Categories
NASIONAL SELANGOR

PBT Selangor mula pasang 414 CCTV untuk bendung jenayah

cctv mdkl

KUALA LANGAT 21 OGOS: Sebanyak 414 unit kamera litar tertutup (CCTV) mula dipasang di semua 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh selangor, bagi membanteras jenayah dan melakukan pemantauan lain.

Dipertua Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL), Mohd Azahar Mohamed Ali, berkata kerajaan negeri memperuntuk RM6 juta setahun bagi penyediaan CCTV itu selepas mengikat kontrak 20 tahun dengan syarikat swasta yang dilantik.

Beliau berkata, sistem pemantauan 24 jam itu ditumpu di lokasi yang dikenal pasti polis sebagai berisiko tinggi terhadap gejala jenayah, selain turut membantu PBT dalam aspek lain.

“Dengan adanya CCTV ini, masyarakat yang berkeinginan untuk melakukan jenayah dan sebagainya akan ada perasaan takut,? katanya kepada TV Selangor, semalam.

Penyerahan rasmi hasil projek yang bermula 26 Mei 2011 berlangsung semalam dengan MDKL sebagai PBT perintis dan pertama memasangnya.

Kos keseluruhan projek pemasangan untuk 11 PBT tidak termasuk Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) ialah RM117,244,8000.

Kamera berkenaan juga dihubung kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat melalui sistem pengendalian digital.

Selain aspek keselamatan, Mohd Azahar berkata, projek Unit Perancang Ekonomi Selangor (Upen) itu turut digunakan bagi meningkatkan kualiti kendalian kawalan lalu lintas dan pemantauan kemudahan awam dari vandalisme.

– FZL

Categories
NASIONAL SELANGOR

Forum perlaksanaan manifesto, kerajaan negeri kembali pada rakyat

MB PC Exco September 2012

SHAH ALAM, 20 OGOS : Kerajaan Selangor akan menganjurkan forum awam bagi mendapatkan pandangan rakyat untuk melaksanakan Manifesto Pakatan Rakyat yang dilancarkan pada Pilihan Raya Umum ke-13 yang lalu.

Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata forum tersebut akan diadakan diperingkat pihak berkuasa tempatan dan menjangkakan ia akan berlangsung pertengahan September depan.

“Forum ini melibatkan wakil rakyat yang mana akan mengambil bahagian dalam perbincangan bersama orang awam. Orang awam akan diberi peluang menyuarakan pandangan bagi pelaksanaan manifesto ini,” beliau berkata demikian selepas mempengerusikan mensyuarat Exco di bangunan SUK di sini hari ini.

Urusetia forum ini akan diketuai oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) dengan kerjasama Pejabat Menteri Besar.

Abdul Khalid menambah, segala maklum balas rakyat dalam forum itu akan dikumpulkan oleh setiap jawatankuasa tetap untuk digunakan dalam penyediaan Belanjawan 2014.

“Kerajaan Selangor yakin dan percaya bahawa pandangan rakyat amat penting dalam memastikan semua polisi dan perancangan yang digariskan dalam manifesto itu menepati golongan sasaran,”ujarnya.

Jelasnya, forum tersebut juga akan dijadikan platform bagi Kerajaan Negeri untuk mengenalpasti kehendak rakyat untuk menggunakan hasil negeri bagi merapatkan jurang pendapatan dan mengurangkan kadar kemiskinan menerusi agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).

“Pakatan Rakyat memandang serius tanggungjawab untuk menguruskan aset negeri dengan baik demi kepentingan rakyat,” jelasnya.

– HM

Categories
NASIONAL SELANGOR

Mahasiswa disenarai CCRIS, tarif letrik naik, apa lagi kerajaan mahu?

ptptn (5)

Edy Noor Reduan (RENCANA)

Kemenangan Barisan Nasional dengan penuh penipuan dan bantuan Suruhanjaya Pilihan Raya pada 5 Mei lalu, akhirnya ‘klimex’ tersebut dibuktikan sebagai titik bermulanya nasib yang lebih malang untuk rakyat Malaysia. Mungkin untuk tempoh 5 tahun, dan tidak mustahil untuk tempoh lagi 50 tahun.

Semua harus sedar bahawa PRU13 adalah peluang terbaik untuk bukan sahaja menyelamatkan negara ini, malah rakyatnya juga. Semua harus sedar betapa perubahan dasar negara ini untuk menjadi lebih mesra rakyat, mesra kepada rakyat dalam erti kata sebenar hanya boleh berlaku selepas tumbangnya regim Barisan Nasional. Ini fakta yang klasik, walaupun masih belum dibuktikan namun ia satu kepercayaan umum.

Minggu ini ada dua berita tidak baik, pertama mengenai kenaikkan tarif letrik dan kedua fasal peminjam PTPTN yang gagal membayar pinjaman secara konsisten bakal kehilangan hak untuk ‘hidup’ apabila nama disenaraikan dalam sistem CCRIS. Ini sangat pelik, apakah negara ini sudah rosak apabila pinjaman untuk melanjutkan pelajaran sudah setaraf dengan pinjaman kad kredit, sewa-beli kenderaan dan pinjaman perumahan. Padahal terma ‘pinjaman’ itu sendiri sepatutnya diganti biasiswa.

Kedua-duanya berita di atas punya kesan langsung yang menambah kesempitan hidup rakyat dan diburukkan lagi oleh beberapa siri kenaikan harga barang keperluan asas dan harga perkhidmatan.

Di sebalik keuntungan berbilion syarikat monopoli TNB, khabaran kenaikkan tarif sudah kedengaran sejak awal tahun. Ia dititik-beratkan lagi ketika memasuki musim pilihanraya dengan detonasi kenaikkan tarif letrik akan berlaku sekiranya kerajaan BN kekal memerintah. Nah, ia benar-benar berlaku.

Apakah rasional sebuah syarikat monopoli berkaitan kerajaan yang sudah untung berbilion, menaikkan lagi tarif letriknya. Tidak kiralah apa jua alasannya samada untuk menampung kos operasi TNB atau menokok tembolok pengusaha IPP, soalnya mengapa rakyat terus menjadi mangsa? Sebagai syarikat monopoli yang mana tiada satupun bil letrik dibayar kepada pihak selain TNB, sepatutnya tidak mencari keuntungan syarikat semata-mata tetapi rakyat yang menjadi pelanggan setia ini juga perlu dipelihara.

Kerajaan sepatutnya menyebelahi rakyat, sepatutnya menjadi pelindung rakyat, kerana itu kerajaan itu dipilih rakyat. Namun apakan daya, ini kerajaan 47 peratus, kerajaan undi pos, kerajaan dakwat pewarna makanan, penyangak yang menipu ini mana mungkin berniat menjaga rakyat.

Rungutan mula kedengaran, tarif letrik dikatakan mula naik mendadak sebanyak dua kali ganda dari kebiasaan sejak beberapa bulan lalu. Difahamkan, kenaikkan luar biasa ini berlaku setelah pengenalan meter letrik jenis baru. Ia bukan kes terpencil, pengalaman kenaikkan bil secara luar biasa ini dirasai semua.

Jika sebelum ini ramai pengguna yang kurang berkemampuan dan tidak punya banyak perkakas elektrik mendapat manfaat bil letrik percuma apabila mempunyai bil bawah RM20, kini angka RM20 sebulan itu hampir mustahil dicapai dengan penggunaan meter baru yang serba kejam. Itu belum lagi dikira kenaikkan tarif letrik.

Rakyat yang cuba meminimakan penggunaan eletrik, bergelap demi sedikit ‘cahaya’ supaya mendapat pengecualian RM20, namun keistimewaan ini ditarik secara terancang. Apakah kenaikkan tarif ini juga satu cara untuk pastikan semua bil letrik melebihi RM20 dan seterusnya tercicir dari dikecualikan pembayaran?

Inilah bonus kepada rakyat Malaysia hasil dari kekalnya sebuah kerajaan korup yang bermodalkan retorik ‘negara aman’. Lebih menarik, minggu ini kita dikurniakan ‘bonus kombo’ apabila dua hadiah musibah dipakejkan sekali. Sedang menunggu giliran untuk diberikan kepada rakyat termasuklah pelaksanaan cukai GST sepenuhnya, pengenalan TPP dan seribu kamera AES sebagai bonus minggu akan datang.

Justeru, apa lagi yang kerajaan mahu dari poket rakyat? Apakah rakyat hanya perlu pasrah dan berserah?

Kami dari SAMM tidak sesekali menyerah. SAMM dan beberapa front anak muda serta front mahasiswa telah bertekad mengambil jalan yang lebih radikal demi memastikan keadilan berada di tempatnya. Masa depan kami menjadi pertaruhan demi masa depan seluruh anak bangsa.

Radikal? Radikal itu bukan maksudnya bakar kereta, mohon jangan ditafsir dengan sifat bebal. Sifir ‘jangan gopoh’ dan sifir ikut saluran petisyen yang digunapakai akhirnya memakan diri apabila sekali lagi diperbodoh oleh regim penyangak. Bodoh ini dibayar pula dengan jumlah jutaan ringgit – ini contoh kebodohan berbayar.

Bagi SAMM, penipuan pilihanraya yang didalangi oleh SPR perlu dibangkitkan semula. Jawatankuasa SPR perlu diburu selagi tidak melepaskan jawatan masing-masing. Ingatlah bahawa hak rakyat untuk menikmati penurunan harga petrol seterusnya kelegaan harga keperluan asas dinafi oleh demokrasi mati, hasrat mahasiswa untuk PTPTN dimansuh turut dimusnahkan gara-gara penafian hak menukar kerajaan.

Dataran Merdeka wajib menjadi sasaran supaya diduduki sebagai tanda protes dan bantahan khususnya di atas penafian demokrasi yang berterusan. BERSIH 4.0 dilihat platform terbaik untuk perlawanan terbaru.

Akhir sekali, mungkin ada yang bertanya mengapa ulasan saya mengenai nasib peminjam PTPTN yang disenarai CCRIS sangat minima dalam tulisan ini, cukuplah sekadar saya berpesan kepada peminjam PTPTN yang disenarai-hitam: Ayuh lawan, atau melaratlah sampai mati! Sad but true…

 

* Edy Noor Reduan ialah Aktivis Blogger , Pengarah Propaganda SAMM

 

Categories
NASIONAL SELANGOR

Rundingan air menuju peringkat akhir, Selangor sedia bentang cadangan ambil-alih industri

air-syabas_MB1

SHAH ALAM 21 OGOS : Kerajaan Negeri bersedia membentangkan draf cadangan pengambilalihan syarikat konsesi di negeri ini pada bila-bila masa sebagai langkah melaksanakan penstrukturan industri air di negeri itu.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, pihaknya mengalu-alukan perbincangan dengan Persekutuan mengenai perkara itu seperti yang dipersetujui sebelum ini.

“Kita sekarang sedang menanti peringkat akhir perbincangan ini untuk membentangkan draf cadangan masing-masing dan berharap ia dapat disegerakan demi untuk kepentingan rakyat yang tertekan dengan masalah air.

“Perlaksanaannya itu nanti juga perlulah holistik dan memberi kepentingan kepada semua pihak dan bukan keuntungan pihak tertentu sahaja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai kenyataan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili yang memberitahu masalah pembekalan air bersih di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh tiga bulan.

Bagaimanapun Maximus berkata, isu itu dapat menemui jalan penyelesaian dalam masa terdekat sekiranya Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Negeri Selangor mencapai persetujuan dalam pelbagai perkara dan saling bertolak ansur.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri melalui anak syarikatnya Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) membuat tawaran bernilai RM9.65 bilion untuk mengambil alih empat syarikat konsesi air.

Empat syarikat konsesi itu antaranya Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), Puncak Niaga Sdn Bhd, Konsortium Abass Sdn Bhd dan Syarikat Pengeluar Air Selangor (Splash).

– HM

Categories
NASIONAL SELANGOR

FOMCA : Harga barangan akan naik mendadak

fomca-beliblah

SHAH ALAM 20 OGOS : Gabungan Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (FOMCA) bimbang akan berlakunya kenaikan harga barangan dan perkhidmatan secara mendadak apabila Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan kerajaan akan menaikkan kadar tarif elektrik.

Pengarah Komunikasi Kumpulan Gabungan Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata kenaikan tarif elektrik akan memberikan kesan terhadap pihak industri yang akan melepaskan tanggungan kenaikan kos yang dialami kepada pihak pengguna dalam bentuk menaikkan harga barangan dan perkhidmatan.

“Kenaikan itu yang kita bimbangi kesan yang akan berlaku kepada pengguna yang perlu menanggung kenaikan harga tarif elektrik di rumah pada masa yang sama perlu berhadapan dengan kenaikan barangan,” kata beliau ketika dihubungi TVSelangor.

Mohd Yusof berkata pihak TNB perlu telus dan memberikan jawapan kepada rakyat berkenaan harga yang dibayar kepada Penjana Tenaga Bebas (IPP) yang mungkin menjadi antara faktor yang meningkatkan kos operasi TNB.

“Kalau kos membayar kepada IPP dapat dikurangkan maka kos operasi TNB dapat dikurangkan secara tidak langsung dan tidak akan membebankan TNB,” kata beliau.

Tambah beliau, pengguna tidak dapat berbuat apa-apa untuk mengatasi masalah apabila berlaku kenaikan tarif elektrik kerana ia merupakan keperluan asas yang diperlukan dalam kehidupan seharian.

Katanya golongan yang berpendapatan rendah akan mengalami kesan teruk jika berlakunya kenaikan tarif elektrik.

Jelas beliau syarikat-syarikat yang berkepentingan sosial seperti TNB ini seharusnya tidak hanya menumpukan kepada keuntungan semata-mata tanpa memikirkan tanggungjawab sosial kepada rakyat.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Keputusan rayuan kes bunuh Altantuya pada Jumaat

ALTANTUYA

Keputusan rayuan dua anggota Unit Tindakan Khas, Sirul Azhar Umar dan Azilah Hadri yang disabitkan bersalah membunuh warga Mongolia Altantuya Shaariibuu pada 2006 lalu akan dikemukakan oleh Mahkamah Rayuan pada Jumaat ini.

Malaysiakini.com melaporkan salah seorang peguam yang mewakili Sirul Azhar, Hasnal Rezua Merican, mengesahkan perkara itu lewat petang semalam.

“Ya benar. Pendaftar telah memaklumkan kepada kami bahawa keputusan akan dihantar pada 9 pagi pada Jumaat,” kata Hasnal Rezua yang dipetik dari portal media tersebut.

Koperal Sirul Azhar dan bekas Cif Inspektor Azilah Hadri didapati bersalah dan dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 2009 bagi kesalahan membunuh Altantuya, ketika itu berusia 28 tahun, di Mukim Bukit Raja di Shah Alam, Selangor antara 10 malam pada 19 Oktober 2006 dan 1 pagi, 20 Oktober 2006.

Bekas penganalisis politik Abdul Razak Baginda,yang juga rakan baik Perdana Menteri sekarang yang dituduh bersubahat dengan mereka, dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi pada 31 Okt 2008 selepas pihak pendakwaan gagal mewujudkan kes prima facie terhadapnya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Ops cantas: 211 penjenayah diberkas dalam operasi 4 hari

jenayah tembak

SHAH ALAM, 20 OGOS : Polis Kontinjen Selangor telah memberkas seramai 683 orang yang disyaki terlibat dengan kegiatan jenayah dalam Ops Cantas Khas yang dilancarkan sejak Sabtu lalu.

Pemangku Ketua Polis Selangor, DCP Datuk A. Thaiveegan berkata daripada jumlah itu 211 daripadanya didapati terlibat dalam pelbagai kesalahan jenayah.

“Menerusi operasi yang dilancarkan sepanjang empat hari yang berakhir awal pagi tadi pihak kami mendapati 211 orang ini terlibat dalam beberapa kesalahan jenayah dan ada dari kalangan mereka memang dikehendaki polis selain ada dari kalangan mereka memiliki senjata berbahaya dan dadah.

“Kesemua mereka ini telah direman untuk penyiasatan seterusnya sementara yang lain telah dibebaskan dalam siasatan tersebut,” katanya dalam satu sidang media di ibu Pejabat Kontijen Negeri di Shah Alam hari ini.

Kesemua mereka ditahan selepas polis melakukan pemeriksaan mengejut di premis hiburan, restoran 24 jam, sekatan jalan raya serta lokasi-lokasi yang disyaki menjadi tempat penjenayah berkumpul.

Menerusi operasi tersebut, Polis Kontinjen Selangor turut merampas 11 bilah parang, 5 pisau, 1 pistol mainan, barangan pecah rumah, 92 batang cota, 7 buah kereta, 5 buah motosikal, 10 telefon bimbit dan dadah pelbagai jenis.

Kesemua mereka ditahan mengikut Akta Pencegahan Jenayah dan siasatan lengkap akan dilakukan sebelum mengemukakan pendakwaan.

Thaiveegan menambah, pihaknya akan memohon kepada mahkamah untuk mengeluarkan perintah tahanan reman bagi membolehkan siasatan dijalankan sebelum mengemukakan pendakwaan keatas mereka.

“Setiap hari kita akan memohon daripada mahkamah untuk mengeluarkan perintah reman bagi membolehkan pihak kami menahan dan lakukan siasatan.

“Keputusan berapa ramai yang akan dituduh melakukan kesalahan ini, pihak kami akan maklumkan dalam masa terdekat,” jelas Thaiveegan

Mengulas lanjut, Thaiveegan berkata PDRM akan memperhebatkan lagi operasi ini ke seluruh Selangor.

Hasil siasatan, PDRM mendapati kebanyakan kes tembakan yang berlaku mutakhir ini berpunca daripada faktor balas dendam selain faktor menerima upah untuk melakukan jenayah berkenaan.

“Kami berharap orang ramai memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat sekirannya mengetahui atau mengesyaki sebarang kegiatan jenayah dalam membantu pihak kami membanteras kegiatan ini,”

Melalui kenyataan yang dikeluarkan di laman Facebook rasmi PDRM semalam, operasi itu bakal diadakan di seluruh negara dan pada peringkat awal pelaksanaannya, Polis Kontinjen Selangor, Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan merupakan perintis kepada operasi tersebut.

– HM

Categories
NASIONAL SELANGOR

“Umno pun pernah cuba haramkan PAS”- Idris Ahmad

bendera PAS

 

SHAH ALAM 19 OGOS : Cubaan kerajaan sementara Mesir yang merampas kuasa untuk mengharamkan parti Ikhwanul Muslimin yang memenangi pilihanraya di negara itu sebelum ini pernah dilakukan oleh Umno terhadap Parti Islam Semalaysia (PAS) di negara ini.

Pengarah Jabatan Tarbiah dan Pengkaderan PAS, Ustaz Idris Ahmad, berkata Umno ketika era Tun Dr Mahathir Mohamad pernah sedaya upaya untuk mengharamkan penggunaan nama Islam dalam pertubuhan termasuk PAS.

“Namun usaha buruk Umno tersebut gagal disebabkan Majlis Raja-Raja yang bersidang menolak usaha Umno dan Dr Mahathir.” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Bukit Gantang

Menurut Idris, tragedi rusuhan yang sedang berlaku di Mesir tidak mungkin berlaku di Malaysia sekiranya PAS dan Pakatan Rakyat memerintah negara ini.

“Senario penggulingan Mantan Presiden Mesir Dr Morsi oleh tentera negara itu agak sukar berlaku di negara ini kerana Malaysia mempunyai sistem pemerintahan yang agak unik.

“Sistem demokrasi berpelembagaan di negara ini dengan Raja merupakan sebahagian daripada sistem demokrasi akan menghalang perkara sedemikian.

“Dari sudut negara ini penggulingan tentera seperti itu agak rakus, cara kekerasan yang berlaku seperti di Mesir mungkin tidak akan berlaku,” kata beliau ketika dihubungi.

Beliau berkata demikian ketika diajukan soalan jikalau PAS berjaya mentadbir Malaysia apakah senario di Mesir akan berlaku di negara ini.

Kata beliau, tindakan kekerasan Tentera Mesir seperti yang berlaku itu tidak sesuai dalam konteks negara ini dalam pelbagai segi.

Tambah beliau apa yang boleh berlaku adalah seperti pertukaran kerajaan di Perak melalui ‘lompat parti’.

Dalam pada itu Idris berharap kerajaan Malaysia membuat pendirian berhubung tragedi yang berlaku di mesir.

“Kita juga menyeru semua pertubuhan Islam untuk mempunyai jatidiri yang kuat dan istiqamah dan kita yakin akan menang akhirnya,” kata beliau.

 

MZA

Categories
SELANGOR

MB dan Exco santuni rakyat pelbagai kaum di Rumah Terbuka Aidilfitri Kerajaan Selangor


Sinopsis

Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri Kerajaan Negeri Selangor tahun ini disambut suasana penuh meriah dengan kira-kira lebih 20,000 rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum dan lapisan masyarakat telah mengunjungi majlis ini.

Diadakan pada 1 Syawal yang lalu, di Dataran Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bersama barisan pimpinan Pakatan Rakyat Negeri Selangor bersama-sama meraikan Aidilfitri dengan menyediakan pelbagai juadah hari raya dan menyerahkan 10,000 sampul duit raya kepada kanak-kanak yang hadir.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Selepas Anwar kecam mahkamah, petisyen Parlimen Kota Marudu dibicara

anwar-pc-2013

SHAH ALAM 14 OGOS: Hanya selepas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat ‘bising’ apabila mengecam penolakan petisyen keputusan pilihan raya, barulah kes yang dibawa Parti Keadilan Rakyat (PKR) dibicarakan.

N Surendran, berkata perkembangan itu diyakini berikutan kecaman Anwar yang menyifatkan keputusan mahkamah berkaitan petisyen pilihan raya sebagai memberi gambaran yang jelek.

Naib Presiden PKR itu merujuk keputusan Mahkamah Pilihan Raya hari ini yang menerima petisyen kerusi Parlimen Kota Marudu untuk dibicarakan, dua hari selepas sidang media Ketua Umum PKR.

Ahli Parlimen Padang Serai itu berharap lebih banyak petisyen yang difail Pakatan Rakyat dibicara dalam Mahkamah Pilihan Raya kerana yakin kebanyakan kes itu, kukuh.

“Kita harap akan ada perubahan selepas ini dibuat oleh institusi kehakiman kerana petisyen dibuat dengan disertai dengan bukti menyakinkan.

“Sepatutnya ia didengar dan tidak ditolak begitu sahaja,” katanya kepada TV Selangor, petang ini.

Mahkamah Pilihan Raya membenarkan petisyen PKR untuk kerusi Parlimen Kota Marudu dibicara – pertama kali untuk kerusi yang dimenangi BN pada pilihan raya umum ke-13.

Kerusi itu dimenangi calon BN dari PBS, Datuk Dr Maximus Ongkili yang mengalahkan calon PKR, Datuk Maijol Mahab dan dua calon lain.

Ongkili menang dengan majoriti 842 undi selepas memperoleh 15,168 undi berbanding Maijol (14,326), Majamis Timbong (2,228 undi) dan Yuntau Kolod (444 undi).

Ini petisyen kedua yang diterima mahkamah untuk dibicara selepas melepasi peringkat pertama.

Sebelum ini, hakim sama membenarkan petisyen yang dibawa BN terhadap calon PKR, Datuk Seri Panglima Lajim Ukim untuk kerusi DUN Klias di Sabah.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Pakatan kutuk pembunuhan kejam ratusan rakyat Mesir

Mesir1 (1)

SHAH ALAM 14 OGOS : Pakatan Rakyat mengutuk serangan besar-besaran tentera Mesir pimpinan Presiden, Interim Adly Mansour awal pagi ini, kata Nasrudin Hassan.

“Kejadian itu sebagai tindakan paling kejam, zalim dan di luar peri kemanusiaan rejim Mesir terhadap rakyatnya sendiri.

“Ia berlaku di Medan Raba’ah dan di Madinah Nasr. Pasukan tentera menggempur para demonstran melalui gas pemedih mata dan penembak tepat di atas bangunan.

“Lebih membimbangkan, ambulans tidak dibenarkan masuk ke medan Rabiatul Adawiyah yang menyaksikan banyak pertumpahan darah,” kata Ketua Pemuda PAS itu.

Dalam kejadian itu, pasukan tentera menggempur ribuan demonstran melalui gas pemedih mata dan tembakan peluru hidup mengakibatkan lebih 200 pejuang syahid manakala lebih 8,000 orang cedera.

Pada kenyataan media, hari ini, Nasruddin berkata, kezaliman rejim Mesir itu tidak akan menyelesaikan konflik berdarah di negara berkenaan.

“Membunuh rakyat yang tidak bersalah tidak akan mematikan hasrat jutaan rakyat yang menuntut keadilan melalui proses demokrasi yang tulen.

“Hanya meja rundingan serta menyerahkan kembali mandat kuasa negara kepada kerajaan sah yang dipilih oleh rakyat iaitu Dr Mohammad Morsi mampu mengembalikan keamanan dan kestabilan di negara itu,” katanya.

Mempersoal tindakan kerajaan Malaysia dalam menangani konflik di Mesir, beliau berkata Malaysia patut mengambil langkah terkehadapan dengan menyatakan bantahan secara lantang terhadap tindakan itu.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Rafizi Kepada SPR : Jawab Isu Jangan Dolak Dalik – FOKUS

Sinopsis

FOKUS Untuk 24072013

Saksikan secara langsung “FOKUS” yang bersiaran pada hari ISNIN hingga JUMAAT setiap jam 2.00 Petang dan 6.00 Petang. Pelbagai berita dan maklumat terkini negeri dan nasional yang kami sediakan untuk anda.

Paparan menarik untuk hari ini :

1. Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya diminta supaya jangan mengalihkan isu dari kegagalan suruhanjaya itu dibawah mereka kepada soal siapa lebih jantan.

2. Exco Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Rosman Mohd Ibrahim dilantik menjadi Setiausaha Agung baru persatuan itu bagi menggantikan Datuk Hamidin Mohd Amin.

3. Peluang sepenggal lagi yang diberikan kepada Elizabeth Wong bagi menerajui portfolio Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar akan digunakan sebaik mungkin oleh beliau bagi menjayakan misi mengurangkan ‘carbon emissions’ di Selangor.

4. Dalam tempoh lima tahun ini, Kerajaan Negeri berhasrat untuk menaiktaraf dan menyelenggara tapak-tapak pelancongan yang terdapat di negeri ini.