Categories
NASIONAL SELANGOR

Belantan, pistol renjat untuk penguatkuasa PBT

teng pc stripe tie 01SUBANG JAYA 24 SEPT : Pegawai Penguatkuasa di semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor akan dilengkapi dengan peralatan keselamatan belantan renjat dan pistol renjat tidak lama lagi.

Exco Kajian, Penyelidikan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Teng Chang Khim berkata kelengkapan ini perlu supaya penguatkuasa dapat melaksanakan tugas mereka dalam keadaan selamat ketika menjalankan tugas seperti operasi serbuan atau rampasan.

Katanya, pihaknya sudah membuat sebut harga dan setakat ini hanya tunggu kelulusan dari Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM).

“Kita sudah menghantar permohonan kepada SIRIM awal bulan ini dan kita masih menunggu kelulusan, jika sudah mendapat maklum balas kita akan terus laksanakannya,” katanya kepada pemberita seusai pembentangan Dialog Belanjawan 2014 yang bertajuk Pengukuhan Perkhidmatan PBT, di Hotel Grand Dorsett, Subang Jaya.

Senjata renjat menggunakan aliran elektrik untuk menganggu kawalan otot dan menyebabkan saraf otot kehilangan upaya buat seketika. Belantan dan pistol renjat itu tidak bertujuan untuk menyebabkan kesakitan melampau, kecuali penggunanya memilih mod tertentu.

Sebagai permulaan hanya anggota-anggota terlatih akan diberi kelengkapan itu.

“Peruntukkan saya masih lagi mempunyai baki RM1 juta. Jika sebut harga dan keputusan dari SIRIM itu dalam tempoh terdekat maka kita akan gunakan peruntukkan itu dan jika lambat, kita gunakan peruntukkan tahun depan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Teng memaklumkan Kerajaan Negeri dan PBT sedang mengkaji untuk memberi kenaikan elaun lebih masa kepada penguatkuasa. Turut diberi perhatian adalah kenaikan pangkat penguatkuasa.

“Penguatkuasa yang sedia ada akan ditawarkan bonus yang menarik serta elaun yang tinggi bagi mereka mempertingkatkan mutu kerja seterusnya menaikkan imej PBT,” katanya.

Sementara itu, Kerajaan Negeri mengkaji untuk melantik penguatkuasa secara kontrak bagi memantapkan lagi penyampaian khidmat PBT di wilayah masing-masing.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Had layak hadiah anak masuk universiti naik RM3,000 – FOKUS

Sinopsis

FOKUS Untuk 24092013

Saksikan secara langsung “FOKUS” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT. Pelbagai berita dan maklumat terkini negeri dan nasional yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Sempena Belanjawan Selangor 2014, Kerajaan Negeri akan menaikkan had kelayakan Hadiah Anak Masuk Universiti daripada pendapatan seisi rumah RM1,500 sebulan kepada RM3,000 sebulan.

2. Kerajaan Negeri merangka Belanjawan Selangor 2014 dengan mengambil kira kehendak rakyat melalui hasil perbincangan bersama pemimpin masyarakat dalam sesi Majlis Dialog yang diadakan di Hotel Grand Dorsett Subang Jaya.

3. Tanah milik Jabatan Perparitan dan Saliran (JPS) dikesan diceroboh pihak tidak bertanggungjawab yang menjadikan tanah itu tempat pembuangan sampah haram dan penempatan setinggan.

Categories
SELANGOR

Kelayakan hadiah anak masuk universiti naik kepada RM3,000

mb uni  insentifSUBANG JAYA 23 SEPT : Sempena Belanjawan Selangor 2014, Kerajaan Negeri akan menaikkan had kelayakan Hadiah Anak Masuk Universiti daripada pendapatan seisi rumah RM1,500 sebulan kepada RM3,000 sebulan.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata kedudukan kewangan negeri yang kukuh membolehkan pemerkasaan program-program pro-rakyat seperti ini.

“Kita mampu meningkatkan insentif ini berikutan rezab negeri yang semakin bertambah sehingga mencecah hampir RM3 bilion,” katanya dalam majlis perasmian Majlis Dialog Belanjawan 2014 di Hotel Grand Dorsett Subang Jaya.

Skim ini merupakan salah-satu daripada program pro-rakyat dibawah agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).

Hadiah RM1,000 diberi kepada anak Selangor dari keluarga berpendapatan RM1,500 ke bawah, untuk memudahkan mereka melanjutkan pendidikan ke pusat pengajian tinggi awam/swasta yang diiktiraf kerajaan dengan mengikuti pengajian peringkat diploma atau ijazah sarjana muda.

Setakat ini, jumlah direkodkan mencatatkan lebih RM35.7 juta dibelanjakan dengan kira-kira 35,722 peserta mendapat manfaat dari program Hadiah Anak Masuk Universiti itu.

“Sambutan kepada program ini amat membanggakan dan ia ternyata membawa manfaat besar kepada rakyat Selangor,” tegas beliau.

Categories
SELANGOR

Belanjawan selangor 2014 mesra rakyat

bajet 2014

SUBANG JAYA 23 SEPT : Kerajaan Negeri merangka Belanjawan Selangor 2014 dengan mengambil kira kehendak rakyat melalui hasil perbincangan bersama pemimpin masyarakat dalam sesi Majlis Dialog yang diadakan di Hotel Grand Dorsett Subang Jaya, mulai hari ini hingga esok.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, berkata perbincangan itu penting supaya perlaksanaan Belanjawan Selangor 2014 selaras dengan keperluan dan kehendak rakyat. Sebelum ini, Kerajaan Negeri turut melaksanakan sesi dialog serupa bagi membincangkan perlaksanaan Manifesto Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) Pakatan Rakyat.

Maklum balas dari sesi dialog itu dimuatkan dalam Pelan Tindakan Lima Tahun.

“Ia untuk mendapatkan maklum balas daripada pemimpin masyarakat seperti Ketua Kampung, Ahli Majlis, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), Ahli Parlimen, pensyarah dan lain-lain untuk dibincangkan bagi Belanjawan 2014 Selangor.

“Ia ambil kira kehendak rakyat walaupun mereka tahu sekatan belanjawan melalui hasil negeri antara RM1.4 hingga RM1.6 bilion,” katanya dalam sidang media selepas perasmian Majlis Dialog Belanjawan 2014 di sini.

Abdul Khalid berkata, penekanan kepada belanjawan berimbang masih menjadi keutamaan pentadbiran beliau. Sebarang program dan pelan tindakan hanya akan dirangka berdasarkan kepada had Belanjawan dan mengikut hasil pendapatan Kerajaan Negeri.

“Belanjawan bagi Selangor ialah belanjawan berimbang dengan tiada perbelanjaan defisit. Apa yang kita hasilkan itu sahaja yang boleh kita gunakan,” tegas beliau.

Dalam ucapannya, Abdul Khalid berkata, Kerajaan Negeri mahu meneruskan usaha memuktamadkan pengambil-alihan industri air negeri menjelang Disember tahun ini.

Turut diberi penekanan adalah pengagihan saham-saham air kepada rakyat Selangor sekiranya pengambilalihan ini berjaya.

Sementara itu, Abdul Khalid berkata skim air percuma 20 meter padu juga dapat diteruskan 10 tahun lagi dengan pengambil-alihan itu.

Menyedari permasalahan perumahan bagi rakyat berpendapatan rendah dan sederhana, pembinaan Rumah Mampu Milik di Selangor akan dirancakkan lagi melalui dasar baru Rumah Mampu Milik Berkualiti (AQH), serta peranan semi-otonomi kepada unit bertanggungjawab di bawah Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor.

Antara tujuan lain yang diberi penekanan adalah pembinaan Pengkalan Data Bersepadu bagi semua program-program yang dibiayai Kerajaan Negeri termasuk statistik penerima bantuan dan penerima manfaat agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES), penyenaraian program-program baru dan butiran penambahbaikan program sedia ada.

Bagi membantu menjana ekonomi usahawan, semua aktiviti dan program keusahawanan akan dipusatkan di bawah Pusat Keusahawanan Negeri yang menjadi agen sehenti pembangunan keusahawanan setempat, serta menambah daya program-program komuniti yang dibiayai Kerajaan Negeri.

Kerajaan Negeri juga akan melaksanakan kaji selidik menyeluruh sebelum menubuhkan Makmal Halal Saintifik Selangor, yang bertujuan membantu menangani isu-isu pensijilan halal bagi produk-produk tempatan.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Rebat pengangkutan untuk kakitangan awam Selangor

rebatSUBANG JAYA 23 SEPT : Seramai kira-kira 21,766 kakitangan awam Selangor bakal menerima manfaat daripada rebat pengangkutan awam yang akan dilaksanakan Kerajaan Negeri tidak lama lagi.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata Kerajaan Negeri akan menyediakan bas pengantara dari stesen rangkaian pengangkutan awam terutama Terminal Bas di Seksyen 1, Shah Alam dan Stesen Keretapi Tanah Melayu (KTM) di Seksyen 19, Shah Alam ke Bangunan SUK di bawah Majlis Pengangkutan Awam Selangor yang akan ditubuhkan tidak lama lagi.

Katanya, insentif itu akan membabitkan kakitangan awam di Bangunan SUK dan akan diperluaskan kepada kakitangan Pejabat Tanah dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Kita merancang untuk memberi insentif ini kepada kakitangan awam negeri supaya penggunaan kenderaan dapat dikurangkan.

“Disamping itu, kita juga dapat membantu menaikkan ekonomi syarikat-syarikat pengendalian bas yang tidak lagi mendapat keuntungan ketika ini,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Dialog Belanjawan 2014 di Hotel Grand Dorsett.

Insentif rebat pengangkutan awam kepada kakitangan awam itu termasuk dalam tujuh perlaksanaan Manifesto Pilihanraya Umum Ke-13 Pakatan Rakyat  menerusi Pelan Tindakan Lima Tahun.

Categories
SELANGOR

Gergasi Thailand teroka ekonomi Selangor

Gergasi Thailand

SUBANG JAYA, 23 SEPT : Kestabilan ekonomi dan kemajuan pesat selain jaringan kemudahan yang baik menjadi faktor Selangor terus diyakini pelabur asing. Dalam perkembangan terbaru, Central Pattana dari Thailand melabur RM500 juta menerusi anak-anak syarikatnya untuk membina pusat membeli-belah CentralPlaza@i-City, di i-City, Shah Alam.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata perkembangan itu amat memberangsangkan kerana sebelum ini Thailand tidak tersenarai sebagai pelabur utama.

“Kita biasa dengan syarikat dari Jepun, Taiwan, Jerman dan British tetapi kali ini ada syarikat dari Thailand nak melabur RM500 juta di Shah Alam. Ia satu jumlah yang besar.

“Syarikat ini difahamkan pernah berbincang dengan Datuk Bandar Shah Alam dan berminat melabur di Shah Alam kerana ia berpotensi besar untuk dibangunkan,” katanya dalam ucapan perasmian Majlis Dialog Belanjawan 2014 di Hotel Grand Dorsett, Subang Jaya.

Gergasi Thailand 2Central Pattana adalah sayap Central Group (CPN) dan merupakan pemaju hartanah runcit yang terbesar di Thailand. Ia memiliki serta mengurus 21 pusat membeli-belah premium di negara itu. Pelaburan di Shah Alam ini merupakan tujahan pertama CPN menembusi pasaran serantau.

“Pelaburan ini merupakan batu loncatan yang penting untuk mencapai wawasan kami, iaitu untuk menjadi pemaju hartanah runcit serantau dan kerjasama ini memperkuatkan lagi komitmen kami untuk mencapai wawasan itu,” tegas Pegawai Eksekutif Kanan Central Pattna, Kobchai Chirathivat, lapor Inside Retail.Asia.

Syarikat tempatan, i-BHD, dilaporkan memeterai perjanjian kerjasama dengan CPN Global Company Ltd untuk membina CentralPlaza i-City itu. Dibawah perjanjian itu, CPN akan merangkumi dua syarikat iaitu CPN Real Estate Sdn Bhd dan CPN Malls Malaysia Sdn Bhd yang secara bersama memegang 60% saham disamping syarikat unit i-BHD, i-City Properties Sdn Bhd.

CentralPlaza@i-City akan mula dibina tahun hadapan dan dijangka dibuka kepada awam menjelang 2016. Pusat membeli-belah seluas 1.5 juta kaki persegi ini dijangka menelan kos RM580 juta.

“Kita berbesar hati untuk menjana ekonomi melalui perjanjian ini, lebih-lebih lagi ini merupakan hasil pertama pelaburan asing secara langsung untuk negara ini selepas Pilihan Raya Umum 5 Mei lepas,” kata pengasas i-Bhd, Tan Sri Lim Kim Hong, lapor The Star.

Sebelum ini, Abdul Khalid melahirkan keyakinan pelaburan itu akan menjadikan Shah Alam syurga beli-belah di rantau Asia Tenggara. Menurut beliau, pelaburan Central Pattana ini dicapai di sesi retreat EXCO Kerajaan Negeri selama tiga hari di Bangkok baru-baru ini.

Abdul Khalid menjelaskan, Kerajaan Negeri memilih Bangkok sebagai lokasi retreat untuk memperoleh maklumat lanjut mengenai Central Pattana, selain dari tugas merangka Pelan Tindakan Lima Tahun bagi Belanjawan Negeri 2014.

“Ini menunjukkan mereka percaya kepada negeri Selangor di bawah pimpinan Pakatan Rakyat yang sentiasa mengamalkan pelaburan terbuka kepada semua pelabur-pelabur di peringkat Asean dan dunia,” katanya, ketika berucap pada Majlis Jamuan Pimpinan Bersama Rakyat Sabah dan Sarawak Sempenan Sambutan Hari Malaysia ke-50 Peringkat Negeri Selangor di Foyer Bangunan SUK, Shah Alam, 21 September lepas.

Turut hadir di sambutan itu adalah Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen Selangor dan ADUN Ba’kelalan, Baru Bian. Sekurang-kurangnya 300 warga Sabah dan Sarawak dari kalangan pelajar dan keluarga yang menetap di Selangor turut menghadiri majlis tersebut.

Categories
SELANGOR

Air percuma diteruskan 10 tahun lagi

tapSUBANG JAYA 23 SEPT : Pemberian subsidi air percuma 20 meter padu akan diteruskan lagi sehingga tempoh 10 tahun akan datang. Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata pemberian itu akan diteruskan selepas penstrukturan semula industri air Selangor berjaya diselesaikan.

“Penyusunan semula industri air ketika ini ada nampak cahaya dihujungnya tetapi masih belum selesai dan kita akan meneruskan program subsidi ini untuk tempoh 10 tahun akan datang.

“Kita harap dapat selesaikannya kerana kita tidak mahu aset yang paling penting untuk rakyat ini diuruskan oleh pihak yang tiada kepakaran,” katanya dalam ucapan perasmian di Majlis Dialog Belanjawan 2014, di Hotel Grand Dorsett, Subang Jaya.

Sebelum ini, Abdul Khalid memberitahu penyusunan itu akan diselesaikan sebelum 31 Disember depan selaras dengan Akta Industri Perkhidmatan Air (Wasia) 2006.

Perkara berkenaan diputuskan oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air dalam surat bertarikh 9 September lalu.

Abdul Khalid turut memaklumkan penstrukturan itu akan memberi kemampuan kepada Kerajaan Negeri untuk menjelaskan hutang kira-kira RM1 bilion kepada Kerajaan Pusat.

“Selepas hutang itu diselesaikan, hutang Kerajaan Negeri hanya tinggal tidak lebih RM200 juta.

“Jadi oleh kerana rizab negeri ketika ini sebanyak RM3 bilion, jadi negeri Selangor tidak perlu meminta sedekah lagi, dengan ini kita dapat melaksanakan pembangunan negeri dengan baik,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

21 keluarga warga emas dapat sumbangan DUN Sri Muda

Adun Sri Muda Suhaimi Shafei 01

SHAH ALAM 19 SEPTEMBER: Suhaimi Shafei berkesempatan mengadakan kunjungan dan menyampaikan barangan keperluan harian kepada 21 keluarga warga emas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Muda.

Program Ziarah Kasih Warga Emas itu bertujuan bertanya khabar dan membantu meringankan bebanan golongan berkenaan.

Suhaimi berkata, setiap bantuan perlu dilakukan secara menyeluruh selain memastikannya sampai kepada penerima tanpa mengira kaum dan keturunan.

“Program menziarahi ke rumah ini bukan semata-mata menyampaikan sumbangan malah ia memberi ruang kepada penduduk mengutarakan masalah setempat, contohnya masalah pemparitan serta jalan yang berlubang.

“Selaras dengan slogan meneruskan kecemerlangan selangor justeru setiap lapisan masyarakat kita raikan,” katanya sambil menyatakan program sejak Ramadan itu akan diteruskan ke seluruh kampung.

Dalam lawatan dua hari itu, Suhaimi melawat ke 21 rumah sekitar Kampung Baru Hicom, Jalan Kebun, Flet Sri  Proton, Seksyen 27, Alam Megah dan Bukit Naga.

Rata-rata warga emas gembira dengan kehadiran Suhaimi dan mengakui bersyukur pemimpin setempat mengambil berat tentang keadaan warga emas.

Categories
SELANGOR

LZS sampaikan bantuan kepada 210 mangsa ribut

dr rani

SHAH ALAM, 19 SEPT – Kesukaran 210 penduduk Meru, Klang dekat sini yang rumah mereka dilanda banjir dan ribut baru-baru ini mendapat simpati Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Berikutan itu, mereka diberi bantuan RM300 setiap seorang yang disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Meru, Dr Abdul Rani Osman yang mahu membawa hal itu ke sidang Dewan Negeri Selangor (DNS).

“Kejadian kali ini lebih kepada ribut. Ada kawasan yang kita kenal pasti setiap kali hujan akan berhadapan banjir,” katanya yang menyatakan masalah banjir di beberapa lokasi utama sudah selesai.

Beliau akan mengadakan mesyuarat bersepadu dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi menyelesaikan masalah di kawasan baru itu.

Penduduk, Abdul Muhit Karmain yang tujuh tahun menetap di Taman Meru Indah, Klang menyifatkan pengalaman pertama berdepan banjir dan ribut, sukar dilupakan.

Apatah lagi, mereka sekeluarga sedang mengadakan rumah terbuka sempena sambutan Aidilfitri ketika kejadian, malah khemah untuk tetamu diterbangkan ribut.

Beliau menganggarkan kos kerugian berjumlah RM5,000 termasuk kerosakan bumbung dan barangan elektrik.

“Kejadian berlaku 1 September lalu. Saya pasang satu khemah, khemah terbang dan makanan semua kena hujan. Banyak barangan tidak dapat diselamatkan,” katanya.

Bagi Mohd Nasir Saad yang empat tahun menetap di Jalan Kasim Meru, beliau berharap sistem perparitan dibaik pulih dan dinaik taraf supaya banjir dapat dielak.

Beliau mengakui berhadapan bencana banjir dua kali setahun lantaran tinggal berdekatan parit yang menjadi laluan saliran air.

“Saya di rumah jiran, Tiba-tiba ribut dan hujan. Tak sampai 30 minit bumbung terbang dan kami bergotong-royong membantu jiran,” katanya.

– FZL

Categories
SELANGOR

MB: PM perlu jelas kegagalan DEB

mb khalid ibrahim kongres ke 9 PKR 02BANDAR UTAMA, 18 SEPTEMBER : Disebalik peruntukan berbillion ringgit dengan pelbagai retorik memperkasa pembangunan Bumiputera, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak disaran memberi penjelasan yang tepat mengapa Dasar Ekonomi Baru (DEB) sebelum ini gagal menempatkan golongan majoriti itu di tempat yang membanggakan.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata orang-ramai mempersoalkan mengapa kedudukan Bumiputera kekal rapuh dengan jurang sosioekonomi semakin melebar, serta memerlukan sokongan Kerajaan biarpun DEB sudah lama dilaksanakan.

“Kerajaan sewajarnya mengkaji kelemahan-kelemahan yang ada terlebih dahulu sebelum mengubal dasar baru,” ujarnya.

Abdul Khalid berkata demikian sebagai respon terhadap pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abd Razak mengenai langkah dan strategi baru memperkasa ekonomi Bumiputera menerusi penubuhan Majlis Ekonomi Bumiputera.

Abdul Khalid berkata usaha membangunkan sosioekonomi bumiputera tidak akan tercapai sekirannya Kerajaan masih memberi peluang kepada golongan ‘rentier class’ seperti dasar-dasar sebelum ini.

Abdul Khalid menambah, Kerajaan seharusnya mengubal sebuah dasar yang prihatin kepada Bumiputera dan bukannya melanjutkan survival politik mana-mana individu.

“Dasar Ekonomi Baru sebahagiannya telah memberi peluang kepada ‘rentier class’. Mereka tidak melaksanakan projek-projek diberikan sebaliknya menjalankan projek dengan cara usahasama yang mana sebahagian besar daripada kerja-kerja tersebut dilakukan oleh orang bukan Melayu.

“Keuntungan besar yang tidak berasaskan ‘value for money’ akan menyebabkan kontrak-kontrak itu dijual (alibaba),” jelas Abdul Khalid.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Dialog manifesto bersama MB Selangor dapat sambutan hangat

mb manifesto

KLANG 13 SEPT: Dialog Manifesto anjuran kerajaan Selangor bagi mendapatkan pandangan rakyat Selangor untuk dimasukkan dalam Belanjawan 2014 mendapat sambutan hangat.

Ia berikutan kehadiran lebih 300 orang pelbagai kaum di Dewan Hamzah, Majlis Perbandaran Klang (MPK) di sini, malam ini.

Majlis disempurnakan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan kehadiran pimpinan lain, antaranya Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud; Adun Seri Andalas, Dr Xavier Jayakumar dan Timbalan Yang Dipertua MPK, Ehsan Mukri.

Dialog itu memberi peluang kepada rakyat untuk memberi cadangan secara terus tentang pelaksanaan manifesto 2013 untuk dimasukkan dalam belanjawan negeri.

Sepanjang pentadbiran Abdul Khalid, beliau mempraktik amalan mengambil kira pandangan masyarakat umum sebelum belanjawan tahunan negeri dirangka.

Amalan itu turut mengundang minat kerajaan Persekutuan untuk mengikut langkah sama.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Strategi Program Pembangunan Desa tumpu keperluan sebenar -FOKUS

Sinopsis

FOKUS Untuk 12092013

Saksikan secara langsung “FOKUS” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT. Pelbagai berita dan maklumat terkini negeri dan nasional yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Kerajaan negeri bertekad untuk meningkatkan pendapatan dan mewujudkan konsep keempunyaan sesuatu projek di kalangan masyarakat desa supaya wilayah luar bandar bergerak seiring dengan arus kemajuan Selangor.

2. Peserta-peserta Bengkel Kenali Kampungku berkata penganjuran bengkel dan strategi baru Program Pembangunan Desa berada di landasan yang tepat untuk membangunkan ekonomi masyarakat luar bandar.

3. Bidang agro pelancongan berpotensi untuk dimajukan di DUN Sekinchan sesuai dengan aktiviti masyarakat, sektor pertanian dan perkembangan industri hiliran di situ.

4. Pandangan Ulama Umno, Fathul Bari Mat Jahya mendakwa ‘tiada subsidi dalam Islam’ dan yang ada ‘adalah cukai’ adalah pandangan politik sempit yang tidak berlandaskan ilmu dan realiti masa kini kata Ketua Penerangan PKR, Dr Muhammad Nur Manuty.