Categories
NASIONAL

Mustafa : Pakatan Fail Kira-Kira 35 Petisyen PRU 13

SPR tipu suara rakyat 505 pj 01

PETALING JAYA 3 JUN : Pakatan Rakyat (PR) akan memfailkan kira-kira 35 petisyen terhadap keputusan Pilihanraya Umum ke 13 (PRU13) yang lalu.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, setakat ini PAS sudah mempunyai sebanyak 14 petisyen manakala PKR 18 serta DAP sebanyak tiga.

Dakwanya, PRU13 lalu yang kendalikan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) penuh dengan penipuan dan tidak bersih.

?Di samping perhimpunan aman yang diadakan bagi mendedahkan ketidakpuasan hati mengenai pengendalian PRU13 oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR), kita juga sedang mempersiapkan untuk failkan petisyen pilhanraya.

“Ketiga-tiga parti, PKR, PAS dan DAP telah memutuskan untuk membuatnya berdasarkan kawasan yang dikenalpasti,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

“Rasa tidak puas hati ini berdasarkan fakta diperoleh. Maka sebab itu kita failkan petisyen dan BN pun failkan juga.

“Pasti ada perkara yang mereka juga tidak puashati dengan SPR. Ini menunjukkan SPR gagal dalam mengendalikan pilihanraya,” katanya.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, berdasarkan sejarah pilihanraya negara ini, ada satu atau dua kes dikemukakan selepas setiap kali selesai pilhanraya.

“Tetapi belum pernah sehingga hampir 90 petisyen dicadangkan untuk dikemukakan.

“Ini sahaja cukup alasan untuk Pengerusi dan Timbalan Pengerusi SPR letak jawatan segera kerana cuai dan terlibat dalam kegiatan curang serta penipuan dalam pilihanraya,” katanya.

Categories
NASIONAL

Pakatan Akan Bawa Usul Penubuhan IPCMC Dalam Parlimen

kitsiang anwar mustafa 01

PETALING JAYA 3 JUN : Pakatan Rakyat (PR) akan mengemukakan usul penubuhan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salahlaku Polis (IPCMC) ketika persidangan Parlimen diadakan pada 24 Jun nanti.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, Pakatan berharap usul tersebut akan mendapat sokongan Ahli Parlimen Barisan Nasional, yang sebahagiannya didakwa menyokong cadangan itu.

Ini kerana suruhajaya tersebut yang pernah dicadangkan semasa pentadbiran bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, penting menangani kes salahlaku anggota polis seperti kematian di dalam tahanan.

Beliau menjelaskan Pakatan telah menubuhkan satu jawatankuasa bagi tujuan itu yang dianggotai dua Ahli Parlimen dari setiap parti gagasan itu.

“Kita memerlukan sokongan majoriti mudah di Parlimen iaitu 112 bagi kelulusan suruhanjaya bebas ini. Kita sudah ada 89 Ahli Parlimen dari PR maka kita perlukan sekurang-kurangnya 23 lagi untuk tujuan ini.

“Kita harap enam Ahli Parlimen PR dalam jawatankuasa akan berusaha mendapatkan sokongan Ahli Parlimen BN bagi penubuhan IPCMC,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Lim berkata, maklumat diperoleh menyatakan parti komponen BN seperti MIC dan MCA turut menyokong cadangan penubuhan IPCMC itu.

Menurutnya, Ahli Parlimen BN yang prihatin dalam perkara itu perlu menyatakan sokongan supaya insiden kematian dalam lokap tidak berulang lagi.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut melahirkan rasa kesal dengan kematian yang berlaku dalam lokap dengan yang terakhir melibatkan mangsa, N Dharmendran, 32.

“Ini kita bantah sekeras-kerasnya kerana berulang kali berlaku sudah dibantah sejak kes Kugan tetapi masih berterusan berlaku.

“Oleh demikian gesaan kita mengenai IPCMC diteruskan … Pada masa sama kita mahu Menteri Dalam Negeri jangan bagi alasan … Tetapi siasatan yang telus dan tindakan segera untuk menghentikan segala bentuk jenayah terhadap orang yang dituduh,” ujarnya.

Dharmendran ditahan di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Kuala Lumpur apabila beliau hadir membuat laporan tetang kejadian tembak-menembak di Bandar Tun Razak pada 11 Mei lalu.

Peguam keluarga mangsa, N Surendran mendakwa laporan bedah siasat pakar perubatan forensik Hospital Kuala Lumpur, merumuskan bahawa Dharmendran mati selepas dipukul objek tumpul secara berterusan.

Categories
NASIONAL

Sokongan PR Melonjak 52 %, Merentasi Kaum Terutama Golongan Muda

Anwar

PETALING JAYA, 7 MEI: Undi popular yang diraih Pakatan Rakyat (PR) meningkat kepada 5,623,984 atau 52 peratus, meninggalkan pencabarnya BN dalam saingan Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU-13) Ahad lalu.

Analisis awal juga menunjukkan peningkatan tersebut berlaku ekoran sokongan padu yang diterima dari pelbagai lapisan masyarakat khususnya golongan muda tanpa mengira faktor kaum.

Menurut Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini, satu kajian lengkap akan dikeluarkan dalam beberapa hari lagi dan beliau yakin kajian tersebut akan membuktikan terdapat penipuan dan penyelewengan dalam pilihan raya tersebut.

“Undi rakyat menunjukkan bahawa rakyat negara ini bersatu membentuk satu keluarga Malaysia.

“Mereka mengundi simbol yang membawa harapan baru untuk Malaysia seperti yang diperjuangkan oleh PR,” kata beliau dalam satu sidang media di Ibu Pejabat PKR, di sini.

Bagaimanapun menurut beliau PRU-13 itu dicemari dengan pelbagai insiden penipuan dan penyelewengan yang dilakukan oleh BN dengan kerjasama Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

PRU-12 pada 2008 lalu, BN dinafikan majoriti buat pertama kali apabila hanya memenangi 140 dari 222 parlimen keseluruhan, manakala 82 yang lain dimenangi PAS, PKR dan DAP yang ketika itu masih belum membentuk PR.

BN ketika itu memperolehi undi popular sebanyak 4.08 juta undi atau 50.6 peratus manakala PAS, DAP dan PKR memperolehi 3.79 juta atau 49.4 peratus.

Dalam PRU-13 baru-baru ini, majoriti kerusi dimenangi BN terus merosot apabila hanya menang di 133 kerusi parlimen, sebaliknya PR menunjukkan peningkatan kepada 89 kerusi parlimen.

Mengikut perbandingan kerusi DUN seluruh negara pula, kerusi yang dimenangi PR turut meningkat dari dari 198 DUN dalam PRU-12 kepada 229, manakala BN menunjukkan penyusutan dari 307 kerusi DUN kepada 275 kerusi DUN sahaja.

Categories
NASIONAL

Lambakan Kesalahan Pilihan Raya SPR Harus Jawab

Anwar PC

PETALING JAYA 6 MEI : Pakatan Rakyat (PR) mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memberi penjelasan berhubung lambakan isu kesalahan pilihan raya yang dikesan di kebanyakan tempat pengundian siang tadi.

Bercakap dalam satu sidang media awal pagi ini, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pihaknya mempunyai bukti berhubung kejadian-kejadian berkenaan, bukannya satu tuduhan liar dan kosong.

“Selagi SPR tidak menjelaskan perkara ini, kita tidak dapat menyatakan sebarang tindakan.

“Tidak adil untuk membuat sebarang keputusan dalam keadaan pilihan raya yang dijalankan secara tidak bersih,” jelasnya kecewa.

Antara yang paling mendapat perhatian ialah sepanjang perjalanan proses pengundian, terdapat banyak insiden tangkapan pengundi asing seperti warga Bangladesh berjaya dilakukan.

Antaranya, di Parlimen Pandan di mana calon PKR, Rafizi Ramli membuat laporan polis berhubung cubaan mengundi dibuat oleh pengundi ragu di kawasan yang berjaya dimenanginya itu setelah tamat pengiraan.

Selain itu, cubaan untuk memanipulasi jumlah undi juga berjaya dikesan di  kawasan Parlimen Lembah Pantai di mana polis didapati cuba membawa kotak peti undi yang diragui ke tempat pengiraan undi.

Menyifatkan SPR sebagai sebuah badan yang gagal mengendalikan suatu proses pilihanraya yang telus, Ahli Parlimen Permatang Pauh ini juga meluahkan keraguannya mengenai pengiraan undian awal dan undi pos yang dijalankan.

“Bukan sahaja kita tidak dibenarkan memantau, tetapi lebih meragukan, undian-undian ini secara majornya menyebelahi BN sedangkan trend undian pengundi adalah sebaliknya,” katanya lagi.

Selain itu, turut dipersoalkan ialah penggunaan dakwat kekal yang sebenarnya boleh dihilangkan dengan mudah, tidak sepertimana didakwa SPR sebelum ini bahawa kononnya tidak akan hilang sehingga lima hari.

Mengulas pembentukan Kerajaan BN yang baru, Anwar sekadar berkata beliau masih menanti keputusan penuh sebelum sebarang ulasan dapat diberikan.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Anwar Akan Dedah Senarai Syarikat Penerbangan Bawa Pengundi Asing

anwar taman ampang 1 mei 02

AMPANG, 1 MEI : Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mendedahkan senarai syarikat penerbangan yang didakwa digunakan Umno-BN untuk membawa masuk warga asing bagi mengundi  semasa Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), Ahad ini.

Menurut Anwar, beliau memiliki segala dokumen yang diperlukan untuk membuktikan kepada rakyat tentang satu lagi penipuan Umno-BN berhubung perkara itu.

“Sehingga ke hari ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) masih gagal memberi sebarang jawapan atas dakwaan yang dibuat. Saya memiliki segala dokumen syarikat penerbangan yang terlibat dan akan mendedahkannya semasa sidang media esok,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapannya semasa menghadiri program Jelajah Merdeka Rakyat di Taman Dagang, di sini pagi tadi. anwar taman ampang 1 mei 01

Hadir sama, calon PKR Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, calon PKR Parlimen Ampang, Zuraida Kamarudin dan calon DAP DUN Teratai, Tiew Way Keng.

Dalam pada itu, Anwar turut menyelar tindakan Umno-BN yang sering menggunapakai taktik kotor untuk memastikan pentadbiran negara terus berada di bawah cengkaman mereka.

Anwar berkata, pimpinan Umno-BN sepatutnya menyerahkan kepada rakyat untuk membuat pilihan dan bersedia menerima sebarang keputusan yang telah ditetapkan.

“Sudah-sudahlah dengan penipuan ini dan biar rakyat putuskan semasa 5 Mei nanti. Datuk Seri Najib Razak tidak perlu takut kerana kalau Umno-BN kalah sekalipun, beliau tetap ada jawatan sebagai Ketua Pembangkang.

“Setiap pengundi harus keluar mengundi dan buatlah pilihan yang tepat. Kita harus usaha untuk pastikan kemenangan Pakatan Rakyat (PR) bagi mengelakkan negara daripada terus ditadbir oleh pemimpin tidak telus seperti Umno-BN,” katanya lagi.

Categories
NASIONAL

Anwar: Manifesto PR Pro Rakyat, BN Pro Kroni

Anwar-2

KUALA LUMPUR 18 APRIL : Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui bahawa Pakatan Rakyat (PR) menggunakan pendekatan populis sekaligus menjadikan sebuah manifesto pro-rakyat.

“Manifesto yang bersifat populis itu adalah pro-rakyat, sebelum ini dah lama pro-kroni.

“Mengapa bila pro-Syed Mokhtar, pro-Ananda Krishnan boleh,” kata beliau sambil merujuk slogan Merakyatkan Ekonomi Selangor oleh Kerajaan Negeri Selangor yang  dianggapnya sebagai pendekatan pro-rakyat dan wajar dicontohi.

Anwar berkata demikian dalam program yang berlangsung di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor dalam program Memanisfestasikan Harapan Rakyat: Satu Perbualan Bersama anjuran Bersih.

Anwar-1

Sementara itu, Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli berkata manifesto PR boleh dilaksanakan dengan kesungguhan PR memerangi rasuah, pembaziran dan ketirisan.

Justeru, menurut beliau, PR akan mempraktikkan ‘kosong tolenrasi’ kepada mana-mana pemimpin yang didapati rasuah termasuk pemimpin PR sendiri sekiranya berjaya memenangi Pilihan Raya Umum Ke -13 nanti.

Tindakan BN memplagiat manifesto PR turut menerima sindiran apabila Rafizi mendakwa manifesto BN seolah-olah ‘macam pernah tengok’ sebelum ini.

Sebelum itu, ketika ketibaan Anwar mendapat sambutan hangat daripada kira-kira lebih 1,000 hadirin tetapi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sekali lagi  gagal  bersemuka dengan Anwar dalam program seumpama ini.

Najib sebelum ini beberapa kali menolak jemputan debat bersama Anwar dengan alasan debat bukanlah budaya di negara ini.

Pengacara majlis ketika mengumumkan ketidakhadiran Najib dengan nada kecewa mempersoalkan adakah berbual juga akan dianggap bukan budaya masyarakat negara ini.

Anwar-3

Categories
NASIONAL

Anwar Lambang Gerakan Perpaduan dan Perubahan Rakyat

PETALING JAYA, 11 DIS : Senator Dr Syed Husin Ali menyifatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai lambang gerakan bagi perpaduan dan pemacu perubahan rakyat di negara ini.

Ini kerana menurutnya, Anwar yang juga Ketua Umum PKR merupakan medium utama dalam menyuara dan membawa kehendak rakyat yang inginkan perubahan dari sudut politik, ekonomi dan sosial di Malaysia.

Beliau berkata, penerimaan rakyat terhadap Anwar sebagai ikon perubahan mencetuskan kebimbangan di kalangan pemimpin Umno-BN.

“Dalam kehendak untuk perubahan ini, kita bernasib baik kerana mempunyai seorang pemimpin yang amat dikagumi. Rakyat terimanya sebagai lambang dan kerana itu Umno-BN terlalu takut untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13).

“Dalam membicarakan soal peristiwa di Baling, Kedah pada tahun 1974, kita mempunyai lambang yang merupakan pimpinan di mana beliau (Anwar) mengalami kezaliman yang dikenakan ke atas pejuang Baling,” katanya semasa syarahan signifikan memperingati demonstrasi Baling di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), di sini malam tadi.

Syarahan itu merupakan anjuran Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan dihadiri aktivis antaranya Prof Gurdial Singh, Kamarazaman Yaakob dan Syed Hamid Ali.

Dalam pada itu, Syed Husin turut menyeru rakyat supaya bersatu-padu dalam memacu perubahan dari sudut pemerintahan setelah lebih 50 tahun ditadbir oleh Umno-BN.

Beliau berkata, soal perpaduan itu bukan hanya melibatkan golongan tertentu, sebaliknya perlu disertai oleh semua pihak tanpa mengira kedudukan, bangsa dan agama.

“Taraf kemiskinan tidak berubah walaupun sudah lebih 50 tahun dan dalam tempoh sama kerajaan juga tidak berubah. Kita perlu ubah dan dalam keadaan sekarang rakyat mahu perubahan.

“Pihak pemerintah takut akan perpaduan dan perubahan. Soal perpaduan bukan Umno dengan PAS, bukan dengan orang Melayu sahaja, kalau nak perpaduan yang sebenarnya perlu libatkan semua rakyat daripada semua golongan,” katanya lagi.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Anwar : Habibie Tidak Putus Beri Sokongan Ketika Saya Dipenjarakan

SHAH ALAM, 6 DIS : Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menceritakan keprihatinan mantan Presiden Indonesia, Prof Dr Bacharuddin Jusuf atau ?BJ Habibie? yang memberi bantuan dan sokongan kepadanya semasa beliau berada di dalam penjara Sungai Buloh dekad lalu.

Anwar yang juga Penasihat Ekonomi Selangor berkata, selepas dibebaskan dari penjara dan menerima rawatan di hospital, Habibie merupakan antara individu yang prihatin terhadap dirinya.

“Semasa dibebaskan dari penjara dan menerima rawatan untuk pembedahan di Alpha Clinic, selain Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail dan keluarga menjaga saya, Habibie dan (isteri Habibie) almarhum Hasri Ainun turut memikirkan saya.

“Bantuan dari penjara Sungai Buloh dijaga oleh mantan Presiden,” katanya semasa berucap di Majlis Pidato “Habibie dan Transisi Indonesia ke Demokrasi” anjuran Kerajaan Negeri Selangor di Universiti Selangor (Unisel), hari ini.

Anwar mula mengenali Habibie semasa beliau menteri kabinet pada tahun 90-an. Ketika itu Habibie Menteri Riset dan Teknologi Indonesia.

Habibie dipilih sebagai Presiden Indonesia pada May 1998 bagi menggantikan Jeneral Muhammad Soeharto yang tumpas setelah pemerintahannya dilanda krisis politik dan ekonomi.

Anwar berkata, Habibie bukan hanya cemerlang sebagai pemimpin dan tokoh politik, malah turut dikenali sebagai seorang ilmuan dan cendekiawan.

Jelasnya, Habibie berjaya membuktikan ketokohannya sebagai pemimpin walaupun menerima tentangan hebat daripada pelbagai pihak baik dalam mahupun luar negara.

Beliau turut memuji ketelusan serta sikap keterbukaan Habibie dalam melaksanakan dasar pembahruan pentadbiran sehingga mewujudkan urus tadbir yang baik.

“Di bawah pimpinan Habibie, Indonesia berjaya mengadakan pilihan raya yang bersih dengan hanya mengambil masa singkat untuk dilaksanakan berbanding Malaysia yang memerlukan puluhan tahun untuk menyemak senarai daftar pemilih,” kata Anwar lagi.

Hadir sama pad majlis sama, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, Speaker Dewan Negeri, Datuk Teng Chang Khim, Exco-exco Kerajaan Negeri dan Ahli-ahli Parlimen Selangor.

Categories
NASIONAL

PR Sedia Beri Laluan Kepada Lajim, Wilfred Pertahan Kerusi Parlimen

PETALING JAYA 2 OGOS : Pakatan Rakyat bersedia memberikan laluan kepada dua mantan ahli Umno-BN Sabah mempertahankan kerusi masing-masing dengan syarat menyokong dasar bersama yang  ditetapkan pada pilihan raya umum(PRU-13).

Perkara ini dimaklumkan sendiri oleh Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam satu sidang media di Ibu Pejabat PKR pagi tadi.

Dua mantan ahli Umno-BN yang dimaksudkan adalah bekas Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Lajim Ukin dan Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Bumburing.

Selain tiga komponen utama Pakatan Rakyat, PAS, DAP dan PKR, mereka turut diberikan keistimewaan memilih tiket bertanding bersama parti politik tempatan di negeri tersebut yang menyokong pembangkang dengan persetujuan pemimpin utama parti berkenaan.

Menurut Anwar, PKR sedia memberi laluan kepada Lajim dan Bumburing sekiranya mereka mahu bertanding di kerusi milik parti itu.

“Mereka boleh bertanding malah ada pilihan sama ada kerusi PKR, PAS atau DAP. atau mana-mana parti yang menyokong dasar Pakatan. Tapi dengan persetujuan dengan pemimpin parti.

“Malah PKR sedia untuk berikan kerusi kepada orang baru dalam Pakatan Rakyat ini jika mereka komited dengan agenda kita,” katanya lagi.

Categories
NASIONAL

Semua Kaum Perlu Bersatu Tolak Umno-BN

SABAK BERNAM 21 JUN : Pakar Perlembagaan, Dr Abdul Aziz Bari meminta semua kaum di negara ini bersatu dan menolak pentadbiran Umno-BN.

Katanya, hal itu kerana ramai pemimpin Umno-BN banyak mencetuskan masalah kepada rakyat dan akan berlagak hero untuk menyelesaikan masalah itu.

“Mereka ini pemimpin yang berpura-pura. Jadi kita mesti berubah untuk menolak dan membuang mereka.

“Contohnya, saya dimaklumkan, terdapat lebih 300 nelayan Cina di Sabak Bernam memohon untuk mendapatkan geran tanah tempat tinggal mereka tetapi tiba-tiba mereka dapati bahwa tapak rumah mereka itu dikenal pasti adalah tanah rizab melayu.

“Saya pelik bagaimana penempatan nelayan kaum Cina yang sudah berusia lebih 100 tahun boleh bertukar status. Kita dapat lihat, ini bukan kerja kita tetapi kerja Umno-BN yang mahukan pemimpin mereka bangunkan tanah terbabit,” katanya ketika berucap di hadapan kira-kira 2,000 penduduk dalam Program Merdeka Rakyat, di sini semalam.

Hadir sama Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar, Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin dan Ahli Parlimen Kapar, S Manikavasagam.

Turut hadir, Ketua Cabang PKR Sabak Bernam, Badrolamin Baharon, Pengerusi PKR Johor, Datuk Chua Jui Meng, Adun Hutan Melintang, S Ke savan, Adun Batu Caves, Amirudin Shari dan Adun Seri Muda, Shuhaimi Shafiei.

Sementara itu, Chua Jui Meng berkata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak tidak berani untuk mengumumkan Pilihan Raya Umum ke -13(PRU13) kerana khuatir Umno-BN akan tergugat.

“Saya diberitahu oleh sumber-sumber yang boleh dipercayai, jika Najib umumkan pembubaran parlimen, Johor bukan lagi kubu kuat Umno-BN tetapi akan jadi kubu kuat Pakatan Rakyat.

“Kerana di Johor sekarang angin sudah meniup, apabila Johor bergoyang maka Umno-BN di seluruh negara akan tergugat,” katanya.

Selain itu, Zuraida yang juga Ketua Wanita PKR memberitahu pemberian saguhati RM50 sebulan kepada wanita seluruh negara akan dilaksanakan sekiranya Pakatan Rakyat memenang PRU13.

Katanya, pemberian tersebut yang dinamakan Program Caruman Wanita Nasional adalah salah satu daripada program yang dirangka khusus bagi membela kaum wanita.

“Ia untuk membantu wanita tersebut sekiranya ditimpa perkara yang tidak diingini kepadanya, suami atau keluarganya. Maknanya wanita ada sesuatu untuk membantu mereka sekiranya ditimpa kesusahan,” katanya.