Categories
NASIONAL

Demokrasi Sebenar Pelihara Nasib Melayu-Islam

forum mahasiswa-pru 13-dean beringin gombak 01

GOMBAK, 14 MAC : Cara terbaik untuk menjamin masa depan orang Melayu adalah dengan memastikan negara melaksanakan dasar demokrasi yang sebenar, kata Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS, Dr Ahmad Zuhdi Marzuki.

Menurut Zuhdi, negara yang berpegang teguh pada asas demokrasi mampu melahirkan rakyat yang bebas bersuara dan menyatakan pandangan mereka mengenai pelbagai perkara yang tidak hanya terhad kepada politik.

“Dalam konteks politik, tiada satu cara untuk mendamaikan Melayu melainkan kita berdiri atas dasar demokrasi sebenar.

“Tidak kiralah Umno-BN atau Pakatan Rakyat (PR) yang memerintah, yang penting mereka mempunyai peluang untuk diturunkan.

“Berapa ramai pihak yang takut untuk menyertai parti politik lain kerana bimbang anak-anak mereka tidak diberikan biasiswa.

“Sampai saya sendiri apabila ke universiti, dipesan agar jangan berpolitik,” katanya semasa Forum Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) : Harapan Malaysia di Dewan Beringin, di sini malam tadi.

Dalam pada itu, beliau turut tidak menolak kemungkinan berlakunya rusuhan seperti di Libya dan Syria oleh rakyat sekiranya aspek demokrasi masih tidak dipraktikkan sepenuhnya di negara ini.

Justeru katanya, pertubuhan Bersih yang menuntut pilihan raya yang adil dan bersih seharusnya dipandang dari sudut positif kerana ia merupakan platform untuk rakyat menuntut asas demokrasi yang sebenar.

“Kewujudan Bersih bukan untuk menyokong LGBT. Saya tidak pernah dengar Datuk S.Ambiga sebut LGBT akan dilaksanakan. Kita kena fokus kepada tuntutan Bersih yang adil sebagai suatu perlatan yang penting dalam demokrasi,” katanya lagi.

Sementara itu, Penganalisis politik dan Pensyarah Kanan UIAM, Dr Maszlee Malik berkata, rakyat tidak boleh bersatu atas dasar politik, sebaliknya perlu berlandaskan dasar ekonomi.

Menurutnya, akidah Melayu-Islam dilihat semakin terjejas apabila mereka dimomokkan bahawa rezeki hanya boleh diberikan oleh sesebuah parti mahupun individu tertentu.

“Rakyat ramai berpandangan bahawa sekiranya sesuatu parti yang disokong itu kalah, mereka akan kehilangan rezeki dan bakal hidup susah. Kita kena hapuskan persepsi ini.

“Tidak pernah dalam sejarah orang bersatu atas dasar politik. Malah Umno-BN sendiri berpecah belah dan Tun Mahathir adalah individu yang menyaksikan Semangat 46 dalam parti itu.

“Dalam politik orang tidak akan bersatu, tetapi kita perlu bersatu atas dasar ekonomi,”katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Hasutan Melampau: Polis Dan SPR Digesa Ambil Tindakan Terhadap Muhyiddin

bas jelajah merdeka baling batu 01

SHAH ALAM 14 MAC : Polis serta Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) digesa mengambil tindakan tegas terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana melemparkan fitnah yang menuduh Pakatan Rakyat (PR) berusaha menggagalkan PRU-13 dengan mewujudkan keadaan porak-peranda.

Ketua Penerangan PAS, Riduan Mohd Nor berkata, tuduhan Timbalan Perdana Menteri itu terlalu berat serta berunsur hasutan bagi menimbulkan ketegangan serta kegelisahan dalam masyarakat.

Sebelum ini, Muhyiddin di Majlis Perletakan Batu Asas Kilang Baru Perodua di Hulu Selangor berkata, pakatan pembangkang akan menimbulkan huru-hara pada hari mengundi dan akan menuduh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak bersih.

Katanya, pembangkang bertindak demikian kerana mereka semakin bimbang dengan kebangkitan rakyat menyokong Barisan Nasional (BN).

Beliau juga berkata, kerajaan mempunyai maklumat mengenai perkara berkenaan dengan mendakwa pembangkang merancang sesuatu untuk membuatkan suasana porak-peranda.

“Sebagai pemimpin nombor dua negara, kenyataan beliau boleh mencetuskan suasana panik dan penafsiran yang pelbagai daripada kalangan masyarakat.

bas jelajah merdeka baling batu 02“Apakah TPM tidak berfikir dahulu sebelum bercakap dengan memikirkan implikasi yang mungkin akan diterima terhadap masyarakat, khususnya pemimpin Pakatan Rakyat daripada ucapan beliau,” kata Riduan dalam kenyataan media.

Kata Riduan, dalam keadaan negara sedang diancam dengan masalah keganasan serta pencerobohan di Lahad Datu dan Sabah umumnya, TPM sengaja menambah marakkan lagi api permusuhan serta sindrom ketakutan kepada rakyat.

“Beliau juga menghina jutaan rakyat negara ini untuk memilih pemimpin dan parti politik pilihan mereka dengan kenyataan sedemikian.

“Sekiranya benar beliau mendapat maklumat tersebut melalui dokumen yang boleh dipercayai seperti dakwaannya, pemuda PAS mencabar TPM untuk mendedahkan butiran dokumen tersebut,” katanya.

Ujarnya, sekiranya Muhyiddin gagal mengemukakan bukti tersebut, Pemuda PAS tidak teragak-agak untuk mendesak pemimpin PR mengemukakan saman fitnah terhadap beliau.

Sementara itu, Pengarah Propaganda Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Edy Noor Reduan berkata, kenyataan tersebut adalah ‘songsang’ dan menggambarkan seolah-olah TPM sedang bercakap di depan cermin.

“Rakyat tahu siapa yang merancang untuk menggagalkan pilihanraya, malah setakat ini pihak yang sama dengan sengaja telah melewat-lewatkan pilihanraya.

“Serangan cat, baling batu, baling telur, semua dilakukan Umno kerana gementar kehilangan besar sokongan rakyat.

“Rata-rata pemimpin Umno yang terlibat pelbagai skandal, bakal ke penjara jika Umno tewas di Putrajaya, yang mana ia seharusnya menimbulkan panik,” katanya.

Baru-baru ini di Bukit Katil, Melaka, bas Jelajah Merdeka Rakyat yang membawa penceramah Pakatan Rakyat dibaling dengan batu sehingga pecah cermin. Ia merupakan insiden kedua di Melaka bas itu diserang and ke-enam semenjak jelajah itu dimulakan pada September tahun lepas.

Categories
SELANGOR

LZS Sumbang 200 Komputer Riba Kepada Mahasiswa Selangor

Zakat Selangor Sumbang Laptop pada Anak Yatim 01

SHAH ALAM 13 MAC : Seramai 200 pelajar institut pengajian tinggi (IPT) menerima sumbangan bantuan komputer daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) bernilai RM 2,000 setiap satu.

Mufti Selangor, Datuk Setia Mohd Tamyes Abd Wahid berkata, pemberian bantuan itu melibatkan kos keseluruhan berjumlah RM400,000.

“Pemberian komputer riba ini diharap mampu menjentik motivasi kepada para pelajar tajaan LZS yang lain, khususnya anak-anak asnaf untuk berusaha lebih gigih dalam pelajaran,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Mesra Pelajar Tajaan Lembaga Zakat Selangor yang diadakan di Dewan Pro-Canselor Universiti Selangor (Unisel) di sini.

Ujarnya, para pelajar disaran untuk memanfaatkan penggunaan komputer riba tersebut untuk tujuan berfaedah demi menggapai kecemerlangan berterusan dalam pendidikan.

Zakat Selangor Sumbang Laptop pada Anak Yatim 02Bantuan ini hanya terbuka kepada asnaf kelahiran Selangor dan belajar di IPT yang berada di dalam negeri ini.

Sebelum ini, LZS memulakan pemberian komputer riba sejak 2004 kepada mereka yang cemerlang dengan pencapaian Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.0 ke atas dan ia dibuat berdasarkan permohonan dan memenuhi kriteria tertentu.

Walaubagaimanapun, bermula pada tahun ini mereka yang memperolehi PNGK 2.5 ke atas layak juga menerimanya.

Naib Canselor Unisel, Prof Dr Anuar Ahmad berkata, para pelajar yang sudah berjaya diharapkan mampu menjadi penyumbang pembayaran zakat di masa hadapan apabila sudah berkerjaya.

Turut hadir, Timbalan Pengurus Besar, Pejabat Agihan LZS, Abdul Basith Hamid dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar Unisel, Prof Madya Zainal Abidin Kidam.

Sehingga Disember 2012, LZS telah membiayai sejumlah 2,320 mahasiswa asnaf fakir dan miskin yang melanjutkan pengajian di IPTA dan IPTS seluruh negara bermula dari peringkat sijil hingga doktor falsafah.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Azmin : Fokus Kawal Keselamatan Negara, Bukan Serang Pemimpin PR

HQ PKR 13 MAC 2013 02

PETALING JAYA, 13 MAC : Isu keselamatan negara merupakan fokus utama yang perlu diberikan penekanan oleh kerajaan dan bukannya serangan berterusan mengaitkan pimpinan politik terutama dari Pakatan Rakyat(PR), ujar Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali.

Perkara ini ditegaskan Azmin yang mendakwa situasi ini merupakan percubaan terdesak pihak tertentu untuk mengalihkan pandangan berhubung soal keselamatan negara.

Katanya, cubaan mengaitkan pimpinan Pakatan Rakyat terutama Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan perkara yang berlarutan sejak 15 tahun dahulu dan beliau tidak terkejut mengenai perkara ini.

“Perhatian ini kita berikan secara serius kerana kita menghidu ada usaha pimpinan politik cuba mengalihkan pandangan rakyat dari isu keselamatan kepada isu lain. Cuba menutup kelemahan mereka(kerajaan) mengatasi masalah di Lahad Datu.

“Ini bukan perkara baru, sudah hampir 15 tahun perkara melibatkan negara dibebankan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim. Maka kita minta rakyat bangkit menyatakan pendirian mereka dan meminta kerajaan persekutuan tidak bermain politik tetapi menumpukan segala usaha kepada mengatasi masalah keelamatan rakyat di Sabah khususnya dalam konteks hari ini,” katanya pada satu sidang media di Ibu pejabat PKR.

Berhubung dakwaan yang mengaitkan bekas Gabenor Mindanao, Nor Misuari dengan Anwar Ibrahim, Azmin menjelaskan Anwar sebelum ini telah menyatakan pendirian berhubung perkara berkenaan.

Katanya, semua pimpinan kerajaan dan pembangkang pernah bertemu dengan Misuari tanpa perlu menafikan perkara berkenaan.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Ahli Politik Harus Keluar Dari Kawasan Operasi

Lahad Datu 01

PETALING JAYA, 13 MAC: Bekas Timbalan Panglima Angkatan Tentera Darat Malaysia, Leftenan Jeneral (B) Datuk Abdul Ghafir Abdul Hamid menggesa pimpinan politik meninggalkan kawasan operasi di Sabah bagi memberikan kebebasan kepada ketua komander operasi melaksanakan tugas.

Ini kerana, penglibatan mereka hanya akan membuatkan keadaan menjadi kelam kabut disamping mengakibatkan fokus objektif keselamatan terganggu.

Menurutnya lagi, perkara ini perlu diselesaikan segera bagi mengelakkan peningkatan jumlah korban anggota keselamatan dan orang awam semakin meningkat.

“Bukan masanya untuk ahli politik untuk masuk campur dengan operasi ini. Kita tidak sepatutnya melihat ahli politik berada di lokasi operasi dan memberikan arahan.

“Mereka sepatutnya ‘clear’ dan memberikan kebebasan kepada ketua komander untuk memimpin operasi ini,” katanya pada satu sidang media di Ibupejabat PKR hari ini.

Sehingga kini, 10 anggota keselamatan terkorban dalam insiden pencerobohan di Sabah yang bermula 12 Feb, manakala 56 pengganas ditembak mati.

Selain itu beliau mendakwa, keupayaan Bahagian Staff Perisikan Pertahanan (BSPP) yang digunakan untuk tujuan politik mengakibatkan mereka gagal mendapatkan maklumat awal sebagai persediaan menghalang kejadian ini berlaku.

“Apabila kita mengambil tindakan lambat, mereka telah bersedia. Satu kumpulan kecil menjadi besar dan mereka menyediakan pertahanan kukuh. Kerja kita menjadi sukar,” tambahnya lagi.

Tegasnya, penekanan terhadap laporan yang lebih cenderung ke arah politik berbanding isu keselamatan dikhuatiri akan mengeruhkan lagi keadaan.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar mengulangi desakan pimpinan Pakatan Rakyat sebelum ini agar satu sidang khas Parlimen diadakan bagi membincangkan isu ini.

Tegasnya, Parlimen merupakan medan terbaik buat ahli politik mencari jalan penyelesaian jangka panjang agar kejadian ini tidak berulang kembali.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Faekah : Umno Khianati Melayu, Mahathir Membisu

faekah-husin-22

Surat Terbuka Faekah Kepada Tun Dr Mahathir

Kenyataan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed di Klang baru-baru ini saya kira telah melampaui batas dan lebih bersifat liabiliti kepada slogan 1Malaysia yang cuba dibawa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Dr Mahathir menuduh kononnya masa depan dan hak keistimewaan orang Melayu serta kesucian agama Islam akan terancam sekiranya Pakatan Rakyat terus berkuasa di Negeri Selangor.

Kenyataan beliau menunjukkan bahawa beliau telah tertinggal jauh dari perkembangan politik tanahair.

Dr Mahathir masih menyanyi lagu lama; lagu perkauman dan menakut-nakutkan orang Melayu serta mahu menyegarkan pertembungan kaum setelah bibit-bibit kebencian terhadap kaum dan penganut agama lain beliau tanam di kalangan rakyat di sepanjang 22 tahun pemerintahannya.

Dr Mahathir sepatutnya sedar ketika beliau mengungkapkan kata-kata penghinaan mengenai agama Islam tersebut, beliau berada di Bandar Di Raja Klang, Bandar kebanggaan Sultan-Sultan di Selangor.

Pentadbiran Pakatan Rakyat menyerahkan hal ehwal agama Islam kepada Majlis Agama Islam Selangor ( MAIS ) dan Jabatan Agama Islam Selangor ( JAIS ) tanpa campur tangan politik.

Sesungguhnya, Ketua Agama Islam di negeri ini adalah DYMM Sultan Selangor sendiri dan baginda begitu menjaga kesucian agama Islam serta sentiasa mempertahankan kepentingan umat Islam.

Pentadbiran kerajaan negeri pula akur, patuh dan menghormati apa sahaja keputusan DYMM Sultan Selangor berkenaan kesucian dan pembangunan agama Islam. Mana mungkin di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat kesucian agama Islam boleh terancam. Tohmahan Dr Mahathir ini merupakan keceluparan melampau hatta menghina Institusi Agama dan Raja di negeri ini.

Di Selangor, JAIS memperolehi peruntukan yang paling tinggi di dalam Belanjawan Negeri; melebihi RM130 juta setahun. Dari segi pembangunan, kita membelanjakan lebih RM405 juta untuk membina masjid dan sekolah agama dan lebih RM46 juta untuk baik pulih masjid dan sekolah agama sepanjang tempoh 2008-2012.

MB guru Kafa SAR 02

Kita juga telah menaikkan elaun guru-guru Sekolah KAFA dari RM400 ketika pemerintahan Dr Mahathir kepada RM1300 hari ini. Pengiktirafan yang kita berikan ini antara salah satu cara kita meningkatkan ilmu agama di kalangan anak-anak Melayu Islam sebagai pelaburan modal insan.

Sebaliknya pada zaman pemerintahan Dr Mahathir, Sekolah-sekolah Agama Rakyat dan Sekolah Tahfiz seringkali diugut dengan pembubaran. Pelbagai alasan dangkal yang diberikan Dr Mahathir.

Banyak juga kenyataan menghina yang dikeluarkannya ketika itu antaranya; anak-anak Melayu yang bersekolah kebangsaan waktu pagi dan ke sekolah agama sebelah petangnya akan keletihan dan lemah dalam pelajaran. Sedangkan tidak banyak faedah bersekolah agama di sebelah petang, sekadar menghafal doa makan dan masuk tandas sahaja.

Pada Dr Mahathir, amalan berjaga malam untuk berqiamulail hanya menjadikan anak-anak Melayu ini kurang tidur lantas melemahkan sel-sel otak mereka, lembab dan tercicir di dalam pelajaran.

Rakyat di negeri ini masih belum lupa penghinaan tersebut dan jika mahu disebut satu persatu perlakuan Dr Mahathir terhadap agama Islam serta penghinaan terhadap umat Islam, kita sendiri yang akan terasa malu dengan masyarakat bukan Melayu dan bukan Islam kerana ada di antara kita bersikap jelek begitu. Tiba-tiba hari ini Dr Mahathir cuba menjadi jaguh agama.

Memang benar kata-kata seorang ulama terkenal di negara ini yang menyatakan jika seseorang itu telah bergelar ?Mantan? ini bermakna kata-kata serta pandangannya sudah tidak relevan lagi. Jangan diambil pusing, elok sahaja dibiarkan melalak tanpa perhatian.

Ini sangat bertepatan sekali dengan situasi Dr Mahathir ketika ini. Nampaknya beliau masih berilusi dan mengalami sindrom penafian bahawa beliau sudah menjadi mantan hampir 10 tahun lamanya.

Dr Mahathir juga membuat tuduhan jahat kononnya nasib orang Melayu akan tergadai jika pembangkang memerintah Selangor. Mahathir perlu tahu Umno adalah pembangkang di Selangor; melatah dan tersasul sememangnya sifat seorang mantan 10 tahun yang gagal menerima hakikat bahawa kuasa sudah bukan miliknya lagi.

Kita tidak menafikan Dr Mahathir meneruskan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang matlamat asalnya membantu orang Melayu. Malangnya dasar itu ternyata gagal dalam pelaksanaannya kerana agihan kekayaan yang tidak adil dan tidak telus.

Amalan kronisme; memperkaya suku sakat sangat berleluasa dan ?dihalalkan? atas dasar menjaga kepentingan Melayu. Sasaran 30 peratus ekuiti orang Melayu tidak tercapai kerana salah guna kuasa dan kecurangan yang diamalkan.

Hanya segelintir Melayu yang mempunyai hubungan dengan pemimpin Umno menikmati keistimewaan tersebut manakala masyarakat Melayu teramai ketinggalan dan kekal di takuk lama.

Pada Dr Mahathir, Melayu bererti Halim Saad, Tajudin Ramli, Syed Mokhtar dan beberapa kerat nama lagi termasuk Mokhzani dan Mukhriz Mahathir. Adakah yang dimaksudkan Dr Mahathir menjaga kepentingan Melayu adalah untuk menjaga kepentingan segelintir nama di atas?

Bukan dasar kita membongkar apa yang telah dilakukan Umno sepanjang pemerintahan mereka di Selangor. Kita maklum kerana kerakusan mereka merompak hasil negeri ini maka mereka terhukum pada 2008.

Namun, tuduhan melampau Dr Mahathir menjadikan saya teruja untuk mendedahkan sedikit apa yang dikatakan ?menjaga kepentingan Melayu? itu. Melalui semakan rambang, kita dapati ratusan ekar tanah dimiliki Umno Selangor atas dasar Melayu dan Bumiputera.

ng suee lim sapu tanah satu malaysia SAT1M

Apabila perkara ini didedah di Dewan Negeri Selangor baru-baru ini, mereka dengan angkuh mengatakan apa salahnya mereka mengambil tanah rakyat ini kerana kononnya merekalah yang telah membangunkan negeri ini !!

Ratusan ekar tanah mereka perolehi hanya dengan membayar premium paling minima RM100 setiap ekar. Kebanyakan tanah tersebut kini telah dimajukan dan dijual dengan harga ratusan juta kepada syarikat swasta yang bukan milikan Bumiputera.

Saya tidak bermaksud mempersoal pemilikan tanah oleh bukan bumiputera tetapi sikap hipokrasi UMNO begitu menjengkelkan. Peliknya, ketika menjual hartanah tersebut kepada syarikat swasta dengan keuntungan berlipat ganda, tidak pula mereka bertempek ?Hidup Melayu?!!

Mengapa Dr Mahathir tidak menghalang pimpinan Umno ini dari menggadai tanah-tanah orang Melayu ini kepada orang bukan Melayu? Mana perginya kedaulatan, maruah dan harga diri orang Melayu yang dilaung-laungkan?

Kita juga mendapati ketika pemerintahan Umno di Selangor, ribuan ekar Tanah Rezab Melayu yang terletak di bandar telah ditarik keluar dan dijadikan milikan bebas. Diganti pula dengan tanah di hujung kampong seperti di Panchang Bedena, Sabak Bernam serta di Hulu Selangor.

Maka terletaklah Tanah Rizab Melayu jauh dari kota kerana pada Umno, orang Melayu layaknya hidup terperosok di kampung-kampung.

Kerana itu jugalah, apabila kerajaan Pakatan Rakyat berusaha meningkat taraf hidup orang Melayu dengan memberi peluang memiliki aset bertaraf dunia seperti pembangunan Datum Jelatek, hiruk pikuk Umno membantah pembangunan tersebut. Umno mahu Melayu kekal berniaga di warung-warung dengan bermentaliti pemilik gerai.

Dr Mahathir juga antara manusia yang bertanggungjawab memperkenalkan konsep penswastaan di negara ini. Seperti DEB, penswastaan juga bermatlamat murni namun pelaksanaan tempang dan curang telah menjadi beban kepada rakyat tetapi syurga kepada kroni dan pimpinan Umno.

Contoh terdekat bagi negeri Selangor ialah penswastaan konsesi air. Meskipun tidak mempunyai kepakaran dan kemampuan kewangan namun oleh kerana beliau adalah Bendahari Umno Selangor, seorang Melayu maka konsesi industri air yang bernilai berbilion ringgit diserahkan kepadanya.

Akhirnya beliau menikmati kekayaan melampau di atas kesengsaraan rakyat menanggung bil air yang tidak setimpal dengan perkhidmatan yang diberikan. Tidak terdengar satu ayatpun dari Dr Mahathir ketika rakyat Selangor berjuang berhabisan mempertahankan hak air mereka. Dr Mahathir berpura-pura seolah-olah hidup di dunia berbeza.

Talam KR

Mana pergi suara Dr Mahathir ketika kita membongkar pengkhianatan Umno yang memberikan ribuan ekar tanah serta ratusan juta ringgit kontrak kepada Tan Sri Chan Ah Chai melalui Syarikat Kumpulan Talam? Mengapa Mahathir senyap sunyi apabila kita dedahkan Talam berhutang RM392 juta kepada rakyat Selangor hampir sedekad lamanya dan gagal dituntut oleh UMNO?

Tahu atau tidak Dr Mahathir bahawa kerajaan Pakatan Rakyat yang mempunyai kekuatan politik untuk mengutip hutang-hutang tersebut? Sedarkah Dr Mahathir kerajaan Pakatan Rakyat telah pulangkan jumlah RM390 juta tersebut kepada rakyat miskin di negeri ini yang sebahagian besar adalah orang Melayu?

Tidak terbayang di minda kita bagaimana beliau boleh menuduh Pakatan Rakyat akan menghancurkan orang Melayu kecuali kita menerima hakikat bahawa faktor usia telah melemahkan daya pemikiran beliau.

Seawalnya saya cuba untuk tidak mengingati kerosakan yang telah dilakukan Dr Mahathir pada kebanyakan institusi penting Negara selama 22 tahun pemerintahannya.

Polis, Kehakiman, Perkhidmatan Awam menjadi kucar kacir dan hilang intergriti. Tetapi memandangkan beliau ghairah untuk beraksi selaku ?de facto? Perdana Menteri mungkin kerana Perdana Menteri hari ini begitu lemah dan gagal maka rakyat terutama orang Melayu yang ?mudah lupa? perlu diingatkan bahawa insan bernama Mahathir yang telah memporakperandakan kesatuan orang Melayu khusus ketika peristiwa hitam Badan Kehakiman 1988 dan insiden Mata Lebam 1998.

Ini belum lagi menyentuh bagaimana Malaysia kehilangan berbilion ringgit dalam permainan mata wang oleh orang kepercayaan beliau yang kini memegang jawatan Timbalan Menteri Kewangan.

Pendedahan Barry Wain (mendiang) dalam bukunya bahawa ketika pemerintah Dr Mahathir, Malaysia kehilangan sekurang-kurangnya RM100 billion kerana rasuah dan salah guna kuasa masih gagal dijawab oleh beliau sehingga ke hari ini.

Malah perkara terbaru yang begitu serius ialah apabila Siasatan Suruhanjaya DiRaja Kewarganegaraan Sabah mendedahkan penglibatan langsung Dr Mahathir menjual kewarganegaraan kepada bangsa asing (yang pastinya bukan Melayu) semata-mata mahu kekal berkuasa.

Tanpa rasa malu mahupun berdosa terhadap rakyat dan bangsa Malaysia Dr Mahathir mengakuinya dan sanggup pula mengheret Almarhum Tunku Abdul Rahman ke dalam isu tersebut.

Rasanya tiada perkataan yang sesuai dan layak diungkapkan terhadap insan bernama Mahathir ini apabila kita mengimbau segala kerosakan yang telah dilakukannya. Jauh di sudut hati saya terfikir, pastinya Dr Mahathir bersyukur Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) telah dimansuhkan di negara ini. Kekadang terdetik juga, alangkah baiknya jika sebaliknya .. !!!

FAEKAH HUSIN
SETIAUSAHA POLITIK
KEPADA YAB DATO? MENTERI BESAR SELANGOR

Categories
NASIONAL

Tian Chua : Tidak Teragak-Agak Saman Portal Sebar Berita Palsu

tian

SHAH ALAM 12 MAC : Pengurus portal MyMassa, Zaini Haris difahamkan menerima satu lagi surat tuntutan daripada Ahli Parlimen Batu, Tian Chua berikutan dakwaan penyiaran berita palsu berkaitan wakil rakyat berkenaan.

Portal MyMassa didakwa kerana penyiaran berita itu yang menyatakan Tian Chua menghina pasukan keselamatan dengan kata-kata “Komando Mati Katak”.

Menerusi kenyataan kepada media, beliau menjelaskan surat tuntutan tersebut diserahkan kepada Zaini oleh peguamnya.

Mengulas lanjut, surat tuntutan sama turut diserahkan kepada Pengurus Portal Parpukari, Mohamad Salim Iskandar.

“Namun sejak semalam berita yang merujuk kepada berita fitnah tersebut telah diturunkan. Dengan ini, saya secara rasminya menarik balik surat tuntutan saya terhadap Parpukari.

“Disamping surat tuntutan, peguam saya telah mengirim surat amaran kepada semua pengendali portal yang menyiarkan berita fitnah yang sama.

“Mereka ini termasuk Gelombang Wangsa Maju, Apple Biru, Malaysia Delima, Kelateloni, Pistol Nakal, Aloqlaloq, Talk with Hand, Flying Kick, dan lain-lain lagi,” katanya.

Menurutnya, mulai sekarang pihaknya tidak teragak-agak untuk menghantar surat saman sekiranya ada lagi berita fitnah tersebut diulangi di mana-mana portal.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Peralihan Kuasa : Anwar Yakin Ekonomi Kukuh Di Bawah Pakatan Rakyat

69277_10151348007066840_1234848835_n(1)

KUALA LUMPUR 12 MAC : Pakatan Rakyat (PR) yakin ekonomi Malaysia akan terus kukuh dan tidak terjejas sekiranya berlaku peralihan kuasa dalam Pilihan Raya Umum Ke-13(PRU13) akan datang.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau percaya PR tidak akan keliru dengan hujah-hujah pemimpin Umno-BN dan penganalisis politik mengatakan kestabilan politik penting oleh itu tidak perlu kerajaan yang baru.

“Bagi saya, faktor yang paling penting dalam menentukan hala tuju dan objektif pengurusan ekonomi.

“Sekarang banyak muncul penganalisis yang mengatakan jika PR menang, ekonomi akan terjejas.  Sebaliknya, pemerhati  bebas  menyatakan lebih optimis. Sebagai contoh, Prof Roubini mengatakan bahawa ekonomi kita akan kekal teguh walaupun dengan perubahan dalam kerajaan,” katanya ketika merasmikan program ‘Economic Management During Political Transition di Hotel Renaissance, di sini.

Anwar menambah PR lebih mempunyai ‘jalan’ dan pendekatan bagaimana untuk menguruskan ekonomi negara berbanding kerajaan sedia ada yang kini menyebabkan negara mengalami defisit.

“Status quo akan dikekalkan, dasar-dasar ekonomi yang sudah kukuh tidak akan diubah. Tapi kita tidak akan membenarkan syarikat-syarikat dimonopoli oleh kroni-kroni pemimpin.

“Lihat sahaja sekarang, semakin dekat pilihan raya semakin banyak wang dilaburkan dan ia akan menyebabkan defisit negara meningkat.

“Tidak akan ada kesinambungan pemerintahan Umno-BN, apa yang hilang kita akan dapatkan kembali untuk dipulangkan kepada rakyat,” katanya.

Kira-kira 100 orang hadir dalam program itu.

Program itu membincangkan nasib ekonomi Malaysia jika berlaku peralihan kuasa dalam pilihan raya akan datang.

Hadir sama Pengarah Eksekutif Institut Penang, Prof Woo Wing Thye ; Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar dan Exco Kerajan Negeri Selangor, Dr Xavier Jayakumar.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Serang Ibu Pejabat, PKR Kesal Polis Tidak Ambil Tindakan

Rafizi HQ PKR 12 MAC 2013 02

PETALING JAYA, 12 MAC : PKR hari ini melahirkan kekesalan terhadap pasukan polis yang tidak mengambil sebarang tindakan bagi menghentikan perlakuan ganas tiga NGO pro Umno-BN yang menyerang ibu pejabat parti itu, di sini, petang semalam.

Pengarah Strateginya, Rafizi Ramli berkata, tindakan polis yang hanya ‘berpeluk tubuh’ semasa serangan itu berlaku disifatkan sangat memalukan apatah lagi Balai Polis Tropicana hanya terletak dua pintu dari ibu pejabat PKR.

Menurutnya, selain bertindak ganas, pengikut-pengikut Umno-BN ini juga mengugut membakar ibu pejabat parti itu yang sekaligus membuktikan bahawa ia adalah satu ancaman jenayah.

“Saya menasihati pimpinan tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) supaya mengambil berat terhadap kejadian-kejadian ganas yang semakin meningkat dan mengenakan tindakan keras terhadap mereka yang menjadi dalang.

“Pimpinan tertinggi PDRM juga wajiblah menolak sebarang anasir yang cuba mengambil kesempatan daripada peristiwa pencerobohan di Lahad Datu untuk menekan lawan politik seperti yang berlaku sekarang,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR, pagi tadi.

Rafizi berkata, insiden sama turut berlaku di Melaka (yang melibatkan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan di hadapan pejabat Ahli Parlimen Batu, Tian Chua di Jalan Ipoh, minggu lepas.

Rafizi turut tidak menolak dakwaan bahawa serangan tersusun oleh Umno-BN yang mengambil kesempatan daripada peristiwa pencerobohan di Lahad Datu sebagai modal politik untuk menimbulkan kebencian terhadap Anwar.

“Siri keganasan ini dipertingkatkan kebelakangan ini bersempena kempen fitnah yang cuba mengaitkan Anwar dan pimpinan PKR yang lain kononnya sebagai dalang peristiwa pencerobohan di Lahad Datu.

“Malah saya tidak menolak kemungkinan politik kebencian atas kesempatan pencerobohan di Lahad Datu mungkin digunakan anasir tertentu dalam Umno-BN untuk memastikan Anwar sendiri ditahan, disiasat dan didakwa di bawah undang-undang keselamatan,” katanya lagi.

Semalam penyokong NGO pro Umno-BN bertindak melemparkan telur, kayu dan kon trafik ke arah penyokong PKR di luar ibu pejabat parti itu.

Tiga kumpulan berkenaan, yang terdiri daripada 50 orang turut membakar bendera PKR di luar premis tersebut.

Perhimpunan dianjurkan Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Pertubuhan Warisan dan Kebajikan Anak Malaysia, Selangor (Waris Malaya) dan Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (TIBAI).

 

Categories
NASIONAL SELANGOR

Skandal Balak Terengganu, Rafizi Dedah Dokumen

Rafizi HQ PKR 12 MAC 2013 01

PETALING JAYA, 12 MAC : Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli mendedahkan dokumen pengurusan hasil balak di Terengganu di bawah Menteri Besar, Datuk Sri Ahmad Said yang didakwa terpalit dengan skandal rasuah.

Menurutnya, modus operandi terhadap syarikat-syarikat yang ingin turut serta dalam tender mengeluarkan balak turut didedahkan, di mana kesemua syarikat terbabit dipaksa membeli syarikat RM2 dengan nilai RM2.5 juta.

Rafizi HQ PKR 12 MAC 2013 04Malah katanya, sehingga kini, tiada sebarang maklumat atau pendakwaan walaupun bukti pembayaran adalah jelas dan perjanjian yang ditandatangani secara jelas mengaitkan pembelian syarikat RM2 dengan tender mengeluarkan hasil balak di Terengganu.

“Hari ini saya menampilkan bukti bayaran bagaimana syarikat yang menjadi mangsa terpaksa membayar deposit sebanyak RM1 juta kepada penaman yang dipercayai mewakili kepentingan politik Umno di Terengganu.

“Malah, penyelewengan pengurusan balak di Terengganu ini telah menjadi satu isu besar sehinggakan beberapa siasatan rasmi telah dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) sendiri.

“Namun, saya tidak mendapat apa-apa maklumbalas pun dari Datuk Ahmad Said sendiri mengenai skandal balak ini, yang berlaku di bawah pentadbiran beliau dan banyak keputusannya ditentukan oleh beliau sendiri,” katanya lagi dalam satu sidang media di Ibu Pejabat PKR di sini.”

Dalam sidang media yang sama, Rafizi mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak agar menggugurkan pemimpin Umno-BN yang didakwa terlibat dengan rasuah daripada menjadi calon dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) akan datang.

Rafizi berkata, sekiranya Najib benar-benar jujur untuk meletakkan calon yang bersih dan boleh diterima rakyat, maka beliau harus memberi komitmen menggugurkan calon yang didakwa terlibat dengan skandal rasuah.

Dan bukan sekadar menghantar nama untuk disemak oleh (SPRM).

Rafizi HQ PKR 12 MAC 2013 03Kenyataan Rafizi itu adalah merujuk kepada beberapa pimpinan tertinggi Umno-BN yang didakwa terpalit dengan tuduhan rasuah atau siasatan SPRM.

Antaranya, Datuk Seri Shahrizat Jalil (Ketua Wanita Umno), Datuk Seri Musa Aman (Ketua Menteri Sabah), Datuk Seri Nazri Aziz (Menteri di Jabatan Perdana Menteri), Datuk Seri Mohamad Hassan (Menteri Besar Negeri Sembilan), Pehin Seri Abdul Taib Mahmud (Ketua Menteri Sarawak), Datuk Seri Ahmad Said (Menteri Besar Terengganu), Datuk Awang Adek Hussin (Timbalan Menteri Kewangan) dan Datuk Seri Shafiee Afdhal (Menteri Luar Bandar).

“Perlakuan rasuah dan penyelewengan dalam pentadbiran Umno-BN di negeri-negeri yang dikuasainya bukanlah suatu perkara yang baru.

“Jika Umno-BN tidak bersedia menggugurkan pemimpin ini, terbukti bahawa parti itu tidak serius untuk meletakkan calon yang bersih dan boleh menang (winnable) seperti yang disebut-sebut oleh Perdana Menteri sendiri,” katanya.

 

Categories
NASIONAL SELANGOR

GLC Selangor Perlu Bantu Selesai Masalah Rakyat

MB Majlis Ramah Mesra  bersama Belia Jaya Setia 07

BESTARI JAYA 10 MAC : Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyarankan anak syarikat Kerajaan Negeri (GLC) supaya mengambil tahu permasalahan rakyat selain bersama menyelesaikan masalah pembangunan masyarakat setempat.

MB Majlis Ramah Mesra  bersama Belia Jaya Setia 06Katanya, perkara itu perlu sentiasa dilakukan bagi memenuhi tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang merupakan strategi penting sebagai pemangkin dan pemacu sosioekonomi negara, sekali gus menjamin sesebuah badan korporat kekal bertahan dalam jangka masa panjang.

Sehubungan itu, jelas beliau, adalah penting bagi sektor itu mengintegrasikan CSR dalam pelaksanaan aspek pembangunan operasi mereka.

“Masyarakat merupakan sumber penentu kepada pertumbuhan dan keuntungan jangka panjang syarikat.

MB Majlis Ramah Mesra  bersama Belia Jaya Setia 05Oleh itu, mereka tidak hanya perlu menitikberatkan proses dan sumber ke arah keuntungan semata-mata tetapi juga mengambil kira nilai tanggungjawab dalam menjamin dan mengutamakan kesejahteraan masyarakat dan negara,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Himpunan Perangsang bersama rakyat di Kampung Jaya Setia, di sini.

Dalam program yang dianjurkan oleh Kumpulan Perangsang Selangor Berhad itu bertujuan untuk berkongsi keuntungan yang diperolehi oleh syarikat GLC terbabit kepada rakyat negeri Selangor.

MB Majlis Ramah Mesra  bersama Belia Jaya Setia 04Ketua Jabatan Agama Kumpulan Perangsang, Zaharuddin Muhammad ketika ditemui berkata program itu merupakan program penutup yang sebelum ini pernah diadakan di tujuh daerah yang lain, antaranya Hulu Selangor, Sepang, Sabak Bernam, Kuala Langat, Hulu Langat, Petaling dan Gombak.

Beliau selaku Ketua Pengarah Induk program tu berkata ia dilakukan sebagai memenuhi tanggungjawab CSR kepada masyarakat setempat.

MB Majlis Ramah Mesra  bersama Belia Jaya Setia 03“Rakyat Selangor merupakan pelanggan kami, kami bekerja untuk rakyat, kami memikul amanah yang diberikan rakyat untuk mengurus harta-harta rakyat. Jadi disamping zakat yang dikeluarkan daripada keuntungan itu, kami juga menyalurkan kepada rakyat sama ada melalui program atau secara terus,” katanya.

Seramai 100 orang turut menerima sumbangan RM100 bagi keperluan harian termasuk wang tunai RM50 seorang.

MB Majlis Ramah Mesra  bersama Belia Jaya Setia 02Program sehari yang bermula seawal lapan pagi hingga 7.30 petang itu melibatkan aktiviti kuliah agama, sukan sepak taqraw, pertandingan melukis dan mewarna, penyerahan barangan gotong royong, kenduri rakyat, sembang santai bersama Ali XPDC dan program masjid.

Program itu juga menyaksikan masyarakat setempat bergotong royong membersihkan kawasan sekitar termasuk mengecat pagar masjid dan membersihkan Sekolah Agama kampung terbabit.

Menteri Besar turut meluangkan masa di Kampung Sungai Darah bagi merasmikan pameran kesihatan dan sukaneka yang didakan di Pusat Komuniti kampung itu.

MB Majlis Ramah Mesra  bersama Belia Jaya Setia 01

Categories
NASIONAL SELANGOR

Dolak-Dalik Isu Air : Selangor Sedia Dedah Surat Peter Chin

air-syabas_MB1

BESTARI JAYA 10 MAC : Kerajaan Negeri bersedia mendedahkan surat menyurat antara Kerajaan Negeri dengan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin Fah Kui sebagai tatapan kepada semua rakyat di Selangor.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata beliau akan melakukan perkara terbabit dengan tertib dan bertanggungjawab melalui iklan di surat khabar.

Katanya, perkara itu akan dilakukan tidak lama lagi selepas Peter dikatakan berdolak dalik dalam isu penstrukturan semula industri air di negeri itu.

Peter sebelum ini mendakwa Kerajaan Negeri melalui Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) sepatutnya mendapatkan persetujuan daripada Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) terlebih dahulu dalam membuat tawaran mengambil alih empat syarikat konsesi.

Peter berkata tindakan KDEB yang tidak berbincang terlebih dahulu dengan PAAB sebelum mengaitkan PAAB dalam tawaran itu adalah tidak munasabah.

Mengulas lanjut, Abdul Khalid berkata dalam surat maklum balas yang dihantar oleh Menteri (Peter) itu memaklumkan bahawa kerajaan Persekutuan mengalu-alukan usaha KDEB untuk membuat tawaran pengambilalihan itu.

“Saya harap Peter tidak berdolak dalik kerana kita sudah tulis surat kepada beliau dan memberitahu proses ini perlu mendapatkan kelulusan Kerajaan Persekutuan.

“Kalau beliau tidak jawab maknanya beliau bersedia untuk beri kelulusan itu dan jika beliau tidak beri kelulusan, saya akan bawa rakyat Selangor berjumpa dengan beliau serta soalkan kepada beliau kenapa kelulusan tidak boleh diberi.

“Beliau seorang peguam, tidak boleh berdolak dalik dalam percakapan beliau, saya malu bagi pihak beliau kerana beliau bukan orang Selangor, beliau orang Sarawak, jangan malukan orang Sarawak..bahawa ada orang Sarawak yang tidak mahu membantu dalam usaha pembangunan rakyat. Boleh jadi di Sarawak buat macam itu tetapi di Selangor tidak boleh.

“Saya akan keluarkan surat-surat itu dan saya akan lakukan dengan penuh tertib dan bertanggungjawab. Saya akan beli iklan di surat khabar sebab saya tahu surat khabar tidak akan tulis perkara ini, lebih baik saya beli iklan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Himpunan Perangsang Bersama Rakyat di Dataran Jaya Setia, di sini.

Pada 20 Februari tahun ini, KDEB membuat tawaran berjumlah RM9.65 bilion untuk mengambil alih Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS), Puncak Niaga (M)Sdn Bhd (PNSB), Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) dan Konsortium ABASS Sdn Bhd (ABASS).