Categories
NASIONAL SELANGOR

Chegu Bard Umum Tak Tanding PRU, Sedia Jadi Jentera Biasa

badrul hisham chegubard ceramah yelow 01

SHAH ALAM, 31 MAC : Penyelaras Kebangsaan Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegu Bard mengumumkan tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke 13.

Sebaliknya menurut aktivis anak muda yang semakin popular itu, beliau bersedia bergerak sebagai jentera biasa bagi membangkitkan kesedaran rakyat melawan regim Umno-BN.

“Mengajak semua peringkat pro perubahan bersatu dan menolak prasangka, saya dengan ini menegaskan untuk tidak bertanding dalam PRU-13 dan sedia menjadi jentera biasa.

“Komrad SAMM percaya anak muda cita-citanya harus tidak singkat hanya untuk bergelar YB. Tetapi cita-cita kami ialah mencipta secara perubahan total yang akan dibaca generasi mendatang,” ujar Badrul Hisham.

Pada masa ini menurut Badrul Hisham, SAMM akan meneruskan pelbagai program yang telah dirancang termasuk menyusun kerja dan startegi golongan muda untuk berdepan dengan Umno-BN dalam pilihan raya nanti.

“Saya tidak punya jawatan dalam parti politik cuma anggota biasa dalam PKR, namun sedar tetap terikat dengan disiplin parti.

“Apa keputusan parti dan keperluan parti untuk peranan yang saya harus mainkan dalam PRU ke 13, saya akur,” katanya lagi.

Dalam pertarungan di Parlimen Rembau, PRU-12 pada 2008 lalu, Badrul Hisham meskipun tewas kepada Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, beliau berjaya mengecilkan majoriti yang dimenangi BN dari 18,656 pada 2004 kepada 5,746.

Beliau kemudiannya tewas dalam perebutan Ketua AMK menentang penyandang jawatan, Shamsul Iskandar Md Akin dalam Pemilihan PKR 2010.

Selepas itu beliau menubuhkan SAMM, sebuah pertubuhan yang dilihat berjaya mengisi kekosongan dalam menyediakan platform bagi golongan muda yang ingin bergerak sebagai aktivis badan bukan kerajaan yang mahu menentang Umno-BN.

Chegu Bard dalam SAMM terus aktif dalam pelbagai aktiviti yang melibatkan golongan anak muda sehingga sesetengah pemerhati menganggap pertubuhan NGO itu lebih menangkap pemerhatian anak muda berbanding parti politik.

Antara penglibatan besar SAMM termasuklah penganjuran demontrasi BERSIH 2.0 dan 3.0, Himpunan Kebangkitan Rakyat 2013, siri jelajah penerangan dan beberapa pembongkaran isu yang melibatkan pemimpin BN.

Categories
SELANGOR

Muzium Kosong, Monorel Rosak dan Lapangan Terbang Sunyi Legasi Umno-BN Melaka

Taman Jurassic Melaka 01

SHAH ALAM 21 MAC : Monorel yang kerap kali rosak dan muzium kereta yang hanya ada tiga kereta proton. Itu lah keadaan dua projek pelancongan di Melaka yang diheboh-hebohkan oleh pimpinan Umno-BN negeri itu, kata Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Mat Akin.

Shamsul Iskandar juga mendakwa Lapangan terbang Antarabangsa Melaka (MIA) hanya digunakan oleh dua kapalterbang. Manakala taman haiwan purba “Jurassic Park” yang akan dibina dengan kos RM 200 juta dikhuatiri juga akan menjadi satu lagi projek gajah putih.

“Datuk Seri Ali Rustam nak buat taman haiwan ala Jurassic Park bernilai RM 200 juta. Sekarang hutang ditanggung kira-kira RM 800 juta.

“Apa kebaikan dan manfaat yang rakyat akan dapat? Rakyat bukan nak tengok sangat haiwan dinosaur ni,” katanya di dalam ceramah Pakatan Rakyat (PR) di Bukit Piatu, Melaka semalam .

Beliau menjelaskan PR tidak menolak pembangunan tetapi mahu setiap projek dirancang dan dilaksanakan untuk kebaikan rakyat.

Apa dipersoalkan, katanya, segala dijalankan Kerajaan Melaka setakat ini tidak membawa perkembangan positif tetapi lebih memberi kerugian negeri tersebut.

“Banyak projek yang mendatangkan kerugian. Projek monorel Ali Rustam kata bagus tetapi 27 kali rosak. Muzium kereta di Air Keroh pula hanya tiga kereta yang ada. Itupun kereta Proton,” dakwanya.

Pada 25 Februari lalu, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam mengumumkan pembinaan taman “Jurassic Park” sebagai taman tarikan pelancong.

Mohd Ali berkata, taman itu akan mempamerkan 200 spesies dinosaur melalui kaedah hidrolik dan elektronik.

“Jurassic Park” itu akan dibina bersebelahan dengan sebuah lagi taman tema iaitu Melaka Sea World, membabitkan kawasan seluas 12.1 hektar yang akan dilaksanakan secara usahasama oleh Yayasan Melaka dan syarikat swasta, Eden Incorporation Berhad.

Categories
NASIONAL

Mahasiswa Sambut Baik Gagasan Anak Muda, Tetapi Minta Penambahbaikan

PC AMK Temu Mahasiswa untuk manifesto PRU13 02

KUALA LUMPUR, 20 FEB: Dua gerakan mahasiswa hari ini menyambut baik Lima Gagasan Anak Muda atau disebut sebagai Dokumen Merah yang dilancarkan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Ahad lalu.

Menurut Koordinator Legasi Mahasiswa Progresif (LMP), Adam Adli Abdul Halim, gagasan tersebut dilihat turut menyentuh ekonomi makro dan mikro golongan anak muda.

“Contohnya, cadangan teksi motor pelancongan, mungkin nampak kecil, tetapi ianya memberi peluang kepada orang-orang yang tercicir dari sistem untuk dapat peluang perkerjaan,” ujar beliau dalam Majlis Diskusi Gagasan Anak Muda petang tadi.

PC AMK Temu Mahasiswa untuk manifesto PRU13 01Antara perkara yang dijangka menarik perhatian anak muda dalam gagasan itu termasuk caruman takaful anak muda bagi mereka yang berumur 40 tahun ke bawah yang melibatkan 6.5 juta golongan muda seluruh negara.

Gagasan itu juga menawarkan tabung masa depan anak muda dan tabung pemberhentian kerja yang memberikan elaun RM 500 sebulan dalam tempoh tertentu sehingga mendapat perkerjaan.

AMK turut meletakan sasaran untuk melancarkan ‘teksi motor pelancongan’ bagi membuka peluang pekerjaan untuk anak muda menganggur sekiranya PR menang dalam pilihan raya nanti.

Bagaimanapun, menurut Pengerusi Gerakan Menuntut Kebebasan Akademik (Bebas), Muhammad Safwan Anang, gagasan itu patut memasukkan jaminan membebaskan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dari cengkaman badan politik.

“Bukan mahasiswa sahaja, tetapi saya kira semua warga IPT mahu universiti atau kolej mereka bebas membuat keputusan sendiri.

“Tidak dipengaruhi kuasa politik tidak kira dari BN atau PR termasuklah dalam melantik jawatan tertinggi seperti naib canselor,” kata Safwan.

Majlis yang diadakan di dalam suasana agak santai itu dihadiri Ketua AMK, Shamsul Iskandar Md Akin.

PC AMK Temu Mahasiswa untuk manifesto PRU13 03Shamsul Iskandar berkata gagasan tersebut merupakan sebahagian dari manifesto pilihan raya Pakatan Rakyat (PR).

“Saya juga nak tekankan gagasan ini yang kita akan serapkan dalam manifesto PR yang akan dilancarkan pada 25 Febuari ini.

“Kita bimbang mungkin ada yang menganggapnya satu retorik politik, jadi kita nak tegaskan ianya boleh dan akan dilaksanakan,” kata Shamsul.

Majlis tersebut turut dihadiri beberapa wakil mahasiswa dari IPT sekitar Lembah Klang.

Gagasan itu menyentuh lima isu utama iaitu pemberdayaan pendidikan anak muda, kualiti hidup anak muda, kesaksamaan politik dan demokrasi anak muda, perumahan startegik anak muda dan merakyatkan kebudayaan dan sukan anak muda.

Categories
NASIONAL

Kerajaan Pusat Tidak Berminat Selesai Masalah Penstrukturan Air

azmizam luar pc 01

SHAH ALAM 20 FEB : Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor memuji langkah berani keputusan Kerajaan Negeri mengambil langkah seterusnya setelah tempoh tawaran 14 hari pengambilalihan industri air tamat.

Ketuanya, Azmizam Zaman Huri berkata, sikap Kerajaan Pusat yang mendiamkan diri terhadap surat tawaran harga mengambilalih empat syarikat konsensi yang mengurus perkhidmatan air sebagai sikap tidak berminat mereka menyelesaikan masalah penstrukturan air.

“Seharusnya Kerajaan Pusat melalui Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air mengambil langkah yang lebih tepat dalam isu ini.

“Dan tidak menjadikan air sebagai politik murahan untuk memenangi semula Selangor,” kata Azmizam dalam kenyataan medianya.

Ujar Azmizam beliau, menggunakan perkhidmatan syarikat konsesi yang tidak memiliki kepakaran dalam industri air menyebabkan rakyat mendapat perkhidmatan tidak memuaskan seperti gangguan bekalan air serta kadar tarif yang tinggi serta tidak munasabah.

“Tohmahan bahawa Kerajaan Negeri memiliki kuasa penuh ke atas (Syarikat Bekalan Air Selangor) Syabas adalah dangkal kerana Kerajaan Negeri hanya mempunyai 30 peratus saham dalam syarikat itu.

“Manakala pemegang saham terbesar adalah Puncak Niaga dan Kementerian Kewangan diperbadankan pemegang saham emas, dan ini memberi mereka kuasa untuk membuat keputusan sebagaimana termaktub di dalam Akta Industri Perkhidmatan Air,” katanya.

Tegas beliau, kepentingan rakyat perlulah berada di hadapan dalam apa juga isu pertindihan yang dialami antara negeri dan persekutuan di mana jelas Kerajaan Negeri dilihat lebih ke hadapan dalam menjaga kebajikan rakyat.

“AMK Selangor berdiri teguh di belakang Kerajaan Negeri Selangor atas apa juga dasar baik yang dirangka untuk rakyat.

“Dan akan turun dalam siri jelajah penerangan isu air yang dimanipulasi sekian lama oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab ini,” katanya.

Categories
NASIONAL

Najib Razak Digesa Mohon Maaf Kepada Mahasiswa

mahasiswa pukul pekan feb11

SHAH ALAM 14 FEB : Datuk Seri Mohd Najib Razak digesa memohon maaf kepada kepada kumpulan mahasiswa ekoran insiden ‘keganasan’ terhadap kumpulan itu yang berlaku di Parlimen Pekan.

Dalam kejadian itu, didakwa sekumpulan ahli Umno bertindak ganas dengan memukul mahasiswa yang juga bekas Timbalan Presiden Aksi Mahasiswa Peduli (Aksi) Ekhsan Bukhari, ketika selesai mengedarkan risalah ?Harapan Malaysia?.

Naib Ketua AMK Malaysia, Azmizam Zaman Huri berkata, insiden keganasan terbaru ini sebagai satu lagi siri kegagalan Najib sebagai Perdana Menteri, dan juga Ketua Umno Bahagian Pekan yang tidak mampu melakukan transformasi.

“Kegagalan Najib ini juga dilihat sebagai satu simbol kelemahan pentadbiran beliau yang semakin ditolak oleh rakyat Malaysia,” kata Azmizam yang juga Ketua AMK Selangor dalam kenyataan medianya,

Azmizam mempersoalkan sekiranya benar Najib diterima oleh majoriti mahasiswa seperti yang didakwa dalam satu kajian, mustahil Perdana Menteri itu goyang apabila berhadapan dengan kempen demokrasi yang dilakukan oleh lima orang mahasiswa sahaja.

“Jelas ada kegusaran sebenar yang disembunyikan Najib selaku orang nombor satu Umno yang bukan sahaja goyah di peringkat Nasional, tetapi juga mungkin merasa bahang dibenci di bahagian sendiri.

“Najib perlu bertanggungjawab sebagai Ketua Bahagian dan Perdana Menteri untuk mengelakkan kejadian seumpama ini berulang lagi,” katanya.

Tambah Azmizam, sekiranya kawasan Parlimen yang diwakili Perdana Menteri sendiri tidak selamat untuk satu kempen demokrasi yang bebas, apakah nasib individu atau kumpulan lain yang cuba menjual idea dan hujah terutama ketika bahang PRU 13 semakin hampir.

“Adakah ini isyarat penolakan dan sabotaj ahli Umno Bahagian Pekan sendiri terhadap Najib Razak, kerana mustahil mereka yang melakukannya tidak sedar akan impak negatif yang akan terpalit pada imej Najib Razak berikutan insiden ini.

“Najib Razak harus segera menyiasat apakah wujud ?gunting dalam lipatan? di bahagian Umno Pekan sendiri,” katanya.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Rakyat Selangor Diseru Hadir Himpunan Kembalikan Hak Air Kepada Rakyat

Himpunan Air 01

SHAH ALAM, 22 JAN: Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Selangor hari ini menggesa seluruh rakyat Selangor hadir ke perhimpunan menolak Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) sebagai syarikat mengurus air di negeri ini.

Perhimpunan yang diadakan di perkarangan Masjid Sultan Sulaiman, Klang itu akan diadakan selepas solat Jumaat pada 25 Januari ini.

Menurut satu kenyataan Penyelaras SAMM Selangor Azhar Achil, perhimpunan yang dianjurkan bersama dengan AMK Selangor itu turut mendapat kerjasama dari Pakatan Rakyat Selangor.

“Rakyat Selangor terpaksa melanggan perkhidmatan Syabas yang tidak mempunyai kepakaran dalam pengurusan bekalan air hingga menyebabkan rakyat mendapat perkhidmatan yang tidak memuaskan.

“(Dan) kini mengalami gangguan bekalan air ditambah dengan kadar tarif yang tidak munasabah dan amat membebankan,” menurut Azhar dalam satu kenyataan.

Sebelum ini Kerajaan Negeri menjalankan usaha untuk mengambilalih Syabas apabila syarikat konsesi itu gagal memberikan perkhidmatan yang memuaskan kepada pengguna di Selangor.

Bagaimanapun usaha itu menemui jalan buntu apabila Kerajaan Persekutuan enggan memberi kerjasama kepada usaha Kerajaan Negeri.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Walaupun Hendak Bayar Sewa, PR Tak Dapat Stadium Merdeka

pemuda PR memo stadium merdeka 01

KUALA LUMPUR 7 JAN : Pengurusan Stadium Merdeka masih tidak memberi kebenaran kepada Pakatan Rakyat untuk menggunakan lokasi bersejarah itu untuk Himpunan Kebangkitan Rakyat pada Sabtu ini.

Delegasi Pemuda Pakatan Rakyat yang hadir ke ibupejabat Permodalan Nasional Berhad (PNB) hari ini bagi mengemukan permohonan untuk menggunakan stadium itu langsung tidak dilayan pengurusan PNB.

Ini berlaku walaupun PR mahu membayar sewa untuk kegunaan stadium itu pada 12 Januari. Stadium tersebut diuruskan PNB.

Setiausaha Dewan Pemuda Pas, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata pihaknya berasa kesal dengan layanan yang diberikan oleh pihak pengurusan stadium walaupun mereka datang dengan cara baik.

Katanya, sebelum ini, pengurusan stadium langsung tidak memberi maklumbalas terhadap permohonan untuk mengadakan pertemuan.

Delegasi mereka yang juga dianggotai setiausaha Angkatan Muda Malaysia (AMK), Julailey Jemadi menunggu di lobi PNB selama dua jam tetapi masih lagi gagal menemui pengurusan stadium.

Selepas menunggu hampir dua jam, seorang wakil pun tidak turun untuk berjumpa dengan kami dan memberi alasan sedang bermesyuarat,” katanya.

“Ini negara demokrasi, mereka tidak patut tidak memberi kebenaran sedangkan tindakan kami ini mengikut apa yang disarankan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengadakan di stadium.

“Kita bukan memintanya percuma, kami akan bayar sewa stadium pada hari itu,” katanya.

PR mensasarkan sejuta peserta di dalam himpunan tersebut yang akan diadakan di Kuala Lumpur.

Categories
NASIONAL

AES Tekan Rakyat, AMK Desak Menteri Tangguh

SHAH ALAM, 1 NOV : Angkatan Muda Keadilan (AMK) mendesak Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha bertindak menangguhkan segera pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) selepas menerima bantahan pelbagai pihak termasuk dari pemimpin Umno-BN serta NGO yang menyokongnya.

Ketua Penerangan AMK, Lee Khai Loon berkata, sewajarnya Kong tidak berdegil dalam isu itu dengan mempertahankan pendiriannya demi meneruskan projek itu yang memihak kepada syarikat swasta terlibat.

Menurutnya, Kong perlu menyedari perkara itu kerana Pemuda Umno dan Cuepacs turut bersetuju dengan Pakatan Rakyat (PR) bahawa AES jelas menekan dan membebankan rakyat.

Katanya, biarpun Kong berjaya mengelak diri daripada dikenakan tindakan pemotongan gaji apabila ditolak Speaker Dewan Rakyat tetapi prestasi Kong mendukacitakan dan dipertikaikan.

Lee berkata, AMK mempersoalkan kedegilan Kong untuk mempertahankan penswastaan penguatkuasaan AES dapat mengurangkan kemalangan jalanraya kerana faktor utama insiden itu bukan akibat kelebihan kelajuan.

Tindakan Kong mempertahankan dua syarikat swasta terlibat dalam pelaksanaan AES, tambahnya, jelas berasaskan keuntungan yang akhirnya membawa penderitaan kepada rakyat.

“AMK menegaskan bahawa penswastaan penguatkuasaan akan menimbulkan implikasi yang buruk. Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, segala pengurusan awam serta ketanggungjawaban tidak wajar diswastakan kerana ia akan menjadikan negara dikawal syarikat swasta.

“AMK mengalu-alukan keputusan kerajaan PR menangguh pelaksanaan AES di Kedah, Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan. Tindakan tersebut bukan sekadar meringankan beban rakyat yang semakin berat malah menghentikan sebarang usaha penswastaan projek penguatkuasaan,” katanya.

Beliau berkata, mengikut Akta Kerajaan Tempatan 1976, sesiapa yang ingin mendirikan sebarang struktur dan bangunan di dalam lingkungan pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mesti memperolehi kebenaran atau permit terlebih dahulu.

Categories
NASIONAL SELANGOR

Himpunan Kebangkitan Rakyat Tuntut Royalti Di Seremban

SHAH ALAM 1 NOV: Paktan Rakyat(PR) mensasarkan kehadiran 50 ribu orang dalam Himpunan Kebangkitan Rakyat yang bakal berlangsung di Taman Seremban Jaya, Seremban pada (Sabtu) 3 November ini.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, semua rakyat dialu-alukan hadir beramai-ramai bagi memberikan sokongan kepada perlancaran program ini yang akan bermula jam 4 petang sehingga 12 malam.

Katanya, himpunan ini merupakan anjuran kerjasama parti-parti di dalam PR iaitu PAS, PKR dan DAP dengan membawa empat tema utama iaitu tuntutan pilihan raya yang bersih dan adil, royalti minyak, kehijauan dan Felda.

“Himpunan ini merupakan pra-perlancaran program jelajah kebangkitan rakyat ke seluruh negara bagi membawa tema ini keseluruh negeri bagi menerangkan dan membawa mesej penting kepada semua rakyat di negara ini,” katanya kepada TV Selangor.

Bagi memudahkan perjalanan, orang ramai digalakkan datang secara berkongsi kenderaan dan berkumpul di parkir Stadium Tunku Abdul Rahman, Paroi pada jam 3 petang dan akan berkonvoi ke tapak perhimpunan.

Dalam pada itu, semua pimpinan utama PR termasuk Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan turut hadir bersama di program itu.

Selain itu, antara aturcara menarik program pada hari itu adalah pidato rakyat, konsert rakyat, pameran Kerajaan Negeri-Negeri PR serta ceramah perdana.

Categories
NASIONAL

Sayap PKR Tekad PRU-13 Ubah Kerajaan

 

SHAH ALAM 29 SEPT : Ketiga-tiga sayap PKR menyatakan tekad untuk menjadikan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) ini sebagai ‘medan perang’ untuk merubah kerajaan Umno-BN bagi membawa pembaharuan politik negara.

Tekad itu dilaungkan oleh ketiga-tiga pimpinan sayap parti di hadapan kira-kira 1,500 perwakilan dalam Rapat Umum PKR dalam sesi Forum: Peranan Sayap Parti Dalam Menghadapi PRU13 di sini.

Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata pengundi muda perlu diberi perhatian oleh jentera parti kerana saluran generasi muda membawa perubahan politik semasa PRU12 lalu.

Sementara itu, Ketua Wanita PKR, Zuraidah Kamarudin berkata Kerajaan Umno-BN gagal memberdayakan wanita apabila memberi peruntukan yang kecil untuk program wanita dalam Belanjawan 2013.

Ujarnya, peranan wanita di negara ini dapat diperkasakan dengan pelaksanaan program yang digariskan di bawah Agenda Wanita Malaysia yang dilancarkan Wanita Pakatan Rakyat.

Dalam pada itu, Ketua Srikandi, Siti Aishah Shaikh Ismail berkata usaha untuk mendekati wanita muda semakin diperhebatkan khususnya isu-isu berkenaan ekonomi.

Ujarnya, generasi muda tidak hanya melihat kepada siapa yang bakal memimpin negara tetapi persoalan harapan yang ditawarkan kepada generasi muda.

“Anak muda ini perlu disantuni dengan memahami gaya dan pemikirannya.

“Jangan anggap anak muda sebagai saingan tetapi perlu disantuni untuk memimpin masa hadapan,” ujarnya.

Categories
SELANGOR

PKR Selar Iklan Fiksyen “Krisis Air Selangor”

 

SHAH ALAM 25 SEPT : Pemimpin PKR hari ini terus menyelar usaha untuk memburukkan imej kerajaan negeri dengan iklan yang kononnya bekalan air di Selangor tidak cukup.

Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor berkata tindakan itu hanya akan menambah kebencian rakyat kepada gabungan Umno-BN yang beliau dakwa membiayai iklan tersebut.

Manakala naib presiden PKR Nurul Izzah Anwar berkata penggambaran itu dan kenyataan Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob baru-baru ini mengesahkan yang Umno-BN menggunakan taktik kotor untuk rampas Selangor.

Ketua AMK Selangor, Azmizam Zaman Huri berkata keburukkan Umno-BN terserlah apabila ia memperalatkan orang awam dan pelakon yang dipercayai diupah bagi ‘menjayakan’ video tersebut.

“Sebagai sebuah parti ‘antik’ yang mempunyai pelan politik, AMK negeri merasakan Umno-BN sedang benar-benar goyah dan hanya menunggu masa untuk dikuburkan,” katanya dalam kenyataan media.

Tambahnya, AMK negeri sedia menyambut sebarang bentuk kempen politik yang matang, tetapi menolak jika Umno-BN bersikap penakut dengan menggunakan orang awam.

Semalam, sebuah produksi dikesan menjalankan penggambaran berbentuk rekaan yang kononnya wujud krisis bekalan air di Selangor.

Penggambaran yang dijalankan di sebuah pangsapuri yang terletak di Petaling Jaya itu melibatkan kira-kira 300 pelakon yang majoritinya bukan penduduk di situ.

Iklan pendek yang berdurasi 40 saat itu memaparkan adegan orang ramai yang sedang berbaris panjang ditengah panas terik matahari untuk mendapatkan bekalan air dari sebuah lori tangki yang disediakan.

Beberapa orang di antara mereka berlakon dengan merungut dan memekik marah kerana terpaksa beratur panjang untuk mendapatkan air bagi keperluan harian.

Tujuan iklan tersebut seolah-olah untuk membentuk satu persepsi yang bekalan air di Selangor kerap menghadapi ganguan. Walhal di lokasi pengambaran tersebut, tidak ada langsung masalah bekalan air.

Sebelum ini, Umno-BN cuba wujudkan persepsi bahawa Selangor dilanda krisis air kerana bekalan tidak mencukupi.

Ekoran itu, Kerajan Selangor telah membuktikan bahawa bekalan air mentah lebih daripada mencukupi.

Masalahnya berpunca daripada pengedaran, di mana, Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) tidak menyelengara tugasnya dengan baik sehingga ada pangsapuri di Sri Kembangan dan Cheras mengalami ganguan air terawat.

Sementara itu, Nurul Izzah, apabila ditemui di Dewan Rakyat, menyelar kenyataan Adnan yang Pahang akan membatalkan perjanjian bekalan air mentah ke Selangor sekiranya Projek Langat 2 tidak diteruskan.

Nurul Izzah berkata, usaha bersungguh-sungguh Umno-BN itu bagi memastikan projek yang mampu memberi pulangan tinggi kepada mereka dapat dijalankan seperti Projek Langat 2.

Categories
NASIONAL

PKR Selangor Lancar Kempen Jelajah Selangor Tawan Malaysia

PETALING JAYA 21 SEPT : Bagi memastikan Pakatan Rakyat (PR) terus menerajui Selangor, PKR Selangor akan melancarkan kempen ?Jelajah Selangor Tawan Malaysia? yang akan bermula pada 14 Oktober depan.

Ketua Penerangan PKR, Shuhaimi Shafiei berkata program gerak gempur yang bertemakan ‘perkukuhkan kemenangan rakyat dan tawan Malaysia’ itu akan memfokuskan kawasan tumpuan.

Antaranya, kawasan Parlimen Selayang, Pandan, Bandar Tun Razak, Kuala Langat, Kapar, Sabak Bernam, Hulu Selangor, Gombak, Ampang, Kelana Jaya, Petaling Jaya Selatan dan Subang.

Kawasan DUN yang terbabit adalah Kuang, Rawang, Sementa, Kota Anggerik, Batu Tiga, Batang Kali, Permatang, Sri Muda, Sri Andalas, Batu Caves, Bukit Antarabangsa, Ijok, Melawati, Seri Setia, Taman Medan, Bukit Lanjan, Dengkil, Semenyih, Kajang dan Pelabuhan Klang.

Beliau berkata PKR akan berbincang dengan DAP dan PAS sekiranya mereka ingin dengan PKR dalam program itu.

“Selain mempertahankan kerusi dimenangi pada pilihan raya 2008, parti itu juga akan menawan kerusi Parlimen dan DUN milik Umno-BN.

?Salah satu misi pilihan raya umum ke-12, PKR Selangor menyasarkan sebanyak 11 kerusi Parlimen untuk dimenangi.
?Berdasarkan statistik terkini kami mempunyai asas kukuh untuk mempertahankan lapan kerusi Parlimen sedia ada dengan tambahan tiga kerusi milik BN iaitu Sabar Bernam, Pandan dan Hulu Selangor.

?PKR juga akan mempertahankan 14 kerusi DUN dan menawan tujuh kerusi DUN milik Umno-BN iaitu di kawasan Batang Kali, Permatang, Kuang, Semenyih, Dengkil, Sementa dan Pelabuhan Klang,? katanya.

Shuhaimi berkata PKR juga yakin majoriti kemenangan akan meningkat berdasarkan kajian dilakukan parti itu.

?Parlimen Selayang, Gombak, Ampang, Kelana Jaya, Petaling Jaya Selatan, Subang, Kapar dan Kuala Langat kita yakin jumlah majoriti akan bertambah.?

Ketika ini Pakatan memperoleh 35 daripada 56 kerusi DUN manakala BN sebanyak 20 dan seorang Adun Bebas.

Di peringkat kerusi Parlimen pula PR memperoleh 17 daripada 22 kerusi di Selangor.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, mesyuarat agung tahunan AMK Cabang PKR akan bermula pada 22 September hingga 13 Oktober depan.

Ia akan melibatkan 22 kawasan cabang PKR.