Categories
NASIONAL SELANGOR

Nik Nazmi : Pendakwaan Black 505 Mahkamah Bermotif Politik

nik nazmi dakwa mahkamah 01

PETALING JAYA 17 MEI : Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen berhubung penganjuran himpunan besar-besaran Black 505 di Kelana Jaya pada 8 Mei lalu.

Nik Nazmi didakwa kerana gagal memaklumkan kepada polis berhubung himpunan tersebut dalam tempoh 10 hari sebelum himpunan yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, Kelana Jaya.

Beliau didakwa di bawah Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum denda sehingga RM 10,000.

Sekiranya disabitkan bersalah dengan denda melebihi RM 2,000, Nik Nazmi akan hilang kelayakan sebagai ADUN.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwaraya, Wan Shaharuddin Wan Ladin manakala peguambela, Eric Paulsen mewakili Nik Nazmi.

Hakim, Datin Rohaya Ayob menetapkan sebutan kes pada 4 Jun depan.

Nik Nazmi dibebaskan tanpa ikat jamin selepas Rohaya menetapkan ikat jamin hanya akan dikenakan sekiranya beliau cuba mengelak untuk hadir dalam sebutan kes itu. nik nazmi dakwa mahkamah 02

Di luar mahkamah, Nik Nazmi berkata, kes tersebut adalah satu permulaan yang kurang baik bagi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Polis Negara yang baru, Tan Sri Khalid Abu Bakar.

“Saya berpendirian ini satu tindakan bermotifkan politik dan satu pembaziran sumber pihak polis yang sepatutnya menumpukan usaha terhadap membanteras jenayah.

“Saya juga merasakan tindakan ini bertentangan dengan agenda ‘National Reconciliation’ (pendamaian nasional) yang cuba diwar-warkan oleh Perdana Menteri,” katanya.

Sementara itu Eric berkata, kes tersebut adalah jelas satu tindakan provokasi terhadap Pakatan Rakyat selaku pihak pembangkang.

himpunan suara rakyat kelana jaya 02“Kita lihat Seksyen 9(1) Akta Perhimpunan Aman 2012 ini disalahgunakan. Kalau dilihat di Myanmar memperuntukkan lima hari untuk penganjuran himpunan tetapi di Malaysia hingga 10 hari.

“Kita percaya ini adalah satu permulaan yang mana selepas ini akan lebih ramai pemimpin Pakatan Rakyat akan didakwa berhubung penganjuran perhimpunan tersebut,” katanya.

Himpunan Black 505 yang berlangsung di stadium Kelana Jaya pada hari itu dihadiri kira-kira 50,000 penyokong Pakatan Rakyat bagi membantah keputusan pilihanraya ke 13.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Calon PKR Selangor Terbaik Dalam Sejarah

nik nazmi 2

PETALING JAYA, 16 APRIL : Calon PKR yang akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13) merupakan calon yang berpontensi menang khususnya di Selangor.

Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata calon yang dipertandingkan itu terdiri daripada pelbagai kaum dan latar belakang yang berpengalaman.

Manakala, PKR turut berjaya menyenaraikan 30 peratus calon wanita di DUN Selangor.

“Contohnya di DUN Kuang dan Sementa. Manakala muka baru di Batang Kali dan Kapar.

“Malah, kita juga tampilkan calon berkebolehan seperti Dr Aziz Bari, Khalid Jaafar, Wong Chen dan Rafizi Ramli,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PKR, di sini.

Nik Nazmi turut menyifatkan percalonan itu merupakan yang terbaik dalam sejarah PKR.

“Ini akan memberikan tentangan yang hebat kepada Umno-BN. Saya yakin PAS dan DAP juga mempunyai calon seperti itu,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata Selangor akan menjadi negeri paling sengit dalam PRU13 depan.

Ia kerana Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak melantik dirinya sendiri sebagai Pengarah Pilihan Raya Negeri.

” Ia bertujuan untuk mereka mengekalkan kuasa di Putrajaya sekaligus mendapatkan Selangor dalam apa jua keadaan,” katanya.

Bagaimanapun, PKR percaya kepimpinan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim membuatkan Najib hilang idea untuk menggugat kestabilan Pakatan Rakyat di negeri itu.

Categories
NASIONAL

Skandal Trevino: Najib Didesak Beri Penjelasan Pulihkan Imej Malaysia

nik-nazmi batik 01

 

SHAH ALAM, 11 MAC : Skandal Trevino di mana Kerajaan Malaysia membayar wang kepada penulis menyerang Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim kini mula mendapat liputan luas di media antarabangsa.

Terbaru, laporan ‘The Wall Sreet Journal (Malaysia’s U.S Propaganda March 7, 2013) menyertai beberapa media antarabangsa lain yang mendedahkan pembayaran sejumlah wang oleh Kerajaan Malaysia kepada Joshua Trevino, bekas penulis ucapan Presiden Amerika Syarikat, George W. Bush.

Biarpun disebarkan luas di media antarabangsa, namun, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak sehingga kini tidak memberikan sebarang maklumbalas terhadap pendedahan tersebut.

Trevino juga dibayar untuk mempromosikan pentadbiran Najib.

Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad mendakwa Trevino dibayar AS $389,724.70 (RM 1,209,511.82) oleh Kerajaan Malaysia menerusi syarikat pro-Israel APCO Worldwide.

Bayaran itu bagi tujuan memuji ciri-ciri ‘wasatiyyah’ atau kesederhanaan yang diamalkan dalam pentadbiran Najib serta memburukkan imej Anwar.

Malah, Trevino dipaksa meletakkan jawatan sebagai kolumnis di akhbar United Kingdom (UK), The Guardian berikutan beliau tidak mengumumkan peranannya sebagai konsultan kepada FBC Media yang menjadi medium penulisannya bagi memuji Najib.

Menurut Nik Nazmi, pada tahun 2011, Najib mengakui bahawa Kerajaan Malaysia membayar RM 94 juta kepada FBC Media diantara tahun 2007 sehingga 2010.

FBC turut membayar AS $70,000 (RM 217,770.03) kepada APCO Worldwide untuk melobi kerajaan Amerika Syarikat bagi pihak pentadbiran Najib.

Apabila skandal pembayaran dan pengaturan berita ini didedahkan, BBC dan CNBC menamatkan kontrak FBC kerana melanggar etika kewartawanan.

Dengan Pilihanraya Umum Ke-13 (PRU-13) semakin hampir, Najib didesak supaya segera memberikan penjelasan mengenai jutaan ringgit wang rakyat yang digunakan bagi tujuan propaganda dan fitnah.

Categories
NASIONAL

Halang Forum Pilihan Raya Di UM, Bukti Tranformasi Najib Retorik

nik nazmi

SHAH ALAM 20 FEB : Tindakan Kerajaan Umno-BN menyekat penganjuran forum pilihan raya di Universiti Malaya (UM) membuktikan bahawa slogan transformasi yang diuar-uarkan hanya retorik kosong semata-mata.

Menurut Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad dilaporkan pihak UM ditekan agar membatalkan forum tersebut yang sepatutnya turut membariskan ahli politik Pakatan Rakyat(PR) dan BN.

“Pengarah UMCEDEL Mohammad Redzuan Othman memaklumkan bahawa beliau menerima SMS untuk membatalkan program tersebut, dan arahannya datang daripada Pejabat Perdana Menteri(Datuk Seri Najib Razak) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT),” tegas Nik Nazmi dalam satu kenyataan medianya.

Semalam, Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya UM (UMCEDEL) menganjurkan sebuah forum bagi membincangkan sama ada Pakatan atau BN akan menang dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Forum itu pada asalnya dijadualkan menampilkan Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar, Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa serta Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah dan Ahli Parlimen Hulu Selangor, P Kamalanathan.

“Ironisnya Saifuddin Abdullah sendiri merupakan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi yang dilantik oleh Perdana Menteri.

“Najib selaku Perdana Menteri ?transformasi? yang turut melantik Saifuddin ke jawatan beliau harus tampil dengan jawapan mengenai insiden ini yang sekali lagi menjadi tamparan hebat kepada kebebasan akademik di universiti,” tambah Nik Nazmi yang juga Adun Seri Setia.

Ekoran tekanan yang diterima, pihak penganjur terpaksa menggantikan ahli panel tersebut dengan ahli akademik yang terdiri daripada penyelidik UMCEDEL, Shaharuddin Badaruddin dan Thock Ker Pong serta Profesor Datuk Mohammad Abu Bakar.

Bagaimanapun, Nurul Izzah tetap hadir sebagai penonton di forum tersebut dan turut diberi peluang naik ke pentas ketika sesi soal jawab, selepas seorang pelajar mengajukan soalan mengenai keupayaan PR untuk memerintah.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Lagi Pemimpin Umno-BN Selangor Didakwa Terlibat Skandal Tanah

Hannah Yeoh Skandal Tanah BN 01

SUBANG JAYA, 6 FEB : Dua nama pemimpin Umno Selangor didakwa menerima sekeping tanah berkeluasan 5,000 kaki persegi di kawasan USJ3B dan USJ3D di sini dengan harga RM2 sekali.

Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad mendedahkan ahli politik Umno tersebut adalah Datuk Seri Megat Najmuddin Megat Khas yang merupakan Ketua Bahagian Umno Petaling Jaya (1985-1995), Pengerusi Tetap Umno Subang (1995-2001) dan Adun Kelana Jaya Selangor (1986-1995).

Megat Najmuddin juga adalah ahli Lembaga Pengarah Petronas, Presiden Malaysian Institute of Corporate Governance dan anggota Lembaga Disiplin Umno (2002-2009).

Hannah Yeoh Skandal Tanah BN 03Ujar Nik Nazmi, turut menerima lot tanah tersebut ialah Ketua Wanita Umno Bahagian Kelana Jaya, Datin Paduka Seripah Noli Syed Hussin yang merupakan bekas Adun Seri Setia pada 2004.

“Ia perkara yang amat mendukacitakan ketika mana rakyat susah untuk mendapat sekeping tanah dan untuk membeli rumah di sekitar Petaling Jaya dan Subang Jaya.

“Tetapi mereka mendapat tanah dengan mudah dan menjadi ‘jutawan segera’ dengan mendapat kelebihan seperti ini,” kata Nik Nazmi.

Beliau berkata demikian dalam sidang media berhubung Skandal Sapu Tanah 1Malaysia (SAT1M) yang diadakan di USJ 3 di sini.

Sementara itu, Adun Subang Jaya, Hannah Yeoh berkata, pemberian tanah itu tidak munasabah kerana mereka memperolehinya pada harga RM2 sekaki sedangkan nilai pasaran hartanah ketika ini berharga sekitar kira-kira RM175 sekaki.

Hannah Yeoh Skandal Tanah BN 02“Tanah-tanah tersebut mempunyai 99 lot tanah banglo dengan tempoh pajakan 99 tahun di mana diluluskan oleh mesyuarat Exco ketika itu pada 20 Februari 2001,” kata Hannah.

Ujarnya dalam pemberian tanah itu terdapat tiga nama ahli politik MCA Kelana Jaya, Lee You Hin, Yap Yun Fatt dan Lim Kok Sai.

“Kita mahu pemimpin BN memberikan respon berkenaan isu ini apabila mereka berkempen di Subang Jaya nanti kenapa mereka memperolehi tanah pada harga yang murah,” kata Hannah.

Adun Sekinchan, Ng Suee Lim berkata, pendedahan skandal pemberian tanah itu membuktikan pimpinan Umno-BN lebih mementingkan kroni parti mereka sendiri.

“Kita menyeru rakyat Selangor membuat penilaian yang tepat dalam PRU ini,” tegas Ng.

Turut hadir dalam sidang media pendedahan skandal tanah itu Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo.

Categories
NASIONAL SELANGOR

PR Sasar Bina 10 IPTA, Sara Hidup Pelajar RM5,000 Setahun

Rafizi Ramli Konvensyen Pendidikan Unisel 2013

SHAH ALAM, 5 OKT: Dalam tempoh 10 tahun selepas memerintah, Pakatan Rakyat (PR) mensasarkan membina10 buah Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dengan anggaran kemampuan menampung kira-kira 100,000 pelajar.

Menurut Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli, disamping menanggung yuran pengajian, kerajaan yang ditadbir PR juga akan menyediakan biasiswa sebanyak RM5,000 setahun sebagai sara hidup pelajar.

“Bertambahnya tempat di IPTA akan melahirkan persaingan sihat sesama Institut Pengajian Tinggi Swasta(IPTS) di negara ini, mereka terpaksa meningkatkan kualiti dan mewujudkan jurusan yang tidak ditawarkan di IPTA bagi menarik minat pelajar .

“Pada masa ini terdapat pelajar lulusan IPTS yang tanggung hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), tetapi sukar dapat kerja kerana ijazah kolej swastanya ‘tidak laku’ dipasaran,” kata beliau dalam Konvensyen Antarabangsa Pendidikan di Universiti Selangor (Unisel) pagi tadi.

Ketika membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Pendidikan Percuma: Implikasi Kewangan Kepada Malaysia’ itu, Rafizi turut berkata langkah PR itu bukan sahaja tidak akan memufliskan negara, malah merupakan suatu pelaburan jangka panjang yang memberi manfaat kepada rakyat dan negara.

“Kalau ada yang menganggap membina menara 100 tingkat dengan belanja RM5 bilion itu sebagai pelaburan, kenapa memberi pendidikan percuma tidak dianggap sebagai pelaburan,” kata beliau lagi.

Menurut Rafizi, melaksanakan pendidikan percuma hanya memerlukan RM6.5 bilion setahun termasuk bayaran balik berjumlah RM2 bilion setahun selama 15 tahun kepada PTPTN.

Pada masa ini jumlah hutang PTPTN yang perlu ditanggung adalah sebanyak RM25.9 bilion.

Konvensyen dua hari yang dirasmikan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim itu turut menampilkan beberapa ahli akademik dan tokoh muda lain sebagai pembentang kertas kerja.

Antara yang terlibat, mantan Profesor Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Abdul Aziz Bari, Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Ahli Parlimen Balik Pulau, Mohd Yusmadi Mohd Yusoff.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Gantung Tugas Azrul Azwar, Tindakan Tidak Wajar – Nik Nazmi

nik nazmi

SHAH ALAM 15 JAN : Tindakan menggantung tugas Ketua Ekonomi Bank Islam kerana meramalkan kekalahan BN dalam Pilihan Raya Umum Ke-13(PRU13) akan datang disifatkan tidak masuk akal dan sama sekali tidak wajar.

Pegawai tersebut, Azrul Azwar Ahmad Tajudin didakwa bercakap dalam satu seminar di Singapura minggu lalu, meramalkan BN akan kalah tipis dalam PRU 13 dengan perolehan kerusi antara 97 ke 107 kerusi berbanding 140 kerusi yang dimenangi pada PRU lalu.

Percaya terdapat desakan daripada kuasa politik, Pengarah Komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad ketika dihubungi berkata tindakan tersebut juga mencemar kredibiliti golongan professional dalam bidang ekonomi mahupun politik tanah air.

“Beliau hanya menjalankan tugas untuk beri analisa dari segi ekonomi dan politik dan kerana pembentangannya tidak menyebelahi BN, maka beliau telah digantung tugas.

“Sebagai golongan professional, saya percaya tugas dan integriti kerja beliau bukanlah untuk memuaskan hati BN.

“Tetapi, tugas beliau adalah untuk menjalankan tanggungjawabnya sebagai pakar ekonomi dengan telus dan amanah tanpa prejudis kepada mana-mana pihak atau parti,” tegas Nik Nazmi yang dihubungi melalui panggilan telefon.

Ujarnya lagi, jika BN tidak bersetuju dengan kajian dan analisa yang dijalankan Pakar Ekonomi Bank Islam itu, BN seharusnya tangkis dengan pembentangan analisa lain yang difikirkan sesuai.

“Tetapi untuk memaksa Bank Islam menggantung tugas, itu adalah tindakan yang tidak wajar dan tidak matang sama sekali,” katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, Azrul Azwar yang masih terkejut mengesahkan tindakan penggantungan tugasnya untuk satu tempoh yang tidak dinyatakan atas dakwaan ‘salah laku yang serius’.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan untuk melepaskan jawatan demi kepentingan majikannya ekoran majikannya kini menerima tekanan daripada pemimpin atasan BN.

Badan Pemikir Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) dalam kenyataan medianya berkata, Bank Islam disaran menyemak semula keputusan menggantung tugas Azrul Azwar dan mengembalikan jawatan dan tugasnya.

“Azrul Azwar mempunyai pengalaman selama melebihi sepuluh tahun dalam bidang ekonomi.

“Beliau telah bertugas sebagai penganalisa di Meridian Asset Management Sdn Bhd, RHB Bank, Malaysia Industrial Development Finance Bhd (MIDF) dan Islamic Financial Services Board (IFSB),” kata KPRU.

Ujar KPRU, badan pemikir itu menyarankan individu seperti Azrul Azwar yang berpengalaman tinggi, dalam bidang ekonomi diangkat penggantungannya dan dilayani sebagai aset dan bukannya musuh politik

Categories
NASIONAL SELANGOR

Penduduk Pangsapuri Kayangan Lega Dapat Meter Individu

OLYMPUS DIGITAL CAMERA

PETALING JAYA 30 DIS : Penantian penduduk Pangsapuri Kayangan di sini untuk mendapatkan meter individu dan menikmati 20 meter padu air percuma dari Kerajaan Negeri menjadi kenyataan apabila proses pertukaran itu dijalankan Disember ini.

Sejak Pakatan Rakyat (PR) mengambilalih pentadbiran Kerajaan Negeri pada Mac 2008 dan mengumumkan pemberian istimewa itu, Pengurusan Badan Bersama (JMB) pangsapuri tersebut tidak ketinggalan membuat permohonan kepada Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) bagi proses penukaran meter pukal kepada meter individu.

Setiausaha JMB pangsapuri berkenaan, Moi Hoy Meng berkata, apa yang diperoleh penduduk di kawasan itu adalah hadiah penuh bermakna sempena perayaan Krismas dan tahun baru 2013 yang akan menjelang.

“Saya begitu gembira kerana apa yang kita tunggu akhirnya menjadi nyata dan ia hadiah penuh makna kepada semua penduduk di pangsapuri ini.

“Semoga kita semua akan beroleh faedah dengan pemberian air percuma daripada Kerajaan Negeri,” katanya dalam majlis meraikan acara itu semalam yang turut berterima kasih kepada Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad, dalam usaha merealisasikan proses migrasi meter berkenaan.

Proses migrasi tersebut melibatkan 192 daripada 236 rumah di pangsapuri itu dijalankan Syabas dan berakhir baru-baru ini.

Seorang penghuni, Amirul Salleh, 33, menjelaskan dengan pertukaran meter akan memberi banyak kemudahan kepada penduduk terutama dari segi kewangan lebih menjimatkan.

“Dengan pertukaran meter kita akan mendapat air percuma dan bayaran bil akan berkurangan. Ia akan memberi banyak kebaikan kepada penduduk dengan cara berjimat,” kata kakitangan kerajaan ini.

Nik Nazmi berkata, dengan kejayaan proses migrasi dari meter pukal kepada individu, diharap penduduk pangsapuri kawasan itu akan menikmati kemudahan disediakan Kerajaan Negeri yang selama ini memberikan pelbagai ganjaran menerusi agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).

Beliau berkata, biarpun proses tersebut memakan masa namun dengan kerjasama semua pihak, ia akhirnya dapat dijayakan dan penduduk memperoleh manfaat seperti dijanjikan.

“Dengan kesungguhan pengurusan JMB dan semua pihak terlibat memperjuangkan perkara ini maka penduduk dapat menikmati kemudahan ini.

“Kerajaan Negeri menerusi pegangan aset tunai melebihi RM2 bilion ketika ini akan terus memberikan banyak kemudahan kepada rakyat di Selangor,” ujarnya.

Turut hadir, Penasihat JMB, Michael Lim dan Ahli Majlis Majlis Bandaraya Shah Alam, Izham Hashim.

Categories
NASIONAL

PKR : Tubuh Badan Bebas Siasat Caj Bil Elektrik Tinggi

SHAH ALAM 4 DIS : Kerajaan wajar menubuhkan satu badan bebas bagi menyiasat dakwaan kenaikan caj bil elektrik dikemukakan orang ramai, kata Pengarah komunikasi PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Kenaikan caj ini berikutan langkah Tenaga Nasional Berhad (TNB) menjalankan penukaran meter analog kepada meter elektronik.

Nik Nazmi yang juga Adun Seri Setia berkata, penubuhan badan bebas itu perlu kerana wujud rasa tidak puas hati dan marah di kalangan rakyat yang mesti dipandang serius oleh kerajaan.

Menurutnya, bagi kawasan Kelana Jaya sahaja, PKR menerima 22 aduan daripada orang ramai yang mendakwa kenaikan caj bil elektrik antara 20 hingga 50 peratus.

“Program penggantian meter ini sebenarnya suatu komitmen kewangan yang cukup besar oleh TNB dan beban kewangan tambahan kepada pengguna boleh mencapai berbilion-bilion ringgit.

“Kajian kami menunjukkan buat masa ini ada 8.03 juta pengguna TNB di Malaysia. Kami menganggarkan harga purata meter elektronik baru adalah RM250 setiap unit. Justeru program penggantian ini berpotensi mencapai sehingga RM 2 bilion (8.03 juta unit x RM250),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Nik Nazmi berkata, penjelasan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui bahawa sebarang kenaikan penggunaan elektrik selepas penggantian meter adalah berikutan bacaan yang lebih baik dan tepat daripada meter elektronik bukan jawapan memuaskan mengenai potensi saiz beban kewangan yang bakal ditanggung semua pengguna TNB.

Tambahnya isu tersebut tidak boleh dipandang kecil kerana ia melibatkan satu jumlah kewangan besar yang terpaksa ditanggung oleh orang ramai sebagai pengguna.

Katanya, bagi tahun kewangan 2012 hasil TNB daripada semua pengguna adalah RM34.4 bilion maka jika meter elektronik baru memberi peningkatan konservatif dua peratus di dalam semua bil elektrik, beban tambahan ke atas pengguna adalah sebanyak RM688 juta setiap tahun.

“Memandangkan meter elektronik baru ini mempunyai jangka hayat selama 10 tahun, pengguna akan akhirnya membayar RM6.88 bilion lebih kepada TNB untuk tempoh tersebut.

“Justeru PKR berharap kerajaan lebih bertanggungjawab dan telus dalam perkara ini dan rakyat berhak mendapat maklumat lanjut mengenai program penggantian meter elektronik baru oleh TNB,” katanya.

Beliau menjelaskan berdasarkan kajian menunjukkan TNB mempunyai lima pembekal dengan salah satunya, Malaysian Intelligence Meters Sdn Bhd dimiliki sebahagian oleh keluarga bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi manakala harga purata meter elektronik satu dan tiga fasa ialah RM250 setiap satu.

“Adakah tender perbekalan dibuat secara tender terbuka atau runding terus? Butir-butir penuh dan telus seharusnya diberikan oleh TNB,” katanya lagi.

Categories
SELANGOR

Batal Pembangunan Padang PKNS : MB Bincang Dengan Exco

SHAH ALAM 28 NOV : Usul Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad yang mahu Kerajaan Negeri membatalkan terus permohonan Pembangunan Tanah Padang Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Kelana Jaya akan dibincangkan bersama Exco dan pihak yang terlibat, kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Menurut Nik Nazmi permohonan dalam Rancangan Tempatan Petaling Jaya 2 (RTPJ2) itu juga tidak perlu dibawa ke lembaga rayuan kerana terbukti terdapat pemalsuan dokumen pada permohonan tersebut.

“Jika boleh, Kerajaan Negeri perlu menghentikan serta merta permohonan ini kerana pendirian rakyat jelas mahu padang itu diselamatkan.

“Bagi saya elok jika Kerajaan Negeri dapat menunjukkan contoh yang baik dengan menarik permohonan pembangunan tanah PKNS ini,” jelas beliau.

Mengulas lanjut Abdul Khalid berkata, pihaknya akan mengambil pandangan Jawatankuasa Pilihan Keupayaan, Kebertanggungjawaban Ketelusan Selangor(SELCAT) dan Lembaga Rayuan juga.

Laporan SELCAT minggu lepas mendapati tiada bukti kukuh untuk mengatakan bahawa terdapat elemen penipuan dalam isu pembangunan padang tersebut.

Bagaimanapun, Pengerusi SELCAT, Datuk Teng Chang Kim tidak menyangkal dalam laporan itu bahawa Pegawai Jabatan Perancangan Majlis Bandaraya Petaling Jaya melaksanakan tugas mereka secara melulu, tidak cekap dan tidak profesional dalam menyediakan draf RTPJ 2.

Sebelum ini, isu terbabit dibangkitkan apabila padang PKNS di SS7 Kelana Jaya berhampiran Lebuhraya Damansara Puchong ingin dimajukan PKNS sebagai projek komersial.

Kerajaan Negeri kemudian mengambil keputusan membawa isu tersebut ke pendengaran awan SELCAT selepas diusulkan oleh Adun Seri Setia pada Jun lalu.

Categories
SELANGOR

Skim Ceria : 71 Pangsapuri Terima Manfaat

SHAH ALAM 19 NOV : Sejak diperkenalkan pada 2011, sehingga kini Skim Ceria memberi manfaat kepada 71 pangsapuri seluruh Selangor yang melibatkan kos sejumlah RM 9.7 juta.

Exco Perumahan,Pengurusan Bangunan Dan Setinggan, Iskandar Abdul Samad ketika Sidang Dewan Negeri Selangor(DNS) pagi tadi memberitahu Skim Ceria tersebut diaplikasikan kepada dua jenis pangsapuri iaitu Kos Rendah dan Kos Sederhana Rendah.

Bagi Fasa Satu pada tahun 2011, hanya 17 pangsapuri kos rendah menerima bantuan program Skim Ceria.

Manakala untuk Fasa Kedua tahun 2012 pula, sebanyak 43 pangsapuri kos rendah dan 9 pangsapuri kos sederhana rendah menerima manfaatnya.

Sementara bagi Fasa Ketiga tahun ini melibatkan dua pangsapuri kos sederhana rendah.

Selain itu, Iskandar ketika menjawab soalan daripada Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad mengenai skim ini memberitahu Kerajaan Negeri juga merangka beberapa program menaiktaraf skim ini.

“Antaranya, Kerajaan Negeri menganjurkan program turun padang berbentuk pendidikan kepada pemilik pangsapuri iaitu Kempen Pangsapuri Kita Bersih, Ceria dan Harmoni bertemakan Anti Vandalisme.

“Khusus bagi penjagaan lif yang telah dibaikpulih, Kerajaan turut melaksanakan kaedah pemasangan CCTV dan program bancian lif dengan kerjasama Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (JKKP),” jelas Iskandar yang juga Adun Cempaka.

Skim Ceria merupakan satu skim perkongsian kos antara penghuni pangsapuri dengan Kerajaan Negeri dalam usaha menceriakan kawasan persekitaran pangsapuri.

Skim ini juga bertujuan menyemai rasa kepunyaan kepada setiap unit dalam menjaga dan menjamin harta bersama bagi tempoh masa yang panjang.

Categories
SELANGOR

Kerajaan Negeri Cadang Tambah Lebih Banyak Tadika Rakyat

PETALING JAYA, 10 NOV : Kerajaan Negeri bercadang untuk membina tiga lagi Tadika Rakyat di Serendah, Kapar dan Dengkil bagi membolehkan kanak-kanak keluarga berpendapatan rendah menerima pendidikan di peringkat awal.

Pembinaan tadika tersebut merupakan kesinambungan daripada dua tadika sedia ada iaitu di Taman Sentosa, Klang dan Kampung Lindungan di Petaling Jaya.

Oleh itu Exco Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin, Dr Xavier Jayakumar menyeru ibubapa yang tidak berkemampuan untuk menghantar anak-anak mereka kepada tadika-tadika ini.

“Tadikan ini terbuka kepada semua kaum. Justeru, penduduk di kawasan ini jangan lepaskan peluang untuk mendaftar anak-anak anda.

“Selain bayaran yuran yang rendah, anak-anak juga akan terdedah dengan pendidikan asas di peringkat awal,” katanya lagi.

Katanya, pendidikan pra-sekolah adalah langkah awal untuk mempersiapkan kanak-kanak sebelum menempuh alam persekolahan kelak.

“Berdasarkan kajian, masih terdapat 30 peratus kanak-kanak yang tidak mendaftar di mana-mana tadika kerana tidak mampu untuk membayar yuran bulanan.

Ekoran daripada itu, kebanyakan kanak-kanak ini ketinggalan dari aspek pendidikan seperti tidak tahu menulis, mengira ataupun membaca.

Hal ini menyebabkan mereka akan tercicir apabila masuk ke sekolah rendah nanti dan menimbulkan masalah serius untuk jangka masa panjang.

“Kurangnya pendedahan pendidikan di peringkat awal antara punca yang menyumbang kepada gejala sosial,” katanya semasa Majlis Perasmian Tadika Rakyat Kampung Lindungan di sini, pagi tadi.

Tadika Rakyat di Kampung Lindungan merupakan cawangan kedua yang dibina Kerajaan Negeri bersama badan bukan kerajaan (NGO), Child Information, Learning and Development Centre (Child).

Tadika tersebut dikhaskan untuk keluarga berpendapatan bawah RM 1,500.

Di samping menyediakan pembelajaran selesa, murid-murid juga hanya dikenakan bayaran serendah RM 20 sebulan.

Tadika yang bernilai kira-kira RM 460,000 itu dilengkapi lapan buah kelas dan mampu menempatkan kira-kira 20 orang murid setiap kelas.

Kerajaan Negeri telah memberi RM 50,000 untuk setiap tadika itu.

Hadir sama, Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu, Adun Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad, Adun Taman Medan, Haniza Talha, Ahli Parlimen Kelana Jaya, Gwo Burne Loh dan Timbalan Datuk Bandar Petaling Jaya, Puasa Md Taib.