya tidak ada salah laku. Kita akan tubuhkan bila diluluskan Kerajaan Negeri.

“Dalam belanjawan tadi untuk penubuhan Unit Polis Bantuan dengan 100 anggota, MBSA melalui Kerajaan Negeri akan memohon kepada Ketua Polis Negara dan kita berharap akan diluluskan,” katanya.

Mohd Jaafar berkata, MBSA akan membaiki dan menambahbaik beberapa dewan orang ramai di sekitar Shah Alam dengan kos RM3.5 juta.

Beliau berkata, projek laluan basikal juga diteruskan selain beberapa kemudahan seperti taman cergas dan taman awam.

“Kita juga akan menaik taraf dan mempertingkatkan sistem pengangkutan awam sedia ada iaitu di terminal bas di Seksyen 17 dan 19.

“Terminal bas di Seksyen 19 akan dibangunkan dengan kos RM4 juta manakala terminal bas di Seksyen 17 dengan kos RM7 juta yang mana kita akan memohon kos tambahan itu,” katanya.

Beliau berkata, MBSA juga merancang menubuhkan sebuah Dewan Banquet bertaraf antarabangsa di kawasan Seksyen 13 pada masa depan dengan anggaran kos RM27 juta.

Categories
SELANGOR

MBPJ terajui ‘Bandaraya Hijau Berkarbon Rendah’

mbpj alinah eli

PETALING JAYA 2 OKT : Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) sekali lagi mengorak langkah dalam usaha menjadikan Petaling Jaya sebuah Bandaraya Hijau Berkarbon Rendah.

Bagi merealisasikan hasrat itu, MBPJ menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) dengan Malaysia Green Technology Corporation (GreenTech) di Ibu Pejabat MBPJ di sini, hari ini.

MOU itu ditandatangani oleh Datuk Bandar MBPJ, Datin Paduka Alinah Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif GreenTech, Ahmad Hardi Haris sambil diperhatikan oleh Exco Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar, Elizabeth Wong.

Elizabeth dalam ucapannya berkata, MBPJ sekali lagi menjadi peneraju ‘Low Carbon Cities Framework (LCCF)’ bagi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor.

“Dengan adanya usahasama ini, sudah tentu pasukan petugas LCCF ini akan dapat dipertingkatkan dalam menjana idea-idea pembangunan baru yang lebih mesra alam sekaligus membantu negara mancapai sasaran pengurangan 40 peratus pelepasan gas karbon dioksida menjelang 2020.

“Saya harap inisiatif ini akan menjadikan contoh kepada PBT lain di negeri ini dalam memberi fokus kepada penduduk dan penjagaan alam sekitar,” katanya.

Elizabeth memaklumkan, beliau juga sudah membentangkan pelan rancangan lima tahun bagi mewujudkan ‘Renewable Technology’ di Selangor sebagai usaha menjadikan negeri ini lebih sihat.

Sementara itu, Alinah turut menggariskan beberapa perkara baru yang akan dilaksanakan antaranya konsep pembangunan berasaskan ‘people centrix’ yang mengutamakan penjalan kaki dan penunggang basikal.

Selain itu, mewujudkan koridor hijau Petaling Jaya, menawarkan pelbagai pilihan mod pengangkutan kepada penduduk sekitar dan memperkenalkan skim rebat cukai taksiran kepada pemilik premis perniagaan.

“Dengan jalinan kerjasama ini, peranan GreenTech sebagai perunding dari segi membantu MBPJ menyediakan maklumat asas serta memperkenalkan inovasi baru amat diharapkan,” katanya.

Bagi menggerakkan pelaksanaan perancangan dan program MBPJ sudah menubuhkan pasukan petugas LCCF yang terdiri daripada Ahli Majlis, Jabatan Teknikal dan Badan Bukan Kerajaan.

Sebelum ini, MBPJ turut melaksanakan beberapa insiatif antaranya mewujudkan zon matikan enjin ketika menunggu di semua premis milik MBPJ dan larangan menggunakan beg plastik pada setiap hari Jumaat selain hari Sabtu.

Selain itu, meletak kereta secara percuma bagi pembelian kereta Hybrid di Petaling Jaya dan mengenakan syarat kebenaran merancang yang mesra alam seperti ‘Green Building Index’ di rumah banglo.

 

Categories
SELANGOR

Program Hadiah Anak Masuk Universiti Capai Sasaran

hadiah anaka masuk uSHAH ALAM 2 OKT: Program Hadiah Anak Masuk Universiti, yang merupakan salah-satu daripada Agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) dipuji dalam Laporan Audit Negara kerana mencapai sasaran pemberian bantuan secara keseluruhan.

Siasatan Jabatan Audit Negara mendapati 87.8 peratus golongan sasar menerima manfaat daripada program MES itu. Paling menarik perhatian Audit adalah prestasi sangat baik yang dicatatkan pada 2010 (99.9% dari 7,699 pemohon), 2011 (93.1% dari 7,167 pemohon) dan 2012 (98.6% dari 7,887).

Bilangan-penerima-wang

“Semakan Audit mendapati prestasi Program adalah baik kerana bilangan penerima wang hadiah bagi bulan Julai 2008 hingga 2012 adalah tinggi iaitu 32,130 (87.8%) daripada 36,600 penerima yang disasarkan.

“Analisis Audit selanjutnya juga mendapati prestasi Program bagi tahun 2010 hingga 2012 berada pada tahap sangat baik iaitu 93.1% hingga 99.9%,” menurut laporan itu.

Program Hadiah Anak Masuk Universiti telah dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri mulai 1 Julai 2008 dan bertujuan untuk meringankan beban pelajar bagi menampung yuran dan perbelanjaan di Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

Dari Julai 2008 hingga 2012, sebanyak RM36.60 juta tela diperuntukkan dan RM32.13 juta telah dibelanjakan untuk menjayakan program ini.

Penerima-pinjaman

Dalam pada itu, Laporan Audit juga turut membuat beberapa syor bagi meningkatkan kejayaan program ini, termasuk meletakkan proses pengesahan dan perakuan yang ketat, serta memperkemaskan pemberian hadiah.

Categories
SELANGOR

Prestasi Tabung Kumpulan Wang Biasiswa Selangor dipuji

laporan ketua udit negaraSHAH ALAM 2 OKT : Pengurusan Tabung Kumpulan Wang Biasiswa Selangor (Tabung) mendapat pujian Jabatan Audit Negara dalam laporan Ketua Audit Negara bagi tahun 2012.

Prestasi keseluruhan program biasiswa pinjaman tanpa faedah dan pinjaman boleh ubah ini disifatkan baik, namun beliau berharap Kerajaan Negeri memperkemas dan melicinkan pengurusan dan penyeliaan program supaya ia menjadi lebih berkesan.

“Pengauditan yang dijalankan antara bulan Julai hingga Oktober 2012 mendapati secara keseluruhannya, prestasi Program adalah baik, namun masih boleh dipertingkatkan dari aspek pencapaian pengajian peringkat ijazah perubatan dan sijil serta mengadakan calon simpanan untuk mengisi tawaran yang ditolak,” menurut laporan itu.

Dalam siasatan ini, pihak Audit menyorot perhatian Kerajaan Negeri kepada sambutan masyarakat kepada program Tabung, melalui beberapa syor penambahbaikan, seperti:

1. Menambah kuota dan sasaran bagi pengajian ijazah yang mendapat sambutan melebihi kuota dan sasaran yang ditetapkan.

2. Mengadakan senarai calon-calon simpanan yang berkelayakan untuk mengisi tawaran-tawaran yang telah ditolak.

3. Menetapkan tempoh bagi setiap proses penguatkuasaan prosedur supaya tindakan penguatkuasaan dapat dilaksanakan dengan berkesan.

Audit juga menggesa Kerajaan Negeri supaya mempertingkatkan kemahiran kakitangan Tabung melalui latihan kemahiran dan pengetahuan yang berterusan, dan memanfaatkan sepenuhnya sistem teknologi maklumat.

Sehingga bulan Jun 2012, Kerajaan Negeri telah melaksanakan 7 jenis pinjaman/biasiswa (Program) pelbagai peringkat pengajian melibatkan seramai 15,581 pelajar dengan jumlah pembiayaan RM140.08 juta. Pada tempoh yang sama, Tabung ini mempunyai dana terkumpul berjumlah RM96.92 juta merangkumi penghutang RM94.20 juta, wang tunai RM2.56 juta serta hartanah, loji dan peralatan RM0.16 juta.

Tabung ditadbir oleh Lembaga Pemegang Amanah Tabung (Lembaga) yang dipengerusikan oleh Menteri Besar dengan ahlinya terdiri daripada Setiausaha Kerajaan Negeri, Pegawai Kewangan Negeri, Pengarah Pelajaran Negeri Selangor dan 4 ahli tidak rasmi yang dilantik oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN).

Laporan Audit Negara rumuskan Hadiah Anak Masuk Universiti capai sasaran

Hadiah-Anak-Masuk-Universiti

KUALA LUMPUR 1 OKT: Laporan Ketua Audit Negara 2012 merumuskan bahawa program Hadiah Anak Masuk Universiti yang diperkenal Kerajaan Selangor adalah baik dan mencapai sasaran.

Mengikut laporan itu, audit yang dijalankan mendapati 87.8 peratus atau sebahagian besar golongan sasar menerima manfaat dari program tersebut.

?Semakan audit mendapati prestasi Hadiah Pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) adalah baik kerana bilangan penerima wang bagi bulan Julai 2008 hingga 2012 adalah tinggi iaitu 32,130 (87.8%) daripada 36,000 yang disasarkan.

?Maklum balas yang diterima terhadap impak program ini kepada penerima wang hadiah juga adalah menggalakkan,? kenyataan itu dipetik Harakah Daily.

Program pemberian hadiah kepada anak Selangor yang melanjutkan pelajaran ke universiti diperkenal kerajaan Pakatan Rakyat Selangor mulai 1 Julai 2008, lima bulan mentadbir negeri itu selepas menang Pilihan Raya Umum ke-12.

Bantuan tunai RM1000 diberi kepada mereka yang ditawarkan melanjutkan pengajian bagi peringkat Diploma dan Ijazah Sarjana Muda di IPT.

Dalam pada itu, Laporan Audit juga turut membuat beberapa syor bagi meningkatkan lagi kejayaan program ini.

Ia termasuk soal dokumen pengesahan, senarai pihak yang dibenar memperakui dokumen dan polisi bertulis untuk kelulusan permohonan secara rayuan.

 

Categories
SELANGOR

Teng – konsep Pertanian Urban dengan formula terbaik

New_crops-Chicago_urban_farmSHAH ALAM 1 OKT : Kerajaan Negeri akan merangka konsep Pertanian Urban (UA) dalam siri mesyuarat melibatkan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Pejabat-Pejabat Exco bertanggungjawab, Pihak-Pihak Berkuasa Tempatan, Pejabat-Pejabat Adun dan penduduk yang akan diadakan dalam masa terdekat.

Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Datuk Teng Chang Khim berkata mesyuarat itu nanti mahu mencari formula untuk menerap dan melaksanakan Pertanian Dalam Bandar secara holistik, berkesan dan cekap.

“Pertanian Urban ini satu konsep yang masih dalam perbincangan. Belum ada lagi rancangan yang konkrit untuk dimajukan.

“Oleh itu pihak saya dan Menteri Besar akan mengadakan perjumpaan dan perbincangan dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Adun, Ahli Majlis dan juga penduduk di kawasan PBT berkaitan untuk mencari satu formula yang terbaik supaya apabila dilaksanakan ia akan berjalan dengan lancar,” katanya.

UA dinyatakan oleh Abdul Khalid di Majlis Dialog Belanjawan 2014 di Subang Jaya pada 23 dan 24 September lalu, sebagai respon kepada urbanisasi pesat di Selangor. Menjelang 2020, beliau menjangkakan 85 peratus kawasan di Selangor akan bertukar menjadi bandar.

Didorong keperluan mempertahankan bekalan makanan yang berterusan, memastikan sumber khasiat gizi untuk rakyat tidak terputus, dan membuka peluang pendapatan baru untuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana, Selangor kini menyertai inisiatif sejagat memetakan UA dalam perancangan bandar.

UA meletakkan sistem budidaya, pemprosesan dan pemasaran sayur-sayuran, buah-buahan dan daging segar serta produk berasaskan tani dalam zon yang telah dimajukan dan sepanjang lingkaran antarabandar di tanah-tanah milikan awam, milikan peribadi atau tanah komuniti.

Mewujudkan prasarana UA berasaskan komuniti bermaksud meletakkan sistem setempat untuk bertani, memproses makanan dan menghubungkan petani kepada pengguna. Di Amerika Syarikat sahaja, program-program UA dari taman komuniti seperti Seattle P-Patches menyumbang sekitar USD1.25 juta hasil tani setiap tahun.

“Apabila sudah ada konsep, kita akan lihat apa elemen yang akan diletakkan dalam program ini dan daripada elemen ini dimanakah kekangan yang mungkin akan dihadapi dan sebagainya.

“Bagaimanapun ia adalah perancangan Kerajaan Negeri untuk menjadikan kehidupan rakyat lebih selesa dan sejahtera,” tegas Chang Khim.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Teng – Pentas Selangor fokus pembangunan kesenian

teng pc stripe tie 01SHAH ALAM 1 OKT : Kerajaan Negeri akan menitikberatkan pembangunan bidang kebudayaan dan kesenian seiring dengan kemajuan bidang lain.

Sehubungan itu, satu penganjuran persembahan pelbagai kebudayaan dikenali Pentas Selangor akan diadakan di Klang pada 26 Oktober ini bertempat di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (Perempuan) Klang.

Exco Kerajaan Tempatan, Kajian Dan Penyelidikan, Datuk Teng Chang Khim berkata, persembahan itu adalah kali kedua selepas persembahan pertama di tempat sama pada 15 September lalu mendapat sambutan menggalakkan daripada orang ramai khususnya penduduk setempat.

Beliau berkata, ia adalah usahasama antara Kerajaan Negeri dan pihak korporat bagi mengembangkan lagi kebudayaan dan kesenian pelbagai bangsa di Selangor.

Ia juga akan menjadi satu tarikan bagi peminat seni dan pelancongan serta akan dimasukkan sebagai salah satu acara dalam kalendar pelancongan Selangor pada tahun depan.

“Kita mengadakan persembahan kedua ini selepas kejayaan persembahan pertama. Seterusnya kita merancang membuat 12 persembahan iaitu sebulan sekali dengan Klang sebagai permulaan kerana bandar ini dikenali sebagai bandar atau pusat kebudayaan.

“Selepas ini kita berharap untuk membuat persembahan di luar Klang khususnya di Shah Alam dan Petaling Jaya kerana bandar raya ini mempunyai lebih kemudahan seperti auditorium dan pentas teater,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Teng berkata, buat permulaan persembahan itu disertai dan dijayakan enam pasukan kesenian antaranya  terdiri daripada Orkestra Cina serta pasukan gendang, tarian dan nyanyian.

Katanya, Kerajaan Negeri berharap ia akan mendapat sambutan dan sokongan rakyat Selangor ke arah pengukuhan dan perkembangan pasukan itu untuk menjadi lebih besar.

Pihaknya mengharapkan penyertaan lebih banyak syarikat korporat dalam program itu sebagai salah satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi tujuan berkenaan.

“Ia adalah persembahan pelbagai kebudayaan dan ia menjadi satu cabaran bagi mengembangkannya. Buat permulaan kita ketengahkan kumpulan Cina.

“Apabila ia sukses, perancangan seterusnya membesarkannya dengan Pentas Selangor mungkin bertukar menjadi Pentas Utama atau Pentas Perdana dengan pembabitan kaum lain seperti Melayu, India, Cina, Kadazan, Iban, Dayak dan sebagainya termasuk tajaan daripada pihak korporat lebih besar,” katanya.

Berhubung peruntukan, beliau berkata, Kerajaan Negeri menganggarkan perbelanjaan kira-kira RM500,000 untuk penganjuran 12 persembahan itu nanti.

“Kita berharap mampu untuk membina satu model pembangunan kesenian di Selangor kerana selalunya kita menghadapi kekangan peruntukan untuk mengiatkan aktiviti kesenian di Malaysia.

“Kita berbangga dengan pembangunan fizikal, ada menara kembar Petronas, ada lapangan terbang terbesar, ada pelabuhan yang besar, ada salah satu rangkaian sistem pengangkutan terbaik di rantau ini tetapi apabila memperkatakan mengenai kebudyaan, kita mempunyai ruang yang besar untuk ditingkatkan,” katanya.

Categories
KENYATAAN MEDIA SELANGOR

MB ketuai misi perdagangan ke 3 negara Eropah

khalid ibrahimSHAH ALAM, 1 OKT: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengetuai misi perdagangan dan pelaburan kerajaan Selangor ke Belgium, Switzerland dan Jerman bermula 29 September sehingga 7 Oktober.

Misi yang diaturkan oleh Selangor State Investment Centre (SSIC) itu bertujuan menarik pelaburan dan mempromosikan Negeri Selangor sebagai pusat pelaburan utama di Malaysia kepada pihak industri dan usahawan di Belgium, Switzerland dan Jerman.

Di Belgium, delegasi kerajaan Selangor akan mengunjungi Essenscia iaitu Persekutuan Industri Sains Hayat dan Kimia Belgium yang mewakili 800 syarikat dari sektor berkenaan dan mengadakan perbincangan dengan Pengarah Urusan Essenscia, Yves Verschueren.

Delegasi berkenaan juga akan mengadakan lawatan ke ibu pejabat Syarikat Bekaert, pengeluar utama wayar keluli (steel wire transformation and coatings); melawat makmal kepunyaan Syarikat Emulco serta mengadakan perbincangan dengan Pengerusi Emulco, Jean Vanhoebost. Seterusnya mereka dijangka melawat ibu pejabat syarikat Oleon – pengeluar produk oleochemicals yang mempunyai kilang di Pelabuhan Klang.

Di Switzerland, Menteri Besar dan delegasi akan melawat syarikat penyelenggaraan kapal terbang, SR Technics dan mengadakan pertemuan bersama Naib Presiden Kanan Kumpulan Bahagian Penyelenggaraan Komponen, Christof Spaeth.
Mereka juga akan melawat ibu pejabat syarikat Zeochem iaitu pengeluar pengayak molekul dan gel kromatografi bermutu tinggi (high quality molecular sieves dan gel chromatography gels). Selain itu, Menteri Besar akan dibawa ke ibu pejabat syarikat makanan global Nestle selain mengadakan pertemuan dan dialog dengan Persatuan Pengeluar Jentera Switzerland.

Delegasi kemudian ke negara Jerman dan mengadakan pertemuan bersama syarikat Hensen Trade and Invest – agensi kerajaan untuk meningkatkan perdagangan bagi wilayah Hensen dan melawat Kawasan Industri Hensen, melawat Wurth Group – pengeluar utama peralatan pemasangan seperti skru yang mempunyai 400 anak syarikat di 80 negara selain mengadakan pertemuan dan dialog bersama Dewan Perniagaan dan Industri Ostwestfalen.

Turut sama dalam misi berkenaan ialah Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Industri dan Perdagangan Negeri Selangor, Ean Yong Hian Wah; Ketua Pengawai Eksekutif SSIC, Hasan Azhari Idris, Penolong Pengurus SSIC, Sven Schneider dan Pengurus Kanan Pembangunan Perniagaan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Puan Norzila Sidek.

Menteri Besar dan delegasi dijadualkan berlepas pulang ke Malaysia pada 7 Oktober.

SEKRETARIAT AKHBAR
PEJABAT DATO? MENTERI BESAR SELANGOR

Categories
NASIONAL SELANGOR

BN naikkan harga petrol selepas PRK DUN Sungai Limau?

ron95

SHAH ALAM, 29 SEPT: Sekalipun tiada pengumuman kenaikan harga minyak yang heboh diperkata dalam media sosial, Biro Kepenggunaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yakin ia tetap berlaku dalam masa terdekat.

Pengarahnya, Yahya Mat Sahri, kenaikan harga bahan api itu sukar dielak berikutan faktor kelemahan pengurusan kewangan pemimpin dan amalan rasuah dalam kerajaan Umno BN itu.

“Ini disebabkan penyusutan nilai mata wang kita yang terpaksa ditampung, pendapatan dan perbelanjaan tak seimbang, perbelanjaan terlalu tinggi dan hutang negara juga terlalu tinggi dan rasuah tidak dibendung.

“Kerajaan terdesak mencari sumber kewangan dan akhirnya mereka letakkan beban kepada rakyat.

Kalau begini senanglah kerja kerajaan, tak cari penyelesaian lain. Asal ada masalah ekonomi, semua hadapkan kepada rakyat untuk dipikul,” katanya kepada TV Selangor.

Yahya tidak menolak kemungkinan kerajaan mengambil kira faktor pilihan raya kecil DUN Sungai Limau tidak lama lagi sebelum membuat keputusan menaikkan harga petrol.

Beliau turut menyelar kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Ahmad Maslan yang memberi alasan kenaikan itu disebabkan kenaikan harga antarabangsa.

“Kata terpaksa naikkan sejajar harga pasaran antarabangsa tetapi sebenarnya pasaran minyak antarabangsa ketika ini turun. Kita sahaja yang menaikkan harga,” katanya.

Selain itu, katanya alasan kenaikan bagi membenteras penyeludupan petrol di sempadan juga tidak masuk akal berikutan masalah itu sudah berlarutan sejak berpuluh-puluh tahun lalu.

“Ini bukan perkara baru, sudah berpuluh tahun dulu lagi. Kenapa sampai sekarang tidak dapat diatasi. Setiap kali timbul isu kenaikan harga minyak, mulalah timbulkan isu penyeludupan untuk jadikan alasan,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Ilmu, Usahawan, Kediaman, Tiga Tujahan Utama Belanjawan Selangor 2014

MB belanjawan

SUBANG JAYA 24 SEPT : Tiga perkara utama iaitu pendidikan, pembangunan usahawan dan perumahan mampu milik akan diberi perhatian dalam Belanjawan Selangor 2014 yang akan dibentangkan pada bulan November depan.

“Selepas mengadakan perbincangan dengan pemimpin masyarakat dalam Dialog Belanjawan 2014 dua hari ini, kita dapat menilai sejauh mana mereka memikirkan mengenai manifesto yang kita janji.

“Jadi selepas ini, kita akan mengadakan perbincangan dengan semua Exco tentang bagaimana ia dapat dilaksanakannya dengan menekankan kepada tiga perkara itu,” kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim  dalam sidang media selepas Majlis Dialog Belanjawan 2014, di Hotel Grand Dorsett, di sini.

Tujahan perumahan itu termasuk pembinaan sekurang-kurangnya 20,000 unit rumah mampu milik melalui penglibatan daripada Lembaga Perumahan dan Hartanah (LPHS), Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan pemaju.

Program rumah mampu milik ini juga akan diperhebatkan dan dipercepatkan pembinaannya, disamping memberi keutamaan kepada pemohon yang berumur 40 tahun ke bawah, serta keluarga yang belum berpeluang mempunyai kediaman sendiri.

Manakala tujahan pembangunan usahawan pula bakal menyaksikan penumpuan khusus mendorong golongan miskin menceburi bidang keusahawan kecil dan sederhana.

“Kali ini kita akan bergerak dari pembangunan usahawan yang tertumpu kepada masyarakat miskin kepada pembangunan usahawan kecil dan sederhana, ia kerana kita rasa Selangor bergerak maju kerana adanya pengusahawanan yang dinamik,” katanya.

Bagi pendidikan pula, Abdul Khalid berkata Kerajaan Negeri mahu menggemblengkan program mempertingkatkan mutu pendidikan di Selangor, termasuk bidang kemahiran.

“Dalam masa yang sama, kita juga mahu memberdayakan kaum wanita yang mana kita rasa ekonomi negeri akan bertambah rancak jika kaum wanita memperhebatkan penglibatan mereka dalam pembangunan negeri,” katanya.