Categories
GLOBAL

Tentera AS dan Korea Selatan guna simulasi komputer latihan perang

GLOBAL 22 OGOS: Tentera Amerika Syarikat dan Korea Selatan mengadakan latihan peperangan mengunakan simulasi komputer bagi persiapan sekiranya perang meletus dengan Korea Utara.

Agensi Berita Antarabangsa REUTERS melaporkan latihan perang bersama itu akan berterusan hingga 31 Ogos ini.

Latihan perang itu juga diadakan selepas Pyongyang dilaporkan menjana pendapatan sekurang-kurangnya AS$270 juta (RM1.07 bilion) sejak Februari lalu walaupun dikenakan sekatan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Presiden Korea Selatan, Moon Jae-in berkata, latihan bersama itu yang dinamakan Kawalan Kebebasan Ulchi adalah untuk pertahanan dan bukan bertujuan meningkatkan ketegangan di Semenanjung Korea.

Korea Utara“Tiada niat untuk meningkatkan ketegangan tentera di Semenanjung Korea kerana latihan ini diadakan pada setiap tahun dan bertujuan untuk pertahanan semata-mata.

“Korea Utara juga tidak sepatutnya menjadikan latihan tentera ini sebagai provokasi untuk memburukkan lagi keadaan,” kata Jae-in.

Seorang jurucakap tentera AS, Michelle Thomas berkata, latihan tentera itu sebagai persiapan sekiranya sesuatu yang besar berlaku dan perlu melindungi Korea Selatan.

Pyongyang menganggap latihan tentera tahunan sebagai persiapan untuk menyerang Korea Utara. Negara komunis itu melancarkan peluru berpandu dan melakukan tindakan lain setiap kali latihan perang itu diadakan pada masa lalu.

=EZY=

Categories
GLOBAL

Steve Bannon jadi mangsa terbaru pemecatan Trump

WASHINGTON 20 OGOS: Ketua Strategik pentadbiran kerajaan Amerika Syarikat (AS), Steve Bannon menjadi individu terkini yang dipecat Donald Trump.

Akhbar The New York Times memetik kenyataan seseorang yang rapat dengan Bannon memberitahu surat peletakan jawatannya sudah dihantar pada 7 Ogos lalu, lapor Agensi Berita Antarabangsa REUTERS.

Bagaimanapun, menurut sumber yang rapat dengan Bannon, beliau tidak akan meletakkan jawatan secara sukarela.

“Bannon tidak akan melepaskan jawatannya, sebaliknya menunggu beliau dipecat oleh Rumah Putih. Hingga saat ini beliau masih melaksanakan tugas yang dipertanggungjawabkan, termasuk beberapa projek,” katanya.

Menurut individu terbabit, pengumuman berhubung peletakan jawatan Bannon sepatutnya dibuat minggu ini tetapi ditangguhkan susulan kekecohan dalam tunjuk perasaan di Virginia.

Isu membabitkan Korea Utara dilihat antara yang mencemarkan imej Bannon selepas bersetuju diwawancara American Prospect minggu ini.

Beliau mendakwa tidak menyedari kenyataan terbabit dirakam kerana beranggapan sedang berbual bersama seorang ahli akademik.

Malahan, Bannon telah memberitahu rakan-rakannya bahawa beliau boleh kembali bersama agensi berhaluan kanan Breitbart News jika disingkirkan Rumah Putih.

=EZY=

Categories
GLOBAL

3.5 juta bangkit sertai tentera pertahan Korea Utara

PYONGYANG, 14 OGOS: Sekurang-kurangnya 3.5 juta rakyat Korea Utara menyertai tentera dalam mempertahankan negara itu sekirannya peperangan tercetus dengan Amerika Syarikat (AS).

Menurut laporan diterbitkan akhbar Rodong Sinmun, seramai 89,000 pemuda dari wilayah Hwanghae memohon berkhidmat dalam tentera pada 9 Ogos lalu.

Manakala lebih 20,000 pelajar, anggota parti dan buruh dari daerah Daedong di wilayah Pyongan Selatan mendaftar bagi tujuan sama.

“Seluruh rakyat bangkit untuk melancarkan serangan balas beribu kali terhadap Washington. Mereka yang telah mendaftar untuk menyertai tentera Pyongyang termasuk askar bersara dan pelajar,” menurut laporan agensi itu.

Sejak beberapa hari lalu, perang retorik telah tercetus antara AS dan Korea Utara yang mana kedua-dua belah pihak mengancam mengambil tindakan ketenteraan terhadap satu sama lain.

Jumaat lalu, China, Rusia dan Jerman turut beri amaran terhadap Washington dan Pyongyang berhubung perang retorik tersebut yang dikhuatiri mencetuskan peperangan sebenar.

– Press TV

Categories
GLOBAL

AS, Rusia miliki 7,000 kepala peledak nuklear?

GLOBAL, 13 OGOS: Amerika Syarikat (AS) dan Rusia mendahului senarai teratas daripada sembilan negara dipercayai memiliki senjata nuklear dengan masing-nasing dianggar mempunyai 7,000 kepala peledak.

Walaupun terdapat banyak laporan bertentangan tentang angka itu, data Persekutuan Saintis Amerika (FAS) pada Julai lalu mendapati Washington mempunyai 6,800 kepala peledak nuklear berada di tangga kedua selepas Rusia memiliki kira-kira 7,000 senjata sama.

Ia bagaimanapun berbeza dengan Korea Utara yang hanya mempunyai kurang daripada 20 kepala peledak.

Baru-baru ini, tentera AS mengisytiharkan Washington mempunyai 806 ICBM, peluru berpandu dilancarkan dari kapal selam (SLBM) dan pengebom berat serta 1,722 kepala peledak.

Bulan lalu, laporan Agensi Risikan Pertahanan AS mendakwa sehingga 60 senjata nuklear kini dikawal oleh Jong-un.

Laporan lain mendedahkan Pyongyang telah menyeragamkan kepala peledak nuklearnya kepada saiz kecil untuk disesuaikan dengan peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) yang mana jarak jangkauannya boleh mencapai sejauh New York atau Washington.

Perang retorik tercetus sepanjang minggu lalu turut menyaksikan Pyongyang mengancam untuk melancarkan serangan ke atas Guam yang merupakan wilayah Amerika Syarikat di Pasifik sebagai respons terhadap provokasi Presiden AS, Donald Trump.

-Sinar Online

Categories
NASIONAL

AS ceroboh perairan, Korea Utara sedia lancar perang

PYONGYANG, 24 APR : Korea Utara mengeluarkan amaran keras akan melancarkan perang berskala besar dengan menggunakan senjata nuklearnya ketika kapal perang angkatan laut Amerika Syarikat (AS) semakin dekat memasuki perairan negara itu.

“Kini kami memiliki senjata nuklear melindungi kedaulatan negara dari ancaman AS dan kami akan bertindakbalas dengan melancarkan perang berskala besar dan perang nuklear.

“Kami akan menang dalam pertempuran dengan AS,” lapor Al-Jazeera yang memetik kenyataan Kementerian Luar Korea Utara.

JEPUN ASTerdahulu, Agensi Berita NBC melaporkan AS bersiap sedia melaksanakan serangan awal (preemptive strike) menggunakan senjata konvensional terhadap Korea Utara bagi menghalang ujian senjata nuklear.

Korea Utara melaungkan amaran negara itu siap sedia untuk ‘acara besar’ yang menandakan menurut pegawai AS adalah kemungkinan ujian senjata nuklear keenam pada minggu ini.

Serangan AS itu berkemungkinan melibatkan serangan peluru berpandu dan bom, siber dan operasi pasukan khas.

Ketegangan Korea Utara dan Amerika semakin memuncak susulan kecaman hebat Pyongyang terhadap pentadbiran Presiden Donal Trump yang mengkritik cubaan ujian nuklear keenam milik Korea Utara.

 

Categories
GLOBAL

Rusia beri amaran AS tak serang Korea Utara

MOSCOW 18 APRIL: Russia memberi amaran kepada Washington supaya tidak melancarkan serangan sebelah pihak ke atas Korea Utara selepas Naib Presiden, Mike Pence menyifatkan era ‘tanpa tindakan’ bersama Pyongyang sudah berakhir.

Agensi Berita Antarabangsa AFP melaporkan Menteri Luar Russia, Sergei Lavrov dalam sidang media di sini berkata: “Ini adalah laluan amat berisiko.

“Kita tidak dapat menerima tindakan melulu Pyongyang yang melanggar resolusi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) namun ia tidak bermakna anda boleh melanggar undang-undang antarabangsa.

“Diharap tidak akan ada sebarang tindakan sebelah pihak seperti yang kami saksikan di Syria baru-baru ini,” katanya.

Pence memberi amaran kepada Korea Utara supaya tidak menguji ketetapan Presiden Donald Trump, apabila mengisytiharkan ‘semua pilihan berada di meja rundingan’ bagi mengekang program peluru berpandu dan senjata nuklearnya.

Sambil tidak mengendahkan tekanan antarabangsa, Korea Utara Ahad lalu melancarkan satu lagi ujian peluru berpandu namun gagal tetapi dibimbangi ia mungkin bersiap sedia menjalankan ujian nuklear keenam.

Naib Presiden Amerika Syarikat (AS) itu berkata, era ‘tanpa tindakan’ dalam berurusan dengan Korea Utara sudah berakhir, selepas lebih dua dekad.

“Sejak dua minggu lalu, dunia menyaksikan kekuatan dan ketetapan presiden terhadap tindakan diambil di Syria dan Afghanistan.

“Korea Utara lebih baik tidak menguji kesabaran beliau atau kekuatan angkatan bersenjata AS,” kata Pence.

=EZY=

Categories
GLOBAL

Korea Utara laung ancaman siap sedia berperang dengan AS

SEOUL 11 APRIL: Korea Utara menyelar tindakan Amerika Syarikat menghantar unit tempur tentera laut ke Semenanjung Korea hari ini, dan memberi amaran bahawa ia bersedia untuk berperang.

Agensi Berita Antarabangsa AFP melaporkan unit penyerang Tentera Laut AS, Carl Vinson, membatalkan kunjungan ke Australia, hujung minggu ini untuk menuju ke rantau itu bertujuan mempamerkan kekuatan berdepan ancaman Korea Utara.

“Ia membuktikan bahawa tindakan melulu Amerika Syarikat untuk menawan Korea Utara sudah sampai ke tahap serius.

“Korea Utara bersedia bertindak balas terhadap apa saja bentuk perang dilancarkan AS,” kata jurucakap Kementerian Luar negara itu kepada agensi berita kerajaan KCNA dalam tindak balas pertama Pyongyang sejak penghantaran unit penyerang itu.

Presiden Donald Trump baharu saja mengarahkan serangan peluru berpandu terhadap Syria dan ia dilihat secara meluas sebagai satu amaran kepada Korea Utara.

Semalam, beberapa pegawai Amerika Syarikat memaklumkan Trump meminta nasihat pembantunya mengenai pilihan bagi usaha menundukkan Pyongyang.

Baru-baru ini, Trump mengancam untuk mengambil tindakan sebelah pihak terhadap Pyongyang, jika Beijig gagal membendung program senjata nuklear negara jirannya itu.

=EZY=

Categories
NASIONAL

TPPA: Anwar kecam pemimpin Umno tunduk kepada arahan AS

Anwar PC 2

KUALA LUMPUR 11 OKT: Sikap pemimpin Umno BN yang taat dengan arahan Amerika Syarikat (AS apabila bersetuju dengan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) menyebabkan masa hadapan negara tergadai.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata ia menjadi semakin bermasalah apabila Datuk Seri Najib Razak bertemu dengan Presiden Barack Obama tahun lalu dan memberikan pengakuan menyokong TPPA.

“TPPA menunjukkan AS dan negara kaya tidak konsisten dalam rundingan, apabila dengan Eropah lebih telus dan terbuka dengan semua isi perjanjian dikemukakan, tetapi dengan Malaysia dilarang untuk umum,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam pidatonya semasa Program Bantah TPPA di Padang Kelab Sultan Sulaiman Shah di sini.

Kira-kira 500 orang hadir dalam program itu yang disertai ramai pemimpin Pakatan Rakyat dan badan bukan kerajaan (NGO).

“Pakatan Rakyat bukan seperti Ahli Parlimen Umno, apabila naik harga minyak, tetap menyokong. Naik harga gula tetap sokong. TPPA pun mereka (Umno) sokong walaupun tidak baca peruntukan itu.

“Kita tidak akan tunduk kepada mana-mana kuasa besar seperti Amerika Syarikat,” katanya,” katanya.

Kata Anwar, sudah muncul suara bantahan daripada Negara seperti Korea Selatan, Jepun dan negara-negara yang berkembang terhadap ketidakadilan TPPA.

Katanya, Australia kini menerima beban kesan perjanjian bersama AS walaupun mempunyai sistem ekonomi dan pengaruh besar untuk menentukan hala tuju perjanjian.

“Perjanjian TPPA akan merugikan negara kerana dirangka sebegitu rupa supaya mendapat pulangan besar kepada AS

“Orang Malaysia yang sokong TPPA memang parah, yang bantah TPPA tapi perkenal TPPA bentuk Malaysia untuk rakyat Malaysia sama parahnya.

“Kita menolak golongan kapitalis yang tidak berhati perut baik orang Amerika Syarikat atau Cina, Melayu dan India,” kata Anwar.

Kira-kira 500 orang hadir dalam program itu yang disertai ramai pemimpin Pakatan Rakyat dan badan bukan kerajaan (NGO).

Categories
NASIONAL SELANGOR

Sampai bila perjanjian TPPA terus dirahsiakan – Tian

tppa

SHAH ALAM 22 OGOS : Tindakan kerajaan BN yang masih berdiam diri berhubung isu menandatangani Perjanjian Perkongsian Tran-Pasifik (TPPA) menimbulkan kegelisahan rakyat berhubung masa depan mereka khususnya golongan berpendapatan rendah.

“Adalah satu tindakan tidak bertanggungjawab sekiranya kerajaan meneruskan hasrat untuk menandatangani perjanjian TPPA itu yang disifatkan satu perjanjian ‘rahsia’ yang tidak diketahui umum untuk diperdebatkan.” kata Naib Presiden PKR, Tian Chua yang dihubungi TVSelangor.

Katanya, golongan petani di negara ini bakal berhadapan kehilangan sumber pendapatan sekiranya kerajaan meneruskan hasrat untuk menandatangani Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) dalam tempoh terdekat.

“Produk-produk pertanian yang dihasilkan dalam skala besar di Amerika Syarikat akan membanjiri pasaran negara seterusnya mengancam produk pertanian tempatan.

“Pembukaan pasaran bebas ini akan menyebabkan produk-produk pertanian tempatan tidak dapat bersaing lagi.

“Dan para petani akan mengalami kesulitan apabila tidak dapat menghasilkan produk dengan kos yang murah dalam jumlah besar yang akan memberikan kesan buruk kepada kehidupan petani,” kata beliau yang juga Ahli Parlimen Batu.

Menurut beliau, industri kecil dan sederhana (SME) juga bakal mengalami nasib yang tidak menentu kesan perjanjian TPPA ini apabila tidak dapat bersaing dengan syarikat gergasi antarabangsa Amerika Syarikat apabila tidak lagi diberi perlindungan dan bantuan subsidi kerajaan.

“Mengikut perjanjiaan TPPA itu maka negara tidak boleh untuk bertindak mendiskriminasikan antara syarikat asing dan syarikat tempatan.

“Jadi apa yang syarikat tempatan perolehi maka ia turut sama diperolehi oleh syarikat asing itu khususnya dalam pemberian tender yang juga perlu dibuka kepada syarikat asing,” kata beliau.

Kata Tian Chua, rakyat negara ini juga terpaksa membayar harga yang lebih mahal selepas ini untuk mendapatkan ubat-ubatan yang berjenama yang dikuasai syarikat besar di dunia ini.

“Akibatnya kos kesihatan akan meningkat dan ramai daripada masyarakat yang berpendapatan rendah akan dibebankan dengan kos yang tinggi dan ini akan mengancam kesihatan mereka.

“Semua ini diakui oleh para perunding tetapi Kerajaan Malaysia tidak peka dengan ancaman ini dan tidak mengambil langkah yang tegas untuk mempertahankan kepentingan negara.

“Seolah-olah mereka percaya dengan segala-galanya prospek perjanjian TPPA itu,” kata beliau.

Categories
NASIONAL

Fitnah Dana Asing, Anwar Mahu Saman BH

anwar black505 padang merbok 02

KUALA LUMPUR 16 JULAI : Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim memutuskan akan menyaman akhbar Berita Harian (BH) berikutan laporan fitnah yang menyatakan beliau memperolehi dana asing yang besar daripada Turki, Amerika Syarikat dan Filipina untuk digunakan pada perhimpunan Black505.

Laporan akhbar berkenaan pada 29 Jun lalu memetik satu wawancara khas mantan Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla bersama portal berita Merdeka On-line di Jakarta, Indonesia.

Menurut Anwar, beliau dihubungi Jusuf melalui telefon dan memberitahu tidak menyangka kenyataannya akan diputar belit sedemikian.

“Tulisan itu tak benar, tidak datang dari saya, saya akan bantah,” kata Anwar ketika membacakan kiriman pesanan ringkas (SMS) Jusuf di dalam Dewan Rakyat pagi ini.

Anwar turut mendesak Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar supaya menjelaskan mengapa kementerian berkenaan mengambil masa terlalu lama untuk mengambil tindakan mengenai isu ini.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu menambah, Jusuf menghantar empat surat bantahan kepada Ketua Pegawai Eksekutif BH, Ketua Pengarang BH, Eksekutif BH dan Ketua Pengarang Kumpulan BH dan New Strait Times.

“Bagaimanapun setakat ini belum ada pembetulan dan penjelasan,” katanya lagi.

Justeru, Anwar menyatakan peguamnya dan Jusuf akan mengambil tindakan undang-undang terhadap BH yang memfitnah kedua-dua mereka.

Categories
NASIONAL

Menteri Perlu Perjelas Dakwaan Ijazah Palsu

ijazah palsu

KUALA LUMPUR 27JUN : Dua menteri kabinet Datuk Seri Najib Razak yang dikaitkan dengan ijazah palsu dari luar negara digesa memperjelaskan perincian berkenaan dakwaan tersebut.

Ahli Parlimen Serdang, Dr Ong Kian Ming mendakwa beliau memperolehi maklumat mengenai kelulusan Menteri Sumber Manusia, Datuk Richard Riot Jaem daripada laman web Kementerian Luar Negeri.

“Kami menyeru menteri untuk menjelaskan mengapa Kementerian Luar Negeri menyenaraikan kelayakan beliau sebagai sedemikian dan bukannya apa yang menteri sebut bahawa beliau mendapat Ijazah Sarjana Muda dan Sarjana dari University of Hertfordshire seperti mana yang dilaporkan dalam pelbagai laman online semalam,” katanya.

Dr Ong berkata demikian dalam satu sidang media di lobi Parlimen di sini hari ini.

Richard didakwa memperolehi Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dari Chartered Institute of Business Administration (Ireland), Teoranta pada tahun 1994 dan Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari Preston University, Amerika Syarikat.

Dalam pada itu, Richard dilaporkan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap tuduhan berkenaan.

Mengulas lanjut, Dr Kian Ming menyatakan kesediaan berdepan dengan tindakan undang-undang berhubung kenyataannya.

Menurut Dr Kian Ming, laman web Kementerian Sains dan Teknologi juga tidak lagi menampilkan butir peribadi menterinya, Datuk Dr Ewon Ibin pada hari ini.

Sebelum ini, Dr Kian Ming mendedahkan menteri (Ewon) berkenaan memperolehi Ijazah Sarjana dalam Pentadbiran Perniagaan (MBA) daripada Commonwealth Open University dan Doktor Falsafah dalam Pentadbiran Perniagaan (DBA) daripada Golden State University, Wyoming, Amerika Syarikat.

“Kami menyeru Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk meminta perletakan jawatan serta merta salah seorang atau kedua-dua menteri tersebut sekiranya mereka tidak ikhlas mengenai kelayakan pendidikan mereka atau telah memperolehi ijazah ragu daripada kilang ijazah,” ujarnya lagi.

Categories
NASIONAL

Raja Kamarul : PRU-13 Tsunami Nilai Bukan Politik Bangsa

Kamarul Bahrin

SHAH ALAM 16 MEI : Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) bukanlah tsunami politik bangsa tetapi perubahan pengundi yang lebih memilih kepada perjuangan sistem nilai demokrasi.

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Raja Datuk Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata masyarakat kini tanpa mengira bangsa bangkit dengan memperjuangkan nilai menentang rasuah dan ketidakadilan yang berlaku.

“PAS banyak menang di kawasan yang banyak institusi pendidikan dan bukan kepada sentimen bangsa, di Terengganu banyak isu berkenaan pengabaian hak orang Melayu.

“Kini masyarakat semakin sedar dengan soal kebergantungan kepada pihak kerajaan dan kerajaan (Umno-BN) amat suka orang Felda bergantung harap, kerajaan tidak ingin mereka berdikari dan merdeka daripada mencari nafkah atas usaha sendiri,” kata Raja Kamarul.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel Wacana Sinar Siri ke-20 yang berjudul Pasca PRU13: Ke Mana Haluan Politik Melayu, di sini.

Dalam pada itu Kamarul turut mempersoalkan sikap kerajaan pimpinan Umno-BN yang didakwa gagal dalam menangani isu professional Melayu apabila tidak menghargai peranan mereka dalam membangunkan negara.

Kata Raja Kamarul, beliau mengambil contoh mantan Presiden dan Ketua Eksekutif Petronas Tan Sri Mohd Hassan Marican yang kini diambil bekerja oleh syarikat asing di Singapura.

“Orang-orang yang amanah tidak dapat memberikan sumbangan kepada kerajaan dan tiada tempat , seorang Melayu lebih dipercayai oleh negara di Singapura dan Amerika Syarikat,” kata beliau.

Wacana ini turut mengetengahkan ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Saifuddin Abdullah dan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari.

Program ini dikendalikan oleh Pensyarah Fakulti Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara, Prof Madya Dr Shaharuddin Badaruddin yang dihadiri kira-kira 500 orang.